HIMPUNAN CERITA SERAM MELAYU - CHAPTER#2

HIMPUNAN 👁‍🗨 CERITA SERAM
CP BY ADMIN A.D
CGCZONE BRUNEI
theHORRORZONE BRUNEI


01. BUNUH JEMBALANG

HIMPUNAN 👁‍🗨 CERITA SERAM
TAJUK CERITA : BUNUH JEMBALANG
KODE : 3300027509401001
CP BY ADMIN A.D
CGCZONE BRUNEI
theHORRORZONE BRUNEI
http://thehorrorzon.blogspot.com/2020/04/himpunan-cerita-seram-melayu-chapter2.html

Sepanjang jalan pulang, kami tidak banyak bercakap. Sekali-sekala Datuk berdehem kecil dan Alang Abdul Rauf menguap. Lebih kurang dalam jarak lima batas kaki mahu sampai ke kaki tangga rumah Alang Abdul Rauf saya terdengar sesuatu dari sebelah kanan saya.
Saya segera menoleh, tidak ada sesuatu yang dapat saya lihat dengan jelas dalam suasana gelap itu, kecuali gerakan dedaun serunai laut dan senduduk yang melintuk-lintuk ke kiri dan ke kanan diusik angin malam.
Isteri Alang Abdul Rauf membuka pintu. Cahaya dalam lampu gasolin yang tergantung di tengah rumah melimpah di halaman. Isteri Alang Abdul Rauf yang memakai baju kurung labuh berdiri di muka pintu. Mukanya, kelihatan resah macam menyembunyikan sebuah kebimbangan yang amat sangat dalam hatinya.
“Lambat balik,” katanya sambil merenung ke kiri dan ke kanan halaman rumah. Alang Abdul Rauf terus menguap di kaki tangga dan buat tidak kisah dengan pertanyaan yang dihadapkan oleh isterinya.
“Oi, saya tanya kenapa lambat balik,” kali ini tekanan suara isterinya meninggi. Alang Abdul Rauf garu cuping telinga macam orang baru terbangun dari tidur. Perbuatannya itu membuat saya ketawa kecil.
Akibatnya, telinga saya dijentik oleh Datuk. Pedihnya bukan kepalang. Saya segera mengerti, apa yang saya lakukan itu sudah agak keterlaluan.
“Belajarlah menghormati perasaan orang lain,” bisik Datuk.
“Saya tak sengaja tuk,”
“Ajar diri, supaya lepas dari perbuatan tidak sengaja,” lanjut Datuk. Sepasang matanya dijegilkan pada saya. Tidak berani saya menentangnya. Menentang mata Datuk bererti membantah saranan yang diluahkannya. Boleh menjadikan Datuk membebel sepanjang malam. Perkara macam itu tidak saya relakan berlaku.
“Ada guru agama, ceramahnya elok dan baik, kalau awak ikut sama tadi tentu beruntung,” Alang Abdul Rauf menjawab pertanyaan dari isterinya. Jawapan itu memuaskan hati isterinya. Saya dan Datuk buka kasut lalu memijak mata anak tangga seperti yang dilakukan oleh Alang Abdul Rauf. Kami duduk di ruang rumah dengan pintu yang masih terbuka.
“Makan, nasi dan lauk dah siap,” beritahu isteri Alang Abdul Rauf.
“Mari kita makan,” jemput Alang Abdul Rauf. Ketika saya mahu bangun, mata saya memandang ke arah pintu yang masih terdedah.
“Tuk tengok tu,” suara saya separuh meninggi. Serentak Alang Abdul Rauf serta isteri dan Datuk memandang keluar. Muka mereka nampak berubah. Saya duduk kembali. Badan saya menggeletar dengan tiba dan bulu roma seluruh badan segera dirapatkannya.
“Masa awak ke masjid tadi, ada orang ketuk pintu dan panggil nama awak berkali-kali, bila saya buka pintu tak ada satu pun yang saya nampak, agaknya jembalang itulah yang mengetuknya,” dari dalam bilik isteri Alang Abdul Rauf terus bersuara. Datuk renung muka Alang Abdul Rauf dan Alang Abdul Rauf yang mahu mendekati pintu segera dihalang. Disuruh berdiri sebelah kanannya.
“Jangan menggelabah, kita mesti tenang,” Datuk bersuara.
“Inilah kali pertama saya berdepan dengan perkara ganjil macam ni, tolonglah saya,”
“Jangan minta tolong pada saya minta tolong dan perlindungan dari Allah.”
“Agaknya syaitan nak uji kita?”
“Boleh jadi juga,” Datuk menjawab pendek.
Datuk maju setapak ke muka pintu. Alang Abdul Rauf juga melangkah setapak. Isteri Alang Abdul Rauf secara mengejut keluar dari bilik tidur dengan keris panjang terhunus di tangan. Rambutnya yang tadi bersanggul rapi mula menggerbang. Matanya melilau ke kiri dan ke kanan.
“Mak cik nak ke mana?”
Saya bangun dan mendekatinya. Badan saya ditolaknya dengan sekuat tenaga hingga saya terdorong ke dinding dan terus jatuh. Datuk tidak pun mahu menoleh ke arah saya, kecuali Alang Abdul Rauf yang cuba menerkam ke arah saya. Tetapi, tidak berhasil kerana tangan Datuk memaut bahu kirinya.
“Jangan pedulikan semuanya tu,” suara Datuk parau tanpa memandang muka Alang Abdul Rauf. Alang Abdul Rauf merenung ke halaman rumah kembali.
“Biar aku tikam benda celaka tu dengan keris pusaka ni,” jerit isteri Alang Abdul Rauf lalu merempuh Datuk dan Alang Abdul Rauf yang berdiri di muka pintu. Datuk berpusing ke kiri, bagaikan kilat tangannya menumbuk lengan kanan isteri Alang Abdul Rauf hingga keris jatuh terpacak di lantai. Ulu keris yang berbentuk paruh burung helang itu bergerak-gerak.
Isteri Alang Abdul Rauf jadi marah. Jeritnya makin keras lengan bajunya dilipat hingga melepasi bahagian siku. Ia tetap mahu terjun ke halaman rumah. Datuk dan Alang Abdul Rauf cuba menghalangnya. Dalam saat yang agak kelam-kabut itu, Alang Abdul Rauf cuba menghalangnya. Dalam saat yang agak kelam-kabut itu, isteri Alang Abdul Rauf yang tahu langkah silat itu melepaskan satu tendangan yang kencang ke arah kemaluan suaminya. Alang Abdul Rauf terbongkok-bongkok menahan kesakitan dan terus jatuh.
Isteri Alang Abdul Rauf yang seperti kemasukan syaitan itu, mula berhadapan dengan Datuk yang cuba menghalang usahanya. Datuk kali ini, tidak mahu berlembut lagi. Kalau berlembut keadaan menjadi bertambah tidak tentu arah.
Saya pula memberanikan diri merenung ke halaman rumah. Ternyata saya tidak sanggup melihat ke arah tempat tersebut, siapa pun pasti menggeletar tubuhnya merenung sesuatu yang ganjil lebih-lebih lagi kalau benda yang dipandang itu tidak tentu bentuknya, boleh berubah dalam sekelip mata. Sebentar menjadi bentuk manusia yang diselimuti dengan kain putih dari hujung kaki hingga ke kepala, sebentar jadi harimau atau gajah putih yang berbadan besar tertegun di halaman rumah.
“Tamar jangan tengok,” sergah Datuk. Saya akur dengan cakapnya itu. Datuk angkat tangan kiri lalu melepaskan satu pukulan yang agak kencang ke bahagian belikat isteri Alang Abdul Rauf, wanita itu tersandar pada dinding dan tidak bergerak.
“Rawat pak cik tu,” Datuk keluar perintah, saya terus mengurut-ngurut belakang Alang Abdul Rauf hingga rasa sengal dan sakit di kemaluannya hilang. Alang Abdul Rauf bangun dan cuba menyandarkan isterinya tetapi Datuk melarangnya. Alang Abdul Rauf mencabut keris yang terpacak di lantai.
“Nak buat apa Alang?”
“Biar aku bunuh jambelang tu.”
“Jangan, bukan masanya.”
“Kita perlu bertindak.”
“Aku kata bukan masanya, faham tak?” Suara Datuk mula keras. Alang Abdul Rauf terus meletakkan keris atas lantai kembali. Saya diam tidak terkata. Tidak tahu, apa yang harus saya lakukan. Hati kecil saya terus berdoa, semoga tidak akan terjadi perbalahan antara Datuk dengan Alang Abdul Rauf.
“Kau duduk bersila dekat Tamar, biar aku selesaikan kerja” itu perintah Datuk dan Alang Abdul Rauf sedia mematuhinya, ”apa yang aku buat jangan ditegur,” tambah Datuk lagi. Serentak saya dan Alang Abdul Rauf anggukkan kepala. Kami (saya dan Alang Abdul Rauf) berpandangan sama sendiri. Saya tidak tahu apa yang dirasai oleh Alang Abdul Rauf tetapi, hati kecil saya tetap gementar dan cemas.
Datuk berdiri di muka pintu. Kedua belah kakinya dikangkangkannya sedikit. Sepasang tangannya diluruskan untuk beberapa minit saja. Kemudian, sepasang tangannya itu terus memeluk tubuhnya dengan kejap. Matanya, tidak merenung halaman rumah.
Angin dinihari yang berputar di ruang pintu menggerakkan bahagian tepi baju yang dipakai oleh Datuk. Isteri Alang Abdul Rauf masih belum sedarkan diri, kerana rasa dingin yang beransur kuat membuat saya menegakkan sepasang lutut dan terus memeluknya. Datuk melangkah memijak mata tangga pertama hingga ke lima. Saya dan Alang Abdul Rauf merangkak perlahan-lahan ke muka pintu. Duduk di situ. Datuk memijak bumi dan terus mara ke arah lembaga berkain putih.
Datuk berdiri berdepan dengan lembaga berkain putih dalam jarak yang cukup dekat. Andainya, Datuk meluruskan tangannya ke depan sudah pasti ia boleh menyentuh tubuh lembaga itu. Tetapi, Datuk tidak akan berbuat demikian. Ia tetap memeluk tubuhnya. Saya terdengar suara Datuk menyebut Bismillah.... dan disambut dengan beberapa ayat dan Al-Quran.
Selesai saja Datuk menamatkan pembacaannya, saya terdengar deru angin yang amat kuat, lembaga berkain putih terus berpusing perlahan-lahan, kemudian bertukar dengan cepat dan ligat macam gasing dalam deru angin itu juga terdengar bunyi suara orang berkata-kata yang sukar difahami maknanya.
Lembaga berkain putih itu jadi pipis dan memanjang tanpa berhenti berpusing. Pakaian Datuk nampak bergerak-gerak dengan hebatnya. Tetapi, tubuhnya tidak bergerak walau satu inci pun dan tempat ia berdiri.
Saya tersentak bila terpandangkan lembaga yang berkain putih itu menjadi seketul, macam batang kayu sebesar pemeluk dan bergolek ke kiri dan kanan. Semuanya tidak dipedulikan oleh Datuk. Ia tetap terpacak di situ, macam paku terlekat di pipi.
Dari bentuk batang kayu lembaga berkain putih itu bertukar lagi. Tegak memanjang dan tidak berhenti berpusing sambil mengeluarkan suara yang menderu seperti angin. Makin lama. lembaga itu makin tinggi melepasi bumbung rumah dan pepokok yang ada di sekitar halaman rumah.
Bentuknya juga turut bertukar, menjadi nipis macam asap. Bahagian bawahnya mengecil dan tajam, macam kayu yang sudah dipertajam untuk dibuat turus pagar, bahagian yang tajam itu bagaikan tidak menyentuh bumi dan tetap berpusing dengan ligatnya.
Bahagian atasnya tetap dalam bentuk asal. Terus menjulang bagaikan mahu bercantum dengan dada langit. Cukup tinggi dan sayup mata memandangnya, tidak berhenti dan berpusing sambil mengeluarkan angin dan bunyi dengung yang amat, kuat, memekakkan anak telinga. Datuk menundukkan kepalanya merenung bumi, bunyi dengung itu beransur perlahan dan lemah.
Muka saya dan Alang Abdul Rauf terasa panas macam terkena bahang api, muka kami berpeluh. Isteri Alang Abdul Rauf masih tidak bergerak. Saya tidak tahu apakah rasa dan bahang panas itu dialami juga oleh Datuk atau tidak. Datuk tetap tertegun di tengah halaman macam tadi, bagaikan tidak terasa apa-apa.
Alang Abdul Rauf dan saya dikejutkan oleh satu ledakan yang amat kuat. Seluruh kawasan halaman terang-benderang. Lembaga berkain putih yang meninggi separas langit terus ghaib, saya lihat Datuk terlentang di atas bumi untuk beberapa saat. Datuk bangun dan masuk ke rumah seluruh badannya berpeluh, macam orang jatuh dalam danau.
“Apa dia benda tu?” Tanya Alang Abdul Rauf.
“Syaitan, sengaja mengusik kita,” balas Datuk selamba lalu duduk mencangkung di depan isteri Alang Abdul Rauf. Datuk menyuruh Alang Abdul Rauf menyentap kaki isterinya dengan sekuat hati. Isteri Alang Abdul Rauf terjaga dan cuba menerpa ke arah keris yang terlentang di atas lantai. Alang Abdul Rauf menghalangnya.
Isterinya termenung. Datuk hembus muka isteri Alang Abdul Rauf dua kali berturut-turut. Isteri Alang Abdul Rauf sandarkan badannya ke dinding. Ia kelihatan letih dan seperti orang hilang akal. Alang Abdul Rauf resah melihat keadaan isterinya itu.
“Biarkan di situ, kejap lagi dia pulih macam biasa,” ujar Datuk.
“Kenapa dia jadi macam tu?” Alang Abdul Rauf minta kepastian dari Datuk. Saya lihat Datuk termenung sejenak, “tiba-tiba saja bini saya jadi berani, saya tahu dia memang penakut,” sambung Alang Abdul Rauf dengan wajah yang agak gusar.
Datuk mengeluh kecil sambil matanya merayap ke tiap sudut dinding. Datuk menyuruh saya merapatkan daun pintu. Saya enggan melakukannya, bila didesak untuk kali yang kedua saya terpaksa mematuhi dengan perasaan yang kecut. Bila daun pintu selesai saya rapatkan, saya terus duduk kembali dekat Alang Abdul Rauf.
“Seseorang yang terlalu takut, biasanya tenggelam punca dan perhitungan, bila sampai pada tahap ini, dia akan menjadi berani membabi buta, masa itulah syaitan meresap ke tubuhnya, akibatnya apa yang kamu lihat sekarang,” terang Datuk sambil merenung muka saya dan Alang Abdul Rauf berulang kali.
Bagaimana mahu mengatasinya, bila dah jadi macam tu?” soal Alang Abdul Rauf.
“Kita bacalah ayat-ayat suci yang boleh menghalau syaitan, minta bantuan dan pertolongan dari Allah, biasanya bila syaitan dah masuk, kita jadi lupa, sebelum terjadi kita mesti bersedia.”
“Oh, begitu,” Alang Abdul Rauf menarik nafas dalam, kemudian anggukkan kepalanya dua tiga kali.
Isteri Alang bergerak ke kiri dan ke kanan, mukanya yang jadi pucat, kelihatan kemerah-merahan. Ia menegur suami dan Datuk dengan penuh sopan.
“Mengucap dua kalimah syahadat,” kata-kala itu ditujukan oleh Datuk untuk isteri Alang Abdul Rauf. Isteri Alang Abdul Rauf terus mengucapkan berkali-kali. Datuk tersenyum panjang melihat isteri Alang Abdul Rauf bangun dan menuju ke dapur. Ia terus menjemput kami ke ruang dapur untuk makan malam.
“Sebelum tidur, suruh bini kamu sembahyang sunat dua rakaat, minta pada Allah supaya dijauhkan dari gangguan syaitan,” bisik Datuk pada Alang Abdul Rauf, sebaik saja selesai makan malam. Alang Abdul Rauf memberi persetujuan untuk mematuhi apa yang dikatakan oleh Datuk.
Saya dan Datuk bersyukur pada Allah, sepanjang malam hingga fajar pagi, tidak ada perkara yang tidak diingini terjadi. Paling menggembirakan hati, seisi rumah dapat menunaikan sembahyang subuh bersama-sama Datuk.
“Tengah hari sikit, kira-kira matahari di tengah pucuk kelapa dara, kami nak beransur ke tempat lain,” ujar Datuk sambil menjamah kuih makanan pagi.
“Nak ke mana agaknya?”
“Nak balik ke tempat sendiri, dah lama benar tinggalkan orang rumah,” balas Datuk lalu menghirup kopi. Alang Abdul Rauf dan isterinya berbalas senyum.
Saya tunduk merenung lantai tetapi, mulut tidak berhenti mengunyah lepat pisang berinti kelapa. Kalau Datuk rindukan nenek, saya juga rindukannya. Dan saya memang berharap Datuk tidak menukarkan rancangannya. Kalau boleh saya mahu Datuk berangkat segera. Saya berhenti minum kopi dan berhenti menjamah lepat pisang lalu membasuh tangan.
Tepat jam sepuluh pagi, rumah Alang Abdul Rauf kami tinggalkan, sambil melangkah menuju ke pekan Batu Gajah, ada serangkai, cerita yang tersusun dalam tempurung kepala untuk saya persembahkan pada nenek.
Saya dapat membayangkan bagaimana rupa wajah nenek bila mendengar cerita yang mengerikan. Nenek pasti mempamerkan gusi dan giginya bila mendengar cerita lucu.
Semuanya mendorong dan membangkitkan keinginan saya untuk melihat wajah nenek. Peluh terus mercik di dahi. Celah ketiak dan pangkal paha mula terasa bergetah. Perjalanan kali ini amat menyeronokkan. Datuk cukup ramah dan rajin bercerita.
“Saya terasa pening tuk,” saya mengadu padanya.
“Hum, kamu ni, kena panas sikit terus sakit kepala, bukankah dah aku cakapkan dengan kamu amalkan petua yang aku berikan dulu.”
“Petua?” Saya terkejut dan memperlahankan langkah.
“Ha, kamu dah lupa?” Nada suara Datuk keras.
Saya terus mengedutkan dahi. Mengingati apa yang pernah Datuk tuturkan pada saya. Usaha saya tidak berhasil. Kalau saya nyatakan padanya. Pasti saya kena marah. Dari kena marah ada baiknya saya membisu dan terus melangkah dalam panas terik.
“Kamu ingat petua tu, Tamar,” pertanyaan itu membuat hati saya cemas.
“Tak ingat, saya tak ingat tuk.”
“Jadi, apa yang kamu ingat?” Sergah Datuk. Langkahnya mati. Biji matanya terbeliak. Saya terus membatu.
“Bukankah sudah aku katakan pada kamu, bila mandi, tidak kira pagi atau malam, mesti dimulakan dari kaki, ke badan dan akhirnya ke kepala.”
“Saya baru ingat tuk.”
“Lagi apa pesan dan petua dari aku.”
“Dalam sebulan mesti makan pucuk manggis untuk dijadikan ulam, kurangkan makan cili api.”
“Ha tahu pun kamu. ada lagi petuanya, cuba kamu ingati Tamar.”
“Setiap kali bangun pagi, mesti duduk mencangkung memeluk lutut sambil merapatkan kepala ke kepala lutut kemudian tegakkan lima kali berturut-turut, hingga sendawa.”
“Hum tahu, amalkan. InsyaAllah kalau petua itu kamu amalkan setiap hari, kamu tak mudah kena sakit kepala atau pening.”
Saya anggukkan kepala sambil membuat wajah minta dikasihani. Datuk tersenyum melihat telatah saya yang melucukan itu. Dengan lembut sekali telapak tangannya menepuk bahu kanan saya berkali-kali. Penuh kemanjaan dan kemesraan. Saya tersengih panjang.
Langkah selanjutnya, adalah langkah yang cukup rancak. Peluh yang membasahi dahi terus saya kesat dengan telapak tangan. Saya dan Datuk sudah pun melintasi kawasan tanah lombong yang ditinggalkan. Pepasir nampak berkilau-kilau ditikam matahari yang amat terik. Tetapi, angin yang amat ramah membekalkan rasa sejuk ke seluruh badan.
Sesekali terlihat beberapa ekor burung gagak, mengais-ngais pepasir lombong. Secara diam-diam saya mengambil seketul batu lalu melemparkan ke arah beburung gagak itu. Saya tersenyum melihat beburung gagak itu berterbang sambil berbunyi. Datuk berdehem dua tiga kali berturut-turut. Tandanya, Datuk kurang senang dengan apa yang saya lakukan.
Saya dan Datuk sampai ke pekan Batu Gajah dan terus menuju ke stesen bas. Cara kebetulan bas yang dingini memang sudah ada menanti. Tanpa membuang masa kami terus naik bas berwarna biru gelap berjalur merah. Belum pun sempat tempat duduk jadi panas, bas pun bergerak.
Sampai di pekan kecil Pusing, turun lagi menanti bas lain yang akan membawa kami ke kampung halaman yang sudah lama ditinggalkan. Kerana bas yang dikehendaki belum tiba Datuk terus duduk di bangku kayu di kaki lima kedai. Saya minta kebenaran dari Datuk untuk merayau sekitar pekan kecil itu. Permintaan saya diperkenankan. Saya amat gembira.
TUPAI
Saya terus menuju ke kedai yang menjual burung dan binatang. Saya terpikat dengan arnab, kucing, tupai dan musang. Dari situ saya masuk agak jauh ke perut kedai menuju ke tempat aneka jenis burung, sedang saya asyik memperhatikan beburung tersebut. Seorang lelaki berusia sekitar empat puluhan masuk ke kedai.
Lelaki itu berbincang dengan penjual burung. Lama juga mereka berbincang, bila saya amati ternyata mereka berbincang tentang harga burung. Terkejut juga hati saya bila lelaki Melayu itu sanggup membeli seekor burung dengan harga yang amat tinggi. Burung yang mahu dibeli bukanlah jenis burung yang baik, malah tidak diminati oleh orang langsung.
“Setuju,” tanya penjual burung.
“Saya setuju, kalau tujuh ratus pun saya sanggup bayar.”
“Orang Melayu tak suka burung tu, orang Melayu kata burung jenis ini, bawa sial.”
“Saya nak buat ubat, sudahlah jangan banyak cakap,” bentak orang yang mengingati burung tersebut. Penjual burung terus pergi ke bahagian belakang kedai.”
“Ini dia burungnya, awak tengok,” penjual burung segera menayangkan seekor burung bubut (setengah orang menyebutnya sebagai burung but-but) yang berbulu agak kekuning-kuningan dan bermata merah. Si pembeli membelek-belek burung itu seketika.
Penjual burung masukkan burung itu ke dalam karung kertas. Setelah menyelesaikan pembayarannya. Pembeli terus membawa burung itu keluar.
Sebaik saja pembeli burung itu hilang di balik bangunan kedai, saya merasakan ada sesuatu yang aneh pada diri pembeli burung tersebut. Kenapa burung yang tidak berapa digemari oleh masyarakat Melayu dibeli dengan harga yang begitu mahal sekali.
Tidak sukar mencarinya, asalkan sanggup keluar masuk belukar kecil atau di kawasan sawah terutama setelah musim menuai padi. Mungkin si pembeli mempunyai maksud yang tertentu? Timbul pertanyaan dalam diri saya.
“Eh kamu”
Satu tepukan singgah di bahu kiri. Wajah si penjual burung nampak terkejut. Saya toleh ke belakang. Bola mata saya mencakup wajah Datuk dalam keadaan yang kurang tenang.
“Nak beli burung encik,” si penjual burung aju pertanyaan pada Datuk. Datuk gelengkan kepala. Telapak tangannya masih melekat di bahu saya.
“Kamu tahu, kerana kamu asyik tengok burung bas dah tinggalkan kita,” rungut Datuk telapak tangannya tidak lagi berada di bahu saya. Tidak ada sesuatu yang dapat saya katakan padanya.
Datuk terus mengheret saya keluar dari kedai burung. Si penjual burung memandang perbualan Datuk dengan mata yang terkebil-kebil dan terus tersenyum panjang. Saya disuruh duduk di bangku kayu dan tidak dibenarkan ke mana-mana. Saya menyesali diri sendiri kerana terlalu asyik memikirkan diri si pembeli burung yang aneh.
“Tuk.”
“Hum kenapa Tamar?”
“Orang beli burung but-but nak buat apa tuk?”
“Manalah aku tahu! kenapa kau tak tanya sendiri,” Datuk seperti melepaskan geram pada saya. Dan saya terima dengan kerdipan mata kecewa. Bunyi kenderaan yang lalu di jalan terus menyumbat lubang telinga. Bunyi kenderaan itu bagaikan menyorak diri saya sendiri.
“Setahu aku burung jenis itu dilindungi oleh pihak Jabatan Mergastua, tak boleh ditangkap apa lagi dijual, burung jenis tu dah nak pupus,” kali ini nada suara Datuk cukup lembut bersahaja, menghilangkan rasa sesal dalam diri saya.
“Burung jenis tu susah membelanya, biasanya orang tak suka membelanya, kata orang burung itu bawa padah buruk pada si pembelanya,” lanjut Datuk. Keinginan saya untuk mengetahui cerita selanjutnya kian menjadi-jadi dalam hati.
“Kalau dah bawa sial buat apa dibeli?” Saya menyoal. Datuk menarik nafas panjang. Beberapa orang yang lalu di kaki lima kedai merenung ke arah Datuk. Siapa pun akan merasa pelik melihat orang tua memakai baju butang lima yang dibuat dari kain keras, berseluar hitam dari kain kilat yang tidak sesuai dengan warna baju. Paling melucukan Datuk memakai selipar kulit yang tapaknya senget sebelah.
“Biasanya, orang mencari burung tu untuk ubat patah, tapi burung yang ditangkap untuk dibuat ubat patah mestilah burung yang di hutan bukannya dibeli,” Datuk seperti merungut.
“Kalau beli di kedai, tak boleh ke tuk?”
“Ada tujuan lain yang tak baik.”
“Saya tak faham cakap tuk.”
“Nak buat aniaya sesama manusia, ini kerja syaitan,” Datuk mengeluh. Saya angguk kepala. Bas yang dinanti pun tiba.
“Cepat Tamar.”
Datuk terus menarik tangan saya. Kami berlari ke pintu bas. Berhenti sebentar di situ memberi laluan pada orang yang mahu turun.
Bila orang habis turun, kami pun terus naik bas. Saya memilih bangku kosong di belakang pemandu.
Tidak ada bantahan dari Datuk. Tidak ada perkara yang kami cakapkan dalam perut bas. Saya lebih banyak tidur dan memandang keindahan kiri-kanan jalan.
KISAH
Dari pukul dua petang hingga sampai waktu maghrib, bermacam-macam kisah saya sampaikan pada nenek di anjung rumah berbumbung limas. Kalau kisah lucu saya persembahkan, nenek ketawa terkekeh, kalau kisah seram yang dihidangkan wajah nenek nampak cemas.
Masuk saja waktu maghrib, Datuk terus mengajak saya ke surau, Sampai di surau saya disuruh melaungkan azan. Berkumandang suara saya ke seluruh kampung. Selesai menunaikan fardu maghrib dan isyak, barulah saya dan Datuk pulang ke rumah. Sambung kembali cerita dengan nenek.
-TAMAT-

