KOLEKSI CERITA SERAM MELAYU - #SEASON2

KOLEKSI CERITA SERAM MELAYU - #SEASON2
CP BY ADMIN A.D
CGCZONE BRUNEI
theHORRORZONE BRUNEI
http://thehorrorzon.blogspot.com/2020/04/koleksi-cerita-seram-melayu-season2.html

CERITA SERAM MELAYU - #SEASON2
TAJUK CERITA : KAKINYA DI PAUT BUMI
KARYA : MOHD ZUHAIRY
CP BY ADMIN A.D
CGCZONE BRUNEI
theHORRORZONE BRUNEI
http://thehorrorzon.blogspot.com/2020/04/koleksi-cerita-seram-melayu-season2.html
KODE : 2000027509400001

Dalam keadaan begini, tentu sahaja saya tidak dapat melakukan petua dari orang tua-tua yang pernah saya dengar itu. Saya hanya berserah pada Allah sahaja. Tiba-tiba ketua komunis itu memerintah tiga orang komunis berdiri di depan Datuk dalam jarak dua puluh kaki. Mereka juga diarah menyediakan peluru dalam senapang.
“Semua mesti tembak tepat di kepalanya,” kata ketua komunis itu.
“Baik,” serentak anggota komunis itu menjawab.
“Kalau sesiapa tidak tembak tepat di kepalanya, orang itu saya tembak dengan pistol ini,” ketua komunis itu memusingkan pistolnya di tangan. Langkahnya tidak ubah macam seorang koboi.
“Sedia,” kata ketua komunis. Tiga anggota komunis halakan muncung senapang ke arah Datuk. Dada saya berdebar. Datuk nampaknya menyerahkan dirinya pada Allah. Ia tidak bimbang. Sesekali terdengar ia membaca ayat Al-Fatihah dengan agak lantang.
“Hei Melayu tua, sekarang kita tengok siapa kuat, senapang orang aku atau kamu punya Allah,” sindir ketua komunis itu.
“Allah Hu Akbar,” jawab Datuk perlahan.
“Dia panggil dia punya Tuhan,” ketua komunis itu ketawa terkekeh. Kemudian ia memerintah tiga orangnya melepaskan tembakan pada Datuk.
Semua orang yang berada dalam bas menekup muka. Tidak sampai hati melihat peristiwa yang amat menyeramkan. Badan saya menggigil dalam gema tembakan yang bertalu-talu itu. Tiba-tiba tembakan itu berhenti. Saya membuka mata.
Saya gembira, bila melihat Datuk tidak apa-apa. Ia berdiri dengan tenang di pangkal pokok. Tali sabut yang membalut tubuhnya sudah hancur dimamah peluru. Datuk terus meluru ke arah saya. Anggota komunis yang ada di situ bagaikan terpaku, tidak berani menyapa atau menahan Datuk memeluk tubuh saya.
“Tuk kebal,” tanya saya padanya.
“Tidak, cuma peluru tidak kena tubuh aku, aku mohon Allah melindungi diriku, syukur permintaanku telah diperkenankan oleh Allah yang maha besar,” bisik Datuk dan segera menarik tangan saya untuk menuju ke bas. Ternyata Datuk tidak mahu bergaduh dengan anggota komunis yang jumlahnya bukan sedikit.
Tiba-tiba ketua komunis itu menghampiri Datuk. Wajahnya cukup bengis. Ia merasa kecewa kerana Datuk tidak menemui ajal di hujung senapang anak buahnya. Ketua komunis itu menekan muncung pistolnya ke telinga Datuk. Datuk menahan nafas kemudian menjatuhkan badannya ke bumi lalu memaut lutut ketua komunis tersebut.
Ketua komunis itu terjatuh. Tetapi bangun dengan cepat, sebelum Ia melakukan sesuatu pada Datuk. Saya lihat Datuk sudah pun berdiri. Sandarkan badan ke pangkal getah. Datuk terus memeluk tubuhnya. Matanya mula kelihatan kemerah-merahan.
“Tangkap dia lagi sekali, kali ni kita sumbat dia dalam sangkar babi, kemudian rendam dalam telaga,” secara mendadak anggota komunis Melayu bersuara dengan nyaring.
Anggota komunis yang lain segera patuh. Tetapi, sebelum mereka memulakan langkah pertama. Datuk segera menghentakkan telapak kaki kanannya ke bumi. Tiba-tiba anggota komunis Melayu itu menjerit. Ia tidak terdaya melangkah kakinya bagaikan terbenam dalam tanah. Begitu juga dengan anggota komunis yang lain.
Datuk terus menghampiri anggota komunis bangsa India dan Cina. Datuk terus menjentik hidung mereka. Mereka terpekik terlolong, macam kena sengat tebuan.
“Sekarang pulangkan barang-barang yang kamu rampas pada tuannya, kalau tidak kamu dan orang-orang kamu susah nanti,” kata Datuk pada komunis.
“Baik, sekarang saya pulangkan,” jawabnya.
Tetapi, ia menghadapi masalah yang lain pula, orang-orangnya tidak boleh bergerak, walaupun diperintah berkali-kali dengan suara yang nyaring. Datuk tahu di mana silapnya perkara itu. Ia segera membongkok dan menepuk muka bumi dengan tangan kanannya. Bila semuanya dilakukan oleh Datuk, baru anggota komunis itu boleh bergerak.
“Sekarang kasi balik orang punya barang,” ketua komunis mengeluarkan perintah lagi. Tidak ada sesiapa yang membantah. Semua barang-barang yang dirampas diletakkan atas tanah lapang. Kemudian ketua komunis itu menyuruh orang yang berada dalam bas turun untuk mengambil barang-barang mereka.
Tidak sampai setengah jam, upacara memulangkan barang-barang yang dirampas pada tuannya pun selesai. Datuk menyuruh mereka naik ke bas semula. Datuk juga menyuruh pemandu bas menghidupkan enjin bas.
“Siapa suruh lu kasi tahu driver bas, hidup enjin bas?” Ketua komunis mula marah. Suaranya cukup garang dan matanya tertumpu ke wajah Datuk.
“Saya kesian dengan dia orang, hidup mesti tolong-menolong,” balas Datuk.
“Apa awak cakap, ini awak kenal?” Ketua komunis halakan muncung pistol ke batang hidung Datuk. Datuk tarik nafas panjang. Ia merasakan dirinya tercabar dan terhina.
Datuk menggigit bibir. Matanya tidak berkedip merenung ke arah saya. Dadanya nampak berombak menarik dan melepaskan nafas.
“Biadab,” pekik Datuk.
Dan cara tiba-tiba pistol di tangan ketua komunis itu terlucut. Mukanya kelihatan pucat. Dan Datuk terus jengkal mukanya dengan jari. Ketua komunis itu terdiam. Ia terkejut dengan apa yang dilakukan oleh Datuk.
“Biadab, memang tak tahu mengenang budi,” rungut Datuk. Ia renung semua anggota komunis yang berdiri di sisinya. Saya terdiam, tidak berani berkata sesuatu apa pun.
“Kamu balik ke hutan, kalau kamu mahu selamat,” pekik Datuk lagi. Anggota-anggota komunis yang berdiri itu, segera bergerak dan menghilangkan diri dalam hutan.
Tetapi, tiga orang anggota komunis tidak mempedulikan kata-kata Datuk. Mereka ini dianggap orang kanan dan ada kuasa dalam pasukan komunis yang berjumlah hampir tiga puluh orang itu. Datuk renung muka komunis Melayu, kemudian komunis India dan akhir sekali komunis Cina.
“Sekarang bas boleh jalan,” jerit Datuk ke arah pemandu bas. Beberapa minit kemudian bas Ipoh-Kuala Kangsar terus bergerak. Meninggalkan kami berlima di pinggir hutan iaitu tiga orang anggota komunis, diri saya dan Datuk.
Tanpa saya duga anggota komunis Melayu itu menyeluk sakunya. Ia mengeluarkan tangkal dan seketul kemenyan. Ia membakar kemenyan dengan mancis api. Saya rasa seluruh kawasan saya berdiri penuh dengan asap tebal. Saya terdengar bunyi orang bercakap tetapi, orangnya tidak kelihatan.
Memang tidak lojik, asap kemenyan yang sedikit itu boleh menguasai seluruh kawasan belukar. Saya dan Datuk terbatuk dua tiga kali.
“Mereka dah hilang tuk,” kata saya pada Datuk.
“Aku tahu, mereka hilangkan diri dari kita.”
“Apa yang patut kita buat tuk?”
“Sabarlah.”
Saya dan Datuk mendiamkan diri kira-kira lima minit, asap kemenyan terus menipis dan hilang. Datuk mengajak saya menuju ke bibir jalan raya. Bila kami melangkah, anggota komunis Melayu muncul dari balik pokok getah. Ia tidak merenung ke arah saya dan Datuk.
“Ikut kami, bersatu dengan kami untuk membebaskan tanah air dari penjajah,” katanya dengan suara yang lembut.
“Kita sudah merdeka, bukan kau tak tahu, kita merdeka pada 1957, sekarang sudah enam tahun lebih kita merdeka,” jelas Datuk.
“Kita tidak benar-benar merdeka, kamu harus membantu kami, ini tawaran paling baik untuk kamu, kalau kamu mahu hidup, kalau tidak kamu dua beranak kami bunuh di sini.”
“Tidak, perjuangan kamu perjuangan sia-sia,” balas Datuk tegas.
Kali ini komunis Melayu itu merenung ke arah Datuk. Ia menghilangkan dirinya beberapa saat di celah daun keladi liar. Kemudian Ia memunculkan dirinya di antara saya dengan Datuk.
“Apa fasal kamu kata perjuangan kami sia-sia, kami berjuang untuk kemerdekaan tanah air, untuk kebebasan berfikir,” komunis Melayu itu bersuara lagi.
“Kamu komunis yang tidak percayakan kewujudan Allah,” sanggah Datuk. Dan kali ini Datuk kelihatan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.
Komunis Melayu itu mencampakkan seutas tangkal atas tanah. Kawasan tempat tangkal itu jatuh terus dikuasai oleh api. Anggota komunis itu tepuk tangan. Api yang marak itu terus padam.
“Kau memang handal,” kata Datuk.
“Kalau tak cukup syarat, aku tak jadi komunis,” jawabnya.
“Aku tak boleh bekerjasama dengan kamu,” kata Datuk.
“Jangan menyesal”
“Tidak.”
Komunis Melayu itu menghilangkan diri. Saya dan Datuk meneruskan perjalanan. Tiba-tiba komunis Melayu dan dua orang kawannya muncul di depan kami. Mereka bersedia untuk menangkap kami. Datuk masih tenang. Ia tidak merasa bimbang, walaupun muncung senapang menghala ke arah perutnya.
“Sekarang, mahu ikut atau mahu mati,” ketua komunis (Cina) terus bersuara. Kali ini, muncung senapangnya ditekan ke pusat Datuk. Saya lihat ketua komunis cukup hati-hati. Ia tidak mahu peristiwa yang dialaminya sebentar tadi berulang pada dirinya.
“Tidak mahu,” jawab Datuk.
“Tidak mahu, ertinya awak mati,” suara ketua komunis keras. Ia cuba menarik pemetik senapang. Cepat-cepat Datuk memegang muncung senapang itu menjadi lembut macam timah dibakar.
Ketua komunis itu terus juga menarik pemetik senapang. Anehnya, senapang itu tidak meletup tetapi, kelongsong pelurunya terus keluar. Ketua komunis itu mendapati seluruh tangannya terbakar dan melecur.
Komunis Melayu itu jadi marah, kerana ketuanya dipermainkan. Ia mengeluarkan sejambak tangkal dari sakunya. Mulutnya mula bergerak membaca mantera dan jampi. Datuk terus membaca Fatihah dengan lancar sebanyak 41 kali.
Semua tangkal yang dikeluarkan oleh komunis Melayu tu hancur menjadi abu. Telapak tangannya kelihatan merah macam terbakar. Semua tangkal yang dipasang di tangan, di pinggang dan leher habis jatuh ke tanah. Semuanya menjadi abu dan debu.
“Pulanglah, aku tak mahu apa-apakan kamu, cuma nasihat aku pada kamu jangan menuntut ilmu dari syaitan.” kata Datuk pada komunis Melayu itu.
Rupanya, komunis Melayu itu tidak mampu melangkah. Kedua belah kakinya macam lumpuh. Komunis Cina dan India terus menghampirinya.
Komunis berbangsa India terus menembak komunis Melayu dengan pistol. Perbuatan itu amat mengejutkan Datuk.
“Kenapa kamu bunuh dia?” Tanya Datuk.
“Dia lumpuh, orang lumpuh dan tidak sihat, memang tidak dikehendaki oleh pasukan kami,” jelas ketua komunis. Datuk terdiam. Tidak dapat berbuat apa-apa.
Datuk menarik nafas dalam-dalam sambil merenung ke arah saya. Perlahan-lahan Datuk gelengkan kepala, bila melihat mereka mengusung mayat komunis Melayu ke dalam hutan. Saya menggaru pangkal leher. Sedih rasa hati melihat bangsa sendiri dipikul macam binatang.
“Hei, nanti dulu.”
Datuk meluru ke arah anggota komunis yang memikul kawannya. Mereka berhenti melangkah. Mayat yang diikat kaki dan tangan diletakkan atas tanah. Kayu pengandar dibiarkan berada di mayat tersebut.
“Kenapa?” Tanya ketua komunis.
“Dia orang Melayu dan beragama Islam, serahkan pada saya, biar saya kebumikan cara hukum Islam. Awak tahu, cara yang awak lakukan ini menyeksa mayat, perbuatan begini tidak baik menurut agama kami. Islam mahu setiap penganutnya yang mati mesti segera ditanamkan.”
“Itu urusan agama kamu, tapi dia ini dah jadi ahli kami dan apa yang berlaku adalah urusan kami,” jawab ketua komunis.
Datuk terdiam. Ketua komunis terus mengarahkan orang-orangnya memikul mayat komunis Melayu itu dalam hutan. Kumpulan komunis itu meninggalkan kami. Mereka melepaskan tembakan ke udara bertalu-talu.
“Sudahlah Tamar, aku tak berani bertindak lebih jauh dari apa yang kamu lihat, kalau aku berkeras bererti aku menempah bahaya,” Datuk bagaikan merungut. Ia terus mengajak saya keluar dari kawasan hutan menuju ke tepi jalan raya. Kami berdiri di situ sambil menahan kenderaan yang lalu.
Tidak ada sebuah kenderaan pun yang mahu berhenti. Badan saya terus berpeluh. Sinar matahari bertambah garang. Dada jalan raya dibahangi kepanasan kelihatan macam ada air bertakung. Beberapa lori tentera terus melintas di depan kami. Anggota tentera yang ada di dalamnya lengkap dengan senjata. Mereka merenung ke arah kami dengan renungan yang tajam.
Tiba-tiba sebuah jeep polis yang berdindingkan besi waja berhenti di depan kami. Dua orang anggota polis yang memakai topi bulat dan berjambul di tengah menghampiri kami dengan raifal yang tersedia di tangan.
Kedua-dua anggota itu menghampiri Datuk. Segera Datuk terangkan apa yang telah terjadi. Kedua-dua anggota polis agak terkejut. Saya dan Datuk disuruh masuk ke perut jeep. Lemas rasanya berada dalam perut jeep yang tidak bertingkap.
“Nak bawa kami ke mana?” Tanya Datuk.
“Ke Balai Polis Chemor, buat laporan,” jelas anggota polis yang duduk di sisi Datuk.
”Jangan bimbang awak tak apa-apa cuma melaporkan apa yang terjadi,” tambahnya. Datuk anggukkan kepala. Jeep yang kami tumpangi berpatah balik ke Pekan Chemor.
Datuk dan saya diperkenalkan dengan ketua Balai Polis. Datuk menceritakan apa yang dialami. Seorang anggota polis mencatatkan apa yang diterangkan oleh Datuk.
“Kawasan tempat kejadian itu, namanya Kantan dan saya yakin pemandu bas itu membuat laporan di Balai Polis Ipoh,” terang ketua Balai Polis pada Datuk. Ia menjeling ke arah saya. Kemudian ketua Balai Polis itu menyuruh anggota polis yang bertugas di bahagian semboyan menghubungi Pejabat Polis Negeri untuk melaporkan apa yang terjadi.
“Saya yakin, pihak pasukan keselamatan akan mengesan jejak anggota-anggota komunis itu,” terang ketua Balai Polis. Datuk anggukkan kepala.
“Kalau begitu biarlah kami balik dulu,” kata Datuk.
“Awak berdua nak ke mana?”
“Ke Batu Gajah”
“Kalau begitu awak berdua tumpang jeep yang awak naik tadi sampai ke Ipoh.”
“Tak payahlah, biar kami naik teksi.”
“Jangan begitu, awak berdua naiklah, jeep itu memang nak pergi ke Balai Polis Pusat di Ipoh.”
“Tapi.”
“Tak ada tapinya.”
“Saya minta maaf, biarlah kami naik teksi dari sini,” Datuk menolak dengan wajah yang manis.
Jawapan Datuk itu kurang memuaskan hati ketua Balai Polis. Ia macam merasakan keselamatan diri saya dan Datuk tidak begitu terjamin. Ia minta seorang anggota polis menemani Datuk dan saya ke tempat teksi.
“Pastikan mereka naik teksi,” pesan ketua Balai polis itu pada anggota polis yang akan menemani ke tempat teksi. Saya lihat anggota polis itu mengangguk.
Akhirnya, kami naik teksi menuju ke Ipoh. Saya tahu, kalau Datuk ada masa, tentu ia tidak mahu terus ke Ipoh. Mungkin Ia mahu berada lebih lama di Chemor. Ramai saudara-maranya di situ terutama di Ulu Kuang.
“Kalau tak diganggu oleh komunis, mahu pergi ke Ulu Kuang,” ujar Datuk sebaik sahaja turun dari teksi. Saya senyum, Datuk memang agak aneh orangnya.
Kalau hatinya tergerak untuk singgah di mana-mana dalam perjalanan Ia akan turun di tempat yang diingininya, sedangkan ia sudah pun membayar tambang perjalanan terus.
SEGAMAT
Saya masih ingat, satu waktu Datuk mengajak saya pergi ke Kluang, naik kereta api dari Taiping. Bila sampai di Segamat ia terus turun untuk ke Jementah menemui kawan lamanya, padahal Datuk sudah membayar tambang Taiping - Kluang. Inilah keganjilan Datuk, kerana itu nenek tidak suka mengikutnya berjalan ke mana-mana.
“Apa yang kamu menungkan, mari kita pergi stesen bas”, jerkah Datuk. Apa yang bermain dalam kepala terus hilang. Kami naik beca menuju ke bas stesen. Sampai di stesen bas, Datuk jumpa kawan dan kawannya itu mengajak Ia minum kopi.
Hampir dua puluh minit saya termangu di kedai kopi, mendengar Datuk bercerita dengan kawannya. Perkara yang diceritakan fasal kebun pisang, fasal kebun dan musuh-musuh yang merosakkan tanaman mereka. Kemudian cerita fasal anak cucu. Memang bosan mendengar cerita seperti itu.
Bila saya memperlihatkan wajah kurang senang, barulah Datuk sedar tentang kesilapan kecil yang dilakukannya. Ia segera membayar air minuman dan bangun. Bersalaman dengan kawannya dan terus keluar dari kedai. Saya gembira dengan tindakan yang dilakukan oleh Datuk.
“Dia tu aku kenal sepuluh tahun yang lalu, orang kuat politik menentang Inggeris, dia tu bekas anggota Angkatan Pemuda Insaf yang diketuai oleh Boestamam,” beritahu Datuk pada saya.
“Macam mana tuk boleh kenal dengannya?” Saya cungkil rahsia.
“Dulu, aku pergi ke hospital Ipoh tengok anak buah aku yang kerja atendan di situ, aku terjumpa dia mengambil ubat. Aku tegur dia, kemudian dia menceritakan pada aku, dia orang tahanan politik di Jalan Asby, dia juga kirim salam pada ayah saudara kamu yang jadi anggota API macamnya,” jelas Datuk. Saya anggukkan kepala.
(Boestamam yang dimaksudkan oleh Datuk ialah Datuk Ahmad Boestamam yang meninggal dunia pada 18 November 1983 di Kuala Lumpur. Angkatan Pemuda Insaf atau API adalah parti politik yang dipimpinnya untuk memperjuangkan kemerdekaan tanah air).
“Kamu puas hati dengan keterangan aku ni Tamar?”
“Puas hati tuk.”
“Lain kali kamu mesti ingat, kalau aku jumpa dengan sesiapa dan bercakap panjang, itu tandanya orang yang aku lawan bercakap tu, bukan sebarang orang.”
”Ada juga orang yang tuk kenal di tepi jalan tapi Datuk bercakap panjang,” saya lihat Datuk bagaikan tersentak mendengar kata-kata saya itu.
Mungkin Datuk tidak terdaya menafikan kata-kata saya itu. Saya lihat Datuk tersenyum sambil merenung ke arah manusia yang mundar-mandir di bas stesen. Bunyi enjin bas menderu-deru mengganggu anak telinga saya.
“Barangkali itu kelemahan Datuk kamu Tamar, aku suka bercakap dengan siapa saja,” Datuk semacam mengeluh. Bahu saya ditepuknya berkali-kali. Saya dan Datuk menuju ke bas yang akan menuju ke bandar Batu Gajah. Sebaik sahaja penjual tiket menghampiri Datuk dan enjin bas dihidupkan Datuk segera bangun dan turun dari bas.
“Kenapa tuk?”
“Habis kite nak naik apa tuk.”
“Aku rasa tak sedap hati naik bas.”
“Mari kita ke tempat teksi, kita naik teksi.”
Meluat rasa hati dengan sikap Datuk. Mahu sahaja saya membangkang rancangannya. Tetapi, bila mengingatkan perangai Datuk yang pantang di bantah atau dihalang itu, saya menurut sahaja. Hati kecil saya tetap membebel berjalan di tengah panas menuju ke perhentian teksi yang letaknya agak jauh dari stesen bas.
Kami sampai ke bandar Batu Gajah dan singgah di masjid untuk sembahyang Zuhur. Datuk berkenalan dengan seorang penjual sayur di pasar Batu Gajah yang cara kebetulan menunaikan fardu Zuhur di situ.
Saya yang duduk bersandar di dinding masjid dalam jarak kira-kira sepuluh kaki dari mereka, tidak dapat mendengar dengan jelas perbualan mereka. Dari raut wajah Datuk, saya dapat meneka yang penjual sayur ini menyampaikan sesuatu yang menarik minat hati Datuk.
Mereka bersalaman dan berpisah. Sebelum keluar dari masjid penjual sayur berkulit hitam dengan tahi lalat sebesar biji betik di bibir kanan tersenyum ke arah saya. Senyuman mesra itu saya balas.
Saya dan Datuk meninggalkan masjid. Kami menyusur kaki lima bangunan kedai. Bandar Batu Gajah terbahagi dua, sebelah selatan disebut Pekan Lama dan sebelah utara disebut Pekan Baru. Saya dan Datuk sedang menuju ke arah Pekan Baru.
“Ke mana?” Seorang lelaki berkulit cerah, berbadan gempal menegur Datuk. Raut wajahnya tampan ada mirip aktor Allahyarham Nordin Ahmad.
“Ha kamu, kamu anak Haji Alwi,” suara Datuk riang.
Datuk segera menarik tangan anak muda itu ke dalam sebuah restoran milik India Muslim. Haji Alwi memang saya kenal. Ia orang kampung saya berasal dari Kerinci, Pulau Sumarera Barat.
Kami duduk di meja tepi sebelah kanan kedal. Tersorok dari pandangan orang ramai.
“Kamu buat apa di sini Zamri?” Tanya Datuk.
“Sejak saya tinggalkan kampung, saya terus masuk polis, nama saya juga sudah bertukar, bukannya Zamri lagi.”
“Habis, kamu pakai nama apa? Nama orang putih?”
“Pakai nama Islam, nama saya sekarang Mat Noor, sekarang ni nak ke mana?” Soal Mat Noor.
“Aku nak ke Bakap nak jumpa kawan.”
“Hum,” Mat Noor tersenyum.
Minuman yang dipesan oleh Mat Noor pun diletakkan atas meja. Sambil minum, Mat Noor menceritakan sebab utama meninggalkan kampung kerana takut diberkas oleh Inggeris. Ketika ia menjadi orang kuat parti Boestamam.
Mat Noor berhijrah ke Kajang. Bila kerajaan Inggeris memerintahkan setiap rakyat Tanah Melayu mesti memiliki kad pengenalan dan setiap yang mahu membuat kad pengenalan mesti membawa surat tarikh lahir atau surat beranak. Kesempatan itu digunakan dengan sebaik mungkin oleh Mat Noor untuk masa depannya.
Ia memberitahu Pegawai Daerah surat lahirnya sudah hilang. Ia diperintah membuat surat sumpah di depan hakim dengan membawa dua orang saksi. Perintah itu dipatuhi oleh Mat Noor. Sejak hari itu, nama Zamri yang diberikan oleh orang tuanya tidak digunakan lagi. Di mana-mana orang mengenalinya sebagai Mat Noor.
“Kalau saya pakal nama lain, sudah tentu saya kena masuk kem tahanan, saya tak boleh ingat , saya buat kad pengenalan masa saya dah berumur dua puluh tahun,” Mat Noor mengenangkan kisah lalu.
“Kamu dah berumur dua puluh empat tahun, aku pula lagilah tua, dah dekat lima puluh, orang kampung jadi takut, maklumlah itulah kali pertama kad pengenalan diperkenalkan pada kita, aku ingat masa nak ambil gambar kad pengenalan ayah kamu pakai serban, masa tu dia baru balik dari Mekah,” kata Datuk dan mereka terus ketawa serentak.
Pertemuan yang tidak diduga antara Datuk dengan Mat Noor, sedikit sebanyak memberikan pengetahuan pada saya bagaimana anak-anak kampung berjuang menentang penjajah untuk kebebasan tanah air tercinta.
Ini membuktikan anak-anak Melayu di kampung, memang manusia yang berjiwa besar, tahu menilai dan menghargai erti kebebasan dan kemerdekaan tanah air.
Selain dari itu, saya juga mendapat tahu bahawa penggunaan kad pengenalan mula digunakan di tanah air sejak zaman Inggeris lagi.
“Bila balik dari Bakap nanti, singgahlah di rumah saya, duduk semalam dua, boleh jumpa anak bini saya,” pelawa Mat Noor ketika keluar dari restoran tersebut.
“Tengok keadaan dulu, kalau ada masa boleh singgah.”
“Kalau mahu mesti ada masa,” jawab Mat Noor yang berusia sekitar 39-40-an. Ia senyum ke arah saya. Kami meninggalkan Mat Noor di kaki lima restoran.
JUMPA
Datuk amat gembira, ia dapat bertemu dengan kawan lamanya di Kampung Bakap. Melihat bentuk tubuh dan wajah kawan Datuk itu, saya dapat menduga yang usia tidak jauh berbeza dengan Datuk. Kalau Datuk tua cuma beberapa tahun sahaja. Begitu juga dengan dirinya, kalau Ia muda, cuma dalam jarak beberapa tahun.
Sementara Datuk dan kawannya itu berborak panjang di anjung rumah, saya terus berdiri di bawah pohon kelapa dalam sinaran matahari petang yang redup.
Saya merenung ke sebuah kapal korek yang berada dalam danau yang luas. Kapal Korek itu sedang mengeluarkan bijih timah dari perut bumi.
Ingin sekali saya menghampiri kapal korek yang besar itu. Tetapi, Datuk melarangnya dengan alasan takut saya jatuh ke dalam lombong yang airnya cukup dalam. Kawan Datuk juga tidak menggalakkan saya pergi ke tempat tersebut. Katanya ada budak yang jatuh dan mati kerana tanah tempat mereka berdiri rebak dan mereka jatuh dalam lombong.
Sedang asyik memerhatikan kapal korek tersebut, seorang budak lelaki menghampiri saya. Saya kira usianya sama dengan saya kerana tinggi kami hampir sama. Dengan wajah yang ramah Ia memperkenalkan dirinya sebagai Ramli.
Dalam beberapa minit sahaja kami jadi begitu mesra. Ayah Ramli menjadi buruh kapal korek yang saya lihat. Ramli yang ramah itu menceritakan pada saya, dulu kawasan yang menjadi lombong itu adalah perkampungan dan penuh dengan rumah orang Melayu.

KARYA : MOHD ZUHAIRY
CP BY ADMIN A.D
CGCZONE BRUNEI
theHORRORZONE BRUNEI

KOLEKSI CERITA SERAM MELAYU - #SEASON2
TAJUK CERITA : MAYAT BERBAU WANGI
KARYA : MOHD ZUHAIRY
CP BY ADMIN A.D
CGCZONE BRUNEI
theHORRORZONE BRUNEI
http://thehorrorzon.blogspot.com/2020/04/koleksi-cerita-seram-melayu-season2.html
KODE : 2000027509400002

