CERITA MISTIK & SERAM - SEASON#2
CERITA² MISTIK, MISTERI 📛 SERAM - #SEASON2
KOLEKSI CERITA SERAM MELAYU
HIMPUNAN CERITA SERAM
CP BY ADMIN A.D
CGCZONE BRUNEI
theHORRORZONE BRUNEI
KODE : 300002750940100
http://thehorrorzon.blogspot.com/2020/04/cerita-mistik-seram.html
100. TELAN DARAH DAN NANAH
CERITA² MISTIK, MISTERI 📛 SERAM - #SEASON2
KOLEKSI CERITA SERAM MELAYU
HIMPUNAN CERITA SERAM
TAJUK CERITA : TELAN DARAH DAN NANAH
CP BY ADMIN A.D
CGCZONE BRUNEI
theHORRORZONE BRUNEI
KODE : 300002750940100
http://thehorrorzon.blogspot.com/2020/04/cerita-mistik-seram.html
Datuk terus batuk di depannya. Perempuan cantik itu berhenti mengoyak-ngoyakkan kertas. Matanya merenung muka Datuk. Matanya kelihatan bersinar-sinar.
“Siapa nama kamu,” tanya Datuk. Perempuan cantik terus membisu. Orang yang ada di situ terus mengetawakan Datuk. Mereka mengira perbuatan Datuk itu, satu perbuatan yang bodoh kerana bercakap dengan orang gila.
Saya lihat air muka Datuk berubah. Tanpa diduga perempuan cantik itu terus menampar muka Datuk. Suara ketawa dari orang-orang yang mengelilingi perempuan cantik kian kuat. Muka Datuk jadi merah, saya kira Datuk terasa malu. Perempuan cantik itu terus meludah muka Datuk.
Saya lihat Datuk menggigit bibir. Saya mula cemas, bila kedua-dua belah daun telinga Datuk bergerak-gerak. Saya tahu bila daun telinga Datuk bergerak, ertinya dia sudah berada dalam tahap kemarahan yang amat hebat. Orang-orang yang ada di situ terus mengetawakan Datuk.
Beberapa orang pemuda yang kurang ajar mengeboo-boo diri Datuk. Datuk toleh kiri, toleh kanan. Dia sudah dapat mengawal rasa marahnya.
“Eh, syaitan, kamu buat apaaa...,” pekik Datuk sekuat hati.
Suaranya dapat didengar oleh seluruh penduduk kampung. Orang yang mengetawakan dirinya terkejut dan ada yang bertempiaran lari tidak tentu hala. Dalam sekelip mata sahaja Datuk sudah berdiri sambil mencekak pinggang.
Perempuan cantik, anak Malik Cina jatuh terlentang dan terus pengsan. Terkapar di perdu manggis macam mayat. Orang yang berkumpul terus hilang entah ke mana. Datuk masih lagi berdiri, Malik Cina dan isterinya tergamam, tidak berkata sepatah apa pun, macam orang kena pukau.
“Anak kamu disihir, bawa dia ke tempatnya, jangan dirantai kakinya,” ujar Datuk pada Malik Cina. Tanpa membuang masa sepasang suami isteri itu mengusung anak kesayangan mereka ke bilik khas.
Ketika tubuh perempuan cantik itu diusung, di kaki langit mula kelihatan awan kemerah-merahan. Sebentar lagi, matahari akan menyelesaikan tugasnya.
Datuk kembali ke ruang anjung rumah. Datuk minta segelas air dan tujuh biji beras dari Malik Cina. Barang yang diminta itu segera diadakan. Datuk masukkan tujuh biji beras ke dalam gelas yang berair. Datuk membaca sesuatu pada air tersebut.
“Sapukan air ini ke mukanya, dan separuh lagi beri dia minum, kalau ada lebih lagi, sapukan pada pergelangan tangan dan kakinya,” Datuk menyerahkan gelas berisi air dan tujuh biji beras pada Malik Cina. Malik Cina pun membawa gelas itu ke bilik anaknya.
Saya pun menyandarkan badan ke dinding sambil memicit jejari di kaki. Datuk meluruskan kedua belah tangan lantas diletakkan atas sepasang kepala lututnya. Mata Datuk terus menikam tikar mengkuang yang terbentang menutup lantai.
Sinar matahari yang lembut menjalani lantai rumah. Angin pun menghantar rasa dingin. Tetapi, hati saya masih panas dengan sikap orang-orang kampung yang mengejek-ejek Datuk. Tidak ada budi bahasa, tidak ada timbang rasa.
Mereka mencari kepuasan dan hiburan dari penderitaan orang lain. Mereka ketawa melihat anak perempuan Malik Cina yang suka mengoyakkan kain dan kertas. Mereka ketawa, bila anak perempuan Malik Cina menampar muka Datuk. Mulut mereka melahirkan rasa simpati sedangkan hati tidak begitu.
Semua persoalan itu berlegar-legar dalam tempurung kepala saya. Bibir terus saya gigit. Datuk masih lagi tunduk merenung lantai. Saya alihkan pandangan ke halaman rumah Malik Cina yang bersih. Angin lembut terasa menampar wajah.
Datuk batuk, bagaikan kilat saya merenung ke arahnya. Saya lihat Datuk masih lagi tunduk dengan sepasang tangan berada atas tempurung lutut. Saya mula bosan berhadapan dengan suasana begini. Terasa jemu tidak menentu.
“Tamar.”
“Ya tuk.”
“Apa yang kau fikirkan.”
“Tak ada apa-apa tuk.”
“Betul, kau tak fikir apa-apa?”
“Betul tuk.”
Datuk terus menegakkan badannya. Lengan yang berada atas tempurung lutut berubah tempat. Kedua belah telapak tangan Datuk menekan tikar mengkuang. Saya lihat Datuk berada dalam keadaan yang aman sekali. Wajahnya kelihatan tenang dan damai.
Saya segera mendekati Datuk. Saya berharap dalam keadaan yang bosan dan menjemukan itu, Datuk mahu bercakap-cakap atau bercerita apa sahaja.
Kalau Datuk meluahkan nasihat. Saya sanggup menerimanya. Andainya, Datuk menceritakan tentang zaman kanak-kanak hingga ke zaman remaja, saya sanggup mendengarnya. Asalkan rasa jemu dan bosan hilang dari hati.
Datuk jeling saya bersama senyum nipis. Bahu saya ditepuknya. Datuk bersedia untuk mengungkapkan sesuatu.
Mulutnya nampak seakan-akan bergerak-gerak. Saya kesal, gerakan bibirnya tidak mengeluarkan suara. Diganggu oleh jeritan yang memanjang dan nyaring.
“Dia menjerit lagi,” kata Datuk dengan wajah yang resah. Saya terdengar bunyi keras dan kain dikoyak berturut-turut. Datuk segera berdiri. Malik Cina keluar dari bilik khas anaknya menemui Datuk.
“Dia mengamuk lagi, dia menendang emaknya dan mengoyakkan kain gebar dan cadar katil,” beritahu Malik Cina sambil menelan air liur. Keresahan dan kebimbangan jelas terpamer di mukanya. Malik Cina tidak tentu arah. Sekejap garu batang leher, sekejap garu telinga capangnya.
“Apa yang mesti saya buat? Bagaimana kalau kakinya saya rantaikan semula,” Malik Cina renung muka saya dan saya hadiahkan senyum untuknya.
Suara jeritan kian lantang diikuti dengan bunyi tapak kaki orang berlari. Terdengar bunyi kaca pecah berderai. Dinding rumah terus ditendang bertalu-talu. Malik Cina memulakan langkahnya menuju ke bilik khas anaknya. Datuk terus memegang tangan kirinya.
Malik Cina agak terkejut, bibir bawahnya yang tebal nampak bergerak. Keningnya agak terangkat sedikit. Suara jeritan anak perempuannya terus menguasai kampung.
“Jangan rantai dia,” kata Datuk.
“Bagaimana, kalau dia lari dari rumah dan mengacau orang kampung?”
“Bersabar, sekejap lagi dia berhenti, air yang aku berikan tadi, ada lagi atau dah habis?”
“Air tadi, dah habis.”
“Tak apa, ambil air lain, cepat sikit,” desak Datuk. Malik Cina anggukkan kepala.
Datuk terus melagakan gigi atas dengan gigi bawah berkali-kali. Kemudian melangkah dengan tenang di ruang anjung. Kedua belah tangannya disilangkan ke belakang. Datuk sedang memikirkan sesuatu. Malik Cina segera meninggalkan kami menuju ke ruang dapur.
Setelah puas bergerak ke sana ke sini, Datuk terus duduk bersila sambil sandarkan badan ke dinding. Lutut kanan didirikan dan dahinya terus bertemu dengan tempurung lutut Saya kurang senang melihat Datuk dalam keadaan demikian. Saya segera menghampirinya.
“Ada apa-apa masalah tuk?”
“Tak ada apa-apa, kalau ada pun kau tak boleh menolongnya,” jawab Datuk tanpa memandang wajah saya. Datuk menyindir saya. Tetapi, saya masih tersenyum. Suara jeritan anak Malik Cina terus berlanjutan. Beberapa orang jiran tetangga mula datang.
“Kurang elok kalau ramai sangat jiran-jiran datang,” rungut Datuk sambil menjatuhkan lutut kanannya. Matanya tertumpu pada wajah saya yang tidak dapat menangkap maksud dari kata-katanya itu.
“Boleh mengganggu kerja aku, lagipun yang datang ni cuma nak tengok, kemudian jadikan bahan cerita pada orang lain yang tak sempat datang,” tambah Datuk lagi. Saya lihat buah halkum di batang lehernya bergerak-gerak, bila Datuk menelan air liur.
Malik Cina datang. Segelas air sejuk diserahkan pad Datuk. Saya lihat Datuk memperhatikan air dalam gelas dengan teliti. Malik terus duduk bersila di depan Datuk. Perlahan-lahan Datuk menjentik lantai tiga kali berturut-turut. Suara jeritan anak Malik Cina beransur kurang dan lemah akhirnya hilang terus.
Dengan wajah yang tenang Datuk mendekatkan gelas berisi air sejuk ke bibir. Saya lihat bibir Datuk bergerak agak perlahan-lahan sekali. Dari gerak bibirnya itu, saya dapat meneka bahawa Datuk sedang membaca Fatihah dengan khusyuk sekali. Malik Cina hanya melihat semua gerak-geri Datuk dengan teliti.
KELAM
Saya renung ke halaman rumah. Keadaan hari sudah beransur kelam. Tetapi, langit dan awan kelihatan cerah sekali. Angin tidak sekencang tadi bertiup.
Beberapa orang jiran tetangga mula meninggalkan rumah Malik Cina. Mereka agak kecewa kerana tidak dapat menyaksikan kelakuan aneh Malik Cina.
“Sudah tak menjerit lagi?” Bisik saya pada Malik Cina. Tidak ada jawapan yang saya terima tetapi, ekor mata Datuk menikam ke wajah saya. Dia dengar dengan jelas apa yang saya bisikkan pada Malik Cina. Anak telinga Datuk cukup tajam.
“Agaknya, dia dah letih,” kata Datuk. Saya dan Malik Cina segera merenung ke arah Datuk. Dan tanpa membuang masa, Datuk terus menyerahkan gelas berisi air sejuk pada Malik Cina. Air dalam gelas kelihatan bergerak serta berkocak kecil tetapi gelas bertukar tangan dari Datuk ke Malik Cina.
“Lagi apa yang mesti saya buat?”
“Buat macam air pertama yang aku berikan pada kamu tadi.”
“Saya ingat”
“Bagus, aku ingatkan lagi sekali, air pertama untuk basuh muka, untuk minum, sapu pergelangan tangan dan kaki tetapi, air ini ditambahkan sedikit caranya iaitu menyapu pangkal dagunya,” Datuk mengulanginya dengan harapan Malik Cina tidak akan melakukan kesilapan.
“Baik-baik air tu berkocak,” saya terus menudingkan jari telunjuk ke arah gelas yang ditatang oleh Malik Cina. Cepat-cepat Malik Cina memperlahankan langkah dan mengurangkan goyang tangan hingga air dalam gelas tidak berkocak dan meleleh di bibir gelas. Malik Cina meneruskan langkahnya menuju ke bilik khas anaknya.
“Dengan izin Allah penyakitnya hilang,” suara Datuk lembut dan ditujukan pada saya. Sebagai jawapan, saya anggukkan kepala dengan harapan apa yang diingini oleh Datuk bakal menjadi kenyataan.
Datuk terus merenung ke halaman Datuk. Dahi luasnya dikerutkan. Datuk menggerakkan lehernya ke kiri dan ke kanan hingga rasa lenguh terus hilang. Datuk menggeliat.
“Waktu Maghrib dah nak masuk Tamar,”
“Ya, kita nak sembahyang di rumah atau di masjid tuk?”
“Aku fikir berjemaah lebih baik, pahalanya lebih, jum kita ke masjid”
“Saya mengikut saja.”
Datuk membetulkan baju yang dipakai. Meraba kaki seluar dan membetulkan letak songkok. Kain pelekat yang tersangkut di bahu Datuk raba dua tiga kali. Saya menarik nafas terhibur mendengar kicau burung yang terbang pulang sarang.
Malik Cina mendekati Datuk. Saya lihat pakaian Malik Cina agak kemas. Rasa cemas tidak terpamer di wajahnya. Sesekali ia melepaskan senyum bila terpandangkan diri saya yang merenung ke arah dedahan pokok di halaman, tempat murai dan merbah melompat.
“Aku nak ke masjid Malik.”
“Kenapa tak sembahyang di sini?”
“Biarlah aku berjemaah, dapat juga aku berkenalan dengan orang-orang di sini,” Datuk meraba misai nipisnya dengan jari telunjuk. Malik Cina termenung sejenak. Ada sesuatu yang di fikirkannya.
“Bagaimana dengan anak kamu” Malik Cina bagaikan tersentak mendengar pertanyaan dari Datuk. Ia terus menggigit kuku di ibu jari kanan.
“Nampaknya dia letih dan terus tidur.”
“Bagus tapi jangan biarkan dia tidur senja, bila kau dengar suara azan, kau kejutkan dari tidur, kalau dia melawan atau mahu menjerit simbahkan air yang aku berikan pada kamu ke mukanya.”
“Tapi,” Malik Cina berhenti bercakap.
“Apa lagi Malik?”
“Siapa yang nak buat semuanya tu.”
“Kamulah, siapa lagi,” nada suara Datuk meninggi.
“Saya nak ikut berjemaah ke masjid.”
“Tak payah, kau sembahyang di rumah, jaga anak kamu. Kalau kamu mahu dia elok,” Datuk jegilkan biji mata. Mukanya nampak merah.
Malik Cina tidak berkata apa-apa. Akhirnya, anggukkan kepala. Setuju dengan cadangan Datuk. Mereka berbalas senyum penuh mesra.
TINGGAL
Malik Cina kami tinggalkan. Sampai di masjid Datuk terus bersalaman dengan para jemaah yang lain. Mereka melayani Datuk dan saya penuh mesra. Bila sampai waktu Maghrib, beduk ke kepala tangga masjid pun dipukul orang bertalu-talu.
“Boleh cucu saya mulakan azan,” begitu sopan Datuk mengajukan pertanyaan pada lelaki yang memakai serban, menyimpan janggut yang sudah putih.
Terasa sedikit kesal di hati saya atas sikap Datuk. Hatinya mahu berbudi tetapi diri saya yang jadi sasaran. Kenapa dia sendiri tidak mahu mengeluarkan suara untuk berazan? Timbul pertanyaan dalam diri saya.
“Silakan, cara kebetulan pula bilal masjid tak datang, tak payahlah saya cari orang lain,” sahut orang itu. Datuk pun menolak saya ke arah lelaki tua tersebut. Dan akhirnya saya mendapat tahu bahawa orang tua itu adalah imam besar masjid tersebut.
“Silakan,” ucap lelaki tua itu.
“Jangan segan-segan Tamar, mulakan,” tingkah Datuk.
Saya tidak ada pilihan. Dengan keyakinan pada diri sendiri, saya terus melaungkan azan. Saya tidak tahu bagaimana penerimaan orang-orang di situ terhadap suara saya.
Apakah mereka menganggap suara saya baik atau sebaliknya? Apakah mereka merasakan laungan azan saya macam orang baru belajar. Sesungguhnya saya tidak tahu. Hanyalah Allah sahaja yang mengetahui hati mereka.
“Boleh tahan juga suara cucu awak,” puji imam. Saya lihat Datuk tersengih. Matanya merenung ke arah saya dengan penuh rasa bangga. Saya kira Datuk sengaja melakukan perkara tersebut.
Dia mahu menguji diri saya. Apakah saya mengalami perasaan darah gemuruh bila disuruh melakukan azan di tempat lain. Ternyata saya lulus dalam ujian.
Saya kira Datuk tentu gembira. Pasti bila pulang nanti Datuk akan menceritakan kemampuan diri saya pada nenek. Saya juga berharap ujian yang baru dilalui akan juga jadi pembuka hati pada Datuk untuk mencurahkan serba sedikit ilmunya pada saya.
Mungkin esok, mungkin bulan depan atau tahun depan Datuk akan menurunkan petua dan pengetahuan tradisional pada saya. Timbul harapan yang berbunga dalam diri.
Selepas menunaikan fardu Maghrib, Datuk terus berborak dengan imam. Mereka berhenti berborak ketika masuk waktu Isyak. Dalam waktu yang amat singkat itu, Datuk memperoleh beberapa orang kenalan baru yang sehaluan.
Kawan-kawan baru Datuk itu terus membuat ramalan kedatangannya ke kampung tersebut untuk mengubatkan gadis Malik Cina. Datuk cuma tersenyum sahaja dan Datuk memberitahu mereka Malik Cina adalah kawan lamanya.
Kunjungannya adalah kunjungan seorang sahabat. Tidak lebih dari itu dan tidak ada kena mengena untuk mengubat anak gadis Malik Cina.
“Saya bukan bomoh,” kata Datuk.
“Agaknya awak pawang,” celah seorang.
“Tidak.”
“Agaknya dukun,” sahut satu suara.