02. DICAKAR KUCING HUTAN

HIMPUNAN 👁‍🗨 CERITA SERAM
TAJUK CERITA : DICAKAR KUCING HUTAN
KODE : 3300027509401002
CP BY ADMIN A.D
CGCZONE BRUNEI
theHORRORZONE BRUNEI
http://thehorrorzon.blogspot.com/2020/04/himpunan-cerita-seram-melayu-chapter2.html

Di bawah sinar lampu gasolin yang cerah, saya tatap wajah Datuk. Datuk nampak tenang menarik dan melepaskan nafas. Alang Abdul Rauf terus menggosok batang cangkul dengan sepasang telapak tangannya. Kawan-kawannya terus menggali kubur dengan rancak sekali. Bau wangi terus menguasai tanah perkuburan.
Saya terus mendekati Datuk.
“Bau apa yang wangi tu tuk?”
“Ada mata tengok, ada telinga dengar.”
Jawapan yang Datuk hamburkan itu amat mengecewakan diri saya. Suara cengkerik dan katak terus berlarutan. Angin yang bertiup membekalkan rasa dingin ke seluruh tubuh. Bunyi mata pencebak dan cangkul berlaga dengan tanah jelas kedengaran. Suara burung hantu dan jampuk sayup-sayup kedengaran.
Salah seorang dari kawan Alang Abdul Rauf menghampiri kami. Badannya nampak peluh dan saya terhidu bau hangit yang meloyakan tekak. Saya paling hidung saya ke arah lain. Tetapi bau hangit itu tetap memburu hidung saya.
“Lap peluh kamu.”
Alang Abdul Rauf mencampakkan kain padanya. Orang itu terus menyapu peluh yang melekat di badan. Ia tersenyum ke arah saya. Ia bagaikan tahu yang saya tidak menyenangi dirinya.
“Dah jumpa tulang orang mati?” Alang Abdul Rauf mengajukan pertanyaan padanya. Orang itu tidak menjawab, Ia mencapai botol air sejuk di hujung lutut Alang Abdul Rauf.
Saya lihat buah halkumnya bergerak kencang ketika ia meneguk air dari dalam botol. Kulit perutnya juga turun bergerak-gerak. Sebahagian dari air yang tidak masuk ke mulutnya terus jatuh atas dada bidangnya yang berbulu lebat. Ia berhenti minum. Botol diletakkan kembali dekat hujung lutut Alang Abdul Rauf.
“Kali ni bukan jumpa tulang,” katanya sambil menyapu kesan air yang melekat di bibirnya. Saya angkat kepala merenung muka Datuk yang kelihatan terkejut. Alang Abdul Rauf menujah-nujah permukaan tanah dengan ranting kayu.
“Kalau bukan tulang, kamu jumpa apa?” tanya Datuk.
“Mayat tak reput.”
“Mayat tak reput?” Alang Abdul Rauf terus berdiri.
“Ya bau wangi ini, datangnya dari mayat tu,” orang itu tersenyum. Muka Alang Abdul Rauf nampak resah. Datuk terus menggigit kuku di jari. Saya teraba-raba batang leher beberapa kali. Badan terasa seram.
“Aku dah agak bau wangi tu dari kubur yang digali, waktu aku menolong kamu menggali tadi, makin jauh dikorek makin kuat bau tu menyumbat hidungku,” Alang Abdul Rauf bersuara lemah. Ia merenung muka Datuk sejenak.
“Aku berhenti mengorek tadi kerana pinggang aku terasa sakit, dan terus duduk dekat kawan aku ni tapi, bau wangi tu sampai ke sini,” tambah Alang Abdul Rauf sambil menggeliat beberapa kali.
“Eloklah kita tengok Alang,” Datuk mengeluarkan cadangan. Alang Abdul Rauf mengekori langkah mereka yang tenang menuju ke kubur yang jaraknya dari tempat saya dan Datuk, kira-kira sepuluh kaki. Datuk dan Abdul Rauf jenguk ke lubang kubur. Kawan Abdul Rauf yang berbadan tegap bercekak pinggang merenung ke arah kawannya yang sedang berhempas-pulas mengorek kubur yang lagi satu.
Tiba-tiba saya bagaikan dipaksa untuk melihat ke dalam kubur. Tanpa memberitahu Datuk dan Alang Abdul Rauf saya jenguk lubang kubur. Saya menarik nafas. Apa yang saya lihat ialah mayat seorang lelaki dalam keadaan yang baik. Wajahnya nampak bersih dalam keadaan yang tersenyum. Alang Abdul Rauf segera menyuruh kawannya mengambil kain untuk menutup mayat dalam lubang kubur. Perintah Alang Abdul Rauf segera dipatuhi.
“Sekarang kamu pergi ke balai polis, laporkan perkara ni pada tuk sarjan,” kara Alang Abdul Rauf pada kawannya. Tanpa sebarang bantahan kawannya terus meninggalkan kami, meredah malam menuju ke arah jalan raya pergi ke balai polis. Embun jantan yang gugur dari langit terasa menyentuh muka.
Saya mula menguap, bau tanah kubur yang baru dikorek memang kurang menyenangkan hidung saya. Sesekali saya tercium bau kapur barus dan bau air mawar. Saya tidak tahu, apakah bau tersebut tercium oleh Datuk dan Alang Abdul Rauf. Bunyi dedaun yang disentuh angin bagaikan bunyi tapak kaki orang memijak daun getah di musim kemarau. Bunyinya bersambung-sambung.
“Dah kurang bau wanginya,” ujar Alang Abdul Rauf pada Datuk yang sedang meraba-raba misainya. Mulut Datuk tetap bergerak. Entah apa yang dibacanya saya sendiri pun tidak tahu.
“Ya, tapi bau ni takkan hilang terus,” sanggah Datuk.
“Mana awak tahu?”
“Bukankah bau tu datang dari mayat, waktu begini bau kurang, menjelang subuh dan pagi baunya bertambah harum dan kuat,” jelas Datuk lagi.
“Eh, macam mana awak tahu semuanya ni?” Alang Abdul Rauf tatap muka Datuk di bawah sinar lampu gasolin yang memancar terang. Saya terus merenung ke arah kawan Alang Abdul Rauf yang sedang menggali kubur yang lagi satu.
Sesekali saya terdengar suara mereka ketawa berselang seli dengan suara batuk. Barang kali kawan Alang Abdul Rauf yang itu tidak menghadapi masalah. Kalau ada masalah terus mereka datang ke sini, kata hati saya sambil menggaru pangkal leher yang gatal akibat digigit nyamuk.
“Awak tahu makin terasa cuaca sejuk, makin kuat baunya, saya dah tahu, sebabnya dalam cuaca yang sejuk udara tidak dapat bergerak dengan lancar, sentiasa berpusing-pusing sebelum bergerak lebih jauh,” saya lihat Datuk bersuara dengan tenang dan penuh keyakinan.
Apakah cakap Datuk itu memang benar atau sengaja di ada-adakan bagi menyenangkan hati Alang Abdul Rauf. Saya lihat Alang Abdul Rauf anggukkan kepala. Setuju dengan apa yang diucapkan oleh Datuk. Saya menggeliat, menghilangkan rasa lenguh di pinggang. Rasa seram tetap menguasai seluruh badan saya.
“Pak Alang ke mari.”
Serentak kami memandang ke arah suara memanggil nama Alang Abdul Rauf. Dua orang lagi kawan Alang Abdul Rauf yang bersandar pada sebatang pokok terus mendekati Datuk. Saya lihat muka keduanya sangat pucat.
“Kamu ke mana? Diam tak bercakap,” Alang Abdul Rauf menyoal kedua-dua orang kawannya dengan wajah bersahaja.
PUTUS
Suara burung hantu dan jampuk masih berterusan. Laungan anjing tidak pernah putus. Tetapi, deru angin malam bertambah lemah.
“Kamu tengok apa yang dia orang mahu. Tolong dia orang, kalau ada apa-apa masalah datang bagi tahu aku di sini,” Alang Abdul Rauf mengeluarkan perintah.
“Baiklah Pak Alang,” kedua-duanya meninggalkan kami.
“Mari kita duduk di sana,” Alang Abdul Rauf meluruskan jari kelingkingnya ke arah sebatang pokok kayu condong.
“Boleh juga, Datuk.
“Mari.”
Kami bertiga terus menuju ke pokok condong. Duduk di situ. Datuk dan Alang Abdul Rauf duduk berdekatan hingga berlaga bahu. Saya duduk berdepan dengan mereka. Saya lihat Datuk resah tidak menentu.
Dalam saat yang sama saya bagaikan terasa ada sesuatu yang bergerak di ruang kosong, antara saya dengan Alang Abdul Rauf. Saya rasa benda yang bergerak dan tidak dapat dilihat itu seperti kaki gajah. Dedaun kering dan reranting kecil nampak bergerak dan terbenam di bumi macam dipijak sesuatu. Meninggalkan tapak yang besar. Bentuknya macam tapak kaki manusia yang berjari empat.
Alang Abdul Rauf segera bangun. Sebaik saja Alang Abdul Rauf berdiri. Ia terus jatuh terlentang macam ditolak sesuatu, baju Melayu yang dipakainya terkoyak bagaikan kena rentap oleh tangan manusia. Saya segera menghampiri Alang Abdul Rauf. Dadanya bercalar bagaikan dicakar oleh kuku kucing hutan. Muka Alang Abdul Rauf berkerut menahan kesakitan.
Datuk segera bertindak, merentap daun gelenggang yang berbunga tunggal di kanannya. Daun itu digosoknya dengan kedua belah telapak tangan hingga hancur dan mengeluarkan air. Kemudian, air dan daun gelenggang itu disapu ke dada Alang Abdul Rauf. Darah berhenti keluar dan bekas kena cakar itu nampak kering.
“Aduh!”
Saya terus berguling di tanah. Bahu kanan saya bagaikan ditikam dengan pisau belati. Pedih dan sakitnya hingga tidak terkata. Dalam pandangan yang berpinar-pinar itu, saya lihat Datuk bergerak ke sana dan ke sini sambil mengembangkan tangannya. Menepis ke kiri dan ke kanan. Tidak tahu apa yang Datuk tepiskan. Saya tidak nampak ada orang yang menyerangnya. Pokok-pokok kecil sekitar pokok condong jadi rata akibat dipijak oleh Datuk.
Alang Abdul Rauf mula bertenaga. Duduk bersila di tanah sambil melagakan jari telunjuk dengan ibu jari berkali-kali seperti orang membilang tasbih. Pandangan saya jadi gelap dan saya terdengar suara orang membaca Quran. Saya mengikut pembacaan itu dalam hati sambil menyerahkan diri pada Allah yang maha besar. Saya terdaya membuka kelopak mata. Saya toleh ke kanan, saya lihat Alang Abdul Rauf sedang membaca ayat-ayat suci.
Datuk yang tertiarap di bumi bangun perlahan-lahan. Sekujur tubuhnya berpeluh dan baju yang dipakainya penuh dengan tanah kubur. Alang Abdul Rauf berhenti membaca ayat-ayat suci dan membantu Datuk. Saya masih lagi terkapar menahan rasa sakit. Datuk menghampiri saya lalu menampar bahu saya yang sakit. Lagi sekali saya terus pengsan. Tidak tahu berapa lama saya tidak sedarkan diri. Bila saya sedar saya rasa bahu saya tidak sakit lagi.
Datuk terus mengikat ranting kering dengan kain hitam. Ranting kering itu ikat bersusun. Ranting kering yang sudah diikat itu terus dipijak hingga terbenam dalam bumi. Suasana terasa amat sepi sekali.
“Syaitan kacau kita,” Alang Abdul Rauf.
“Saya tahu,” balas Alang Abdul Rauf.
“Apa ikhtiar kita?”
“Usah bimbang, kuasa Allah tak ada sesiapa yang dapa menentangnya,” balas Alang Abdul Rauf penuh keyakinan.
“Aghhhhh”
Serentak saya dan Alang Abdul Rauf serta Datuk menoleh ke kanan. Kami terbangun. Dari celah pepohon di atas perkuburan kami terlihat satu lembaga yang amat menggerunkan, lembaga tanpa badan itu bagaikan muncul dari pohon. Kami berpandangan sama sendiri. Mata saya kembali tertumpu pada lembaga tersebut. Keadaannya amat menakutkan.
Mulutnya cukup lebar hingga bertemu dengan telinga. Bibir bawahnya nipis di pagar dengan gigi yang halus dan putih, macam gigi ikan haruan. Biji matanya agak tersorok jauh ke dalam, memancarkan sinar yang garang.
Datuk menarik nafas dengan kencang sekali. Alang Abdul Rauf toleh kiri dan toleh kanan. Kulit mukanya nampak pucat. Perhatian saya masih tertumpu pada lembaga tanpa badan. Rambutnya yang kusut masai menutup dahinya yang luas dan terdapat bekas jahitan hingga ke pangkal leher.
Kulit pipinya nampak lembik ke kanan dan ke kiri bersama gerak darah segar. Hidungnya rasa sama dengan kulit pipi. Bila matanya yang kebiru-biruan menatap muka saya seluruh badan saya menggeletar.
Bibir Alang Abdul Rauf membaca ayat Kursi lembaga itu membuka mulutnya lebar-lebar serta menjelirkan lidahnya yang panjang macam lidah cicak. Setiap kali lidahnya bergerak, keluar air lendir berwarna putih.
Alang Abdul Rauf terus membaca ayat-ayat suci. Saya terdengar bunyi ombak yang kuat. Aneh sekali, macam mana suara ombak boleh terdengar di tanah kubur sedangkan laut berpuluh-puluh batu jaraknya. Dalam gemuruh bunyi ombak itu lembaga yang berada di depan kami terus hilang.
Suasana kembali tenang. Tiada deru ombak, tiada lembaga putih tanpa kepala di depan mata. Tetapi, keresahan tetap terbayang di wajah Alang Abdul Rauf dan Datuk. Mata mereka sentiasa saja mengawasi kiri dan kanan. Bersedia menghadapi sebarang kemungkinan yang buruk.
“Rasanya tak ada apa-apa yang nak ganggu kita,” Datuk renung muka Alang Abdul Rauf. Perlahan-lahan Alang Abdul Rauf anggukkan kepala.
“Tapi, rasanya ada baik kita tinggalkan tempat ini,” suara Alang Abdul Rauf lemah. Matanya tertumpu ke arah kawan-kawannya yang sudah berhenti menggali kubur.
“Kita ke sana, tengok apa yang dia orang dapat,” tambah Alang Abdul Rauf.
“Mari,” Alang Abdul Rauf cuit bahu Datuk.
“Boleh juga,” balas Datuk.
Sebelum melangkah saya merenung arah kubur yang sudah digali. Teringin rasa hati mahu melihat mayat yang tidak reput dan berbau wangi. Tidak mungkin saya pergi ke situ sendiri tanpa ditemani oleh Datuk dan Alang Abdul Rauf.
“Mari,” Datuk tarik tangan saya. Sinar lampu gasolin terus menerangi kawasan kubur. Sayang, sinar lampu tersebut tidak mampu menerangi jalan yang bakal kami lalui. Terpaksa menggunakan lampu picit.
Bila sudah hampir dengan kubur yang digali oleh kawan-kawan Alang Abdul Rauf lampu picit tidak perlu digunakan lagi kerana sinar lampu gasolin yang terpasang di tempat mereka bekerja cukup terang.
Apa yang menghairankan saya, kawan-kawan Alang Abdul Rauf yang berhenti rehat dan menggali kubur itu menutup hidung mereka dengan kain yang diikat ke belakang. Saya tersenyum melihat cara mereka yang sekali gus mengingatkan saya pada filem cowboy dalam adegan rompakan.
“Awak ada tercium bau busuk?” tanya Datuk pada Alang Abdul Rauf.
“Ada, dahlah busuk hapak pula,” Alang Abdul Rauf seperti merungut.
LUBANG
Kian hampir dengan kawan-kawan Alang Abdul Rauf, makin kuat bau busuk itu menyucuk lubang hidung. Saya tidak dapat menggambarkan bau busuk itu. Saya bagaikan mahu muntah tetapi, saya berusaha menahannya dengan menekan ibu jari ke pangkal dagu hingga terasa sakit.
“Dari mana bau busuk ini?” Alang Abdul Rauf menyoal kawan-kawannya. Salah seorang dari kawan Alang Abdul Rauf meluruskan jari telunjuknya pada tanah kubur yang bertimbun.
“Dah jumpa tulang mayat?” tambah Alang Abdul Rauf.
Serentak kawan-kawannya gelengkan kepala. Datuk dan saya hanya berdiam diri saja.
“Kita tak boleh lambat, kita mesti selesaikan segera,” Alang Abdul Rauf bersuara dalam nada yang penuh kesal. Kawan-kawannya berpandangan sama sendiri. Angin tetap bertiup. Suara lolong anjing kian menjadi-jadi. Suara jampuk dan burung hantu tetap rancak bersenandung riang. Saya menggaru batang leher dua tiga kali. Datuk memetik beberapa daun pokok yang berdekatan. Saya tidak tahu kenapa Datuk memetik dedaun tersebut.
“Mari kita korek,” Alang Abdul Rauf ambil cangkul dari salah seorang kawannya.
“Kami bukan tak mahu korek, kami tak tahan dengan bau busuk,” kawan Alang Abdul Rauf menerangkan dengan penuh jujur. Alang Abdul Rauf melepaskan ulu cangkul yang dipegangnya. Sepasang matanya merenung tajam pada Datuk. Datuk segera menghampirinya dan menyerahkan daun pada Alang Abdul Rauf.
“Buat apa?” tanya Alang Abdul Rauf.
“Gulung dan sumbatkan dalam lubang hidung, tentukan nafas boleh keluar, kalau tidak awak mati lemas,” ujar Datuk. Alang Abdul Rauf segera mematuhi cakap Datuk.
“Memang, tak ada bau busuk,” katanya dengan suara yang meninggi. Kawan-kawannya segera menerkam ke arah Datuk. Mereka mengambil daun dari Datuk. Digulung dan disumbat ke lubang hidung. Kemudian Alang Abdul Rauf terus menggali kubur di bawah sinar lampu gasolin.
Saya berdiri di tepi kubur, entah apa malangnya daun yang saya sumbat ke lubang hidung kerap kali jatuh. Bila daun itu jatuh. Bau busuk segera masuk ke lubang hidung.
Tetapi entah mengapa saya tidak merasa jemu atau penat mengambil daun yang jatuh dari lubang hidung untuk disumbatkan kembali. Kalau tadi Datuk tidak mahu melibatkan diri dalam urusan menggali kubur, kali ini ia terus ambil cangkul dan mengais-ngais tanah sekitar kubur. Alang Abdul Rauf dan kawan-kawannya menyambung kembali kerja yang terhenti.
Saya tetap berada di sisi Datuk. Ke mana ia bergerak, di situlah saya berada. Saya tidak mahu bila ada kejadian buruk yang berlaku, saya terpisah dari Datuk.
Saya kurang ilmu dan kurang pengalaman ditambah pula dengan usia yang masih hijau. Jadi saya memerlukan seseorang yang boleh jadi tempat saya berlindung. Buat saat ini, saya kira orang yang paling layak sekali ialah Datuk.
Salah seorang dari kawan Alang Abdul Rauf melompat dari dalam kubur ke tebing. Tanpa berkata sesuatu ia terus mengambil lampu gasolin lalu diletakkan betul-betul di tepi lubang kubur. Cahaya dari lampu gasolin itu menyinari seluruh perut kubur.
“Mayatnya tak reput juga,” suara Alang Abdul Rauf lantang. Saya terus menerpa ke tebing kubur. Rasa takut hilang diatasi oleh rasa ingin melihat dengan apa yang dikatakan oleh Alang Abdul Rauf. Datuk juga mencangkung di tepi kubur melihat mayat yang dikatakan tidak reput itu.
Alang Abdul Rauf bersama dua orang kawannya naik ke tebing kubur. Manakala kawan yang lain berada dalam kubur. Orang yang berada dalam kubur segera mengangkat mayat tersebut dengan hati-hati sekali.
“Kita sambut mayat tu baik-baik,” Alang Abdul Rauf keluarkan arahan. Saya ditolak oleh Datuk ke kanan. Saya tahu, Datuk tidak mahu saya berdiri dekatnya. Boleh menghalang kerjanya dan kawan-kawan Alang Abdul Rauf yang mahu menyambut mayat itu.
Saya merasa beruntung, bila saya berubah tempat ke kanan, saya dapat melihat gerak-geri mereka dengan jelas sekali. Setiap pergerakan mereka tidak terlepas dari pandangan saya. Mereka mengangkat mayat itu dengan berhati-hati sekali. Begitu juga dengan pihak yang menyambutnya tetap berhati-hati dan berjaga. Mereka bagaikan tidak mengizinkan mayat yang tidak reput itu terjatuh atau sebagainya.
Mayat itu selamat sampai di atas. Diletakkan di tanah yang bersih dengan beralaskan kain bekas tepung gandum yang sudah dicantumkan. Ketika melihat mayat yang terbujur di depan mata, entah macam mana daun yang saya sumbatkan ke dalam kedua-dua lubang hidung terjatuh.
Saya jadi resah dan terus menekup mulut menahan rasa mahu muntah. Sekarang sudah pasti, bau busuk yang meloyakan tekak itu datangnya dari mayat yang terbujur di depan saya. Di bawah sinar lampu gasolin yang memancar itu, saya lihat kuku dan jejari mayat itu membelit bahagian dadanya. Wajah mayat itu amat menyeramkan.
“Jangan tengok,” salah seorang kawan Alang Abdul Rauf berbisik pada saya, “belum pernah saya tengok mayat macam ini, badan saya jadi seram sejuk, kalau orang dewasa macam saya rasa satu macam, apa lagi kamu,” tambah orang itu. Saya diam, cakapnya memang benar. Tetapi, keinginan saya yang tinggi tidak mengizinkan hati saya mematuhi cakapnya.
“Jangan tengok,” Tamar kata Datuk.
“Tutup saja mayat itu dengan kain,” ujar Alang Abdul Rauf. Dan mayat yang menakutkan itu pun ditutup dengan kain. Datuk duduk dan sandarkan badan pada sebatang pohon. Alang Abdul Rauf dan kawan-kawannya terus mencari kayu untuk dijadikan pengusung untuk membawa mayat itu keluar dari kawasan perkuburan.
Tiba-tiba saya terpandangkan kain penutup mayat bergerak macam ditolak sesuatu dari dalam. Kemudian kain di hujung kaki mayat itu juga bergerak. Saya segera mendekati Datuk. Saya lihat Datuk tenang. Saya pandang ke arah mayat kembali. Kali ini saya lihat mayat itu terus duduk mencangkung dengan kain menutup tubuh. Saya jadi cemas.
“Mayat itu duduk tuk.”
“Kau jangan mengarut, orang dah mati macam mana boleh bangun atau bergerak.”
“Kalau tak percaya cuba tuk tengok.”
Datuk segera renung ke arah mayat tersebut. Datuk tersenyum lalu menepuk kepala saya beberapa kali. Perlahan-lahan Datuk gelengkan kepala seraya berkata:
“Aku tak nampak mayat itu bangun, tetap baring macam tadi.”
“Saya nampak tuk.”
“Tengok mayat tu duduk mencangkung,” tambah saya sambil merenung ke arah mayat. Dua tiga kali saya gosok kelopak mata. Mayat itu tetap mencangkung.
Aneh kenapa pandangan Datuk dan saya berbeza pada mayat itu. Apakah mata saya sudah rosak? Fikir saya sambil menggosok-gosok mata.
“Kamu mengantuk,” tambah Datuk.
“Tidak,” balas saya.
“Renung muka aku, Tamar.”
Saya terus renung muka Datuk. Saya terdengar suara Datuk membaca Bismillah dan dituruti dengan pembacaan ayat Alhamdulillah hingga akhir. Sebaik saja pembacaan itu tamat, telapak tangan Datuk menyapu sepasang kelopak mata saya tiga kali berturut-turut.
Pandangan saya jadi berpinar-pinar. Lampu gasolin yang tergantung saya lihat jadi dua, begitu juga dengan kawan-kawan Alang Abdul Rauf. Semuanya nampak kembar. Kelopak mata saya pejam celikkan berkali-kali.
“Kau nampak mayat tu duduk mencangkung lagi?”
Pertanyaan Datuk itu tidak saya jawab. Saya arahkan sepasang mata pada mayat. Ternyata mayat yang saya lihat sebentar tadi duduk mencangkung tetap baring kaku. Muka Datuk saya tatap sejenak.
“Pelik dah memang sah, saya nampak mayat tu duduk mencangkung macam mana pula sekarang dia baring,” kata saya dengan rasa takjub. Datuk menggaru pangkal keningnya berkali-kali.
“Apa yang kamu lihat tadi bukannya mayat tetapi syaitan yang menyerupai mayat,” jelas Datuk.
“Kalau begitu kita balik saja tuk, saya tak suka melihat benda-benda yang ganjil.”
“Sabar, kita tunggu sampai semua urusan mereka selesai.”
Saya menarik nafas dalam-dalam. Kata-kata Datuk itu terus saya patuhi. Kalau saya membantah, pasti Datuk menyuruh saya pulang sendirian. Mana mungkin saya berani berjalan seorang diri di kawasan kubur yang telah membekalkan saya dengan berbagai-bagai peristiwa yang tidak menyenangkan.
Malam kian larut, rasa dingin kian hebat mencengkam kulit tubuh. Lolongan anjing sudah pun berhenti tetapi, suara jampuk dan burung hantu tetap kedengaran tetapi tidaklah serancak tadi.
Angin tidak lagi bertiup. Titisan embun tetap berlanjutan. Dedaun kering di permukaan tanah kubur melahirkan bunyi bila dirayapi oleh serangga liar yang berjalan malam.
Beberapa orang rakan Alang Abdul Rauf sandarkan badan ke pangkal pokok. Ada di antara mereka yang terlelap dan berdengkur. Suasana di tanah perkuburan lama itu terasa amat sepi sekali. Datuk dan Alang Abdul Rauf kelihatan tidak mengantuk.
CAKAP
Tiba-tiba suasana sepi dan hening di tanah perkuburan lama itu diganggu oleh bunyi ranting patah macam dipijak oleh manusia, serentak dengan itu juga terdengar bunyi suara orang bercakap yang sukar difahami maksudnya.
Ada cahaya menyuluh ke arah pokok besar di kawasan perkuburan. Agak sukar menentukan dari arah mana cahaya itu datang. Saya lihat muka Datuk dan Datuk pandang muka Alang Abdul Rauf dengan rasa yang cemas.
Secara mendadak saja rakan-rakan Alang Abdul Rauf yang terlena di pangkal pokok segera bangun, mereka bagaikan digerakkan oleh sesuatu yang aneh. Mata mereka nampak merah dan muka membayangkan rasa takut.
“Kenapa?” tanya Datuk.
“Saya mimpi mayat ini bangun dan mahu mencekik leher saya,” kata kawan Alang Abdul Rauf yang bertahi lalat di pipi kiri. Bila ditanya pada kawan-kawannya yang lain, semuanya mengakui mengalami mimpi yang sama. Bagaimana perkara macam ini boleh terjadi? Lima orang mengalami mimpi yang sama, hati kecil saya bersuara.
Alang Abdul Rauf menyuruh rakan-rakannya membasuh muka dengan air yang dibawa (air itu diisi dalam botol besar, yang bertujuan untuk dibuat air minuman). Cakap Alang Abdul Rauf segera dipatuhi. Suara orang bercakap dan bunyi tapak kaki memijak reranting kering kian kuat.
-TAMAT-