"Begini," Alang Abdul Rauf menggosok-gosok badan cawan dengan jari kelingkingnya. Lagi sekali ia merenung ke kiri dan ke kanan. Ia menarik nafas panjang. Kesan air kopi yang melekat di bibir bawahnya terus dikesat dengan hujung jari telunjuk. Saya masih menanti, apakah petua-petua yang akan diucapkannya kepada saya.
"Begini Tamar, orang tua-tua kita dulu, banyak mengamalkan petua terutama bila berdepan dengan minuman dan makanan," Alang Abdul Rauf memulakan," petua tu digunakan untuk menjaga diri, mungkin makanan atau minuman yang diberi atau dihidangkan oleh orang lain pada kita, ada benda-benda bisa yang termasuk secara tidak sengaja," tambahnya dengan nada suara yang lembut.
Wajahnya nampak tenang sekali. Saya anggukkan kepala beberapa kali sambil merenung tangkai cawan.
"Apa dia petuanya pak cik?"
"Selalunya, orang menaruh guna-guna dalam minuman, juga makanan dengan tujuan untuk menjadikan seseorang tu bodoh, ada juga yang cuba menaruh racun," Alang Abdul Rauf membetulkan duduknya, supaya selesa.
"Cara pertama gunakan lidah untuk menjolok lelangit, kalau terasa geli, bolehlah minum dan makan benda yang dihidangkan, kalau tidak terasa apa-apa semacam kebas jangan makan atau minum, itu merbahaya," Alang Abdul Rauf meluahkan petua pertama. Saya mendengar dengan penuh minat.
"Lagi petua yang ketiga macam mana pula?"
"Sebelum makan atau minum, gosok rambut dengan telapak tangan, biasanya, jika rambut digosok terasa kesat dan mengeluarkan bunyi, jika tak dengan bunyi, jangan minum dan makan barang yang dihidangkan di depan kamu," Alang Abdul Rauf meluahkan semua petua yang diketahuinya pada saya.
Saya mengaru-garu batang leher yang gatal. Mata terus merenung ke setiap sudut kedai kopi. Saya kira petua-petua yang dikatakan oleh Alang Abdul Rauf itu memang baik untuk diamalkan.
"Tetapi, orang-orang muda sekarang mana mahu amalkan semua petua, Bismillah pun jarang dibaca bila mahu makan atau minum," kata Alang Abdul Rauf dan saya merasakan kata-kata itu, bagaikan menyindir diri saya sendiri. Muka Alang Abdul Rauf saya pandang sejenak.
"Tapi, aku yakin kamu selalu baca Bismillah setiap kali minum dan makan, bukan begitu Tamar?"
"Insya-Allah pak cik," balas saya dengan segaris senyum.
"Mari kita pergi Tamar."
Alang Abdul Rauf terus bangun. Ia menuju ke meja tuan punya kedai kopi. Alang Abdul Rauf bayar harga kopi dan kuih. Kedai kopi kami tinggalkan dan saya terus duduk di pelantar basikal menuju ke rumah adiknya yang terletak kira-kira sebatu dari kedai kopi tersebut.
ADIK
Tujuan utama Alang Abdul Rauf menemui adiknya untuk membincangkan tanah pusaka peninggalan orang tua mereka. Alang Abdul Rauf mahu menjual tanah pusaka itu pada orang lain.
Tetapi adiknya tidak setuju dengan alasan tanah pusaka itu mahu ditanam dengan pokok durian dan langsat. Sedangkan Alang Abdul Rauf berpendapat cara yang mahu dilakukan oleh adiknya itu tidak sesuai kerana kedudukan tanah itu jauh dan tidak pernah dijaga.
"Dari tanah tu terbiar ada baiknya kita jual, duitnya kita bagi sama, selama ni duit cukai tanah aku yang membayar hasilnya tak ada apa-apa," ujar Alang Abdul Rauf pada adiknya.
"Saya tak mahu jual, kalau abang jual juga, kita bukan lagi adik beradik," suara adiknya keras.
"Kalau sudah begitu kata kamu, tak jadilah aku nak jual tapi, cukainya kita bayar sama-sama."
"Abang saja yang bayar, saya mana ada duit, anak-anak saya ramai, bila saya ada duit nanti saya bayar."
"Itulah yang selalu kamu cakapkan, bila aku datang minta duit kamu lari," suara Alang Abdul Rauf meninggi. Adiknya terus membisu.
Mungkin kerana sifat penyabarnya, Alang Abdul Rauf tidak mahu menyebut-nyebut soal tanah pusaka dalam perbincangan berikut dengan adiknya. Anehnya, sebelum Alang Abdul Rauf pulang, adiknya meminta wang darinya. Alang Abdul Rauf hulurkan wang dua puluh ringgit pada adiknya.
"Itulah adik aku Tamar, namanya Mat Judin, susah mahu diajak berunding," bisik Alang Abdul Rauf pada saya, ketika turun dari rumah.
"Adik nombor berapa pak cik."
"Adik bongsu, yang dia tahu minta duit tak beri tarik muka, kerana tak mahu bergaduh dengan adik-beradik, terpaksa aku ikut cakapnya," terang Alang Abdul Rauf.
"Apa pendapat kamu tentangnya."
"Tak ada apa-apa pak cik," balas saya dengan senyum pendek. Saya tidak mahu melibatkan diri dalam urusan keluarga orang lain.
Kami tinggalkan rumah Mat Judin, ketika matahari sudah condong. Seronok naik basikal di bawah lindungan pokok-pokok getah. Terasa cukup redup dan selesa sekali. Peluh tidak sehebat tadi mercik di dahi dan tubuh. Alang Abdul Rauf cukup rancak bercerita tentang keluarganya. Saya cuma anggukkan kepala. Sesekali, saya ketawa, bila terdengar peristiwa lucu terjadi antara Alang Abdul Rauf dengan adik bongsunya.
Tiba-tiba, Alang Abdul Rauf brek basikalnya dengan mengejut. Saya terpelanting ke tanah. Siku kiri saya berdarah kena tunggul getah. Dengan susah payah saya bangun. Pada mulanya saya mahu marahkan Alang Abdul Rauf tetapi, bila saya lihat dirinya terkial-kial ditindih basikal dan baju Melayu cekak musangnya koyak, saya tidak jadi marah.
"Kenapa pak cik," tanya saya.
"Tengok tu,"
"Ha," mulut saya ternganga. Kepala lutut saya terasa lemah. Seekor ular tedung sela memanggungkan kepalanya separas dada saya. Ular itu kelihatan seperti berdiri atas ekornya.
"Kamu jangan bergerak, Tamar," perintah Alang Abdul Rauf. Saya mematikan diri. Tegak macam patung.
Ular tedung selar itu menggerakkan kepalanya ke kanan mengikut gerakan tubuh Alang Abdul Rauf yang cuba mendirikan basikalnya. Ular tedung sela itu terus mematuk ke arah tubuh Alang Abdul Rauf. Anehnya patukan ular itu bagaikan tidak sampai ke tubuh Alang Abdul Rauf, macam ada sesuatu yang menghalangnya.
Ular tedung sela berhenti mematuk tubuh Alang Abdul Rauf . Basikal tua berjaya ditegakkan. Ular tedung sela masih berdiri dengan kepala yang terkembang.
Perlahan-lahan Alang Abdul Rauf membongkokkan badannya. Ular tedung sela turut merendahkan badannya dan bersedia untuk melepaskan patukan pada ubun-ubun kepala Alang Abdul Rauf.
Belum pun sempat ular tedung sela membenamkan siungnya yang bisa ke kulit Alang Abdul Rauf, saya lihat Alang Abdul Rauf terus melompat dengan sekelip mata sahaja, bahagian bawah kepala ular tedung sudah berada dalam genggamannya. Cepat-cepat Alang Abdul Rauf menekan siung ular tedung pada besi galang basikal.
"Kau ambil mangkuk getah dan tadah," perintah Alang Abdul Rauf. Saya segera mengambil mangkuk yang tersangkut pada pohon getah lalu menadah bisa ular tedung yang keluar. Badan ular terus melilit lengan Alang Abdul Rauf. Pada mulanya lilitan itu cukup kuat dan kejap. Sepuluh minit kemudian, lilitan ular tedung menjadi lemah dan badannya terus lurus ke bawah, tidak bermaya.
"Balik ke tempat kamu," kata Alang Abdul Rauf meletakkan ular tedung sela atas tanah. Beberapa minit kemudian, ular tedung sela itu menggerakkan ekornya beberapa kali. Panggungkan kepala separas lutut Alang Abdul Rauf untuk beberapa saat. Badannya direndahkan lalu melata atas bumi masuk ke dalam semak di sebelah kanan jalan.
"Buat apa bisa ular ni pak cik, tanya saya. Alang Abdul Rauf terus mengeluarkan botol kecil yang dibawanya. Ditutup dengan sapu tangan bewarna merah.
"Jarang-jarang dapat bertemu dengan ular tedung, entah macam mana petang ni, dia datang serah diri," Mukanya kelihatan kemerah-merahan.
"Buat apa bisa ular ni pak cik?" ulang saya lagi.
"Untuk menawarkan bisa ular," balasnya tersenyum.
"Naik, kita balik," gesa Alang Abdul Rauf pada saya. Ia terus menolak basikalnya atas jalan tanah merah. Tanpa membuang masa saya terus melompat atas lanting basikal. Kali ini Alang Abdul Rauf kayuh basikal dengan laju sekali. Rambut saya terus menggerbang ditolak angin.
"Pak cik saya nak tanya sikit?"
"Apa dia tamar."
"Tadi saya nampak ular tu patuk ke badan pak cik tapi macam tak sampai."
"Betul ke?" Alang Abdul Rauf macam terkejut.
"Ya, pak cik."
Alang Abdul Rauf tidak menjawab, ia terus membongkok kayuh basikal. Langgar akar dan tanah keras. Saya terpaksa angkat punggung. Kalau tak buat macam itu, daging punggung saya terasa sakit dan mungkin juga lebam. Angin yang memukul tubuh membekalkan kesegaran.
"Lain kali saja perkara tu aku ceritakan pada kamu Tamar."
"Kenapa?"
"Tak usahlah kamu tanya kenapa."
"Bisa ular tu nak buat apa pula?"
"Kamu terlalu banyak bertanya," suara Alang Abdul Rauf mula meninggi. Saya tahu ia kurang senang dengan sikap saya. Buat beberapa ketika kami tidak bercakap. Bunyi rantai basikal tua yang tidak pernah ditaruh minyak menyakitkan anak telinga saya.
"Bisa ular itu, aku campurkan dengan minyak kelapa tulen kemudian aku hangatkan ke api hingga mendidih, isi dalam botol," tidak saya duga Alang Abdul Rauf mahu membuka rahsia kegunaan bisa ular yang diambilnya sebentar tadi. Saya tersenyum dan memasang telinga untuk mendengar keterangan lanjut darinya.
"Lepas tu pak cik buat apa?"
"Aku jadikan minyak untuk menyapu seluruh badan, bila mahu tidur malam, dengan izin Allah jika kita kena patuk ular bisanya terus tawar, kadang-kadang ular tidak mahu mematuk kita, kecuali ular yang betul-betul ganas."
"Macam ular tadi."
Alang Abdul Rauf terus anggukkan kepala. Badannya terus membongkok kayuh basikal.
"Selain dari itu, apa khasiatnya lagi."
"Boleh menghilangkan sakit-sakit lenguh sendi, terkehel dan penawar bisa binatang."
"Macam tu, barulah saya tahu."
"Datuk kau tak cakap dengan kau."
"Tidak."
Alang Abdul Rauf terbatuk. Basikal terus dikayuh dengan tenaga tuanya. Bau peluhnya terasa hangit menyucuk lubang hidung saya. Baju di bahagian ketiaknya basah dengan peluh. Dedaun getah yang tua terus berguguran. Melayang-layang di udara sebelum tersadai di tanah.
"Kalau macam tu, kenapa pak cik tak tangkap ular dan ambil bisa untuk dijadikan ubat, jual pada orang ramai macam tukang-tukang ubat kaki lima buat," soal saya. Alang Abdul Rauf memperlahankan laju basikalnya.
"Tak boleh, kita tak boleh tangkap sebarang ular bisa, kecuali ular yang betul-betul garang dan menyerang kita, macam ular tadi. Kalau sengaja kita tempah cari ular bisa, perkara tu tak mahu menjadi," terang Alang Abdul Rauf dalam keadaan yang mengah.
Ia terus menyapu peluh di dahi dengan telapak tangannya. Saya terus melihat pepohon getah yang kaku. Dua tiga ekor kera berlompatan di dahan getah, memulas dan membuang buah getah muda.
"Lagi satu ubat macam tu, tak boleh dijual, kalau dijual mujarabnya kurang, malah tak datang kesan langsung, kita boleh menyimpannya dan menggunakannya untuk orang yang benar-benar memerlukan pertolongan, kalau dijadikan punca rezeki, ia tak mahu menjadi, silap-silap caranya kita dituduh orang, jadi penipu." lanjut Alang Abdul Rauf penuh semangat. Saya terus diam.
Apa yang saya fikirkan dalam kepala, macam mana Alang Abdul Rauf tahu kegunaan bisa ular itu. Apakah sebelum itu ia pernah kena patuk ular bisa atau memang sejak dulu lagi, ia ada ilmu ular.
"Agaknya pak cik ada ilmu ular?" Saya memberanikan diri bertanya. Soalan saya tidak dijawabnya untuk beberapa minit. Saya tidak berani mengulanginya, saya takut kena marah. Saya biarkan ia mengayuh basikal dengan tenang.
"Tak ada ilmu, memang aku tak tahu ilmu ular, cuma setiap kali berhadapan dengan ular aku baca Bismillah, kemudian amalkan petua orang tua-tua bersama dengan rasa yakin dan berani, tidak melupai kebesaran ALLAH."
"Apa dia petuanya."
"Bila kamu jumpa kulit ular mahu bersalin kulit, ambil kulitnya itu, bawa pulang dan bakar, abunya kamu isi dalam buluh kecil, bila kamu masuk hutan yang kamu fikirkan terdapat ular bisa bawalah buluh tu, dengan izin Allah, ular datang ke kaki kamu menyerah diri. Kamu jangan buat apa-apa, bacalah Bismillah dan tangkap ular itu, letakkan ke tanah sebelah kanan tempat kamu berdiri." Alang Abdul Rauf berhenti bercakap. Ia menelan air liur dua tiga kali. Bau peluhnya bertambah hebat.
"Biarkan ular itu pergi, kalau ular tu tak mampu bergerak kerana terkena sumpah kulitnya, kau mesti meletakkan di tempat yang kamu fikirkan ia boleh bergerak. sebaik-baiknya cari pucuk gelenggang letakkan atas kepalanya, kamu dapat tengok ular itu lari macam pelesit," tokok Alang Abdul Rauf sambil batuk.
"Berani kamu membuatnya Tamar?"
"Tak berapa yakin."
"Kalau tak yakin, jangan cuba-cuba melakukannya nanti kamu terima padah, lagipun petua ni ada ujiannya, bila kamu bawa kulit ular dalam buluh, macam-macam ular yang tak pernah kamu lihat akan kamu lihat."
"Ular macam mana tu pak cik?"
"Ular kepala dua, kadang kepala tiga, ada masanya kamu jumpa ular bertanduk, kalau kamu takut, petua tu tak akan menjadi."
"Kalau saya berjaya macam mana pak cik?"
"Kamu boleh jadi macam aku, bila jumpa ular yang garang macam tadi ambil bisanya dan buat seperti apa yang aku katakan," Alang Abdul Rauf menoleh ke arah saya bersama senyum sinis.
Saya tahu, ia semacam memperkecilkan kemampuan diri saya. Sesungguhnya, saya tidak minat sama sekali untuk jadi macam dirinya. Tetapi saya seronok melihat kejadian-kejadian yang aneh dalam hidup saya. Saya bercadang minta kebenaran dari Datuk untuk tinggal lebih lama dengan Alang Abdul Rauf, saya mahu berkongsi pengalaman dengannya. Saya yakin tidak ramai orang-orang tua yang ada ilmu dan petua dalam dada seperti Alang Abdul Rauf.
Kalau saya tidak mahu mengambil petua darinya, apa salahnya melihat dirinya mengamalkan petua itu. Setidak-tidaknya akan jadi bahan cerita cucu saya, betapa orang-orang tua terdahulu mempunyai keistimewaan yang tersendiri.
RUMAH
Lebih kurang pukul empat petang, saya dan Alang Abdul Rauf sampai ke rumah. Saya lihat Datuk duduk menongkat lutut atas pelantar di bawah pohon mempelam membaca akhbar dengan tenang.
"Macam mana, semuanya berjalan dengan selamat." tanya Datuk pada Alang Abdul Rauf yang sedang menyandarkan basikal tuanya di tiang rumah.
"Semuanya selamat, kalau tak selamat aku dan cucu kamu tak sampai ke sini," sahut Alang Abdul Rauf dalam nada suara yang meninggi. Datuk melipatkan akhbar yang dibaca. Saya terus menghampirinya dan duduk di sisinya.
Beberapa minit kemudian Alang Abdul Rauf datang ke pelantar dan duduk di sebelah kanan saya. Datuk terus meraba-raba dagunya.
"Apa yang cucu aku dapat ikut kamu Alang?"
"Banyak yang dia dapat, kamu tak percaya cubalah tanya dirinya sendiri."
"Betul ke ni Alang atau nak bergurau saja," tingkah Datuk dan mereka ketawa berderai di bawah sinar matahari petang yang cerah.
"Eh Tamar kau cakapkan pada Datuk kamu, apa yang kamu tengok dan masa kamu ikut aku," Alang Abdul Rauf merenung mata saya. Datuk menggaru-garu pangkal telinganya.
"Cakaplah Tamar," Alang Abdul Rauf seperti mendesak.
"Tak payah Tamar cakap pun aku dah tahu, kamu bawa balik bisa ular tedung Alang," Saya lihat muka Alang Abdul Rauf berubah. Ia terkejut besar. Memang ia tidak menduga yang Datuk tahu apa yang telah terjadi.
"Mana kamu tahu?" tanyanya cemas.
"Hidung aku dapat menciumnya," balas Datuk.
"Bukan hidung, tetapi pancaindera yang kelima memberitahu aku."
"Kamu memang manusia aneh."
"Tak aneh, tetapi aku mengamalkan pantang larang dan petua orang tua-tua," suara Datuk merendah. Alang Abdul Rauf termenung panjang. Membiarkan angin petang menyentuh wajahnya. Saya mengeliat dua tiga kali.
"Sengaja aku suruh si Tamar ikut kamu, biar dia tahu setiap orang ada kelebihan dan kekurangannya, aku tak suruh dia ikut saja, semuanya sudah aku kira dan perhitungkan," Datuk membuka rahsia.
"Jadi, semuanya sudah kamu rancang." tanya Alang Abdul Rauf.
"Ya, bila kamu sebut kamu nak pergi jauh, aku segera terfikir untuk menyuruh Tamar menemani kamu, aku tahu kamu bukan sebarang orang, setidak-tidaknya Tamar dah tahu kamu memang handal melemahkan ular berbisa.
"Kamu memang bijak, cara kamu mengajar cucu kamu supaya menghargai kehebatan orang tua-tua memang tidak terasa."
"Entahlah," Datuk terus menepuk pangkal pahanya berkali-kali.
Saya terus bangun dan menggeliat, tidak lama kemudian terdengar suara azan asar. Kami bertiga segera bangun. Menuju ke rumah. Saya basuh muka dan kepala. Datuk tukar baju dan Alang Abdul Rauf tergesa-gesa mandi.
Kami pun menuju ke masjid untuk berjemaah. Selesai berjemaah Alang Abdul Rauf mengajak saya dan Datuk meninjau ke kawasan tanah perkuburan yang sudah dikosongkan. Tidak lama lagi kawasan itu akan menjadi kolam lombong.
"Kawasan sebelah sana, kubur-kuburnya masih belum diubah."
Alang Abdul Rauf berdiri di bawah pohon gajus. Tangannya mengarah ke kawasan perkuburan yang penuh dengan susunan batu nisan dalam pelbagai aneka bentuk. Pokok-pokok yang tumbuh di situ, seolah-olah menjadi payung pada perkuburan dan batu nisan. Sinar matahari bagaikan tidak menyentuh tanah kubur.
"Kubur yang kamu korek tu sebelah mana?" Tanya Datuk pada Alang Abdul Rauf, saya lihat Alang Abdul Rauf membetulkan songkok putihnya yang senget di kepala. Ia menarik nafas panjang.
"Saya korek sebelah kiri kawasan kubur yang kita nampak ni, lepas tu baru sebelah kanan. Semua kawasan kubur orang Islam ini penuh dengan bijih," tangan kanan Alang Abdul Rauf terus cekak pinggang merenung kawasan-kawasan yang disebutnya.
"Sejak kamu korek kubur, kamu tak jumpa dengan perkara-perkara yang ganjil Alang?" Saya lihat Alang Abdul Rauf tersenyum sumbing mendengar pertanyaan dari Datuk. Saya terus garu kepala dalam keresahan yang tidak menentu.
"Setakat ini, dengan izin Allah tak ada perkara buruk yang aku alami," jawab Alang Abdul Rauf.
"Syukur, tetapi sikit-sikit tu ada," Datuk buat serkap jarang.
Saya terus menggosok-gosok pangkal hidung. Alang Abdul Rauf merenung wajah Datuk.
"Perkara tu ada juga, umpamanya jumpa perempuan cantik berjalan dekat pokok besar, jumpa musang yang bertukar menjadi kucing," satu pengakuan dari Alang Abdul Rauf yang tidak berselindung. Tidak saya duga serkap jarang Datuk menjadi tepat.
"Itu syaitan nak menguji kamu," celah Datuk.
"Aku pun fikir begitu juga, aku dan kawan-kawan buat tak kisah, harimaukah, perempuan burukkah, kami tak peduli akhirnya benda-benda tu semuanya terus hilang," Alang Abdul Rauf terus ketawa.
Dari pinggir kawasan kubur, kami menyusur ke kanan menuju ke kaki bukit, melihat kebun-kebun getah yang bakal jadi lombong. Bergerak lagi melalui kawasan dusun yang penuh dengan pohon kelapa, durian dan langsat, semuanya tidak boleh bertahan lama di situ. Dalam sedikit masa lagi kawasan durian itu akan menjadi lombong yang memuntahkan bijih dari perut bumi.
Saya dapat membayangkan dalam tempoh dua tiga tahun lagi, kawasan sekitar akan menjadi lapang. Penuh dengan pasir dan saujana mata memandang. Dan kawasan tempat yang kami lalui sekarang, tidak mungkin dapat dikesan. Kami terus berjalan. Terasa segar dan menyenangkan kerana hembusan angin yang sepoi-sepoi bahasa.
"Ke mana lagi kamu nak bawa aku Alang?" Tanya Datuk.
"Tak ke mana-mana, kita pergi ke sungai dari situ kita terus pulang.
"Sungai tu ada ikan tak?"
"Ada, kenapa? Kau nak memancing," Alang Abdul Rauf renung muka Datuk. Mereka berbalas senyum.
"Kalau ada ikan, aku nak menjala," ujar Datuk.
"Itu satu cadangan yang baik, aku juga nak ikut kamu menjala."
"Bila kita nak menjala?" Datuk renung muka Alang Abdul Rauf yang sedang mengerutkan dahinya.
"Nanti dua tiga malam lagi."
"Boleh juga, kalau aku tak ubah rancangan, memanglah aku nak duduk dua tiga hari di sini," Datuk menelan air liur. Kami terus melangkah. Akhirnya sampai ke rumah.
Seronok rasa hati, setelah penat berjalan. Isteri Alang Abdul Rauf menyediakan kopi dan goreng pisang panas. Saya terus makan dengan lahapnya. Lepas makan dan minum kopi, Datuk terus berborak dengan Alang Abdul Rauf di serambi rumah hingga menjelang waktu Maghrib. Entah apa yang mereka cakapkan saya tidak berminat mahu mendengarnya. Bukannya menarik sangat cerita orang tua-tua.
KUBUR
Malam itu lepas sembahyang Isyak, Datuk dan Alang Abdul Rauf terus berwirid hingga jam sepuluh malam. Sebaik sahaja wirid berhenti, kawan-kawan Alang Abdul Rauf yang mengorek kubur terus datang dan duduk di serambi. Saya kira jumlahnya lebih kurang enam orang. Semuanya berbadan tegap tetapi, wajah mereka nampak tenang dan berani untuk menghadapi dugaan dan rintangan.
Datuk dan Alang Abdul Rauf berbincang, sejenak, tanpa saya duga perbincangan mereka, kerana mahu membawa saya ikut sama rombongan menggali kubur. Alang Abdul Rauf menggalakkan Datuk supaya membenarkan saya ikut serta dalam rombongan menggali kubur. Datuk patuh dengan cadangan Alang Abdul Rauf.
Pukul sepuluh lebih, kami meninggalkan rumah menuju ke tanah perkuburan yang sunyi dan seram. Saya terdengar bunyi suara burung hantu sayup-sayup, saya juga terdengar desiran angin malam menyentuh dedaun getah yang memagari kawasan perkuburan.
Bunyi dedaun yang disentuh angin itu melahirkan suara yang menakutkan, ada masa terdengar seperti orang menangis dan ada masa pula terdengar macam bunyi orang ketawa yang tidak putus-putus.
Dari sinaran lampu picit, saya melihat batu-batu nisan tegak kaku. Malah ada yang nampak berkilau-kilau kena cahaya lampu picit. Katak-katak puru melompat di kaki membuat saya terperanjat. Bagi saya tidak menghadapi masalah yang sukar berjalan di situ kerana saya di barisan tengah.
Kepala jalan Alang Abdul Rauf, dituruti oleh orang kanannya. Kemudian Datuk, diri saya dan kawan-kawan Alang Abdul Rauf. Menurut Alang Abdul Rauf yang jadi pembantunya cuma tiga orang sahaja yang lain cuma ikut-ikut sahaja, mereka mahu menggeletar kerana kesejukan.
"Kita korek dua kubur malam ni, kau sebelah kanan dan aku korek kubur ini," Alang Abdul Rauf memberitahu kawannya yang sedang berusaha menyalakan api gasolin. Seluruh kawasan yang mahu dikorek terang-benderang tetapi, cahaya gasolin tidak mampu menghalau nyamuk yang memang dahagakan darah manusia.
Suasana di situ mula dikuasai dengan bunyi cangkul dan menyebak membongkar tanah kubur. Tanah-tanah yang segar bertimbun sedikit demi sedikit lalu membentuk sebuah bukit kecil. Suara jampuk dan burung hantu bersahut-sahutan, angin menjatuhkan reranting kering yang bunyinya macam orang berjalan. Terdengar juga salakan anjing yang bertalu-talu dan berpanjangan. Saya melihat malam yang pekat bersama titik-titik embun dari langit.
Ada seribu macam bunyi yang datang ke telinga saya. Semuanya membuatkan bulu tengkuk saya tegak. Terdengar juga suara seakan-akan orang menangis. Bila saya renung ke arah yang tidak kena cahaya lampu gasolin. Saya lihat nisan yang tadi kaku, macam bergerak-gerak. Saya lihat Datuk masih duduk dengan tenang.
Bila kubur yang digali oleh Alang Abdul Rauf sampai separuh, saya mula terhidu bau wangi macam kasturi.

KARYA : MOHD ZUHAIRY
CP BY ADMIN A.D
CGCZONE BRUNEI
theHORRORZONE BRUNEI


KOLEKSI CERITA SERAM MELAYU - #SEASON2
TAJUK CERITA : MAYAT BERBAU WANGI
KARYA : MOHD ZUHAIRY
CP BY ADMIN A.D
CGCZONE BRUNEI
theHORRORZONE BRUNEI
http://thehorrorzon.blogspot.com/2020/04/koleksi-cerita-seram-melayu-season2.html
KODE : 2000027509400003

Akhirnya, anak Malik Cina terus pulih seperti sedia kala. Malik Cina terus menghubungi menantunya tentang keadaan isterinya yang sudah baik.
Tempoh yang dijanjikan sudah cukup. Saya dan Datuk pun bersedia untuk meninggalkan rumah Malik Cina. Isterinya menangis melihat saya dan Datuk berdiri di ambang pintu untuk melangkah pulang.
“Bagaimana,kalau saya hantarkan,” Malik Cina kemukakan cadangan. Datuk kerutkan dahi. Merenung ke kiri dan ke kanan halaman dengan wajah yang tenang.
“Tak payah, biar kami balik sendiri.”
“Bagaimana dengan kerja yang lalu, berapa upah dan pengerasnya.”
“Apa yang Allah kurniakan pada aku, adalah untuk kebaikan bagi menolong sesama manusia. Aku bukan mencari makan dengan kerja-kerja begini.”
“Maksudnya?”
“Tak ada apa-apa bayaran.”
Malik Cina termenung panjang. Saya terus mengikat tali kasut. Tiupan angin terasa memukul dedaun telinga dan pipi saya.
“Boleh saya tahu, siapa yang membuat anak saya jadi begini,” cara mendadak isteri Malik Cina mengajukan pertanyaan. Malik Cina kelihatan resah tidak keruan.
“Kenapa kamu tanya siapa yang membuatnya?”
“Saya nak balas dendam, kalau boleh saya minta awak buat kerja tu, kalau upahnya satu ekar tanah pun, saya sanggup mengadakannya.”
Membalas dendam dan ambil upah untuk merosakkan hidup orang lain itu bukan kerja saya,” suara Datuk meninggi wajahnya nampak masam. Datuk terus menggenggam penumbuk.
“Malik,” pekik Datuk dengan wajah yang marah.
“Ya, kenapa?”
“Banyakkan bersedekah pada anak-anak yatim dan orang susah, selalulah baca Yasin setiap malam Jumaat, pohon doa, pada Allah minta jauhkan dari segala bala.”
“Ya saya faham, saya nak tahu benarkah sakit anak saya dari buatan orang,” Malik Cina mengajukan pertanyaan.
“Itu aku tak tahu tetapi, aku rasa apa yang kau alami sekarang merupakan pembalasan dan Allah.”
“Ah, saya rasa, sepanjang hidup saya ni, saya tak pernah menganiayai orang, saya tak pernah buat orang susah.”
“Kau tak boleh cakap begitu, mungkin masa muda kamu dulu kamu pernah menipu atau memberi malu pada seseorang,” Datuk menarik nafas panjang. Isteri Malik Cina yang berdiam segera membenamkan pacak sanggul lintang pada sanggul yang seketul atas kepala.
“Itu saja yang nak saya katakan pada kamu berdua, terpulanglah pada kamu berdua memikirkannya sama ada kamu berdua nak ikut atau percaya dengan cakap aku,” selesai sahaja Datuk berkata-kata. Ia terus menggeliat. Tangan saya ditariknya untuk menuruni anak-anak tangga yang dibuat dari kayu cengal.
Bila sahaja tapak kaki Datuk memijak mata tangga terakhir. Malik Cina, menyebut nama Datuk. Mereka berpandangan. Sinar mata Malik Cina redup tertampar ke wajah Datuk.
“Ada apa lagi Malik?”
“Barangkali cakap kamu benar.”
“Maksud kamu.”
Malik Cina terdiam. Pandangannya dialihkan ke arah dinding rumah. Anak perempuannya yang datang cara mendadak di sisinya, renung muka saya, kemudian melangkah dengan tenang.
“Katakan apa saja Malik, aku bersedia mendengarnya,” pohon Datuk. Malik Cina turun menghampiri Datuk. Bahu Datuk dipegangnya. Dadanya nampak berombak. Wajahnya juga kelihatan rasa tidak menentu.
Malik Cina memaksa Datuk duduk di mata tangga terakhir. Saya berdiri dekat mereka. Isterinya mungkin tidak mahu campur dalam urusan Datuk dan Malik Cina, segera menuruti jejak langkah anaknya menuju ke ruang belakang.
“Kau betul dalam hal ini, dulu aku meminang seorang perempuan, bila sampai waktu mahu menikah, aku tidak pergi ke rumahnya pada hal kedua orang tua gadis itu, sudah pun memanggil orang kampung, kaum kerabatnya sudah berkumpul,” Malik Cina membuka rahsia dirinya.
“Kenapa kamu buat macam tu Malik?”
“Saya cara mendadak tak sukakan dia, saya dah jatuh hati dengan isteri saya sekarang.”
“Lepas tu apa yang kau buat, kau tak minta maaf.”
“Tidak, saya takut pada keluarga perempuan tersebut, kalau saya pergi, tentu saya menerima padah yang buruk, saya buat tak tahu dan nikah dengan bini saya sekarang.”
LEMBUT
Cerita dari Malik Cina itu, membuat Datuk menarik nafas panjang. Rasa kecewanya terhadap perangainya Malik Cina terbayang di wajahnya. Angin yang bertiup lembut terus menyentuh wajah saya dan Datuk.
“Aku pernah dengar cerita macam tu, tapi aku tak menduga kau yang melakukannya,” kata Datuk.
“Dari siapa dengar cerita tu?” Soal Malik Cina.
“Aku tak ingat dari siapa?” Jawab Datuk dan terus bangun. Sarungkan kasut capal bertali dua ke kaki. Datuk melangkah dua tapak ke depan.
Datuk berhenti melangkah. Pusingkan badan dan berdiri berdepan dengan Malik Cina yang masih duduk di mata anak tangga terakhir. Bahagian tepi rambut Malik Cina nampak bergerak-gerak disentuh angin.
“Kalau dulu, kau pernah memalukan orang lain, sekarang kau sendiri merasakan balasannya. Ingat, kalau kita pernah menganiayai orang satu hari kelak kita akan menerima padahnya, kalau tidak pada kita, mungkin pada anak cucu kita,” jelas Datuk dengan tenang. Malik Cina segera berdiri. Biji mata Datuk ditentangnya.
“Saya sedar dan faham semuanya,” balas Malik Cina lembut.
“Ingat mulai hari ini, bersihkan hatimu, jangan menganiayai orang, jangan menjatuhkan maruah orang, buatlah baik sesama insan.”
“Ya saya berjanji.”
“Aku doakan kamu bahagia,” tenang sekali Datuk bersuara.
Datuk bersalam dengan Malik Cina. Cepat-cepat Malik Cina memeluk tubuh Datuk. Mereka berdakapan penuh mesra.
Saya hanya memerhatikan sahaja gerak-geri Datuk dan Malik Cina.
“Biar saya hantar awak ke pekan Sungai Siput,” Malik Cina mengemukakan cadangan. Datuk segera menjatuhkan sepasang tangannya yang merangkum tubuh Malik Cina.
“Tak payah, biarlah kami berjalan kaki.”
“Kenapa pula? Naik kereta lagi bagus.”
“Terima kasih Malik, biar kami berjalan.”
Malik Cina garu hujung dagunya berkali-kali. Hatinya tidak berapa seronok mendengar alasan yang dikemukakan oleh Datuk. Dua kali tawarannya ditolak oleh Datuk.
“Terkilan rasa hati saya, datang dijemput, bila balik jalan kaki,” Malik Cina meluahkan rasa hatinya.
“Tak apalah ini permintaan tuan punya diri, kenapa kamu nak susah hati.”
“Saya tahu, tapi kurang seronok.”
“Tak apalah, aku cakap ikhlas,” jelas Datuk.
Datuk menarik tangan saya untuk memulakan langkah.
Tiba-tiba isteri Malik Cina meluru ke arah kami. Di tangannya terselit sampul surat panjang berwarna kekuningan. Isteri Malik Cina hulurkan sampul surat itu pada Datuk.
“Apa bendanya ni?” Datuk agak terkejut.
“Duit, ada dua ratus ringgit untuk upah mengubati anak saya,” jelas isteri Malik Cina. Datuk tergamam. Sampul surat di tangan isteri Malik ditepisnya. Wang bertaburan atas tanah.
Muka Datuk serta-merta menjadi marah. Nafasnya tercungap-cungap. Badannya menggeletar menahan rasa marah. Muka isteri Malik Cina jadi pucat.
“Malik,” jerit Datuk sekuat hati. Malik Cina segera menghampirinya. Wajah isteri Malik Cina yang pucat segera bertukar menjadi kemerah-merahan. Wang yang bertaburan atas tanah dikutipnya sehelai demi sehelai dan disumbat ke mulut sampul surat.
“Bukankah sudah aku katakan, aku bukan mencari rezeki dengan mengubati orang, aku sekadar berusaha yang menentukannya Allah, mengapa perkara yang aku benci ini kamu lakukan pada aku? Apa kamu mahu menguji aku,” Datuk meledakkan apa yang ada dalam hatinya.
“Maafkan saya, saya terlupa beritahu bini saya, dia tak tahu, tak terniat untuk menguji awak,” sahut Malik Cina.
Mukanya nampak cemas.
Datuk termenung. Perlahan-lahan ia menatap wajah isteri Malik Cina yang keadaannya tidak tentu arah.
“Maafkan aku, aku tak berniat nak menjatuhkan air muka kamu, maafkan aku,” nada suara Datuk dibalut rasa kesal yang memanjang. Datuk terus beristighfar beberapa kali.
“Maafkan aku,” ulang Datuk.
“Saya maafkan,” balas isteri Malik Cina. Datuk gembira mendengar kata-kata yang diluahkan oleh isteri Malik Cina. Dan Malik Cina pula berkali-kali minta maaf pada Datuk kerana kesalahannya tidak memberitahu isterinya, tentang pantang larang yang diamalkan Datuk.
“Wang itu kau sedekah pada anak-anak yatim, pada fakir miskin atau hadiahkan pada masjid, barangkali dengan wang itu dapat digunakan untuk membaiki mana-mana bahagian masjid yang rosak,” dalam nada yang lembut Datuk menyatakan pada Malik Cina dan isterinya. Mereka anggukkan kepala.
“Aku nak pesan pada kamu supaya mengamalkan membaca Al-Fatihah sebanyak 41 kali, di antara sembahyang sunat Subuh dengan fardu Subuh,” beritahu Datuk pada Malik Cina.
“Apa faedahnya mengamalkannya?” Soal Malik Cina tidak sabar.
“Kalau orang itu makan gaji, mudah naik pangkat.”
“Lagi.”
“Kalau ia miskin akan jadi kaya, ada saja rezeki yang halal diberikan Allah untuknya.”
“Lagi?”
“Kalau ia banyak hutang, ada saja jalan diberikan Allah untuknya menyelesaikan hutang.”
Malik Cina renung muka isterinya yang khusyuk mendengar penerangan dan Datuk. Saya hanya diam tetapi, apa yang saya dengar tetap saya sematkan dalam hati, Memang tidak mudah Datuk mahu memberikan amalan pada seseorang. Entah apa mimpinya ia mahu memberikan pada Malik Cina.
“Lagi apa faedahnya amalan itu,” Malik Cina mencungkil rahsia.
“Kalau seseorang itu sakit dan amalkan membaca, dengan izin Allah sakitnya akan sembuh,” jelas Datuk.
“Lagi?”
“Jika ia lemah, akan dikuatkan oleh Allah.”
“Lagi.”
“Jika orang itu berdagang atau merantau di negeri orang. Ia tetap dihormati dan dimuliakan, cita-citanya sampai dan orang itu tidak akan dimusuhi oleh sesiapa,” Datuk terbatuk.
“Banyak faedahnya,” kata isteri Malik Cina.
“Ya, dengan syarat diamalkan, tidak meninggalkan sembahyang lima waktu, nampaknya mudah tetapi jarang orang dapat mengamalkannya dengan sempurna,” Datuk meraba pangkal dagu. Ia renung muka saya, memberi isyarat untuk memulakan perjalanan.
“Tapi, kamu sekeluarga harus mengamalkannya, terutama anak kamu, supaya sakitnya tidak berulang lagi,” Datuk mengingatkan Malik Cina dan isteri.
Datuk bersalaman dengan Malik Cina. Kemudian saya pula bersalaman, Saya rasakan genggaman Malik Cina cukup erat, seolah-olah tidak mahu melepaskan saya pulang.
“Selamat jalan, semoga kamu dengan cucu selamat sampai ke tempat yang dituju,” ujar Malik Cina pada Datuk.
“Semoga Allah memberkati dan menyelamatkan keluarga kamu dari sebarang bencana,” jawab Datuk. Malik Cina tunduk tetapi, di kelopak mata isterinya tergenang air jernih.
Saya renung ke arah rumah Malik Cina. Saya lihat anaknya berdiri di muka pintu merenung ke arah saya. Memang, anak perempuan Malik cantik sungguh. Secara diam-diam saya tertarik dengan kecantikannya. Kalau saya disuruh menatap wajahnya selama dua tiga jam, saya sanggup melakukannya.
“Eh tengok apa tu, kamu tahu dia bini orang,” terdengar suara Datuk memukul gegendang telinga saya.
Cepat saya menoleh ke kanan, Malik Cina tersenyum ke arah saya. Toleh ke kiri isteri Malik Cina juga tersenyum. Saya terasa malu dan untuk menghilangkan rasa malu itu, saya terus melangkah dengan cepat mendahului langkah Datuk.
“Cucu awak dah besar, dah ada perasaan pada perempuan,” saya terdengar suara Malik Cina. Kata-kata itu menyindir diri saya. Saya terdengar ketawa Datuk pendek. Ketawa itu juga saya rasakan menyindir diri saya. Menyesal saya renung ke rumah Malik Cina. Kalau saya renung tadi, tentu saya tidak diketawakan dan jadi bahan bualan mereka. Batin saya terus merungut, penuh rasa kesal.
LANGKAH
Saya terus melangkah. Saya tidak peduli sama ada Datuk mengikuti saya dari belakang atau tidak. Soal yang penting bagi saya ialah tidak mahu pandang muka Malik Cina dan isterinya. Tidak mahu dengar suara mereka. Semuanya menyakitkan hati. Saya terus melangkah.
Bila sampai dekat pokok besar. Datuk terus memegang bahu saya. Ia menyuruh saya jalan bersaing dengannya. Tidak kuasa saya melihat wajahnya. Saya masih terasa malu kerana rahsia diri saya sudah diketahuinya. Saya berdoa semoga Datuk tidak menimbulkan perkara itu pada saya. Sesungguhnya, saya tidak rela malu untuk kali kedua pada Datuk. Hati saya terasa lega. Datuk tidak menimbulkan perkara tersebut. Kami terus melangkah seiring di bawah hembusan bayu yang datang dari arah sebuah bukit yang letaknya di pinggir Kampung Bahagia.
Kicau burung yang menyanyi di pepohon kiri kanan jalan amat menyeronokkan. Matahari pagi yang berada di paras pucuk kelapa dara bersinar lembut. Kabus nipis kelihatan bangkit perlahan-lahan di puncak banjaran Titiwangsa. Bayu pun menggerakkan dedaun menghijau.
Indahnya alam ciptaan Allah. Kata nenek, kalau kita mengagumi keindahan alam ciptaan Allah, kita harus bersyukur dan memuji-Nya. Kemudian bandingkan betapa kerdilnya diri kita dalam keindahan alam itu.
Nenek juga berkata, orang-orang yang tinggal di kawasan alam semula jadi. Selalunya hidup aman dan panjang umur, Sentiasa tenang. Sebabnya mereka jadi demikian, kerana mereka selalu bersyukur pada Allah secara tidak langsung mereka mendekati diri dengan-Nya. Dan orang-orang yang selalu mendampingi dirinya dengan Allah, selalu merasa bahagia meskipun pada lahirnya mereka nampak susah dan sukar.
Kekayaan dan pangkat serta penghormatan tidak bererti, kalau batin manusia yang mewah itu tidak tenteram. Sebabnya kebahagiaan tidak terletak pada kekayaan. Kebahagiaan terletak pada had. Bila hati tenteram, jiwa pun bersih dan wajah pun berseri.
Itu pendapat nenek yang tidak pernah ke sekolah. Susah juga untuk saya mempercayainya tetapi, kata nenek lagi, bila saya bertambah tua dan sudah mengalami rempah-ratus kehidupan, barulah saya tahu, apakah cakapnya itu benar atau tidak. Macam-macam yang datang dalam kepala saya.
Tiba-tiba saya dan Datuk sudah pun sampai ke bibir jalan raya Ipoh - Kuala Kangsar. Saya duduk di batu tepi jalan sambil mengutik-ngutik rumput semalu. Rumput yang kembang segar itu akan terus mengecut bila saya usik dengan hujung sepatu.
Datuk terus merenung ke arah kenderaan yang lalu lalang di jalan raya. Saya terus resah. Sudah berada di tepi jalan raya, Datuk masih belum beritahu saya ke mana harus pergi? Ini yang susahnya mengikut Datuk. Ia tidak mempunyai rancangan yang tertentu.
Saya segera mendekati Datuk. Ia tersenyum sumbing memandang ke arah saya. Ia bagaikan tahu dengan apa yang bergolak dalam diri saya.
“Kita ni nak ke mana tuk?”
“Ke Bakap, dekat Batu Gajah.”
“Bukan nak pergi ke pekan Sungai Siput?”
“Kamu berjalan ikut aku, apa yang aku buat kamu ikut saja jangan banyak cakap. Belum apa-apa dah nak mengajar orang tua.”
Perasaan saya tersentap mendengar kata-kata Datuk itu. Ditanya jawapannya kena marah. Tidak ditanya hati resah. Memang serba salah jadi cucu pada Datuk yang selalu beranggapan yang cucunya tidak pandai dan mesti patuh dengan cakapnya.
Datuk menahan bas yang mahu ke Ipoh. Saya disuruh naik dulu. Saya memilih tempat di bahagian belakang. Tetapi Datuk tidak setuju dengan tempat yang saya pilih itu. Ia suruh saya pilih tempat duduk yang berhampiran dengan pemandu.
“Jangan biasakan bila naik bas duduk di belakang.”
“Kenapa tuk?”
“Tak bagus, kalau ada kejadian yang tak diingini kita susah bertindak, sebaik-baiknya pilih di bahagian tengah.”
“Sebabnya tuk?”
“Kalau diserang komunis dari depan kita dapat bersedia begitu juga kalau diserang dari arah belakang.”
“Tapi, kita duduk di bahagian depan sekarang tuk?”
“Tak apa kerana aku rasa perjalanan kali ini selamat.”
Saya diam. Tidak kuasa mengajukan sebarang pertanyaan padanya. Bas terus meluncur. Saya terus terlelap. Saya terkejut bila bas berhenti dengan tiba-tiba. Saya gosok kedua belah mata dan renung kiri dan kanan. Apa yang saya lihat ialah kebun getah yang subur.
“Kita ni di mana tuk?”
“Kita baru meninggalkan Pekan Chemor.”
“Kenapa has ni berhenti di tengah hutan tuk.”
“Kamu tengok tu,” Datuk meluruskan telunjuknya ke arah belukar kecil di kiri bas.
Saya terkejut, saya lihat lebih dari dua puluh orang lelaki memakai baju seragam dengan topi leper berbucu lima. Di tangan mereka lengkap dengan senjata api.
“Itu askar tuk,” kata saya.
“Bukan, itu komunis,” sebaik sahaja Datuk mengakhiri kata-katanya. Tiga orang anggota komunis naik ke bas. Seorang berdiri di tangga bas. Seorang berdiri di bahagian tengah. Dan seorang di bahagian belakang bas.
Saya amati, yang berdiri di tangga bas. Orang India. Di tengah bas, orang Cina dan di bahagian belakang orang Melayu. Saya kira yang berdiri di tengah adalah ketua mereka. Manakala di luar bas kelihatan lebih dari dua puluh anggota komunis duduk dalam belukar. Mereka menghalakan muncung senapang ke arah bas.
Penumpang bas yang sebahagian besarnya terdiri dari orang Melayu dan Cina serta beberapa orang India kelihatan cemas. Pemandu bas diarahkan turun oleh komunis berbangsa India. Wang yang ada pada penjual tiket bas dirampas oleh komunis berbangsa Cina. Penjual tiket juga disuruh turun.
“Sekarang, semua orang bangun, letakkan duit, jam tangan, emas dan apa yang kamu bawa dekat pintu has, kalau kamu membantah kami tembak. Keluar satu-satu,” perintah komunis Melayu yang berada di bahagian belakang bas.
Semua penumpang bas patuh. Semua barang yang mereka bawa diserahkan pada pihak komunis. Bila sudah turun dari bas. Kami disuruh berbaris. Seorang anggota komunis melakukan pemeriksaan pada diri penumpang. Semua kad pengenalan bas dirampas dan dikumpulkan di tanah lapang untuk dibakar.
Dua orang pemuda Melayu dihentak oleh anggota komunis dengan buntut senapang. Sebabnya, kedua pemuda Melayu itu tidak mahu menyerahkan rantai leher yang dipakai. Saya lihat pemuda Melayu itu jatuh terlentang dan mulut mereka berlumuran darah.
Datuk hanya melihat peristiwa itu dengan tenang. Dahinya nampak berpeluh dipanah sinar matahari yang garang. Saya kira ketika itu, lebih kurang pukul sebelas pagi.
“Ingat siapa tak mahu dengar cakap kami inilah padahnya,” kata anggota komunis berbangsa Melayu. Anggota komunis bangsa India dan Cina menegakkan ibu jarinya memuji tindakan anggota komunis bangsa Melayu itu.
“Ini hari gua kasi power sama lu, lu boleh bikin apa saja,” kata anggota komunis Cina (ketua) pada anggota komunis bangsa Melayu. Sedangkan anggota komunis bangsa India ketawa. Matanya merenung tajam pada gadis India berkulit cerah. Berusia sekitar 18 tahun.
Gadis India yang memakai sari itu nampak gelisah. Berkali-kali ia merenung wajah ibunya. Tetapi, anggota komunis bangsa India itu terus melihatnya terutama di bahagian perut gadis India yang dibalut oleh kain sari.
“Lu suka sama dia, kalau suka ambil bawa masuk hutan,” ujar ketuanya.
“Nanti dulu,” jawab anggota komunis bangsa India. Keadaan ketika itu memang mencemaskan. Pemandu kenderaan yang lalu-lalang di situ, buat tidak kisah dengan apa yang terjadi. Mungkin mereka menyangka bas yang berhenti itu rosak.
“Eh budak, kenapa kamu tak serahkan cincin yang kamu pakai,” anggota komunis menghampiri saya.
“Ini bukan emas, ini suasa, orang lelaki haram pakai emas,” kata saya.
“Sekarang kasi sama kami.”
“Tak boleh,” saya berkeras.
“Kuranggg ajjjjar punya budak.”
Muka saya ditampar dan perut saya ditendang. Saya berguling-guling di bumi menahan kesakitan. Saya melolong minta tolong pada Datuk. Saya lihat Datuk tidak juga bertindak. Dan anggota komunis Melayu itu mengangkat buntut senapangnya untuk menghentak kepala saya.
Belum pun sempat buntut senapang itu hinggap di kepala saya. Datuk menerpa ke arah anggota komunis tersebut. Ia menendang senapang di tangan anggota komunis tersebut. Senapang itu terpelanting dan terus meletup. Salah seorang anggota komunis yang berdiri tidak jauh dari situ menjerit dan terus rebah.
Perutnya yang ditembusi peluru mengeluarkan darah yang banyak. Tendangan Datuk itu disusuli dengan penumbuk. Anggota komunis itu tersandar di pangkal getah. Bila ia cuba bangun, Datuk bagaikan terbang menerkam ke arahnya. Satu tendangan hinggap di bahagian kiri perutnya. Anggota komunis itu terus lembik di situ.
Suasana menjadi tegang. Dalam beberapa saat sahaja anggota komunis terus mengerumuni Datuk. Mereka menghalakan muncung senapang ke arah Datuk. Saya menjadi cemas dan Datuk menjadi kaku. Tetapi, ekor matanya terus mengawasi anggota komunis di sekelilingnya.
Anggota komunis berbangsa India menghampiri Datuk. Tanpa berkata apa-apa, ia melepaskan penumbuk ke arah Datuk. Cepat-cepat Datuk mengelak dan terus menyambar pergelangan tangannya.
Dengan sekuat hati, Datuk menolaknya ke kanan, Ia terperosok dalam perdu nanas. Pistol yang terselit di pinggangnya terpelanting lalu jatuh di depan Datuk. Tanpa membuang masa Datuk terus memijak pistol itu hingga terbenam dalam tanah.
“Tangkap dia dan tembak,” ketua komunis yang berbangsa Cina mengeluarkan perintah. Belum pun sempat Datuk menoleh ke kanan, tiga orang anggota komunis memeluk tubuhnya dengan kejap. Anggota komunis bangsa India yang terperosok dalam perdu nanas segera bangun. Wajahnya nampak bercalar.
“Ikat dan tembak dia,” katanya marah sambil melempar tali sabut pada kawannya. Datuk kelihatan tenang. Ia membiarkan anggota-anggota komunis itu membelitkan tali sabut ke tubuhnya. Datuk ditarik macam lembu menuju ke pangkal pokok Petai. Datuk terus diikat di situ.
“Sekarang suruh orang-orang yang turun dari bas naik ke bas semula, suruh dia orang tengok kita tembak orang tua yang nak mampus ni,” ketua komunis bangsa Cina mengeluarkan arahan pada anggota komunis bangsa Melayu.
Arahan itu segera dipatuhi. Penumpang bas kembali ke tempat duduk masing-masing. Tetapi, pemandu bas dan penjual tiket tidak dibenarkan naik bas. Mereka disuruh berdiri tidak jauh dari pintu bas.
“Eh kamu budak, mari sini, kamu duduk sini, kamu tengok macam mana orang tua ni mampus,” anggota komunis bangsa India bersuara lalu menarik tengkuk baju saya. Saya disuruh duduk bertinggung menghadap ke arah Datuk. Hanya Allah sahaja yang tahu betapa cemas dan takutnya saya ketika itu.
BAKAR
Di tengah suasana tengah hari yang terik dan perit itu, saya rasa kulit muka saya bagaikan mahu terbakar. Baju saya basah diresapi peluh. Saya menangis tersedu di depan Datuk.
“Tamar, jangan menangis, tidak ada manusia yang boleh memisahkan roh dari jasad seseorang, jika tidak diizinkan oleh Allah, janganlah kamu takut pada mereka,” kata Datuk berpandangan sama sendiri. Dua tiga orang daripada mereka menjuihkan bibir dan sebahagian yang lain senyum dan ketawa kecil.
“Sekejap lagi kamu tahu, siapa besar, Allah kamu atau peluru senapang, masa itu kamu boleh minta tolong dengan Allah,” sindir anggota komunis bangsa Melayu. Datuk hanya diam sahaja. Wajahnya kelihatan aman tenang sekali.
Saya terus mengesat air mata, ketika itu juga saya terdengar suara jeritan burung helang, panjang dan amat nyaring sekali. Saya lihat ke langit, saya lihat burung helang itu terbang berlegar-legar di atas kepala kami.
Menurut petua orang tua-tua, bila burung helang berbunyi di atas kepala dan berpusing-pusing waktu tengah hari, itu tandanya orang yang berada di bawahnya akan menemui kesusahan, bagi mengelakkan perkara itu terjadi, orang yang mendengarnya harus memukul pangkal pokok besar sekuat hati, dengan harapan dapat didengar oleh burung helang, dengan itu burung helang tersebut akan terbang ke tempat lain.