“Dukun, pawang, bomoh adalah sama tetapi, saya bukan dari golongan itu, saya adalah hamba Allah macam awak semua, tidak ada yang istimewa pada diri saya, kenapa tuan mahu bertanya sesuatu yang bukan pada tempatnya,” begitu lantang suara Datuk.
Kata-kata Datuk itu dapat diterima oleh mereka. Tidak ada pertanyaan yang diajukan pada Datuk dan saya tidak lagi jadi perhatian mereka.
Kami sampai ke rumah Malik Cina kira-kira pukul sembilan lebih. Malik Cina menyambut kami di muka pintu. Senyumnya tetap bermain di bibir. Malik Cina terus bertanya pada Datuk tentang pengalamannya bersama para jemaah di masjid. Datuk terus memberitahu, ia mengalami pengalaman yang sungguh menggembirakan hatinya.
“Siapa yang laungkan azan tadi?” Malik Cina bertanya.
“Kenapa?” Sambut Datuk.
“Suara orang baru, kalau Bilal Halim saya kenal, saya yakin suara yang saya dengar tadi bukan suaranya.”
“Si Tamar cucu aku nak cuba.”
“Haaa...,” Malik Cina terkejut.
“Suaranya lantang dan nafasnya panjang,” sambung Malik Cina.
Datuk terus ketawa. Bangga cucunya menerima pujian. Tanpa segan-segan Datuk menepuk bahu kanan saya berkali-kali. Senyumnya, terus berbunga. Rasa bangga menyelinap dalam hati. Siapa tidak bangga menerima pujian.
“Cucu kamu memang hebat,” bersama senyum Malik Cina memuji.
“Betuk ke?” Datuk pura-pura terkejut.
“Betul,” wajah Malik Cina nampak serius. Senyum Datuk terus meniti di bibir. Saya menggaru pangkal dagu beberapa kali.
“Mari kita makan,” ajak Malik Cina. Bau tumis petai, bilis terus menyumbat lubang hidung. Rasa lapar mula terasa. Saya dan Datuk mengikut Malik Cina ke ruang makan. Kami duduk bersila. Makanan yang dihidangkan memang sesuai dengan selera saya.
“Silakan,” jemput Malik Cina. Nasi terus ditaruh dalam pinggan saya dan Datuk. Entah mengapa malam itu saya makan dengan lahap tanpa silu dan segan. Tetapi, Datuk tetap macam biasa iaitu mengehadkan makanan.
“Cepat benar berhenti makan?” Malik Cina renung muka Datuk.
“Dah kenyang,” Datuk terus membasuh tangan.
“Agaknya, awak mengira suap nasi awak?”
“Ya, ada hadnya, kalau lebih dari had amalan saya, boleh mendatangkan mudarat,” balas Datuk lalu menyandarkan badan ke dinding.
Saya terkejut, malam itulah baru saya tahu bahawa Datuk menghitung nasi yang disuapnya. Dia tidak makan sembarangan atau mengikut kemahuan nafsu. Saya berharap Malik Cina akan mengemukakan pertanyaan pada Datuk.
Biar Malik Cina tanya berapa suap nasi untuk makan malam dan berapa suap pula untuk makan tengah hari. Sayang, Malik Cina tidak mengemukakan pertanyaan itu pada Datuk dan harapan saya untuk mengetahui rahsia tersebut turut musnah. Tidak mengapa, satu ketika yang baik akan saya tanyakan petua itu.
Dari ruang makan saya dan Datuk berubah ke ruang anjung. Suara katak dan cengkerik jelas kedengaran. Dalam saat-saat tertentu terdengar bunyi kucing jantan mengiau mencari kucing betina.
Bulu roma saya mula tegak dalam desiran angin malam yang lembut itu saya terdengar suara burung jampuk dan salakan anjing mendayu-dayu.
“Macam mana dengan anak kamu Malik?”
“Masa awak tinggalkan rumah ni tadi, dia terus tidur, waktu Isyak tadi dia terjaga tapi dia nampak lemah benar,” terang Malik Cina.
Gegendang telinga saya menangkap bunyi desiran angin yang menyentuh dedaun di halaman rumah. Langit nampak cerah. Beberapa ekor kelawar berterbangan mencari mangsanya. Dari anjung rumah juga saya dapat melihat lampu minyak tanah berkelip-kelip, bergerak arah ke utara.
Saya kira jumlahnya lebih dari sepuluh. Barangkali orang kampung berjalan malam. Mereka bertandang ke rumah jiran untuk menghabiskan masa malam dengan bercerita apa sahaja. Tetapi, kenapa bawa pelita terlalu banyak, timbul pertanyaan dalam hati saya.
Suara burung jampuk kian ramah berbunyi bersama salakan anjing. Anjing terus menyentuh dedaun. Kelawar kian kerap berterbangan. Badan saya mula terasa dingin. Rasa mengantuk mula menyerang. Tetapi Malik Cina dan Datuk masih ghairah bercerita.
“Jangan ganggu dia, biar dia tidur, kalau dia minta nasi berikan nasi, aku tahu dia tu lapar, sebelum nasi diberikan padanya kau kepalkan nasi itu sambil membaca sebelas kali ayat fatihah,” Datuk lunjurkan kedua belah kakinya.
“Kalau dia tak mahu makan, bila tengok nasi dah dikepalkan macam mana?”
“Insya-Allah, dia mahu, aku tahu dia lapar.” Datuk raba pangkal hidung.
“Ya, dah lama anak saya tu tak makan nasi, cuma dia makan kulit pisang dan bulu jagung, kalau tak ada benda-benda tu dia tak mahu makan.”
“Ganjil sungguh sakit anak kamu Malik.”
“Entahlah, saya sendiri tak tahu nak kata apa.”
“Sah, anak kamu kena buatan orang, anak kamu disihir, agaknya dia ni pernah berkasar dengan orang, sekarang orang tu balas dendam.”
“Entahlah, saya pun tak tahu,” Malik Cina melepaskan sebuah keluhan.
Wajahnya nampak hampa dan kecewa sekali. Dari gerak-gerinya ia memang mengharapkan pertolongan dari Datuk. Saya mula menguap panjang. Datuk tepuk bahu kiri saya kerana menguap dengan membuka mulut lebar-lebar.
“Tak baik menguap macam tu, macam mulut buaya lapar,” sergah Datuk. Saya tersipu-sipu malu. Malik Cina nampak tersengih. Tidak sanggup saya menentang wajah mereka. Saya tunduk merenung lantai dengan perasaan yang serba salah.
“Bolehkah sakit anak saya itu baik,” Malik Cina menggantungkan harapan pada Datuk. Dua tiga kali Datuk menggigit bibir. Dua tiga kali ia meraba-raba ibu jari kanannya. Sesekali ia menarik nafas panjang bersama renungan yang tajam ke arah halaman rumah. Kegelapan malam sungguh pekat.
“Kita berusaha, kalau diizinkan Allah sakitnya akan sembuh,” suara Datuk dalam nada yang lembut, penuh harapan. Malik Cina tunduk sambil menelan air liur. Saya terdengar jam dinding di rumah Malik Cina berdenting dua belas kali. Badan saya kian sejuk. Dua tiga kali saya tersengguk-sengguk.
Bagi menghilangkan rasa mengantuk, saya merenung ke luar anjung rumah. Biji mata saya terbeliak, saya terlihat berpuluh puluh pelita minyak tanah bergerak sendiri dalam jarak kira 400 meter dari rumah. Saya teringat, siang tadi kawasan itu saya lihat penuh dengan hutan. Tidak ada sebuah rumah pun terdapat di situ.
Saya mula resah. Apakah saya sedang melihat manusia atau melihat syaitan berpesta. Tambul pertanyaan dalam hati saya. Seluruh badan mula terasa seram sejuk. Lolongan anjing, kian nyaring.
Suara burung hantu dan jampuk tingkah-meningkah. Desiran dedaun yang berlaga sama sendiri kian kuat. Saya bertambah terkejut melihat jumlah pelita minyak tanah kian bertambah. Semuanya menuju ke arah utara.
“Tuk tengok tu,” kata saya lalu menunjukkan ke arah pelita minyak tanah. Datuk dan Malik Cina segera melihat ke arah tersebut. Mereka berpandangan sesama sendiri. Tidak ada sesuatu yang mereka lihat.
“Kami tak nampak apa-apa Tamar,” kata Datuk.
“Ada pelita minyak tanah berjalan sendiri.”
“Mustahil di situ kawasan hutan, masa Jepun dulu dijadikan tempat memancung kepala orang. Kau mengarut,” kata Malik Cina. Datuk gelengkan kepala.
Saya masih melihat pelita minyak tanah berbaris serta bergerak sendiri. Anehnya, Datuk dan Malik Cina tidak dapat melihat cahaya pelita tersebut. Sukar untuk saya meyakinkan diri mereka. Saya terus tarik nafas.
“Sudahlah Tamar, pergi tidur. Bilik kamu dan Datuk sudah aku kemaskan.” Malik Cina menepuk bahu saya. Arahannya segera saya patuhi. Datuk dan Malik Cina saya tinggalkan di ruang anjung. Bilik yang disediakan untuk saya menempatkan dua buah katil bujang.
Bila saya letakkan kepala atas bantal, badan mula terasa geram. Macam ada sesuatu yang berkeliaran dalam bilik tersebut. Pada papan dinding saya rasakan ada sepasang mata merah merenung saya. Badan saya menggeletar. Bila saya membaca ayat Kursi, rasa takut itu hilang dan saya terlelap.
Masa terlelap itu, saya bermimpi menemui seorang lelaki yang ganjil. Berpakaian serba hitam. Saya lihat kelopak mata kirinya berlapis tiga. Tiap-tiap lapisan kelopak matanya itu ada tahi lalat yang sekejap mengembang dan sekejap mengecil. Matanya bagaikan mahu tersembul, macam mata udang berwarna merah.
Daging pipinya kelihatan lembik dan berlendir. Ada air jernih di celah-celah daging pipinya yang lembik itu. Air itu bercampur nanah meleleh perlahan-lahan ke mulutnya. Lelaki ganjil itu menelan air jernih bercampur nanah dengan penuh ghairah dan bernafsu sekali. Lelaki itu menyuruh saya menjilat daging pipinya yang lembik.
Saya menolak permintaannya. Lelaki itu jadi marah dan dia mula menghampiri saya. Kedua belah tangannya yang berkuku panjang menghala ke batang leher saya. Dengan sedaya upaya saya cuba mengelak. Usaha saya gagal. Saya tidak berdaya menentangnya dan terus menjerit dengan sekuat hati.
Bila saya terjaga, saya terlihat Datuk sedang membaca Quran kecil di katil sebelah. Datuk renung ke arah saya.
“Kau mengigau?”
“Saya mimpi, ada orang nak cekik tengkuk saya.”
“Kau tidak membaca surah Al-Fatihah. Bukankah sudah aku pesan sebelum tidur, baca surah Al-Fatihah dua puluh satu kali, lepas tu jangan cakap dan terus tidur.”
“Saya terlupa tuk.”
“Patutlah kamu diganggu syaitan, kau abaikan pesanan aku Tamar.”
“Saya terlupa sungguh tuk.”
“Sudah, tidur semula.”
Saya rebahkan badan atas katil. Kali mi saya tidak dapat tidur. Kerana takut Datuk marah, saya pura-pura tidur dengan memejamkan kedua belah kelopak mata saya. Desiran angin malam di luar, jelas kedengaran. Suara burung hantu dan lolongan anjing tetap kedengaran.
Saya buka mata separuh, saya lihat Datuk masih lagi kedengaran membaca Quran. Kemudian saya lihat dia melakukan sembahyang dua rakaat dan terus berwirid panjang. Rasa takut terus hilang dari hati saya. Tiba-tiba, saya dikejutkan oleh suara orang perempuan yang sedang marah-marah.
Serentak dengan itu juga saya terdengar bilik saya ditendang bertalu-talu. Beberapa ketul bateri lampu suluh yang diletakkan atas meja dekat katil jatuh bertaburan atas lantai. Datuk berhenti dari melakukan wirid. Dia termenung.
“Ayah, saya dahaga cepat ambil saya air,” suara perempuan meminta sesuatu. Dituruti dengan bunyi tapak kaki memijak lantai menuju ke dapur.
“Malik, jangan berikan air itu terus kepadanya, berikan pada aku dulu,” suara Datuk meninggi.
“Ya, saya buat dengan apa yang awak mahu,” itu suara Malik Cina.
“Kenapa, bagi dengan jantan tua tu,” suara perempuan meningkah, tentu suara anak Malik Cina. Dinding bilik terus ditendang bertalu-talu.
Saya bangun. Duduk di sisi Datuk. Suara perempuan merungut dan mengetuk sesuatu tetap kedengaran. Saya resah, tetapi saya lihat Datuk masih berada dalam keadaan tenang.
Datuk ambil gelas air dari tangan Malik Cina. Datuk tatang air dalam gelas di tapak tangan kanannya. Datuk membaca sesuatu dan menghembus permukaan gelas dengan mulut.
“Berikan padanya, sekarang.”
“Ya,” sahut Malik Cina lalu menyambut gelas itu dari tangan Datuk di bawa ke bilik anaknya. Dan saya tidak lagi mendengar suara anaknya menjerit atau merungut sesuatu. Datuk terus membaca Quran.
-TAMAT-
101. PUKAU ULAR TEDUNG
CERITA² MISTIK, MISTERI 📛 SERAM - #SEASON2
KOLEKSI CERITA SERAM MELAYU
HIMPUNAN CERITA SERAM
TAJUK CERITA : PUKAU ULAR TEDUNG
CP BY ADMIN A.D
CGCZONE BRUNEI
theHORRORZONE BRUNEI
KODE : 300002750940101
http://thehorrorzon.blogspot.com/2020/04/cerita-mistik-seram.html
Din Taiwan memberitahu Datuk dengan ilmunya dia telah merogol lebih dari seratus orang wanita yang terdiri dari anak dara, janda dan isteri orang. Dia telah menggunakan ilmunya itu untuk merompak dan membunuh orang.
Akhirnya di tembak menggunakan peluru emas. Memang pada awalnya, dia menuntut ilmu itu untuk melindungi dirinya dari perbuatan orang, tetapi, bila separuh menuntut dia sudah terpengaruh dengan syaitan untuk merosakkan orang lain demi kebahagiaannya. Dia meninggalkan gurunya lalu menjadi orang jahat. Masa dia membuat kerja-kerja maksiat itulah dia selalu mempengaruhi anak-anak muda lain untuk menganggotai kumpulannya.
Dia mengakui, dialah yang memberi beberapa ajaran pada Razman yang patah cinta, kerana pinangannya ditolak oleh kedua orang tua Mariam. Dia mengajarkan Razman supaya melarikan Mariam untuk dijadikan perempuan simpanan.
"Kau memang jahat”, kata Datuk secara mendadak.
"Siapa guru kamu?"
"Aku menuntut pada mulanya dengan orang asli di hutan Sabah, kemudian aku terus memuja-memuja roh dan pangkal-pangkal kayu”
"Syaitan”, jerit Datuk lalu membaca Surah Al-Kursi, kemudian Datuk melemparkan batu yang digenggamnya ke arah Razman (Din Taiwan).
Api menjulang bersama jeritan yang amat kuat. Bila api padam di kawasan tempat tubuh Razman ditanam, terdapat timbunan abu. Abu itu berkumpul di dalam lubang. Datuk timbus abu itu dengan tanah. Kami meninggalkan kawasan itu bila fajar sidik timbul di kaki langit.
"Kita harus berada di rumah sebelum azan”, beritahu Datuk pada saya.
Kami melangkah dengan cepat menuju ke rumah Mail. Tetapi, hati saya sungguh kesal, secara tidak langsung Datuk telah membunuh Razman anak kesayangan Mail. Apakah yang akan dijawab oleh Datuk pada Mail dalam hal ini? Datuk sudah menambahkan musuh dalam hidupnya. Saya merasa menyesal dan menganggap Datuk seorang pembunuh. Bagi menjimatkan masa, kami tidak terus ke rumah Mail. Kami singgah di perigi mengambil air sembahyang. Kemudian ke rumah Mail, terus duduk di anjung. Beberapa minit kemudian kami terdengar suara azan.
Ketika Datuk mahu memulakan sembahyang, Mail datang dan Datuk menjadi imam pagi itu. Setelah selesai sembahyang, Datuk tergesa-gesa masuk ke ruang rumah. Alangkah terkejutnya saya, bila mendapati Razman terbaring di tempatnya. Saya jadi bodoh dengan kejadian itu. Siapakah yang didukung dan dibakar oleh Datuk tadi?
Dalam keadaan yang serba salah itu, saya lihat Datuk berdiri di hujung kepala Razman. Datuk minta semangkuk air dari Mail. Datuk masukkan tangan ke dalam mangkuk itu.
Air melekat di hujung jari itu Datuk titiskan ke muka Razman. Razman mengeluh. Serentak dengan itu, saya lihat macam kabus nipis keluar dari hujung kaki Razman. Kabus nipis itu terus berkumpul dan akhirnya wujudlah batang tubuh seorang lelaki iaitu, Din Taiwan.
"Pulanglah syaitan, jangan kau kacau anak cucu Adam ini”, kata Datuk.
Kabus itu ghaib. Mail terkejut, dia tidak tahu dengan siapa Datuk bercakap. Dia tidak nampak seperti apa yang saya lihat. Saya juga hairan macam mana benda-benda ganjil itu boleh saya lihat. Bila saya menoleh ke kiri merenung wajah Datuk tersenyum.
"Pulangkan kain hitam aku”, minta Datuk, barulah saya sedar yang kian hitam itu membuat saya melihat kejadian aneh sebentar tadi.
Kain hitam dalam saku saya serahkan pada Datuk. Datuk terus lipatkan kain hitam hingga jadi tiga segi. Kemudian, Datuk sumbatkan kain itu ke dalam saku seluarnya. Perlahan-lahan Datuk membuka sila. Datuk lunjurkan kaki kirinya dan kaki kanannya dilipatkan. Saya lihat Datuk menggigit ibu jari kirinya dua kali. Kemudian dia menyusun jari sepuluh dan hujung jarinya itu bertemu dengan bibir atas, macam pendekar zaman silam mengadap sultan.