03. BADAN PAWANG BERASAP

HIMPUNAN 👁‍🗨 CERITA SERAM
TAJUK CERITA : BADAN PAWANG BERASAP
KODE : 3300027509401003
CP BY ADMIN A.D
CGCZONE BRUNEI
theHORRORZONE BRUNEI
http://thehorrorzon.blogspot.com/2020/04/himpunan-cerita-seram-melayu-chapter2.html

Datuk terus menggosok-gosok pangkal hidungnya beberapa kali. Matahari pagi kian meninggi, sudah berada di paras pucuk kelapa bercabang dua dan sinarnya terus menjamah pada air sungai yang bergelombang kecil itu. Memang tidak ada seorang pun penduduk Kampung Tanjung Ara yang mengetahui kami berada di kawasan itu. Kedudukannya agak tersorok dan dilindungi oleh beberapa pohon-pohon besar yang di gayuti oleh akar sebesar lengan budak. Manakala bibir tebing tempat kami berdiri pula, berkeadaan seperti sebuah teluk kecil yang pantainya berpasir halus. Melihat pada keadaan tempat tersebut dan bentuk pasir yang terdapat di situ, ternyata kawasan tersebut menjadi tempat buaya berjemur dan bertelur.
"Bagaimana? Apa kau mahu menyangkal dengan apa yang aku katakan itu?", Datuk terus renung wajah Saadun Juling.
Tidak ada jawapan yang diberikan oleh Saadun Juling pada pertanyaan itu. Datuk lalu mengerutkan dahinya hingga kelihatan berlapis dua. Saadun Juling secara mendadak menggenggam penumbuk dan menahan nafas hingga mukanya kelihatan merah. Bila Saadun Juling melepaskan nafasnya terdengar macam bunyi suara buaya mendengkur dan wajahnya kelihatan garang sekali, biji matanya terbeliak mempamerkan urat mata yang merah berjalur atas selaput mata putihnya. Kelopak matanya nampak berlapis macam kulit buaya tua.
"Aku tahu kau marahkan aku Saadun. Tetapi, cuba kau fikir berapa lama kau mahu melakukan kerja terkutuk ini?"
"Itu urusan aku”
"Dan urusan aku pula menyelamatkan orang-orang di sini”
Lagi sekali Saadun Juling terdiam. Perlahan-lahan dia melangkah ke hadapan sambil membelakangi Datuk. Dalam sekelip mata saja, Saadun memusingkan badannya lalu berdiri berhadapan dengan Datuk sambil membongkokkan badannya, tetapi biji matanya tetap menentang biji mata Datuk. Dada saya mula berdebar dan hati kecil saya bagaikan dapat meramalkan yang Saadun Juling akan bertindak di luar rasa peri kemanusiaan. Datuk masih lagi berdiri dengan tenang, mata Datuk tidak berkelip-kelip ke arah biji mata Saadun Juling yang kelihatan agak tersembul dan bersinar-sinar, macam mata kucing hutan terkena suluh lampu picit.
"Aeiiii…”, pekik Saadun Juling sambil melompat lalu melepaskan satu tendangan kilat ke dada Datuk.
Kerana tendangan itu terlalu kencang dan kuat, Datuk jatuh ke bumi. Dalam keadaan yang serba cemas itu, Saadun Juling berpusing ke arah saya lalu melepaskan penumbuk sulungnya ke pipi kanan saya, pandangan saya jadi berpinar-pinar, pipi mula terasa bengkak dan menebal. Saya terjatuh atas rumpun lalang liar, saya tidak berdaya mahu bangun. Saadun Juling terus menyerang Datuk dengan bertubi-tubi, menyepak dan menendang ikut suka hatinya pada tubuh Datuk yang tersungkur di bumi. Datuk tidak membalas serangannya yang begitu cepat bagaikan kilat itu, Datuk lebih banyak mengelak dan mempertahankan dirinya. Saadun Juling memperlihatkan kehandalannya mengalahkan pihak lawan, gerak tangan dan kakinya macam kibasan ekor buaya, muka Datuk mula dibasahi darah. Datuk kelihatan tidak bermaya dan Saadun Juling kian ganas, terus menyerang tanpa belas kasihan.
"Aieee...”, jerit Saadun Juling dengan lantang, ketika itu saya lihat batang tubuhnya sudah berada di awang-awangan dan bersedia untuk menendang pangkal leher Datuk.
Kalau tendangan itu tepat pada sasarannya, pasti nyawa Datuk melayang dari badan. Bila tendangan dari Saadun Juling hampir ke batang leher, Datuk segera mengelak dengan memusingkan badannya ke arah perdu pokok bunga tanjung. Usaha Datuk itu berjaya, Saadun Juling tertendang perdu bunga tanjung. Kerana tendangan itu terlalu kuat sebahagian dari pada kulit perdu bunga Tanjung terkopak. Saadun Juling menjalar atas bumi seketika, kemudian dia merangkak macam buaya untuk menyerang Datuk. Dengan cepat Datuk bangun lalu melompat ke atas belakang Saadun Juling. Kedua belah tangan Datuk memegang rambut Saadun Juling di bahagian ubun-ubun kepala. Saadun Juling tidak melawan, dia terkapar atas bumi dengan kedua belah tangannya terkedang, macam katak mati dilanggar tayar lori.
"Saadun, aku tahu di mana kekuatan dan sumpah ilmu kamu”, kata Datuk sambil bangun.
Di tangan Datuk saya lihat tergenggam rambut Saadun Juling, tanpa banyak cakap Saadun Juling terus bangun dan duduk bersandar di perdu bunga tanjung. Dia kelihatan letih benar, nafasnya tercungap-cungap. Datuk terus membersihkan darah di muka dengan daun serunai laut. Kemudian daun itu diramas-ramasnya, lalu disapukan ke bahagian muka yang bengkak. Tidak sampai sepuluh minit kemudian, bengkak dan lebam di mukanya terus hilang. Ketika Datuk mengubat mukanya dengan daun serunai laut, rambut Saadun Juling di sembunyikan di celah ketiak kanan.
"Saadun, aku minta pada kamu supaya jangan memuja semangat buaya yang boleh menyusahkan orang-orang di sini”, Datuk merayu dengan nada suara yang lembut . Saadun Juling juihkan bibir bawahnya ke hadapan. Datuk terus termenung panjang.
"Saadun, jangan jadikan diri kamu tempat orang meletakkan sumpah dan cara kau mencari rezeki begini tidak berkat, rezeki yang kau terima panas. Kau tak akan boleh hidup senang”, tambah Datuk lagi dengan wajah yang tenang.
Saadun Juling tetap membisu, tidak ada tanda-tanda yang menunjukkan dirinya mahu patuh dengan permintaan Datuk. Datuk jadi serba salah, segala usahanya menemui jalan buntu. Datuk terus membasuh muka dengan air sungai. Lama juga Datuk merenung bayang wajahnya dalam air, setelah itu dia memetik daun keladi liar yang tumbuh di tebing sungai, daun keladi itu terus diisinya dengan air sambil mulutnya bergerak-gerak membaca sesuatu.
Dengan kedua belah tangannya, dia menatang air di dalam daun keladi dengan hati-hati (kerana dia tidak mahu rambut Saadun Juling yang disembunyikannya di celah ketiak itu jatuh ke tanah).
Bila Datuk sudah hampir dengan Saadun Juling yang tercungap-cungap di pangkal pokok itu, Datuk segera mencurahkan air dalam daun keladi ke muka Saadun Juling. Saya lihat muka Saadun Juling pucat seketika, kemudian baru berdarah kembali. Sebelum Saadun Juling berkata sesuatu, Datuk terus menepuk dahi Saadun Juling sebanyak tiga kali berturut-turut sambil membaca selawat nabi.
"Biarkan dia di situ. Aku sudah melembutkan hatinya. Semoga niat baik aku diberkati oleh Allah”, ujar Datuk pada saya. Datuk terus duduk di sisi saya sambil melagakan ibu jari dengan jari telunjuk, macam orang membilang tasbih.
"Saadun, marilah kita berbuat baik sesama manusia dan mencari rezeki yang halal, tidak memeras orang lain secara terhormat untuk kepentingan diri kita sendiri”, kata Datuk sambil merenung ke muka Saadun Juling. Saya lihat Saadun Juling menarik nafas panjang sambil merenung ke arah langit yang terang benderang itu.
"Aku minta kau menghentikan perbuatan jahat dan menghalau buaya dari sini, itu saja permintaan aku Saadun, satu permintaan yang cukup mudah”, saya terdengar suara Datuk mula meninggi. Saadun Juling menjeling tajam ke wajah Datuk.
"Mudah bagi kau, tapi susah bagi aku”, suara Saadun Juling mula keras.
"Maksud kau?"
"Kalau aku menurut cakap kau, ertinya aku menyerah nyawa pada buaya, aku akan mati”
"Hidup mati kau, bukan kuasa buaya, nyawa seseorang tergantung pada Allah”
"Kalau kau pandai, kau sendiri halau buaya di sungai. Aku tak mahu, kau jangan halang kerja aku”
"Eh, Saadun aku bukan pawang buaya macam kau, apa yang aku lakukan selama ini ialah petua untuk menjinakkan buaya, petua tu aku perolehi dari orang tua-tua, itu saja yang ada pada diriku”
Matahari kian panas bersinar, angin yang bertiup sekitar kawasan itu tidak dapat memberikan rasa sejuk pada diri saya. Setiap kali saya menggerakkan kulit muka, akan terasa sakit dan pedih akibat kena penumbuk sulung dari Saadun Juling. Bila saya raba dengan tapak tangan bahagian kulit yang pedih itu, terasa tebal dan membengkak.
"Tak apa Saadun, aku mengajak cara baik kau tak mahu. Mulai saat ini kita bermusuh, kalau aku lalai akan jadi habuan kau dan kalau kau pula lalai, kau akan jadi habuan aku. Ingat kejahatan kamu akan aku ceritakan pada orang-orang di sini”, Datuk mengugut Saadun Juling.
Rambut Saadun Juling yang disembunyikan di bawah ketiak dikeluarkan untuk disimpan dalam saku baju hitamnya, kemudian Datuk mengajak saya pulang. Baru lima langkah melangkah, Saadun Juling menerpa ke arah Datuk sambil menghulurkan ulu golok pada Datuk. Saya dan Datuk tergamam. Langkah kami terus mati. Datuk dan saya berpandangan, secara perlahan-lahan saya melangkah tiga tapak ke belakang. Bukan kerana takut, cuma bersiap sedia untuk lari, kalau Saadun Juling mengamuk dengan tiba-tiba.
"Untuk apa Saadun?"
"Potong rambut saya di bahagian tengkuk. Mulakan dari kiri ke kanan, jangan sampai sehelai pun rambut saya jatuh ke tanah”
Datuk pun segera mengambil golok dari tangan Saadun Juling. Datuk renung rambut Saadun Juling yang panjang dan lebat itu. Dengan hati-hati Datuk mematuhi arahan yang dikatakan oleh Saadun Juling. Rambut yang sudah di potong itu segera di serahkan pada Saadun Juling kembali, kemudian dia membungkusnya dengan kain hitam.
"Mari kita duduk”, ujar Saadun Juling.
Panas kian terik. Lima minit masa berlalu, kami tidak bercakap walau sepatah pun. Cuma Saadun Juling saja yang memandang liar ke kiri dan ke kanan. Dari saku baju sebelah kirinya, Saadun Juling mengeluarkan kotak kecil. Kotak itu diserahkan pada Datuk.
"Bukalah kotak itu”, katanya.
Datuk pun membuka kotak tersebut. Di dalamnya termuat sebilah pisau cukur bersarung hitam, segumpal rambut, sebutir telur buaya yang masih baik keadaannya serta dua bilah gigi buaya yang sudah berlubang, pada lubang itu dicucuk dengan benang hitam, bila disarungkan ke leher akan menjadi kalung.
"Ini ibu geliga buaya”, Saadun Juling menunjukkan pada Datuk satu benda putih yang berkilat dan bentuknya seperti batu sebesar ibu jari.
Benda putih itu dikeluarkan oleh Saadun Juling dari sebelah rusuk kirinya. Datuk anggukkan kepala mendengar penerangan dari Saadun Juling, saya cuma melihat dan memasang telinga sahaja.
“Semangat buaya yang saya puja berada di sini, sekarang biarlah saya pulangkan padanya kembali dan saya minta pada buaya-buaya di sini pindah ke tempat lain”, muka Datuk berubah mendengar kata-kata itu.
Saadun Juling terus mengambil sekepal pasir dan sehelai daun keladi. Pasir yang di genggamnya itu ditaruh atas daun keladi dan ibu geliga buaya ditaruh di tengah-tengah pasir lalu dibungkus dengan daun keladi. Bungkusan itu di genggamnya sebentar sambil mulutnya menyebut sesuatu yang sukar saya fahami, bahasa yang di ucapkan bercampur aduk, ada bahasa Siam, ada bahasa Jawa dan bahasa Acheh. Bila semuanya sudah selesai, bungkusan itu dilemparkan ke dalam sungai. Dalam sekelip mata saja, air sungai bergelombang. Bila gelombang air sungai berakhir, berpuluh-puluh ekor buaya timbul. Semua kepala buaya itu menghadap ke hilir.
"Pindahlah kamu dari sini, aku bukan bapak kamu lagi, pergilah ke mana-mana”, jerit Saadun Juling.
Ternyata buaya-buaya di sungai itu mendengar cakapnya, buaya-buaya itu bergerak menuju ke kuala. Saya kagum dengan kebolehan luar biasa yang dimiliki oleh Saadun Juling. Saya kira rasa kagum itu terjadi juga pada diri Datuk.
Sebabnya, apa yang dilakukan oleh Saadun Juling Datuk perhatikan dengan penuh minat. Saadun Juling masih lagi merenung air sungai yang kelihatan agak tenang. Kelopak matanya tidak berkedip. Tiba-tiba air sungai bergelombang kembali, seekor buaya sebesar batang kelapa timbul di permukaan sungai, buaya itu berenang ke tepi sungai.
"Berhenti dan tunjukkan badan kamu”, kata Saadun Juling, buaya itu segera menimbulkan seluruh badannya. Warna badan buaya itu agak keputih-putihan sedikit dan pergerakan kaki serta ekornya tidak sepantas macam buya-buaya yang lain.
"Aku tidak memerlukan kamu lagi, aku kembalikan semangat kamu yang aku pinjam pada kamu kembali, sumpah yang kita buat sudah tidak ada lagi, kau berhak memakan daging aku dan aku berhak membunuh kamu”, Saadun Juling terus berkata-kata dengan buaya tersebut.
Saya lihat buaya itu terus menyelam dan ghaib. Di tempat buaya itu menyelam muncul sepotong kayu hitam macam kayu arang yang panjangnya kira-kira dua kaki. Kayu itu berpusing-pusing di situ dengan ligatnya sambil mengeluarkan asap yang nipis di permukaan sungai. Asap itu nampak memanjang naik ke udara. Beberapa saat kemudian asap itu hilang, dan Saadun Juling terus jatuh ke tanah. Badan Saadun Juling kelihatan kaku, tidak bergerak dan kedua belah kelopak matanya tertutup rapat. Dari sinar matahari yang cukup terik itu, saya lihat seluruh badan Saadun Juling mengeluarkan wap seperti wap dari ketul ais. Bila wap itu hilang Saadun Juling mula bergerak dan terus bangun. Dengan langkah yang tenang dia mendekati Datuk.
"Kamu lihat buaya putih tadi?"
"Ya”
"Sebelamnya badan buaya itu tidak putih cuma penglihatan kita saja yang membuat kita menyangka buaya itu putih”
"Maksud kau Saadun?"
“Itulah buaya jadi-jadian yang aku puja dari puntung kayu hanyut di tengah sungai waktu malam, sebelum puntung itu aku puja, puntung itu aku serahkan pada guruku untuk di tapa selama tujuh minggu dalam lubuk yang airnya berpusing, setelah dipujanya barulah diserahkan pada aku untuk memujanya dengan beberapa syarat yang tertentu”
Datuk renung wajah Saadun Juling lama-lama, kemudian Datuk tersenyum sambil meraba pipi kanannya berkali-kali. Datuk hulurkan tangan pada Saadun Juling, cepat-cepat Saadun Juling menyambut huluran tangan Datuk itu. Mereka berjabat salam penuh mesra sambil ketawa penuh makna.