KARYA : MOHD ZUHAIRY
CP BY ADMIN A.D
CGCZONE BRUNEI
theHORRORZONE BRUNEI


KOLEKSI CERITA SERAM MELAYU - #SEASON2
TAJUK CERITA : PENUNGGU ROTAN SEMAMBU
KARYA : MOHD ZUHAIRY
CP BY ADMIN A.D
CGCZONE BRUNEI
theHORRORZONE BRUNEI
http://thehorrorzon.blogspot.com/2020/04/koleksi-cerita-seram-melayu-season2.html

“Sebagai manusia saya juga merasakan satu kesilapan kalau saya sudah menolong seseorang kemudian minta dikenang atau dibalas, Islam tidak menyuruh kita menuntut sesuatu bila sudah menolong orang lain. Kerana tolong menolong antara satu sama lain itu adalah amal jariah kita sesama manusia.”
Saya lihat lelaki itu anggukkan kepala mendengar kata-kata dari Datuk itu. Mungkin sudah kehabisan modal atau sengaja mahu menumpukan perhatian pada kenderaan yang dipandunya, membuat lelaki itu tidak mengemukakan sebarang pertanyaan pada Datuk. Rupa-rupanya Datuk senang dengan keadaan demikian. Dia merapatkan kedua belah kelopak matanya macam orang tidur. Saya tahu benar-benar, bila Datuk berbuat demikian fikirannya tidak tertumpu pada keadaan kelilingnya. Dia sebenarnya memusatkan hati dan perasaannya pada sesuatu tempat dan jarak yang berpuluh-puluh atau beratus batu dari tempat dia duduk sekarang. Saya tidak tahu bagaimana Datuk boleh mencantumkan seluruh perasaannya pada tempat tersebut, kadang-kadang dia bagaikan tahu tentang sesuatu kejadian di tempat yang dihayatinya.
"Tamar."
"Ya Tuk."
"Nenek kau tidak berapa sihat, sudah dua hari demam tapi masih boleh berjalan dan menumbuk padi"
"Kasihan nenek tuk, kalau kita sampai cepat saya tolong dia menumbuk padi di lesung."
"Sabarlah”, kata Datuk dengan tenang.
Rupanya percakapan saya dengan Datuk diikuti dengan teliti oleh orang yang memandu kereta itu. Dia mengerutkan dahi mungkin sedang memikirkan sesuatu, fikir saya. Kereta yang kami tumpangi terus merempuh beberapa selekoh tajam.
"Macam mana awak boleh tahu tentang hal isteri awak?", tanya lelaki itu sambil menjeling ke arah Datuk. Saya renung muka Datuk.
"Menggunakan pancaindera yang lima pemberian Allah, saya manfaatkan pemberian itu dengan sebaik mungkin. Tetapi, sebelum menggunakan kita harus mengenali Allah terlebih dahulu. Andainya kita mahu menggunakannya tanpa mengenali Allah terlebih dahulu pun boleh juga tetapi ... “, Datuk berhenti bercakap, matanya merenung keluar. Dua tiga kali Datuk mengangkat bahu kanannya, macam ada sesuatu yang mengusik di bawah ketiaknya.
"Cuba jelaskan biar saya faham?”, desak lelaki itu. "Kalau dibuat juga dengan tidak mengenali Allah, orang yang melakukannya akan dikuasai syaitan."
"Hum “, begitu suara lelaki itu pendek dan membayangkan dia faham dengan apa yang dikatakan oleh Datuk itu.
Akhirnya kami pun sampai di pekan Sungkai. Dari situ, Datuk dan saya menyewa sebuah teksi terus ke Ipoh. Lebih kurang pukul empat petang saya dan Datuk sampai ke kampung. Perkara pertama yang saya lakukan sebaik sampai ke rumah ialah menuju ke bilik nenek. Saya lihat nenek terbaring dengan tubuhnya berselimut dengan kain batik Jawa.
“Tamar.”
“Ya nek.”
“Tolong picit kan kaki nenek.”
“Baik nek.”
Saya pun terus memicit kedua belah kaki nenek yang sejuk itu. Menurut nenek, sebelum dia menumbuk padi tadi, demamnya tidaklah berapa terus. Tetapi, setelah lima gantang padi selesai ditumbuk seluruh sendinya terasa sakit.
“Kenapa nek tak hantar padi ke kilang?”, tanya saya.
“Memang turun temurun kita tumbuk pagi, belum pernah kita menghantar ke kilang. Padi yang sudah di kilang rasanya tak sedap. Khasiatnya banyak yang kurang”, jelas nenek.
Saya pun tidak mengemukakan sebarang pertanyaan padanya. Dan terus memicit seluruh tubuh nenek. Kira-kira setengah ham kemudian, Datuk datang membawa sebiji kelapa muda dan beberapa helai daun sirih. Datuk menyuruh nenek bangun. Datuk masukkan tiga helai daun sirih ke dalam perut kelapa muda yang sudah ditebuk. Dibiarkan daun sirih terendam dalam air kelapa kira-kira sepuluh minit. Datuk keluarkan daun sirih itu kembali. Terus dilipat menjadi tiga segi. Akhirnya Datuk hancurkan daun sirih itu di telapak tangannya.
Daun sirih yang sudah dihancurkan itu mengeluarkan air. Dan air daun sirih itu Datuk sapukan pada kedua belah buku lali nenek. Dari buku lali, air sirih itu disapukan ke belakang serta ke setiap sendi badan nenek. Bila semuanya sudah selesai Datuk suruh nenek minum air kelapa muda.
“Minum dengan senafas. Kalau boleh habiskan sekali”, pesan Datuk pada nenek. Semua pesan itu nenek patuhi. Sebaik saja air kelapa habis terminum nenek kelihatan lemah dan tidak bermaya. Badannya kelihatan lembik, kelopak matanya sudah tidak boleh dibukakannya. Datuk rebahkan nenek atas tikar dan terus menyelimutinya.
“Air kelapa mengeluarkan panas tetapi melemahkan badan. Dengan itu, dia akan dapat berehat, air sirih dapat mengembalikan pergerakan urat-urat yang lemah”, bisik Datuk pada saya. Dia terus ke dapur mengambil bawang putih dan halia. Semua bahan-bahan itu ditumbuk dalam lesung batu hingga hancur. Bila sudah hancur, dikeluarkan dari lesung batu dan dimasukkan ke dalam gelas lalu di campur dengan satu sudu madu lebah serta air panas.
"Bila nenek kau bangun nanti, suruh dia minum benda ini", Datuk menyerahkan gelas pada saya.
Datuk terus meninggalkan bilik nenek. Datuk menuju ke halaman rumah. Saya tidak tahu apa yang dilakukannya di situ. Saya terus memicit jari-jari kaki nenek. Tiba-tiba nenek bangun dan membuang kain batik jawa yang menyelubung tubuhnya. Muka nenek kelihatan merah dan berpeluh.
"Aku dahaga, ambilkan aku air.”
"Ini airnya."
Saya serahkan cawan yang diberikan oleh Datuk itu pada nenek. Tanpa membuang masa lagi nenek terus meminumnya. Atas permintaan nenek saya meninggalkan biliknya. Menurut nenek badannya sudah tidak sejuk lagi, sendi-sendi badannya juga sudah tidak terasa sakit.
--- oooOOOooo ---
Sudah enam bulan saya dan Datuk tinggal di kampung. Setiap pagi kami ke kebun dan ke sawah. Sesekali Datuk mengulangi kerja lamanya dengan mengajak saya memasang jerat pelanduk dan memburu ayam hutan. Boleh dikatakan setiap kali ke hutan kami tidak pernah pulang dengan tangan kosong. Saya sudah pandai mengesan jejak pelanduk dan rusa. Hidung saya juga dapat menghidu bau binatang dari jarak setengah batu. Semun kebolehan yang saya miliki itu, berkat dari kesabaran saya belajar dari Datuk.
Selain dari memburu, ada minat baru yang datang secara mendadak dalam diri Datuk. Minat baru Datuk ialah mencari rotan. Tujuan Datuk mencari rotan bukanlah untuk mencari wang seperti yang dilakukan oleh pencari-pencari rotan yang lain. Datuk cuma mencari rotan semambu untuk dibuat tongkat yang jumlahnya bukan sedikit dan bentuknya pula bermacam-macam. Semua tongkat rotan itu Datuk aturkan di ruang tengah rumah dan berjaya menarik perhatian setiap tetamu yang datang ke rumahnya. Datuk tidak akan menjual tongkat-tongkatnya itu, walaupun ditawar dengan harga yang tinggi. Tetapi, Datuk akan memberikan tongkat secara percuma pada sesiapa yang difikirkan layak diberi.
"Bersiap, pagi esok lepas sembahyang subuh kita ikut Mamat Bukit dan kawan-kawannya mencari rotan di hutan Bubu dekat Senggeng”, kata Datuk pada saya pada suatu pagi.
"Itu pun kalau kau nak ikut”, tambah Datuk.
"Saya nak ikut tuk”, jawab saya tegas. Datuk terus menepuk kepala saya berkali-kali.
Pagi itu, nenek terpaksa bangun pukul tiga pagi, menanak nasi dan menggoreng ikan. Nasi dan ikan goreng ditaruh dalam upih lalu dibalut dengan kertas surat khabar. Datuk sudah pun menyediakan air dalam satu tong plastik besar.
"Nasi bekal itu taruh dalam beg Tamar. Tong air itu biar aku yang bawa”, kata Datuk sebaik saja dia menunaikan sembahyang Subuh. Datuk sudah pun mengenakan pakaian yang biasa digunakannya ketika masuk hutan. Sementara menanti Mamat Bukit dan kawan-kawannya tiba, Datuk dan saya duduk di anjung rumah.
Beberapa minit kemudian Mamat Bukit dan kawan-kawannya pun tiba. Saya dan Datuk pun meninggalkan rumah. Nenek cuma melihat langkah kami dengan teliti hingga hilang dari pandangannya.
Berjalan di hutan dalam keadaan cuaca yang agak samar dan sejuk itu amat menyulitkan bagi diri saya. Badan saya menggeletar sendirian. Sebelum matahari terbit di kaki langit, kami sudah pun meredah empat hutan dara dan hutan tebal. Akhirnya, kami sampai di satu kawasan lapang lalu berehat di situ. Saya sandarkan badan ke pangkal pokok meranti. Mamat Bukit dan kawan-kawannya (empat orang semuanya) terus menebas anak-anak pokok di situ dengan golok perak. Datuk terus bergerak dari pokok ke pokok, memukul perdu dengan sepotong kayu.
Badan saya masih terasa dingin walaupun sinar matahari mula menjalar di bumi yang lembap. Burung-burung liar yang beraneka bentuk dan warna mula berterbangan sambil berbunyi. Matahari terus memancar, keadaan di sekeliling juga turut beransur cerah.
"Kita minum dulu”, kata Datuk sambil duduk. Mamat Bukit dan kawan-kawannya berhenti menebas. Mereka terus duduk dan mengeluarkan bekalan air kopi masing-masing. Selesai minum kopi Mamat Bukit segera menggulung rokok daunnya bersama tembakau jawa. Dia kelihatan puas setelah menyedut rokok daun.
"Dah mandi embun?", Mamat Bukit menyoal Datuk.
"Sudah."
"Rotan semambu banyak sebelah sana."
Mamat Bukit mengarahkan jari telunjuk ke arah barat daya yang berhutan tebal. Datuk merenung ke situ sambil menganggukkan kepalanya beberapa kali. Kawan-kawan Mamat Bukit memasukkan bekalan air kopi ke tempat asalnya, mereka terus bangun sambil menggeliatkan pinggang masing-masing beberapa kali.
"Kita berpecah. Udin Candung ikut aku. Dollah Beranggas ikut Samad Perang. Sebelum waktu Asar kita bertemu di sini dan dirikan pondok untuk bermalam. Petang esok baru kita balik”, Mamat Bukit mengeluarkan perintah pada kawan-­kawannya. Mereka pun bergerak mengikut arahan yang telah ditetapkan oleh Mamat Bukit.
"Kita macam mana tuk?”, saya renung muka Datuk.
"Kita ada rancangan kita sendiri, sabarlah Tamar."
"Tapi, kita dah bercerai dengan mereka?"
"Tak apa”, nada suara Datuk cukup lembut. Dia terus menyangkutkan golok perak di tali pinggang yang dibuat dari kulit yang selebar satu inci. Saya segera bangun, beberapa ekor pacat hutan kelihatan merayap di atas daun kering menuju pada saya. Datuk saya lihat masih lagi berdiri di situ, tidak ada tanda-tanda untuk melangkah.
"Bagaimana kita tuk, boleh kita mulakan sekarang?", soal saya lagi.
Datuk tetap membisu dan masih mundar mandir di hadapan saya. Inilah saat-saat yang paling saya benci, bila Datuk bertindak demikian. Cara yang paling baik saya lakukan ialah turut sama membisu. Biarkan apa saja yang mahu Datuk lakukan. Tindakan saya ilu memang ada untungnya. Saya tidak marah atau merungut sesuatu yang akan menimbulkan kemarahan pada Datuk.
Matahari kian meninggi, saya renung ke utara dan nampak barisan Gunung Titiwangsa yang tertegun kaku, kabus nipis kelihatan mengelilinginya. Buat beberapa saat saya bagaikan terpukau pada keindahan semula jadi dalam pancaran sinar matahari pagi yang kian meninggi.
Dari arah belakang saya terdengar sesuatu yang agak ganjil, macam bunyi orang mematahkan anak-anak pokok hutan yang kecil. Bunyi itu makin lama makin jelas dan dekat. Saya renung Datuk yang sedang membongkok, mencabut anak pokok besar jari kelingking. Mustahil Datuk tidak dapat mendengar bunyi suara tersebut, pendengarannya lebih tajam dari saya. Tetapi, kenapa dia tidak bertindak atau membuat persediaan? Sedang saya melayan pertanyaan dalam hati, Bunyi suara ranting dan pokok hutan yang dipatahkan bertambah hebat, saya jadi cemas.
Tanpa berfikir panjang saya terus memalingkan muka ke belakang. Saya terkejut, sepasang kaki saya menjadi lemah tidak mampu menahan tubuh untuk berdiri tegak. Sekawan gajah dalam jumlah enam hingga tujuh ekor mengangkat belalai masing-masing ke arah saya sementara kaki gajah yang sebesar batang kelapa dara memijak anak-anak pokok hutan di sekeliling hingga menjadi rata dan ranap. Dalam waktu cemas begitu, saya jadi panik tidak lahu apa yang palut saya lakukan. Gajah-gajah liar itu terus mara seolah-olah batang tubuh saya tidak wujud di depan mereka. Telinga gajah yang lebar itu terus memukul badan masing-masing dan melahirkan bunyi yang agak kurang menyenangkan buat diri saya.
Dalam keadaan yang tergamam itu, saya terasa badan saya macam disambar sesuatu, melayang-layang dan akhirnya tercampak di perdu pokok besar, kira-kira tiga puluh kaki jaraknya dari kumpulan gajah-gajah liar.
Buat beberapa saat pandangan saya berpinar-pinar dan pendengaran saya jadi pana (tuli). Bila keadaan sudah pulih, saya lihat Datuk berdiri di hadapan kumpulan gajah liar sambil memegang sebatang pokok kecil di tangan kanan. Tangan kirinya diangkat melepasi kepalanya. Gajah-gajah liar itu bagaikan berhenti dari melangkah sambil menegakkan belalai masing-masing setinggi yang boleh. Tempikkan dilahirkan oleh gajah-gajah itu dalam keadaan yang serentak membuat suasana di dalam hutan menjadi kacau bilau dan kelam kabut.
"Pusing ke sana”, pekik Datuk dengan sekuat hati. Kesemua gajah-gajah liar itu memusingkan badannya mengikut arahan tangan kiri Datuk.
"Kita semua makhluk Allah dan sama-sama mencari rezeki pemberian-Nya. Kau dengan cara kau. Kami dengan cara kami. Jalankan kewajipan masing-masing dan jangan kami”, tambah Datuk sambil menjatuhkan tangannya.
Aneh sekali gajah-gajah liar itu bagaikan mengerti dengan cakap Datuk. Sambil menjatuhkan belalai gajah-gajah itu bergerak ke kanan menuju ke kawasan yang banyak ditumbuhi pokok enau dan bayas.
"Bangun Tamar."
"Tak boleh tuk, saya sakit."
"Di mana?"
"Tangan dan paha kanan tuk.”
"Hum..."
Datuk segera menghampiri saya. Paha kanan saya dirabanya hingga di pergelangan kaki. Dengan sepenuh tenaga Datuk merentap kaki saya hingga setiap sendi sebelah kanan badan saya berbunyi.
"Bangun”, ucapnya.
Saya pun bangun dan melangkah dua tiga tapak.
"Lagi di mana terasa sakit Tamar?"
"Bahu."
Datuk terus memeriksa bahu kanan saya. Dari pangkal bahu membawa ke hujung siku, kulit saya menjadi lebam. Setiap kali Datuk menekan daging badan di bahagian itu, saya terasa sakit yang bukan kepalang dan membuat saya terasa mahu buang air kecil dengan serta-merta.
"Tunggu di sini”, bisik Datuk ke telinga. Saya anggukkan kepala. Datuk menuju ke perdu pokok salak, selembar daun salak yang masih hijau diambilnya. Dari situ Datuk melangkah ke arah pokok jelutung dan terus terbongkok-bongkok di situ, macam mencari sesuatu. Datuk datang pada saya kembali menatang sesuatu di dalam daun salak, saya lihat benda yang Datuk tatang itu lembik berwarna agak hijau muda. Tanpa berkata apa-apa Datuk terus melumurkan benda itu di bahagian badan saya yang lebam dan daun salak muda terus dibekamnya sekali. Bagi mengelakkan daun salak itu jatuh, Datuk terus mengikatnya dengan akar berwarna kebiru-biruan yang Datuk ambil di tanah.
"Baring, luruskan kaki dan tangan. Bila aku kata bangun, kau bangun."
"Baik tuk”, badan saya rebahkan ke bumi.
Datuk terus duduk di sisi saya dengan wajah yang tenang dan sabar.
"Apa rasanya?", tanya Datuk.
"Panas sampai ke tulang."
"Tak apa, sikit lagi sakit kau baik."
Lama juga saya terbaring di tanah. Muka saya berpeluh disimbah sinar matahari, tetapi rasa sakit seluruh badan terasa beransur-ansur kurang, kemudian hilang terus.
"Bangun, dan berlari.”
Saya segera bangun dan terus berlari dengan mengelilingi kawasan tanah lapang. Saya berhenti berlari atas perintah Datuk.
"Apa rasanya badan kau?"
"Dah tak sakit lagi tuk."
"Mari dekat aku. Biar aku buka balut di lengan kau."
Saya terus menghampiri Datuk. Tangan kanan saya hulurkan padanya. Datuk terus membelek-belek tangan saya itu seketika. Daun salak yang hijau itu saya lihat menjadi kecut, macam terkena bahang api. Sebelum membuka balut tersebut Datuk terlebih dahulu merentap tangan kanan saya secara mengejut hingga berbunyi. Bila balutan itu dibuka, lebam yang memanjang dari bahu hingga ke hujung siku sudah tidak ada lagi. Bila Datuk menekannya dengan ibu jari, sudah tidak terasa sakit lagi. Saya boleh menggerakkan lengan kanan itu seperti biasa.
Baju yang koyak Datuk cantumkan kembali dengan menggunakan sejenis getah yang diambilnya dari sebatang pokok. Datuk tidak menyatakan pada saya, getah pokok jenis apa yang diambilnya dan saya tidak berminat untuk bertanya padanya.
"Kita melangkah sekarang, menuju ke arah yang ditunjukkan oleh Mamat Bukit. Aku harap kita dapat rotan semambu yang elok”, Datuk menggeliat dua tiga kali sambil melihat arah kedudukan matahari.
Dalam perjalanan menuju ke tempat yang dikatakan oleh Mamat Bukit, langkah Datuk terlalu cepat, andainya saya menoleh ke arah lain Datuk akan hilang dari pandangan saya. Berjalan dalam hutan yang penuh dengan akar-akar kayu, tunggul-tunggul lama serta pokok-pokok besar bukan satu hal yang mudah bagi diri saya. Tetapi, hal semacam itu tidak menimbulkan masalah buat diri Datuk.
"Ubat apa yang tuk balutkan ke lengan saya tadi?"
"Tahi gajah."
"Tahi gajah?”, ulang saya dengan rasa yang amat terkejut.
Datuk berhenti melangkah lalu merenung muka saya bersama segaris senyum. Tekak saya terasa loya dan badan terasa geli.
"Itu petua orang tua-tua dan hasilnya sudah kau lihat sendiri. Kau tak perlu risau, petang nanti kau cuci badan kau dengan tujuh jenis daun yang aku cari”, kata Datuk lagi.
Dia meneruskan perjalanan. Saya juga begitu. Saya dan Datuk terpaksa menyeberangi sebatang anak sungai yang airnya mengalir jernih. Anak-anak seluang berkejaran di celah-celah batu. Airnya terasa sejuk sekali. Kemudian kami mendaki bukit kecil sebelah kanan tebing sungai. Di lereng-lereng bukit itu kami menemui rotan yang banyak tetapi rotan yang ada di situ bukanlah rotan yang dicari oleh Datuk.
Kami mendaki ke puncak bukit. Datuk terpegun melihat rotan semambu yang terdapat di situ. Dia bagaikan orang gila menerkam dari satu perdu rotan ke satu perdu rotan. Semua rotan semambu yang dilihatnya menarik belaka, tidak tahu yang mana satu harus diambilnya. Mungkin kerana penat bergerak, Datuk terus duduk sambil melunjurkan kedua belah kakinya. Saya masih lagi melihat daun rotan yang menghijau, bergoyang-goyang ditiup angin.
"Kau pergi ke bawah ambil air di sungai”, Datuk mengeluarkan perintah. Wajahnya saya renung dan Datuk bagaikan tahu apa yang menjadi persoalan dalam diri saya ketika itu.
"Kau tak ada bekas nak isi air?"
"Ya tuk."
"Itu perkara mudah, biar aku buatkan", Datuk pun bangun.
Dia mengambil daun hutan yang lebar lima enam lembar, daun-daun itu di cantumkannya. Bagi mengelakkan daun yang dicantumkan itu terbuka, Datuk menggunakan rotan kecil yang ditajamkan dan dicucuk pada setiap sendi atau pelipat daun hutan yang sudah dijadikan dalam bentuk baldi empat segi.
"Sekarang kau pergi ambil air."
Saya pun menuruni lereng bukit dengan hati-hati. Tetapi, hati berasa kurang sedap. Saya bagaikan merasa ada mata di dalam hutan itu yang memerhatikan gerak-geri saya. Bila saya berdiri di tebing sungai, saya terdengar bunyi orang berenang di sebelah hilir. Saya terus menoleh ke arah itu, apa yang saya lihat ialah air jernih kelihatan berkilau-kilauan dipanah matahari. Saya kira, apa yang saya dengar itu cuma perasaan saja, mana mungkin ada manusia di dalam hutan selain saya dan Datuk. Tidak masuk di akal air sungai yang cetek itu membolehkan manusia berenang di dalamnya. Kalau boleh pun pasti yang melakukannya manusia dungu, fikir saya.
Saya terus mengambil air sungai dan membawa pada Datuk. Kami terus makan tengah hari dalam hutan. Setelah makan Datuk pula pergi ke sungai, mandi dan mengambil air sembahyang. Lepas itu, barulah Datuk memilih rotan semambu yang dikira baik untuknya. Datuk cuma mengambil tiga batang saja.
"Tiga pun sudah cukup, lain kali aku datang lagi”, kata Datuk pada saya sambil meneliti ruas rotan semambunya. Kedua belah tangan Datuk genggam, dengan genggaman itu juga Datuk menyukat rotan semambu dari hujung ke pangkal. Datuk memulakan sukatan itu dengan perkataan untung dan rugi. Bila sampai ke bahagian pangkal semuanya berakhir dengan perkataan untung. Kepalang gembiranya Datuk, senyuman terus bermain di bibirnya.
Senyuman di bibir Datuk terus berhenti dikejutkan oleh bunyi perdu rotan semambu, dedaun rotan berguguran macam ada tangan raksasa yang menggoncangnya, akar-akar rotan tercabut sendiri.
"Syaitan”, kata Datuk.
"Bukan tuk, penunggu rotan semambu."
"Mana ada penunggu, penunggu tu syaitan”, suara Datuk mula meninggi dan dia terus berdiri merenung ke arah perdu rotan semambu yang sudah tercabut. Saya menarik nafas panjang. Rasa takut dan cemas terus menguasai diri. Datuk tidak berganjak dari tempat asalnya, matanya tidak berkedip merenung pada setiap perdu rotan yang tercabut. Saya terkejut bila terdengar bunyi deru seperti bunyi jentera penolak datang, semua pokok-pokok di situ bergoyang. Datuk segera membongkok lalu mengambil tanah dan tanah itu dikepal-kepalnya macam nasi. Dengan sepenuh tenaga dia melemparkan kepalan tanah itu pada perdu yang tercabut. Suara jentera hilang dan perdu rotan semambu saya lihat tetap seperti keadaan asal, tidak tercabut.
"Syaitan, syaitan”, Datuk menyebutnya berulang kali sambil mengajak saya beredar dari situ tanpa membawa rotan semambu yang diambilnya.
"Ke mana kita nak pergi tuk?"
Saya terus mengikutinya menuju ke arah timur bukit kecil, sambil berjalan itu Datuk terus memperkenalkan jenis pokok hutan pada saya. Akhirnya Datuk mematikan langkahnya. Dia terasa kakinya tersepak kan sesuatu yang keras. Dia terus membongkok dan memeriksa tanah yang dipijaknya. Bila Datuk tegakkan badan, di tangannya terlekap sepotong besi yang panjangnya kira-kira enam inci. Besi itu sudah berkarat dan bentuknya bulat kecil, kira-kira sebesar ibu jari tangan orang dewasa.
"Tulang mawas agaknya tuk?"
"Bukan."
"Kalau bukan besi apa pula tuk?"
"Inilah yang aku fikirkan."
Datuk terus duduk di tanah. Besi itu terus ditelitinya. Ketika itu matahari sudah agak condong kedudukannya. Dalam perkiraan saya, jika matahari itu bergerak atau tergelincir dari kedudukannya dalam jarak dua jengkal bererti waktu Asar sudah tiba. Saya mencadangkan pada Datuk supaya pulang saja ke tempat asal (tempat bermalam yang dicadangkan oleh Mamat Bukit). Datuk menolak cadangan saya itu, dia masih mahu mencari rotan semambu lagi. Mahu atau tidak, saya terpaksa mengikutinya. Kami terus mara dalam hutan tebal. Tetapi perjalanan yang rancak itu berhenti juga, bila kami berhadapan dengan rangka besi yang bentuknya macam ekor ikan paus tersadai di satu kawasan.
"Rangka bas tuk."
"Bukan. Aku tengok macam ekor kapal terbang”, balas Datuk. Dia terus menghampiri ekor kapal terbang sambil mengetuk-ngetuknya dengan belakang parang. Pada bahagian ekor yang terpacak ke atas terdapat nombor. Manakala pada bahagian tepinya (badan) terdapat perkataan ‘The Air Transport Command’ serta ‘The US Army Air Force'. Perkataan itu terus melekat di kepala saya hingga kini.
Seluruh kawasan itu kami periksa dengan teliti, begitu juga dengan bahagian dalamnya. Semua alat di dalamnya masih baik. Tanpa mengusik sesuatu kami meninggalkan rangka kapal terbang itu. Kami mengambil keputusan untuk pulang ke tempat asal. Bila sampai di tempat Datuk mengambil rotan semambu tadi, dilihatnya tiga batang rotan semambu yang dipilihnya masih berada di situ. Tanpa berfikir panjang Datuk terus mengambilnya, kemudian kami mandi di sungai.
Bila kami sampai ke tempat mula-mula tiba tadi, Mamat Bukit dan kawan-kawan sudah ada, malah mereka sudah pun membuat bangsal kecil untuk bermalam. Beberapa longgokan rotan seni terdapat di situ.
"Sebelah sana, ada alur air untuk mandi dan ambil air sembahyang. Airnya jernih yang datang dari gunung”, kata Mamat pada Datuk. Alur ialah aliran air atau parit kecil yang airnya sentiasa mengalir. Datuk senang dengan penerangan Mamat Bukit. Dia terus ke situ mengambil air sembahyang.
Setelah selesai menunaikan sembahyang Asar, saya terus berborak dengan kawan-kawan Mamat Bukit. Macam-macam hal yang kami kisahkan. Tetapi Datuk tetap merahsiakan kejadian ganjil yang dialaminya ketika mengambil rotan semambu tadi.
"Kami jumpa bangkai kapal terbang orang putih”, ujar Samad Perang sambil menunjukkan barang-barang yang diambilnya dari bangkai kapal terbang. Antara barang-barang itu ialah tiga biji topi yang ada lambang tentera, dua bekas air, selimut, dua pasang sepatu kulit, pisau, serta buku catatan.