Saya terkejut bila Datuk terbatuk, bagaikan ada sesuatu yang tersangkut di kerongkongnya. Datuk senyum pada saya, selalunya bila Datuk berbuat begitu, membawa tanda ada sesuatu yang belum pernah saya lihat akan dilakukannya. Ramalan saya itu memang tepat. Datuk sudah pun membetulkan silanya dengan kedua belah tapak tangannya menekan ke pala lutut. Datuk mengalihkan pandangannya ke mangkuk putih, matanya kelihatan bersinar tidak berkedip merenung ke arah bibir mangkuk putih yang terletak dekat tubuh Razman. Urat-urat merah mula timbul di bahagian mata putihnya. Pangkal urat-urat yang merah itu bagaikan berakar dari keliling bahagian anak mata hitamnya. Dan air dalam mangkuk putih berkocak sendiri, bagaikan ada tenaga ghaib yang menggerakkan badan mangkuk tersebut.
Saya tersentak bila mangkuk itu terbelah dua dan airnya melimpah atas tikar mengkuang yang dianyam rapat-rapat. Air yang melimpah itu kelihatan berkilau-kulau dipanah oleh sinar matahari pagi yang memancar masuk ikut tingkap rumah yang terbuka lebar. Datuk segera membongkok sambil mengenakan hujung jari hantunya pada air yang melimpah atas tikar. Sebaik sahaja jari hantu terkena air tersebut, air yang melimpah terus hilang. Mangkuk putih yang terbelah dua tercantum kembali seperti asal tanpa air di dalamnya. Mail yang melihat kejadian-kejadian yang berlaku di depan matanya diam tidak berkata. Dahinya nampak berkerut sesekali wajahnya kelihatan cemas.
"Bangun anakku”, suara Datuk parau.
Serentak dengan itu Razman yang terbaring kaku segera bangun. Dia nampak terkejut sambil merenung ke kiri dan ke kanan. Datuk merenung biji mata Razman.
"Bersila di situ”, kata Datuk Razman akur dengan perintah Datuk itu macam orang kena pakau.
Datuk lalu memerintahkan Mail mencari pucuk pisang nangka, pucuk palas dan air satu buyung. Mail mengambil masa kira-kira setengah jam untuk mengadakan batang-batang tersebut. Sementara menanti barang itu berada di depan Datuk. Datuk menyuruh saya melipatkan setiap bucu tikar yang terdapat di ruang rumah tersebut. Saya laksanakan tugas itu hingga selesai. Bila tugas itu selesai saya kembali duduk di sisi Datuk. Razman masih duduk terpaku atas tikar macam patung.
Datuk buka baju yang dipakainya. Letak di hujung lutut sebelah kanan dengan ibu jari tangan sebelah kiri Datuk tekan tepi baju. Datuk merenung ke arah tingkap yang terdedah. Dia melihat sinar matahari pagi yang cukup cerah. Saya terasa pangkal kening sebelah kiri saya gatal. Saya terus menggarunya beberapa kali. Bila saya selesai menggaru, saya dapati rumah Razman sudah pun ditutup oleh Datuk dengan bajunya. Datuk ambil kembali baju yang menutup muka Razman dengan jari kelingking kiri. Baju itu Datuk sarungkan ke tubuhnya kembali.
Saya lihat muka Razman merah, tidak pucat macam orang sakit. Razman mula tersenyum. Tetapi dia tidak terdaya mahu bangun, macam ada sesuatu benda yang berat melekat di bawah punggungnya. Mail sudah pun meletakkan sebuyung air di hadapan Datuk berserta dengan pucuk pisang nangka dan daun palas ke dalam buyung. Dan mulut buyung Datuk tutup dengan kain pelikat yang selalu di pakai oleh Razman. Kain pelikat itu terbakar dan mengeluarkan asap nipis. Bila kain pelikat itu menjadi abu, Datuk tekankan ke dalam mulut buyung. Dengan hati-hati Datuk goncang buyung, air di dalamnya berkocak dan berasap. Datuk terus membaca sesuatu. Datuk merenung ke arah mangkuk itu dan saya lihat terus jadi retak seribu dan hancur berderai. Serbuk dari mangkuk putih itu Datuk ambil dan masukkan ke dalam buyung.
"Rapatlah pada aku dan duduklah di hujung lututku ini, hai anakku”, kata Datuk. Razman terus bangun dan duduk di hujung lutut Datuk.
"Yang jahat akan pergi dan yang baik tinggal pada kau”, Datuk bersuara sambil mengangkat buyung lalu meletakkan ke atas kepala Razman.
Buyung yang tidak bocor itu mengeluarkan air lalu membasahi seluruh tubuh Razman. Saya lihat Razman mula menggigil kesejukan. Datuk ambil buyung dari atas kepala Razman.
"Buyung dan semua barang-barang yang ada di dalamnya kau hanyutkan ke laut”, kata Datuk pada Mail.
"Bila?"
"Hari ini belum matahari terbenam”
"Kalau begitu terpaksa pergi ke Port Weld untuk membuang benda ni”, suara Mail menurun.
Datuk anggukkan kepala. Saya lihat Mail berbisik dengan Datuk. Kemudian Mail ambil burung lalu keluar. Kira-kira sepuluh minit kemudian Mail kembali. Dia tersenyum di ambang pintu. Melangkah dan terus duduk di samping Datuk.
"Cepat”, kata Datuk.
"Saya suruh adik saya uruskan, secara kebetulan pula dia mahu turun ke laut memancing ikan”
"Kau percaya dengannya?"
"Percaya. Dia adik saya, banyak menolong saya untuk berusaha mengubat sakit Razman”
"Tak apalah kalau dah begitu”
Datuk puas hati dengan keterangan Mail. Razman sudah tidak menggigil lagi. Datuk suruh Mail menggantikan pakaian Razman. Cepat-cepat Mail bawa Razman ke dalam bilik. Saya terkejut, bila melihat Razman keluar dari bilik memakai seluar putih, baju baru lengan panjang. Rambutnya disikat rapi dan ada jambul di bahagian depan, macam jambul seniman P. Ramlee dalam filem Hujan Panas. Melihat keadaannya itu, saya kira Razman terjumlah dalam kategori anak muda yang kacak juga. Tingginya kira-kira lima kaki, lima inci.
"Siapa yang siapkan dirinya Mail?”
"Emak tirinya”
"Begitulah, jiwa orang perempuan ni halus. Penuh simpati dan rasa kasih sayang yang tidak mengenal batas sempadan, hanya orang yang nakal saja mengatakan ibu tiri kejam”, ujar Datuk lagi.
Razman dan Mail duduk di hadapan Datuk. Dengan menggunakan kebijaksanaanny
a Datuk mencungkil rahsia dari Razman. Apa yang menjadi misteri dalam diri Razman terbuka. Dia memberikan pengakuan yang jujur pada Datuk. Razman terus memberitahu yang dirinya mencintai seorang gadis. Gadis yang bekerja sebagai kerani di Jabatan Kerja raya itu tidak menolak cintanya. Dalam perkataan lain, mereka saling cinta mencintai. Razman pun membuat persiapan dengan mengumpulkan wang untuk meminang gadis tersebut.
Malangnya orang tua gadis itu tidak merestui cinta mereka dan gadis itu terus ditunangkan dengan seorang pemuda yang menjadi pegawai di sebuah kilang perusahaan di Kamunting. Bertolak dari peristiwa yang tidak pernah diduga oleh Razman itu, menyebabkan dia menjadi manusia separuh gila. Bagi menghilangkan rasa sepinya, dia mula mencari ganja dan terjumpa Din Taiwan. Din Taiwan lah yang menggalakkan dirinya supaya membalas dendam. Setidak-tidaknya mencederakan muka kekasihnya atau muka tunang kekasihnya.
"Saya terpengaruh dan menuntut ilmu jahat darinya", kata Razman dengan wajah yang tenang.
Mail gelengkan kepalanya. Ada rasa kesal bermain di wajahnya.
"Sepanjang kau terbaring di sini apa yang kamu rasakan?”, tanya Datuk.
"Saya sebenarnya tidak sakit. Saya berjalan ke mana-mana. Saya makan dan minum”
"Itu hanya perasaan yang kau sangka. Kau sudah jauh dikuasai oleh syaitan”, Datuk merenung muka Razman.
Mail tunduk merenung lantai. Saya tidak tahu apa yang ada dalam kepala Mail. Angin yang bertiup di luar masuk ke dalam ruang tempat kami duduk. Razman menguap panjang.
"Mail, dalam hal begini saya tidak salahkan anak awak seratus peratus. Awak siang malam duduk di masjid tetapi awak tidak pernah ambil tahu tentang diri anak awak. Apakah dia sudah belajar rukun iman, rukun Islam dan sembahyang. Segala-galanya awak serahkan pada dirinya untuk mengetahui semuanya tanpa perhatian dari awak”, ujar Datuk.
"Inilah silapnya saya. Saya fikirkan bila dia dah besar dan bekerja dia tahu mencari yang baik”
"Itu satu pendapat yang silap”
"Saya berjanji hal macam ni tak akan berlaku lagi”
Datuk senang sekali mendengar janji dari Mail. Kemudian saya dan Datuk pergi ke anjung rumah. Tidak lama kemudian Razman turut serta. Datuk memberitahu Razman banyak perkara yang harus dilakukan supaya kekuatan semangat dalam diri Razman dapat dipulihkan seperti sedia kala.
"Semuanya bergantung pada diri kamu. Sama ada kau setuju atau tidak”, beritahu Datuk pada Razman.
Saya lihat Datuk lihat Razman termenung panjang. Sebentar dia gigit bibir dan sebentar pula raba pangkal dagu. Dia bagaikan berada dalam keadaan serba salah.
"Kalau boleh saya mahu membebaskan diri dari belenggu syaitan”, Razman bersuara.
"Atas kerelaan hatimu sendiri?"
"Ya. Atas kerelaan saya sendiri”
Mendengar cakap Razman itu, Datuk segera bangun. Dari ruang depan Datuk memanggil Mail. Bagaikan kilat Mail datang menemui Datuk.
"Biar aku pulihkan semangat anak kamu Mail”
"Memang itulah yang saya harapkan”
"Aku terpaksa tinggal di sini selama tiga hari”
"Lebih dari itu pun tak apa”, balas Mail dengan ketawa kecil.
Selama tiga hari tinggal di rumah Mail, Datuk menumpukan seluruh perhatian pada diri Razman. Setiap subuh Datuk membangunkan Razman, mengajak sembahyang bersamanya. Datuk juga memberikan beberapa ayat untuk Razman baca selepas menunaikan sembahyang subuh selama 44 subuh. Pada setiap petang pula, dari pukul lima ke pukul enam. Datuk mengajak Razman berlari berbatu-batu. Sepanjang masa berlari itu Razman tidak dibenarkan minum kecuali memakan pucuk jambu batu bila terasa letih. Pada sebelah malamnya, Datuk mengajak Razman membaca Surah Yasin hingga jam dua belas malam.
Kemudian barulah Razman disuruh tidur di anjung rumah tanpa menggunakan bantal dan gebar. Pukul tiga pagi, Datuk akan mengejutkan Razman dari tidurnya dan menyuruh Razman mandi. Sesudah mandi, Razman disuruh minum air sejuk sebanyak lima gelas besar. Waktu makan tengah hari Razman hanya dibenarkan makan nasi tujuh suap, minum air setengah cawan dan memakan ulam-ulam yang Datuk buat dari dedaun kayu. Memang, Razman terasa cukup seksa menjalani rawatan yang Datuk lakukan. Bila saya tanyakan pada Datuk, kenapa dia lakukan hal seperti itu pada Razman yang baru sembuh dari sakit, Datuk menjelaskan tujuan dia berbuat demikian untuk mengembalikan tenaga pada diri Razman di samping menguatkan semangatnya serta memulihkan rasa yakin pada dirinya sendiri.
"Ubat yang aku berikan padanya untuk memulihkan perjalanan darah dalam urat-uratnya. Dia terlalu lama baring banyak urat-urat sendinya jadi tegang dan kaku”, demikian Datuk menjelaskan pada saya.
Selepas tiga hari Razman mengalami rawatan dari Datuk, dia kelihatan segar. Tidak banyak mengelamun atau mudah terkejut. Dia nampak bertambah yakin pada dirinya sendiri. Dan dia mula sedar bahawa yang dirinya adalah hamba Allah yang harus ada kekuatan dalam hidup. Dan sendi kekuatan setiap orang dalam hidup ini ialah berlandaskan pada ajaran agama Islam yang dianutinya. Bersandarkan pada itu, Razman merasakan dirinya berada dalam dunia baru yang serba segar. Dia merasakan dirinya cukup tenang bila sembahyang. Jiwanya terasa bersih dan murni setiap kali dia membaca Surah Yasin. Dalam dunia ini dia merasakan tidak ada yang perlu ditakutkan kecuali Allah yang Maha Besar dan Maha Mengetahui.
"Bagaimana kau sekarang?", tanya Datuk pada Razman ketika mahu meninggalkan rumahnya.
Razman yang petang itu memakai baju Melayu dan kain pelikat tersenyum.
"Saya rasa diri saya cukup aman, tidak ada rasa takut atau bimbang”
"Baguslah, jangan lupakan sembahyang lima waktu. Jauhkan diri kau dari kerja-kerja yang tidak baik. Berusahalah untuk jadi orang yang berguna pada bangsa dan agama”
"Saya faham. Saya mahu membuat hidup baru”
"Itu yang baiknya”, Datuk terus menepuk belakang Razman beberapa kali.
Satu peristiwa yang mengejutkan petang itu ialah bila ayah Razman (Mail) memulangkan Razman pada Datuk.
"Saya mahu menyerahkan Razman pada awak, kerana awak dia baik dari sakit dan insaf”
"Jangan kata begitu. Bukan kerana saya dia baik. Semuanya kerana Allah, saya cuma berikhtiar”, Datuk tepuk meja.
Mail terkejut dan dia mula sedar tentang kesilapan yang dilakukannya.
"Maafkan saya. Saya berhasrat dan memang niat dari mula lagi, kalau sakitnya baik, saya mahu memulangkan pada awak”, sambung Mail teratur tetapi wajahnya nampak pucat sedikit.
Datuk tersenyum.
"Tak apalah, saya terima hajat awak tu, mulai hari ini, Razman jadi anak angkat saya”, cukup gembira Datuk berkata.
Datuk lalu mengeluarkan benang hitam dari sakunya. Benang itu di pintalnya menjadi tali yang kecil. Datuk keluar wang syiling dua puluh sen. Datuk tebuk lubang wang tersebut. Datuk sarungkan benang hitam bersama wang ke leher Razman macam menyarungkan kalung ke leher.
"Inilah tandanya kau jadi anak angkat aku Razman, jangan dicabut kecuali dia putus”, pesan Datuk.
"Saya berjanji”, jawab Razman.
Petang itu juga kami meninggalkan Kampung Pinang, pulang ke tempat asal. Seminggu kemudian Razman menemui Datuk menceritakan yang dirinya telah diberhentikan dari Jabatan Ukur. Razman juga menyatakan yang dia berhasrat untuk menjadi Askar Melayu dan meminta pertolongan dari Datuk untuk memenuhi cita-citanya. Kerana Razman bersungguh mahu menjadi Askar Melayu, Datuk pun membawa Razman menemui seorang pegawai Askar Melayu yang tinggal di Kampung Simee, Ipoh. Pegawai Askar Melayu itu berpangkat Mejar dan berasal dari Negeri Sembilan.
Pegawai itu bernama Abdul Muluk (kalau tak silap) pernah menemui Datuk untuk mendapatkan beberapa petua serta amalan untuk pelindung diri ketika berada di hutan memburu pengganas komunis. Cara kebetulan pula, pegawai itu memang orang yang bertanggung jawab memilih anggota Askar Melayu yang baru. Syarat yang diperlakukan pada setiap orang yang mahu menjadi anggota Askar Melayu ada pada diri Razman. Mejar Abdul Muluk terus membawa Razman menemui pegawai atasnya. Usaha itu berjaya dan Razman pun mengikuti latihan menjadi Askar Melayu.
Malangnya, semasa menjalankan tugas, Razman terkorban apabila ditembak pengganas komunis. Jenazah Razman pulang ke kampungnya dan Datuk turut serta mengebumikan jenazah anak angkatnya. Sejak kematian anak angkatnya itu, Datuk lebih banyak menghabiskan masanya di tanah perkuburan Razman. Kadang-kadang bila bertemu dengan kawan-kawan rapatnya, Datuk melahirkan rasa bangganya atas kematian anak angkatnya yang berjuang mempertahankan tanahair dari ancaman pihak komunis.
Pagi itu, matahari bersinar dengan terangnya. Saya sudah mengorek lebih kurang dua puluh lubang untuk menanam anak-anak pisang mas, walaupun hari baru pukul sebelas pagi. Kerja saya terganggu bila saya terdengar suara Datuk memanggil nama saya dari tepi sempadan. Saya berlari ke arah Datuk. Terasa juga penatnya berlari di atas tanah seluas dua ekar itu. Terpaksa berari-ari dengan hati-hati, kalau tersepak tunggul getah pasti tersembam ke bumi. Kalau tidak kena caranya, dahi boleh berdarah. Tanah milik Datuk terletak dalam mukim Buruk Bakal.
Jaraknya dari jalan raya Kuala Kangsar-Simpang Tiga, kira-kira satu batu. Kira-kira setengah batu dari tanah Datuk ialah kaki gunung yang bersambung dengan banjaran Titiwangsa. Menurut kata Datuk, banjaran gunung itu memisahkan sempadan Perak dengan negeri Pahang.
"Aku rasa ada orang yang mahu datang ke sini. Kita bersembunyi mana tahu kalau yang datang orang komunis”, kata Datuk sambil membawa saya dekatnya.
Datuk ketika itu masih lagi memegang hujung kayu yang dicacakkan ke tanah. Dengan perantaraan kayu yang tercacak itu, Datuk dapat mengetahui sama ada manusia atau binatang buas akan datang ke kawasan tanahnya.
"Petuanya mudah saja, kau cari pokok kayu sebesar ibu kaki yang daunnya lebat ke arah matahari terbit dan pucuknya pula menghala ke arah matahari jatuh, kau potong dan tanamkan ke bumi arah mata angin yang datang.