"Kita bersahabat ,tetapi kalau kau tersilap langkah ertinya kau habuan aku. Begitu juga dengan aku kalau tersilap langkah akan jadi habuan kamu, " kata-kata itu diucapkan oleh Saadun Juling dengan penuh semangat.
"Kalau itu sebagai satu syarat untuk kita bersahabat, aku terima Saadun”, balas Datuk.
"Memang itu syaratnya, aku senang bila kau terima syarat tersebut”, sahut Saadun Juling. Seram juga mendengar janji dua orang yang mahu bersahabat ini, pelik dan ganjil sekali buat diri saya.
Saadun Juling terus melangkah beberapa tapak ke belakang dan ke hadapan di depan Datuk. Kerana Datuk masih duduk bersila di tanah, langkah yang di atur oleh Saadun Juling itu diperhatikannya dengan ekor mata sambil bersedia kalau langkah itu akan bertukar menjadi buah silat lalu mencari sasaran di tubuh Datuk. Mujurlah langkah Saadun Juling tetap dengan langkahnya, tidak ada tanda-tanda akan bertukar menjadi buah silat membuat perasaan Datuk jadi tenang. Dalam keadaan yang begitu tenang Saadun Juling terus melompat dengan tiba-tiba dan terus duduk bersila di hadapan Datuk. Saadun Juling hulurkan kepalanya yang berambut panjang serta lebat itu pada Datuk.
"Gunakan pisau cukur tadi dan cukurlah rambut ini, aku mahu membuang segala ilmu yang aku tuntut”, wajah Datuk kelihatan berubah, bagaikan tidak percaya dengan apa yang dituturkan oleh Saadun Juling padanya.
"Kau mahu mempermainkan aku atau kau memang berhajat betul”
"Aku bercakap benar, segala kekuatan ilmu yang aku tuntut terletak pada rambutku. Sebab itulah aku menyimpan rambut panjang, ada tujuan dan gunanya, kata orang ada muslihatnya”
"Begitu. Fahamlah aku sekarang”
"Eh, kau memang bijak, pura-pura tidak tahu. Padahal kau sendiri tahu, bila kau menarik rambut aku tadi aku sudah tahu yang kau sudah mengetahui rahsia diri aku”
Datuk tersenyum mendengar kata-kata dari Saadun Juling itu. Datuk tidak dapat berdalih lagi, secara terus terang Datuk mengatakan pada Saadun Juling, segala rahsia kekuatan itu diketahuinya setelah melihat cara-cara Saadun Juling berjalan serta cara kerdipan mata Saadun Juling. Secara jujur pula Saadun Juling mengakui, sebab utama dia mahu mengikut cakap Datuk kerana Datuk mengetahui rahsia kekuatan dirinya. Andainya Datuk tidak mengetahui rahsia itu dia bermusuh dengan Datuk hingga hari kiamat.
Tanpa membuang masa lagi, Datuk pun mencukur rambut Saadun Juling dengan meninggalkan rambut bahagian ubun-ubun kepala dalam bentuk bulat, kerana rambut yang tinggal itu panjang membuat saya teringat pada rambut kaum Red Indian di Amerika yang selalu saya lihat dalam filem cowboy. Saya tersenyum, memang bodoh kelihatannya bila orang tua berjambul dengan rambut panjang, sebabnya, Datuk meninggalkan rambut tersebut adalah atas permintaan Saadun Juling sendiri.
"Sekarang cukurlah rambut yang tinggal itu dan kau bersedialah mengelakkan diri kau dari terkena badinya”, kata Saadun Juling sambil menyuruh Datuk mengambil segumpal rambut, telur buaya dan dua bilah gigi buaya dari dalam kotak kecil. Kalung dari gigi buaya disangkutkan ke lehernya, manakala segumpal rambut dan telur buaya diletakkan atas daun keladi dan daun keladi yang diisikan dengan barang tersebut pun diletakkan di bawah paha kanan Saadun Juling.
"Sekarang, cukurlah rambut itu dari arah matahari jatuh membawa ke arah matahari naik”, Saadun Juling segera memberikan perintah.
Datuk segera melakukannya. Bila mata pisau cukur terkena bahagian rambut tersebut, secara mengejut hujan turun dalam panas yang terik itu. Air hujan yang kasar itu jatuh atas permukaan sungai membuat air sungai kelihatan seperti meruap-ruap. Saadun Juling memejamkan matanya dan tangan Datuk yang memegang pisau cukur kelihatan bergerak-gerak tidak tentu arah macam di tolak sesuatu. Akhirnya dapat juga Datuk mencukur rambut sejemput itu, setelah dia membaca beberapa potong ayat suci.
Bila rambut itu selesai di cukur, hujan panas segera berhenti. Tetapi, wajah Datuk kelihatan kebiru-biruan, kedua belah bibirnya nampak hitam dan badannya menggeletar macam orang kena serang demam kura. Datuk segera menghampiri saya serta menyuruh saya mencari daun lidah buaya dan cendawan telinga monyet. Berpeluh juga badan saya mencari bahan-bahan yang dikehendaki oleh Datuk sekitar kawasan itu. Nasib saya agak baik, cendawan telinga monyet saya temui di batang getah buruk. Daun lidah buaya pula saya temui dalam jarak satu rantai dari batang getah buruk tersebut. Semua bahan-bahan itu saya serahkan pada Datuk. Cendawan telinga monyet Datuk patah dua. Sebelah digosokkan pada tapak kaki kiri dan yang sebelah digosokkan pada tapak kaki kanan beberapa kali hingga rasa menggeletar di badannya hilang. Bahagian kulit atas daun lidah buaya Datuk kupas (siat) dengan golok, bila kulit itu tersiat terdapat sejenis lendir yang rupanya macam agar-agar.
Lendir itu Datuk taruh atas tapak tangan lalu dimakannya. Saya terasa geli -geleman dan tekak saya terasa loya melihat Datuk menelan lendir dari daun lidah buaya. Bahagian bawah daun itu Datuk kupas juga, lendirnya Datuk ambil dan disapukan ke muka serta kedua belah lengannya. Bibir Datuk yang kelihatan hitam segera bertukar menjadi merah begitu juga dengan wajahnya yang kebiru-biruan pulih seperti sedia kala.
"Daun lidah buaya ini banyak khasiatnya, kalau anak dara mahu kulit mukanya bersih serta halus tanpa jerawat sapulah lendir dari daun ini. Kalau kita mahu kelihatan muda (awet muda) sapukan lendirnya ke muka setiap petang, kalau badan terasa panas atau mahu menjaga kesihatan tubuh badan, ini khasiatnya”, kata Datuk pada saya sambil menggeliat.
"Kalau mahu mengekalkan rumah tangga hingga mati dan mahu berbini lebih dari satu daun lidah buaya juga boleh digunakan. Orang lelaki yang memakai daun lidah buaya muda menawan hati orang perempuan. Tapi mesti ada petua dan syaratnya, belajarlah dengan Datuk awak”, sampuk Saadun Juling.
Dan saya mengharapkan Datuk akan mengeluarkan petuanya dan saya bersedia melakukannya. Sebagai lelaki tentu saja saya teringin memikat atau jadi pujaan setiap gadis, kalau perlu mahu beristeri lebih dari satu.
"Petua yang itu tidak boleh diberikan pada Tamar. Belum tentu petua itu digunakan dengan sebaik-baiknya, hari ini kita nampak bagus, bila dah dewasa belum tentu dia bagus. Kalau petua tu terlepas padanya aku yakin dia akan jadi kambing randuk (bapak kambing) yang kerjanya membilang kepala bini atau membilang kepala betina”, kata Datuk lalu disambut dengan ketawa berdekah-dekah oleh Saadun Juling.
Sesungguhnya, kata-kata Datuk itu meninggalkan kesan kecewa yang amat mendalam pada diri saya. Apa boleh buat, mahu bertanya atau meminta petua itu pada Datuk saya takut, silap-silap tanya atau minta nanti penampar hinggap ke muka paling kurang kena maki. Matahari sudah berada betul-betul di atas kepala dan burung helang sawah mula terbang rendah mencari makan sambil berbunyi sekali-sekala, ketika itu jugalah Saadun Juling membentang kain kuning berbucu tiga di atas tanah. Rambutnya sudah dicukur, di kumpul atas kain kuning tersebut. Begitu juga dengan pisau cukur, telur buaya, kalung gigi buaya dan segumpal rambut, semua benda-benda itu dibungkus dengan kain kuning lalu diletakkan di atas batang buruk dan di hanyutkan ke tengah sungai.
Bila kain kuning di atas batang buruk itu bergerak ke hilir, helang sawah yang terbang terus menjunam serta menyambar kain kuning tersebut, bila kain kuning itu berada di muncung burung helang yang berlegar-legar di udara, terdengar satu ledakan macam ledakan petir dan badan helang yang berada di udara berkecai, bulunya berterbangan jatuh atas permukaan sungai.
"Semuanya sudah habis, ilmu yang di tuntut sudah pulang ke tanah asalnya di Kuala Tari, Acheh, menemui tuannya”, ujar Saadun Juling dengan wajah yang gusar.
"Habiskan usia kamu yang ada ini untuk mengabadikan diri pada Allah, mohon ampun dan bertaubatlah pada Allah, semoga kau akan bahagia dunia akhirat”, Datuk terus menepuk bahu Saadun Juling sambil meninggalkan kawasan tersebut menuju ke pondoknya.
Bunyi ledakan petir di tengah hari itu rupanya menimbulkan kegemparan pada para penduduk di Tanjung Ara, beberapa orang penduduk yang ingin tahu tentang kejadian itu segera mencari Datuk.
"Apa yang mahu dirisaukan, bunyi petir di tengah hari perkara biasa semuanya berlaku atas kehendak Allah, kalau mahu mengetahui rahsianya carilah sendiri, saya sendiri tidak tahu”, kata Datuk pada orang-orang kampung yang menemuinya di kaki tangga pondok tempat Saadun Juling menumpang.
Tanpa banyak soal jawab, orang-orang kampung terus pulang ke rumah masing-masing. Sebagai membuktikan kejujuran dan keikhlasan hatinya pada orang-orang kampung Tanjung Ara dan Datuk, Saadun Juling membuat keputusan untuk tinggal di kampung tersebut selama dua minggu lagi. Alasan yang diberikan pada orang-orang kampung ialah untuk melihat sejauh mana kejayaannya menghalau buaya di sungai tersebut. Sungguh memeranjatkan, usaha Saadun Juling tidak sia-sia. Buaya cukup sulit untuk di temui di sungai tersebut. Kalu ada pun, buaya tersebut hanya sekadar menumpang lalu, mempamerkan tubuh badan seminit dua di permukaan sungai, kemudian terus hilang dan amat sukar dikesan ke mana buaya itu menghilangkan diri.
Kerana kejayaan itu, orang-orang kampung telah sepakat untuk mengadakan kenduri kesyukuran dengan mengadakan jamuan makan tengahari di surau kampung tersebut setelah menunaikan sembahyang Zuhur secara berjemaah.
“Saya minta pada orang di sini supaya jangan membuang cicak ke sungai atau memancing ikan berumpankan cicak, perbuatan itu memang dilarang dan merupakan satu pantang. Kalau dilanggar pantang itu buaya akan mengamuk kembali. Jika ada di antara tuan-tuan yang memanggang cicak dengan buluh atau sebagainya lalu dibuang ke sungai padahnya cukup buruk, buaya akan membalas dendam, dalam ilmu pawang buaya hal ini memang merupakan pantang besar”, demikian Saadun Juling memberitahu orang-orang kampung.
Dia juga menyatakan pada orang-orang kampung bahawa segala ilmu yang dituntutnya bagi menangkap buaya, sudah dibuangnya kerana dia mula sedar yang ilmu itu banyak bertentangan dengan ajaran agama Islam. Dalam majlis kesyukuran itu juga, Datuk mengambil daya usahanya sendiri mempertemukan Saadun Juling dengan suami wanita yang digodanya. Memang di luar dugaan Datuk pertemuan yang diadakan dengan tujuan yang baik menjadi sebaliknya. Suami wanita itu menaruh dendam pada Saadun Juling. Bila dia berhadapan dengan Saadun Juling tanpa berfikir panjang, dia terus mencabar Saadun Juling supaya bergaduh dengan menggunakan parang panjang.
"Saadun, aku harap kau bersabar, orang yang sabar dikasihi oleh Allah, tujuan kita bukan mahu bergaduh, apa yang kita lakukan adalah untuk kebaikan. Untuk menghilangkan rasa permusuhan sesama Islam, bukankah Islam mahu para pengikutnya berbaik-baik, hidup aman dan saling tolong-menolong”, kata Datuk kepada Saadun Juling.
"Saya ikut cakap awak, asalkan tujuannya baik”, sahut Saadun Juling.
Datuk terus mendekati si suami yang sedang marah itu. Datuk tepuk bahu kanannya dua tiga kali, kemudian Datuk ambil keris pendek yang tergenggam di tangan si suami itu. Keris itu Datuk masukkan ke dalam sarungnya. Orang-orang kampung yang tidak tahu tentang kedudukan perkara tersebut jadi tercengang-ceng
ang sambil berbisik sama sendiri.
"Usah bimbang, mereka ada selisih faham sedikit. Biarlah saya yang cuba mengatasinya. Saya yakin kalau kita bersikap sebagai orang Islam sejati, masalah ini boleh selesai”, Datuk memberitahu orang-orang kampung dan menyuruh mereka bersurai.
Datuk terus menemui si suami yang sedang naik darah itu kembali. Datuk terus bercakap-cakap dengannya sebentar, Saadun Juling cuma melihati dari jauh saja. Saya menarik nafas tanda senang hati kerana Datuk berjaya memujuk si suami yang sedang marah itu. Saadun Juling bersalam dengan si suami yang mempunyai parut di betis kanannya, kemudian si suami itu mengajak Datuk, Saadun Juling dan saya ke rumahnya. Kami di jamu dengan kopi panas di anjung rumah.
"Saya mengaku saya bersalah dalam hal ini, ambillah golok ini dan lakukan apa saja demi menjaga kehormatan awak sebagai seorang suami, saya rela mati atas perbuatan saya”, tiba-tiba Saadun Juling menghulurkan ulu golok pada si suami yang berparut di betis kanan.
"Tak perlu, saya faham dan saya sudah mengetahui kedudukan diri awak. Saya maafkan awak, walaupun perbuatan saya ini satu perbuatan dayus pada mata orang lain, saya tidak merasa kesal. Menjauhkan perasaan dendam dan bergaduh sesama orang yang seagama itu lebih mulia”, dengan tenang si suami itu bercakap pada Saadun Juling.
Mereka berdakap-dakapan dan menangis. Saya dan Datuk sungguh terharu melihat peristiwa tersebut. Dengan perasaan yang ikhlas si suami itu terus bertanya pada isterinya, sama ada dia mencintai dirinya atau Saadun Juling. Dengan jujur si isteri itu menjawab, dia memang tidak mencintai atau menyayangi suaminya, kerana si suami itu bukan pilihan hatinya. Dia menikah dulu semata-mata mendengar cakap ke dua orang tuanya.
Si suami menerima keterangan itu dengan dada yang terbuka, kemudian dia membuat keputusan menceraikan isterinya, setelah Saadun Juling memberikan jaminan yang dirinya akan memperisterikan wanita tersebut. Saadun Juling membuktikan kata-katanya itu, setelah wanita itu lepas edah, dia terus menikah dengan wanita tersebut.
Kemudian Saadun Juling membawa isterinya ke kampung halamannya dan memulakan penghidupan baru dengan membuka kedai kopi dan barang-barang runcit di tempatnya dan namanya sebagai pawang buaya terus dilupakan orang.
-TAMAT-