KARYA : MOHD ZUHAIRY
CP BY ADMIN A.D
CGCZONE BRUNEI
theHORRORZONE BRUNEI

KOLEKSI CERITA SERAM MELAYU - #SEASON2
TAJUK CERITA : GHAIB DALAM BAS
KARYA : MOHD ZUHAIRY
CP BY ADMIN A.D
CGCZONE BRUNEI
theHORRORZONE BRUNEI
http://thehorrorzon.blogspot.com/2020/04/koleksi-cerita-seram-melayu-season2.html
KODE : 2000027509400004

Saya kira, tidak ada perlu Datuk fikirkan. Sembahyang Subuh sudah ditunaikan. Mandi embun sudah dilakukan. Malah, kawasan rumah arwah Mahyuddin sudah kelilingi sebanyak tujuh kali. Empat penjuru kawasan rumah tersebut sudah ditanam dengan dahan pokok delima yang dipotong sepanjang enam inci.
"Tujuannya bukan apa-apa, cuma nak mengelakkan orang-orang yang tidak bertanggungjawab dari membuat perkara tak senonoh. Maklumlah semua orang tahu, arwah Mahyuddin bukan sebarang orang, mana tahu ada orang yang cuba menuju tempat tidurnya, minta itu minta ini, kerja syaitan dan maksiat begini cepat mempengaruhi fikiran orang-orang kita, lebih-lebih lagi kerja maksiat tu boleh mendatangkan wang ringgit.", Datuk menjelaskan tentang perkara yang di bualnya pada saya.
Datuk terus duduk di batang kelapa buruk di sudut kanan halaman rumah. Saya terus memperhatikan beberapa ekor burung merak melompat dari dahan ke dahan di pohon mempelam.
"Datuk awak di mana?”
Saya dikejutkan oleh suara Dumba.
"Itu, Datuk atas batang kelapa." Jari telunjuk saya menuding ke arah Datuk.
"Tengok burung, di sini memang banyak burung”, anak angkat Mahyuddin mencelah, kemudian terus mengekori Dumba menuju ke tempat Datuk.
Saya capai sepotong kayu lalu membaling ke arah burung yang hinggap di ranting. Saya ketawa melihat burung-burung itu berterbangan. Kemudian, saya berlari mendapatkan Datuk. Saya lihat kelopak mata Dumba berair, begitu juga dengan kelopak mata anak angkat Mahyuddin. Datuk menggigit bibir, sesekali menggosok pangkal hidung dengan ibu jari. Di wajah Datuk tergambar kesedihan.
"Muktamad, sebelum masuk waktu Zuhur kami berdua akan meninggalkan tempat ini”, ujar Datuk dan sepasang matanya silih berganti merenung muka Dumba dan anak angkat Mahyuddin.
"Bagaimana kalau bertolak lepas Zuhur?”, Dumba mengajukan cadangan.
Mengikut petua dan langkah, hari ini mesti bertolak sebelum Zuhur baru terlepas dari bencana buruk, petua peninggalan nenek moyang kita tak rugi diikuti, ini merupakan warisan”, jawab Datuk.
Dalam masa yang sama, saya sempat menjeling ke arah jam yang terlekat di tangan anak angkat Dumba. Jarum panjangnya menunjuk angka dua belas dan jarum pendeknya mengarah ke angka tujuh.
"Kalau sudah balik, bila pula nak datang ke sini lagi?”, anak angkat Mahyuddin mengeluarkan pertanyaan. Datuk tersenyum sambil merenung wajah Dumba.
"Kalau panjang umur dan diizinkan Allah yang Maha Kuasa, saya akan datang juga ke sini."
"Dengan kehendak Allah juga kita bertemu dan awak lerusaha mem betulkan kesilapan yang saya lakukan."
Dengan mendadak Dumba meningkah cakap Datuk. Semua yang ada di situ terus ketawa. Bila ketawa berakhir, aya lihat lagi sekali Datuk merenung bumi agak lama. BiIa kepalanya diluruskan, saya lihat matanya merah. Tahulah saya bahawa Datuk menahan air matanya membasahi kulit pipinya.
"Memang tidak pernah terfikir dalam hidup ini yang saya akan berjumpa dengan orang-orang di sini, kemudian menetap di sini hampir dua minggu, semuanya terjadi atas kehendak Allah”, nada suara Datuk tersekat-sekat.
Dumba terus menerpa pada Datuk. Mereka berpeluk-pelukan sejenak. Bila Dumba melepaskan lingkaran tangannya dari tubuh, anak angkat Mahyuddin segera berjabat salam dengan Datuk.
"Mari ke rumah saya untuk makan pagi?”, bisik anak angkat Mahyuddin.
"Terima kasih lain kali saja”,balas Datuk sambil mengajak kami naik ke rumah arwah Mahyuddin. Semuanya tidak membantah. Bila berada dalam rumah, Datuk mengarahkan anak angkat Mahyuddin mengarnbil beberapa helai kain pelikat, sehelai sejadah serta sekeping tikar mengkuang panjang dua belas. Barang-barang itu Datuk suruh hantarkan kc masjid untuk digunakan oleh ramai yang berjemaah di situ. Datuk juga minta anak angkatnya menyelesaikan hutang-piutang Mahyuddin, sekiranya dia ada berhutang ketika hayatnya.
"Peti hitam dah tak ada tuk”, kata saya bila melihat tempat peti hitam itu kosong. Datuk terdiam sejenak, kemudian dia senyum.
"Kembali pada yang hak”, pendek Datuk menjawab.
"Ada perca kain kuning tiga segi di tempat peti hitam tuk."
"Biarkan. Orang yang berhak memberitahu kita dia sudah mengambil haknya”
Selesai sahaja Datuk berkata, perca kain itu melayang-layang macam ditiup angin, sedangkan angin tidak bertiup ketika itu. Perca kain itu bergerak menuju ke tingkap dan akhirnya hilang.
Apa yang saya lihat itu, dilihat juga oleh Dumba dan anak angkat Mahyuddin. Dan kehilangan peti hitam itu juga disedari oleh anak angkat Mahyuddin tetapi dia tidak kelihatan cemas.
"Ayah dah beritahu saya, katanya, peti hitam dan isinya akan hilang bila dia mati. Ayahnya juga berhasral unlllk memberikan isi peti hitam pada saya."
"Kau dapat isinya'?", celah Datuk.
"Tak dapat. Sebenarnya, kalau tak dapat, kata ayah, saya tak cukup syarat. Tetapi ayah berjanji sebelum dia mati barang dalam peti hitam akan diberikan pada orang yang difikirkannya layak”, terang anak angkat Mahyuddin lagi.
Datuk tidak bertanya lebih lanjut lagi tentang perkara itu pada anak angkatnya Mahyuddin. Datuk mengajak kami keluar dari rumah dan duduk kembali di halaman. Saya sudah pun membimbit beg rotan empat segi. Di dalamnya termuat beberapa helai pakaian saya dan Datuk. Semuanya sudah saya basuh semalam.
Mungkin dalam petua Datuk, ketika matahari sudah berada di paras pucuk kelapa dara serta tiupan angin lembut dari arah selatan, adalah saat paling baik untuk memulakan perjalanan. Lagi sekali Datuk berjabat salam dengan Dumba. Saya lihat Dumba tidak dapat menahan kesedihan.
"Awak banyak menolong saya dan menyedarkan saya”, kata Dumba.
"Bukan saya. Allah yang membuka hati awak. Saya cuma berusaha”, balas Datuk sambil merangkum tangan.
Saya dan Datuk pun mula mengatur langkah. Sampai dekat pokok macang (bacang) di liku jalan, dua orang lelaki muncul dengan pakaian yang agak kotor. Baju dan seluarnya terdapat kesan-kesan getah yang sudah keras. Mereka menahan Datuk dan saya.
"Kenapa?", suara Datuk lembut.
"Tolong kami."
"Tolong apa? Nak minta tolong toreh getah?”, tanya saya.
Sesungguhnya, saya kurang senang dengan kedatangan dua manusia itu. Mereka mengganggu perjalanan saya dan Datuk untuk segera pulang.
"Jangan biadap. Mana budi bahasa kamu sebagai Melayu?”, telapak tangan kanan Datuk menekan pipi kanan saya. Marah sungguh dia dengan sikap saya itu. Datuk terus melayan kedua penoreh getah itu.
"Kami ni selesai menoreh kira-kira pukul tujuh pagi, sementara menanti getah berhenti menitik dalam mangkuk, kami pergi ke kubur Mahyuddin”, terang penoreh yang berbadan kurus.
Dari jauh saya nampak Dumba dan anak angkat Mahyuddin menuju ke arah saya dan Datuk.
"Apa yang nak kamu cari di kuburnya?”, Datuk jegilkan biji mata. Kedua lelaki itu tersengih. Mereka kelihatan serba salah.
"Apa yang kau orang nak cari di sana?", soal Datuk lagi.
"Mahyuddin tu banyak ilmu dunia. Kami nak cari sesuatu darinya”, sahut lelaki yang berbadan kurus.
"Habis, dapat apa yang kamu cari?"
"Huh, kami jumpa harimau atas kuburnya."
"Apa yang kau orang dapat dari harimau tu?"
"Kami takut, lalu lari”, sahut lelaki yang bermata sipit.
Datuk menggigit bibir sambil merenung muka dua lelaki itu.
"Aku tahu, kau orang mahu meninjau. Kemudian kau orang nak menurun nombor ekor di kuburnya”, nada suara Datuk meninggi. Kedua lelaki itu anggukkan kepala, mengakui apa yang Datuk katakan itu. Ketika itu juga anak angkat Mahyuddin dan Dumba sampai. Datuk terus menceritakan apa yang berlaku.
"Biadab, tidak tahu menghormati perasaan orang lain”, tiba-tiba tercetus ungkapan dari mulut anak angkat Mahyuddin.
"Sabar”, pekik Datuk lalu menangkap pergelangan tangan anak angkat Mahyuddin yang mahu melepaskan penumbuk ke muka salah seorang daripada lelaki itu. Badan anak angkat Mahyuddin kelihatan menggeletar menahan perasaan marah.
"Memang, dia orang dagang, tapi,aku anak angkatnya, apa kau orang berdua tidak memikirkan perasaan aku? Apa rasa hati kamu berdua kalau kubur saudara-mara kamu dipermainkan begitu,” anak angkat Mahyuddin terus meluahkan perasaannya.
Saya kira, kalau Datuk tidak ada di situ, pasti berlaku pertengkaran.
“Sudahlah, lupakan semuanya itu”, Datuk memujuk. Dan lelaki itu segera meminta maaf pada anak angkat Mahyuddin. Dada saya terasa lapang, bila anak angkat Mahyuddin bersedia memaafkan perbuatan kedua lelaki itu. Kemudian Datuk menyuruh kedua lelaki itu pergi ke kebun getah untuk mengutip susu getah.
“Kami takut”, ujar kedua lelaki itu serentak.
“Takut apa?”, soal Dumba.
“Takut harimau”
“Pergilah, tak apa. Kalau kau orang tidak berniat serong .Tetapi kalau berhajat nak menurun nombor ekor di situ, batang tengkuk kau orang akan dipatahkan oleh harimau itu”, kata Datuk.
Ternyata, kedua lelaki itu enggan beredar. Mereka tidak yakin dengan apa yang Datuk katakan itu.
“Apa tunggu lagi, pergilah buat kerja”, Dumba bersuara. Kedua lelaki itu berpandangan sama sendiri, sesekali menoleh ke arah kebun getah, macam mengawasi sesuatu.
“Aku nak balik aje”, tiba-tiba yang berbadan kurus bersuara.
Biji matanya tertumpu ke wajah Datuk. Kemudian, dia terus melangkah dengan diikuti oleh kawannya. Datuk segera memintas di hadapan mereka hingga langkah mereka mati.
“Ingat, jangan cuba menurun di kubur atau di pangkal pokok kerana mahu menikam nombor ekor. Itu perbuatan orang syirik. Carilah rezeki cara yang halal, nanti hidup di berkati Allah”, ujar Datuk dengan nada suara yang rendah.
Kedua lelaki itu anggukkan kepala. Datuk langkah setapak ke depan sambil mendepangkan kedua belah tangannya.
“Ingat”, jerit Datuk serentak dengan itu kedua belah tangannya singgah ke atas bahu lelaki itu. Saya menarik nafas panjang, bila saya lihat Datuk menekan bahu kedua lelaki tersebut. Tekanan yang Datuk lakukan itu, saya kira cukup kuat, kalau tidak masakan wajah kedua lelaki itu macam menahan kesakitan. Datuk jatuhkan kedua belah tangannya dari atas bahu kedua lelaki itu. Datuk terus membongkok lalu mengambil sekepal tanah.
"Kamu tahu, asal kita semua dari tanah, ambil tanah ini”, ujar Datuk lalu menyerahkan kepalan tanah di tangannya kepada kedua lelaki itu. Macam kena pukau, kedua lelaki itu menahan tangan, menerima tanah yang diberikan oleh Datuk.
"Bawa”, sahut kedua lelaki itu serentak.
Mereka renung muka saya sejenak, kemudian mengalihkan biji mata merenung wajah Dumba dan anak angkat Mahyuddin. Tanpa mengucapkan sesuatu, mereka melangkah menuju ke kebun getah meneruskan kerja masing-masing.
"Apa azimat yang diberi pada mereka?”, soal Dumba pada Datuk.
"Azimat?"
"Azimat apa yang awak beri pada mereka”, ulang Dumba.
"Dalam hidup ni, tidak ada azimat. Aku cuma memberi sekepal tanah biasa yang tidak membawa apa-apa makna pada mereka. Tetapi, aku yakin mereka merasakan tanah itu sebagai tangkal yang boleh menghalau harimau."
"Jadi awak menipu mereka?", sanggah anak angkat Mahyuddin sambil tersenyum sinis.
Datuk menggigit bibirnya sambil mata merenung pada pohon getah yang berbaris di hadapannya.
"Aku tidak menipu, apa yang aku lakukan adalah petua orang tua-tua. Manusia yang sedang takut, kalau kita sergah dengan sekuat hati akan jadi berani. Lebih-lebih lagi selepas disergah, kita berikan sesuatu yang kita kirakan boleh memberi kepercayaan atau semangat pada mereka”, Datuk membocorkan rahsianya.
Menurut Datuk, ketika menyerahkan benda-benda itu mesti cepat dilakukan. Jangan beri kesempatan pada orang yang menerimanya bertanya sesuatu kepada orang yang memberi. Bila orang itu sudah bertanya, pasti menimbulkan keraguan dalam dirinya. Bila sudah ada keraguan dalam dirinya, semangatnya tidak akan padu lagi dan boleh menimbulkan rasa waswas.
Terkejut anak angkat Mahyuddin dan Dumba mendengar penjelasan itu.
"Sebab itulah, orang-orang Melayu dulu, kalau memilih panglima perang, terdiri dari orang yang suara garang. Berbadan tegap dan pintar, kerana orang-orang seperti itu boleh memberi semangat pada anak buahnya. Dari itu lah timbulnya tangkal dan azimat di kalangan orang-orang kita yang kononnya boleh membuat seseorang itu kebal”, sambung Datuk lagi.
Saya tersenyum. Dumba saya lihat gelengkan kepala.
"Tetapi, semuanya itu ada sesuatu yang sengaja awak tak beritahu pada kami”, anak angkat Mahyuddin mula mencungkil rahsia diri Datuk.
"Tak ada apa-apa. Mana ada azimat dalam Islam. Para sahabat nabi berjuang menentang musuh tidak pakai azimat tetapi mereka berbekalkan semangat dan keyakinan. Mereka berjuang penuh semangat untuk menegakkan Islam. Mereka yakin, mereka tidak akan mati kalau tidak diizinkan Allah yang Maha Besar”, kata-kata yang Datuk ucapkan itu membuat anak angkat Mahyuddin dan Dumba tidak mengajukan sebarang pertanyaan lagi.
"Mari”, Datuk menarik tangan saya.
"Ke mana tuk'?"
"Hai, baliklah, ke mana lagi?"
Saya pun melangkah menuju ke jalan raya. Dumba dan Mahyuddin terus mengiringi kami. Lebih kurang sepuluh minit berjalan, kami pun sampai ke bibir jalan raya. Berdiri di situ menunggu bas yang mahu pergi ke Tanjung Malim.
Matahari terus bersinar. Bas yang dinanti belum juga tiba. Saya sudah tidak sanggup berdiri dan terus duduk di atas seketul batu.
"Bas”, kata Dumba. Saya segera melompat untuk menaiki bas. Bas pun berhenti, dan saya melangkah ke dalam perut bas. Datuk masih lagi berdiri di tepi jalan. Perbuatannya itu kurang disenangi oleh penjual tiket bas yang berbangsa Cina. Penjual tiket terus memukul alat penekan lubang tiket ke besi bas, memberitahu Datuk supaya segera naik.
"Hai orang tua cepatlah. Ini bas bukan sendiri punya”, sergah penjual tiket bas. Pemandu bas yang berbadan tegap membunyikan hon bas.
"Hei cepatlah”, pekik pemandu bas yang berbangsa India itu, sambil memaki-maki Datuk. Saya mula terasa takut dan terus duduk di bangku. Tidak ada penumpang di dalam bas.
"Sekejap Encik”, kata Datuk.
"Apa lu ingat ini bas lu punya ke?”, sergah pemandu bas dengan wajah yang garang. Datuk tersenyum padanya sambil mengangkat tangan tanda minta maaf. Rupanya, sikap baik yang Datuk ditunjukkan itu menambahkan rasa marah pada penjual tiket bas.
"Eh, bodoh naiklah”, sergah penjual tiket.
"Encik, saya tahu saya salah, tapi cakaplah baik-baik sikit”, balas Datuk.
"Apa lu ingat lu besar”, jawab penjual tiket.
"Saya tak besar, tapi Tuhan lagi besar dari semua tau”, suara Datuk mula meninggi.
Dinding bas terus ditamparnya, serentak dengan itu enjin bas terus mati. Saya turun dari bas. Berdiri dekat Datuk yang buat tidak tahu dengan apa yang berlaku. Muka pemandu bas dan penjual tiket mula dibasahi peluh dalam sinar panas mula terik.
"Satu perkara yang mahu aku ingatkan pada kamu berdua, jangan cemas bila melihat harimau berkeliaran di halaman rumah arwah Mahyuddin selama tiga petang berturut-turut. Lepas tiga hari harimau itu akan hilang. Tolong perhatikan kubur Mahyuddin jangan sampai dikeramatkan oleh orang-orang tertentu”, Datuk meninggalkan pesan pada Dumba dan anak angkat Mahyuddin. Mereka bersalaman dan berpeluk-pelukan.
Datuk pijak tangga bas, begitu juga dengan saya. Kami duduk di bangku belakang pemandu bas.
"Apa pasal tak jalan?", tanya Datuk pada pemandu bas yang sedang terbongkok-bongkok dengan stereng bas. Pemandu bas segera merenung muka Datuk dengan wajah yang masam. Dia menggigit bibir.
"Saya panas, jalanlah apa tunggu lagi”, Datuk merungut dan rungutan itu didengar oleh penjual tiket yang berdiri dekat Datuk.
Dia pun menghempaskan papan tiket atas bangku, dan memperlihatkan rasa marahnya yang amat sangat pada Datuk.
Kalau Datuk menegur atau bersuara, pasti dia bersedia melakukan sesuatu. Datuk bangun dan menepuk bahu penjual tiket.
"Saya tolong awak hidupkan enjin bas”, ujar Datuk. Penjual tiket dan pemandu bas menjuihkan bibir ke depan sambil merenung sinis pada Datuk.
"Sudahlah, lu apa tahu”, ejek pemandu bas.
"Dengan izin Allah, saya boleh menolong awak”, balas Datuk lalu memukul kepala gear bas yang tertonjol di situ. Sebaik sahaja Datuk melakukannya, enjin bas segera hidup. Pemandu bas terkejut dan terus mematikan suis bas, kemudian menghidupkan kembali. Ternyata enjin bas berjalan dengan baik.
Tanpa mengucapkan sesuatu, pemandu bas duduk kembali di tempatnya lalu menekan minyak dan menolak gear satu, bas pun meluncur dengan tenang. Saya dan Datuk melambaikan tangan pada anak angkat Mahyuddin dan Dumba. Saya terasa ada sesuatu yang aneh berlaku dalam bas. Penjual tiket tidak meminta wang pada Datuk walaupun bas itu sudah berjalan hampir tiga batu. Sampai di satu selekoh bas berhenti kerana mengambil orang. Ketika orang itu naik, Datuk segera bangun.
"Saya turun di sini, cucu saya saja yang naik bas sampai ke Tanjung Malim. Ini tambangnya”, Datuk menghulurkan wang pada penjual tiket. Dalam keadaan serba salah penjual tiket mengambil wang dari tangan Datuk, tetapi, wang itu diserahkan pada saya kembali tanpa pengetahuan Datuk. Bas terus berjalan, Datuk melambaikan tangan pada saya.
"Apa pasal tak ambil tambang?", tanya saya pada penjual tiket.
"Tak apa, lu duduk. Kalau ada inspektor tiket datang, saya boleh cakap."
"Nanti Datuk saya marah sama saya."
"Dia mana tahu, dia sudah turun."
"Betul, awak cakap”, balas saya. Penjual tiket itu terus ketawa. Bas berhenti lagi mengambil penumpang. Saya perhatikan hampir separuh bangku dalam bas sudah dipenuhi dengan penumpang. Dan bas kian kerap berhenti lagi mengambil penumpang. Tekak saya mula terasa loya kerana tidak tahan dengan bau minyak diesel. Bagi menghilangkan rasa loya itu saya tekan perut dengan tangan. Akhirnya, saya terlelap. Bila saya terjaga, bas sudah berhenti di perhentian Tanjung Malim. Dua tiga kali saya gosok mata. Saya biarkan penumpang-penumpang lain turun dulu. Biarlah saya turun kemudian. Pemandu dan penjual tiket masih berdiri di tempat masing-masing. Semua penumpang sudah turun. Dada saya mula berdebar. Saya renung wajah penjual tiket.
"Turunlah apa tunggu lagi?", katanya pada saya.
"Tunggu di luarlah. Saya ingat dia tumpang lori, awak tunggu di sana”, ujar penjual tiket sambiI menuding jari telunjuk ke sebuah gerai menjual buah-buahan. Saya terdiam, fikiran saya jadi kelam-kabut. Saya salahkan diri saya sendiri, sepatutnya saya bertanya Datuk, ketika dia turun dari bas tadi. Aneh, semuanya tidak terfikir oleh saya ketika itu. Lagi sekali saya menarik nafas panjang. Kali ini pandangan saya tertumpu ke wajah pemandu bas.
"Lu punya Datuk bodoh punya orang. Sudah naik bas apa pasal mahu turun?”, pemandu bas menyatakan rasa kesalnya. Tiba-tiba wajah pemandu bas jadi pucat, mulutnya terlopong. Matanya tajam merenung ke bahagian belakang bas. Saya segera menoleh, saya juga terkejut besar. Dua tiga kali saya gosokkan mata bagi memastikan apakah yang saya lihat itu satu kenyataan atau khayalan saya saja.
“Tuk”, kata saya.
"Ya, ini memang Datuk kau Tamar, kau tidak berkhayal kau menghadapi kenyataan”, suara Datuk parau. Saya segera menerkam ke arahnya lantas menjabat tangannya. Datuk terus menghampiri pemandu dan penjual tiket.
"Eh, orang tua lu manusia ke hantu?'', tanya penjual tiket penuh rasa curiga. Datuk tersenyum lalu menepuk bahu penjual tiket.
"Saya manusia serupa macam awak”, kata Datuk.
"Tadi, awak turun macam mana awak boleh duduk di belakang?"
"Betul, saya turun. Saya jalan kaki ke sini. Masa bas berhenti di sini, saya naik tapi awak tak nampak”, Datuk memberi penjelasan pada pemandu bas yang menyoal. Saya gosok batang hidung dua tiga kali. Saya tidak tahu kenapa Datuk melakukan semuanya itu.
"Saya buat macam ni, supaya lain kali awak jangan cakap besar dan sombong. Saya mahu awak belajar menghormati orang tua-tua, tidak kira apa bangsa pun, kerana awak juga satu hari akan menjadi tua”, Datuk memulangkan paku buah keras pada pemandu dan penjual tiket. Saya lihat pemandu dan penjual tiket terdiam. Mereka tarik nafas panjang penuh rasa takjub. Saya dan Datuk turun dari bas. Tiba-tiba pemandu dan penjual tiket meluru ke arah Datuk. Kedua belah tangan Datuk mereka sambar untuk dicium, kemudian mereka terus membongkok macam mahu menyembah Datuk.
"Jangan”, kata Datuk sambil menarik tangan kiri dan kanannya. Kemudian Datuk menyuruh mereka menegakkan badan. Mereka patuh dengan cakap Datuk.
"Dalam ajaran Islam, tidak boleh menyembah sesama manusia kerana manusia itu adalah sama di sisi Allah, baik dia hitam atau pun putih”, Datuk terus menepuk-nepuk bahu kedua lelaki itu.
"Tapi, awak lain macam punya orang?"
"Lain macam mana?"
"Awak boleh mati dan hidupkan enjin kereta, kemudian awak boleh berjalan laju macam bas."
"Semuanya itu cara kebetulan saja”, kata Datuk tersekat-sekat. Orang ramai mula menghurung Datuk. Pemandu bas itu terus juga mengajukan berbagai-bagai pertanyaan. Semua pertanyaan itu mempunyai unsur-unsur memuja dan mengagumi diri Datuk. Satu perbuatan yang tidak disenangi oleh Datuk.
"Mari”, Datuk terus menarik tangan saya. Kami menyusup di celah-celah orang ramai yang mengelilingi pemandu dan penjual tiket.
"Tengok, tadi orang tua tu ada di sini sekarang dia sudah hilang. Dia banyak ganjil punya orang, saya ingat dia hantu”, suara pemandu bas meninggi.
Orang ramai yang berada di perhentian bas jadi kelam-kabut lalu menuju ke tempat pemandu dan penjual tiket. Tidak lama kemudian suara pemandu bas itu kian menurun dan hilang, digantikan oleh suara ketawa dari orang ramai.
Datuk dan saya hanya melihat peristiwa yang melucukan dari jarak dekat, kira-kira lima atau sepuluh kaki saja jaraknya dari orang ramai yang mengelilingi pemandu bas. Anehnya, setiap orang yang lalu di hadapan kami bagaikan tidak nampak dengan batang tubuh saya dan Datuk. Seolah-olah kami tidak wujud di situ. Mereka berulang-alik dan kami terpaksa mengelakkan diri dari dilanggar.
"Sebenarnya, aku mahu bercerita panjang pada mereka. Aku mahu menjelaskan kedudukan yang sebenar, bila mereka buat bising aku terpaksa melarikan diri”, keluh Datuk penuh rasa kesal.
"Bagaimana bila orang sudah tidak ada, kita jumpa mereka tuk?"
"Tak payahlah, lain kali saja kalau ada umur aku jumpa mereka."
"Tapi, mereka jadi serba salah tuk, orang menuduh mereka gila."
Datuk memicit pangkal dagunya. Orang ramai yang menghurung pemandu dan penjual tiket mula berkurangan. Dan setiap orang yang meninggalkan kawasan itu menuduh mereka mabuk todi. Akhirnya pemandu dan penjual tiket mula sedar yang perbuatan mereka, adalah perbualan sia-sia. Mereka masuk ke dalam perut bas kembali, kerana bangku-bangku kosong dalam bas sudah dipenuhi dengan para penumpang.
"Syukurlah, keadaan sudah tenang”, kata Datuk.
Tanpa banyak soal saya terus mengekori Datuk menuju ke jalan besar. Ketika kami berjalan di kaki lima bangunan di situ, sebuah kereta Morris Minor berwarna hitam berhenti. Seorang lelaki keluar dari kereta tersebut dan meluru ke arah Datuk.
"Kenal saya?", kala lelaki itu.
"Rasanya, saya kenal."
"Bukan rasa, memang dah kenal. Bukankah awak yang menolong anak saya dulu."
"Oh, bagaimana dengan anak awak?"
"Sudah jadi manusia. Awak nak ke mana ni?"
"Saya sebenarnya nak ke Ipoh."
"Begini”, lelaki itu tidak meneruskan perkataannya. Ada semacam keraguan bermain dalam kepalanya. Dia nampak keberatan untuk menyatakan sesuatu pada Datuk.
"Terangkan pada saya”, Datuk mendesak. Lelaki itu mempamerkan senyum. Dengan nada suara yang lemah dia berkala:
"Saya tak dapat nak menolong awak. Saya tak dapat nak menghantar awak hingga ke Ipoh."
"Itu yang awak susahkan, saya tak minta awak berbuat begitu."
"Saya tahu, awak sudah menolong saya. Alangkah baiknya dalam saat begini saya boleh menolong awak."
"Jangan begitu. Setiap pertolongan yang saya berikan tidak minta dibalas”, suara Datuk cukup tenang. Lelaki itu tunduk merenung simen kaki lima.
"Saya mahu ke Sungkai. Bagaimana kalau awak berdua menumpang saya sampai ke Sungkai?"
"Boleh juga”, balas Datuk.
Tanpa membuang masa, saya dan Datuk masuk ke perut kereta. Sepanjang perjalanan itu, lelaki tersebut tidak putus-putus melahirkan rasa kesalnya kerana tidak dapat menghantar Datuk hingga ke Ipoh.
"Kalau saya tak ada hal mustahak di Sungkai, saya hantar awak hingga ke Ipoh. Jasa awak menolong anak saya dulu, belum dapat saya balas”, lelaki itu terus mengeluh sambil memaut stereng kereta erat-erat.
Saya yang duduk di bahagian belakang kereta, terus melihat pokok-pokok dan bukit-bukau yang tertegun di kiri kanan jalan. Satu pemandangan yang amat mengasyikkan buat saya. Seronok benar saya melihat daun-daun pokok yang menghijau itu.
"Awak tak usah sebut-sebut lagi perkahwinan itu. Bersyukurlah pada Allah kerana anak awak sudah baik. Awak tak perlu memikirkan untuk membalas jasa saya”, cara mendadak Datuk bersuara.