Tanam kira-kira setengah kaki, kau lekapkan telinga kau pada batangnya, nanti kau akan dengar tapak kaki binatang. Kalau manusia kau akan dengar suaranya”, Datuk mencurahkan petua orang tua-tua pada saya.
Tanah milik Datuk itu pada mulanya ditanam dengan pokok-pokok getah. Kerana pokok getah sudah tua dan tidak dapat mengeluarkan susu yang banyak, Datuk tebang dengan tujuan untuk di tanam pokok pisang. Peluh terus membasahi badan Datuk dengan dan badan saya. Angin yang bertiup tidak dapat menghilangkan rasa panas di badan kami.
"Mari”, kata Datuk dan terus menarik tangan saya.
Kami terus bersembunyi di bawah rimbunan pokok serunai laut. Waktu saya mahu bersila di situ, tiba-tiba seekor ular tedung panggukan kepala. Saya jadi cemas.
"Jangan bergerak”, bisik Datuk pada saya.
Dan saya lihat Datuk mengambil daun serunai laut lalu diramasnya hingga hancur. Datuk tepuk tanah, serentak dengan itu ular tedung terus meluru ke arahnya. Cepat-cepat Datuk membalingkan daun serunai laut yang diramasnya ke arah ular tedung tersebut. Ular itu bagaikan terpukau di situ. Datuk terus mengarahkan kedua biji matanya ke mata ular tedung. Datuk pukau ular tedung yang berbisa itu dengan kuasa matanya dengan badannya di atas tanah.
"Bergerak”, ujar Datuk, ular itu bergerak dan terus merebahkan badannya atas tanah.
"Bangun”, perintah Datuk.
Ular itu bangun.
"Jangan kacau kami. Kami mahu menumpang sebentar, tidak mahu membinasakan kamu”
Saya lihat ular itu bagaikan faham dengan apa yang Datuk katakan. Datuk menyuruh ular itu pergi ke bawah rimbunan pokok serunai laut. Ular itu patuh dengan arahan Datuk, menyusur perlahan-lahan arah ke selatan hingga hilang dari pandangan saya dan Datuk.
"Meniarap”, kata Datuk pada saya.
Saya pun rebahkan badan dan Datuk juga berbuat demikian. Saya lihat beberapa ekor semut api dan belalang merayap atas daun serunai laut. Bunyi deru angin jelas kedengaran bersama dengan bunyi ranting-ranting kering jatuh ke bumi.
-TAMAT-
102. HARIMAU DI SANGKA KUCING
CERITA² MISTIK, MISTERI 📛 SERAM - #SEASON2
KOLEKSI CERITA SERAM MELAYU
HIMPUNAN CERITA SERAM
TAJUK CERITA : HARIMAU DI SANGKA KUCING
CP BY ADMIN A.D
CGCZONE BRUNEI
theHORRORZONE BRUNEI
KODE : 300002750940102
http://thehorrorzon.blogspot.com/2020/04/cerita-mistik-seram.html
Sudah hampir lima rantai berjalan. Datuk tidak juga menuturkan sesuatu. Saya masih sabar menanti jawapan darinya. Tetapi, lama-kelamaan rasa sabar itu segera bertukar menjadi rasa cemas dan takut.
Mungkin Datuk tersinggung atau mungkin dia marah dengan pertanyaan-pertanyaan yang saya ajukan kepadanya. Tak mengapa, apa pun yang akan terjadi terpaksa saya hadapi. Sesungguhnya, saya ingin mengetahui sesuatu dengan jelas dan tepat. Saya kira apa yang saya lakukan itu memang wajar, fikir saya sendirian.
"Imam beri dia duit, yang di kumpul dari derma para jemaah", tanpa diduga Datuk bersuara. Melenyapkan kebimbangan yang bersarang dalam dada saya.
"Berapa dia dapat tuk?"
"Itu aku tak tahu, biasanya tak banyak"
"Tak banyak tu berapa tuk?", saya terus mendesak.
"Kamu ni, suka sangat bertanya. Kamu tahu, dia cuma ambil duit tambang dia datang dan balik, kemudian dia ambil tiga empat ringgit untuk beli beras"
"Kalau macam tu, sampai bila-bila pun dia tak senang".
"Dia bukan nak cari kesenangan, dia mahu menyebarkan ilmu agama pada umat Islam, itu sumbangannya. Kamu harus tahu setiap kita yang hidup ini, bila mati akan disoal apa sumbangan kita pada agama dan manusia".
"Hum... Kalau macam itu sampai bila pun dia tak akan senang"
"Eh kamu", Datuk terus menengking saya.
Saya terdiam, sesungguhnya saya terkejut dengan perubahan sikap Datuk dari ramah bertukar menjadi bengis dan marah-marah.
"Aku tak mahu kamu tanya tentang guru tu, dia tidak mengharapkan wang ringgit dari hasil usahanya", kata Datuk dan saya mula mengetahui punca Datuk menengking saya.
"Dia mengajar dengan ikhlas, dia tidak mengharapkan wang ringgit", kata Datuk lagi, mengulangi apa yang telah diucapkannya.
"Begitu, tapi ada orang mengajar agama kerana wang".
"Itu bukan mengajar namanya, Tamar".
"Kalau bukan mengajar, nak sebut apa tuk?"
"Jangan kamu tak tahu, itu namanya gunakan agama untuk cari duit, itu perbuatan tak ikhlas, faham. Jangan tanya-tanya hal itu lagi".
"Baiklah tuk".
Perjalanan seterusnya terasa sunyi. Cuma kicau burung yang terdengar. Saya mengambil sikap mengunci mulut dan berazam tidak akan menyoal Datuk hingga sampai ke kaki tangga. Tanpa diduga, Datuk bersuara.
"Kamu balik dulu, aku ada hal".
"Tuk nak kena mana?"
"Aku nak pergi ke kaki bukit, nak tengok jerat yang kamu tinggalkan petang semalam".
"Baik tuk balik dulu, lepas tu kita pergi bersama".
"Tak payah, beritahu pada nenek kamu aku ke sana".
"Jangannnnnn...", jerit Datuk. Mukanya nampak merah. Saya segera mempercepatkan langkah ke rumah.
Dalam asyik melangkah itu, saya terpandangkan sepasang anak kucing bermain-main di tepi jalan. Timbul keinginan untuk menangkapnya. Saya terus mendekati dan sepasang anak kucing itu melompat ke dalam semak. Saya terus memburu. Rupa sepasang anak kucing itu sungguh menarik, berbeza dengan anak kucing peliharaan. Bulunya memikat dengan jalur yang besar dan terang.
Makin saya kejar, makin manja sepasang anak kucing itu melompat-lompat di hadapan. Seolah-olah mencabar saya supaya menangkapnya. Keghairahan saya kian menjadi untuk memiliki dan memelihara sepasang anak kucing tersebut. Kerana asyik memburunya, dua tiga kali saya terjatuh. Akibatnya kain yang saya pakai terus koyak, begitu juga dengan baju. Songkok yang dipakai, tidak lagi berada di kepala. Sudah hilang, entah di mana jatuhnya, saya sendiri tidak tahu. Pedulikan dengan songkok.
Tiba-tiba saya dapati diri saya sudah berada jauh dalam hutan. Saya tidak mahu sorot kembali, walau apa pun yang terjadi, sepasang anak kucing itu mesti saya tangkap. Badan saya mula berpeluh dalam sinar matahari pagi yang kian keras. Dalam keadaan yang tercungap-cungap itu, hutan tebal saya redah.
BERHENTI
Sepasang anak kucing itu berhenti dari berlari, masuk ke kawasan yang ditumbuhi dengan pepokok kecil. Tidak jauh dari pepokok kecil itu terdapat sepohon pokok yang amat besar. Akar-akar berjuntaian di dahan, kerana daunnya terlalu lebat, sinar matahari tidak sampai ke kawasan tanah di bahagian pangkal pokok. Walaupun begitu, keadaan sekitar kawasan bawah pokok kelihatan bersih.
Dalam sekelip mata sahaja sepasang anak kucing hilang di pangkal pokok besar. Saya kira, anak-anak kucing itu pasti menyembunyikan diri dalam lubang yang terdapat di perdu pokok. Saya melangkah dengan perlahan-lahan, saya berusaha supaya ranting dan daun kering yang dipijak tidak mengeluarkan bunyi yang akan mengejutkan anak-anak kucing tersebut.
Hidung saya mula terhidu bau yang kurang menyenangkan. Saya yakin bau itu adalah bau binatang. Tetapi, saya tidak dapat memastikan apakah bau itu dari binatang yang merbahaya atau sebaliknya. Kerana mahu menangkap anak-anak kucing, bau tersebut tidak saya hiraukan, saya terus berjalan membongkok menyusup di bawah akar-akar yang berjuntaian.
Secara mendadak sahaja hati saya berdebar, kaki saya tidak berdaya melangkah, perkara yang tidak pernah terlintas dalam otak, kini wujud di depan mata. Badan saya berpeluh. Ya Allah, selamatkan aku dari kecelakaan dan bencana ini. Sesungguhnya, kerana gagal mengawal nafsu dan keinginan membuat aku jadi susah. Mencari celaka sendiri. Tolonglah, suara batin saya terus meraung. Badan terus menggigil. Perlahan-lahan saya rendahkan badan lalu duduk di balik pokok besar.
Saya kumpulkan tenaga untuk memulakan langkah seribu. Ternyata saya tidak berupaya berbuat demikian. Saya rasa, maut sudah hampir benar dengan saya. Dalam keadaan terdesak saya teringatkan surah Al-Fil. Kata Datuk, kalau surah itu dibaca dalam keadaan diri kita terdesak, boleh menguatkan jiwa, berani menghadap sesuatu dengan cekal.
Dengan terketar-ketar saya menyebut surah al-Fil yang bermula dengan: Alam tarakai fafa 'ala Rabukka bi asha bil fil... ayat itu saya ulang berkali-kali. Rasa gementar pun hilang. Saya serahkan diri saya pada Allah. Kalau janji saya mahu mati di pangkal pokok besar ini, tetap saya terima. Kalau saya terselamat saya bersyukur pada Allah kerana usia dilanjutkan lagi.
Perlahan-lahan saya bangun dan merenung ke arah tanah yang agak lapang. Saya perhatikan sepasang anak harimau (yang pada awalnya saya sangka anak kucing) bermain-main dengan ibunya. Ekor ibunya bergerak-gerak. Sesekali menampar dan menggigit badan anaknya yang nakal. Entah macam mana, ibu harimau itu terpandang ke arah saya. Ia segera bangun dan membuka mulut, memperlihatkan gigi dan lidahnya.
Semuanya, terpaksa saya hadapi dengan tenang. Hati saya tidak pernah penat membaca Surah Al-Fil. Satu saat mata saya dengan mata harimau bertentangan. Perlahan-lahan harimau merendahkan badan. Berguling-guling di bumi bermesra dengan sepasang anaknya yang comel.
Saya segera meletakkan telapak tangan ke bibir. Saya terkejut melihat perangai harimau beranak dua itu. Tidak mempedulikan kehadiran saya. Ternyata harimau itu tidak mahu menjadikan diri saya sebagai musuh utamanya. Saya harus menggunakan kesempatan ini dengan sebaik mungkin. Ketika itu juga, saya teringat kata orang tua-tua yang berbunyi "Musuh jangan dicari. Tuah jangan ditolak". Berpegang pada kata-kata tersebut, saya segera berundur setapak demi setapak.
Setelah dihitung, lebih dari dua puluh tapak saya undur ke belakang dan yakin harimau tidak akan mengikuti saya. Cepat-cepat saya memusingkan tubuh (membelakangi harimau) lalu memulakan langkah seribu. Saya terus memecut dengan sekuat hati, bagaikan tidak cukup bumi. Sambil berlari, saya merenung ke belakang. Saya bimbang, kalau harimau beranak dua menyusuri jejak langkah saya.
SELEKOH
Sampai di satu selekoh kecil yang kerap digunakan oleh orang-orang kampung sebagai jalan pintas pergi ke hutan mencari rotan, saya toleh ke belakang. Dalam perhitungan saya, itulah renungan terakhir untuk harimau dan anak-anaknya. Beberapa langkah dari selekoh kecil itu adalah kawasan perkampungan yang subur dengan pepohon pisang dan perdu tebu.
“Aduh”
Saya terasa bahu sebelah kanan terlanggar sesuatu yang lembut dan badan saya ikut jatuh bersama benda yang saya langgar itu. Apa yang saya lihat ialah kepulan awan putih. Saya tidak terdaya mahu merenung ke kiri dan ke kanan. Bila saya gerakkan anggota tubuh terasa sakit. Dalam keadaan yang agak cemas itu, saya terasa benda yang saya langgar bergerak lemah. Serentak dengan itu saya terdengar desir nafas.
Apakah desir nafas itu dari manusia? Atau dari ular sawa? Timbul pertanyaan dalam diri. Kata orang, hembusan nafas ular sawa yang tertindih, tidak jauh bezanya dengan hembusan nafas manusia. Saya jadi panik dan saya kira saya jatuh atas lingkaran badan ular sawa. Saya tidak berani menggerakkan badan dan saya pasrah pada Allah.
Saya segera membayangkan, sebentar lagi ular sawa yang tertindih itu akan membelit tubuh saya lalu menjerutnya dengan sekuat hati. Segala tulang-temulang saya remuk. Badan menjadi lembik dan ular menelan saya perlahan-lahan. Benda yang saya tindih terasa bergerak dan sepasang tangan memeluk tubuh saya erat-erat. Saya cuba meronta-ronta. Sehelai daun tebu jatuh atas pipi kiri. Saya mula terasa miang.
“Babi kamu Tamar, lari tak tengok orang,” terdengar rungutan.
Serentak dengan itu badan saya di angkat dan ditolak ke kanan dengan kuat. Saya jatuh atas dedaun tebu kering. Saya terpaksa bangun perlahan-lahan di perdu tebu.
"Kamu tak ada otak”, sambung Mazlan lalu mencabut golok perak di pinggang. Saya lihat mukanya bercalar terkena tebu muda. Bajunya koyak, kain ikat kepalanya terlucut.
"Kalau orang lain, aku tikam kamu dengan golok ini sampai terburai isi perut. Kamu tengok botol kopi aku pecah, nasi bekal aku habis bertabur atas tanah", lanjut Mazlan yang kerja sehari-hariannya mencari rotan. Saya terdiam.
Saya lihat air kopinya yang meresap ke bumi, saya lihat bekalnya bertaburan. Timbul rasa belas dalam hati.
"Kamu bayar semua ini?”, Mazlan mula mengugut.
"Aku tak sengaja”.
"Tak sengaja, kepala bapak kamu".
“Maafkan aku Mazlan, aku tak sengaja"
“Bodoh, sial", kutuk Mazlan.
“Cakap jangan sebarang, silap cakap buruk padahnya", rasa marah mula meruap dalam dada saya. Terasa malu dan hilang harga diri bila disebut bodoh dan sial. Mazlan yang lebih besar bentuk tubuhnya itu saya renung.
“Ada mata, tak tahu nak guna, lari membabi buta inilah akibatnya. Ada otak tak tahu guna”, Mazlan membakar perasaan saya dengan kata-kata yang amat menyakitkan.
“Kamu juga tak tahu gunakan mata, kalau kamu gunakan mata tentu kamu boleh mengelak bila aku datang", saya meningkah. Kata-kata itu menaikkan kemarahan Mazlan seratus-peratus. Matanya tidak berkedip merenung muka saya. Mazlan menerpa ke arah saya sambil mengangkat goloknya tinggi-tinggi. Bila dia menjatuhkan goloknya ke arah bahu kanan saya, Cepat-cepat saya mengelak dan melepaskan buah silat lalu menendang tangan yang memegang golok. Mazlan terdorong ke kiri. Mata goloknya yang tajam sempat merebahkan lima batang tebu dalam sekelip mata.
Andainya saya tidak sempat mengelak, bukanlah satu perkara yang mustahil tali perut saya bertabur atas bumi. Mazlan yang marah itu terus bangun serta-merta. Dia membuka langkah silat. Saya tergamam. Bukanlah mudah untuk menentang kawan seperguruan. Masing-masing tahu kelemahan dan kelebihan rentak serta langkah masing-masing. Siapa silap membaca langkah dan lambat bertindak, orang itu pasti tewas.
“Jaga kamu Tamar”
Mazlan terus menyerang. Saya mengelak lagi sambil menyusun langkah di balik batang tebu. Mazlan bertambah marah. Dia tahu saya cuba menjadikan batang-batang tebu yang tumbuh itu sebagai perisai. Dia terpaksa merebahkan batang-batang tebu terlebih dahulu, sebelum menghunuskan mata goloknya ke tubuh saya. Mazlan terus bertindak macam orang gila. Semua batang tebu yang saya jadikan perisai habis rebah ke bumi. Saya terdesak.
“Hei, kamu tahu, aku langgar kamu tadi kerana harimau kejar aku”, saya menjerit. Langkah silat dan gerak tangan Mazlan yang pantas bergerak, terhenti serta-merta.
“Apa Tamar?”
“Aku dikejar harimau, fasal tu aku lari”
“Tamar", suara Mazlan lemah. Golok di tangannya terlepas.
“Harimau, aku dikejar harimau",saya bersuara dengan keras dan berpusing ke kanan lalu lari.
“Tamar, nanti dulu”, pekik Mazlan. Saya berhenti berlari dan menoleh ke arahnya.
“Aku tak boleh tunggu kamu, Mazlan. Aku takut”
“Tunggulah, aku maafkan kamu. Jangan tinggalkan aku”, suara Mazlan bertambah lantang. Rasa belas timbul dalam hati. Ingin sekali saya memenuhi permintaannya. Bagaimana? Bila sudah berdekatan dia bertindak lain pula, mana tahu dia terus menyerang. Mungkin saya menemui ajal di hujung goloknya atau cedera parah. Cakapnya, bukan boleh dipercayai. Hati manusia selalu berubah. Sebelum sesuatu yang buruk terjadi. Ada baiknya, saya melupakan tentang dirinya. Pergi jahanam dengan Mazlan. Saya membuat keputusan nekad.