04. DI KUASAI SUARA ANEH

HIMPUNAN 👁‍🗨 CERITA SERAM
TAJUK CERITA : DI KUASAI SUARA ANEH
KODE : 3300027509401004
CP BY ADMIN A.D
CGCZONE BRUNEI
theHORRORZONE BRUNEI
http://thehorrorzon.blogspot.com/2020/04/himpunan-cerita-seram-melayu-chapter2.html

Kerana sudah kerap kali berdepan dengan kejadian demikian, saya jadi arif untuk menjawab dan memberhentikan suara yang bergema dari setiap sudut ruang. Seluruh perhatian, saya tumpukan ke arah orang di atas pentas yang wajahnya tidak berapa jelas.
“Ya, dia memang musuh kita,” terkeluar kata-kata dari kelopak bibir saya. Suara orang ketawa bergema di ruang dewan. Bila gema ketawa berakhir, gegendang telinga saya menangkap suara orang berbentuk perintah.
“Kau mesti membunuhnya. Kau nampak kerlipan di bahagian dada kirinya?”
“Saya nampak kerdipan itu, saya mesti membunuhnya.”
“Bagus, kaulah perwira sateria. Ayuh lakukan!” Pujian muncul dari setiap ruang dewan. Telinga saya terasa pekak. Semangat baru meresap ke dalam urat saraf. Hidup mati saya semata-mata untuk mematuhi perintah suara aneh itu.
“Ya, saya mesti melakukannya sekarang. Saya mesti menikamnya dengan pisau sampai mati,” satu tekad yang bulat berpadu dalam diri saya.
“Ya, untuk kebenaran dan keadilan, kau lakukan segera. Jangan berlengah-lengah lagi, jangan bertangguh-tangguh.”
“Ya, kata saya penuh semangat.
Pisau yang terselit di pinggang segera saya pegang. Saya cabut dari sarungnya. Dengan tenang dan penuh keyakinan, saya ,melangkah ke arah lelaki di tengah pentas. Saya berlagak dan berpura-pura memberi penghormatan padanya. Makin lama, makin dekat saya dengannya.
Kerlipan di bahagian dada kirinya terus memancar. Menyilaukan mata tetapi semuanya itu tidak menghalang saya untuk menghampirinya. Saya pasti kerlipan itu tidak menghalang saya untuk menghampirinya. Saya pasti, kerlipan yang memancar dari bahagian kirinya itu ialah sebuah medal berbentuk empat segi yang melambangkan seekor tupai bertarung dengan ular senduk. Medal itu dibuat dari tembaga kuning yang berkilat.
Saya naik ke pentas dari sebelah kanan. Dari tepi pentas, saya menghitung langkah hingga sepuluh. Berhenti betul-betul di depan lelaki yang wajahnya tidak berapa jelas. Pencarian dari medal yang dipakainya tetap menyilaukan mata saya. Tanpa membuang masa, saya terus menundukkan kepala memberi hormat padanya.
“Kamu,” lelaki itu bersuara dengan rasa terkejut.
“Ya”’ jawab saya.
TAHU
Seperti mengetahui apa yang akan saya lakukan terhadapnya, lelaki itu memusingkan badannya, membelangkangi saya. Kerlipan dari medal yang dipakainya tidak dapat saya lihat. Pandangan saya jadi gelap, dalam keadaan yang agak cemas itu pisau di tangan saya angkat tinggi-tinggi. Saya cuba menahan diri dari melakukan sesuatu. Kerana pisau sudah di angkat tinggi, usaha saya menemui kegagalan.
Cukup pantas sekali saya rasakan gerakan tangan. Pisau terus terbenam ke bahagian belakang lelaki itu. Saya lihat tubuh lelaki itu berkecai dalam percikan cahaya bersinar. Medal yang berkilau-kilau bergerak pada setiap ruang dewan. Akhirnya, berlaga dengan dinding dewan, berkecai menjadi serpihan yang halus. Di mana-mana saya lihat api menyala dengan marak sekali.
Saya juga terdengar suara dari setiap sudut dewan, bergema dengan sejuta pujian. Semuanya memberi ucapan tahniah dan menganggap saya sebagai seorang pahlawan besar yang berjaya menghancurkan kedurjanaan demi untuk menegakkan keadilan dan kebenaran. Saya terasa dan melihat jambangan bunga tidak putus-putus di campakkan ke arah saya. Berlonggok-longgok di tengah ruang dewan. Saya tersenyum bangga, suara pujian terus bergema.
“Kamu dah jalankan tugas suci,” terdengar suara Amjal Kamal. Segera saya toleh ke kiri, dalam keadaan yang samar-samar itu, saya lihat Amjal Kamal tersenyum ke arah saya. Bila saya membuka kelopak bibir untuk mengucapkan sesuatu, Amjal Kamal terus hilang dari penglihatan saya.
Kerana yakin masih ada perintah selanjutnya, saya terus berdiri di tengah ruang dewan dengan pisau di tangan. Masa terus berlalu, perintah yang diharapkan tidak juga muncul. Saya terus memandang ke arah longgokkan bunga di tengah ruang dewan. Aneh sungguh, longgokan bunga itu bergerak secara perlahan-lahan.
“Aduh, sakitnya,” terdengar suara dari celah-celah longgokan bunga. Suasana cukup sepi sekali. Antara sedar dengan tidak, diri terasa mengembara dari alam khayal menuju ke alam nyata.
PANGKAL
Di saat-saat terumbang-ambing itu, saya terasa pangkal paha kanan saya dihentak oleh sesuatu dengan kuat sekali. Tubuh saya terpelanting ke dinding. Dari dinding bergerak ke kanan lalu terkandas pada almari cermin. Kaca almari pecah berderai.
“Ah,” saya mengeluh seperti tersedar dari mimpi. Pecahan kaca terdampar atas kepala, bahu dan belakang. Saya masih bernasib baik kerana tidak luka. Saya cuba bangun tetapi tidak berjaya. Bahagian rusuk kanan saya terasa pedih bila saya cuba berdiri.
Saya terpandangkan nenek yang berdiri di sebelah kiri. Dengan lembut perempuan itu mengutip pecahan kaca di tubuh saya. Semua pecahan kaca itu di isi di dalam baldi plastik.
“Apa kena kamu ni, Tamar. Tak habis-habis buat hal,” nenek merungut.
“Kenapa nek?” Tanya saya.
“Kamu tengok sendiri,” nada suara nenek separuh keras. Jari telunjuknya menghala ke arah Datuk. Saya lihat Datuk mengerang kesakitan. Kesan darah masih dapat dilihat pada kain putih yang melilit bahagian rusuk kirinya. Di hujung sejadahnya, saya terlihat pisau pemotong bawang tersadai berlumuran darah.
Beberapa orang jiran tetangga bermunculan di muka pintu di pagi yang bening itu. Barangkali, mereka dapat mengikuti apa yang terjadi dalam rumah sejak subuh tadi.
“Kenapa dengan Tuk ini?” soal saya dengan rasa terkejut. Nenek gelengkan kepala.
“Kamu tikam dia, Tamar,” jelas nenek.
“Ya Allah,” saya mula meraung sekuat hati. Seluruh isi kampung menjadi gempar.
Raungan saya itu menambahkan lagi para jiran berdatangan ke rumah. Semuanya terpaku dan terpukau melihat apa yang terjadi. Beberapa orang jiran bersedia untuk mengusung Datuk ke hospital tetapi Datuk menolak budi para jiran itu. Menurut Datuk, luka yang dialami tidak besar, boleh diubati secara kampung. Beberapa orang lelaki terus menangkap saya. Mereka juga memerintahkan nenek supaya menyimpan benda-benda tajam di tempat selamat.
“Ikat,” ujar jiran kepada seorang jiran yang lain. Dalam beberapa saat sahaja sepasang tangan saya diikat dengan tali belati. Begitu juga dengan sepasang kaki saya. Tidak ada perlawanan yang saya lakukan kerana saya sendiri tidak sedar bagaimana saya melakukan perkara tersebut.
“Kita serahkan pada polis, biar dibawa ke hospital. Boleh otaknya diperiksa. Budak ni dah gila. Kalau dibiarkan di rumah, ramai orang yang mati,” seorang perempuan bermulut celopar mengeluarkan pendapat. Saya lihat kebanyakan jiran bersetuju dengan pendapatnya itu.
Nenek termenung, macam ada sesuatu yang difikirkannya. Datuk meraba ke arah balutan lukanya.
“Jangan dipengapakan dia. Apa yang dibuatnya, dia sendiri tidak tahu. Ada kuasa lain yang meresap ke dalam dirinya,” kata Datuk. Dia berdiri sambil menekan ke arah bahagian berbalut. Nenek tidak berkata apa-apa. Matanya masih terpaku ke arah tali belati yang membelit sepasang tangan dan kaki saya.
“Saya mengucapkan terima kasih di atas perhatian kawan-kawan. Bukakan tali belati itu,” Datuk mengeluarkan arahan. Ikatan di tangan dan kaki saya segera dibuka. Beberapa orang jiran berpandangan sesama sendiri. Mereka kurang senang dengan tindakan Datuk yang enggan menyerahkan saya kepada pihak polis untuk ditahan dan dihantar ke hospital bagi menjalani pemeriksaan mental.
KELUAR
Memang wajar mereka memprotes tindakan Datuk itu, kerana perbuatan yang saya perlihatkan pada mereka membayangkan diri saya kurang waras. Orang yang berfikiran waras, tidak akan menikam Datuknya yang mahu bersembahyang. Mereka bimbang kalau perbuatan itu melarat keluar rumah. Mungkin satu ketika, saya menyerbu ke masjid lalu menikam orang-orang yang sedang berjemaah di situ.
“Saya tahu, apa yang semua bimbangkan. Percayalah pada saya, dengan izin Allah, masalah cucu saya ni, boleh diselesaikan dengan baik,” Datuk memberitahu para jiran yang seakan-akan enggan bergerak dari ruang rumah.
“Saya berjanji kalau tak boleh diatasi, saya serahkan pada awak semua untuk dihantarkan ke Tampoi atau Tanjung Rambutan,” Datuk memberikan janji yang padu.
“Kami bukan apa-apa, kami takut kalau dia mengacau orang lain,” para jiran menyatakan pendapatnya.
“Saya faham. Kalau awak susah, saya lagi susah. Dia cucu saya, berapalah berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Saya tak suka perkara begini, apakan daya sudah takdir untuk saya menerimanya,” Datuk merayu penuh keikhlasan. Wajahnya berkerut. Mungkin dia menahan rasa sakit.
“Kami faham, sebagai jiran kami juga ada rasa bimbang dan takut,” sambung jiran itu lagi.
“Bimbang dan takut tu, memang hak kamu. Aku tak marah dan tak kecil hati. Berilah kesempatan pada aku untuk memulihkannya,” begitu lembut nada suara Datuk.
Tanpa banyak cakap, para jiran meninggalkan rumah dengan wajah yang tenang, beberapa orang daripada mereka terus memeluk Datuk menyatakan rasa simpati sambil berjanji tidak akan membiarkan Datuk bersendirian di dalam masalah ini.
LUKA
Bagi menyembuhkan segera luka yang dialami, Datuk memanfaatkan perubatan secara tradisional. Dia menggunakan ramuan beberapa helai daun dan kulit pokok. Bahan-bahan itu disatukan lalu ditumbuk hingga lumat dan dicampurkan dengan setitik embun jantan.
Sebelum bahan-bahan itu digunakan, Datuk membersihkan luka di rusuk kiri dengan air panas. Setelah bahan-bahan itu disapukan ke tempat yang luka, Datuk terus minum segelas air kunyit dan segelas air rebusan dari akar-akar kayu. Dalam beberapa jam luka itu terus kering. Tidak bengkak dan tidak bernanah. Datuk boleh bergerak ke mana sahaja, seolah-olah dia tidak mengalami sebarang kecelakaan.
“Tak apalah Tamar, semuanya terjadi masa kau tak sedar,” itulah ungkapan pertama dari Datuk setelah empat jam peristiwa yang mengerikan itu berlalu. Datuk tidak memperlihatkan rasa kurang senang dan gundah gulana dengan apa yang telah berlalu. Dia tetap melayani saya seperti biasa. Masih mahu bercerita tentang akar dan dedaun kayu yang boleh dijadikan ubat luka. Datuk menasihati saya supaya jangan susah hati.
Saya kira sebagai seorang tua, rasa bimbang dan cemas itu pasti ada di dalam diri Datuk. Dia tahu, sejak tadi saya tidak berubah tempat, masih termenung. Mungkin juga dia tahu yang seluruh pemikiran saya masih berpusat pada suara-suara ghaib yang menyuruh saya melakukan sesuatu. Apa yang pasti, Datuk tidak mahu dirinya berada dalam jarak yang jauh dengan saya. Gerak-geri saya sentiasa di dalam pengawasannya.
“Tamar,” itu suara Datuk. Saya renung ke arahnya dan melihat kelopak bibirnya bergerak. Saya tidak menjawab panggilan Datuk itu kerana saya merasakan itu bukanlah suara Datuk tetapi suara Amjal Kamal yang keluar dari kelopak bibir Datuk.
“Tamar, Tamar, dengar sini.”
“Ya, saya faham dan bersedia patuh dengan perintah.”
“Tamaaaaaarrr…,” jerit Datuk lalu badan saya digoncangnya berkali-kali. Serentak dengan itu dia membaca surah Al-Ikhlas.
“Tamar,” nada suaranya bertambah lunak.
“Tamar,” ulang Datuk lagi. Nada suaranya kali ini cukup lunak. Saya raba jejari saya, saya raba pipinya dan Datuk membiarkan sahaja yang saya lakukan.
“Ini Datuk?”
“Ya.”
“Tadi suara Datuk panggil nama saya?”
“Ya, Tamar.”
“Jadi, tadi bukanlah suara Amjal Kamal? Apakah yang saya dengar tadi, suara Datuk?” Saya seperti merungut. Datuk anggukkan kepala. Perlahan-lahan Datuk memaut tubuh saya, disuruhnya saya berdiri. Kemudian saya dibimbingnya ke anjung rumah. Disuruh duduk menghala ke arah matahari jatuh.
“Amjal Kamal tu, kawan kamu Tamar?” Soal Datuk.
Saya gelengkan kepala. Datuk menarik nafas panjang. Sesekali Datuk renung ke arah halaman rumah yang disinari matahari pagi.
“Tapi kau kenal dia, walaupun kau tidak begitu rapat dengannya?” menyusul lagi pertanyaan daripada Datuk yang membuat saya lemah. Perasaan saya kian resah. Entah mengapa, saya begitu cemas dan takut bila nama Amjal Kamal disebut-sebut. Setelah berfikir panjang beberapa kali, saya terus menceritakan apa yang telah saya lalui pada Datuk.
“Ini perkara biasa Tamar. Orang yang lemah semangat, lemah iman dan tidak ada kekuatan batin selalu dikuasai oleh pihak yang mahu menjahanamkan manusia,” itu komentar Datuk setelah mendengar cerita dari saya.
“Apa saya memang lemah?”
“Boleh jadi,” Datuk tersenyum lalu merenung ke kaki tangga. Dia menyambut salam Uda Lamat.
“Naiklah,” jemput Datuk.
“Tak disuruh pun saya tetap naik,” sahut Uda Lamat lalu naik ke anjung dan duduk dekat Datuk.
ZIARAH
Kedatangan Uda Lamat pagi itu, semata-mata untuk menziarahi saya. Dia amat gembira kerana keadaan saya agak baik. Semua bergelandangan kaki dan tangan serta sendi-sendi saya diperiksa dan dipicit. Kemudian Uda Lamat membuka kelopak mata kiri dan kanan saya.
“Tidak begitu baik lagi,” bisiknya lembut kepada Datuk.
“Apa yang patut dibuat?”
“Berikhtiar minta pertolongan dari Allah. Syaitan, kalau sudah meresap ke dalam tubuh payah mahu keluar,” tambah Uda Lamat lagi. Datuk menarik nafas panjang-panjang.
Tiba-tiba badan saya menggeletar. Suara-suara aneh mula terdengar. Wajah Amjal Kamal tenggelam timbul di depan mata. Saya mula terasa tubuh memiliki kekuatan yang luar biasa.
“Tamar,” sergah Datuk.
“Apa yang kamu mahu?” saya mula menentang wajah Datuk. Saya rasa Datuk terlalu kecil berdiri di depan saya. Walaupun demikian, setiap kali Datuk melafazkan kalimat-kalimat Allah ke arah saya, seluruh badan satu terasa panas.
“Jangan, saya tak tahan,” rayuan saya tidak dipedulikan oleh Datuk. Dia terus membaca hingga saya tidak sanggup menentang biji matanya. Saya rebah di depan Datuk.
Ketika itu saya terdengar suara aneh yang mengutuk diri saya. Mereka tuduh saya pengkhianat, tidak setia pada perintah. Mereka mahu menamatkan riwayat hidup saya dengan membenamkan tubuh saya ke dalam tasik yang berbuih. Saya segera merenung minta tolong.
“Tamar,” seru Datuk serentak dengan itu satu baldi air jatuh ke muka.
“Tamar kau tidak apa-apa, ingat Allah berkuasa atas segala-galanya,” Uda Lamat bersuara lembut. Dia duduk mencangkung di depan saya. Biji matanya dengan biji mata saya berlaga.
“Mengucap Tamar, Asyhaduan la...,” tambah Uda Lamat. Tanpa bertangguh-tang
guh lagi saya terus mengikut Uda Lamat mengucap hingga akhir.
“Bagus, bagus,” Uda Lamat terus menepuk bahu saya bertalu-talu. Tidak memadai dengan itu, tubuh saya yang basah terus dipeluknya erat-erat. Datuk tidak berkata apa-apa. Dia kelihatan tenang. Bibirnya kelihatan bergerak-gerak. Pasti Datuk membaca ayat-ayat suci.
“Saya dahaga,” kata saya pada Uda Lamat.
Cepat-cepat Uda Lamat memberitahu kepada nenek. Tidak sampai dua saat, secawan air sejuk sudah berada di depan saya. Ketika tangkai cawan saya sentuh, Datuk segera menarik cawan yang berisi air dingin ke arahnya. Perbuatan Datuk itu menghampakan saya.
“Saya dahaga,” saya merayu.
“Aku tahu, apa kau tak boleh sabar sedikit,” tengking Datuk.
“Haaa..,” saya terkejut dan hampir menitiskan air mata.
Uda Lamat memperkemaskan duduknya bersedia melakukan apa sahaja andainya saya bertindak secara mengejut. Rasa dahaga bagaikan tidak tertahan, tekak terasa pedih dan perit. Apa yang saya fikirkan, ialah air untuk membasahkan tekak. Tidak terniat di hati saya untuk melakukan sesuatu, apatah lagi untuk melawan Datuk. Datuk terus membaca sesuatu di bibir cawan. Bila pembacaannya selesai, cawan berisi air itu diserahkan pada Uda Lamat.
“Berikan padanya,” Datuk mengeluarkan perintah.
“Awak baca surah apa?” Tanya Uda Lamat.
“Saya baca Al-Fatihah 20 kali, dengan izin Allah, syaitan dan Iblis yang berlindung dalam diri cucu saya akan keluar.
“Saya faham, Allah berhak melakukan sesuatu, kita memohon padanya,” sanggah Uda Lamat. Saya resah, terasa cukup lama cawan itu berada di tangan Uda Lamat. Kenapa saya diseksa begitu kejam.
“Nah, Tamar.”
Uda Lamat menghulurkan cawan berisi air kepada saya. Cepat-cepat saya menyambutnya lalu dilekatkan ke bibir.
“Nanti dulu, baca Bismillah sebelum diminum,” Uda Lamat pegang pergelangan tangan saya.
Apa yang disuruh oleh Uda Lamat segera saya patuhi. Setelah selesai membaca Bismillah, saya terus meneguk air tersebut.
-TAMAT-

05. DENDAM ORANG SABAR

HIMPUNAN 👁‍🗨 CERITA SERAM
TAJUK CERITA : DENDAM ORANG SABAR
KODE : 3300027509401005
CP BY ADMIN A.D
CGCZONE BRUNEI
theHORRORZONE BRUNEI
http://thehorrorzon.blogspot.com/2020/04/himpunan-cerita-seram-melayu-chapter2.html