KARYA : MOHD ZUHAIRY
CP BY ADMIN A.D
CGCZONE BRUNEI
theHORRORZONE BRUNEI

KOLEKSI CERITA SERAM MELAYU - #SEASON2
TAJUK CERITA : DI SERANG KUCING HITAM
KARYA : MOHD ZUHAIRY
CP BY ADMIN A.D
CGCZONE BRUNEI
theHORRORZONE BRUNEI
http://thehorrorzon.blogspot.com/2020/04/koleksi-cerita-seram-melayu-season2.html
KODE : 2000027509400005

Kami bertiga terus menuju ke Balai Polis. Sarjan 1000 menyambut kami dengan wajah yang riang. Setelah Datuk bercakap-cakap sebentar dengan Sarjan 1000, kami terus menuju ke tebing sungai. Sarjan 1000 memerintah seorang anggota polis keturunan India menemani kami ke tempat tersebut.
Sampai sahaja di tebing sungai, Datuk terus berdiri tempat ia bertinggung waktu siang tadi. Saya disuruhnya berdiri dekat pokok besar. Manakala Tajuddin dan anggota polis keturunan India pula berdiri tidak jauh dari saya.
Dua tiga kali saya menampar nyamuk yang menyerang daun telinga saya. Menampar nyamuk dalam gelap merupakan kerja yang sia-sia. Tidak ada nyamuk yang dapat dibunuh malah nyamuk kian banyak datang dan berdengung di keliling telinga.
Saya merenung ke sungai, tidak ada sesuatu yang dapat dilihat semuanya nampak hitam belaka, Sekali-sekala saya terpandang cahaya pelita berkelip-kelip di seberang sungai. Sudah hampir lima belas minit berdiri, Datuk tidak memperlihatkan kesungguhannya untuk menjalankan tugas. Ia kelihatan macam orang mengelamun tidak tentu arah.
Apa yang Datuk lakukan itu memang tidak saya senangi. Saya sudah tidak mampu untuk menyerahkan badan saya pada nyamuk di dalam gelap. Telinga saya sudah tidak mampu mendengar suara cengkerik dan katak. Mata juga sudah tidak terdaya merenung kegelapan.
Bila kepala didongakkan ke langit, cuma yang nampak kerdipan bintang-bintang. Saya tidak tahu apakah perkara yang saya alami itu dirasai juga oleh Tajuddin dan kawannya.
Darah saya tersirap, sehelai daun menimpa batang tengkuk, sedangkan angin malam tidak bertiup, bulu roma saya terus berdiri, bunyi cengkerik dan katak kian rancak. Datuk masih lagi berdiri merenung ke arah dada sungai yang diselimuti kegelapan.
“Tamar,” suara Datuk separuh keras.
“Ada apa tuk.”
“Nah, bakar lilin ni,” Datuk pun menyerahkan pada saya sebatang lilin dan sekotak mancis. Cahaya lilin itu terus menerangi kawasan sekitar. Anda sendiri dapat membayangkan sejauh mana kekuatan dari cahaya lilin sebatang.
Datuk terus memicit kedua belah lengannya, kemudian kedua belah buah betisnya hingga sampai ke buku lali. Tajuddin dan kawannya segera menghampiri Datuk. Dari cahaya lilin yang samar-samar saya dapat melihat kedua-dua wajah mereka yang didakap keresahan.
“Bila nak dimulakan?” Tajuddin membuka mulut.
“Sekejap lagi kenapa? Kalau kamu rasa jemu kamu boleh balik, biar aku selesaikan sendiri.”
“Bukan begitu, saya rasa dah lama benar kita duduk di sini.”
“Kerja begini mesti sabar,” balas Datuk lalu merenung wajah Tajuddin dan anggota polis keturunan India. Mereka terdiam dan terus duduk dalam lingkungan cahaya lilin.
“Sekarang aku nak mulakan tetapi, ingat pesan aku ni, jangan gunakan lampu picit, kecuali bila kamu mendengar suara aku di tengah sungai,” lagi sekali Datuk merenung anggota keturunan India dan Tajuddin.
Saya lihat mereka anggukkan kepala. Setuju untuk mematuhi cakap Datuk, bila Datuk melangkah, saya terdengar suara kucing mengiau panjang dan saya terasa seram.
“Bunyi kucing,” anggota polis keturunan India bersuara, ia renung muka Tajuddin dan saya. Datuk merenung ke kiri dan ke kanan.
Saya lihat Tajuddin seperti orang serba-salah dan bersedia untuk menggunakan lampu picitnya untuk menyuluh ke arah suara kucing tersebut.
“Aku juga terdengar suara kucing, pedulikan,” Datuk mengingatkan kami. Ia terus melangkah. Saya menoleh ke kanan pada rimbunan pokok kecil yang terdapat di situ. Nafas saya jadi sesak, ada sepasang mata binatang yang kelihatan kemerah-merahan merenung ke arah saya. Serentak dengan itu, saya terdengar ranting-ranting kering seperti dipatah-patahkan oleh manusia.
“Tuk,” saya bersuara separuh cemas.
“Aku tahu apa yang kamu dengar dan lihat, pedulikan perkara tu Tamar,”
“Tapi tuk.”
“Sudah jangan banyak cakap.”
Saya tercengang Datuk meneruskan langkahnya menuruni tebing sungai. Saya jadi tak tentu arah, begitu juga dengan Tajuddin dan anggota polis keturunan India. Datuk sudah pun menyelam. Bunyi deru air sungai yang melanggar ranting dan dahan pohon yang rebah ke sungai cukup jelas.
Dengan tujuan untuk menghilangkan rasa takut, saya, Tajuddin serta seorang anggota polis keturunan India duduk berdekatan, kami mengelilingi cahaya lilin yang memancar samar.
Suara cengkerik terus menyanyi dengan hebat. Perasaan cemas kami terus bertambah cemas bila terdengar suara lolongan anjing liar dari arah pekan Parit.
Daun-daun dan pohon kami berlindung terus berguguran, macam ada tangan manusia yang berusaha menceraikan daun-daun itu dan rantingnya. Paling mencemaskan daun yang gugur itu bukanlah daun yang sudah tua tetapi daun yang masih hijau dan muda.
Suara kucing jantan mengiau muncul dengan mendadak dituruti dengan bunyi kuku kucing menggaru papan. Semuanya muncul dari arah pokok-pokok kecil di sekeliling kami.
Perasaan takut, cemas dan bimbang terus menghantui perasaan kami bertiga. Dua tiga kali Tajuddin mengeluarkan lampu picit dari saku seluarnya. Ia berhasrat mahu menyuluh seluruh kawasan sekeliling.
Tetapi, setiap kali lampu picit berada dalam tangannya, anggota polis keturunan India selalu membisikkan ke telinganya tentang pesan Datuk.
Hidung saya terhidu bau bunga tanjung. Cukup wangi. Dedaun muda terus berguguran. Perhatian dan ingatan saya tidak lagi tertumpu pada Datuk. Suara kucing tetap mengiau. Saya terus mencapai sebatang kayu dengan niat kalau ada binatang melintas di depan, pasti saya pukul. Kami terus duduk berhimpit-himpit.
“Pukul berapa sekarang?” Tanya anggota polis keturunan India pada Tajuddin. Cepat-cepat Tajuddin melihat jam di tangan.
“Pukul dua belas, Maniam.”
“Patutlah aku terasa air embun.”
“Saya juga kena titis embun,” kata saya.
Serentak kami menoleh ke belakang kerana terdengar bunyi kaki binatang memijak daun-daun kering. Dari cahaya lilin yang samar-samar itu, kami melihat seekor kucing hitam yang menjilat bulunya. Sesekali kucing itu membuka mulutnya melihatkan taringnya yang putih tajam pada kami.
Dalam keadaan yang gelap itu saya terdengar Tajuddin menjerit. Saya segera mengeluarkan mancis dan menyalakan lilin yang padam.
Saya terkejut melihat tangan kanan Tajuddin yang berdarah.
“Dicakar kucing” Maniam (anggota polis keturunan India) memberitahu saya. Tanpa membuang masa lagi saya terus mengoyakkan hujung baju saya. Dengan cebisan kain itu saya mengesat darah di lengan Tajuddin.
Belum pun selesai saya mengesat darah di lengan Tajuddin, terdengar bunyi tapak kaki orang berlari yang jaraknya tidak begitu jauh dari pohon tempat kami duduk. Bau bunga Tanjung kian menjadi-jadi. Lolongan anjing bersahut-sahutan, Suara cengkerik kian hebat.
Kami terus rapat ke perdu pokok. Kami menanti orang yang berlari dalam gelap itu menghampiri kami. Bunyi tapak kaki itu terus hilang digantikan dengan bunyi orang menggali tanah kubur dan bunyi orang mengoyakkan kain.
“Kucing hitam,” kata Maniam, seekor kucing hitam tercegat di depan kami sambil membuka mulut, lidahnya menjilat daun-daun kering di depannya. Matanya memancarkan cahaya merah macam bara.
Tajuddin segera berlindung di belakang Maniam. Dari cahaya lilin, saya lihat kucing itu melengkungkan badannya sambil mengiau garang, misainya kelihatan keras dan tajam.
Kami bertiga terpaku dan tidak tahu untuk berbuat apa-apa bila melihat kucing hitam itu mengembangkan bulunya sambil menjelirkan lidahnya yang panjang. Ekornya ditegakkan. Bentuk kucing itu agak besar dari kucing biasa. Bentuk mukanya amat menyeramkan dan biji matanya agak besar.
Kucing itu mengiau garang dan terus menerkam ke arah Maniam dengan pantas sekali. Maniam tidak sempat mengelak dan kucing hitam itu membenamkan kukunya ke kulit pipi Maniam. Cepat-cepat Maniam meraba kulit mukanya yang dicakar oleh kucing hitam.
Dalam keadaan yang tak tentu arah itu kucing tersebut menyerang ke arah Maniam lagi sekali. Tetapi, kali ini Maniam sempat mengelak dan melepaskan satu penumbuk ke arah kucing hingga terpelanting.
Darah dan muka Maniam terus menitis atas daun-daun kering. Maniam mengeluarkan sapu tangan dari seluarnya dan terus mengesat darah di wajahnya.
Saya tidak tahu sama sekali, macam mana kucing hitam yang terpelanting jauh itu boleh berada di depan Maniam dan Tajuddin. Kucing hitam itu berlegar-legar di situ sambil menjilat kesan darah yang melekat di daun kering. Saya tidak tahu, apa yang harus saya lakukan.
“Sial, kucing sial,” jerkah saya sambil menghentakkan kaki ke bumi. Tidak saya duga sama sekali perbuatan itu menjadikan kucing hitam itu bertambah garang. Ia mengiau ganas sambil membukakan mulutnya pada saya. Giginya yang putih tajam kelihatan kemerah-merahan dilekati darah.
Kucing itu memperlihatkan rasa marahnya dengan mencakar-cakar tanah dan kayu yang ada di depannya. Melompat ke sana ke sini seolah-olah memperlihatkan kehebatannya di malam yang kian beransur tua. Kucing itu terus menyerang lengan tangan Tajuddin untuk kali kedua.
Tajuddin terus menjerit dan berusaha dengan sedaya upaya memisahkan gigi kucing yang menggigit lengannya. Usaha Tajuddin itu tidak berhasil, kucing hitam terus menggigit sambil mencakar-cakar tangan Tajuddin. Melihat keadaan yang cemas dan membimbangkan itu, saya segera mencari kayu dan membelasah badan kucing hitam dengan sekuat hati sehingga ia berhenti menggigit daging lengan Tajuddin.
Kali ini kucing hitam yang ganas itu terus menyerang saya. Waktu menyerang Maniam, ia memilih daging pipi sebagai sasaran dan daging lengan menjadi matlamatnya bila menyerang Tajuddin. Bila ia menyerang saya daging paha pula jadi sasaran. Saya terpaksa mempertahankan daging paha saya dari jadi mangsa giginya dengan kayu.
Setiap kali saya menghayunkan kayu ke badannya, kucing itu dapat mengelakkan dan menggunakan kepintarannya menyerang saya dari arah belakang, kanan dan kiri.
Akibatnya saya keletihan dan terhuyung-hayang, ketika itulah kucing yang tidak mengenal belas kasihan mengoyakkan seluar dari daging paha saya hingga berdarah. Saya menjerit dan terus berusaha untuk menewaskannya.
Saya terus mencekik tengkuk kucing dengan sekuat hati. Kedua belah tangan saya terus dicakarnya hingga berdarah. Walaupun begitu saya tidak begitu mudah untuk melepaskan batang lehernya yang saya cekik. Usaha saya kali ini berhasil, kucing itu berhenti menggigit dan mencakar lengan saya.
Sebaik sahaja leher kucing itu saya lepaskan, saya terus jatuh atas tanah. Kucing hitam terus ghaib entah ke mana. Maniam dan Tajuddin segera menghampiri dan menyandarkan saya ke perdu pokok. Tajuddin membukakan baju saya lalu mengikatkan ke paha saya yang luka. Maniam mengesat darah di lengan saya.
Kami mengambil keputusan mengejut untuk pulang ke Balai Polis. Belum pun keputusan itu dilaksanakan, kami terdengar suara Datuk dari tengah sungai. Perasaan kami bertambah lega.
Maniam dan Tajuddin terus menggunakan lampu. Menyuluh kiri kanan, bimbang kalau kucing hitam yang ghaib muncul mendadak.
“Dari mana kucing sial itu datang,” tanya Maniam.
“Entah,” jawab saya.
“Jangan pedulikan semuanya itu, suluh orang yang di tengah sungai,” Tajuddin bersuara, serentak dengan itu juga dua lampu picit memancarkan suluhannya ke sungai. Saya lihat Datuk berenang ke tebing sambil menarik sesuatu.
“Dah jumpa mayat,” Maniam beritahu Tajuddin.
“Agaknya,” jawab Tajuddin. Mereka terus rapat ke tebing dan cahayà lampu picit mereka tetap tertumpu ke arah Datuk.
Saya terus mengumpulkan daun-daun kering dan kayu, kemudian terus membakarnya. Hasil dari usaha itu, kawasan sekitar tebing terang-benderang, memudahkan saya bergerak ke mana-mana. Nyamuk terus lari.
Saya terfikir, kalau kucing hitam itu muncul kembali, saya pasti menggunakan puntung-puntung yang berapi itu untuk menentangnya.
“Mari kita tolong dia,” Maniam terus menarik tangan Tajuddin. Mereka terus menuruni tebing sungai. Saya merasakan diri saya lebih selamat, kalau bersama Tajuddin dan Maniam. Tanpa membuang masa saya terus memburu mereka menuruni tebing sungai yang agak curam.
Badan mula terasa dingin dirempuh angin yang bergerak dari permukaan sungai. Langit tetap cerah bersama gumpalan awan yang bersih. Kami bertiga berdiri di gigi air. Terasa amat sejuk, bila air sungai menyentuh kulit kaki. Tajuddin dan Maniam tetap menghalakan muncung lampu picitnya ke arah Datuk.
“Tolong pangku mayat ni,” Datuk minta bantuan. Maniam dan Tajuddin menyerahkan lampu picit pada saya. Tugas saya sekarang menyuluh ke arah mereka. Tajuddin dan Maniam terus mengharung air sungai, Mereka membantu Datuk memangku mayat Saadun dan dibawa atas tebing.
Mayat Saadun terus dibaringkan atas daun-daun kering. Saya terus mencampakkan ranting dan daun-daun kering dalam unggun api. Datuk menukarkan pakaian yang basah dengan pakaian yang kering. Ia mendiangkan badannya dekat api.
“Biar kami ke balai dulu, melaporkan perkara ni pada Sarjan 1000 dan minta jeep untuk membawa mayat ni ke hospital,” Maniam menyatakan pada Datuk sambil menyandangkan riffle ke bahu. Tajuddin kelihatan cemas sedikit.
“Eloklah tu, tapi sebelum pergi nanti dulu,” kata Datuk lalu memetik beberapa helai dedaun yang hijau berkilat dari pepohon kecil sekitarnya.
Datuk melekapkan dedaun hijau segar ke bahagian badan Tajuddin dan Maniam yang luka akibat digigit dan dicakar oleh kucing hitam.
“Ini untuk menahan bisa, gigi dan kuku kucing cukup bisa, ada jenis daun dan rumput yang boleh digunakan menahan bisanya, perhatikan daun atau rumput yang dimakan kucing bila ia sakit, daun dan rumput tu boleh dijadikan penawar bisanya,” terang Datuk pada Tajuddin dan Maniam.
Mayat Saadun terkapar atas dedaun kering, biji matanya terbeliak dan mulutnya separuh terbuka. Dari kedua belah telinganya meleleh air jernih.
Saya tak berani merenung mayat Saadun lama-lama, bila direnung biji matanya bergerak ke sana sini. Menyorot tiap langkah dan gerak-geri saya.
“Pergilah, biar saya nanti di sini,” ujar Datuk tenang. Maniam, terus melangkah tetapi, Tajuddin masih ragu untuk melangkah, macam ada sesuatu yang ditakutinya.
“Pergilah Tajuddin, dengan izin Allah kamu selamat dalam perjalanan,” kata Datuk. Tajuddin terus melangkah. Meninggalkan saya dan Datuk.
Saya menceritakan pada Datuk apa yang kami alami ketika ia menyelam tadi, Datuk tidak memperlihatkan rasa terkejut atau cemas. Ia hanya tersenyum sambil melipatkan hujung lengan bajunya. Suasana yang agak tenang di malam yang hitam itu diganggu oleh suara kucing yang cukup keras. Datuk mengedutkan dahinya sambil mencampakkan ketul-ketul kayu ke dalam unggun api.
Suara kucing terus meninggi dan nyaring, daun-daun kering nampak bergerak-gerak macam ditolak oleh sesuatu. Ranting-ranting yang bertaburan dekat kaki saya juga bergolek perlahan-lahan. Ada bunyi tapak kaki orang melintas di depan saya tetapi orangnya tidak dapat dilihat.
Kejadian-kejadian begitu amat menakutkan bagi saya. Datuk tetap tenang. Ia tidak tergugat dengan kejadian-kejadian yang saya anggap agak luar biasa itu. Ia cuma menggigit bibir, bila melihat beberapa ekor ulat bulu bergerak ke arahnya. Dengan ranting kayu Datuk menolak ulat-ulat itu ke pangkal pokok.
Beberapa ekor semut api meluru ke arah mayat Saadun. Datuk berusaha menghalau semut-semut api dan memanjat mayat Saadun. Datuk menghalau semut-semut itu dengan daun-daun segar yang dipatahkan dari dahan pokok kecil berhampiran.
“Kucing hitam,” jerit saya.
Seekor kucing hitam muncul dekat unggun api. Kucing itu menyapu-nyapu mukanya dengan kaki depan. Renungannya lembut ke arah Datuk seolah-olah minta simpati, bentuk tubuhnya agak kecil sedikit dari kucing hitam yang mencakar Tajuddin dan Maniam serta saya.
Kucing hitam yang baru muncul ini, tidak memperlihatkan sebarang keanehan, tidak memperlihatkan lidah dan taringnya. Ia kelihatan cukup manja sambil menjilat-jilat tubuh di badannya.
“Kamu sesat, kalau sesat baliklah,” ujar Datuk sambil merenung kucing hitam. Kucing hitam itu mengiau manja, tidak mahu berganjak dari tempat ia duduk.
“Baliklah pada tuan kamu,” suara Datuk keras. Kucing hitam itu menegakkan ekor serta membongkokkan badannya. Bersedia untuk menerkam ke arah Datuk. Saya lihat Datuk menggeliat dan akhirnya menggenggam penumbuk. Ia melangkah dua tapak ke depan macam orang mahu bersilat.
“Balik sebelum kamu binasa,” ujar Datuk lalu membuka silat. Kucing hitam itu terus mengiau garang dan cuba menerkam ke arah Datuk. Cepat-cepat Datuk membongkok lalu mengambil sekepal tanah. Tanah itu dilemparkan ke arah kucing hitam. Terdengar bunyi jeritan kucing hitam yang amat kuat, macam menahan kesakitan kerana ekornya tersepit.
Kucing hitam itu dengan serta-merta ghaib. Datuk terus membersihkan kawasan keliling tempat mayat Saadun. Pada mulanya, ingin saya menyoal Datuk tentang kemunculan kucing hitam yang aneh itu. Malam itu juga mayat Saadun d bawa ke hospital Batu Gajah.
Esoknya, mayat Saadun pun dikebumikan di kampung halamannya. Menurut doktor, Saadun mati akibat salah satu urat di saluran pernafasannya putus seperti dikerat dengan benda tajam. Saadun bukan mati kerana lemas.
Datuk memberitahu saya, mayat Saadun sukar diambil kerana tersepit pada timbunan kayu besar di sebuah lubuk yang dalam. Setiap kali mayat itu ditarik keluar, seluruh sendinya merasa lemah dan tenaganya bagaikan tiada dan pandangannya jadi kabur.
“Boleh jadi perkara tu berlaku, kerana aku terlalu penat dan kurang tidur,” itulah alasan Datuk tetapi, saya merasakan alasan itu sekadar untuk alasan cuma. Datuk bagaikan mahu menyembunyikan sesuatu dari saya. Sesungguhnya saya kurang puas hati dengan cakap Datuk itu. Tunggu, satu waktu yang baik, pasti saya menyoalnya.
Dua minggu setelah pengebumian Saadun, Datuk menemui Sarjan 1000, mengucapkan ribuan terima kasih atas bantuan yang diberikan pada Datuk. Datuk juga menemui Maniam dan Tajuddin. Bengkak di muka Maniam sudah pun beransur surut, begitu juga dengan bengkak di lengan tangan Tajuddin.
Walaupun begitu, mereka menghadapi masalah kerana diganggu oleh kedatangan kucing hitam pada setiap malam.
“Pukul berapa kucing itu datang?” Tanya Datuk pada Tajuddin.
“Tepat pukul dua belas malam, mencakar-cakar dinding rumah hingga ke subuh, kami sekeluarga tak dapat tidur, bila dicari kucing itu tidak nampak.”
“Begini, sebelum kejadian itu, macam mana kamu tahu, kucing itu kucing hitam.”
“Begini, sebelum kejadian tu, saya pernah terserempak dengan kucing hitam ganjil di kaki tangga rumah saya waktu Maghrib kucing itu menyapu-nyapu mukanya dengan ekor, saya pukul dengan pelepah kelapa, sejak itu kami sekeluarga terus diganggu,” jelas Tajuddin pada Datuk.
Maniam pula menceritakan pada Datuk begini: bila ia bekerja malam, ia selalu sahaja diekori oleh kucing hitam dari jarak yang agak dekat, kalau ia tidak hati-hati kucing hitam itu akan menerkam ke arahnya sambil memperlihatkan lidah dan taringnya yang tajam.
“Saya orang bujang yang tidak tinggal di berek, saya takut balik ke rumah saya, setiap kali saya balik dengan basikal kucing itu mengejar saya, pernah saya nak membunuhnya tapi kucing itu bagaikan tahu niat hati saya, sentiasa saja menjauhkan diri dari saya,” Maniam menerangkan pada Datuk. Datuk termenung panjang mendengar cerita aneh dari dua anggota polis itu. Datuk renung muka Maniam dan Tajuddin yang duduk atas batu di depan pintu masuk kawasan ke balai Polis.
Dalam panas terik itu, saya merenung ke arah pasar yang terletak di depan balai. Beberapa orang lelaki dan wanita yang keluar dari perut pasar membawa ikan dan sayur. Saya jeling ke arah jam tangan Tajuddin. Sudah pukul sebelas, patutlah panas terik.
“Pernah tak, kamu terjaga malam dan tengok kucing hitam ada dekat kamu,” pertanyaan itu Datuk tujukan pada Maniam.
“Ada.”
“Apa yang dibuatnya?”
“Kucing itu jilat ibu jari kaki sebelah kanan.”
“Hum, lepas tu apa yang kamu buat?”
“Saya cuba bangun tetapi, tak terdaya, seluruh kaki kanan saya terasa lemah, bila kucing tu bilang, rasa lemah terus hilang.”
“Pelik,” rungut Datuk.
Saya renung muka Tajuddin yang didakap keresahan. Datuk mengecilkan kedua belah mata. Kening lebatnya hampir mahu bertemu. Seluruh muka saya sudah pun diruap peluh-peluh halus.
“Apa yang patut saya buat?” Tanya Maniam mendadak.
“Sabar, dua hari lagi, aku jumpa kamu berdua, kalau dalam tempoh dua hari kucing hitam itu mengganas juga, kau berdua carilah aku,” Datuk memberi pengakuan. Matanya masih mengecil lagi. Saya lihat mata hitamnya tidak bergerak bagaikan melihat sesuatu yang berada dalam jarak yang amat jauh.
Bila melihat Datuk dalam keadaan demikian, saya tidak mengizinkan Maniam atau Tajuddin mengajukan sebarang pertanyaan pada Datuk. Perbuatan itu boleh mengganggu penghayatan Datuk pada sesuatu yang tidak dapat dilihat oleh sesiapa kecuali Datuk sendiri.
Saya segera menulis alamat rumah Datuk pada sekeping kertas. Kertas itu saya serahkan pada Maniam dan Tajuddin. Ketika mereka menatap alamat rumah Datuk di kertas. Cara mengejut sahaja Datuk batuk.
Saya tersengih, batuk itu sebagai tanda amaran yang tugas Datuk sudah berakhir. Datuk renung ke arah saya sejenak. Dia senyum, bagaikan mengucap sejuta terima kasih kerana saya telah membantunya.
“Rahsiakan semuanya ini pada orang lain,” Datuk bersuara lembut. Saya renung muka Maniam dan Tajuddin. Mereka jadi panik. Tidak ada rahsia yang mereka terima dari dauk, tiba-tiba Datuk memberi amaran.
“Maksud aku, alamat rumah aku dan janji aku pada kamu berdua jangan diceritakan pada sesiapa, kalau pesan ini kamu langgar, aku tak dapat membantu kamu berdua,” Datuk menenangkan rasa risau dalam kepala Maniam dan Tajuddin.
“Kami berjanji,” sahut Tajuddin.
“Kalau sudah berjanji, peganglah pada janji,” balas Datuk dalam nada suara yang cukup lembut.
Tajuddin dan Maniam segera bangun. Muka mereka nampak pucat. Kedua-duanya segera mendapatkan Datuk, macam ada sesuatu yang mengikuti mereka. Paling mengejutkan badan kedua-duanya menggeletar, tidak, tentu arah macam orang kesejukan. Aneh macam mana mereka kesejukan dalam pancaran matahari yang garang.
“Kenapa?” Tanya saya.
“Kami dengar suara kucing,” jawab Tajuddin. Saya segera pergi ke longkang, renung kiri, renung kanan. Tidak ada kucing di situ kecuali beberapa ekor katak puru bersembunyi di celah-celah rumput yang tumbuh liar di bibir longkang.
Bau hapak bercampur hanyir dan air longkang yang mengalir lambat itu membuat saya mahu muntah. Saya terus mendapatkan Datuk.
“Tak ada kucing pun,” kata saya.
“Kalau tak ada kucing macam mana boleh ada suara kucing, cuma perasaan kamu berdua saja,” Datuk menyokong saya.
“Saya dengar,” kata Maniam.
“Saya dengar, saya yakin itu suara kucing hitam,” kata Tajuddin.
Dalam keadaan yang membingungkan itu. Seekor kucing hitam muncul di depan kami. Tidak ada seorang yang dapat memastikan dari arah mana kucing hitam itu muncul. Kucing itu menguap di depan kami, memperlihatkan gigi tajam dan lidah panjang yang merah pada kami. Kucing itu menjilat jilat di jarinya.

KARYA : MOHD ZUHAIRY
CP BY ADMIN A.D
CGCZONE BRUNEI
theHORRORZONE BRUNEI


KOLEKSI CERITA SERAM MELAYU - #SEASON2
TAJUK CERITA : PELIHARA ULAT TOKAK
KARYA : MOHD ZUHAIRY
CP BY ADMIN A.D
CGCZONE BRUNEI
theHORRORZONE BRUNEI
http://thehorrorzon.blogspot.com/2020/04/koleksi-cerita-seram-melayu-season2.html
KODE : 2000027509400006