“Maafkan aku Mazlan, aku tidak boleh menolong kamu", jerit saya lalu membuka langkah semula. Melihat saya tidak mahu menunggunya, Mazlan segera renung kiri dan kanan dengan wajah yang amat cemas. Beberapa detik kemudian, Mazlan terus membuka langkah seribu. Saya lari arah ke rumah Datuk dan Mazlan lari ke rumahnya. Dia terus berteriak sepanjang masa berlari.
"Tolong, harimau, harimau masuk kampung", teriaknya bertali-tali. Berjaya menarik perhatian para penduduk kampung. Mereka keluar beramai-ramai ke halaman rumah dengan rasa terkejut dan hairan. Beberapa orang dari mereka yang turun ke sawah dan ke kebun pagi itu terpaksa membatalkan rancangan mereka. Anehnya, tidak sampai setengah jam kemudian, keadaan kampung jadi haru-biru.
Bermacam-macam cerita yang menakutkan mula timbul.
MENGADU
"Dah dua orang di baham harimau keramat", kata seorang penduduk yang datang mengadu pada Datuk. Saya yang kepenatan terus duduk di kerusi kayu dekat tiang seri di bawah rumah. Datuk pula yang kebetulan baru sahaja pulang dari melihat jerat di kaki bukit termenung sejenak. Wajah penduduk kampung yang singgah di kaki tangga direnungnya.
“Jadi kamu ni nak ke mana?”, tanya Datuk.
“Nak ikut orang-orang kampung menghalau harimau keramat dan nak ambil mayat orang yang dibahamnya", terang penduduk tersebut. Saya melagakan gigi atas dengan gigi bawah dua tiga kali. Baru setengah jam saya meninggalkan pinggir hutan bermacam-macam cerita terjadi.
“Siapa yang kena baham harimau tu?”
“Zaharin, anak Alang Usman"
“Mana kamu tahu?", soal Datuk bersungguh-sungguh. Rasa penat yang menguasai diri saya beransur kurang. Saya lihat beberapa orang kampung membawa kayu dan parang berlari ke arah pinggir hutan. Datuk jadi cemas melihat keadaan tersebut.
“Aku baru balik dari kaki bukit, aku tak nampak apa-apa", Datuk menarik nafas sambil menggaru pangkal dagunya.
“Itu saya tak tahu, orang-orang kampung semuanya dah bersiap sedia nak halau harimau”
“Dari mana kamu tahu semuanya ini?", Datuk mula mencungkil rahsia.
“Si Ramli beritahu. Dia dapat cerita dari Suhaimi dan Suhaimi pula dapat tahu dari Syamsuri dan Syamsuri dapat cerita dari siapa saya tak tahu", orang itu menelan air liur. Di mukanya terbayang keresahan. Tidak suka dirinya disoal begitu.
“Kalau awak nak ikut mari, saya nak bantu orang kampung, kemudian nak cari mayat si Zaharin", orang itu memberi kata putus lalu melangkah meninggalkan Datuk. Dua tiga kali Datuk gosok pangkal hidung. Dia jadi serba salah. Hati menyuruh pergi, sedangkan fikirannya menyuruh dia bersabar.
Setelah ditilik dan ditimbang dengan teliti, Datuk membuat keputusan untuk mengikut kata hatinya. Datuk segera mengikut langkah lelaki itu. Dua kali saya memanggil nama Datuk. Sayang, seribu kali sayang, panggilan saya tidak dapat ditangkap oleh gegendang telinga Datuk. Dia memburu lelaki itu. Mereka bersatu dan melangkah seiring sebaik sahaja sampai dekat pokok tualang yang mati pucuk. Rasa sesal mula bertandang dalam hati. Kerana penat berlari saya tidak dapat menerangkan keadaan sebenar pada Datuk.
Apa yang perlu dilakukan sekarang? Perkara yang wajar dibuat, ikut Datuk dan lelaki itu. Terangkan keadaan sebenar pada mereka. Itu keputusan yang saya ambil. Tanpa berlengah-lengah lagi saya terus mengejar Datuk. Bukan mudah mahu mendekati mereka. Mereka sudah terlalu jauh. Saya terus berlari. Saya berazam, bila Datuk menoleh ke belakang, saya akan melambaikan tangan ke arahnya.
Apa yang saya harapkan itu tidak menjadi kenyataan. Datuk dan lelaki itu sampai ke pinggir hutan (di tempat saya melanggar Mazlan hingga jatuh). Bila saya sampai ke tempat tersebut, Datuk dan lelaki itu sudah meninjau ke arah lain. Melihat batang-batang tebu yang bersepah. Badan saya berpeluh, saya lihat ramai orang-orang kampung di situ. Beberapa orang dari mereka memikul senapang kampung berlaras satu dan dua. Sebahagiannya membawa kayu dan parang panjang. Keadaan di situ memang kelihatan sibuk.
Semua yang hadir bercakap besar. Masing-masing mahu membantai harimau jahanam sampai mampus. Beberapa orang pemuda membawa buluh kuning yang sudah ditajamkan.“Kamu hidup lagi, tadi dia orang kata kamu dibaham harimau, badan kamu dah dibawa harimau ke dalam hutan", kata Shahril lalu melihat tubuh saya atas bawah. Dia bagaikan tidak percaya yang dirinya sedang berdepan dengan kawan sekampung yang pernah main gasing dan guli. Malah pernah bertumbuk kerana kalah main congkak.
“Dari mana kamu dengar cerita ni, Sha?”
“Jaafar, dia dapat cerita dari Mazlan", Shahril terus memerhatikan pakaian saya yang terdapat kesan tanah dan koyak. Dia melihat lengan kanan saya luka dan bercalar. Wajahnya jadi cemas.
“Kau berjaya selamatkan diri dari harimau, kau gunakan ilmu silat menentang harimau, kau memang handal", jerit Shahril hingga menarik perhatian orang-orang lain. Dalam beberapa detik sahaja saya terus dikerumuni oleh orang-orang kampung. Saya jadi resah. Terasa seram sejuk, bila bercupak-cupak biji mata orang kampung tertumpu ke arah saya.
Dari raut muka dan gerak-geri beberapa orang dari mereka secara terang-terangan mengagumi kehebatan saya. Mulut Shahril yang tidak terkawal itu terus memuji-muji diri saya. Dalam keadaan yang serba tidak kena itu, saya lihat Datuk dan kawannya berdiri tidak jauh dari depan saya.
“Mana satu yang betul, tadi orang ini mengatakan Zaharin anak Alang Usman yang dibaham harimau. Sekarang dah lain pula orangnya",Datuk melangkah setapak, memisahkan dirinya dari kumpulan orang ramai. Jari telunjuknya masih mengarah kepada lelaki di sebelahnya.
“Siapa di antara kita yang berbohong. Perkara mati jangan dibuat main-main, boleh menyusahkan orang yang hidup, terutama keluarga yang terbabit", sambung Datuk lagi. Semua wajah orang kampung ditatapnya satu-persatu.
“Kamu Sha", jari telunjuk Datuk menghala ke arah Shahril,"Jumpa Jaafar di mana?”, lanjut Datuk lagi.
“Dekat kedai, dia dapat cerita dari Mazlan", jawab Shahril dengan tenang dan penuh keyakinan. Orang kampung berpandangan sama sendiri. Mereka masih tertanya sesama sendiri, macam mana cerita seperti ini boleh tersebar dengan luasnya.
“Itu dia Zaharin", kata salah seorang dari kumpulan orang kampung. Semua biji mata tertumpu arah selatan. Zaharin berjalan dengan tenang keluar dari rerumpun pokok kecil sambil membuka kain ikat kepalanya. Dia mendekati kumpulan orang kampung.
“Kenapa berkumpul? Ada apa-apa masalah?”, tanyanya.
“Kami dapat tahu kamu dibaham harimau", jawab rakan Datuk.
“Dibaham harimau? Siapa yang beritahu?”, Zaharin kehairanan.
“Mazlan", jawab Datuk.
“Hiss...ini dah mengarut, memang kami berdua nak ke hutan mencari rotan. Saya masuk ke hutan dulu dan berjanji dengannya bertemu di tempat biasa”, Zaharin berhenti bercakap. Sepasang matanya merenung tepat ke wajah saya. Dia menarik nafas dan melepaskannya dengan perlahan-lahan. Hati orang-orang kampung terus berdebar, menanti cerita darinya.“Saya tunggu-tunggu, dia tak datang. Saya keluar ni nak cari dia", terang Zaharin dengan wajah kesal. Dia sendiri terasa aneh, macam mana cerita dirinya dibaham harimau boleh timbul.
“Kita ni sebenarnya, salah faham. Bila dah salah faham kita pula tak mahu mencari macam mana punca salah faham tu boleh timbul", Datuk bersuara dengan rasa kecewa. Tanpa disangka-sangka sepasang mata Datuk tertumpu ke arah saya.
“Kamu ni, apa kena calar-balar? Pakaian koyak-rabak apa fasal? Apa tadi kamu tak terus pulang ke rumah", saya tergamam dengan pertanyaan yang tidak diduga sama sekali keluar dari mulut Datuk. Saya renung ke arah Shahril minta simpati dan bantuan darinya.
“Kamu mesti selesaikan perkara ini, terangkan pada kami kedudukan sebenar. Macam mana kamu dengan Zaharin disebut-sebut sudah dibaham harimau?", terdengar suara dari arah belakang. Saya renung ke arah Datuk. Dia nampak serius. Tunduk merenung bumi.
“Ceritakan, kami nak tahu siapa yang bawa cerita palsu ini?", terdengar lagi suara dari arah belakang.
“Ya, kami nak tahu", sahut dari sebelah kiri. Saya jadi serba salah.
“Begini mulanya, sa...”, saya tidak terdaya meneruskan kata-kata. Diganggu oleh bunyi sorakan yang kuat dari arah pangkal kampung. Saya segera menoleh ke arah tersebut. Apa yang saya lihat amat mengejutkan. Mazlan dipegang oleh beberapa orang lelaki dan dibawa ke arah kami. Mazlan meronta-ronta dan cuba menendang ke kiri dan ke kanan. Usahanya itu tidak mendatang apa-apa hasil. Orang-orang kampung yang memegangnya bukan orang lain tetapi dari keluarganya sendiri.
“Sekarang terangkan pada kami macam mana perkara ini boleh terjadi", Usman, Abang Mazlan yang paling tua bersuara. Mazlan merenung ke arah saya.
“Kau terangkan Tamar", katanya.
“Aku, Mazlan?”
“Ya, siapa lagi kalau bukan kamu”
“Hum", kata saya lalu renung muka Datuk Perlahan-lahan Datuk anggukkan kepala suruh tunaikan permintaan Mazlan. Semua orang kampung yang berada di situ tatap muka saya kembali.
"Tadi balik dari masjid saya nampak anak harimau. Saya ikut sampai dalam hutan dan tengok ibunya. Kemudian saya lari kerana takut. Masa lari tu saya terlanggarkan Mazlan", dengan tenang saya mulakan cerita. Semua orang kampung terdiam. Masing-masing pasang telinga mahu dengar cerita dari saya.
Tangan Mazlan tidak lagi dipegang oleh keluarganya. Dia dilepaskan. Miang daun tebu jelas kelihatan lekat di pipi dan baju Mazlan. Lengan dan pipinya calar balar. Ada kesan luka dipangkal kening kirinya.
"Bila saya langgar Mazlan, dia terus marah dan nak tikam saya dengan golok", saya sambung kembali cerita yang terputus.
“Lepas tu apa yang terjadi?, soal Abang Mazlan.
"Kami bergaduh. Masa bergaduh tu saya beritahu Mazlan ada harimau kejar saya. Mazlan terkejut. Masa Mazlan tergamam tu saya tinggalkan dia"
"Kamu lari ke mana?", Datuk ajukan pertanyaan.
“Saya lari ke rumah, Mazlan saya tak tahu ke mana dia pergi"
“Habis siapa yang beritahu orang kampung tentang harimau yang mengganas?", lelaki di sisi Datuk menyoal. Saya terdiam dan terfikir bahawa soalan yang diajukan ada kena-mengena dengan diri Mazlan. Ada baiknya Mazlan menjawab pertanyaan tersebut.
“Saya yang beritahu, saya menjerit sepanjang masa saya berlari. Saya beritahu, harimau, harimau", Mazlan menyelesaikan kebuntuan yang bersarang dalam hati saya.
“Habis, macam mana boleh timbul aku yang kena baham harimau?”, mendadak sahaja Zaharin menyoal. Saya lihat Mazlan menarik nafas lemah.
“Masa lari tu, saya jumpa Jaafar dia tanya kamu, aku kata kamu di hutan. Itu saja", dengan penerangan Mazlan itu kesilapan kian terserlah. Dan tanpa diduga, Jaafar yang ada dalam kumpulan orang kampung tampil ke depan.
“Cakap Mazlan tu betul. Apa yang saya dengar saya beritahu orang kampung, saya cuma menambah sikit cerita tu dengan menyebut mungkin Tamar mati dibaham harimau, begitu juga dengan Zaharin yang ikut Mazlan ke hutan. Entah macam mana cerita itu boleh berubah begitu jauh", Jaafar bersuara dengan rasa penuh kesal.
Orang-orang kampung segera gelengkan kepala. Beberapa orang dari mereka segera mencampakkan kayu yang mereka bawa ke dalam hutan. Manakala yang memikul senapang terus mengeluh dengan penuh rasa kesal.
“Semuanya terjadi kerana tidak ada usul periksa, terlalu cepat bertindak ikut perasaan. Apa salahnya bila dah dengar khabar ada yang kena baham harimau pergi tanya keluarganya dulu sebelum beritahu orang lain", lelaki di sisi Datuk melepaskan kehampaan. Dia wajahnya terbayang rasa kecewa yang amat sangat. Mungkin dia merasa dirinya bersalah kerana menyampaikan berita yang tidak tepat kepada Datuk dan kemudian mengheret Datuk ke mari.
“Tak apalah, jadilah semuanya ini satu pengalaman dan pengajaran. Di masa-masa akan datang jangan diulangi", ujar Datuk dalam nada suara yang lembut. Dengan penuh hormat Datuk menggesa orang-orang kampung yang berkumpul itu supaya bersurai. Permintaan Datuk diperkenankan.
MARAH
Kerana marah di leter oleh Datuk agak lama, saya mengambil keputusan memprotes perbuatannya itu. Saya mengelakkan diri dari memandang wajahnya serta tidak mahu bertutur walau sepatah pun perkataan dengannya.
Sejak lepas makan tengah hari, saya terus meninggalkan rumah. Menghabiskan masa dengan kawan-kawan bermain catur di bawah pokok cempedak dekat surau. Jemu main catur, kami main gasing atau godam. Kawan-kawan bagaikan bersimpati dengan saya. Tidak seorang pun yang mahu bertanya berhubung dengan peristiwa pagi tadi. Mereka melupakan terus bagaikan peristiwa itu tidak pernah terjadi.
“Tamar, aku nak cari kerja, kau nak ikut?”, Najib anak anggota polis yang baru bersara membisikkan ke telinga saya.
Saya tergamam sebentar. Otak saya ligat berfikir, apakah cadangan Najib itu wajar saya terima atau saya tolak.
“Kerja apa kau nak minta?”
“Aku nak minta polis, aku dapat tahu tak lama lagi polis nak cari orang baru. Aku nak minta kerja tu di Alor Setar"
“Kenapa nak pergi ke sana. Alor Setar tu jauh Jib"
“Di sana peluang aku cerah”
"Peluang kau cerah di sana?”, saya bertanya hairan. Sukar untuk menerima alasan yang dikemukakan oleh Najib. Mungkin dia mahu bergurau dengan saya. Mungkin kerana Najib tidak mahu rancangannya diketahui oleh kawan-kawan yang lain dia segera menarik tangan saya menuju ke warung Wak Dollah. Kami duduk di bangku yang agak tersorok dari pandangan orang ramai. Najib minta dua cawan kopi sambil memberitahu saya:
“Kamu jangan bimbang Tamar, hari ini aku belanja kamu. Tapi, kamu mesti ingat, aku cuma belanja minum saja. Kalau kamu makan kuih, sendiri bayar”
"Aku tahu, kamu bukannya ada duit sangat”
“Kamu bijak", jawab Najib berjenaka. Serentak kami ketawa. Beberapa detik kemudian air kopi yang dipesan diletakkan oleh Wak Dollah atas meja depan kami.
“Sebab aku nak ke Alor Setar kerana harapan aku nak dapat kerja cukup cerah", Najib membuka rahsia. Memang saya tahu, kedua orang tua Najib berasal dari Alor Setar. Datang ke kampung kelahiran saya sejak Najib dilahirkan. Kedua orang tuanya mahu memperjudikan nasib di rantau orang. Mereka membeli tanah sawah. Ternyata usaha kedua orang tua Najib berhasil. Dari sekeping tanah, mereka berjaya membeli berpuluh keping tanah sawah dan jadi orang yang agak kaya dan ternama di kampung saya.
“Bapa saudara aku jadi OCPD di Alor Setar, dia boleh tolong rekomen aku. Kalau kamu mahu, dia boleh tolong", satu cadangan dan harapan yang amat baik dari Najib. Soalnya, apakah Datuk bersedia mengizinkan saya pergi ke Alor Setar mengikut Najib.
“Apa macam nak ikut tak?", tanya Najib.
“Kena tanya Datuk aku dulu”
“Kalau dia tak izinkan, macam mana?”
“Aku tak pergilah”
“Tapi, kamu nak jadi polis, bukan begitu”
“Tentu", saya anggukkan kepala.
Najib terus menghirup air kopi. Otak saya terus bekerja untuk mencari jalan bagaimana mahu memujuk Datuk. Kalau permintaan saya tidak diperkenankan apakah yang wajar saya lakukan.
“Kalau Datuk kamu tak kasi, kamu lari saja dari rumah ikut aku", Najib memecahkan kebuntuan yang bersarang dalam kepala saya.
“Itu satu cadangan yang baik tapi, sulit untuk aku kerjakan Najib”
“Tak sulit, kau bukan lari untuk selama-lamanya, lari sehari dua untuk cari kerja. Sama ada dapat kerja atau tidak kau balik juga ke rumah"
“Betul juga cakap kamu Najib", kata saya riang.