Selama satu minggu saya dan Datuk berada di kampung Kiai Muslih, boleh dikatakan hari-hari hujan turun. Kalau tidak sebelah pagi, sebelah petang pasti hujan. Orang-orang mula mengerjakan sawah masing-masing. Walaupun masalah kemarau yang melanda kampung itu sudah berakhir, tetapi Kiai Muslih meminta Datuk tinggal di situ untuk beberapa bulan lagi. Kiai Muslih menjadikan Datuk teman rapatnya untuk mengajar agama di beberapa buah kampung sekitar daerahnya.
"Kenapa Datuk terima permintaannya?",saya menyoal Datuk pada suatu pagi.
Datuk tersenyum dan memberitahu saya, dia terpaksa berbuat demikian kerana dia merasakan keselamatan diri Kiai Muslih tidak terjamin. Tetapi, Datuk sendiri tidak dapat mencari siapakah orang yang mahu menjahanamkan diri Kiai Muslih.
"Alamat dan petua yang aku pakai bagaikan memberitahu sesuatu yang tidak baik. Apa salahnya kita tengok dan lihat dulu Tamar. Lagi pun Kiai Muslih tu orang berilmu, banyak yang boleh aku belajar darinya”, demikian Datuk memberitahu saya. Dan saya tidak membantah apa juga kemahuan Datuk.
Sepanjang masa saya dan Datuk tinggal di rumah Kiai Muslih, ternyata rumahnya tidak putus-putus di kunjungi oleh para penduduk. Mereka datang menemui Kiai Muslih dengan berbagai-bagai maksud. Kebanyakan yang datang itu adalah orang-orang sakit dan sudah puas menemui doktor tetapi, sakit yang di tanggung tidak juga mahu sembuh. Bila mereka menemui Kiai Muslih dengan izin Allah penyakit yang di rawat itu terus sembuh. Biasanya, Kiai Muslih akan memberikan orang yang sakit itu minum air sejuk yang sudah dijampinya terlebih dahulu. Kemudian tangannya bergerak sendiri mencari bahagian-bahagian yang sakit. Bila sudah bertemu, disempurnakan dengan membaca ayat suci dari Al-Quran.
Kemudian pesakit itu akan diubat dengan ramuan tradisional. Perbuatannya itu seperti tidak masuk di akal. Tetapi anehnya, kebanyakan pesakit yang dirawatnya sembuh atau bertambah kurang penyakitnya. Kerana kebolehannya yang luar biasa itu, Kiai Muslih amat dihormati oleh para penduduk di situ, dia dianggap sebagai orang tua yang berilmu tinggi. Saya amat kagum dengan sikap Kiai Muslih yang tidak pernah membesarkan diri. Dia amat menghormati Datuk. Melihat keadaan itu, mustahil ada orang lain yang mahu memusuhi dirinya.
"Aku gagal mengubat dan memulihkan semangat seorang lelaki di Tanjung Malim”, Kiai Muslih mengadu pada Datuk.
"Apa sakitnya?"
"Bila bulan terang dia akan menjerit, penyakitnya cukup ganjil. Aku yakin dia dirasuk syaitan. Rumahnya besar dan pada setiap malam dia tidur dengan perempuan cantik. Aku harap kau dapat menolong aku"
"Tengoklah dulu"
"Aku harap benar-benar pertolongan kau"
"Begini saja, minggu depan kita ke sana”, Datuk memberikan jawapan.
Kiai Muslih cukup gembira sambil memandang ke halaman rumahnya. Datuk menggeliat lemah dan saya melihat jam di tangan. Sudah pukul tiga petang. Kerana keadaan cuaca agak baik, Kiai Muslih mengajak Datuk melihat tanah sawahnya. Datuk memenuhi permintaan itu. Ketika berjalan di tepi sawah itu, anak muda yang mempersendakan Kiai Muslih muncul di hadapan kami. Anak muda itu terus menahan perjalanan kami. Dia rapat pada Kiai Muslih.
"Pinangan saya di tolak, apa kurangnya saya dengan anak muda dari Langkap tu”, nada suara anak muda itu keras.
"Suriati yang tidak mahu. Lagi pun jodoh kau dengannya tak ada"
"Sudahlah muka sial”, anak muda itu terus meninggalkan kami. Kiai Muslih masih tersenyum menghadapi peristiwa itu.
Dua hari kemudian sesudah peristiwa di tepi sawah itu terjadi, penduduk-penduduk kampung Kiai Muslih jadi gempar. Seorang wanita berusia dalam lingkungan tiga puluhan ditemui mati di pinggir sawah. Seluruh badannya hitam. Perempuan malang itu ialah sepupu dengan anak muda yang mempersendakan Kiai Muslih di dewan dulu.
Serentak dengan itu tercetus khabar-khabar angin yang mengatakan perbuatan itu dilakukan oleh Kiai Muslih. Orang yang tidak bertanggungjawab menyebarkan berita itu mengatakan, Kiai Muslih memelihara syaitan dan perbuatannya itu dilakukan sebagai membalas dendam pada anak muda yang menjatuhkan air mukanya di khalayak ramai. Golongan yang tidak bertanggungjawab itu lalu mengapi-apikan anak muda yang sememangnya memusuhi Kiai Muslih, supaya melakukan sesuatu. Anak muda yang sudah hilang perhitungan itu lalu bertindak liar. Anak muda itu terus mendatangi rumah Kiai Muslih. Kerana Kiai Muslih tidak ada di rumah, anak muda itu terus memukul isteri Kiai Muslih kemudian menikam cucu Kiai Muslih iaitu, Suriati hingga mati.
Anak muda itu terus mencari Kiai Muslih yang sedang dalam perjalanan pulang ke rumahnya dari kedai. Anak muda itu tanpa berkata sepatah apa pun terus menikam Kiai Muslih. Kiai Muslih rebah ke bumi. Saya dan Datuk secara kebetulan pula tidak pulang bersama Kiai Muslih dari kedai petang itu. Bila kami sampai ke tempat kejadian itu, Kiai Muslih masih bernyawa. Kami segera membawanya ke rumah. Sampai di rumah Kiai Muslih mendapati cucunya sudah tidak bernyawa lagi dan kepala isterinya berdarah. Datuk terus merawat Kiai Muslih.
Datuk juga menasihatkan Kiai Muslih supaya bersabar. Saya disuruh oleh Datuk supaya tinggal di rumah Kiai Muslih kerana Datuk mahu melaporkan kejadian itu pada pihak berkuasa. Saya terus duduk di sisi Kiai Muslih yang terbaring di dalam rumahnya. Tiba-tiba saya terkejut, Kiai Muslih bangun. Mukanya merah. Dia boleh berjalan macam orang sihat.
"Kau uruskan bersama Datukmu jenazah cucu aku”, katanya pada saya.
"Mahu ke mana ?", tanya saya.
Kiai Muslih tidak menjawab dan terus keluar rumah. Kehilangan Kiai Muslih merunsingkan hati Datuk. Walaupun isterinya sudah dihantar ke Hospital Teluk Intan dan jenazah cucunya sudah di kuburkan, Kiai Muslih tidak juga muncul-muncul. Kesempatan itu digunakan dengan sebaik-baiknya oleh pihak yang menyebarkan fitnah. Kononnya Kiai Muslih melarikan diri kerana tidak sanggup menghadapi kemarahan orang kampung terhadap perbuatannya. Datuk menafikan semua tuduhan itu, akibatnya Datuk dituduh bersubahat sama dalam kerja terkutuk itu. Datuk di beri kata dua untuk membuktikan kebenaran cakapnya itu dalam tempoh dua hari oleh ketua kampung. Jika Datuk gagal, ketua kampung minta Datuk dengan hormatnya keluar dari kampung tersebut.
"Tamar, inilah ujian yang berat buat aku, kita harus menggunakan kesempatan ini dengan sebaik-baiknya Tamar”, kata Datuk pada saya, sebaik sahaja dia pulang dari menemui ketua kampung kira-kira pukul dua petang.
Selepas sembahyang Zuhur di kampung tersebut, Datuk terus menuju ke rumah Kiai Muslih. Dia terus duduk bersila di anjung rumah tersebut. Kedua belah tapak tangannya terlekap atas tempurung lututnya. Datuk bertafakur.
"Keimanan Kiai Muslih tercabar, sabarnya sudah hilang. Dia mahu membalas dendam yang sepatutnya tidak boleh dilakukan olehnya, kemarahan yang dipengaruhi syaitan sudah menguasai dirinya”, dengan mendadak Datuk bersuara, wajahnya kelihatan muram. Datuk mengajak saya pergi ke arah kawasan bukit yang terdapat di situ. Cuaca yang tadi terang mula muram dengan awan hitam di langit. Datuk dan saya terus meredah hutan tebal. Akhirnya, kami sampai di situ kawasan lapang. Di atas batu besar kelihatan Kiai Muslih duduk bersila bertafakur.
"Mantera hitam, mantera putih bersatulah”, kedengaran suara Kiai Muslih. Kemudian Kiai Muslih menumpukan kekuatan batinnya, menyatukan rasa dengan alam. Dari mulutnya terkeluar bermacam-macam mantera yang kian lama kian keras diucapkannya.
"Kiai berhentikan perbuatan itu, kau sudah dipengaruhi syaitan”, jerit Datuk berkali-kali.
Kiai Muslih mempersetankan larangan Datuk. Dia terus membaca manteranya. Awan hitam di langit semakin menebal dan guruh mula bersahut-sahutan. Datuk menggunakan kekuasaan batin untuk menghubungi diri Kiai Muslih. Saya lihat dahi Datuk berpeluh dan mukanya merah, macam udang kena bakar. Tiba-tiba Datuk tersungkur atas bumi macam dihentak sesuatu. Saya mula resah tidak menentu. Dalam keadaan yang cemas itu hujan pun turun bersama dengan petir. Hujan bagaikan di curah-curah lakunya, cukup lebat bersama dengan angin dan petir. Datuk saya lihat bergerak dan merangkak ke perdu pokok besar. Saya mengikutinya berteduh di situ. Datuk menangis tersedu-sedu. Dia tidak putus-putus menyatakan rasa kesalnya terhadap tindakan Kiai Muslih yang terburu-buru itu.
"Semuanya sudah menjadi bubur Tamar, aku tidak berdaya menahan kemarahan orang yang paling sabar”, ujar Datuk dalam sedu sedan yang memanjang.
Hujan lebat terus mencurah-curah, beberapa kawasan rendah mula dinaiki air. Menjelang waktu Maghrib seluruh kampung dilanda banjir besar. Gelombang banjir yang besar itu menghancurkan apa saja yang merintanginya. Kiai Muslih terus membaca manteranya tanpa mempedulikan hujan dan petir yang meledak di atas kepalanya. Datuk masih juga berusaha untuk memulihkan semangat Kiai Muslih ke alam nyata. Datuk menggunakan segala kepandaian yang ada pada dirinya. Usahanya gagal. Saya sudah menggigil, kulit badan terasa kecut tetapi, Datuk saya lihat tidak mengalami apa yang saya alami. Badannya sentiasa panas dan nampak berasap.
"Kiai, kau sudah sesat", pekik Datuk dengan sekuat hati. Serentak dengan itu Kiai Muslih menoleh ke arah Datuk.
Tiba-tiba kilat menyambar dengan kuatnya di kepala Kiai Muslih. Lidah petir yang tajam menyambar ke arah Kiai Muslih. Terdengar satu gegeran yang amat kuat, seluruh kawasan itu dijilat api. Seluruh tubuh Kiai hangus terbakar. Saya terus pengsan. Bila saya sedar dari pengsan, saya dapati Datuk duduk bertafakur atas bahu di tempat Kiai Muslih duduk. Datuk membaca ayat-ayat Quran dengan nyaring dan kuat, hujan beransur-ansur teduh dan akhirnya berhenti terus.
"Allah yang Maha Besar telah menunjukkan pada kita bahawa perbuatan membalas dendam sesama manusia tidak diperkenankan. Dalam membalas dendam orang yang tidak berdosa akan terkorban”, kata Datuk pada saya, kemudian Datuk melihat mayat Kiai Muslih yang hangus.
Esoknya, bila banjir beransur surut, Datuk pun menemui ketua kampung dan menceritakan perkara yang telah berlaku. Ketua kampung mula sedar dan insaf. Ketua kampung mengakui yang dirinya telah banyak membuat kesilapan dan percaya pada khabar-khabar angin, akibatnya banyak anak buahnya yang tidak berdosa menjadi korban. Ketua kampung juga memberitahu Datuk, anak muda yang menjadi musuh Kiai Muslih hilang di bawa air yang melanda kampung tersebut. Walaupun begitu, Datuk tetap menasihatkan ketua kampung supaya bersabar.
Ketika saya dan Datuk meninggalkan kampung tersebut menuju ke Tanjung Malim, kami mendapat khabar yang ketua kampung juga menemui ajalnya secara ngeri. Ketua kampung mati ditimpa pokok kelapa ketika membersihkan kawasan rumahnya dari sampah sarap yang dibawa oleh air ketika banjir. Datuk hanya terdiam mendengar berita itu dan terus menghadiahkan Al-Fatihah pada roh ketua kampung.
Saya tahu, Datuk pergi ke Tanjung Malim untuk menunaikan permintaan arwah Kiai Muslih untuk mengubati penyakit ganjil yang dihadapi seorang lelaki di tempat tersebut. Kerana kami sampai ke pekan Tanjung Malim pada waktu senja, kami terus menuju ke masjid. Setelah menunaikan sembahyang Maghrib dan Isyak di Masjid Tanjung Malim, kami terus pergi ke sebuah kedai makan di pekan tersebut. Datuk terus bertanya pada tuan punya kedai tentang seorang lelaki yang tinggal di rumah besar dan mengidap penyakit ganjil. Tuan punya kedai itu memberikan jawapan yang menghampakan tetapi, dia berjanji pada Datuk untuk menemukan Datuk dengan penghulu.
"Barangkali penghulu tahu, kalau dia tidak tahu saya akan membantu encik”, ujar tuan punya kedai.
Setelah membayar harga makanan dan minuman, Datuk dan saya pun segera beredar dari kedai tersebut. Saya kira Datuk akan menginap di hotel malam itu. Kiraan saya itu tidak tepat. Datuk mengambil keputusan untuk tidur di masjid sahaja.
"Kita tidur di masjid saja, buat amalan sikit. Sementara kita masih hidup ni buatlah mana patut untuk bekalan hari akhirat”, kata Datuk pada saya.
Ketika itu kami sedang melintasi landasan keretapi yang dibina atas dada jalan raya. Beberapa buah lori dan kereta membunyikan hon menyuruh kami berjalan ke tepi. Hati saya tiba-tiba jadi marah dengan sikap pemandu kenderaan itu. Mereka memandu agak laju sambil memasang lampu besar, tanpa memikirkan keselamatan orang-orang yang berjalan kaki. Pemandu-pemandu kenderaan itu merasakan jalan raya tersebut adalah hak mereka saja. Mereka seolah-olah berlumba di jalan raya sama ada mereka datang dari arah Kuala Lumpur atau arah lpoh (masa itu lebuh raya Slim River-Tanjung Malim masih belum ada) masing-masing mahu sampai segera ke tempat yang di tuju. Mata saya dan Datuk jadi silau akibat suluhan lampu kenderaan.
"Kadang-kadang manusia ni, bila dapat kemudahan tidak pernah bersyukur pada Allah dan tidak pula mahu memikirkan tentang orang lain yang tidak ada kemudahan”, rungut Datuk.
Saya menggigit bibir sambil memijak rumput di tepi jalan. Sesekali saya merenung ke arah tiang dan lampu jalan yang setia memancarkan cahaya. Waktu saya dan Datuk masuk ke kawasan masjid, kami bertemu dengan seorang lelaki berumur sekitar tujuh puluhan memakai kain dan baju Melayu serta memakai serban hijau. Orang tua yang kelihatan gagah itu memberi salam. Datuk membalas salamnya dan terus berjabat tangan.
"Ke mana?", tanya orang tua itu pada Datuk.
"Cadang tu nak bermalam di masjid ni"
"Memang baguslah tu, berlindung di rumah Allah nanti awak dapat syafaatnya. Tetapi sebelum tu eloklah awak melaporkan diri ke balai polis dan nyatakan awak nak bermalam di masjid"
"Apakah ini undang-undang?"
Orang tua yang berserban hijau itu terdiam sejenak dan memalingkan mukanya ke arah pekan Tanjung Malim. Saya tidak dapat melihat wajahnya dengan jelas kerana cahaya dari lampu jalan tidak berapa kuat menyinari kawasan masjid.
"Bukan udang-undang, tapi untuk keselamatan diri awak. Bukan awak tak tahu kawasan sekitar Tanjung Malim belum jadi kawasan putih, sekarang zaman darurat, musim orang komunis mengamuk”, jelas orang tua itu tanpa memandang wajah Datuk.
"Saya faham sekarang. Terima kasihlah atas nasihat awak"
"Sama-sama, nama saya Haji Ramli, saya nak balik sekarang"
Sebaik saja dia mengakhiri kata-kata itu, dia terus berjalan menuju ke arah jalan raya. Datuk terpinga-pinga ada semacam kekesalan terbayang di wajah Datuk kerana tidak sempat memperkenalkan dirinya pada orang tua itu. Tetapi, Datuk mematuhi nasihatnya. Kami terus menuju ke balai polis. Salah seorang anggota polis yang bertugas pada malam itu menyambut kedatangan kami dengan ramah. Saya melihat jam yang tersangkut di dinding balai polis sudah hampir pukul dua belas tengah malam.
"Apa halnya pakcik?"
"Saya dan cucu saya ni nak repot diri, kami nak tidur di masjid”, kata Datuk.
"lnilah yang sebaiknya untuk faedah bersama. Waktu darurat begini kadang-kadang ada pemeriksaan mengejut waktu malam yang masanya tidak menentui. Siapa yang suruh pakcik ke mari?"
"Haji Ramli"
"Haji Ramli?”, anggota polis itu nampak resah sambil mengerutkan dahinya. Anggota polis itu merenung wajah Datuk penuh keraguan.
"Kenapa encik?"
"Haji Ramli tu sebenarnya sudah mati kira-kira enam bulan yang lalu dalam serangan hendap komunis di Behrang.
"Siapa dia Haji Ramli yang sebenarnya encik?"
"Dia sebenarnya sarjan di balai polis ni. Dia orang Kuala Klawang, Negeri Sembilan. Agaknya pakcik ni silap orang. Pakcik dah mengantuk agaknya”, anggota polis yang bercakap dalam loghat Kedah itu mengetawakan Datuk.
Sesungguhnya Datuk tidak tersinggung dengan sikap anggota polis itu. Dan Datuk tidak mahu mempertahankan kenyataan yang dilihatnya. Barangkali Datuk memikirkan perbuatan itu satu perbuatan yang sia-sia. Cukup sukar menerangkan sesuatu tanpa bersandarkan pada kenyataan yang logik.
"Barangkali cakap encik betul”, kata Datuk sebaik saja anggota polis itu berhenti ketawa.
Anggota polis itu minta kad pengenalan (kad pengenalan lama yang bentuknya kembar dua dari kertas biasa, ukuran gambarnya besar sedikit dari ukuran gambar kad pengenalan sekarang). Anggota polis itu menatap gambar Datuk sejenak. Kemudian mencatatkan sesuatu di kertas. Kad pengenalan Datuk dikembalikan. Saya sudah dua tiga kali menguap panjang.
"Pakcik ni mahu ke mana sebenarnya?", soal anggota polis itu lagi.
"Saya datang ke mari, nak menolong orang sakit, saya cuma menunaikan amanat seorang kawan"
"Pakcik ni Tuk Pawanglah?"
"Tidak"
"Dukun?"
"Tidak"
"Bomoh?"
“Juga tidak, saya sekadar mahu membuat jasa sesama manusia"
"Pakcik ni ganjil orangnya"
"Dalam dunia ni tak ada manusia yang ganjil, semuanya sama belaka"
Anggota polis itu tersenyum sinis. Kemudian dia menyerahkan sekeping kertas kuning yang tercatat nama Datuk dan nombor repot. Kertas itu Datuk masukkan ke dalam saku bajunya.
"Terima kasih encik"
"Sama-sama. Bila pakcik mahu meninggalkan masjid untuk pergi ke mana-mana sila laporkan diri"
"Baik encik"
Datuk dan saya pun meninggalkan balai polis menuju ke masjid. Bila berada dalam perut masjid Datuk terus membaca Al-Quran dan saya pun mencari tempat yang sesuai untuk merebahkan badan. Tempat yang sesuai saya temui, badan pun saya rebahkan dalam beberapa saat saja saya sudah tidak dapat mendengar suara Datuk.
Rasa marah dan geram mula menguasai diri saya. Kerana terlalu geram saya genggam penumbuk lalu menekan penumbuk ke dinding masjid, hingga buku lima saya terasa sejuk menyentuh simen dinding. Siapa tidak meradang sedang nyenyak tidur dipaksa bangun.
"Sial”, pekik saya.
"Jangan biadab!”, balas Datuk serentak dengan itu tangan kanan Datuk menekan rahang mulut saya. Lepas itu, dia menekan pangkal pelipat kaki kanan saya beberapa minit, hingga muka dan badan saya berpeluh. Badan terasa segar dan bertenaga rasa mengantuk dan malas terus hilang. Datuk terus menarik tangan saya menuju ke pintu masjid. Di situ sudah sedia menanti dua orang lelaki. Mereka tersenyum merenung pada kami. Salah seorang dari lelaki itu saya kenali, iaitu anggota polis yang kami temui di balai polis. Dan seorang lagi tidak saya kenali. Orangnya kurus memakai baju kemeja putih dan berseluar kuning. Wajahnya nampak muram.
"Ada apa encik? Encik nak periksa kami?”, tanya saya.
“Tidak"
"Jadi kenapa encik datang ke mari?”, Datuk menyoal pada anggota polis.
Saya lihat anggota polis yang menyandang senjata api di bahunya tersenyum.
"Begini pakcik. Dia ni kawan saya dan kerjanya pun macam saya juga. Dia nak minta tolong tengokkan anaknya tidak berhenti-henti menjerit”, anggota polis itu menjelaskan tujuannya yang sebenar.
Datuk termenung sejenak. Ada rasa kurang senang hati terpamer di wajahnya. Memang, Datuk tidak berapa suka orang lain tahu tentang kebolehannya. Datuk gigit bibir.
"Saya minta Tuk Pawang tengokkan saja”, rayu lelaki yang memakai baju putih sambil merenung wajah Datuk.
Anggota polis di sebelahnya tidak berkata apa-apa.
"Saya bukan pawang, saya bukan bomoh”, kata Datuk serius. Wajah lelaki yang berbaju putih itu segera berubah.
"Kami minta tolong pakcik”, anggota polis pula merayu. Lagi sekali Datuk termenung panjang.
"Saya bukan bomoh dan bukan pawang , saya cuma boleh berikhtiar saja. Allah yang menentukan”, nada suara Datuk lemah.
"Kami faham dan apa yang kami buat ni adalah ikhtiar kami”, sahut anggota polis.
Setelah meraba pangkal telinga kanannya dua kali berturut-turut, Datuk memberi persetujuan untuk memenuhi permintaan mereka. Kami pun meninggalkan kawasan masjid. Dalam jangkaan saya waktu itu sudah pukul tiga pagi kerana bintang-bintang di langit sudah berkurangan angin pula tidak sekuat tadi bertiup.
Akhirnya, saya dan Datuk sampai ke rumah yang di tuju. Anggota polis tidak turut sama, dia kembali ke balai menyambung tugasnya. Masa berada di rumah itu, kami terdengar bunyi tembakan yang bertalu-talu dari arah barat laut. Lelaki yang berbaju putih itu memberitahu Datuk ada pertempuran di hutan antara pasukan keselamatan dengan pihak komunis. Datuk hanya anggukkan kepala mendengar penjelasan itu. Tetapi, saya bagaikan terasa ada sesuatu yang ganjil, lalu saya membuat kesimpulan bahawa diri saya dan Datuk sudah dipermainkan. Saya membuat kesimpulan itu, kerana saya tidak terdengar suara orang menangis. Suasana dalam rumah itu terasa tenang dan damai sekali lampu elektrik bersinar dengan terangnya. Saya dan Datuk duduk bersila dekat pintu sementara lelaki berbaju putih duduk tidak jauh dari Datuk membelakangi ruang rumah.
"Mana dia anak awak?", tanya Datuk.
"Begitulah keadaannya, ada masa dia diam ada masa dia menangis"
"Bawa dia ke mari"
Lelaki berbaju putih itu terus memerintahkan isteri membawa anaknya ke ruang tamu. Isteri lelaki berbaju putih itu dalam lingkungan usia tiga puluhan berkulit cerah dan tinggi lampai orangnya. Kelopak matanya kelihatan bengkak, barangkali terlalu lama menangis. Dia pun meletakkan anak yang dipangku di hadapan Datuk. Anak itu cukup nyenyak tidur. Tiba-tiba anak itu menangis dengan sekuat hatinya. Matanya terbeliak macam melihat sesuatu yang amat menakutkan, sedangkan kaki dan tangannya bergerak-gerak macam orang menari mengikuti irama gendang yang di palu.
Datuk tidak melakukan sesuatu terhadap anak perempuan itu. Budak perempuan itu cukup comel rupa parasnya, berusia kira-kira sepuluh tahun, berambut ikal yang dipotong separas bahu. Kulitnya cerah macam ibunya juga.
Dia kelihatan menarik dengan pakaian baju kebaya merah dan berkain hijau. Budak comel itu terus menjerit dan menangis hingga wajahnya kelihatan agak kebiru-biruan. Datuk membaca sesuatu lalu memegang tumit kaki gadis comel. Tangisan dan jeritan budak comel itu terhenti. Dia kembali tidur. Datuk terus diberi penjelasan oleh lelaki yang berbaju putih.
Menurut lelaki itu, anaknya sudah dua hari dua malam berkeadaan demikian. Sudah di bawa ke klinik swasta dan doktor mengesahkan anaknya tetap normal. Beberapa orang dukun tempatan pula mengatakan anaknya itu terkena sampuk ketika melintas sebuah busut jantan sekembalinya dari sekolah. Dukun-dukun itu cuma mengubatinya. Semuanya tidak berjaya keadaan anaknya tetap macam itu.
"Tolong saya tuan. Anak saya cuma dua orang saja, dialah yang tua. Seorang lagi lelaki. Apa yang tuan syaratkan saya tunai, ambillah emas di badan saya ini sebagai cagaran”, isteri lelaki berbaju putih merayu Datuk sambil menangis. Keadaan dalam rumah sudah jadi hara biru, beberapa orang jiran kiri kanan bangunan sederet itu terjaga. Mereka lalu datang ke tempat kami.
"Begini saja. Saya minta awak membaca Al-Fatihah dan Surah Al-Ikhlas seberapa banyak boleh. Jangan menangis dan meratap. Perbuatan itu tidak baik, memberi peluang syaitan menguasai hati awak”, kata Datuk dengan tenang.
Isteri lelaki berbaju putih itu terdiam. Kemudian Datuk meminta jiran-jiran tetangga yang datang supaya pulang ke rumah masing-masing. Datuk memberitahu mereka selagi mereka berada di situ, Datuk tidak dapat melakukan sesuatu. Permintaan itu dipatuhi oleh jiran-jiran yang datang. Suasana dalam rumah kembali tenang. Datuk terus menepuk lantai rumah tiga kali. Mulutnya bergerak-gerak membaca sesuatu, kemudian Datuk meletakkan ibu jarinya atas dahi gadis comel. Ditekannya dahi anak comel itu hingga berbekas.
"Saya minta maaf. Anak awak ni suka sangat melihat kera berjoget”, kata Datuk sambil memandang wajah lelaki yang berbaju putih dan isterinya. Mereka kelihatan tercengang. Datuk tersenyum lalu meminta isteri lelaki berbaju putih itu membangunkan anak lelakinya yang berusia lapan tahun. Permintaan itu di tunaikan.
Bila budak lelaki yang berusia lapan tahun itu berada di depan Datuk, wajahnya kelihatan cemas. Datuk pun memegang tapak tangan kanannya sebentar.
"Jangan takut. Cakap perkara yang betul dengan tuk”, kata Datuk sambil melepaskan tangan budak lelaki yang dipegangnya. Budak lelaki itu anggukkan kepala.
"Cucu sama kakak ada tengok tarian kera?"
"Ada”
"Seronok tak?"
"Seronok. Kera tu menari joget ikut gendang. Dia menari dekat kakak sambil memeluk pinggang kakak"
Datuk puas hati dengan penjelasan budak lelaki itu. Datuk menyuruh isteri lelaki berbaju putih membawa anaknya ke kamar tidur semula. Bila isteri lelaki yang berbaju putih datang semula dan duduk di sisi suaminya, Datuk pun memperkemaskan silanya. Datuk pun mengedutkan dahinya hingga pangkal ke dua keningnya seakan-akan bertemu. Mata Datuk saya lihat kian mengecil.
"Mengapa dibiarkan anak perempuan awak dipegang oleh kera yang menari?", pertanyaan itu Datuk ajukan pada lelaki yang berbaju putih.
Lelaki itu kelihatan resah, kemudian secara terus terang dia memberitahu Datuk bahawa perkara yang terjadi itu di luar pengetahuan isteri dan dirinya. Datuk lalu menggesa lelaki berbaju putih mencari kera dan tuannya. Lagi sekali wajah lelaki itu cemas, bukanlah mudah untuk mencari kera dan tuannya waktu begini.
"Saya tak kenai dengan tuannya?"
"Begini. Aku rasa kera dan tuannya tu bermalam di kaki lima kedai, cubalah pergi ke sana. Tetapi ingat, jangan kau apa-apakan dia, bawa dia ke mari”, beritahu Datuk.
Lelaki berbaju putih itu segera keluar dari rumah menuju ke balai polis. Dengan di temani oleh anggota polis yang bertugas di situ dia pergi ke tempat tersebut. Sementara menanti kepulangan mereka, Datuk terus merawat gadis comel secara kebatinan. Datuk tidak menyentuh kulit gadis comel itu. Datuk hanya memusingkan hujung bajunya dengan jari kelingking. Setiap kali hujung baju itu dipusingkan, gadis comel itu akan menjegilkan biji matanya, macam orang ketakutan.
Saya hanya melihat saja apa yang berlaku di hadapan mata. Sementara dalam kepala saya tergambar permainan tarian kera yang pernah saya lihat. Tarian kera ini selalunya dipertunjukkan di kawasan yang menjadi tempat lalu lintas orang ramai. Kera yang menari itu dikenakan baju cantik, macam baju orang perempuan serta di beri kipas yang di buat dari bilah buluh. Tuan punya kera akan memukul gendang dan kera itu akan menari mengikut rentak dan irama gendang yang dipalu.
-TAMAT-

06. BERSUAMIKAN HANTU RAYA

HIMPUNAN 👁‍🗨 CERITA SERAM
TAJUK CERITA : BERSUAMIKAN HANTU RAYA
KODE : 3300027509401006
CP BY ADMIN A.D
CGCZONE BRUNEI
theHORRORZONE BRUNEI
http://thehorrorzon.blogspot.com/2020/04/himpunan-cerita-seram-melayu-chapter2.html