Mujurlah ingatan Datuk itu, sedia dipatuhi oleh Haji Salim. Ia tetap bersikap tenang. Serangan mata parang dari Daud dapat dielakkannya dengan mudah. Tetapi, Daud terus mengasak dan menyerang. Ia tidak nampak penat pun. Makin lama makin bertambah tenaganya. Seluruh badan Daud terus dibasahi oleh peluh.
“Ah, haji laknat,” pekik Daud sambil melompat tinggi ke arah Haji Salim.
Daud melepaskan tetakan pancung ke arah leher Haji Salim. Cepat-cepat Haji Salim merebahkan badannya. Mata parang panjang singgah di papan dinding dan terus melekat di situ.
Daud menarik parang panjangnya dan papan dinding pun terkopak. Ia berpusing ke kanan lalu melakukan serangan kilat. Haji Salim mula terdesak. Ruang untuknya bergerak bagi mempertahankan diri begitu terhad. Daud mahu menggunakan kesempatan itu untuk menamatkan riwayat Haji Salim.
Dalam keadaan yang terdesak itu, Haji Salim masih berjaya menepis serangan dari Daud. Haji Salim berjaya mengguling-gulingkan badannya hingga beralih tempat ke arah pintu keluar. Bila sampai di muka pintu, Haji Salim segera bangun untuk lari keluar. Dalam masa itu Daud melepaskan satu tetakan yang tajam ke arah perut Haji Salim. Waktu Haji Salim mahu mengelakkan serangan itu, mata parang di tangan Daud sempat jatuh ke bahu kanan Haji Salim.
Saya lihat darah membuak keluar dari pangkal bahu kanan Haji Salim. Daud terus ketawa sambil menjilat-jilat kesah darah Haji Salim yang melekat di mata parang panjang. Waktu Daud asyik menjilat-jilat darah itu, Haji Salim menerpa ke arah Daud. Daud ditolaknya hingga jatuh. Datuk keluar dari bawah pelantar dan terus merampas parang panjang dari tangan Daud.
“Kau sudah melampau,” jerkah Datuk pada Daud yang terkial-kial mahu bangun. Haji Salim segera mengambil kain untuk membalut luka di lengannya. Saya pun melangkah ke dalam ruang kerja Haji Salim.
“Mengapa ini kau lakukan pada aku Daud,” Haji Salim renung muka Daud. Saya lihat Daud terus membisu. Ia berdiri kaku sambil menggigit bibirnya. Datuk terus menghampirinya. Dan Daud berusaha dengan sedaya upaya menjauhkan dirinya dari Datuk.
“Ah,” jerit Daud lalu menumbuk pangkal tengkuk Datuk. Datuk terjatuh. Daud sambar parang dari tangan Datuk dan terus bertempik dengan sekuat hati. Daud terus keluar dari ruang tempat kerja, berlari dalam panas yang terik. Suara tempikan Daud mengejutkan penduduk Kampung Mandi Upih.
Sambil berlari Daud terus memarang apa sahaja. Ia mengamuk dengan semahu-mahunya. Pokok pisang, dahan rambutan dan manggis jadi mangsanya. Tidak memadai dengan itu Daud terus membunuh lembu, kambing, ayam serta itik yang ditemuinya.
“Kita tangkap dia,” kata Datuk. Serentak dengan itu, saya dan Haji Salim terus mengikut Datuk memburu Daud yang lari menuju ke Kampung Gaduh. Saya tercungap-cungap dan berhasrat tidak mahu memburunya. Tetapi, Datuk tetap memaksa saya.
Dari Kampung Gaduh, Daud terus memasuki Kampung Bakar Sampah menuju ke Kampung Kilang. Dari Kampung Kilang ia terus mengamuk hingga ke Ulu Licin dan akhirnya menghilangkan diri dalam hutan di Ulu Licin.
Saya, Haji Salim dan Datuk kembali ke tempat asal. Sebaik sahaja kami sampai di rumah Haji Salim, orang-orang kampung sudah berkumpul. Mereka ingin mengetahui apa yang terjadi. Haji Salim terus memberikan penjelasan dengan terperinci. Selesai Haji Salim bercakap, Datuk pula mengambil peranan, memberikan penerangan selanjutnya.
Saya lihat, baik Datuk mahupun Haji Salim tidak membocorkan rahsia diri Daud yang mereka ketahui. Mereka tidak memburuk-burukkan Daud, mereka sekadar berkata bahawa Daud jadi demikian kerana fikirannya terganggu dengan kejadian yang berlaku di kampung.
“Usah bimbang. Baliklah ke rumah masing-masing dan teruskan kerja macam biasa,” beritahu Datuk pada mereka. Semuanya anggukkan kepala tanda setuju.
“Kami harap kalau ada hal-hal yang buruk segera beritahu kami. Kami tidak mahu anak-anak dara sunti kami jadi korban tidak tentu fasal,” cara mendadak salah seorang daripada mereka bersuara.
Orang yang bersuara itu, seorang lelaki tua yang sudah berusia kira-kira lapan puluh tahan, memakai tongkat.
“Mana yang kami tahu, kami khabarkan. Mana yang kami tak tahu, kita serahkan pada Allah. Semoga Allah akan melindungi kita semua,” balas Haji Salim dalam nada suara yang lembut.
Orang-orang kampung puas hati dengan jaminan itu. Mereka pun bersurai.
Anehnya, tidak ada seorang pun yang bertanya tentang lengan kanan Haji Salim yang berbalut. Mungkin mereka tidak nampak atau perasan dengan apa yang ditanggung oleh Haji Salim. Satu hal yang pasti, sama ada Datuk atau Haji Salim tetap merahsiakan kemampuan diri masing-masing di mata orang kampung.
“Bagaimana dengan luka tu masih terasa bisanya?” tanya Datuk pada Haji Salim, bila keadaan suasana sekitar beransur aman.
“Tak apa, esok sembuhlah. Malam ni saya tawar sendiri,” jawab Haji Salim dengan tenang.
“Kalau begitu, biarlah kami pulang,” ujar Datuk.
“Silakan, tapi…,” Haji Salim tidak meneruskan kata-katanya. Ia termenung panjang sambil menatap batang tubuh Datuk, dari atas ke bawah, dari bawah ke atas.
Melihat keadaan Haji Salim yang lain macam itu, Datuk terus mengajukan pertanyaan.
“Kenapa Haji?”
“Saya terasa badan kurang sedap, terasa tiap sendi berdenyut-denyut.”
“Agaknya bisa parang panjang.”
“Bukan.”
“Kalau bukan itu, apa dia?”
“Setiap kali saya teringatkan Daud dan gurunya, badan saya terasa sakit, kepala terasa berpusing.”
“Bukan apa-apa tu, darah terlalu banyak keluar.”
“Boleh jadi betul, boleh jadi tidak cakap awak tu.”
“Terpulanglah pada awak,” balas Datuk. Mereka ketawa serentak dan saya cuma tumpang senyum sahaja.
“Kampung kita dalam bahaya, berhati-hatilah. Lepas sembahyang Zuhur dan Asar, saya nak jumpa awak,” Haji Salim menyambung perbualan yang terputus.
“Jumpa di mana? Di surau atau di rumah saya.”
“Di rumah awak. Ada rahsia yang nak saya cakapkan. Tunggu saja di rumah.”
“Baiklah.”
Saya dan Datuk pun mengatur langkah. Panas yang memancar terik menikam ke kulit muka hingga terasa pedih. Awan kelihatan putih bersih berarak di dada langit. Angin yang bertiup cuma mampu mengerak-gerakkan dedaun tetapi tidak berjaya mengurangkan rasa panas pada diri saya.
Saya terus berjalan mengekori Datuk sambil mata liar memandang ke kiri dan ke kanan, melihat burung merbah dan murai melompat di dahan. Kepala saya terus menggambarkan wajah guru Daud. Aneh, setiap kali saya cuba membayangkan bentuk wajah gurunya, bulu tengkuk saya meremang. Saya merasakan semacam ada orang yang memerhatikan langkah saya dalam perjalanan. Saya terus tidak berani mengingati nama Daud dan gurunya.
MANDI
Kami sampai di rumah. Saya terus mandi, begitu juga dengan Datuk. Kami sembahyang Zuhur, saya disuruh oleh nenek membersihkan kawasan rumah. Pada mulanya saya enggan melakukannya. Bila nenek berjanji mahu memberikan wang sebanyak lima ringgit, saya menyatakan kesanggupan.
Menjelang waktu Asar, seluruh kawasan rumah bersih. Tidak ada daun di halaman, tidak ada dahan atau ranting kayu yang berserakan. Semuanya sudah di kumpul dan dibakar. Semut dan nyamuk habis lari. Ular dan kala terus membawa diri.
Nenek memujuk saya sebagai orang yang rajin. Memang leceh bila nenek memberitahu saya upahnya akan dibayar selepas musim menuai. Saya dan nenek terus bertengkar kecil. Tetapi, saya merasakan pertengkaran kecil itu menguntungkan saya. Sebabnya, lepas bertengkar nenek menaikkan upah dari lima ringgit menjadi tujuh ringgit.
Nenek terus bayar tunai tanpa mahu menanti musim menuai. Ada syarat yang nenek kenakan. Syaratnya bukan susah. Lepas sembahyang Asar nanti, saya dimestikan membelah tujuh batang kayu getah untuk dijadikan kayu api.
Masa itu wang tujuh ringgit cukup tinggi nilainya sama dengan nilai lima belas ringgit sekarang. Saya boleh membeli baju, seluar dan sepasang sepatu getah FUNG KEONG bertapak tebal atau saya boleh pergi ke bandar Taiping menonton filem Melayu dan tidur di hotel kelas rendah.
“Kau pergi sembahyang dulu, lepas sembahyang selesai kerja tu,” ujar nenek. Tanpa membuang masa saya terus mandi dan mengambil air sembahyang. Bila saya masuk ke ruang tengah Datuk sudah pun menanti. Ia menjadi imam dan saya jadi makmumnya.
Setelah memberi salam terakhir, saya hulurkan tangan pada Datuk untuk bersalam. Waktu itu saya terlihat ada seorang lelaki duduk di sisi saya. Ia juga menghulurkan tangan untuk bersalam dengan Datuk. Saya tidak tahu dari mana lelaki itu datang. Ia memakai pakaian serba hijau. Dan serban hijaunya terikat kemas di kepala.
Saya yakin orang inilah yang muncul di depan Datuk kira-kira sebulan yang lalu. Saya tidak menghiraukannya. Datuk menyambut salam dari saya. Dada saya berdebar kerana Datuk tidak terkejut dengan kehadiran orang itu.
Datuk menyambut salam darinya. Tetapi, bila telapak tangannya mahu menyentuh telapak tangan Datuk, cepat-cepat orang itu menarik tangannya dan terus menyembunyikannya ke dalam saku bajunya. Orang itu memalingkan mukanya ke arah lain. Tidak mahu menentang wajah Datuk. Orang itu lebih senang melihat sinar matahari yang beransur reda di luar.
“Kau benar-benar mahu menjahanamkan aku,” orang itu bersuara dengan tenang tanpa merenung wajah Datuk.
Bila dilihatnya Datuk tidak mengindahkan cakapnya, ia terus menyapu mukanya dengan telapak tangan kanan. Datuk terus membaca doa hingga tamat.
“Jangan begitu, akibatnya buruk,” tambah orang itu lagi.
“Maksud kamu?” soal Datuk.
“Kau menyeksa anak murid aku.”
“Siapa anak murid kamu?”
“Daud.”
“Daud?” ulang Datuk dengan rasa gugup.
“Ya. Itu saja yang mahu aku ingatkan kamu. Aku nak balik ke Ulu Kelubi,” orang itu segera bangun, melangkah ke pintu. Berdiri di situ sejenak merenung ke dalam rumah. Ia terus memijak anak tangga. Dalam beberapa minit sahaja orang itu hilang dari pandangan saya dan Datuk.
Datuk terus menemui nenek. Mereka bercakap seketika. Datuk kembali ke ruang tengah mengenakan baju putih ke badan. Ia sarung seluar warna kelabu. Tanpa menegur saya Datuk turun dari rumah. Saya segera menemui nenek.
“Datuk nak ke mana nek?”
“Katanya nak pergi ke Kampung Ulu Kelubi, apa pula halnya tak beritahu aku.”
“Ha, saya nak ikut,” jerit saya lalu meninggalkan nenek. Datuk terus saya buru.
Datuk singgah di rumah Haji Salim sebentar. Dilihatnya Haji Salim terbaring di atas pelantar. Datuk rasa badan Haji Salim. Ternyata badan Haji Salim panas, keliling lengannya yang kena parang mula membengkak. Haji Salim tidak dapat menggerakkan tangannya.
“Badan aku tak berapa sihat, kau seorang saja pergi ke Kampung Ulu Kelubi, jumpa Lebai Din. Cucu kamu tahu rumahnya,” ujar Haji Salim sambil merenung ke arah saya.
Datuk anggukkan kepala. Ia tidak mengeluarkan sepatah perkataan pun untuk saya. Tetapi, dari kerdipan mata dan air mukanya, saya yakin Datuk merestui saya mengikutinya.
LEBAI
Kami terus ke rumah Lebai Din. Saya terus memperkenalkan Datuk dengan Lebai Din. Mereka terus bercakap penuh mesra, ada nasihat tertentu yang disampaikan oleh Lebai Din pada Datuk. Semuanya di dengar oleh Datuk dengan teliti.
“Hati-hatilah dengan orang itu. Saya tak boleh melihat rupanya tetapi setiap kali ia bercakap dengan saya, saya rasa dia bukan sebarang orang. Banyak ilmu salah yang dimilikinya,” terang Lebai Din.
“Saya bukan apa-apa. Saya cuma nak berjumpa dan bercakap-cakap panjang dengannya,” jawab Datuk.
“Kalau niat awak baik, Allah menyebelahi awak.”
“Saya berdoa Allah akan melindungi saya,” suara Datuk merendah. Kami pun terus meninggalkan rumah Lebai Din.
Saya dan Datuk terpaksa meredah kebun getah yang cukup luas. Pokok getah tua yang berbatang besar masih mampu mengeluarkan susu getah yang banyak. Dedaunnya kelihatan menghijau serta bergoyang-goyang di tolak angin petang.
Kulit buah getah berserakan atas rumput. Pot-pot getah bertaburan di pangkal pokok getah. Langkah Datuk cukup cepat, ia kelihatan bagaikan tidak menghadapi masalah memijak ranting dan kayu yang lintang pukang di celah-celah nirai getah.
Saya terpaksa melangkah dengan hati-hati, silap langkah saya akan tersepak tunggul atau akar yang merayap di bumi. Berjalan di celah-celah nirai pokok getah terasa amat seronok. Cahaya matahari tidak menjamah muka kerana dihalang oleh dedaun getah yang lebat dan berlapis-lapis.
Saya dan Datuk sampai ke kepala sawah. Dari situ kami melihat ke arah sebuah pondok lama yang terletak di tengah-tengah sawah. Pondok itu didirikan di atas sebidang tanah yang agak tinggi dari permukaan sawah. Kawasannya agak luas.
Ada pokok kelapa gading yang berbuah lebat di samping beberapa batang pokok rumbia. Untuk ke pondok lama tersebut, kami terpaksa melalui batas yang sempit dan memanjang.
Di kiri kanan batas yang penuh dengan pokok-pokok padi yang baru bunting, anak-anak ikan haruan dan keli berlari liar di celah-celah padi. Angin yang bertiup membuat air dalam sawah bergelombang. Saya dan Datuk terpaksa memijak batas dengan teliti serta mengimbangi badan.
Kalau tidak pandai mengimbangi badan pasti jatuh ke dalam pohon padi. Seluruh badan akan basah kena air sawah. Lumpur sawah akan masuk ke mata. Saya menarik nafas panjang kerana berjaya sampai ke kawasan pondok lama. Saya lihat pintu dan tingkap pondok lama tertutup rapat. Rumput tumbuh subur hingga ke bawah pondok.
Saya renung ke arah Datuk yang berdiri di sisi saya. Datuk anggukkan kepala memberi syarat, supaya mara ke arah pondok. Saya terus mengekori Datuk hingga ke kaki tangga pondok lama.
Tanpa di sangka-sangka, pintu pondok lama terbuka sendiri. Seorang lelaki tua duduk di muka pintu. Bau hapak mula datang menerkam lubang hidung. Tekak saya mula terasa loya dan mahu muntah. Orang tua itu menjuntai kaki kanannya. Saya lihat ada tokak di buah betisnya, beberapa ekor ulat macam ulat nangka jatuh ke tanah.
Ulat yang masih lekat di tokaknya terus bergerak-gerak memakan daging buah betisnya. Memang menggelikan melihat ulat-ulat hidup yang jumlahnya bukan sedikit bergerak.
Saya tergamam bila orang tua itu mengambil ulat-ulat yang jatuh atas tangga lalu menaruh kembali pada tokaknya.
“Apa hajat?” tanyanya pada Datuk.
“Tadi kita berjumpa tapi tak puas. Fasal itu saya datang lagi ke sini.”
“Oh, awak salah orang.”
“Tidak.”
“Awak yakin.”
“Saya yakin awaklah yang datang ke rumah saya dan sembahyang bersama.”
Mendengar cakap Datuk itu, orang tua tersebut terdiam. Wajahnya yang kasar dan keras, penuh dengan parut berubah menjadi pucat. Memang, kalau direnung wajah orang tua itu lama-lama terasa seram sekali.
Sepasang matanya kelihatan besar. Kiri dan kanan di bawah kelopak matanya ada kulit tumbuh yang berlapis-lapis. Kulit itu kelihatan lembik. Kulit pipi sebelah kanannya menggerutu dan lembik macam telinga gajah. Manakala kulit pipi sebelah kiri terdapat seketul tahi lalat hitam, sebesar telur ayam.
Tahi lalat yang melekat di pipi macam terjuntai-juntai. Bila ia bergerak ke kanan atau ke kiri, tahi lalatnya itu kelihatan terbuai-buai. Di bawah dagunya tumbuh daging tebal yang berair. Dan parut kelihatan di mana-mana atas kulit mukanya. Bibir atas dan bibir bawahnya tebal. Hidungnya dempak dan besar. Sebelah keningnya tidak berbulu.
“Sial,” pekiknya lalu menutup pintu. Datuk dan saya berpandangan.
Matahari petang bertambah condong, angin terus bertiup sepoi-sepoi bahasa. Dedaun kelapa melentuk ke kiri, melentuk ke kanan mengikut arahan tiupan angin.
“Ya, aku datang,” saya dan Datuk pusing badan ke kiri. Di situ muncul seorang lelaki berpakaian serba hijau. Ia memberi salam pada Datuk, segera Datuk menjawabnya. Orang itu tersenyum.
“Sudahlah Kamal, kau jangan memperdayakan aku lagi,” Datuk segera menyingsing lengan. Saya terus lari ke pangkal pokok kelapa. Sandarkan badan di situ.
“Mana murid kamu yang membuka rahsianya, kau perdayakan mereka, kau pura-pura mengajar agama dan silat. Ajaran agama yang kau bawa bertentangan dengan ajaran Islam yang sebenar. Kau tidak mengajak mereka pada kebaikan, kau mengajak mereka pada jalan kejahatan untuk kepentingan dirimu.”
“Kau silap kawan.”
“Aku tidak silap Kamal. Kau memang orang yang tahu tentang agam dan mempelajari agama secara mendalam. Sayangnya kau jadikan agama sebagai alat untuk memenuhi kemahuan kamu.”
“Buktinya?”
“Tak payah aku terangkan. Kau ke mari kerana mencari aku untuk membalas dendam. Banyak rancangan kau yang aku gagalkan.”
“Ya,” jawab orang itu.
Serentak dengan itu, pakaian hijau yang membalut tubuhnya terbuka. Dan badannya terus dibalut dengan pakaian serba hitam. Di kepalanya terletak tanjak berwarna hitam, kain sampingnya juga hitam. Kaki seluarnya kecil dan agak singkat. Ia berdiri berpeluk tubuh, macam seorang pendekar.
“Dia pakai pakaian dua lapis, tapi macam mana ia membuka pakaian hijau di badannya,” hati saya tertanya dan terus berubah tempat. Dari pangkal pokok kelapa duduk di anak tangga.
Saya menarik nafas dengan tenang. Saya tahu sebentar lagi, saya akan menyaksikan satu pertarungan yang hebat.
“Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan,” kata orang itu sambil merenung ke arah sebatang pokok pisang dara. Tiba-tiba pokok pisang dara itu patah dua. Orang itu memperlihatkan kemampuan kuasa matanya di depan Datuk.
Tidak memadai dengan itu, ia renung ke arah seekor tupai yang sedang melompat dari hujung dahan mempelam menuju ke hujung pelepah rumbia. Tupai itu jatuh atas tanah, menggeletek tidak tentu arah dan terus mati. Melihatkan kehebatan yang diperlihatkan oleh orang itu, saya rasa Datuk bukanlah tandingannya. Ilmu kebatinan yang dimilikinya sungguh hebat sekali.
Saya segera menghampiri Datuk. Saya mengajak Datuk pulang. Bagi saya, kalau dengan Daud Datuk mengalah, betapa pula ia akan menentang gurunya. Saya tidak mahu melihat Datuk yang saya sayangi kalah untuk kali keduanya. Bukan zamannya untuk Datuk beradu kekuatan lagi, usianya kian bertambah tua.
“Pulang saja tuk.”
“Kau diam, orang pengecut bukan keturunan aku,” tengking Datuk. Saya termangu-mangu bila ditengking begitu.
Kamal terus memperlihatkan kemampuannya lagi. Ia membuka langkah silat sambil menarik kaki seluarnya yang menyimpan tokak. Anehnya, tokaknya memang tidak kelihatan. Kakinya tetap elok macam kaki orang biasa. Tidak ada tokak, tidak ada ulat macam ulat nangka.
Kamal membengkokkan badannya. Kedua belah tangannya dibuka lebar-lebar. Ia terus melompat separas pucuk padi. Ia berjalan dan bersilat atas pucuk-pucuk padi yang menghijau. Tidak ada pokok padi yang patah atau daunnya relai. Keadaan Kamal seperti orang memperlihatkan senaman aerobik.
Dari atas pucuk-pucuk padi Kamal melompat lagi. Kami ini ia berada di awang-awangan terus membuka silatnya. Ia seolah-olah seperti orang terbang bergerak ke sana, bergerak ke sini, di udara dengan bebas. Tiba-tiba Kamal menghilangkan diri.
“Bagaimana?” katanya dengan muncul dari arah belakang saya. Kali ini badannya diselimuti dengan kain hitam. Cuma bahagian mukanya sahaja yang kelihatan.
Bila saya melihat keadaannya begitu, saya teringat orang yang berjubah hitam di kubur lama. Suaranya juga macam suara orang di kubur lama.
Datuk segera menoleh ke arahnya. Kamal mendepangkan kedua belah tangannya. Dari celah-celah kain hitam yang menyelimuti seluruh tubuhnya keluar beberapa ekor ulat dan lipan. Merayap atas kain hitam, tidak tentu arah.
“Syaitannya cukup kuat,” kata Datuk sambil menggigit bibir. Saya terdiam dan terus merenung ke arah tingkap pondok yang terbuka dengan sendirinya.
Di situ saya lihat Daud tersengih. Ia melontarkan sebatang kayu ke arah Kamal. Kamal terus menyambutnya, dengan kayu itu Kamal terus menyerang Datuk.
“Persediaan kita belum cukup Tamar, mari kita balik,” kata Datuk pada saya. Datuk terus meniti batas menuju ke arah kebun getah dengan layu. Saya terpaksa berlari. Sayup-sayup saya terdengar suara ketawa Kamal dan Daud.
TERBENAM
Sebelum matahari berada di puncak bukit, saya dan Datuk sudah pun berada di rumah. Nenek memberitahu Datuk yang Haji Salim sakit tenat. Luka di lengan kanannya terus dihurungi ulat-ulat yang besar. Ulat-ulat itu membiak dengan cepat sekali memakan daging lengan dan menghisap darah Haji Salim.
“Badannya tidak bermaya, mukanya pucat,” beritahu nenek pada Datuk. Tanpa membuang masa, kami pergi ke rumah Haji Salim. Memang benar cakap nenek, Haji Salim terkapar di pelantar di depan isterinya.
“Kita bawa saja ke hospital,” kata isteri Haji Salim pada Datuk.
“Nanti dulu. Ini sihir, mana boleh luka baru terus berulat. Ambilkan saya satu baldi air, tujuh helai daun limau purut, tujuh helai pucuk ubi gajah, taruhkan semuanya itu dalam baldi air tadi,” beritahu Datuk pada isteri Haji Salim.
Sementara menanti barang-barang yang dipesan itu tiba, Datuk terus memeriksa lengan Haji Salim yang luka. Saya lihat ulat-ulat itu sama panjang dan bentuknya serupa dengan ulat-ulat yang terdapat pada tokak di kaki Kamal. Luka di lengan Haji Salim mula mengeluarkan bau hapak.
“Haji,” seru Datuk. Haji Salim membuka mata dan merenung sayu ke arah Datuk.
“Terasa bisa seluruh badan,” soal Datuk lagi.
“Ya, kau usahakan. Ini kerja sihir. Ada orang yang mengamalkan ilmu tuju ulat. Orang ini mengamalkan Ilmu Cenderaular, semuanya bertuhankan syaitan,” kata Haji Salim. Datuk menarik nafas panjang.
Barang-barang yang dipesan oleh Datuk pada isteri Haji Salim pun tiba. Datuk terus bersila menghadapi baldi yang berisi air, pucuk ubi gajah dan daun limau purut. Perkara pertama yang Datuk lakukan membaca ayat fatihah seribu kali. Kemudian, ia membaca surah Yasin, tiga kali berturut.
“Bersedia Haji, kami nak jiruskan air ke badan,” Datuk bangun lalu menjinjing baldi berisi air. Perlahan-lahan Datuk tumpahkan air ke tubuh Haji Salim yang dimulai dari ubun-ubun kepala membawa ke hujung kaki.
Selesai sahaja Datuk melakukan semuanya itu, badan Haji Salim terus menggeletar. Dan ulat-ulat yang mengerumuni luka di lengannya terus gugur satu persatu atas lantai pelantar.

KARYA : MOHD ZUHAIRY
CP BY ADMIN A.D
CGCZONE BRUNEI
theHORRORZONE BRUNEI


KOLEKSI CERITA SERAM MELAYU - #SEASON2
TAJUK CERITA : BANTAL PELUK BERJALAN MALAM
KARYA : MOHD ZUHAIRY
CP BY ADMIN A.D
CGCZONE BRUNEI
theHORRORZONE BRUNEI
http://thehorrorzon.blogspot.com/2020/04/koleksi-cerita-seram-melayu-season2.html
KODE : 2000027509400007

“Kita juga tidak percaya tapi ramai orang yang percaya dengan perkara yang karut-marut tu.”
“Ajal maut milik Allah. Kalau ajal kita belum tiba, jatuh dalam gunung berapi pun kita hidup. Bila ajal dan janji kita sudah tiba, digigit semut pun kita mati.”
“Kita jangan lupa, nyawa kita ini dipinjamkan oleh Allah pada kita. Bila sampai waktunya nyawa kita akan diambilnya. Jadi kenapa kita takut pada mati, kalau kita sudah membuat persiapan yang cukup,” balas Haji Salim dengan tenang. Ketika ia berkata-kata tadi, saya lihat sinar matanya cukup tajam.
“Kita setuju,” jawab Datuk.
“Mari sembahyang, Isyak dah sampai,” Haji Salim segera bangun. Ketika itu juga terdengar suara azan Isyak dari surau membelah ketenangan seluruh kampung.
“Kita jadi imam,” tambah Haji Salim.
“Silakan,” ujar Datuk tersenyum.
“Nanti dulu,” kata saya.
“Kenapa pula budak ni,” keras sekali suara Datuk.
“Saya terkentut dalam diam tuk.”
“Ah kamu ni, ada-ada saja. Pergi cepat.”
Saya meluru ke bilik air. Saya terdengar suara ketawa dari haji dan Datuk tingkah meningkah. Mereka geli hati dengan kelakuan saya. Memang kelemahan diri saya, air sembahyang saya cepat batal. Bila ada air sembahyang perut buat ragam dan sering mahu mengeluarkan udara kotor dari dalamnya.
Kalau tidak ada air sembahyang, perut tidak pula buat hal. Entah mengapa begini jadinya, mungkin dugaan pada orang yang ada air sembahyang terlalu banyak, fikir saya sendirian. Nantilah satu hari, mahu saya tanyakan hal itu pada Haji Salim.
Haji Salim mengambil tempatnya sebagai imam. Saya dan Datuk berdiri hampir berlaga bahu. Memang pesan Datuk kalau sembahyang jemaah mesti rapat, jangan ada ruang untuk syaitan lalu yang menggoda kita sembahyang.
Sembahyang Isyak dapat disempurnakan dengan aman. Haji Salim terus membaca doa. Suaranya cukup terang dan jelas sekali. Cara mendadak suaranya yang terang itu beransur lemah dan tidak kedengaran langsung.
Saya lihat Haji Salim terus rebah di tikar sembahyang. Datuk dan saya terus menghampirinya. Haji Salim kelihatan sukar untuk bernafas. Datuk segera mahu melakukan rawatan kecemasan.
“Tak payah, masanya sudah sampai,” kata Haji Salim. Nafasnya beransur tenang. Ia terus merenung wajah Datuk dengan senyum. Dengan susah payah Haji Salim melunjurkan kedua belah kakinya. Ia terus baring. Sepasang matanya merenung lelangit rumah dengan tenang.
Isterinya datang membawa bantal. Datuk segera mengambil bantal itu, terus mengenepikan ke kepala Haji Salim. Ia kelihatan lemah sekali.
“Maafkan aku, kalau ada tersilap dan kasar bahasa pada kamu,” Haji Salim renung muka isterinya. Perlahan-lahan isterinya anggukkan kepala bersama wajah yang gusar.
“Begitu juga pada kamu Tamar,” Haji Salim renung muka Datuk dan saya.
Serentak Datuk dan saya anggukkan kepala. Isteri Haji Salim mula tersedu dan Datuk terus memujuk isteri Haji Salim supaya jangan menangis dan meraung. Ternyata isteri Haji Salim patuh dengan cakap Datuk.
“Sahabat, kita nak tidur. Kita rasa bekalan kita sudah cukup,” suara Haji Salim cukup lemah. Sinar matanya cukup redup menikam wajah Datuk. Saya lihat Datuk menarik nafas dengan rasa yang penuh berdebar.
Beberapa saat kemudian, saya lihat Haji Salim merapatkan kedua belah kelopak matanya dengan aman. Wajahnya nampak seakan-akan orang tersenyum. Datuk segera merasai perjalanan nadinya.
“Dia kembali pada yang HAK. Semoga amal ibadahnya diterima oleh Allah,” beritahu Datuk pada isteri Haji Salim. Dan saya lihat perempuan tua yang berwajah tenang itu mengesat air matanya dengan hujung baju.
“Saya goreng pekasam kesukaannya tapi…,” perempuan Haji Salim tidak terdaya meneruskan kata-kata itu. ia terus tersedu. Saya dan Datuk berpandangan.
“Jangan disesali kematiannya. Kita mesti merelakan apa yang sudah diatur oleh Allah,” Datuk mengingatkan isteri Haji Salim yang masih termenung.
“Baik tuk.”
“Pergi sekarang.”
SEMPIT
Dengan hati-hati saya memijak anak tangga kiri kanan jalan menuju ke surau ditumbuhi pokok-pokok kecil yang merimbun. Memang sukar berjalan di jalan yang sempit. Kalaulah orang lain yang menyuruh, pasti saya bantah.
Melangkah di jalan yang sempit waktu malam, memang menyulitkan. Dua tiga kali saya terlanggarkan akar pokok yang melintang atas jalan. Bukan kepalang sakitnya.
Ada masanya saya terpaksa melompat, akibat dilanggar oleh katak puru yang muncul dari rimbunan pokok kecil di kiri kanan jalan. Saya lihat langit yang cerah, gumpalan awan terus berarak.
Saya sampai dekat pokok kelapa yang patah pucuk, akibat dipanah petir. Dari pangkal pokok kelapa itu, saya lihat cahaya gasolin di surau terang-benderang. Hati saya gembira kerana surau masih belum ditinggalkan oleh orang kampung.
Dalam gelap yang pekat itu, suara cengkerik kian rancak menyanyi. Beberapa ekor kelip-kelip terbang tidak tentu arah. Desir angin yang menyentuh dedaun terus berbunyi. Jarak surau dengan rumah Haji Salim kira-kira suku batu.
Tiba-tiba saya tersepak benda lembik. Saya berhenti melangkah sambil memusingkan kaki kanan saya dengan harapan dapat merasakan benda lembik itu. Anehnya, benda lembik itu tidak tersentuh bila melangkah. Dan dengan tiba-tiba saya teringatkan Haji Salim yang sudah menjadi mayat.
Saya juga teringat cakap orang tua-tua yang mengatakan bila ada orang mati malam, syaitan selalu merayau di kawasan orang ang meninggal dunia bertujuan untuk menakut-nakutkan orang yang masih hidup. Mengingatkan semuanya itu, cara mendadak sahaja bulu tengkuk saya meremang. Rasa takut mula bersarang dalam diri.
Cara yang paling baik dilakukan, berlari sahaja dalam gelap. Redah atau langgar apa sahaja, dengan itu cepat sampai ke surau dan terus pukul kerantung tujuh kali berturut-turut.
Setelah diperhitungkan dan dipertimbangkan dengan teliti, saya membuat keputusan untuk lari menuju ke surau. Baru lima enam langkah berlari, saya terlihat benda putih sebesar buah kelapa datang bergolek-golek ke arah kaki saya.
Dalam jarak dua kaki dari saya, benda putih itu berhenti bergolek. Bentuknya juga berubah jadi memanjang bantal peluk. Perlahan-lahan benda putih itu bangun, berdiri setinggi tubuh saya. Saya renung kiri kanan. Apa yang saya lihat, barisan kelip-kelip yang terbang menuju ke satu arah, iaitu arah barat daya.
Saya jadi tidak tentu arah dan bersedia menjerit memanggil Datuk. Tetapi, hasrat itu saya batalkan. Saya terus membaca ayat-ayat Quran untuk menghalau syaitan. Makin kerap ayat-ayat Quran itu saya ulangi, makin rancak benda putih itu berpusing-pusing di depan saya.
Saya terus lari sekuat hati menuju ke surau. Sampai di surau saya dapati tidak ada seorang pun di situ. Saya terus memanggil-manggil nama Siak beberapa kali. Tidak ada jawapan yang saya terima. Tetapi, mengapa Tuk Siak tidak mematikan lampu gasolin. Barangkali ia terlupa, kata hati saya.
Tanpa membuang masa, saya ambil kayu pemukul lalu memukul kerantung tujuh kali berturut-turut. Selesai sahaja kerantung (beduk) dipukul lampu gasolin terus padam dengan sendiri. Hati saya berdebar. Dan saya bagaikan mahu menangis rasanya. Saya terus duduk di tangga surau.
Dalam keadaan yang kelam-kabut itu, saya terdengar bunyi suara orang batuk dari arah belakang surau.
“Siapa yang mati?” tanya suara dari belakang surau.
“Tuk Siak di mana?”
“Aku tanya lain, kamu jawab lain.”
“Haji Salim yang mati.”
“Eloklah tu.”
Darah saya tersirap. Dan saya yakin, itu bukan suara Mat Upih Tuk Siak surau. Suara Mat Upih parau bercampur nyaring. Tetapi suara yang saya dengar ini, keras tidak nyaring dan serak.
Setiap orang kampung yang menerima berita kematian akan menjawab dengan kata-kata; Innalillah wa inna Ilaihirajiun. Mereka tidak akan mengucapkan perkataan, eloklah tu, seperti yang diucapkan oleh orang dari arah belakang surau.
“Itulah padahnya melawan kita,” tercetus lagi kata-kata dari orang yang tidak saya kenali. Dengan tidak disangka-sangka rasa marah dan benci tumbuh dalam hati saya terhadap orang itu.
“Ei, manusia tak baik cakap macam tu. Kamu juga akan mati,” balas saya.
“Sudahlah, tak lama lagi giliran Datuk kamu.”
“Nyawa Datuk aku bukan di tangan kamu, tahu.”
“Tunggu, dan lihat sendiri.”
“Laknat.”
Sebaik sahaja kata-kata itu saya ucapkan, saya tercium bau yang amat busuk. Saya terlihat dua lembaga manusia melintas di depan saya. Dari bentuk lembaga itu, saya tahu orang itu tidak lain tidak bukan ialah Kamal dan Daud.
“Aku tahu siapa kamu,” jerit saya.
Dalam saya terus berlari meninggalkan surau, terdengar suara orang ketawa berdekah-dekah dituruti dengan bunyi tapak kaki memburu saya dengan kuat. Saya terus berlari tanpa mahu menoleh ke belakang, ke kiri atau ke kanan.
Bila saya sampai di rumah Haji Salim, saya lihat orang sudah ramai. Mat Upih duduk di halaman rumah bersama dengan kawan-kawan. Semuanya memakai songkok putih.
“Macam mana tahu Haji Salim meninggal?” saya ajukan pertanyaan pada Mat Upih yang berkulit putih, berasal dari Pangkalan Bharu, dekat Pantai Remis.
“Ada orang datang beritahu para jemaah. Bila disuruh pukul kerantung, dia tak mahu. Katanya kamu nak pukul lepas sembahyang Subuh,” jawab Mat Upih.
“Pak Mat Upih kenal orangnya?”
“Inilah yang kami bincangkan. Orang tu memakai serba hijau, kami ingatkan keluarga si arwah yang datang dari jauh,” Mat Upih renung kawan-kawannya. Semua kawan-kawannya anggukkan kepala.
Saya garu pangkal telinga dua tiga kali. Di sudut halaman Datuk sedang berunding dengan penggali kubur. Isteri Haji Salim sedang bercakap dengan Borhan. saya terus menghampiri mereka.
“Aku nak suruh si Borhan ni telefon anak buahku dan telefon malam ni juga. Mana yang tak ada telefon pagi esok di pejabat,” terang isteri Haji Salim lalu memberi nombor telefon pada Borhan.
“Macam mana kau nak buat Borhan,” soal saya.
“Aku ke pekan malam ni juga, gunakan telefon abang aku Tamar.”
“Bila balik ke sini?”
“Malam ni juga.”
Borhan segera meluru ke Honda 70cc miliknya. Meninggalkan saya yang terpaku di sisi isteri Haji Salim. Bunyi enjin motosikal Borhan tidak kedengaran lagi.
Berita kematian Haji Salim cukup cepat merebak ke seluruh kampung. Tidak sampai dua jam rumah arwah Haji Salim jadi tumpuan. Semua yang datang tanpa di arah tahu dengan tugas masing-masing.
Ada yang datang membawa ketam, penukul dan paku serta gergaji. Ada yang datang membawa papan dan kayu. Mereka bergotong-royong membuat keranda dan pengusung. Menjelang pukul dua belas malam, semua kelengkapan itu siap.
Tepat pukul satu pagi, orang-orang yang datang pulang ke rumah masing-masing. Mereka sudah tahu tugas-tugas yang akan dilakukan pada esok pagi. Beberapa orang penduduk kampung terus membaca Quran di depan jenazah Haji Salim.
Pada mulanya, perbuatan itu ditentang oleh Datuk. Menurut Datuk membaca Quran di depan jenazah merupakan perbuatan yang bidaah, tidak pernah dilakukan oleh Nabi Besar Muhammad SAW.
“Tidak. Tujuannya baik dan perkara ini harus. Kita menyedekahkan pada roh arwah, kita tak usah bertekak atas perkara ini, nanti menimbulkan perbalahan antara kita,” sanggah Pak Imam.
“Saya tak pula bermaksud begitu. Setahu saya amal ibadah yang ditambah-tambah, perkara yang tidak dilakukan oleh nabi kita buat, sudah tentu perbuatan tu dicela oleh agama kita,” Datuk mempertahankan pendapatnya.
“Sebenarnya masalah ini, ulama-ulama besar pun tidak sependapat. Ada yang kata boleh, ada yang kata tidak. Sudah jadi kebiasaan orang-orang kita membaca Quran di depan jenazah,” tambah Imam lagi.
“Tak apalah, saya akan tanya pada ahli-ahli agama dalam hal ini, supaya orang kita dapat melakukan sesuatu yang baik mengikut nabi,” suara Datuk merendah.
“Saya setuju dengan awak, tapi apa yang berjalan sekarang jangan dikacau.”
“Demi perpaduan penduduk perkara tu saya tak halang. Tetapi bila saya dapat hujah yang kuat saya menentangnya.”
“Saya setuju,” Pak Imam tersenyum.
Saya tersenyum mendengar percakapan antara Datuk dan Pak Imam. Mereka sering bertolak ansur demi kepentingan dan perpaduan para penduduk. Pak Imam terus naik ke rumah. Saya duduk dekat pokok mempelam. Dua tiga kali saya menguap. Kelopak mata terasa amat berat sekali. Rasa dingin kian hebat mendakap seluruh badan. Tanpa diduga saya terlena sejenak.
“Tamar.”
Saya membuka mata. Saya lihat Datuk sudah pun duduk di sisi saya. Muka saya ditenungnya lama-lama. Kemudian pangkal ketiak kanan saya ditamparnya sekuat hati. Rasa mengantuk segera hilang.
“Jangan mudah tidur di mana-mana, nanti dikacau syaitan,” katanya pada saya.
“Saya mengantuk tuk.”
“Kalau mengantuk balik ke rumah.”
“Saya takut tuk.”
“Takut?” Datuk membeliakkan biji mata pada saya.
Saya terus menceritakan pada Datuk, segala kejadian aneh yang saya lalui ketika pergi ke surau beberapa jam tadi. Datuk mendengarnya dengan tenang.
“Dendamnya pada kita belum habis,” cetus Datuk sambil meraba ulu keris pemberian Haji Salim yang disimpan dalam uncang kecil. Datuk meninggalkan saya. Ia terus menemui isteri Haji Salim. Setelah bercakap-cakap sebentar dengan Datuk, isteri Haji Salim masuk ke rumah. Keluar kembali dengan ditemani oleh nenek.
Datuk dan nenek bercakap-cakap sebentar. Datuk tinggalkan nenek dan terus menghampiri saya.
“Kita balik dulu Tamar. Lepas Subuh kita datang lagi ke sini. Di rumah kamu boleh tidur.”
“Ini sudah cukup baik tuk.”
“Cepat bangun.”
Saya segera bangun. Badan saya menggeletar kesejukan. Langit tetap cerah tetapi sekitar kawasan rumah Haji Salim terus didakap oleh suasana malam yang agak pekat. Suara jampuk berpadu dengan suara pungguk mendendangkan irama malam yang tidak pernah habis selagi dunia berkembang. Begitu juga dengan suara cengkerik.
Langkah Datuk cepat, tidak tersepak tunggul atau akar. Ia cukup arif dengan jalan yang dilaluinya. Bagi mengelakkan supaya saya jangan jauh ketinggalan, saya terpaksa berlari. Kerana berlari membuat badan saya berpeluh dan menghilangkan rasa sejuk.
“Tamar.”
Datuk menepuk bahu saya. Langkah kami terus kaku.
“Ada apa tuk?”
“Kau nampak apa-apa Tamar.”
“Tak ada apa-apa tuk,” saya renung ke kiri, saya renung ke kanan. Dalam gelap gelita itu saya ternampak ada bentuk manusia berdiri antara saya dengan Datuk.
“Ada orang tuk.”
Sebaik sahaja kata-kata itu berakhir, bayang-bayang orang itu segera hilang. Ia muncul di depan Datuk. Kali ini bayang-bayang ini menjadi nyata. Mempamerkan wajah dan batang tubuhnya. Bila Datuk mahu menyapa, orang itu segera hilang dan berdiri jauh di belakang saya.
Orang itu membongkok macam mencari sesuatu di atas tanah. Perlahan-lahan orang itu mengeluarkan buluh tajam dan bersedia mahu menikam tanah yang ada kesan tapak kaki saya dan Datuk.
Waktu orang itu mahu menikam buluh tajam ke arah kesan tapak kaki saya dan Datuk, bagaikan kilat Datuk melompat lalu melakukan satu tendangan yang kuat ke arah pergelangan tangan orang itu. Buluh di tangan orang itu terpelanting lalu melekat di batang pokok pisang.
Orang itu terus tercengang. Tergamam untuk melakukan sesuatu. Dalam keadaan yang serba-salah itu Datuk melepaskan satu tendangan yang kencang pada orang tersebut. Saya lihat orang itu tersandar di pangkal pokok pisang.
Kalau orang itu tidak mengelak sudah pasti buluh tajam yang tercabut dan terjatuh dari pokok pisang mengenai perutnya. Kalaulah perkara itu terjadi, sukar untuk saya membayangkannya.
“Aku tahu, kamu menuntut dari kaum kubu di Sumatera, tidak ada sesiapa yang boleh mengalahkan kamu kecuali kaum itu sendiri,” kata Datuk. Saya lihat orang itu terdiam. Datuk segera merapatinya.
“Kamal, kamu menggelar diri kamu mahaguru. Kau memaksa orang memanggil kamu Datuk. Kamulah penipu besar di dunia ini,” Datuk terus mengutuk orang itu. tidak ada jawapan dari orang tersebut.
“Aku tahu, ilmu dunia orang kubu cukup hebat, bekas tapak kaki manusia musuhnya kalau ditikam dengan buluh orang itu boleh mati. Jika musuhnya berada jauh dalam jarah berpuluh-puluh batu, boleh dibunuh dengan membalingi pisau ke arah rumah musuh dan musuhnya mati dengan serta-merta. Aku juga tahu ilmu itu tidak ada pada kamu Kamal,” sambung Datuk dalam nafas yang tercungap-cungap.
Saya tidak berkata apa-apa. Bau hapak mula menyumbat lubang hidung saya. Ketika itu juga saya lihat beribu-ribu kelip-kelip berterbangan sekitar kawasan kami berada. Cahaya dari kelip-kelip itu memudahkan saya melihat pergerakan Kamal yang mula mahu bangun.
“Kalau ajalku belum sampai dan tidak diizinkan oleh Allah mati di tangan kamu, usahlah kamu memburu aku Kamal,” beritahu Datuk lagi. Kamal terus bangun.
“Buktinya Haji Salim,” pekik Kamal.
“Kamu silap. Ia mati kerana sudah sampai janjinya.”
“Sial, kamu sial, menghalang kerja-kerja aku.”
“Kalau kamu mahu menunjukkan kehandalan ilmu dunia kaum kubu yang kamu tuntut, aku bukanlah tempatnya. Aku tahu ilmu kamu tidak cukup lagi.”
“Mana kamu tahu.”
“Aku berasal di Tanah Jambi. Aku sudah bercampur gaul dengan beberapa orang ketua kaum tersebut, banyak ilmu dunia dia orang yang aku tahu. Serba sedikit pantang larang dan sumpahnya aku tahu,” Datuk berhenti bercakap.
Kelip-kelip kian bertambah. Kamal termenung panjang. Bau tokaknya kian kuat berbau. Lolongan anjing sayup-sayup terdengar. Bunyi angin kian kuat bertiup.
“Tokak di kaki kamu tu terjadi kerana kamu tidak pergi berjumpa dengan ketua orang kubu yang mahu tuntut ilmu. Kamu tidak membawa upahnya seekor babi hutan pada setiap tahun.”
“Ah mengarut.”
“Kamal, aku tak mahu cakap banyak. Eloklah kamu pindah dari sini sebelum kamu dilaknati oleh Allah. Pergilah ke mana-mana dan bertaubat.”
“Sudahlah.”
Dengan sekelip mata kelip-kelip yang beribu-ribu itu terus hilang. Kamal juga lesap dari pandangan saya dan Datuk. Buluh yang ada di bawah pohon pisang terbakar dengan sendirinya.
Datuk menarik nafas panjang. Di wajahnya terbayang rasa kesal. Lama juga Datuk termenung, macam ada sesuatu yang difikirkannya.
“Mari Tamar.”
Saya pun terus melangkah mengikut rentak kaki Datuk. Dua tiga kali melangkah, saya renung ke belakang. Bimbang, kalau Kamal muncul lalu menikam saya. Kalau perkara itu terjadi, tentu saya mati katak.
Kami selamat sampai ke rumah. Tidak ada perkara yang tidak diingini berlaku. Sampai di rumah saya terus tidur. Saya tidak tahu apa yang Datuk lakukan dalam biliknya.
USUNG
Pagi itu, sebelum pergi ke rumah arwah Haji Salim, Datuk duduk di kepala tangga. Saya terus menghampirinya.
“Tamar.”
“Ya, tuk.”
“Kau ingat dengan Daud.”
“Ingat tuk, kenapa tuk.”
“Dia menipu kita. Katanya dulu, Kamal orang nombor dua yang menjalankan perintah guru. Sebenarnya Kamal itulah kepala nombor satu.”
“Betul ke tuk.”
“Sudahlah, mari kita pergi ke rumah arwah Haji Salim.”
Waktu kami sampai orang ramai di rumah Haji Salim. Sanak saudaranya yang jauh sudah ada yang tiba. Saya pusing keliling rumah, kalau-kalau Saadiah dan keluarganya sudah tiba. Ternyata Saadiah masih belum sampai.
Rasa terkilan berbunga dalam diri saya. Rindu benar rasanya mahu melihat lesung pipit di pipi Saadiah. Dalam rasa kehampaan yang memanjang itu saya terus menuju ke arah Lebai Din yang buta kedua belah matanya.
“Tamar,” kata Lebai Din. Saya tersenyum bagaimana orang tua yang buta ini memanggil nama saya dengan tepat. Padahal saya tidak menegurnya.
“Kau pakai baju dan seluar putih hari ni,” tambahnya.
“Ya Pak Lebai,” jawab saya.
Lebai Din terus ketawa dan menepuk belakang saya beberapa kali dengan penuh kemesraan. Tangannya saya pegang erat-erat.
“Macam mana tahu Pak Aji meninggal?” tanya saya.
“Borhan beritahu.”
“Macam mana datang?”
“Jalan kaki Tamar.”
“Jauh tu Pak Lebai.”
“Sebagai orang Islam bila tahu saudara seagama meninggal kita mesti datang,” katanya. Saya anggukkan kepala. Setuju dengan pendapatnya itu.
Datuk datang dan terus duduk di sebelah Lebai Din. Saya tahu bila Datuk datang, saya tidak boleh bercakap ikut suka hati, nanti kena tegur oleh Datuk.
“Bila mahu dikebumikan,” tanya Lebai Din.
“Lepas Zuhur, nanti anaknya dari Beranang tiba. Kalau tak sampai juga, tak boleh ditunggu lagi.”
“Bagus, menyegerakan mengebumikan mayat memang dituntut oleh agama, tak baik melambat-lambatkannya,” jawab Lebai Din.
Orang tidak putus-putus datang ke rumah Haji Salim, orang sekampung semuanya tidak pergi kerja hari itu. orang luar dari kampung juga tidak kurang ramai yang datang. Melihat keadaan itu, saya meramalkan semasa hayatnya, Haji Salim memang terkenal dan dihormati.
“Orang yang duduk di tanah saya tu dah pindah,” Lebai Din memberitahu pada Datuk. Saya lihat Datuk terkejut.
“Macam mana awak tahu.”
“Lepas sembahyang Subuh tadi, orang tu lalu dekat rumah saya dan beritahu perkara tu.”
“Biadab, manusia biadab.”
“Biarlah dia biadab, asalkan kita tidak jadi macam dia. Saya bersyukur pada Allah…”
“Bersyukur, bersyukur apa?”
“Dia sudah meninggalkan pondok itu. kalau di suruh keluar dengan paksa lain pula jadinya.”
“Begitu,” saya lihat Datuk ketawa kecil. Keterangan dari Lebai Din membunuh keraguan dalam diri Datuk.
Seperti yang dijanjikan, lepas waktu Zuhur jenazah Haji Salim pun diusung ke tanah perkuburan. Masa di tanah kubur saya terlihat Kamal dan Daud ada di celah-celah orang ramai yang sedang mendengar Pak Imam membaca talkin.
“Mata kamu rabun.”
“Tak, saya nampak tuk.”
“Pandangan kamu saja, semuanya kerana takut.” Suara Datuk keras. Saya terus diam.
Bila semuanya sudah selesai. Orang ramai pun meninggalkan tanah kubur. Tetapi, Datuk dan Lebai Din masih berdiri di sisi pusara Haji Salim. Wajah mereka muram, mata mereka merah.
“Allah kasihkan dirinya, kerana itu ia dipanggil,” keluh Datuk. Lebai Din menarik nafas, matanya tidak berkedip merenung tanah pusara.
“Saya kehilangan kawan,” tambah Datuk lagi.
“Saya juga begitu. Susah mahu mencari orang macamnya, penyabar dan bertimbang rasa,” sahut Lebai Din. Serentak Datuk dan Lebai Din meninggalkan pusara.
“Tadi, saya rasa laknat tu ada sama,” cara mendadak sahaja Lebai Din memberitahu Datuk. Muka Datuk segera berubah. Perlahan-lahan ia menarik nafas.