Susulan dari keriangan itu, cepat-cepat telapak tangan Najib saya sambar. Buat seketika tangan kami bergoncangan. Mata berpandangan penuh sejuta makna.
“Jadi", kataku.
“Berjaya", sahut Najib. Senyum kami pun bertambah lebar. Serentak kami menghirup kopi dalam cawan hingga habis.
“Bila kita mulakan?”, saya menyoal tanpa sabar.
“Aku tulis surat dulu pada bapa saudara aku, bila pemilihan itu mahu diadakan, bila dapat jawapan kita terus pergi"
“Kau jangan main dan tipu aku"
“Tidak, aku berjanji", jawab Najib. Lagi sekali telapak tangan kami bercantum dan bergoncang. Warung Wak Dollah kami tinggalkan. Saya mula membayangkan betapa hebatnya saya memakai pakaian seragam polis dengan kayu cota di pinggang. Bertindak cergas menangkap orang jahat.
Saya senyum sendirian.
-TAMAT-
103. MENGUSUNG IBLIS TENGAH MALAM
CERITA² MISTIK, MISTERI 📛 SERAM - #SEASON2
KOLEKSI CERITA SERAM MELAYU
HIMPUNAN CERITA SERAM
TAJUK CERITA : MENGUSUNG IBLIS TENGAH MALAM
CP BY ADMIN A.D
CGCZONE BRUNEI
theHORRORZONE BRUNEI
KODE : 300002750940103
http://thehorrorzon.blogspot.com/2020/04/cerita-mistik-seram.html
Subuh itu, sesudah menunaikan sembahyang subuh dan mandi air embun, Datuk terus mendukung Razman ke bawah pokok asam kumbang. Kaki Razman diikat dengan tali sabut ke sebatang anak pokok. Datuk membiarkan sinar matahari pagi yang cemerlang menikam kulit badan Razman.
"Mail, biarlah aku dengan di cemani oleh Tamar selesaikan kerja ni. Kau tak usah tengok, nanti kau takut. Aku minta kau pergi ke masjid dan baca Al-Quran di samping berdoa pada Allah supaya sakit anak kau sembuh”
"Baiklah, tapi awak tak minum lagi?"
"Aku terpaksa berpuasa waktu menjalankan kerja ini. Tamar juga begitu”
"Pelik juga sakit anak saya ni”
"Inilah dunia. Banyak manusia jadi korban syaitan dan iblis semata-mata kerana nafsu jahat. Anak kau salah seorang daripadanya”
Saya lihat mulut Mail yang berbadan melengkung itu terlopong. Tanpa banyak bicara dia meninggalkan kami. Datuk sudah pun mengenakan pakaian serba hitam. Dia duduk bersila tidak jauh dari tempat Razman terbaring. Datuk minta saya menumpahkan darah ayam dalam cawan di hujung lututnya. Saya lakukan. Datuk pun mula bertafakur. Matanya terpejam rapat.
Kedua belah tangannya memeluk dada erat-erat. Matahari pagi memancar dengan cantik sekali. Tiba-tiba Razman menggeliat macam orang baru bangun tidur. Dia tersenyum dan duduk bersila macam Datuk. Datuk petik ibu jari kaki kiri tiga kali berturut-turut. Saya terus membaca beberapa potong ayat Al-Quran dan Surah An-Nisa’. ltu pesan Datuk yang saya mesti patuhi. Tiba-tiba dari tompokan darah ayam di hujung lutut Datuk menjelma seekor ayam jantan putih. Terus berkokok dengan nyaring. Ayam jantan itu segera menuju kepada Razman.
Dan Razman membelai-belai badan ayam sambil memerintahkan ayam jantan itu berjalan ke sana ke sini. Apa yang dikatakan oleh Razman, diikuti oleh ayam itu. Datuk meluruskan tangan kirinya ke depan. Manakala tapak tangan kanannya melurut lengan kirinya dari pangkal hingga ke hujung perlahan-lahan. Bila urutan itu sampai ke hujung jari, ayam jantan yang mengikut perintah Razman hilang. Razman terlompat-lompat dan menjerit. Dia marah kerana Datuk menghilangkan ayam jantan putihnya.
Mujurlah tali sabut yang mengikat kakinya kuat. Ikatan yang Datuk lakukan ini bukan sebarang ikatan. Ikat bersyarat dan berpetua. Kalau tidak pasti putus, kerana tenaga Razman ketika itu cukup luar biasa.
Semua anak-anak pokok getah, halba dan pokok janggut keli sekitarnya dicabut dengan mudah. Perkara yang nyata memang ada perlawanan kebatinan antara Datuk dengan kuasa tertentu yang melindungi Razman.
Buktinya, muka Datuk berpeluh. Urat-urat tangannya timbul, kedua belah bahunya bergerak macam menarik sesuatu dari direbut oleh pihak lain. Akhirinya Razman lemah sendiri. Terbaring atas tanah. Datuk bertafakur lagi. Dalam sinar matahari yang mula keras itu, tiba-tiba menjelma bapak kambing hitam meluru ke arah Razman.
Kambing jantan mencium dahi Razman dan Razman pun bangun lalu menepuk--nepuk belakang kambing hitam. Melihat keadaan yang ganjil itu, Datuk jadi resah. Datuk menggenggam kedua belah tangannya dan di lapis dua. Genggam tangan kiri sebelah atas, genggam tangan kanan sebelah bawah, macam budak-budak main tum-tum bak. Dia rapatkan mata. Dia bangun perlahan-lahan dan berdiri sebelah kaki.
Kaki kanannya dibengkokkan. Bila kaki kanannya diluruskan dan dihentakkan ke bumi sekuat hati, kambing jantan yang menjelma secara tiba-tiba mengembek sekuat hati, macam kena curahan air panas dan terus hilang. Razman rebah kembali. Matahari kian meninggi. Datuk merenung ke perdu pokok asam kumbang yang berdaun lebat. Badan saya mula berpeluh terutama di pangkal kedua belah ketiak. Perut mula terasa dimasuki angin, akibatnya saya sendawa bertalu-talu. Panas pagi itu memang lain macam rasanya, kulit muka terasa cukup pedih.
Datuk mengalih pandangannya dari perdu pokok asam kumbang ke arah rumpun lalang di sebelah barat daya secara perlahan-lahan. Tapak tangan kirinya menekan pangkal dada kiri dan melurut ke bawah perlahan-lahan. Bila pandangannya sampai kepada matlamat, tangan kirinya lurus ke bawah. Tetapi, jari telunjuknya menekan pangkal belikat. Mulutnya saya lihat bergerak-gerak, macam membaca sesuatu. Lama juga Datuk merenung perdu lalang yang tumbuh liar itu.
"Kita bawa Razman segera balik”, kata Datuk.
Bila Datuk memegang pangkal tangannya, Razman segera menggelupur. menendang dan menumbuk Datuk. Datuk menepis dengan cepat. Tetapi tendangan Razman dari sebelah kiri tidak dapat dielakkan.
Datuk tersungkur. Mukanya tersembam ke bumi. Saya lihat kekuatan Razman memang luar biasa. Pergerakannya cukup tangkas macam orang sihat. Razman mula menerkam dan mahu memijak belakang Datuk. Cepat-cepat Datuk melarikan badannya ke kiri hingga keluar dari bawah bayang-bayang pohon asam kumbang. Razman tidak dapat melepasi bayang-bayang pokok asam kumbang. Bila dia terkeluar dari kawasan bayang-bayang itu tenaganya jadi lemah. Datuk menyedari tentang hal itu.
"Carikan aku batang tepus”, pekik Datuk pada saya.
Saya toleh ke kiri, toleh ke kanan. Batang tepus tidak juga saya nampak.
"Cari sebelah matahari jatuh. Tak jauh dari pokok talang”, suara Datuk cukup lantang.
Perintahnya saya akur. Memang betul cakap Datuk. Batang tepus saya temui berdekatan dengan pokok talang berbatang licin. Saya cabut sebatang dan berlari ke arah Datuk lalu menyerahkan batang itu padanya. Datuk mara lalu memukul bertalu-talu pada badan Razman. Saya lihat Razman menjerit dan terlompat-lompat bila batang tepus menjamah tubuhnya. Akhirnya, Datuk hentak pangkal sikunya dengan sekuat hati ke pangkal bahu Razman. Razman melayang rebah ke bumi. Saya kira tulang bahunya pasti patah dua. Razman tergolek macam ayam kena langgar lori tentera.
Datuk gosok bahagian bahu Razman yang dihentakkan dengan pangkal sikunya. Kemudian Datuk gerakkan tangan Razman berkali-kali. Urut lagi dua kali dan gerakkan ke kiri dan ke kanan. Datuk tepuk bumi dan dada Razman. Saya lihat Razman bergerak ke kiri dan ke kanan. Datuk menghampiri saya.
"Tangannya yang patah sudah aku betulkan atas izin Allah. Sekarang kita bawa dia pulang”, kata Datuk.
Dia pun memikul batang tubuh Razman. Saya mengekor dari belakang dan saya terasa macam ada bayang-bayang orang memburu saya. Rumput kiri kanan saya lihat macam dipijak orang dalam sinar matahari yang keras.
Anehnya, saya tidak nampak apa-apa. Tiba-tiba saya rasa bahu kanan bagaikan ditampar orang. Pedihnya bukan kepalang. Saya terus melangkah, peluh terus meleleh di dahi dan mengalir ke pangkal dagu. Kulit muka terasa pedih dan gatal-gatal. Dalam hati saya terus membaca Surah An-Nas dengan tenang. Gangguan itu tidak berlaku lagi pada diri saya.
Bila sampai di rumah, Datuk pun meletakkan Razman di tempatnya. Saya lihat jam di dinding rumah sudah pukul sebelas pagi. Dari tingkap rumah Mail, saya melihat kemuncak Bukit Larut yang berkabus tebal. Datuk bersandar pada tiang seri. Lima belas minit kemudian Mail pun pulang. Tidak banyak yang ditanya oleh Mail terhadap kerja-kerja yang dilakukan oleh Datuk. Mail terus masuk ke biliknya untuk menghisap rokok. Dia tahu Datuk berpuasa hari itu. Mail tahu, tidak manis menghisap atau makan di depan orang yang berpuasa. Mail keluar, duduk bersila di depan Datuk.
Datuk masih lagi termenung panjang. Perhatiannya tidak tertumpu apa yang berlaku di depannya. Datuk bagaikan berada di dunia lain. Saya tahu bagaimana mahu menyedarkan Datuk supaya kembali dalam keadaan biasa.
Saya pun melipat bucu tikar mengkuang dan menindihnya dengan lutut. Saya gigit kuku jari kanan sekuat hati sambil pura-pura batuk. Apa yang saya lakukan berhasil menyedarkan Datuk. Petua yang saya jalankan itu saya peroleh dari Datuk juga. Harus digunakan dalam keadaan yang tertentu mengikut hari dan bulan Islam di samping memperhitungkan masa.
"Mail”, Datuk bersuara sambil merenung wajah Mail. “Ada tak kejadian-kejadian aneh berlaku di pokok asam kumbang tempat anak kau suka pergi tu?", tambah Datuk.
Mail luruskan kaki kanan. Datuk tarik nafas panjang. Mata saya terus merenung apa yang ada dalam ruang rumah. Rasa panas bertambah kurang kerana angin yang bertiup di luar masuk ke ruang rumah menerusi tingkap dan pintu yang terdedah.
"Ada”, jawab Mail.
"Apa dia?"
"Di bawah pokok asam kumbang itu dulu tempat orang mati bertembak"
"Siapa menembaknya Mail?"
"Penjahat itu berbalas tembak dengan pihak polis”
"Siapa namanya Mail?"
"Din Taiwan”
"Waktu matinya petang atau tengah malam?"
"Tengahari, kata orang waktu rembang lebih kurang pukul dua belas tengahari”
Datuk menggigit lidah mendengar keterangan dari Mail itu. Dan Mail memberitahu Datuk bahawa Din Taiwan masa hidupnya memang terkenal sebagai kaki rompak yang handal. Namanya amat ditakuti oleh penduduk sekitar Daerah Larut. Sikapnya tidak ubah macam kata orang tua-tua, beraja di mata, bersultan di hati.
"Kaki botol, kaki rogol. Dia memang pelesit”, keluh Mail.
Datuk tersenyum. Saya memperkemaskan sila. Mail merenung wajah Datuk yang kelihatan tenang. Perut saya mula terasa pedih dan lapar. Bau sambal tumis petai membuat saya bertambah lapar lagi. Dalam kepala saya membayangkan betapa enaknya keluarga Mail makan tengahari nanti. Kalaulah saya tidak berpuasa, dua pinggan nasi tentu habis saya telan.
"Kata orang dia banyak ilmu”, tambah Mail.
"Ilmu untuk dunia tanpa ilmu akhirat selalunya membuat manusia sesat”
"Betul. Cuma yang anehnya bila dia dibawa ke hospital dan pada sebelah petangnya saya pergi ke tempat itu, saya lihat kesan-kesan darah Din Taiwan di tanah hilang, macam ada orang yang mengambilnya”
Datuk terkejut mendengar cerita dari Mail. Muka Mail saya renung. Datuk bangun, berdiri di muka tingkap merenung ke luar. Dia tidak berkata walau sepatah pun. Datuk macam memikirkan sesuatu. Datuk terus melangkah ke anjung rumah dan tidur.
Datuk bangun bila waktu Zuhur tiba dan terus sembahyang. Sementara menanti masuk waktu Asar, Datuk terus membaca Al-Quran. Lepas sembahyang Asar Datuk dan saya pergi lagi ke bawah pokok asam kumbang. Dalam jarak dua puluh kaki dari pokok itu, Datuk membentangkan sehelai kain pelikat dan kami duduk di atasnya. Matahari sudah condong, sinarnya tidak sekeras tadi.
"Jangan tegur apa yang kau lihat”, bisik Datuk kepada saya sambil menyelitkan sehelai daun lalang ke telinga kiri saya.
Datuk juga menyelitkan daun lalang ke telinganya. Saya terasa keadaan keliling terlalu sepi. Dunia bagaikan tidak ada penghuninya.
"Tumpukan seluruh pancaindera kamu Tamar pada alam lain”, saya terdengar sayup-sayup suara Datuk.
Dan saya terasa badan bagaikan berada di awang-awangan sebentar. Hujung baju Datuk saya pegang erat-erat.
"Buka mata kamu Tamar”, Datuk memerintah.
Cakapnya saya patuhi. Mata saya tertumpu pada pangkal pokok asam kumbang. Saya terlihat seorang lelaki jatuh berlumuran darah. Lelaki itu hilang dan saya lihat batang tubuh Datuk terbongkok-bongkok mengambil tanah yang ada kesan darah dari lelaki itu. Datuk juga turut hilang. Dalam keadaan separuh sedar itu, saya terasa paha saya ditampar oleh Datuk. Saya toleh ke arahnya. Datuk tersenyum daun lalang yang berada di celah telinga saya sudah pun berada di tangan Datuk.
"Sekarang sudah tahu puncanya dengan izin Allah sakit Razman boleh diubati tetapi dia harus memulangkan barang yang diambilnya kepada orang yang berhak”, beritahu Datuk pada saya.
Matahari kian condong. Datuk masih lagi belum mahu bergerak dari tempat duduknya. Dia memberitahu saya, bahawa saya dan dirinya harus berada di situ hingga remang-remang senja. Menurut Datuk diri saya dan dirinya tidak dapat dilihat oleh sesiapa. Bagi Datuk duduk di situ tidak menimbulkan sebarang masalah kerana ada saja kerja yang di buatnya. Mulutnya sentiasa terkumat-kamit dan anggota badannya yang lain juga selalu bergerak-gerak.
Bila hari sudah remang-remang senja, Datuk pun menghentakkan kakinya ke bumi. Seluruh kawasan itu berbau harum. Saya terpandangkan bayang orang perempuan yang tidak begitu jelas duduk bersimpuh di hadapan Datuk.
Tetapi melihat gaya penempaan itu duduk dan cara dia bertudung, saya yakin perempuan itu adalah isteri muda Datuk iaitu, orang bunian. Perempuan itu bercakap dengan Datuk. Saya tidak dapat menangkap dengan jelas apa yang diperkatakan oleh Datuk dengan perempuan itu. Dengan sekelip mata perempuan itu hilang. Bekas tempat perempuan itu duduk terdapat tiga longgok tanah yang berdarah. Datuk terus berpeluk tubuh. Matanya merenung lurus ke depan. Dia menarik nafas.
Datuk hulurkan kaki kiri ke arah ketiga-tiga longgok tanah yang berdarah. Bila kakinya dilipatkan kembali seperti asal, saya lihat dari tanah longgok pertama keluar ayam jantan putih. Dari longgok kedua keluar kambing dan dari longgok ketiga terdampar mayat lelaki. Kerana longgok tanah yang berdarah sederet, semua jenis makhluk yang keluar darinya beratur sederet.
Remang-remang senja bertambah hitam. Angin mula menampar-nampar dedaun asam kumbang. Bunyi desiran angin itu cukup kuat bersama titik gerimis yang sambung menyambung. Saya terasa cukup seram. Ada bermacam-macam bunyi yang saya dengar. Ada suara orang minta tolong. Ada suara ayam berkokok, ada suara kambing mengembek. Akhir sekali saya terdengar suara orang lelaki memuja sesuatu, suara itu macam suara Razman. Datuk menamparkan tapak tangan kanan ke tapak tangan kiri, serentak dengan itu, saya lihat batang tubuh Razman berdiri bagaikan bayang-bayang dalam warna senja yang kian beransur gelap. Ketiga-tiga makhluk yang terdampar di hadapan Datuk bergerak dan menuju ke arah Razman lalu hilang meresap ke dalam tubuhnya.
Bayang-bayang Razman hilang lalu diganti dengan suara perempuan menggilai di atas pucuk pokok asam kumbang. Suara perempuan menggilai itu cukup nyaring dan akhiarnya, pokok asam kumbang bergegar macam di goncang oleh sesuatu. Buah-buah asam kumbang yang muda berguguran atas bumi Suasana menjadi seram. Angin terus bertiup dan suara gagak mula kedengaran.