Tanpa bertangguh-tangguh lagi Datuk pun menceritakan, apa yang kami alami dalam hutan Ulu Kinta pada orang-orang kampung Ulu Kinta yang menanti kami di depan Balai Polis Tanjung Rambutan. Saya tidak melibatkan diri ketika Datuk bercerita. Saya lebih senang duduk di pangkal pokok kelapa di rusuk kanan balai tersebut. Balai itu kini sudah dirobohkan, digantikan dengan bangunan yang baru.
“Pelik juga ceritanya, betul ke ni?” Saya terdengar salah seorang daripada orang kampung itu bersuara. Sepasang mata Datuk merenung tepat ke arah batang hidung orang itu.
“Terpulanglah pada awak, sama ada awak mahu percaya atau tidak, saya dan cucu sudah merasa dan mengalaminya.”
“Apa yang orang tu berikan pada awak.”
“Beri apa? Awak gila ke.” Suara Datuk mula meninggi dan orang itu terus diam.
Seorang anggota polis menghampiri kumpulan orang yang mengerumi Datuk lalu bertanyakannya: “Apa halnya ni.”
“Orang hilang ni dah jumpa di sini,” seorang lelaki berbadan tegap memberitahu anggota polis yang sudah berusia hampir lima puluh tahun itu. Tanpa diminta Datuk pun menceritakan apa yang dialaminya pada anggota polis itu.
Kemudian anggota polis itu mengakui apa yang dialami oleh Datuk itu pernah dialami oleh beberapa orang penduduk di sekitar Tanjung Rambutan yang pergi memburu ke kawasan itu.
“Tapi, saya belum pernah bertemu dengannya,” suara anggota polis itu merendah. Menurutnya, dalam waktu-waktu tertentu lelaki berserban hijau itu pernah muncul di Market Tanjung Rambutan. Anehnya, dia hanya bersalam saja dengan siapa yang disukainya, bila orang yang disalami mahu bertanya sesuatu padanya dia akan hilang dengan sekelip mata sahaja.
“Bagi saya perkara ni, sudah jadi perkara biasa,” anggota polis itu menamatkan ceritanya dengan Datuk. Datuk tidak puas hati dengan apa yang dicakapkan oleh anggota polis itu.
“Biasa macam mana?’ Datuk mendesak Anggota polis yang mahu melangkah masuk ke dalam balai berpatah balik.
Dia berdiri betul-betul di depan Datuk. Matanya cukup tajam menyorot wajah Datuk kemudian dia senyum sinis.
“Awak orang luar, mana awak tahu.” Termenung sejenak Datuk mendengar cakap anggota polis itu.
“Memang, saya bukan orang di sini, tentulah banyak perkara yang tidak saya tahu.”Datuk merendah diri.
“Saya orang Tambun, saya tahu serba sedikit tentang orang yang awak kata itu.”
“Itulah yang mahu saya dengar.”
“Begini, orang itu namanya Haji Lokman. Masa zaman Jepun dulu, dia membunuh tiga orang askar Jepun di Pekan Tambun.”
“Sebabnya?”
“Dia tak tahan melihat penyeksaan yang dilakukan oleh askar-askar Jepun pada orang kampung.”
“Jepun tak tangkap dia?” soal Datuk lagi.
Anggota polis yang berbadan tegap itu memicit pangkal dagunya sambil mengerutkan kening lebatnya.
“Jepun cuba menangkapnya tapi tidak berjaya. Akhirnya dia ditangkap ketika menunaikan sembahyang Zuhur. Dia dikurung, pada sebelum malamnya dia berjaya melepaskan diri, sejak itu dia tidak pulang ke rumahnya.”
“Agaknya dia dibunuh Jepun, cerita dia melepaskan diri waktu malam tu sengaja diada-adakan,” celah Datuk.
“Itulah yang anehnya, nak dikatakan mati, orang selalu berjumpa dengannya. Kalau dia hidup apa faedahnya menyeksa diri dalam hutan meninggalkan anak bini.”
“Betul juga cakap awak tu.”
“Tapi awak jumpa dia bukan?” soal anggota polis itu. Datuk angguk kepala.
“Lupakan saja perkara itu,” tambah anggota polis itu sambil meninggalkan Datuk, Orang-orang dari Ulu Kuang yang berhimpun di situ berpandangan sama sendiri.
“Sudah, anggaplah ini pengalaman yang berharga untuk awak, sama ada orang mahu percaya atau tidak itu bukan soalnya, tapi awak sudah melihat dan bercakap dengannya,” salah seorang penduduk Kampung Ulu Kuang membisikkan ke telinga Datuk.
“Betul cakap awak tu,” balas Datuk.
Datuk dan orang-orang dari Kampung Ulu Kuang meninggalkan Balai Polis Tanjung Rambutan menaiki bas menuju ke Chemor . Dari Chemor naik basikal menuju ke Kampung Ulu Kuang.
Dua hari kemudian, saya dan Datuk pun meninggalkan Kampung Ulu Kuang. Pengalaman-pengalaman aneh yang saya alami itu merupakan khazanah pengalaman yang tinggi nilainya. Saya kira boleh dijadikan panduan untuk hidup.
Sekali gus mengajar saya erti kebesaran serta kekuasaan Allah. Sesungguhnya Allah maha besar dan maha berkuasa boleh melakukan apa saja yang diingininya dan tidak terjangkau oleh akal fikiran manusia yang selalu mendakwa sudah cukup maju dengan ilmu pengetahuan.
“Tahukah kau, di dunia ini, tidak saja dipenuhi dengan manusia, tetapi dipenuhi juga dengan jin yang tak dapat dilihat dengan mata kasar, di sinilah pentingnya agama untuk manusia,” kata Datuk pada saya ketika bas yang kami naiki melintasi Pekan Menglembu.
“Aku harap,” tambah Datuk lagi, “kau akan jadi orang Islam yang baik. Manusia yang tidak beragama selalu sesat.”
“Saya pun berharap hidup saya akan menjadi manusia yang dikasihi oleh Allah.”
“Bagus tu, kau mesti patuh apa yang diperintahnya, jauhi dari perkara yang ditegahnya. Tunaikan apa yang ditetapkan oleh rukun kerana Islam itu tiang agama.”
“Saya faham tok.”
“Jika tidak patuh pada yang lima tu, Islam kau tidak akan sempurna.”
“Saya tahu tok,” tekanan suara saya merendah. Angin yang masuk ikut tingkap bas menolak rambut saya dengan mesranya.
Sampai saja di kampung halaman Datuk kami disambut oleh nenek dengan senang hati. Datuk tidak menceritakan apa yang dialaminya pada nenek.
Sayalah yang jadi tukang lapur kejadian pada nenek dan nenek tidak memberikan sebarang pendapat tentang peristiwa itu. Dia lebih banyak tersenyum dan angguk kepala. Saya tidak tahu apakah nenek suka atau percaya dengan apa yang saya katakan.
“Saya nak pergi,” tiba-tiba Datuk muncul di ambang pintu tengah. Perbualan saya terhenti. Saya lihat Datuk sudah berpakaian cukup kemas dengan baju melayu teluk belanga hitam serta seluar hitam. Songkok juga hitam.
“Ke mana ?” tanya nenek.
“Ke rumah bini muda,” balas Datuk selamba. Nenek mengizinkan Datuk pergi.
Dua hari sesudah Datuk pergi ke rumah bini mudanya di kampung orang bunian. Saya dipanggil oleh Jabatan Perhutanan Negeri Perak ke Batu Gajah untuk menjalani temu duga bagi memenuhi jawatan buruh hutan yang kosong dalam jabatan tersebut.
Saya terpilih dan ditempatkan di Slim River. Tidak lama saya bertugas di situ. Cuma satu minggu sahaja. Saya berhenti kerana kerja itu saya kira tidak sesuai dengan jiwa saya.
“Aku tahu, kau tak sesuai, perangai kau tak suka diperintah orang. Kau ni layak kerja sendiri jadi petani atau peniaga,” kata Datuk menyambut kepulangan saya di anjung rumah.
Sesungguhnya jiwa saya rasa tenteram menjaga kebun Datuk dan menjual buah-buahan hasil dusun Datuk di Cangkat Berangan. Saya rasa hidup begini agak bebas. Sekali sekala ikut Datuk menembak rusa atau kijang di mana-mana yang disukainya.
Pagi itu, seperti biasa saya pergi ke dusun memetik buah langsat dan rambutan untuk dijual pada peraih yang datang pada sebelah petang. Sedang saya asyik bekerja, Datuk menemui saya.
“Banyak yang kau dapat langsat?”
“Kira dua pikul ada tuk.”
“Tinggalkan pada nenek untuk menyelesaikan bila peraih Kum Meng datang petang ni.”
“Kenapa ?”
“Aku nak ajak kau ke kampung Cangkat Cermin, ada wakil ketua kampung datang menjemput aku.”
“Apa halnya.”
“Usah tanya, ikut cakap aku.”
Saya terdiam dan meninggalkan bakul buah langsat di dusun. Dengan basikal saya dan Datuk ke kampung Cangkat Cermin yang terletak di lebuh raya Ipoh - Lumut. Masa itu, lebuh raya masih belum dibina lagi. Kami terpaksa berbasikal membelah jalan tanah merah.
Sejak adanya lebuh raya, orang-orang di Changkat Cermin tidak menggunakan jalan tanah merah yang lama itu. Kami sampai ke rumah ketua kampung lebih kurang pukul dua petang. Saya dan Datuk ditempatkan di satu bilik khas.
“Apa salahnya Tok Sidang memanggil saya ?” soal Datuk kepada Ketua Kampung yang berjanggut itu. Ketua Kampung mengerutkan keningnya.
“Ada hajat besar.”
“Apa hajatnya?”
“Anak buah saya berlakikan hantu raya.”
“Ha…,” mulut Datuk ternganga.
Saya mula resah tidak menentu. Ketua Kampung terus bercerita tentang diri anak buahnya yang malang itu. Setiap malam anak buahnya yang baru kematian suami itu di datangi oleh hantu raya. Menurut ketua kampung itu, hantu raya tersebut tidur dan bercumbuan mesra dengannya hingga menjelang subuh.
“Siapa nama perempuan itu?” Datuk mula menyoal.
“Timah.”
“Bila suaminya mati?”
“Kira-kira enam bulan yang lalu.”
“Ada anak?”
“Tak ada, suaminya mati dilanggar lori balak di Pekan Air Tawar.”
“Ini kerjanya sulit sikit.” Datuk separuh mengeluh.
“Dia mengadu pada saya minta tolong, bukan setakat itu saja, hantu raya itu kadang-kadang mengacau orang kampung,” tambah Ketua Kampung.
Datuk terdiam. Dia berfikir. Tiba-tiba Datuk bangun. Berdiri dan berjalan di anjung rumah Ketua Kampung.
“Saya perlu jumpa dengannya,” itu yang terkeluar dari mulut Datuk.
“Bila ?”
“Kalau boleh sekarang juga.”
Ketua Kampung, saya dan Datuk turun dari rumah. Ketua Kampung membawa kami ke rumah Timah dengan melintasi ladang getah kepunyaan orang Inggeris. Rumah Timah terletak di sebidang tanah yang agak terpisah dengan rumah-rumah penduduk di situ. Di kawasan sekeliling rumahnya ditanam dengan ubi kayu dan keledek. Di bahagian belakang rumahnya terdapat sepohon pokok cempaka. Tidak jauh daripada pokok itu terdapat sebatang pokok Pulai.
Dari kaki tangga, Ketua Kampung memberi salam. Tidak ada jawapan. Lagi sekali salam diberi. Pintu rumah Timah terkuak dengan sendiri. Batang tubuh Timah tidak juga muncul. Datuk pandang saya dan saya pandang Ketua Kampung. Dahi Ketua Kampung kelihatan berkerut.
Sinar matahari petang beransur teduh. Saya terdengar bunyi burung helang bertalu-talu, beberapa ekor burung gagak terbang rendah sambil berbunyi. Saya terasa bunyi burung gagak itu agak berbeza dengan bunyi suara gagak yang selalu saya dengar.
Tiba-tiba Timah muncul dari bawah rumah. Rambutnya tidak terurus. Mukanya kelihatan pucat dan matanya nampak tidak bercahaya. Dia semacam takut saja melihat kedatangan kami. Ketua Kampung segera memberi tahu tujuan kedatangan Datuk dan saya. Timah tersenyum lalu mempersilakan kami naik ke rumah.
“Minta maaf ya,” kata Datuk sambil memandang ke wajah Timah. “Rumah ini ada dua bilik, yang satu lagi untuk siapa?”
“Untuk …,” Timah terdiam. Dia merenung muka Ketua Kampung. Melihat keadaan itu Datuk tidak mengemukakan pertanyaan lagi.
“Memang rumah ini ada dua bilik, saya ingat kerana saya yang mendirikan rumah ini bersama arwah suaminya dulu,” kata Ketua Kampung memberi penjelasan.
Datuk angguk kepala. Saya agak terkejut bila Datuk bersikap kurang ajar sedikit. Dia bangun lalu melihat kedua-dua bilik yang terdapat di dalam rumah itu. Saya tahu Ketua Kampung dan Timah tidak senang dengan sikap Datuk itu.
“Itu bilik saya ! jangan masuk,” jerit Timah bila Datuk menghampiri bilik di bahagian kiri rumah. Datuk angguk kepala sambil meraba-raba misai tebalnya. Datuk pergi ke bilik yang satu lagi.
Saya terkejut bila Datuk tunduk sambil kedua-dua belah tangannya memegang perut. Saya segera menerpa untuk membangunkan Datuk. Secara mendadak saya rasa pangkal lehar saya dipukul oleh sesuatu. Pandangan saya berpinar.
“Jangan datang,” pekik Datuk bila dia melihat Ketua Kampung mahu menerpa ke arahnya. Ketua Kampung pun tak jadi datang. Saya dan Datuk segera meninggalkan bilik tersebut.
“Merbahaya, kita mesti balik sekarang,” kata Datuk. Ketua Kampung tergamam, begitu juga dengan Timah. Dalam keadaan kelam kabut itu, Datuk mengemukakan soalan pada Timah,
“Bilik siapa itu?”
“Bilik suami saya,” Jawab Timah
“Dia dah mati. Untuk apa bilik tu buatnya.”
“Saayyyya…,” suara Timah terputus.
Datuk tersenyum. Dia sudah tahu apa yang dirahsiakan oleh Timah. Kami bertiga meninggalkan rumah Timah pulang ke rumah Ketua Kampung. Sebaik saja sampai ke kaki tangga, Datuk meminta jasa baik Ketua Kampung untuk meminjam senapang kampung dan pada sesiapa yang memiliki senapang.
“Buat apa?” Ketua Kampung menyoal penuh ragu,.
“Nak menembak gagak untuk menolong Timah.”
“Begitu,” suara Ketua Kampung menurun.
Dia segera mencari senapang kampung. Setengah jam kemudian Ketua Kampung kembali dengan senapang di bahu dan menyerahkan pada Datuk.
Datuk membidik-bidik senapang itu. Dia melurut laras senapang dengan tapak tangan kanan. Dengan tenang Datuk memasukkan peluru ke dalam laras senapang, kemudian dia meludah tapak tangan kanan dua tiga kali. Buntut senapang digosok dengan tapak tangan yang ada air liur itu.
Datuk menghalakan senapang ke arah sepasang burung gagak yang terbang rendah mencari ulat daun pisang di kawasan rumah Ketua Kampung. Datuk segera mengambilnya segera. Bangkai gagak itu digantungnya pada dahan pokok mempelam dekat rumah Ketua Kampung.
Datuk naik ke rumah. Waktu hari mula remang-remang senja Datuk menuju ke pangkal pokok mempelam. Dia menepuk bangkai gagak tiga kali sambil menabur garam halus di bangkai gagak tersebut . Gerak-geri Datuk itu saya perhati dengan teliti dari tingkap rumah Ketua Kampung.
“Suami Si Timah itu mengamalkan, ilmu salah, membela hantu raya semasa hidupnya. Begitulah Datuk menyatakan pada Ketua Kampung sebaik saja dia masuk ke dalam rumah. Dengan jujur Ketua Kampung menyatakan dia memang tak tahu walaupun suami Timah kawan rapatnya.
Ketua Kampung juga mengakui terdapat beberapa perkara aneh pada diri arwah suami Timah, antaranya dia selalu ditemui oleh orang kampung bekerja di ladang pada waktu malam seorang diri, bertukang rumah waktu malam, mencari kayu waktu malam seorang diri. Ketika orang-orang melihat kejadian aneh itu , suami timah sebenarnya tidak ke mana-mana, berbual kosong dengan Ketua Kampung di rumahnya.
Bila Ketua Kampung bertanyakan hal itu suami Timah. Dia menafikan yang dia membuat kerja-kerja itu. Malah menuduh orang-orang kampung mengadakan cerita yang bukan-bukan kerana dengki dengan kesenangannya. Dan dengan penjelasannya itu Ketua Kampung tidak menyoalnya lagi.
Setelah menunaikan sembahyang maghrib Datuk mengajak saya pergi ke suatu kawasan hutan tebal. Dia mengandar bangkai gagak dengan tenang. Saya lihat mulut Datuk terkumat-kamit membaca sesuatu. Datuk menyuruh saya bersembunyi di sebalik pokok besar. Datuk meletakkan bangkai gagak yang sudah dipanggang itu di kawasan lapang. Datuk menghidupkan api. Dia duduk di depan unggun api itu sambil berpeluk tubuh.
Dengan pertolongan cahaya api itu , saya lihat satu lembaga hitam besar berdiri di depan Datuk. Serentak saya terdengar bermacam-macam bunyi. Ada bunyi suara orang menangis dan menggilai. Ada suara gendang dipalu.
“Aku tidak bertujuan jahat, aku minta kau ambil anak kau semula, kau dari jin dan kami dari manusia. Tidak serupa cara hidupnya,” suara Datuk meninggi. Lembaga hitam itu bertambah besar. Dua tiga pokok besar yang dirempuhnya habis tumbang.
Seluruh kawasan itu saya rasa seperti dilanda ribut taufan yang amat kuat. Saya terdengar bunyi burung gagak berbunyi dan dalam saat itu juga burung gagak Datuk terbang menuju ke lembaga itu. suasana menjadi tenang. Lembaga hitam hilang dari pandangan saya. Datuk segera bangun dan mendapatkan saya.
“Kita ke rumah Timah,” perintah Datuk. Saya pun ikut perintahnya. Bukan lah suatu perkara yang mudah berjalan dalam gelap. Dua tiga kali saya terjatuh tapi bangun semula. Akhirnya kami sampai rumah Timah. Lama juga kami di situ, tidak ada sesuatu pun yang dapat kami lihat. Semuanya macam biasa.
Datuk mengajak saya pulang ke rumah Ketua Kampung. Datuk menunaikan sembahyang Isyak. Sesudah makan, Datuk mengajak Ketua Kampung ke rumah Timah kembali. Kali ini Datuk menyuruh saya dan Ketua Kampung berpecah, mencari tempat perlindungan masing-masing. Datuk memakai baju hitam dan seluar hitam. Dia membawa tiga batang serai, tiga puntung kayu yang sudah menjadi arang serta sebatang paku. Datuk tidak memakai seluar hitam, dia memakai seluar kuning dan mengikat kepalanya dengan kain putih. Badan mula merasai kedinginan. Embun jantan mula menitik. Angin malam yang bergerak melanggar dedaun di halaman rumah. Dedaun yang berlaga sama sendiri itu melahirkan bunyi tidak menentu. Bunyi katak bersahut-sahutan sesekali terdengar bunyi suara anjing bertingkah dengan bunyi suara burung hantu dan jampuk.
Saya lihat pintu rumah Timah berkuak dengan sendirinya. Sinar lampu minyak tanah menerangi sebahagian dari halaman rumah itu. saya lihat ada bayang-bayang hitam berdiri di muka pintu. Serentak dengan itu terdengar bunyi suara orang lelaki batuk bertalu-talu. Saya berlari mendapatkan Datuk. Saya duduk di sisinya, tiba Datuk menyepak pangkal paha saya, saya terduduk.
“Jangan dekati aku,” katanya.
Saya pun segera menjauhkan diri darinya. Datuk membakar kemenyan dan membakar sesuatu. Dari rumah Timah terdengar suara lelaki. Anjing kian kuat melolong. Saya terdengar kicau burung murai di tengah malam. Bulu roma saya berdiri. Ketua Kampung datang ke tempat saya dan Datuk.
Perhatian kami tertumpu pada pintu rumah Timah yang terdedah. Saya lihat seorang lelaki sedang duduk di muka pintu sambil menghisap rokok. Mukanya tidak berapa jelas kelihatan. Angin malam terus bertiup.
“Kau kenal siapa tu?” tanya Datuk pada Ketua Kampung. Ketua Kampung terdiam. Dia terus menumpu perhatian pada rumah Timah.
“Latif, laki Timah,” katanya pendek. Datuk angguk kepala. Datuk meletakkan tiga batang serai di depannya. Tangannya menggenggam paku.
“Itu bukan Latif, Itu hantu raya,” kata Datuk. Sebaik saja Datuk selesai bercakap, seketul batu melayang ke arah Ketua Kampung. Kerana Ketua Kampung juga pandai bersilat, dia mengelak. Batu terkena pangkal pokok. Datuk mencabut keris lalu menikam bumi. Ketika Datuk mencabut keris pintu rumah Timah terkatup dengan sendirinya. Kami bertiga masuk ke bawah rumah Timah. Apa yang kami dengar Timah bercakap sesuatu. Kami juga terdengar suara Timah merayu dan suara lelaki sedang di lamun berahi yang kuat. Suara Timah bertambah manja dan mengerang kepuasan.
“Hantu tu sedang berkasih dengan Timah,” Datuk memberitahu Ketua Kampung.
Datuk menikam tiang seri rumah Timah dengan sekuat hati. Bila Datuk mencabut keris rumah Timah bergegar. Semua barang yang ada dalam rumah bergerak dan jatuh ke atas lantai. Timah menjerit dan terjun ke halaman rumah. Terjelepok Timah di situ. Satu lembaga hitam yang besar terus mengangkat Timah yang tidak sedar diri itu.
Datuk menyerbu ke arah lembaga hitam itu. Datuk melintas di depannya. Ketua Kampung dan saya turut sama ke situ.
“Berhenti, kau syaitan.,” jerit Datuk.
Lembaga hitam itu melepaskan Timah ke atas bumi. Dia merenung tajam ke arah Datuk.
“Latif…,” pekik Ketua Kampung.
Lembaga hitam itu segera bertukar menjadi lelaki yang berbadan kurus, berkain pelekat tanpa baju dengan rambut tak terurus. Dia membuka langkah mengatur silat.
“Tidak ada jalan lain, kita mesti memusnahkannya malam ini juga, kalau sudah sampai subuh kita tidak berjaya membunuhnya selama-lamanya kita tidak akan dapat melenyapkannya dari kampung ini,” ujar Datuk.
Mendengar cakap Datuk, lelaki kurus itu bertambah marah dan bertukar menjadi lembaga yang hitam sehitam bulu burung gagak. Seluruh badannya berbulu. Matanya kelihatan mengeluarkan cahaya.
Datuk mengambil tiga batang serai sambil mengacu-acu ke arahnya. Setiap kali serai itu di lihatnya, lembaga hitam itu akan menjerit. Seluruh kampung bergema dengan jeritannya yang amat menakutkan itu. Lembaga itu menutup matanya dari melihat batang serai. Datuk lalu menayangkan pula kepak burung gagak ke arahnya. Lembaga hitam itu berguling-guling di atas tanah bagaikan menahan kesakitan.
“Aku tahu asal usul mu dan roh mu tidak diterima bumi, aku akan menyempurnakan diri mu kerana engkau adalah manusia yang berasal dari tanah dan ke tanah juga lah engkau kembali,” kata Datuk. Lembaga itu terus berguling-guling.
“Dia bini aku,” secara mendadak lembaga itu bersuara dan bangun. Datuk tergamam. Dalam rasa cemas itu lembaga hitam menerpa ke arah Datuk sambil kedua-dua belah tangannya yang hitam berbulu tebal menekan batang leher Datuk.
-TAMAT-

07. PEMUDA MENJERIT MALAM

HIMPUNAN 👁‍🗨 CERITA SERAM
TAJUK CERITA : PEMUDA MENJERIT MALAM
KODE : 3300027509401007
CP BY ADMIN A.D
CGCZONE BRUNEI
theHORRORZONE BRUNEI
http://thehorrorzon.blogspot.com/2020/04/himpunan-cerita-seram-melayu-chapter2.html