KARYA : MOHD ZUHAIRY
CP BY ADMIN A.D
CGCZONE BRUNEI
theHORRORZONE BRUNEI


KOLEKSI CERITA SERAM MELAYU - #SEASON2
TAJUK CERITA : DIBURU MANUSIA IBLIS
KARYA : MOHD ZUHAIRY
CP BY ADMIN A.D
CGCZONE BRUNEI
theHORRORZONE BRUNEI
http://thehorrorzon.blogspot.com/2020/04/koleksi-cerita-seram-melayu-season2.html
KODE : 2000027509400008

Saya gembira dengan berita itu. Secara tidak langsung perkara yang disebutkan oleh Lebai Din itu menguatkan kata-kata yang saya ucapkan pada Datuk sebentar tadi.
“Kalau macam tu, tak salahlah apa yang dikatakan cucu saya tadi, dia nampak orang tu,” Datuk segera menjeling ke arah saya. Lebai Din terus tersenyum.
“Saya tak nampak, tapi bau yang dibawa angin meyakinkan saya orang tu ada di tanah kubur,” Lebai Din terus melangkah.
GUGUR
Dedaun getah tua terus berguguran dirempuh angin. Walaupun angin bertiup tetapi baju kami basah juga diresapi peluh. Panas terlalu terik. Kami terus berjalan di celah-celah nirai getah yang tua.
Sambil berjalan itu, mata saya tetap liar merenung ke arah dedahan getah yang digayuti oleh monyet-monyet liar. Monyet-monyet itu memulas dan menggigit buah getah yang berwarna hijau. Buah-buah getah yang dibuang oleh monyet tersebut bersepah-sepah di mana-mana.
Bila sampai di rumah Haji Salim, Lebai Din terus jumpa isteri Haji Salim. Ia meninggalkan rumah tersebut. Datuk pula menemui isteri Haji Salim bertanyakan kalau-kalau isteri arwah memerlukan apa-apa pertolongan darinya.
Masa Datuk bercakap-cakap itu, sebuah teksi masuk ke kawasan rumah Haji Salim. Saya tersenyum bila perut teksi itu meluahkan Saadiah, ibu dan ayahnya serta adik-adiknya. Mereka meluru ke rumah dengan wajah yang resah dan muram.
Ayah Saadiah menyelesaikan pembayaran tambang teksi. Kemudian menemui Datuk. Mereka bersalam. Datuk minta ia bersabar. Tetapi ayah Saadiah ternyata tidak berjaya menahan rasa sedih. Dia terus menangis. Datuk memimpinnya ke rumah.
Saya terus ikut Datuk. Bila saya berdiri di muka pintu, saya lihat Saadiah yang tersedu merenung ke arah saya. Dalam wajah yang rawan ia masih sempat menghadiahkan sebuah senyum manis dan penuh erti untuk saya.
Aduh, dalam sedu-sedan pun wajahnya tetap manis, inilah yang membuat diri saya tidak tentu arah. Kalau Datuk tidak ada di situ pasti saya menghampirinya, memujuknya supaya jangan bersedih dan menangis, harus menerima segala-galanya dengan sabar.
Apakan daya Datuk ada dekat saya. Kalau saya turutkan kata hati, pasti saya dimarahi Datuk. Hanya renungan dan kerlingan mata sahaja yang dapat saya lakukan. Lebih dari itu saya tidak sanggup membuatnya.
“Mari kita balik Tamar.”
“Ya tuk,” jawab saya sambil cuba menghampiri Saadiah yang berdiri di pintu ruang tengah. Saya lihat Saadiah seakan-akan melangkah mahu menghampiri saya.
“Ke mana kamu nak pergi tu Tamar. Ikut ini bukannya nak keluar ikut pintu dapur.”
“Haaa…,” saya pura-pura terkejut. Beberapa orang wanita yang ada di ruang rumah tersenyum ke arah saya. Tebal rasa kulit muka. Saya terus menuju ke pintu. Pijak tangga dan terus melangkah pulang.
Sebelum sampai di selekoh jalan, saya renung ke arah muka pintu sambil melambai-lambaikan tangan. Saya renung Datuk. Dia tunduk melangkah. Cepat-cepat lambaian tangan Saadiah saya balas. Baru dua kali lambai. Datuk terus berdeham. Saya terkejut dan tidak menoleh ke arah rumah Haji Salim.
Sudah seminggu Haji Salim meninggal dunia. Saya rasa cukup sepi. Dalam tempoh seminggu itu, secara diam-diam saya mengunjungi rumah arwah Haji Salim. Dua kali saya dapat bercakap dengan Saadiah.
Saya gembira bila Saadiah memberitahu saya yang dia akan tinggal lama bersama neneknya. Persetujuan sudah dibuat antara nenek dengan kedua orang tuanya yang sudah pun pulang ke Beranang. Sebenarnya setiap hari saya berdoa supaya Saadiah terus tinggal bersama neneknya.
Rupanya tindak-tanduk saya itu dapat dikesan oleh Datuk. Suatu hari Datuk memanggil saya.
“Aku rasa kamu berkenan dengan Saadiah?”
“Tidak tuk, saya kawan biasa saja.”
“Hai, dua malam yang lalu aku dengar kau mengigau menyebut nama Saadiah.”
“Haa tuk silap tu.”
“Tak silap Tamar. Aku tahu, aku juga muda macam kamu. Tak usahlah sembunyi-sembunyi. Cuma aku nak ingatkan satu saja.”
“Apa dia tuk?”
“Urus diri sendiri dulu, sebelum nak menguruskan anak orang. Berfikir dengan masak-masak sebelum berkenan dengan anak orang. Kalau kamu rasa kamu sanggup aku tak menghalangnya.”
“Ha tuk ni mengarut.”
Saya segera meninggalkan Datuk dengan perasaan malu. Dalam kata-kata yang lunak Datuk mengenakan saya. Sindirannya tajam dan penuh makna. Dua tiga hari saya tidak mahu memandang muka Datuk. Bila rasa malu itu sudah hilang barulah saya mendampinginya.
Dan Datuk tidak lagi menyebut perkara Saadiah di depan saya. Saya juga cuba menjauhkan diri dari Saadiah. Malangnya makin saya cuba menjauhkan diri, hati bagaikan digaru-garu mahu melihat wajahnya. Sehari tidak dipandang, saya rasa hidup ini tidak ada ertinya.
Setiap pagi, bila Datuk keluar dan nenek membuat kerja-kerja dapur, cara sembunyi-sembunyi saya pergi ke kawasan belukar di belakang rumah Haji Salim pura-pura melastik burung. Bukan apa-apa, dapat renung rambut Saadiah sudah cukup.
KELUAR
Macam selalu, Datuk tidak pernah betah duduk di rumah. Perangainya yang suka berjalan, menengok sanak-saudara dan sahabat handai yang jauh sudah mendarah daging dalam dirinya.
Kali ini Datuk mengajak saya mengunjungi pusara Siti Lipat di Belanja Kiri. Saya membantah, kampung tersebut sudah kerap saya kunjungi. Tidak ada sesuatu yang istimewa, kecuali musim buah durian dan langsat.
Pergi ke Belanja Kiri musim buah-buahan memang seronok. Naik muak makan buah durian. Tidak saya duga perbuatan saya itu menimbulkan kemarahan yang amat sangat pada diri Datuk.
“Kamu tahu di situ ramai kaum kerabat kamu. Kamu mesti ikut. Biar kamu kenal asal keturunan kamu,” katanya. Saya terus membisu. Dalam masa itu juga saya teringatkan Sungai Sandang dan Sungai Perak.
“Siti Lipat tu dua kali moyang kamu. Kamu mesti pergi ke kubur membaca fatihah.” Tambahnya lagi. Saya tidak ada jalan lagi. Terpaksa ikut cakapnya.
Berat juga rasa hati mahu meninggalkan Saadiah. Kalau saya tidak memikirkan yang diri saya ini sejak kecil dipelihara Datuk dan nenek, pasti saya memberontak dan melawannya. Bila dikenangkan jasa mereka membela saya, semuanya tidak jadi saya lakukan.
Di Belanja Kiri, kami tinggal di rumah Mehran yang letaknya tidak jauh dari rumah Hajah Fatimah, iaitu kakak Mehran. Kedua-dua wanita ini mempunyai pertalian keluarga yang cukup rapat dekat Datuk.
Malam itu selepas makan, Mehran menceritakan tentang kisah Siti Lipat. Saya tahu Mehran berbuat demikian kerana mahu memenuhi permintaan Datuk.
“Kamu ceritakan pada budak nakal ni siapa dia Siti Lipat,” kata Datuk yang duduk bersandar di dinding sambil mengunyah daun sirih. Hajah Fatimah ketawa sahaja melihat telatah Datuk yang selalu membanggakan asal keturunannya itu.
Maka berceritalah Mehran pada malam itu. menurutnya Siti Lipat berasal dari sebuah kampung yang tidak jauh dari Cekar Galah di daerah Kangsar. Orangnya cantik, pandai bersilat, peramah dan bersopan santun.
Tiba-tiba perempuan cantik itu berselisih faham dengan keluarga. Ia merajuk lalu membuat rakit buluh dan menghilir ikut Sungai Perak. Hatinya terlalu keras. Masa berakit itu semua halangan ditempuh dengan tabah.
Sampai di Cekar Galah, ia dipujuk oleh kaum keluarga yang ada di situ supaya kembali ke pangkuan keluarga. Nasihat itu tidak diindahkan oleh Siti Lipat yang berkulit putih, memiliki raut wajah macam orang Arab.
Ia meneruskan perjalanan hingga rakitnya tersekat di sebuah jeram. Masa tersangkut di jeram itulah ia didatangi oleh seorang lelaki yang bernama Kanda Ali, iaitu orang suruhan Sultan. Kedatangan Kanda Ali ditentang oleh Siti Lipat.
Akhirnya, Siti Lipat berjaya dipujuk dan dibawa ke istana. Siti Lipat berkahwin dengan Kanda Ali. Tetapi, kerana dirinya cantik ia digoda oleh orang lain. Mereka menyangka Siti Lipat mudah digoda.
Kerana sakit hati, orang yang jahat itu terus berusaha mahu membunuh suaminya. Perbuatan itu menjadikan Siti Lipat marah. Ia terus bertindak dan berjaya membunuh orang yang mahu membunuh suaminya.
Perkara itu sampai ke pengetahuan Sultan. Siti Lipat dan suami diperintahkan ditangkap serta dihukum bunuh.
Orang yang mahu menangkap Siti Lipat semuanya mati di hujung kerisnya. Tidak ada seorang pun yang berani rapat dengannya. Siti Lipat dan Kanda Ali melarikan diri dengan rakit hingga sampai ke Tepus.
“Dari situ mereka pindah ke sini, menetap hingga mereka mati,” kata Mehran menamatkan ceritanya. Saya tersenyum. Sukar untuk saya mempercayai cerita dari mulut ke mulut itu. Walaupun kubur Siti Lipat masih wujud di Belanja Kiri, mungkin cerita itu ada tokok tambahnya, fikir saya.
“Awak tahu, Saadun anak saudara kita sudah nak jadi dukun. Kononnya berguru dengan kaki tokak,” cara mendadak Hajah Fatimah membuka mulut.
“Itu bahaya, itu bomoh pembohong,” kata saya.
“Eh, bomoh kaki tokak tu sudah banyak mengubat orang sakit, semuanya sembuh. Tapi bayarannya mahal. Tengok jenis penyakit kena lima puluh ringgit. Sekali berubat kena dua tiga ratus. Apa yang peliknya sakit yang diubatinya semuanya sembuh.” Tambah Hajah Fatimah.
“Kita kena panggil dia Mahaguru,” tingkah Mehran dengan lebih serius.
“Ini sudah mengarut. Esok saya nak jumpa Saadun, jangan berguru pada bomoh penipu tu,” tiba-tiba Datuk melenting. Ia terus bangun. Berdiri dengan wajah yang merah. Mehran dan Hajah Fatimah jadi cemas.
“Kita tak mahu anak buah kita diperalatkan oleh orang tu. Kalau sudah masuk perangkapnya, kita semua menerima bala yang besar,” sambung Datuk. Ia terus duduk kembali.
Saya segera teringatkan Saadun anak saudara dua wanita tersebut. Orangnya berbadan kurus, suka belajar perkara dukun-mendukun. Pernah menuntut ilmu dengan orang asli. Pernah pergi ke Siam.
“Kita mesti selamatkan Dun,” suara Datuk keras. Ia renung muka Mehran dan Hajah Fatimah yang tercengang. Datuk nampak resah, kalau boleh malam itu juga ia mahu menemui Saadun. Tetapi hasrat itu dihalang oleh kedua ibu saudara Saadun.
“Esok saja kamu cari si Dun tu Mat Diah. Malam ni kalau kamu pergi ke rumahnya, kamu tak dapat jumpa dengannya.”
“Dia ke mana?”
“Ikut gurunya belajar agama.”
“Di mana?”
“Di kaki bukit dekat Cangkat Banjar.”
“Masjid ada, surau ada. Kenapa belajar agama dalam hutan.”
“Entahlah, kami tak tahu,” balas Hajah Fatimah dan Mehran serentak.
Datuk terdiam. Saya lihat jam tua yang tersangkut di dinding sudah pukul sebelas malam. Datuk membincangkan sesuatu dengan suami Hajah Fatimah. Hajah Fatimah dan suaminya pulang ke rumah.
Pukul sebelas setengah, suami Mehran pulang dari memburu rusa. Tidak ada seekor rusa atau pelanduk yang dibawa. Kata suami Mehran, ia dan kawan-kawannya tidak dapat masuk hutan kerana gajah liar mula berkeliaran.
Sebelum masuk bilik tidur, suami Mehran menyatakan bimbangnya dengan perangai Saadun yang mula mencari kubur-kubur lama sekitar kampung. Salah sebuah kubur lama yang diminatinya ialah kubur Siti Lipat.
“Ini tidak boleh dibiarkan, nanti kubur lama tu dipuja,” cetus Datuk.
“Buat apa?” soal suami Mehran.
“Kumpulan mereka tu percaya dalam kubur lama ada emas dan harta karun.”
“Kerja bidaah tu,” bentak suami Mehran.
“Sebelum dia tersesat jauh, kita perlu menyedarkannya. Jangan biarkan keturunan kita tunduk dengan kuasa syaitan,” Datuk terus menggenggam penumbuk.
Mehran dan suaminya bertukar pandangan.
“Siapa yang berani melarang budak tu. Kalau silap cakap, kepala kita diparangnya,” Mehran bersuara. Suaminya anggukkan kepala. Rasa cemas terbayang di wajahnya.
“Dia tu, kalau dah naik angin, bukan kenal tua muda,” Mehran menambah.
“Biar saya uruskan. Membiarkan orang yang membuat kerja bertentangan dengan agama, ertinya kita bersubahat. Dosa orang bersubahat ini terlalu besar,” jelas Datuk. Mehran dan suaminya terus terdiam.
Saya dan Datuk masuk ke bilik tidur yang dikhaskan untuk kami berdua. Saya terus tidur dan Datuk terus membaca Quran kecil yang selalu dibawanya ke mana-mana.
Saya tidak tahu pukul berapa Datuk tidur. Saya terjaga bila dikejutkan oleh Datuk untuk melakukan sembahyang Subuh. Sebelum matahari terbit, Datuk sudah berjalan seluruh kampung kerana mandi embun.
Lepas sarapan, menebas kebun durian dan langsat milik Mehran. Tujuan Datuk berbuat demikian untuk mengeluarkan peluh. Tepat pukul sepuluh Datuk pergi ke sungai Perak. Ia berenang dan menyelam. Datuk memberi petua pada saya untuk menyelam lama dalam sungai sampai setengah jam.
Petua itu saya lakukan dan hasilnya memang memuaskan. Masa berada dalam air, saya rasakan air sungai tidak menempuh tubuh badan. Kita seperti berada di dalam bilik kaca, dapat bernafas dengan baik. Dapat melihat ikan-ikan berenang.
Semua ikan dan binatang dalam air tidak boleh diusik atau ditepis, meskipun ikan itu melanggar tubuh sendiri. Jika ditepis atau dimaki, air akan menyerbu tubuh dan tidak boleh bernafas. Selain daripada itu, waktu mahu menimbulkan badan di permukaan sungai, mesti menemukan kulit kepala dengan dasar sungai sebanyak kali.
Waktu naik, badan tidak boleh tegak. Mesti ikut arus air serta menghadap arah matahari jatuh. Tidak boleh melagakan gigi atas dengan gigi bawah atau menggigit lidah. Mulut mesti berada dalam keadaan separuh terbuka. Amalan dan petua itu pada mata kasar cukup mudah. Tetapi bila dilaksanakan terlalu sukar rasanya.
Pantangnya yang paling besar tidak boleh terjun dalam sungai kepala dulu. Tidak boleh minum air sungai, walau macam mana dahaga sekalipun. Amalan itu saya lakukan hanya beberapa tahun sahaja. Lepas itu saya tinggalkan langsung hingga kini.
Orang yang mengamalkan ilmu menyelam lama sampai berjam-jam dilarang memakan ikan sungai yang dibuat gulai kecuali digoreng tanpa membuang kepala dan ekor serta sisik ikan. Tidak boleh kencing dan buang air besar dalam sungai.
“Kita ke rumah Saadun. Sebelum tu kita balik ke rumah Mehran dulu, aku nak tukar pakaian,” ujar Datuk.
Kami pun meninggalkan tebing sungai Perak. Setelah menukar pakaian kami menuju ke Kampung Tua dengan harapan Saadun ada di rumah. Baru separuh jalan melangkah, kami bertembung dengan Mat Resad yang tepok. Macam selalu, Mat Resad yang suka bergurau itu terus mengusik Datuk dengan kata-kata yang melucukan hingga Datuk ketawa terbahak-bahak.
“Kamu dari mana Mat Resad?”
“Balik tengok orang berlatih silat.”
“Kenapa kamu tak belajar.”
“Malaslah, lain macam silat yang diajar. Belum bersilat kena sembah matahari. Kena bayar duit lima ringgit setiap kali masuk gelanggang.”
“Lagi apa syaratnya?”
“Syarat yang boleh diterima mengakui mahaguru silat, sebagai orang kuat boleh melakukan apa saja. Setiap orang murid mesti menganggap mahaguru itu sebagai nabi.”
“Ada mahaguru tu di situ.”
“Tak ada. Yang mengajar tu orang kanannya yang dipanggil panglima.”
“Siapa namanya Mat Resad?”
“Daud.”
“Daud,” suara Datuk gugup bersama wajah yang cemas. Hati saya mulai cemas. Mat Resad mengarahkan jari telunjuk arah kanan. Tanpa mengucapkan sesuatu pada Mat Resad, Datuk menarik tangan saya.
KAYU
Bila Daud melihat Datuk berdiri di bucu gelanggang, ia berhenti membuka langkah silat. Ia suruh anak muridnya ke tepi. Perlahan-lahan Daud memegang sepotong kayu berhampiran kakinya. Kayu itu diangkat dan separas dada. Semua anak muridnya terkejut melihat kayu itu mengeluarkan asap dan hancur.
Daud cuba memperlihatkan kemampuannya di depan anak-anak muridnya serta Datuk. Datuk masih tenang menghadapi semuanya itu.
Datuk terus masuk gelanggang. Tiba-tiba Daud hilang entah ke mana. Saya terhidu bau busuk dan hapak. Datuk merenung anak-anak murid Daud yang secara kebetulan pula semuanya ada hubungan keluarga dengan Datuk.
“Kamu balik semua,” suara Datuk lembut. Tidak seorang pun yang mahu mematuhi cakap Datuk. Saya lihat Datuk tersenyum.
“Baliklah kalau tidak mahu jadi sesat. Aku kenal siapa dia guru kamu,” Datuk kecewa lagi. Mereka tidak juga mahu meninggalkan gelanggang.
“Kalau kamu tak mahu balik tak apa. Kalau apa yang terjadi pada diri kamu, jangan salahkan aku. Sebagai orang tua aku sudah memberitahu kamu,” Datuk terus meninggalkan gelanggang menuju ke rumah Saadun. Bila saya renung gelanggang itu kembali, kumpulan anak-anak muda itu pun bersurai.
Rumah Saadun yang pangkat cucu saudara pada Datuk letaknya agak terpencil. Di kelilingi pokok pisang dan rumpun buluh. Di belakang pondok terdapat pokok jejawi yang besar. Akar-akar pokok berjuntaian.
Dari jauh kami sudah terhidu bau kemenyan. Panas pagi mula memancar agak terik memanah atas dedaun pisang yang hijau dan lebar. Ayam peliharaan Saadun berlari di halaman pondok. Datuk berhenti melangkah, ia terus menepuk bumi sambil mulut bergerak-gerak.
Kami terus rapat ke dinding pondok. Terdengar bunyi orang batuk dan bercakap-cakap.
“Permulaannya, malam ini kita adakan pemujaan di kubur. Kita bawa budak-budak yang belajar silat dengan Daud. Langkah kedua kita potong lidah anak dara sunti,” saya kenal itulah suara Kamal yang jadi musuh Datuk nombor satu.
“Dia tidak serik lagi,” bisik Datuk pada saya dan terus mengetuk pintu pondok Saadun berkali-kali.
Saya terdengar Kamal melarang Saadun membuka pintu. Datuk terus marah membara. Pintu pondok dijentiknya dan papan pintu terus terkopak. Datuk meluru dan berdiri di muka pintu, macam seorang hulubalang dengan pandangan mata yang tajam dan liar sekali.
Saya tetap berdiri tidak jauh dari Datuk. Saya lihat muka Saadun pucat lesi. Kamal menyandar badan ke dinding sambil mendirikan lutut kanannya. Cukup tenang Kamal membalut rokok daun tanpa memandang muka Datuk.
“Kamu keluar Saadun,” suara Datuk meninggi. Saadun seperti berada dalam keadaan yang serba salah. Sekejap renung muka Datuk, sekejap renung muka Kamal.
“Saya mahu belajar Ayah Uda.”
“Bukan tempatnya, kamu keluar.”
“Tapi.”
“Tak ada tapi. Keluar kata aku, keluar,” kian keras suara Datuk. Saadun terus keluar tanpa mempedulikan suara batuk dari Kamal yang memberi isyarat jangan keluar.
Perlahan-lahan Kamal mengangkat kakinya yang dihinggapi tokak. Ulat-ulat tokak yang jatuh atas lantai dipegang serta ditaruh kembali pada tokaknya. Ia semacam tidak kisah dengan kehadiran Datuk di depannya.
“Kamu memburu aku,” suara Kamal parau. Ia angkatkan kepala mempamerkan mukanya yang mengerutu dan berbonjol lembik.
“Aku tak memburu kamu. Semuanya terjadi cara kebetulan.”
“Agaknya, aku tak boleh lari dari kamu.”
“Itu aku tak tahu semuanya tu Kamal.”
“Tak tahu.”
“Ya, aku tak tahu si Saadun ni anak buah kamu. Kalau aku tahu, aku tak ingin mendekatinya.”
“Sudahlah Kamal.”
Kamal membuka tengkoloknya. Ia mencapai tongkat yang berkepala ular. Ia bangun sambil berusaha supaya ulat yang memakan buah betisnya tidak jatuh atas lantai.
Datuk masih juga berdiri di muka pintu. Saadun terpegun melihat peristiwa yang terjadi di depannya. Sebelum Kamal mengangkat tongkatnya, Datuk membuka kain yang membelit pinggangnya. Kain itu dikibaskan ke arah tongkat Kamal. Dengan sekali sentak sahaja tongkat Kamal berlegar-legar di depan Datuk, macam harimau dalam kandang besi.
Datuk bagaikan tahu niat Kamal, ia menyuruh saya dan Saadun beredar darinya. Mungkin dengan berbuat demikian memudahkan Datuk mempertahankan diri bila Kamal meluru ke arahnya.
“Kamal, aku tahu kekuatan ilmu dunia yang kamu tuntut hanya berkesan pada sebelah malam. Bila siang kurang berkesan,” kata Datuk.
Kamal tidak menjawab. Ia membuka bajunya. Saya lihat di leher dan pergelangan tangannya penuh dengan tangkai yang dibuat dari tulang binatang.
Seluruh kulit di badannya berbenjol-benjol dan penuh dengan parut. Sinar matanya cukup tajam, macam mata kucing yang sedang memburu tikus. Cara mendadak sahaja Kamal hilang dari pandangan kami.
“Tamar.”
“Ya tuk.”
“Carikan aku tujuh helai daun lalang.”
“Baik tuk.”
Saya terus mencari tujuh helai daun lalang. Saya serahkan pada Datuk yang berdiri di muka pintu. Dedaun lalang itu Datuk ramas. Di ludah dua tiga kali. Daun lalang dilemparkan di tengah pondok. Di tempat daun lalang itu jatuh, terpacak sekujur tubuh Kamal.
“Kalau kamu belajar ilmu dunia dari kaum kubu, aku juga belajar petua untuk menawar ilmu itu dari orang kubu juga,” ujar Datuk dengan tenang. Kamal terus membongkokkan badan. Kepalanya dimasukkan ke celah kangkang. Datuk juga tidak berganjak dari muka pintu. Panas yang terik di luar pondok membuat badan Kamal nampak berminyak.
Datuk terus membaca sesuatu. Secara mendadak semua tangkal dan azimat di badan relai dan jatuh berserak atas lantai pondok. Kamal terus mengguling-guli
ngkan badan atas lantai pondok dua tiga kali.
Akhirnya, ia berdiri tegak di tengah pondok. Datuk terus merendahkan badan, beberapa ketul batu yang datang dari tempat Kamal berdiri lalu atas kepala Datuk.
“Kamal, kamu tidak mahu bersahabat dengan aku untuk jalan kebaikan,” kata Datuk. Kamal terus membisu. Ia berlari dalam ruang pondok dan terus mengambil tongkat berkepala ular di sudut pondok.
Ia menghentakkan tongkat itu pada tiang pondok. Sebaik sahaja tongkat itu bertukar menjadi pedang pendek. Datuk tergamam.
Tiba-tiba saya terdengar suara Saadun mengeluh. Saya segera menoleh. Saya lihat Saadun tersungkur atas tanah. Bila saya mahu menerpa ke arahnya satu tendangan hinggap di bahu saya. Tendangan itu cukup keras. Saya tercampak di perdu pisang.
Saya lihat Daud berdiri tidak jauh dari saya. Belum pun sempat saya menyebut sesuatu, saya lihat Daud menyerang Datuk dari arah belakang. Datuk mengelak dan melepaskan pukulan ekor buaya jalan ke badan Daud. Pukulan itu membuat Daud tersungkur lalu merempuh papan pondok. Papan pondok berkecai.
Bila Datuk mahu melepaskan pukulan ekor buaya jalang kali kedua, Kamal meluru ke arah Datuk dengan pedang pendek. Datuk terdesak tetapi sempat melepaskan tamparan kucing jantan ke pergelangan tangan Kamal. Pedang pendek terlepas dari tangan, jatuh atas lantai pondok dan bertukar menjadi tongkat kembali.
“Sihir,” jerit Datuk sambil melipatkan lengan bajunya. Ketika itu juga Kamal mengangkat kakinya yang tokak ke arah Datuk. Saya lihat Datuk terhuyung-hayang. Bau busuk yang cukup busuk mula menguasai seluruh kawasan pondok.
“Tamar pandangan aku gelap,” jerit Datuk dengan sekuat hati. Kamal berjaya melepaskan dirinya dari dalam pondok. Ia terus mengangkat Daud. Badan Daud ditepuknya dua tiga kali. Daud kembali cergas dan bertenaga.
Kamal mengambil sekepal tanah. Dilemparkannya ke arah Datuk. Bahagian baju Datuk yang kena tanah terus berlubang dan reput macam kena air asid. Datuk terus terhuyung-hayang. Datuk jatuh dan menggolekkan badannya atas rumput.
Datuk meniarapkan badan atas rumput, dua tiga kali ia menyondol-nyondol rumput hijau. Datuk terus kaku di situ untuk beberapa saat. Saya tergamam tidak tahu apa yang harus dilakukan. Saadun masih mengerang kesakitan.
Saya cuba bangun tetapi tidak terdaya. Saya cuma dapat melihat pergerakan Datuk dari jauh. Perlahan-lahan Datuk memusingkan badannya merenung ke arah matahari, Datuk membukakan kelopak matanya dalam panas yang cukup terik.