Macam-macam lembaga yang amat menakutkan wujud di hadapan saya dan Datuk. Tetapi Datuk tidak menampakkan rasa takut atau bimbang. Dia bagaikan yakin apa yang dikerjakannya akan berjaya. Datuk terus membaca Surah Al-Kursi dengan tenang dan teratur. Bila semuanya sudah selesai dibaca, Datuk bangun lalu menghentakkan tumit kaki kirinya ke bumi. Semua yang ada di hadapan hilang terus.
"Syaitan”, kata Datuk lalu mengajak saya pulang.
Dalam perjalanan pulang itu Datuk memberitahu saya, bahawa Razman telah memuja darah orang mati dibunuh untuk sesuatu maksud yang jahat. Tetapi dia tidak dapat menunaikan beberapa syarat yang telah ditetapkan oleh syaitan untuk dilaksanakannya. Akibatnya dia jatuh sakit dan ilmu salah yang dituntutnya itu memakan dirinya sendiri. Razman menguji ilmunya dengan darah ayam dan kambing. Ternyata ilmunya itu berjaya. Ayam dan kambing jelmaan yang didampingi oleh syaitan akan mengikut semua perintahnya. Kemudian Razman mengambil darah orang mati di bunuh di bawah pokok asam kumbang. Darah orang mati di bunuh itu dipuja dengan menggunakan beberapa kelengkapan tertentu di bawah pokok tersebut.
"Darah orang mati dibunuh tu dipuja waktu bunga senja”, ujar Datuk pada saya dengan tenang.
Saya anggukan kepala dalam langkah senja yang kian gelap. Tetapi langit kelihatan bersih dan cerah.
"Darah tu dipuja tujuh Jumaat. Orang yang melakukan pemujaan tu bersemadi menghadapi arah matahari naik dan arah angin tanpa memakai pakaian kecuali cawat untuk menutup bahagian kemaluan”, beritahu Datuk lagi.
Saya mula terasa cemas tidak tentu fasal. Langkah saya percepatkan. Datuk terus juga bercakap menerangkan apa yang dia tahu pada saya. Datuk yakin yang Razman berguru pada orang yang tahu tentang kerja-kerja maksiat ini. Dan orang tempat dia berguru itu belajar separuh jalan saja.
"Sayang, orang tempat dia berguru itu hanya mencari yang jahat untuk tujuan yang jahat”, keluh Datuk.
"Maksud Datuk?", saya memotong cakapnya.
"Dia menuntut untuk niat jahat, bagi merosakkan sesama manusia. Kerana itu dia tidak menuntut bagaimana mahu menghancurkan perbuatan sendiri”, jelas Datuk lagi.
Saya diam dan tidak mahu menyoal Datuk lagi. Akhirnya, kami sampai ke kaki tangga rumah Mail. Ketika Datuk selesai membasuh kaki dan memijak anak tangga pertama, suara Azan mula kedengaran. Saya cukup gembira kerana tempoh menahan lapar dan dahaga sudah berakhir. Bila berada dalam rumah hati saya bertambah lapang. Sudah ada makanan yang tersedia untuk saya dan Datuk. Mail lalu mempersilakan kami menjamah hidangan. Datuk hanya minum segelas air sejuk dan sebiji pisang. Lepas itu dia terus sembahyang. Saya juga berbuat demikian dengan harapan selesai Datuk sembahyang, dia akan makan kembali.
Harapan saya tidak dipenuhi. Lepas sembahyang Datuk terus berwirid panjang dan membaca Surah Yasin tujuh kali hingga masuk ke waktu Isyak. Bila Datuk selesai sembahyang Isyak barulah dia menghadapi hidangan.
Datuk cuma makan tujuh jemput nasi dan minum separuh air sejuk. Tetapi, saya terus makan dengan semahu-mahunya. Datuk tidak menegur perbuatan saya itu. Kerana saya makan terlalu banyak, saya merasa agak sukar mahu bernafas dan bergerak. Saya tersandar di dinding dan perut kelihatan agak buncit, macam perut bantal. Datuk menghampiri saya.
"Makan terlalu berlebihan tidak elok. Makan cara itu berkawan dengan iblis kerana terlalu mengikut nafsu”, bisik Datuk ke telinga saya. Saya tidak dapat berkata apa-apa. Saya cuma tersenyum sinis.
"Cuba jangan malukan aku”, tambahnya.
Datuk terus menuju ke tempat Razman. Datuk duduk bersimpuh di hadapan Razman. Datuk serkup muka Razman dengan kain hitam. Dengan hati-hati Datuk menekan buku lali kaki Razman sebelah kiri. Badan Razman bergerak dan Datuk memanggil Mail supaya duduk dekatnya. Mail datang. Datuk mengeluarkan sebatang rotan seni dari bawah pahanya. Saya tidak tahu dari mana Datuk memperolehi rotan tersebut. Datuk urut batang rotan itu tujuh kali ke atas dan tujuh kali ke bawah. Razman secara mendadak bangun dan Datuk dengan cepatnya pula meletakkan hujung rotan itu ke atas kain hitam.
Saya lihat Razman tidak mampu bangun. Hujung rotan itu bagaikan ada batu besar yang tidak terdaya ditolak oleh Razman, sedangkan Datuk memegang pangkal rotan itu dengan dua jari saja. Dalam sekelip mata saja warna rotan bertukar menjadi hitam. Muka Datuk berpeluh. Datuk tarik rotan itu dan letakkan kembali d bawah pahanya.
"Anak kamu Mail sudah teruk benar. Susah nak menghilangkan ilmu yang sudah sebati satu badan"
"Saya minta tolong ikhtiarkan. Dialah satu-satunya anak jantan saya”
"Saya boleh cuba”
Muka Mail kelihatan tenang mendengar janji Datuk itu. Datuk meninggalkan Razman di tempatnya. Datuk ajak Mail pergi ke anjung rumah. Mereka duduk di situ. Saya malas mahu mengikut mereka. Saya rasa lebih selesa duduk bersandar di dinding. Saya terus terlelap dan terjaga bila terasa bahu sebelah kanan ditendang orang. Saya buka mata, saya lihat ada lelaki berbaju dan berseluar hitam berdiri di hujung kaki Razman. Dada saya berdebar, bila saya lihat Razman duduk bersila macam orang sihat dan lelaki yang berdiri itu terus sujud di kaki Razman.
"Sudah kau jalankan perintah aku?", saya terdengar suara Razman.
"Belum”, jawab lelaki itu tunduk.
"Kenapa kau tak ikut perintah aku?"
"Upahnya belum saya dapat”
"Kerana itu kau seksa aku begini?”
"Bila saya dapat minum darah perempuan beranak sulung malam Jumaat, semuanya akan selesai, saya tidak akan menghisap darah awak lagi”
"Aku dalam bahaya. Ada orang yang mahu memisahkan kau dengan aku. Tahu?"
"Darah dan roh awak sudah sebati dengan saya. Awak yang memuja saya, tidak ada orang yang boleh menewaskan saya. Saya dahaga saya mahu minum”
Sebaik saja lelaki itu berhenti bercakap, saya lihat dia memegang pergelangan kaki kanan Razman. Dia terus menggigit ibu jari kaki Razman. Suara Razman bergema menguasai ruang rumah sambil melompat. Datuk segera datang kepada Razman, batang tubuh lelaki itu hilang. Cuma yang kelihatan kepulan asap nipis masuk ke lubang hidung Razman bila dia menarik nafas. Semua yang saya lihat, saya ceritakan pada Datuk. Tanpa membuang masa lagi Datuk pun membuka bajunya lalu diserkupkan ke bahagian dada Razman. Muka Razman Datuk serkup dengan kain merah. Rotan seni Datuk letakkan melintang di atas dada Razman.
"Biarkan barang-barang itu di situ. Kau tunggu di sini, kalau ada apa-apa beritahu aku di anjung”, Datuk meninggalkan satu pesan yang amat berat buat saya.
Sebelum Datuk beredar dia menyuruh saya membaca Surah Al-Ikhlas seberapa banyak yang boleh hingga saya terlelap.
Mail masuk ke dalam bilik tidur. Selama berada di rumahnya saya cukup sukar mahu melihat wajah isterinya. Suara isterinya juga jarang kedengaran memarahi anak-anaknya yang nakal. Saya terlelap dan Datuk tidur di anjung rumah. Lebih kurang pukul tiga pagi, saya tersedar dari tidur. Saya lihat Datuk sedang melakukan sembahyang Tahajud. Kemudian dia melakukan pula sembahyang Istikharah. Datuk tidur kembali.
Saya merasa senang hati kerana tidak ada kejadian aneh yang berlaku di hadapan saya. Dengan dada yang lapang saya menyambung kembali tidur yang terputus. Setelah menunaikan sembahyang subuh bersama Datuk dan Mail, saya terus berubah tempat. Duduk di anjung rumah dekat kepala lutut Datuk yang sedang membaca Surah Yasin.
"Aku rasa dengan izin Allah aku dapat melawan perbuatan jahat itu. Aku mesti menjalankannya dengan sebaik-baiknya. Niat aku bukan apa-apa, aku mahu mengembalikan budak itu ke jalan benar”, demikian Datuk memberitahu saya. Datuk juga sudah menyiapkan beberapa rancangan yang akan dilakukannya selepas dia mandi embun.
Ketika matahari pagi berada di paras pucuk kelapa dara, Datuk sudah pun selesai mandi embun. Dia kembali menghadap Razman, semua perkakas yang di letakkan atas tubuh Razman diambilnya. Datuk meneliti rotan seni yang panjang dua kaki itu dengan rapi sekali. Tidak ada sebarang perubahan pada rotan tersebut. Datuk ambil air dari tempayan dapur lalu membasuh muka Razman.
"Razman bangun nak, bangun", suara Datuk tenang di hadapan saya dan Mail.
Rotan seni di tangan terus Datuk bengkokkan. Bila rotan itu diluruskan Razman pun bangun dan duduk, macam orang sihat dan terus minta makanan. Datuk berbisik dengan Mail. Dua tiga kali Mail anggukkan kepala, kemudian terus ke bahagian dapur. Mail datang kembali membawa secawan kopi dan dua ketul lepat pisang. Barang-barang itu Datuk ambil. Air kopi Datuk campurkan dengan air dari tempayan. Lepat pisang Datuk tikam dengan hujung rotan. Kemudian barang-barang itu Datuk serahkan pada Razman.
Bila Razman mahu menghirup air kopi, cawan yang dipegangnya pecah. Bila dia mahu makan lepat pisang, lepat pisang itu terbang macam ada orang yang menyentapnya. Datuk terus bertafakur. Tanpa saya duga secara mendadak Razman bangun dan menendang ke arah badan Datuk. Dua tiga kali dia menendang tetapi badan Datuk tidak bergerak. Datuk membengkokkan jari telunjuknya. Razman rebah. Datuk saya lihat mengisut ke depan lalu membaca Surah Yasin dengan nyaring. Bacaan itu diikuti oleh Razman, tetapi, bila sampai pada ayat-ayat terakhir suara Razman tidak kedengaran.
Razman terus rebah. Datuk bangun dan membiarkan Razman terkapar di situ. Datuk lalu minta Mail mengorek lubang separas dada dekat pokok asam kumbang. Permintaan itu dilaksanakan oleh Mail. Bila lubang itu sudah dikorek, Datuk terus masuk ke dalamnya. Dia minta Mail pulang ke rumah. Tinggallah saya dengan Datuk dan Datuk minta saya menimbus separuh badannya dengan tanah. Datuk minta saya mencarikan beberapa helai daun lalang kering. Daun lalang kering yang sudah saya peroleh itu, saya letakkan di hadapannya. Kerana pancaran matahari cukup terik membuat separuh badan Datuk yang tidak ditimbus oleh tanah berpeluh.
"Bakar lalang tu”, perintah Datuk.
Saya terus patuh. Bila api membakar lalang kering, saya terasa cukup panas. Angin yang bertiup membawa lalang yang terbakar ke arah Datuk. Dalam sekelip mata saja saya tidak dapat melihat separuh daripada badan Datuk, hilang dalam kemarakan api. Saya lihat rambut dan muka Datuk terbakar. Saya kira ini satu kerja gila. Kenapa Datuk mesti melakukan kerja yang tidak akan dilakukan oleh manusia yang berfikiran waras? Apakah Datuk juga mendampingi dirinya dengan syaitan? Ini kerja mengarut, fikir saya sambil menutup kedua belah mata dengan tapak tangan. Tidak sanggup saya melihat Datuk dalam keadaan demikian.
"Aku tidak berdampingan dengan syaitan Tamar, apa yang aku lakukan ini adalah sebahagian dari kerja aku yang aku warisi dari guruku yang tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Ini sebenarnya sebahagian dari ujian dan ketahanan diri, demi keyakinan aku yang bersandarkan pada kuasa Allah”, tiba-tiba saya mendengar suara Datuk.
Dia berdiri di kanan saya. Baju dan anggota badannya tidak pun rosak. Paling melucukan Datuk sendiri melihat tempat dia kena timbus tadi penuh dengan api. Datuk meminta saya menyimpan rahsia aneh itu dari pengetahuan Mail dan orang lain. Segala apa yang terjadi tadi adalah untuk diri saya dan dirinya saja.
Kami kembali ke rumah Mail. Datuk membuat beberapa persiapan terakhir. Dia mencari sendiri beberapa jenis akar kayu, daun dan beberapa ketul batu hitam yang diambil dari bekas lombong. Semua barang-barang itu Datuk kumpulkan dalam kain hitamnya. Dari waktu Zuhur membawa ke waktu Isyak Datuk terus membaca Al-Quran. Dia berhenti bila sampai waktu sembahyang. Walau macam mana susahnya, Datuk tetap meneruskan puasanya. Dia berbuka puasa dengan segelas air saja. Dan saya juga diperintahkan mengikut apa yang dilakukannya. Kerana saya suka dengan tugas Datuk yang mencabar itu, pahit maung dan susah saya harungi dengan harapan perkara-perkara aneh itu akan menjadi khazanah pengalaman yang berharga pada diri saya.
Lebih kurang pukul dua pagi, Datuk dan saya memikul batang tubuh Razman keluar dari rumah tanpa diketahui oleh keluarga Razman. Tempat yang kami tuju ialah ke perdu pokok asam kumbang. Datuk masukkan separuh badan Razman ke dalam lubang tempat Datuk membakar diri pada sebelah siang tadi. Badan Razman kami timbus dengan tanah. Datuk pun membakar semua barang-barang yang dibungkusnya dalam kain hitam. Api menyala dengan garangnya, memakan barang-barang itu. Api menjulang ke atas, macam disimbah dengan minyak petrol.
Razman menjerit dengan sekuat hati. Datuk memadamkan api itu dengan sekali hembus. Bila api padam, semua barang-barang dalam kain hitam tidak terjejas. Datuk mengambil seketul batu hitam lalu ditanamkan ke dalam tanah dengan ibu jari kakinya. Dalam masa itu juga bermacam binatang buas muncul di hadapan Datuk dan saya.
Ada harimau, ada ular dan macam-macam lagi. Semua binatang buas itu hilang bila Datuk menepuk tangannya.
Akhirnya, muncul seorang lelaki dari sebelah kiri Razman, bentuknya macam bayang-bayang lalu bersatu dengan diri Razman. Dengan menggunakan jari kaki juga, Datuk cungkil batu hitam yang tertanam. Batu itu Datuk ambil lalu digenggamnya erat-erat. Dari celah-celah lurah jarinya keluar asap. Datuk buka tangannya sebentar. Batu hitam sudah menjadi bara yang merah saga. Datuk genggam kembali. Datuk mencampakkan kain hitamnya pada saya.
"Bakar”, katanya.
Saya pun bakar kain hitam. Cahaya api dari kain hitam itu menerangi seluruh kawasan yang gelap. Sebenarnya kain hitam tidak terbakar, sekadar mengeluarkan cahaya seperti lilin yang terbakar. Saya lihat muka Datuk bersih benar malam itu. Dia duduk bersimpuh merenung muka Razman.
"Kau siapa?", tanya Datuk.
"Din Taiwan”
"Kenapa kau mengacau orang lain?”
"Dia memuja aku untuk tujuan tertentu”
"Sebab?"
"Dia suruh aku bawa gadis bernama Mariam padanya”
"Sudah kau buat?”
"Belum lagi”
"Sebab?"
"Dia belum beri aku darah perempuan beranak sulung”
Percakapan yang terjadi antara Datuk dengan Razman berhenti. Datuk lalu melontar dua urat akar kayu ke arah Razman. Razman menjerit dan meminta Datuk jangan mengulangi perbuatannya itu. Datuk setuju dengan syarat Razman harus bercerita asal-usulnya. Permintaan itu dipersetujui oleh Razman. Sebenarnya bukan Razman yang bercakap ketika itu, orang yang dilawan oleh Datuk bercakap itu ialah Din Taiwan.
-TAMAT-
104. NISAN BERGERAK
CERITA² MISTIK, MISTERI 📛 SERAM - #SEASON2
KOLEKSI CERITA SERAM MELAYU
HIMPUNAN CERITA SERAM
TAJUK CERITA : NISAN BERGERAK
CP BY ADMIN A.D
CGCZONE BRUNEI
theHORRORZONE BRUNEI
KODE : 300002750940104
http://thehorrorzon.blogspot.com/2020/04/cerita-mistik-seram.html
Dalam keadaan yang teragak-agak itu, mata saya terpaku ke arah benda bulat yang bergolek-golek ke arah saya. Sebelum benda itu terkena kepala lutut, segera saya tahan dengan telapak tangan. Benda itu tidak bergerak, sebaliknya tegak dengan sendiri sambil mengeluarkan cahaya yang putih. Pandangan saya jadi berpinar-pinar.
“Tamar, aku dah dapat lampu picit,” jerit Mat Prai lalu menyuluh ke arah saya. Cahaya dari lampu picit itu terkena pada benda bulat yang tegak di depan saya.
“Tamar batu nisan orang lelaki di depan kamu,” pekik Mat Prai.