Setelah selesai menari kera itu akan membawa tempurung menemui orang yang melihatnya. Orang ramai akan mencampakkan wang ke dalam tempurung. Bila bertemu dengan budak perempuan yang comel kera itu akan menarik baju atau memeluk pinggang gadis comel sebagai tanda persahabatan. Tarian kera ini pada mulanya diperkenalkan oleh orang-orang India yang datang dari Madras. Orang Melayu juga ada menjalankan pertunjukan ini dengan tujuan mencari wang. Kalau kera itu bertuankan orang-orang India tarian yang dipersembahkan tetap berunsurkan tarian India, kalau orang Melayu yang jadi tuannya, kera itu pandai menari joget atau inang.
Kalau kera betina akan dinamakan Minah dan kera jantan dinamakan Mulung atau Meletik. Kata orang tarian kera ini ada unsur-unsur sihir yang dapat menarik perhatian orang ramai serta rasa simpati untuk menghulurkan bantuan, sejauh manakah kebenaran kata-kata itu tidak dapat dipastikan oleh sesiapapun. Akhirnya, lelaki berbaju putih itu pun pulang. Rambutnya kelihatan kusut masai dan matanya merah serta berair. Isterinya terus bertanya:
"Mana keranya bang?"
"Ada di luar"
"Bawa masuk”, tingkah Datuk sambil bangun.
Beberapa saat kemudian kera dan tuannya muncul di muka pintu. Datuk mempersilakan tuan punya kera duduk di sisinya. Setelah bercakap sebentar dengannya, Datuk sudah dapat mengetahui serba sedikit tentang latar belakang tuan punya kera itu.
"Saya nak ambil sehelai bulu tengkuk kera ini”, ujar Datuk.
Saya jadi hairan mendengar cakap Datuk itu. Kalau hanya memerlukan sehelai bulu tengkuk kera, tidak wajar tuan punya kera itu di bawa bersama. Suruh saja lelaki berbaju putih itu mencabut sehelai saja bulu kera tersebut. Ini lebih mudah dan tidak menyusahkan tuan punya kera . Kadang-kadang saya jadi bodoh dengan sikap Datuk. Tuan punya kera tidak membantah dengan hasrat yang disuarakan oleh Datuk. Dia pun menolak kera ke depan Datuk. Dengan tenang Datuk mencabut bulu kera tersebut . Isteri lelaki berbaju putih nampak resah.
"Bulu kera ini saya rendam dalam gelas kira-kira setengah jam, kemudian air diminumkan pada anak awak, dengan izin Allah setelah air diminum anak awak akan sembuh. Saya yakin anak awak ni kena sihir bulu kera dan inilah ubatnya”
Lelaki berbaju putih dan isterinya mendengar cakap Datuk dengan teliti. Tuan punya kera yang berbadan tegap itu terus melurut-lurut badan keranya. Dia macam buat tidak kisah dengan apa yang terjadi di depan matanya. Dia sanggup menanti di situ hingga ke pagi asalkan diberi wang.
Masa terus berlalu, semuanya menanti waktu yang di janjikan dengan dada yang berdebar. Gadis comel itu sudah dua kali menjerit sekuat hati . Datuk masih lagi bertahan, dia tidak akan melakukan sesuatu selagi belum sampai waktu setengah jam. Saya melihat ke gelas, tempat merendam bulu kera.
Sementara itu tuan punya kera terus bercerita tentang pengalaman manis dan pahit sepanjang waktu dia menjaja tarian kera, merantau dari satu tempat ke satu tempat. Dia berasal dari Burma dan menetap bertahun-tahun di India sebelum datang ke Tanah Melayu. Dia tidak menganut sebarang fahaman agama. Namanya juga sering berubah-ubah mengikut keadaan.
"Bila masuk ke pekan yang banyak orang Melayu, saya jadi Melayu, kalau masuk estet saya jadi India, kalau pergi ke tempat Cina saya jadi Cina, nama saya ada tiga, saya tidur tidak kira di mana-mana, kadang-kadang di masjid, kadang-kadang di kuil atau tokong Cina”, demikian tuan punya kera menceritakan perihal dirinya penuh bangga dalam bahasa Melayu pasar yang tunggang-langgang tapi boleh difahami.
"Sekarang sudah sampai masanya”, tekanan suara nada Datuk penuh yakin.
Dia lalu mengambil gelas yang berisi air dan bulu kera. Dengan sedikit paksaan Datuk berjaya memaksa gadis comel itu minum air bulu kera.
"Kita tunggu setengah jam lagi, kalau dia tidak menjerit bererti anak encik sudah sembuh. Tetapi, kalau dia tidak sembuh atau akan maut kerana sakitnya ini, kera ini terpaksa di sembelih, darahnya di beri pada anak encik untuk di minum”, semua yang ada di situ bertambah kecut mendengar penjelasan Datuk.
Lebih-lebih tuan punya kera. Lelaki berbaju putih dan isterinya mula didatangi butir-butir peluh di dahi, mereka sering kali melihat jam di dinding. Gadis comel terbujur di atas lantai pucat lesi. Masa terus berlalu, kedinginan kian kuat terasa menyapa tubuh badan saya.
"Lima minit lagi”, kata Datuk.
Isteri lelaki berbaju putih anggukkan kepala. Empat minit, tiga minit, dua minit dan akhirnya tepat setengah jam. Gadis comel itu tidak menjerit, dia bangun dari tempat baringnya. Datuk menyuruh gadis comel itu membaca Al-Fatihah dan mengucap dua kalimah syahadah. Gadis itu dapat melakukan segala-galanya dengan lancar dan teratur. Datuk gembira. Tetapi, kegembiraan hanya berlaku sebentar saja. Lelaki berbaju putih dan tuan punya kera bertengkar. Tuan punya kera itu tidak patuh dengan janjinya.
"Waktu saya ajak datang tadi dia mengenakan bayaran sepuluh ringgit, sekarang dia mahu dua puluh ringgit”, keluh lelaki berbaju putih.
Isterinya pula mula membuka gelang dan kalung di leher untuk diserahkan pada tuan punya kera. Perbuatan itu segera ditegah oleh Datuk. Cepat-cepat Datuk menepuk bahu tuan punya kera dan terus mengambil wang sepuluh ringgit dari lelaki berbaju putih, lalu diserahkan pada tuan punya kera yang bagaikan terkena pukau, menerima dan mendengar cakap Datuk. Datuk, saya dan tuan punya kera meninggalkan rumah lelaki berbaju putih. Bila sampai di luar kawasan balai polis, Datuk terus memegang bahu tuan punya kera.
Tiba-tiba kera yang didukung oleh tuan punya menyerang Datuk dengan menggigit lengan Datuk. Ternyata gigi kera yang tajam itu tidak mampu menembus kulit lengan Datuk. Dalam malam yang dingin itu, saya lihat muka tuan punya kera berubah, dari wajah seorang yang agak bodoh dan tolol menjadi bengis dan garang. Dia mengarahkan keranya menyerang di mana-mana bahagian tubuh Datuk. Datuk terus bertahan. Tiba-tiba badan saya menggeletar, bukan kerana rasa sejuk yang di bawa oleh angin subuh, tetapi, kerana kera yang saya lihat kecil itu berubah jadi besar. Lebih tinggi dari Datuk, kera itu membuka mulutnya dengan luas , kedua-dua taring yang panjang dan tajam itu menyeringai. Datuk masih bertenang, dia mengelak bila kera itu menyerang. Tuan punya kera terus mengeluarkan arahan.
Tiba-tiba Datuk berjaya menangkap ekor kera itu. Dalam beberapa saat saja kera itu kembali kepada keadaan asalnya. Tuan punya kera pula mula menyerang dari sebelah kanan. Datuk mengelak setapak, kemudian memukul pangkal leher tuan punya kera hingga tersungkur. Ketika itu, beberapa orang anggota polis yang dapat melihat keadaan di luar balai segera keluar. Masa anggota polis itu sampai ke situ, Datuk sudah pun membangunkan tuan punya kera. Dengan nada suara yang merayu-rayu tuan punya kera minta Datuk jangan mengapa-apakan dirinya.
"Awak jahat. Awak sengaja menggunakan ilmu halus awak untuk memperdayakan orang. Saya tahu, awak sengaja kenakan pada budak penempaan itu. Bila dia sakit awak tahu menawarnya dan awak kenakan bayaran yang tinggi, ini kerja awak”, kata Datuk sambil memulas tangan tuan punya kera.
"Saya cari makan tuan”
"Bukan cara ini awak cari makan, lagi sekali awak buat kerja ni, awak mati tahu?”, ugut Datuk sambil memeriksa badan tuan punya kera.
Datuk menemui sekeping kulit kera yang sudah kering yang dibalut dengan beberapa rajah serta tulisan Burma. Datuk bakar kulit keras dan pembalutnya, Datuk tidak peduli dengan rayuan dari tuan punya yang menyembah-nyembah kakinya.
"Awak balik”, kata Datuk.
Tanpa banyak cakap tuan punya kera beredar dari situ dengan wajah yang muram. Pada anggota polis yang berada di tempat tersebut ,Datuk menasihatkan mereka supaya jangan membenarkan anak-anak perempuan mereka melihat tarian kera dalam jarak dekat, apa lagi membiarkan kera memanjat atau memeluk badan anak-anak mereka.
"Tarian tu selalu digunakan oleh tuan punya menyerapkan semangat kera. Tetapi, tidak semua pula tuan punya tarian kera berperangai begitu. Kita harus berjaga-jaga. Tarian itu ada unsur-unsur pemujaan roh ghaib”, Datuk membuka rahsia di sebalik tarian kera.
Kemudian kami terus ke masjid. Tidak lama lepas itu waktu subuh sudah tiba, kami pun bersembahyang subuh dengan orang-orang yang datang ke masjid tersebut. Kerana memikirkan saya dan Datuk orang musafir yang menumpang tidur di masjid, tidak banyak yang mahu bercakap dengan kami, walau pun kami bersikap ramah pada mereka. Mereka datang ke masjid hanya untuk sembahyang saja dan melupakan ajaran agama yang menyuruh pengikutnya menjalin persahabatan dan kemesraan dengan orang yang seagama dengan mereka.
Lebih kurang pukul lapan pagi kami pun keluar dari masjid menuju ke kedai tempat kami makan malam tadi. Sepanjang jalan ke kedai Datuk terus merungut kerana dia tidak melakukan kebiasaannya mandi embun.
Kedatangan kami di sambut oleh tuan punya kedai makan ramah sekali. Malah, dia turut makan semeja dengan kami. Banyak perkara yang ditanyakannya pada Datuk. Saya kira tuan punya kedai itu seorang yang bijak kerana sambil bercakap itu dia sebenarnya mengemukakan pertanyaan yang tidak begitu ketara terhadap diri Datuk.
Secara tidak langsung Datuk sendiri membuka rahsia tujuan sebenarnya mahu mengubati lelaki yang dikatakan mengidap penyakit aneh itu.
"Sebenarnya, lelaki tu ada hubungan keluarga dengan saya. Tetapi, saya tidak begitu yakin berubat cara tradisional ni “, kata tuan punya kedai sambil menghirup air kopi.
Datuk pandang muka saya seolah-olah Datuk memberitahu bahawa, dirinya terperangkap dalam kemanisan budi dan tutur bicara tuan punya kedai.
"Kenapa awak tidak berterus terang dengan saya sejak semalam?”,Datuk melahirkan rasa kurang senangnya.
Tuan punya kedai terdiam. Datuk hirup kopi dengan tenang. Beberapa orang pelanggan terus keluar dan masuk.
"Minta maaf, kalau saya katakan kebanyakan orang-orang kita ni terutama yang mendakwa dirinya bomoh dan pawang, selalunya cari kesempatan, kebolehan tidak setinggi mana cakap saja yang melambung”, tuan punya kedai meluahkan apa yang tersirat dalam hatinya.
Datuk tersenyum sambil menjentik badan cawan dengan jari manisnya. Tuan punya kedai menyepit sebatang rokok cap tembak (Rough Rider) ke bibirnya. Hujung rokok itu di bakarnya dan disedutnya panjang-panjang. Asap rokok yang diluahkannya berlegar-legar dalam ruang kedai sebelum hilang di bawa angin pergi.
"Hubungan keluarga macam mana tu?", Datuk menyoal tuan punya kedai sambil menghabiskan sisa-sisa kopi yang ada di dalam cawan.
"Pangkat dua pupu dengan saya”
"Awak kenal dengan Kiai Muslih?"
"Kenal tu tidak, saya cuma kenal pada namanya saja. Kiai itu juga pernah mengubatnya. Tapi, tidak juga mahu sembuh”
"Apa pendapat awak tentangnya?"
"Dia tu saya rasa jujur orangnya”
"Awak tahu dia dah meninggal?"
"Saya tak tahu, bila dia meninggal?", tuan punya kedai terkejut.
Datuk terus menerangkan pada tuan punya tentang kedudukan yang sebenarnya. Wajah tuan punya kedai kelihatan cemas sedikit, bila Datuk menyatakan kedatangannya ke situ adalah untuk menunaikan amanat Kiai Muslih.
"Kita sekadar mahu menunaikan permintaan kawan, itu pun kalau kaum keluarga si pemuda tu setuju. Kita sekadar mahu menolong dan kita bukannya pawang atau dukun. Kita tidak mencari makan atas nama pawang atau bomoh”, cukup tentang Datuk berkata.
Tuan punya kedai terdiam. Datuk pun bangun untuk membayar harga makanan serta bersedia mahu meninggalkan kedai tersebut.
"Nanti dulu, maafkan saya kalau tersinggung”
"Saya tak tersinggung, itu hak awak”
"Saya tahu itu hak saya tapi, perbuatan itu kurang baik. Lagi sekali saya minta maaf. Sebab zaman sekarang, banyak orang menyamar jadi bomoh”
"Selalunya yang asli tetap asli, jarang mahu menunjuk kebolehan”
"Saya setuju”
Bila Datuk mahu membayar harga minuman dan makanan, tuan kedai itu tidak menerimanya. Malah tuan punya kedai itu membawa saya dan Datuk ke sebuah bilik khas di bahagian belakang kedainya. Tuan punya kedai itu memberitahu pada Datuk yang saudaranya (lelaki berpenyakit ganjil) berusia lebih kurang tiga puluh lapan tahun. Tidak suka menerima tetamu datang ke rumah walaupun ibu bapanya.
“Hati-hatilah awak bila ke sana. Banyak orang yang cuba mengubati dikejar dengan parang panjang, kecuali Kiai Muslih”, tuan punya kedai mengingatkan Datuk.
"Aneh juga perangainya”, balas Datuk.
"Dia bukan sakit tapi kemasukan syaitan”
"Barangkali”, jawab Datuk pendek.
Datuk terus memberitahu tuan punya kedai yang dirinya tidak dapat pergi dengan segera ke rumah lelaki aneh itu. Paling cepat dua hari lagi. Datuk perlu membuat beberapa persiapan tertentu. Dan Datuk tetap memilih masjid sebagai tempat menginap sementara menanti masa yang di tunggu itu tiba.
Sejak menginap di masjid Datuk terus menjalin persahabatan dengan anggota-anggota polis di situ. Dan Datuk sudah pun mendapat kebenaran untuk berjalan pada setiap subuh di kawasan pinggir pekan Tanjung Malim yang terdapat pokok-pokok tumbuhan. Sebelum pergi ke tempat tersebut Datuk dikehendaki melaporkan diri kepada pihak berkuasa di balai polis. Walaupun tujuan Datuk pergi ke kawasan hutan tersebut untuk mandi embun.
Tarikh yang dijanjikan pun tiba. Datuk dijemput oleh tuan punya kedai dengan kereta menuju ke kawasan perkampungan Melayu yang terletak ke selatan bandar Tanjung Malim. Bila sampai ke kawasan tersebut Datuk pun diperkenalkan dengan kaum kerabat pemuda yang malang itu. Saya dengan Datuk sampai di kampung tersebut pada sebelah pagi. Dan pada sebelah petangnya saya dan Datuk sudah pun mengetahui kedudukan rumah batu tempat pemuda aneh itu tinggal. Kawasan sekeliling rumah batu itu ditumbuhi pohon-pohon besar. Halaman rumahnya lapang dengan pokok-pokok bunga raya. Dibelakangi rumah terdapat kolam besar. Petang itu juga Datuk menghampiri rumah batu tersebut. Dari jauh lagi pemuda ganjil melambai-lambaikan tangan pada Datuk. Datuk terus masuk ke kawasan rumah tersebut. Pemuda ganjil mendekatinya.
"Apa hajat ke mari?" tanya pemuda ganjil.
Wajahnya cengkung. Matanya merah, misai dan janggut serta jambang tumbuh liar di wajahnya. Datuk cuba tersenyum kepadanya.
"Saya nak memancing ikan”, Datuk berbohong.
"Pergilah ke tempat lain. Kawasan ni kawasan saya dan tuan puteri”, ujarnya serius.
"Minta maaf, saya tak tahu”, kata Datuk.
Pemuda ganjil itu tersenyum dan terus menghalau Datuk dari kawasan rumahnya dengan maki hamun. Datuk terus menemui ke dua orang tua lelaki ganjil itu. Datuk memberitahu mereka segala usaha akan diikhtiarkan pada waktu malam hari Selasa ketika bulan mengambang. Sebelum usaha itu dilancarkan, Datuk perlu mengetahui gerak-gerinya. Datuk merasa senang hati kerana kedua orang tua lelaki ganjil itu sanggup membantu Datuk. Sementara menanti musim bulan mengambang, saya dan Datuk perlu tinggal di kampung tersebut selama dua hari lagi.
"Malam ni tiga belas Syaaban, malam esok empat belas dan malam lusa baru lima belas”, kata Datuk pada saya sambil menggigit ibu jarinya. Saya anggukkan kepala dengan harapan Datuk akan terus duduk di tebing sungai itu. Saya sudah tidak sanggup lagi untuk berjalan di kawasan yang penuh semak samun itu. Selain dari itu, hati saya sentiasa bimbang dan cemas. Manalah tahu, tiba-tiba pemuda yang tinggal di rumah batu akan keluar membawa parang untuk memotong leher saya dan Datuk. Dan bermacam-macam perkara bermain dalam kepala saya.
"Memang elok, malam Jumaat”, tambah Datuk lagi sambil merenung ke arah rumah batu yang sudah jauh tertinggal di belakang.
Saya terus menggigit bibir sambil merenung ke langit. Saya lihat awan petang itu cukup bersih. Datuk berhenti melangkah. Dengan teliti dia meletakkan punggungnya atas batu besar yang terdampar di bibir Sungai Bernam. Tidak jauh dari batu besar itu terdapat sepohon pokok ara yang akarnya terjuntai ke dalam air sungai. Perdu pokok ara itu cukup besar, kira-kira dua pemeluk. Air Sungai Bernam yang mengalir itu seakan-akan berpusing-pusing di bahagian akar pokok ara itu sebelum mengalir ke selatan. Kerana air Sungai Bernam yang mengalir itu cukup jernih, pasir dan batu-batu yang terdapat di dasarnya boleh dilihat dengan jelas. Datuk saya lihat merenung air sungai yang seakan-akan berpusing berhampiran dengan akar ara yang terjuntai itu. Datuk macam mencari sesuatu. Dahinya saya lihat berkedut bersama titik-titik peluh yang tumbuh di kiri kanan pipinya. Saya merasa hairan dan takjub dengan sikap Datuk yang tiba-tiba berubah itu.
"Kita harus mencari akar-akar kayu, pucuk-pucuk kayu dan batu-batu yang terdapat dalam sungai ni Tamar”, ujar Datuk sambil merenung muka saya.
Macam ada sesuatu yang timbul dalam diri saya untuk menentang apa yang Datuk cakapkan. Apa perlunya batu dan akar kayu itu? Apakah Datuk tidak tahu hari sudah petang? Apakah dia tidak terfikir pemuda yang berada di rumah batu itu akan sampai ke tempat saya dan Datuk duduk sekarang? Saya mengeluh dalam hati.
"Semuanya ada guna untuk kita Tamar. Aku tahu apa yang kau fikirkan dan kau jangan cuba membantah cakap aku”
Mendengar suara Datuk itu, muka saya segera berubah. Saya malu pada diri saya sendiri. Datuk sudah tahu apa yang tersirat dalam hati saya. Datuk renung muka saya sebentar. Kemudian dengan tenang Datuk lipatkan kedua belah kaki seluarnya hingga separas kepala lutut. Datuk terus turun ke dalam sungai. Meranduk air sungai dengan tenang sambil membongkokkan badan mengutip batu-batu yang berada betul-betul di tengah sungai. Kebanyakan batu yang dikutip itu berbentuk leper dan bersegi tiga. Datuk masukkan batu-batu itu ke dalam saku bajunya. Jumlah batu yang dikutip oleh Datuk lebih kurang tiga puluh tiga biji. Datuk memanjat tebing sungai dan terus menghampiri saya.
"Mari kita ke sana”, ujar Datuk sambil menuding jarinya ke arah matahari terbit.
Saya pun segera bangun dan menggeliat dua tiga kali. Datuk terus langkah. Saya tidak ada pilihan lain dan terpaksa mengikutnya saja.
Matahari petang kian condong, bebayang pokok memanjang di tanah. Awan saya lihat tetap berarak tenang. Kami masuk ke kawasan hutan kecil yang bersambung dengan kaki sebuah bukit. Pokok-pokok yang tumbuh di kaki bukit itu agak subur . Dengan menggunakan tangannya Datuk pun mematahkan beberapa dahan kayu yang berdaun lebat. Kami kian jauh mara ke dalam hutan di pinggir bukit itu, matahari kian mengecil membuat suasana di sekitar kawasan tersebut agak muram. Dan Datuk dengan menggunakan kekuatannya berjaya mencabut beberapa akar kayu hutan.
"Balik”, kata Datuk .
Kepalang gembiranya hati saya mendengar cakap Datuk itu. Kami berpatah balik menuju ke tebing sungai, tempat kami mula bergerak tadi. Sebaik saja sampai di bawah pokok ara tempat saya dan Datuk duduk tadi, terdapat kesan-kesan darah pada akar pokok tersebut. Datuk melihat kesan darah itu dengan teliti.
"Darah apa agaknya?", rungut Datuk sambil merenung muka saya.
Cepat-cepat saya gelengkan kepala. Ketika itu saya lihat di kaki langit, cahaya merah dan kekuningan mula bangkit, menandakan tidak lama lagi waktu Maghrib akan tiba. Tanpa banyak cakap, Datuk pun menutup kesan darah di akar kayu ara dengan daun kering.
Tiba-tiba saya lihat wajah Datuk berubah. Ekor matanya menjeling tajam ke kiri dan ke kanan, macam kucing mengamati langkah mangsanya. Saya segera menggigit bibir, bila melihat ada titisan darah jatuh dari dahan pokok ara. Darah itu menitik atas lengan Datuk dan mengalir perlahan-lahan menuju ke hujung jarinya.
"Ambilkan daun keladi dan sapukan darah di lengan ini”, kata Datuk.
Saya pun segera mematuhi perintahnya. Sebaik saja darah di lengan itu saya sapukan dengan daun keladi, Datuk pun mengambil daun keladi dari saya lalu diletakkan atas tanah dengan keadaan yang terlentang.
Macam kilat Datuk melompat lalu membuka silat langkah pertama sambil melepaskan buah silat kiri dan kanan. Pergerakan Datuk cukup cepat dan tangkas. Bila Datuk mematikan langkahnya, saya lihat daun keladi yang diletakkan dalam keadaan terlentang hancur.
Akhirnya Datuk dongakkan kepala dan sepasang matanya merenung tajam ke arah salah satu dahan ara. Urat-urat di mata Datuk kelihatan seakan-akan timbul dan berwarna merah. Dari kedua-dua belah bibir matanya, saya lihat keluar asap yang nipis macam kabus. Dahi Datuk berpeluh begitu juga kulit pipinya, dagu Datuk bergerak gerak. Datuk terus menenung dahan ara itu. Tiba-tiba dahan yang ditenungnya patah dan jatuh ke bumi.
"Selesai”, kata Datuk lalu menarik tangan saya ke arah kesan kena bakar.
Daun yang terdapat di dahan itu semuanya layu dan kecut. Datuk tidak menceritakan apa-apa pun berhubung dengan dahan yang patah dan darah yang menitis pada lengannya. Kami pun meninggalkan kawasan tersebut. Hari sudah beransur gelap. Kerana kami ditempatkan di sebuah rumah khas oleh keluarga pemuda ganjil itu membuat saya dan Datuk terasa agak selesa dan bebas bergerak.
Malam itu, Datuk membuat keputusan yang amat menakjubkan. Dia mahu meninjau keadaan kawasan sekitar rumah batu. Dia mahu melihat apa yang dilakukan oleh pemuda itu ketika bulan mengambang.
"Siapkan keris kecil untuk aku”, Datuk mengeluarkan perintah.
Sebaik saja dia selesai menunaikan sembahyang Isyak, saya segera mengeluarkan keris kecil dari tempatnya dan terus menyerahkan pada Datuk. Datuk gulung keris itu dengan kain hitam dan terus diselitkan ke pinggangnya. Sebelum meninggalkan rumah khas tempat kami menginap, Datuk terlebih dahulu duduk bersila di muka pintu sambil membaca sesuatu. Saya di suruhnya melihat bulan di langit. Saya berdiri di muka tingkap melihat langit dan awan. Datuk terus bertafakur, kepalanya sudah pun dililit dengan kain merah.
"Malam ni baru 13 Syaaban, bulan tidak begitu besar”, ujar Datuk sambil menepuk lantai tiga kali.
Dia terus mundar-mandir di ruang rumah. Saya biarkan Datuk dengan keadaannya. Saya tidak mahu campur dalam urusannya. Saya tersenyum, di langit bulan mula timbul, awan nipis yang melitupinya mula bergerak, terpisah dengan bulan yang sebesar buah kelapa sulung itu. Datuk segera menghampiri dan berdiri dekat muka tingkap. Wajahnya kelihatan berseri-seri.
"Malam ni mulakan dulu”, kata Datuk.
"Terlalu cepat Datuk bertindak?"
"Apa salahnya, menguji dulu sebelum masuk gelanggang”
"Saya takut kerja Datuk jadi kerja yang sia-sia?"
"Kita sekadar mencuba”, jawab Datuk.
Tiba-tiba Datuk dan saya terdengar lolongan anjing sayup-sayup. Bulan di langit kian menyerlah. Awan kian bersih dan bergerak-gerak perlahan-lahan mengikut arah angin. Suara lolongan anjing kian kuat dan menyeramkan. Pokok-pokok sekitar kawasan rumah tempat kami menginap mula bergerak-gerak disentuh angin.
"Aku dengar bunyi suara orang menjerit”, bisik Datuk ke telinga saya.
Dan Datuk menyuruh saya mengamati arah mana suara orang menjerit itu datang. Saya pun pasang telinga dengan teliti. Dada saya mulai berdebar.
"Dari arah rumah batu tuk”
"Aku rasa pun begitu juga”
"Apa yang patut kita buat tuk?"
"Kita pergi ke sana, meninjau”
Saya menarik nafas panjang bila mendengar cakap Datuk itu. Suara lolongan anjing kian kuat, angin juga mula bertiup agak kencang. Saya merasa hairan, kenapa hal itu terjadi dengan mendadak. Bila dilihat keadaan hari, memang tidak wajar angin boleh bertiup begitu kencang. Suara orang menjerit kian galak, bersambung-samb
ung dalam lolongan yang memanjang. Datuk menyuruh saya turun dahulu. Dia mahu menguncikan daun pintu. Saya terus turun. Bila kaki saya memijak bumi, dada saya terasa berdebar-debar.
Dalam keadaan yang resah itu, sebiji pisang muda macam dibaling orang tertentu mengenai dahi saya. Pandangan saya jadi berpinar-pinar. Badan saya terhuyung-hayang. Dalam keadaan yang tidak keruan itu Datuk terus memeluk saya. Datuk dudukkan saya atas anak tangga. Dengan perlahan-lahan Datuk menepuk dahi saya tiga kali berturut-turut. Pandangan saya kembali normal. Dan badan saya tidak lagi terhuyung-hayang.
-TAMAT-

08. 

HIMPUNAN 👁‍🗨 CERITA SERAM
TAJUK CERITA : 
KODE : 3300027509401008
CP BY ADMIN A.D
CGCZONE BRUNEI
theHORRORZONE BRUNEI
http://thehorrorzon.blogspot.com/2020/04/himpunan-cerita-seram-melayu-chapter2.html

09. 

HIMPUNAN 👁‍🗨 CERITA SERAM
TAJUK CERITA : 
KODE : 3300027509401009
CP BY ADMIN A.D
CGCZONE BRUNEI
theHORRORZONE BRUNEI
http://thehorrorzon.blogspot.com/2020/04/himpunan-cerita-seram-melayu-chapter2.html


10. 

HIMPUNAN 👁‍🗨 CERITA SERAM
TAJUK CERITA : 
KODE : 3300027509401010
CP BY ADMIN A.D
CGCZONE BRUNEI
theHORRORZONE BRUNEI
http://thehorrorzon.blogspot.com/2020/04/himpunan-cerita-seram-melayu-chapter2.html


Comments

Popular posts from this blog

KOLEKSI VIDEO / MOVIE ACTION / CARTOON / SEASON#1

AD COLLECTIONS / THAI MOVIES / SEASON#1

CGCZONE 👁‍🗨 PAID ADVERT / SERVIS IKLAN BEBAYAR / DETAILS