KARYA : MOHD ZUHAIRY
CP BY ADMIN A.D
CGCZONE BRUNEI
theHORRORZONE BRUNEI


KOLEKSI CERITA SERAM MELAYU - #SEASON2
TAJUK CERITA : WANITA TANPA WAJAH JALAN MALAM
KARYA : MOHD ZUHAIRY
CP BY ADMIN A.D
CGCZONE BRUNEI
theHORRORZONE BRUNEI
http://thehorrorzon.blogspot.com/2020/04/koleksi-cerita-seram-melayu-season2.html
KODE : 2000027509400009

Pemilik lombong itu membeli tanah milik orang Melayu dengan harga yang mahal. Dan orang Melayu yang menjual tanah itu diberi tapak rumah yang terletak di satu kawasan lain. Tidak lama lagi tulang mayat yang ada di tanah perkuburan tersebut akan dipindahkan ke tempat lain. Segala perbelanjaan ditanggung oleh pihak tuan punya lombong.
“Tidak lama lagi kampung kami tinggal nama saja, semua rumah yang ada ini, paling lama boleh bertahan lima enam bulan saja lagi, lepas tu terpaksa pindah. Di bawah tempat kita berdiri ini penuh dengan bijih,” kata Ramli.
“Macam mana kalau mereka tak mahu pindah?”
“Mana boleh semuanya sudah dijual duit pun dah ambil dari tauke lombong,” jawab Ramli.
“Rugi mereka jual tanah,” kata saya.
“Awak tak boleh cakap macam ini, kalau mereka tak jual tanah, mereka juga tak boleh kaya, takkan nak cangkul tanah cari bijih, lagipun tawaran yang datang ni memang tinggi,” kata Ramli. Bila saya fikirkan dengan halus cakapnya itu memang ada benarnya.
Rupanya Ramli yang hampir sebaya dengan saya itu, terlalu pintar bercakap. Ia boleh bercerita tentang apa sahaja yang ada hubung kait dengan Kampung Bakap. Kami terus bercerita panjang. Kami berpisah ketika azan Maghrib dilaungkan.
Ramli kini menjadi pelombong Melayu yang berjaya, setelah ia meletakkan jawatan sebagai Pengarah Galian Negeri Perak. Anak sulungnya menuntut ilmu kedoktoran di England.
Kawan Datuk itu namanya, Alang Abdul Rauf. Datuk memanggilnya Rauf sahaja. Sebagai orang kampung yang sederhana, ia mempunyai dua ekar tanah dusun dan tiga ekar ladang getah. Hasil dari tanah miliknya itu menjadi sumber pendapatannya.
Sejak enam bulan kebelakangan ini, ia membuat kerja tambahan menggali kubur lama waktu malam. Tulang-temulang dari kubur lama itu dikumpulkan lalu ditanam di kawasan perkuburan yang baru. Semua pembiayaan kerja itu diuruskan oleh pihak tuan punya lombong yang mahu mencari bijih di kawasan tersebut.
Alang Rauf dibantu oleh empat orang lain. Mereka menjalankan kerja selepas waktu Isyak hingga ke Subuh. Sepanjang tugas itu dilaksanakan mereka tidak menghadapi sebarang kejadian aneh. Semua kerja berjalan dengan lancar.
“Bagaimana, kalau kamu dengan cucu kamu ikut kami malam ini,” Alang Abdul Rauf membuat tawaran pada Datuk setelah selesai sembahyang Isyak. Bulu tengkuk saya jadi meremang mendengar pelawaan itu. Ah, itu kerja gila, pergi kubur waktu malam dan menggalinya pula, rungut saya dalam hati.
“Minta maaf, malam ni saya ada berjanji dengan orang yang berniaga di pasar Batu Gajah,” ajar Datuk tenang.
“Nak ke mana pula?”
“Orang tu beritahu saya, di kampung tempat dia menyewa rumah dikawal oleh satu lembaga putih, sesiapa yang datang ke kampungnya dengan niat nak mencuri atau mengambil sesuatu lembaga putih akan mengganggunya.”
“Aku tahu cerita tu kalau tak silap di Kampung Dhobi di Pekan Lama.”
“Agaknya, begitulah,” Datuk menelan air liur. Alang Abdul Rauf menggaru pipi kiri. Kemudian menyedut rokok daun dengan penuh nafsu. Suara cengkerik jelas kedengaran menendang gegendang telinga.
Alang Abdul Rauf pun terus bercerita pada Datuk. Kira-kira tiga bulan yang latu, waktu musim buah durian gugur. Tiga orang pemuda India yang nakal telah datang ke kampung tersebut untuk mencuri buah durian waktu malam.
Sedang mereka mengutip buah durian, tiba-tiba mereka terpandang lembaga putih memakai kain telekung. Pada sangkaan pemuda-pemuda India itu, orang-orang kampung cuba menakutkan mereka.
Mereka terus membalingkan kulit durian dan dahan kayu ke arah lembaga tersebut. Lembaga itu tidak bersuara malah terus duduk di tunggul buruk. Kerana memikirkan yang bertelekung itu orang perempuan, ketiga-tiga pemuda India ini terus rapat ke arah lembaga tersebut.
Bila sahaja lembaga itu merenung ke arah mereka. Ketiga-tiga pemuda India itu terus menjerit dan lari lintang-pukang. Dua hari kemudian seorang daripada pemuda India itu mati gantung diri. Manakala yang dua orang terus gila dan dihantar ke hospital Bahagia Tanjung Rambutan.
“Apa yang mereka lihat.” tanya Datuk.
“Entahlah,aku pun tak tahu.”
“Pelik juga ceritanya.”
“Kalau kamu nak tahu, kamu pergi sendiri. Aku nak mulakan kerja, kawan-kawan aku dah menunggu,” Alang Abdul Rauf segera bangun menuju ke pintu.
“Tak apalah Rauf, aku juga nak pergi ke tempat yang aku janjikan dengan peniaga tu,” Datuk terus bangun.
“Kamu balik atau tidak malam ni?”
“Belum tahu lagi.”
“Tak apalah, kalau kamu balik dan aku tak ada di rumah kamu ketuk aja pintu, nanti orang rumah aku bukakan pintu.”
Alang Abdul Rauf terus melangkah menuju ke tempat kerjanya. Saya dan Datuk juga mengatur langkah.
Sampai sahaja di depan Masjid Batu Gajah, kenalan Datuk sudah pun menunggu. Di situ kami menuju ke rumahnya. Isterinya menghidangkan kopi dan biskut kering.
“Awak ni berminat sangat nampaknya, apa awak seorang pawang dan nak menghalaunya,” tanya peniaga tersebut pada Datuk. Ketika itu jam sudah pun hampir pukul dua belas malam.
“Bukan apa-apa, saya cuma nak tengok, apakah cerita betul atau sengaja diada-adakan.”
“Kalau awak tak mahu, biar kami pergi berdua.”
“Tak apalah. saya hantarkan awak ke hujung kampung.”
“Boleh juga,” jawab Datuk.
Tepat pukul dua belas malam. Kami meninggalkan rumah. Peniaga tersebut cuma menghantar kami hingga sampai ke pohon jejawi yang besar. Ia membekalkan lampu suluh pada Datuk. Saya mula resah. Angin malam yang bertiup lembut terus menjamah wajah saya.
“Saya setakat sini saja, awak tahu menuju rumah saya,” lembut benar suara peniaga. Membayangkan rasa cemas.
“Saya tahu menuju rumah awak, terima kasih.”
“Sebenarnya, saya tak pula suruh awak buat macam ni, saya sekadar bercerita saja di masjid tadi, saya fikirkan awak olok-olok aje nak datang rupa-rupanya awak sungguh-sungguh.”
“Saya memang suka buat kerja macam ni,” jawab Datuk. Dan peniaga itu meninggalkan kami di bawah pepohon jejawi yang besar itu.
Dua tiga kali saya meraba pangkal dagu bila terdengar lolongan anjing bersahut-sahutan dari bahagian tengah dan hujung kampung. Lolongan anjing itu disertai dengan salakan yang tidak putus-putus macam menyalak sesuatu. Saya lihat ke langit, saya nampak awan putih bersih bergerak lemah ke selatan.
Suara katak dan cengkerik menambahkan rasa seram. Beberapa helai daun jejawi yang tua gugur lalu menyentuh kepala saya. Datuk tetap tenang menyuluh ke kiri dan ke kanan dengan lampu picitnya. Melihat dari langkah dan gerak tangan Datuk, menggambarkan yang dirinya tidak perlu membuat apa-apa persiapan.
Datuk tidak membaca ayat-ayat suci. Ia kelihatan tenang dan ada kalanya ia tersenyum panjang. Datuk duduk bersila di pangkal jejawi. Akar-akar yang bergayutan di pohon jejawi bergerak sendiri macam ada orang yang menolaknya. Akar-akar itu memukul belakang Datuk dan ada kalanya memukul bahagian punggung saya. Terasa juga sakitnya tetapi, saya diamkan sahaja.
“Suluh baik-baik,” Datuk mengingatkan saya. Arahan Datuk saya patuhi.
Saya terdengar kicau burung murai. Pelik juga macam mana murai boleh berkicau malam. Bila kicau mural itu berhenti. Ada titik air jatuh dari dahan jejawi, macam air dari perahan kain yang dibasuh. Air itu turun berjuntai. Salakan anjing beransur perlahan begitu juga dengan lolongannya.
Terdengar bunyi kaki orang memijak reranting dan dedaun kering dalam gelap malam. Bila disuluh dengan lampu picit. Tidak ada sesuatu yang dapat dilihat. Bulu tengkuk saya meremang. Badan saya terasa seram sejuk.
Beberapa ekor tikus liar. Entah dari mana datangnya melintas di depan saya dan Datuk. Seekor anjing yang bertompok hitam putih melompat di depan Datuk dan terus hilang. Beberapa saat kemudian terdengar suara anjing menderam macam menegur sesuatu.
“Dia tidak datang kerana kita tidak mengambil sesuatu di sini,” kata Datuk pada saya sambil bangun. Ia menggeliat.
“Apa yang kita nak ambil tuk?”
“Ikut aku Tamar.”
Saya lihat Datuk menyuluh ke kanan. Dari suluhan lampu picit ternampak beberapa batang pokok delima yang berdaun lebat. Datuk mengajak saya menuju ke pohon delima itu. Datuk serahkan lampu picit pada saya.
“Suluh, biar aku petik sebiji dua,” beritahu Datuk pada saya.
“Baik tuk.”
Datuk memetik dua biji delima yang masak ranum. Dia masukkan ke dalam sakunya dan Datuk melangkah ke arah pohon kelapa yang berada di depannya.
Tiba-tiba dari balik pohon kelapa itu muncul lembaga manusia, memakai kain putih menutup seluruh tubuh hingga ke kaki. Hujung kain putihnya mengheret dedaun dan ranting yang melekat dan mengeluarkan bunyi macam bunyi pinggan yang ditarik atas meja tanpa alas.
Ia berjalan di depan kami dalam jarak lima belas kaki. Bila Datuk dan saya berhenti berjalan. Ia juga turut berhenti. B11a Datuk mengalihkan perjalanan ke arah lain. Ia hilang untuk beberapa minit dan akhirnya muncul di depan kami.
Perbuatannya itu seolah-olah menyekat perjalanan saya dan Datuk. Lebih dari satu jam kami berlegar-legar di situ. Ke mana sahaja kami pergi lembaga putih tetap berada di depan. Ia tidak menoleh ke arah saya dan Datuk. Bagaikan ia mahu menyembunyikan wajahnya dari kami.
Ia juga tidak mengganggu atau cuba menakutkan saya dan Datuk. Saya mengajak Datuk pulang. Malangnya Datuk tidak mahu mendengar cakap saya.
“Dia tidak berkasar, susah aku nak menduganya,” beritahu Datuk pada saya dengan wajah sedikit kecewa. Dan Datuk cuba mendekatinya. Lembaga putih itu bagaikan tahu apa yang tersirat di hati Datuk. Ia tidak bergerak, tertegun dengan membelakangi kami.
Datuk terus menepuk bahu lembaga putih. Dengan pantas lembaga itu memusingkan badannya. Menentang wajah saya dan Datuk. Badan saya menggeletar dan lembik. Saya jatuh tanpa berkata apa-apa. Datuk tidak berganjak, Ia tetap menentang wajah lembaga putih itu.
Macam mana badan saya tidak lembik dan jatuh. Lembaga putih itu tidak berwajah. Bahagian muka yang tidak ditutup dengan kain putih itu sebenarnya kosong, nampak berlubang dan hitam pekat tetapi ada kilau cahaya yang amat kecil yang menyebabkan mata jadi silau bila ditentang. Kepala terasa pening.
“Aku cuma nak tengok kamu saja, apa yang aku ambil aku pulangkan ke tempatnya,” kata Datuk pada lembaga itu. Perlahan-lahan lembaga itu memusingkan badannya ke arah depan. Datuk membangunkan saya. Lembaga putih masih berdiri di tempatnya.
“Kita mengambil hak orang,” beritahu Datuk pada saya. Tangan saya ditariknya menuju ke pohon delima. Datuk mengeluarkan buah delima dari koceknya dan diletakkan di pangkal pokok delima. Bila kami toleh ke arah lembaga putih, lembaga itu sudah pun hilang.
Salakan dan lolongan anjing kedengaran bertalu-talu dari arah selatan. Datuk menarik tangan saya menuju ke rumah peniaga. Saya terkejut, peniaga itu menunggu kami di kaki tangga. Jam tua di tengah rumahnya berdenting dua kali.
“Jumpa?” Tanyanya.
“Jumpa, saya dah jumpa,” balas Datuk.
“Apa katanya?”
“Dia mengawal kampung awak,” jawab Datuk. Peniaga itu agak terkejut dengan jawapan yang diberikan oleh Datuk.
Ia termenung. Dengan nada suara yang lembut ia berkata; “Ramai orang yang berkata, seperti yang awak katakan itu.” Datuk tersenyum panjang. Datuk terus duduk di sisinya. Saya masih berdiri.
Peniaga itu mengajak Datuk tidur di rumahnya dengan alasan ia mahu Datuk bercerita, bagaimana lembaga putih itu boleh berkeliaran di kampungnya. Ia juga ingin tahu betulkah lembaga itu menjelma untuk mengawal kampung tersebut.
Datuk menolak permintaannya. Datuk juga berjanji padanya, satu hari nanti, Datuk akan menceritakan padanya bagaimana lembaga putih tu boleh muncul. Peniaga itu puas hati dengan penjelasan Datuk dan merestui perjalanan kampung ke rumah Alang Abdul Rauf.
Along Abdul Rauf sudah pun pulang kerja ketika kami tiba di rumahnya. Ia sudah menyediakan tilam dan bantal untuk kami. Macam selalu, sebelum tidur Datuk akan melakukan sembahyang sunat. Mungkin kerana terlalu letih, Along Abdul Rauf tidak mahu bercerita panjang.
“Esok kamu ceritakan pada aku apa yang kamu alami,” kata Along Abdul Rauf. Saya merasa senang hati. Saya dapat tidur cepat. Sudah tidak tahan rasa menahan kelopak mata.
“Tak apalah Rauf, esok saja.”
“Tidurlah.” Alang Abdul Rauf meninggalkan kami.
GORENG
Pagi itu, kami sarapan pagi di anjung rumah Along Abdul Rauf. Goreng pisang yang disediakan oleh isterinya membuat saya makan dengan penuh selera sekali.
“Kamu jumpa?” Along Rauf memulakan ceritanya.
“Jumpa dan bercakap dengannya.”
“Apa katanya?”
“Aku saja yang bercakap tetapi dia diam juga.”
“Ah, kamu mempermainkan aku.” balas Along Abdul Rauf sambil ketawa panjang. Saya cuma tersenyum lebar. Seronok juga melihat orang tua berjenaka.
Tanpa diminta oleh Datuk, Along Abdul Rauf terus bercerita berhubung dengan lembaga putih. Menurutnya, lembaga itu sudah lama muncul di tempat tersebut.
Beberapa orang pawang telah dipanggil untuk menghalaunya tetapi tidak berjaya. Penduduk di tempat tersebut terpaksa bertindak demikian kerana ramai penduduk yang terserempak dengan lembaga putih bila pulang malam. Malah, ada yang jatuh sakit.
“Saya rasa susah nak mencari orang yang boleh menghalaunya,” tercetus suara Datuk.
“Kalau macam tu susahlah.”
“Tak susah satu masa nanti lembaga ini akan hilang dengan sendirinya, asalkan penduduk di situ selalu mengadakan pembacaan Yasin secara beramai-ramai di masjid atau surau pada setiap malam Jumaat,” jelas Datuk dengan tenang.
Datuk terus memberitahu Alang Abdul Rauf, lembaga putih itu ada hubungannya dengan orang kaya atau orang yang mula meneroka kampung tersebut. Orang kaya atau peneroka kampung tersebut memelihara sejenis makhluk untuk jadi pengapit dirinya atau untuk menjaga hartanya.
“Ilmu itu apa namanya?” Mendadak sahaja Alang Abdul Rauf bertanya.
“Setengah orang menyebutnya Pengapit dan setengah orang pula menyebutnya sebagai kembar” jelas Datuk.
“Tujuannya baik, tentu tak salah?”
“Sebagal orang Islam kenapa kita mesti minta pertolongan dari makhluk lain seperti syaitan atau jin, kenapa kita tidak memohon pertolongan dari Allah? Perbuatan begini sudah salah boleh memesongkan iktikad kita.”
“Tapi, kita mohon sesuatu yang baik untuk keselamatan diri dan Allah perkenankan,” Alang Abdul Rauf tidak puas hati.
“Bukankah Allah itu pemurah, apa yang diminta akan diberi tetapi, Allah memberikan fikiran pada kita untuk berfikir bagi memilih mana yang baik, Allah suka pada orang berfikir.” Sanggah Datuk. Dan Datuk bersedia melanjutkannya kalau Alang Abdul Rauf mahu berhujah tentang perkara itu.
“Kamu tahu tak, apakah makhluk pengapit dari jin dan syaitan atau sebagainya,” tanya Alang Abdul Rauf lagi.
“Boleh jadi kedua-duanya sekali,” pendek Datuk menjawab.
“Hum,” keluh Alang Abdul Rauf.
Datuk terus menerangkan pada Alang Abdul Rauf, bila orang yang mengamalkan ilmu pengapit itu meninggal dunia. Pengapitnya akan berkeliaran mencari kerabat si mati yang mahu membelanya.
Andainya keluarga si mati itu tidak tahu simpati membela pengapit atau tidak mahu menyambung usaha si mati, pengapitnya berkeliaran ke mana sahaja di kawasan kampung yang pernah jadi tempat tinggal si mati. Pengapit itu akan menjadi penunggu kampung secara sukarela dengan harapan ada orang yang bersimpati untuk mengambilnya menjadi pengapit.
“Kamu tahu macam mana cara orang itu membela pengapitnya?” Cungkil Alang Abdul Rauf.
“Dia mengadakan kenduri, membaca doa tetapi, lebihan dari jamuan kenduri itu diambil diletakkan dalam nyiru lalu dicampakkan ke dalam hutan atau di bawah pokok besar.”
“Mana kamu tahu semuanya ni?”
“Aku pernah berdamping dengan orang yang membela pengapit tetapi, aku tak mengamalkannya kerana perbuatan ini bertentang dengan ajaran Agama Islam.”
“Hebat juga kamu ni?”
“Bagi aku, kita harus menyerahkan diri pada Allah minta perlindungan pada-Nya, buat apa yang disuruh, jauh dari kerja yang ditegahnya. Ajaran Islam kalau diikut dengan betul, kita selamat dunia akhirat.”
“Tetapi, ada orang campur-adukkan ajaran agama dengan ilmu dunia, campur dengan perkara tahyul, bagaimana pendapat kamu.”
“Itu cara yang salah dan tanggungjawab orang itu untuk berhadapan dengan Allah,” Datuk tersenyum.
Biji mata Alang Abdul Rauf terbeliak bila Datuk memberitahunya, jika Datuk memasukkan segenggam tanah ke arah muka lembaga putih yang kosong itu, pasti lembaga itu akan mengikutnya dan akan menjadi hamba Datuk sampai Datuk mati.
“Bukan itu tujuan aku mencarinya, aku sekadar nak tahu saja. kalau aku tanya orang-orang kampung tersebut, aku mesti dapat tahu pengapit siapa lembaga putih itu, tapi kena makan masa yang panjang.”
“Tak usah buat kerja salah tu,” tahan Alang Abdul Rauf.
“Kalau kamu tak cakap pun, aku tak akan membuatnya.”
“Bagus, malam esok ikut aku ke kubur korek mayat,” pelawa Alang Abdul Rauf.
“Boleh juga,” jawab Datuk pantas. Saya menarik nafas panjang.
Saya tinggalkan Datuk dan Alang Abdul Rauf yang rancak berbual. Saya duduk berjuntai kaki di tangga, melihat pepohon yang berdaun lebat di halaman rumah Alang Abdul Rauf. Dari radio jiran tetangga Alang Abdul Rauf, saya menikmati lagu ‘Tak Mengapa’ dendangan A. Rahman Hassan yang popular ketika itu.
Hati saya jadi terhibur lalu menepuk tangan perlahan-lahan mengikut rentak irama lagu tersebut. Sesekali saya menyebutkan senikatanya. Memang, semua senikata lagu itu tidak dapat saya ingati. Tetapi, iramanya memang menarik, sambil mendengar lagu tersebut, saya cuba mengkhayalkan dalam kepala yang saya sedang mendendangkan lagu itu di atas pentas di hadapan ribuan para peminat.
Saya tersenyum bila menerima tepukan yang bergemuruh. Saya lalu menundukkan badan dan kepala membalas penghormatan itu. Saya bayangkan, ketika turun dari pentas saya terus dikerumuni oleh para peminat, mereka hulurkan tangan untuk bersalaman, mereka lari beri autograf untuk ditandatangani. Ada yang beri baju dan sapu tangan untuk ditandatangani. Saya jadi lemas di tengah para peminat yang terdiri dari para belia.
Saya juga membayangkan gambar saya jadi bahan siaran majalah hiburan. Di mana-mana saya pergi, saya tetap disanjung dan dihormati. Setiap hari saya membalas beratus-ratus surat peminat. Oh, seronoknya.
“Eh, kamu ini tak habis-habis dengan menung, berangan-angan,” Datuk terus menepuk bahu kanan saya. Semua khayalan indah yang berbunga dalam kepala hancur punah. Saya renung mukanya dengan rasa kesal. Bukannya senang mahu membina satu khayalan yang menyeronokkan.
“Kamu ikut Alang Abdul Rauf pergi ke Kota Baru,” kata Datuk.
“Tuk nak ke mana?”
“Aku nak jumpa dengan peniaga di pasar Batu Gajah.”
“Kalau macam tu, saya ikut tuk saja, tak seronok dengan Alang Rauf, saya tak begitu kenal dengannya tuk.”
“Jangan bantah cakap aku.” suara Datuk mula keras. Dan Alang Abdul Rauf segera mendekati saya. Perlahan-lahan saya lagakan gigi atas dengan gigi bawah berkali-kali.
“Mari,” kata Alang Abdul Rauf. Saya tak ada pilihan. Terpaksa ikut cakap Datuk dan mematuhi ajakan Datuk.
Datuk, saya dan Alang Abdul Rauf meninggalkan rumah. Jalan bersaingan hingga sampai kepala simpang. Dari situ kami berpecah. Datuk menuju ke pasar Batu Gajah. Alang Abdul Rauf dan saya menuju ke tempat yang dirancang.
Seronok juga ikut Alang Abdul Rauf. Saya dapat pengalaman baru yang amat menyeronokkan. Melintasi ladang getah dan kawasan perlombongan yang amat luas. Tidak saya sangka Alang Abdul Rauf yang sudah tua, (saya kira usianya sekitar lima puluh tujuh) masih bertenaga mengayuh basikal berbatu-batu. Saya yang membonceng di belakangnya perlu mengimbangkan badan supaya tidak berat sebelah.
Sesekali terpaksa angkat punggung, bila tayar basikalnya melanggar akar-akar getah yang berselirat di jalan kampung. Alang Abdul Rauf memberitahu, dia sengaja membawa saya melalui jalan tersebut, kerana jalan kampung itu merupakan jalan pintas yang terdekat untuk sampai ke Kota Baru, sebuah pekan kecil dalam daerah Kinta.
Sejam kemudian, kami sampai ke pekan kecil itu. Alang Abdul Rauf sandarkan basikal di pangkal pokok jati depan kedai kopi. Bahagian belakang baju Melayunya, saya lihat dibasahi peluh. Daging punggung saya terasa kebas dan sengal-sengal.
“Kita minum, rumah adik aku tak jauh Lagi,” kata Alang Abdul Rauf.
“Saya tak dahaga pakcik.”
“Tak dahaga pun, apa salahnya minum.”
“Tak payahlah pakcik.”
“Jangan begitu, Datuk kamu tak marah, dia suruh aku bawa kamu, biar kamu tahu tentang keadaan orang di sini.”
“Hummmm,” keluh saya lalu mengikutnya masuk ke kedai kopi.
Alang Abdul Rauf minta dua cawan kopi. Sementara menanti kopi yang dipesan, Alang Abdul Rauf menatap akhbar Utusan Melayu yang memang disediakan oleh pihak pekedai untuk para pelanggan yang datang minum. Saya lihat tidak berapa ramai orang yang minum dalam kedai tersebut.
Kebanyakannya sudah tua-tua belaka. Tetapi, mereka tetap bersikap ramah pada saya dan Alang Abdul Rauf. Mereka tidak kedekut untuk memberikan senyuman pada kami. Sikap mereka itu membuat saya gembira dan senang hati. Kopi yang dipesan pun sampai.
“Minumlah” kata Alang Abdul Rauf pada saya. Cepat-cepat saya anggukkan kepala lalu mendekatkan piring dan cawan ke tepi meja. Saya kacau air dalam cawan dengan sudu. Biar gula, kopi dan susu jadi sebati. Alang Abdul Rauf masih lagi menatap akhbar. Seolah-olah buat tidak kisah dengan air kopi yang dipesannya.
“Pak cik kenapa tak minum?” Tanya saya. Alang Abdul Rauf jatuhkan surat khabar atas meja. Muka saya ditentangnya sambil menolak surat khabar Utusan Melayu ke tepi. Saya terus mendermakan senyum padanya sambil mengangkat cawan untuk menghirup air kopi.
“Tamar.”
Cawan kopi saya letakkan atas meja kembali. Saya lihat Alang Abdul Rauf menekup kedua belah telinganya dengan telapak tangan. Matanya tertatap pada dada meja. Memang saya, tidak mengerti kenapa Alang Abdul Rauf berbuat demikian. Mungkin itu kebiasaan yang sering dilakukannya atau dia mengalami sakit telinga, saya membuat andaian yang tersendiri.
Alang Abdul Rauf terus menghirup kopi. Bahu kanan saya dicuitnya, menyuruh saya minum. Tanpa membuang masa, air kopi terus saya hirup. Rasa kering di anak tekak terus berakhir.
“Makan kuih,” kata Alang Abdul Rauf. Ia terus mengambil pulut udang dalam piring. Pembalut pulut udang dikoyakkannya dengan berhati-hati.
Sebelum pulut udang disumbat ke dalam mulut, pembalut bahagian atas dan bawah terus dibuang. Alang Abdul Rauf terus mengunyah pulut udang dan kemudian ditelan.
Saya terus mengambil kuih Seri Muka, bila kuih itu saya dekatkan ke mulut. Alang Abdul Rauf terus berdehem. Saya segera memandang padanya dengan ragu-ragu. Kenapa setiap kali saya mahu minum dan makan, Alang Abdul Rauf melakukan sesuatu.
“Kau tak baca bismillah,” Alang Abdul Rauf mengingatkan.
“Oh. terima kasih.”
Saya terus membaca bismillah. Kuih Seri Muka saya kunyah dengan rakus sekali. Alang Abdul Rauf tersenyum memandang pada saya. Beberapa orang pelanggan, masuk dan keluar dari kedai kopi. Matahari yang memancar garang di luar menghantar bahang panas ke dalam kedai.
Badan saya jadi berpeluh. Alang Abdul Rauf menghabiskan sisa-sisa kopi di cawan. Ia minta lagi secawan kopi. Jumlah pulut udang dalam piring terus berkurangan. Saya kira kopi dan pulut udang merupakan makanan dan minuman yang amat digemari oleh Alang Abdul Rauf.
“Tamar, kau mahu mengamalkan petua orang tua-tua.”
‘Mahu pakcik.”
Alang Abdul Rauf kacau kopi dengan sudu berkali-kali. Sudu yang berlaga dengan bibir cawan melahirkan bunyi yang amat menyeronokkan bagi diri saya. Sebelum minum kopi, Alang Abdul Rauf menggosok-gosok rambutnya dengan telapak tangan. Kemudian baru ia minum dengan tenang.
“Apa petua yang pakcik nak cakapkan dengan saya?”

KARYA : MOHD ZUHAIRY
CP BY ADMIN A.D
CGCZONE BRUNEI
theHORRORZONE BRUNEI

KOLEKSI CERITA SERAM MELAYU - #SEASON2
TAJUK CERITA : 
KARYA : MOHD ZUHAIRY
CP BY ADMIN A.D
CGCZONE BRUNEI
theHORRORZONE BRUNEI
http://thehorrorzon.blogspot.com/2020/04/koleksi-cerita-seram-melayu-season2.html
KODE : 2000027509400010


KARYA : MOHD ZUHAIRY
CP BY ADMIN A.D
CGCZONE BRUNEI
theHORRORZONE BRUNEI

Comments

Popular posts from this blog

KOLEKSI VIDEO / MOVIE ACTION / CARTOON / SEASON#1

AD COLLECTIONS / THAI MOVIES / SEASON#1

CGCZONE 👁‍🗨 PAID ADVERT / SERVIS IKLAN BEBAYAR / DETAILS