Saya menarik nafas gementar kerana batu nisan yang bulat itu bergerak dan berpusing. Tanah di depannya kelihatan merkah. Batu nisan yang terpacak di depan saya terus hilang. Serentak dengan itu terdengar bunyi tapak kaki orang melangkah, datang dari sebelah kanan. Berpandukan pada cahaya lampu picit Mat Prai, saya terus menggolekkan badan ke arahnya, melanggar apa sahaja yang ada di tanah. Saya dapat menyatukan diri dengan Mat Prai.
“Kau tengok tu,” Mat Prai menghalakan muncung lampu picit ke kanan, saya terlihat kaki yang bahagian atasnya berbentuk macam kaki gajah. Penuh dengan bulu tebal, tumit kakinya berbentuk agak tajam seperti taji ayam jantan, jari kakinya berjumlah tiga.
Ibu jarinya bulat dan mempunyai lekuk macam lok keris, manakala dua lagi jarinya kelihatan seperti bercantum dan mengeluarkan cairan yang berwarna putih. Saya mula terhidu bau daun sirih yang baru dipatahkan dari dahannya.
Secara mendadak lampu picit Mat Prai tidak menyala. Kedua belah bahu saya dan Mat Prai seperti ditekan dengan sebatang kayu membuat kami tidak dapat bergerak. Kalau bergerak seluruh sendi terasa sakit. Kami tiada pilihan, selain dari mengarahkan biji mata kami ke arah kaki besar yang berbulu. Kaki itu bergerak ke arah longgokan durian di kaki tangga pondok. Puas saya mencari sebelah lagi kaki yang berbulu.
“Puas aku cari sebelah lagi kakinya. Agaknya, memang makhluk ni berkaki satu,” bisik Mat Prai.
“Agaknya,” saya segera anggukkan kepala.
“Makhluk apa ni?” rungut Mat Prai lagi, sebaik sahaja Mat Prai selesai merungut, seluruh kawasan sekitar kami terang macam keadaan terang bulan. Beberapa ekor kelawar berterbangan di atas kepala kami bersama dengan suara lolongan anjing dan jeritan burung hantu.
BULU
Kaki besar yang berbulu berhenti bergerak. Tempatnya digantikan oleh seekor tupai yang bulunya keperang-perangan.
Besarnya lebih kurang sama besar dengan kambing dara. Mata tupai aneh itu merenung ke arah kami dengan tajam. Giginya yang tajam dan putih itu dipamerkan ke arah kami, misainya bergerak-gerak. Ekornya digoyang-goyangkan ke kiri dan ke kanan.
“Triitttttt…,” suara dari tupai aneh itu memekakkan anak telinga kami. Dalam tempoh beberapa saat sahaja beratus-ratus ekor tupai berwarna hitam terjun dari ranting pokok sekitar kawasan pondok. Semuanya menuju ke arah longgokan durian.
Mulut saya dan Mat Prai ternganga. Memang tidak masuk akal dan sukar dipercayai malah akan jadi bahan ketawa kalau disampaikan kepada sesiapa sahaja yang berada di dunia. Mereka pasti tidak percaya bila diberitahu, ada tupai hitam menjelma waktu malam untuk makan durian yang dilonggokkan. Tupai-tupai itu hanya mengambil masa tidak sampai lima minit untuk melenyapkan jumlah durian lebih dari seratus biji. Semua yang saya lihat membuat badan saya berpeluh dalam lolongan anjing dan nyanyian burung hantu yang memanjang.
“Panggil datuk kamu, aku bimbang kalau tupai-tupai itu menyerang kita,” Mat Prai menyuarakan kebimbangannya.
“Nanti dulu,” kata saya.
Sebab utama saya tidak mahu memanggil datuk kerana saya tidak dapat bersuara dengan lantang. Tekak saya terasa sakit dan pedih. Selain dari itu, saya jadi terhibur melihat kumpulan tupai yang sudah kekenyangan itu membawa biji-biji durian ke tempat lapang. Biji durian itu dilonggokkan di situ. Bila kerja itu sudah selesai, kulit-kulit durian pula diusung lalu dilonggokkan dekat biji durian.
Tupai yang berbadan besar tetap melihat gerak-geri anak buahnya sambil berbunyi, seolah-olah mengeluarkan perintah.
Tupai besar itu berdiri dengan ekornya dicacakkan ke tanah. Sekali pandang tupai tersebut kelihatan seperti duduk mencangkung dengan kaki depannya memeluk tubuh. Anak buahnya meletakkan tujuh ulas isi durian yang cantik di depannya. Bila dia memakan durian tersebut, anak buahnya duduk kaku, seolah-olah memberikan penghormatan padanya.
Bila tupai besar itu selesai makan, biji durian yang diluahkannya segera diambil oleh anak buahnya dan terus ditanam. Kemudian salah seekor dari anak buahnya membawa beberapa helai daun sirih hutan yang sudah dicalitkan dengan kapur sirih. Tupai besar itu segera menjilat daun sirih hutan beberapa kali. Daun sirih yang sudah dijilatnya itu diletakkan di hujung kaki kanannya, sebaik sahaja hujung kaki kanan terkena daun sirih, semua anak buahnya bertempiaran lari lalu mencari dedahan berdekatan. Apa yang saya dengar ialah bunyi suara tupai.
Bila suara tupai tidak kedengaran lagi, saya dan Mat Prai terpandangkan kaki besar yang berbulu bergerak (dalam keadaan melompat-lompat) akhirnya terus hilang. Saya dan Mat Prai cuba bangun tetapi ternyata kami tidak terdaya bergerak.
Pangkal pinggang terasa sakit, sendi-sendi terasa bisa yang amat sangat. Saya dapati pelita yang padam dalam pondok menyala kembali. Kulit durian dan biji durian yang berlonggok terus hilang. Apa yang ada ialah beberapa helai daun sirih yang sudah dicalit dengan kapur berserakan di kawasan pondok.
Dengan sedaya upaya, saya cuba bangun. Usaha saya tidak berhasil. Bila saya berjaya berdiri tegak, tempurung lutut
saya terasa lembik dan urat-urat di kaki bagaikan terputus. Saya mengalami rasa sakit yang amat sangat. Saya terus jatuh menggelepar di sisi Mat Prai. Apa yang terdaya kami lakukan adalah meniarap di bumi sambil bergerak ke kiri dan ke kanan.
Gerakan tubuh kami tidak ubah macam gerakan ular di atas jalan raya, dengan lain perkataan kami seperti berenang atas daratan. Saya terus bertempik menyeru nama datuk dengan sekuat hati. Suara saya itu menenggelamkan suara cengkerik dan lolongan anjing. Selesai sahaja saya bersuara, badan saya terus lemah. Tidak bermaya untuk menegakkan kepala. Saya letakkan kepala atas tanah. Sayup-sayup saya terdengar bunyi telapak kaki orang berlari ke arah saya.
“Astaghafilrullah, apa dah jadi dengan kamu berdua ni,” saya membuka mata melihat datuk berdiri di hujung kepala saya. Mat Prai sudah tidak bergerak langsung.
“Kenapa tak panggil aku di telaga,” tambah datuk lagi sambil duduk mencangkung lalu memeriksa setiap urat nadi saya dan urat nadi Mat Prai.
“Aku tak nampak apa-apa yang datang, semuanya macam biasa. Pelik juga, kenapa aku tak dapat mengesan dengan apa yang terjadi di sini,” datuk merungut sendirian. Dia terus mengambil lampu suluh di tangan Mat Prai yang masih menyala.
BALDI
Tanpa membuang masa datuk terus menuju ke perigi kembali. Datang kepada kami semula dengan membawa satu baldi air.
Datuk letakkan baldi yang berisi air di tengah (di antara saya dengan Mat Prai) dia mengambil beberapa helai daun yang hijau. Dimasukkan ke perut baldi. Datuk mencari ranting kayu lalu air dalam baldi dikacau.
Datuk berhenti mengacau air dalam baldi. Dalam keadaan yang tidak bermaya itu, saya lihat kelopak bibir datuk bergerak, dia mula mengelilingi kami beberapa kali. Datuk duduk mencangkung menghadapi saya kembali.
“Tamar,” katanya.
Saya pun membesarkan kelopak mata dan cuba bersuara tetapi, suara saya tidak mahu keluar. Datuk tetap bersikap tenang.
“Buka mulut kamu Tamar.” Saya terus membuka mulut, dengan telapak tangan kiri datuk membawa air dari baldi ke mulut saya.
“Telan air ni senafas, Tamar.”
Saya buat apa yang datuk suruh. Rasa pedih dan perit di tekak segera hilang. Kedua belah kaki dan tangan saya dapat digerakkan semula. Tidak terasa sesuatu menekan di belakang. Saya segera menelentang dan melihat langit.
“Tamar,” seru datuk lemah. “Ada apa tuk.”
“Hulurkan tangan kamu,” saya pun menghulurkan tangan kanan kepadanya. Tanpa diduga datuk terus menyentap tangan dengan sekuat hati. Kemudian datuk melepaskan tangan saya dengan tiga kali urut dimulai dari pangkal ketiak membawa ke hujung jari.
“Kau duduk diam di sini,” datuk mengeluarkan perintah.
Saya akur dengan perintah itu. Datuk segera mendekati Mat Prai. Apa yang telah dilakukan pada saya, itu jugalah yang dilakukan oleh datuk pada Mat Prai. Usaha datuk berhasil, saya dan Mat Prai dapat duduk.
“Duduk diam-diam, jangan banyak bercakap,” suara datuk meninggi di tengah malam yang dingin. Lolongan anjing masih kedengaran tetapi, suara burung hantu mula berkurangan. Desiran angin malam tetap berlalu dengan lembutnya. Saya dan Mat Prai mengalami rasa kedinginan. Datuk segera menghidupkan api untuk membuat unggun.
Kulit durian yang kering dicampakkan ke dalam unggun api. Kata datuk, asap dari kulit durian yang kering dapat menghalau nyamuk.
Saya terdengar bunyi buah durian jatuh. Mat Prai berhasrat mahu mengutipnya tetapi, datuk tidak mengizinkan. Kata datuk biar hari sudah cerah baru buah-buah itu dikutip dan dikumpulkan.
“Kalau buah durian tu, memang hak kamu, takkan buah tu lari ke mana-mana,” demikian datuk memberikan alasan bila Mat Prai minta keizinan darinya.
“Ingat, sebagai manusia yang beragama Islam, jangan sekali-kali kita hilang pedoman kerana harta,” sambung datuk lagi. Dan Mat Prai terus mematikan hasrat untuk mengutip buah durian. Walaupun demikian, setiap kali dia terdengar bunyi buah durian gugur, Mat Prai tetap nampak resah dan gelisah.
“Sekarang apa yang dah jadi hingga menyebabkan kamu berdua berenang atas bumi,” datuk mengajukan pertanyaan. Biji matanya silih berganti menatap wajah saya dan Mat Prai. Saya tidak berani untuk mengingati peristiwa yang terjadi, saya membuat keputusan untuk menutup mulut.
“Cakap kenapa membisu?” sergah datuk sambil menjegilkan matanya ke arah saya. Cepat saya menundukkan kepala merenung bumi.
“Ceritakan pada aku Mat Prai,” datuk mendekatkan batang hidungnya dengan batang hidung Mat Prai. Kelihatan hidung mereka seperti berlaga dan mata datuk tetap merenung anak mata Mat Prai. Saya menarik nafas kelegaan kerana saya sudah arif dengan perangai datuk, bila dia berbuat demikian secara tidak langsung datuk cuba menguasai perasaan dan hati Mat Prai melalui pernafasan.
“Ceritakan pada Datuk Alang, Mat,” nada suara datuk cukup lembut, cuping telinga kanan Mat Prai dihembusnya. Saya lihat Mat Prai menganggukkan kepala dua tiga kali.
PETAH
Kemudian dengan petah Mat Prai mengungkapkan peristiwa yang terjadi pada datuk. Selesai sahaja Mat Prai bercerita, datuk segera membakar andang daun kelapa. Seluruh kawasan pondok disuluh dan diteliti. Datuk terus duduk di tangga pondok.
Baru dia sedar durian yang berlonggok sudah tiada. Dia melihat daun sirih hutan yang tercalit dengan kapur bertabur di mana-mana.
“Pelik, aku tak dengar apa yang terjadi, sedangkan jarak pondok dengan perigi tidaklah jauh sangat,” datuk mengedutkan dahi sambil melagakan gigi atas dengan gigi bawah beberapa kali.
“Bukankah masa aku mandi tadi, kamu datang bercakap dengan aku, Mat, kamu bercerita tentang masalah keluarga kamu pada aku,” datuk terus bangun.
“Masa Datuk Alang mandi, kami di sini, kami tengah berdepan dengan makhluk ganjil, Datuk Alang tanya si Tamar ni.”
“Ya tuk, kami berdua tak ke mana-mana.”
“Jadi syaitan mana yang menyerupai kamu tadi Mat Prai, aku sudah terpedaya,” datuk terus hentakkan kaki ke bumi.
Dengan andang daun kelapa di tangan datuk terus berlari ke perigi. Dinding perigi yang dibuat dari daun rumbia terus dibakar datuk. Api terus marak menerangi kawasan sekitar pondok durian. Asap berkepul menguasai ruang udara yang dibalut kedinginan malam. Badan datuk berpeluh kena bahang api.
GUGUR
Berpuluh-puluh ekor kelawar berterbangan di atas bumbung pondok. Angin yang bertiup menjatuhkan dedahan dan reranting kering ke bumi. Sesekali terdengar bunyi buah durian gugur.
“Banyaknya kelawar,” rungut saya perlahan.
“Biarkan, itu bukan urusan kita,” sahut Mat Prai.
Sesungguhnya, saya merasa pelik. Dari manakah kumpulan kelawar itu datang. Suara lolongan anjing kian gamat datang dari arah Pekan Kongsi. Rasa cemas dan takut masih belum reda dari perasaan saya.
“Tak apa, orang tua tu dah datang,” Mat Prai luruskan telunjuk menghala ke arah datuk yang datang ke arah kami kembali. Di tangannya, ada sepotong kayu yang masih berapi. Datuk renung ke arah kelawar yang berlegar-legar di bumbung pondok. Datuk balingkan kayu yang masih berapi itu ke arah kumpulan kelawar.
Aneh, kumpulan kelawar yang berlegar-legar atas bumbung segera berpecah dan terbang menuju ke arah kaki bukit yang berdekatan. Bukit yang terpegun kaku di malam yang dingin itu kelihatan amat menggerunkan. Sesekali seperti ada cahaya api di puncak bukit tersebut. Datuk segera mendekati kami.
“Kau orang dengar salakan anjing tu?” tanya datuk.
“Dengar,” Mat Prai dan saya menjawab serentak.
“Kamu tahu, anjing-anjing itu menyalak syaitan yang berkeliaran di udara.”
“Kenapa syaitan itu berkeliaran tuk?” saya menyoal.
“Nanti lain kali, aku cakapkan dengan kamu, Tamar.” “Hum…” saya merasa kecewa dengan kata-kata yang datuk luahkan itu.
Datuk pijak tangga pondok yang bulat. Dia terus duduk dekat Mat Prai.
“Macam mana Datuk Alang?”
“Apa yang macam mana tu, Mat?”
Datuk tatap biji mata Mat Prai yang terkebil-kebil. Dia tidak mahu untuk mengemukakan sebarang pertanyaan lagi. Memang dia tidak menduga datuk akan mengungkapkan kata-kata demikian.
“Aku tak mahu banyak soal, tak mahu banyak tanya, kita tidur sekarang,” suara datuk meninggi dan terus merebahkan badannya. Tidak sampai lima minit, datuk terus terlelap. Saya dan Mat Prai segera mengikuti jejak langkah datuk.
Antara terlelap dengan tidak, saya terdengar datuk batuk berkali-kali. Kemudian dia bangun. Buat beberapa minit saya berhasil mencelikkan mata.
“Kamu tidur, jangan banyak fikir, Tamar."
“Tuk nak ke mana?”
“Aku nak ke perigi.”
Datuk terus menuju ke perigi yang dindingnya sudah menjadi abu. Saya kira datuk mengambil air sembahyang. Ramalan saya memang tepat, sekembalinya datuk dari perigi dia terus membaca al-Quran.
KEJUT
Malam yang dingin, membuat tidur terasa enak. Saya terus membengkokkan badan. Rasa takut dan bimbang langsung tidak terbayang dalam kepala saya.
“Bangun dah subuh ni,” terasa badan saya digoyang berkali-kali, “Pergi ambil air sembahyang. Orang yang tak sembahyang Subuh, tidurnya diapit syaitan,” lanjut datuk lagi.
Saya tidak ada pilihan, sama ada mahu atau tidak, saya terpaksa bangun dan pergi ke perigi untuk mengambil wuduk. Mat Prai lebih dulu bersedia dari saya.
“Dah ambil wuduk?” tanya saya pada Mat Prai.
“Sudah, kau pergi cepat,” Mat Prai mendesak.
“Pergilah, tak ada apa yang nak ganggu kamu,” datuk terus renung wajah saya.
Dia bagaikan mengerti dengan apa yang ada dalam hati saya. Dalam keadaan takut campur berani, saya menuju ke perigi.
Saya tidak pasti apakah air sembahyang yang saya ambil itu mengikut peraturan atau sebaliknya. Saya berlari ke pondok kembali.
Dan Subuh itu, datuk mengimamkan sembahyang Subuh kami. Selesai berwirid dan membaca doa, datuk memberikan kuliah Subuh yang pendek tetapi amat mengesankan. Datuk memperkatakan tentang diri manusia yang binasa kerana terlalu cinta pada harta benda dan kekayaan hingga lupa pada tugas seorang hamba terhadap Allah yang mencipta mereka.
“Nampaknya usaha kita tak berjayalah, Datuk Alang?” Mat Prai mengajukan pertanyaan setelah datuk menamatkan kuliah Subuh di pondok durian. Datuk tersenyum sambil memandang keluar, melihat hari yang mula beransur cerah.
“Masih ada masa untuk berusaha,” jawab datuk.
“Hum…,” Mat Prai menarik nafas panjang. Ada rasa kecewa terpamer di wajahnya. Kicau burung menyambut kehadiran matahari pagi mula terdengar. Jalur sinar matahari mula jatuh pada dedaun yang masih ada kesan air embun.
“Aku nak berjalan di seluruh kawasan ni, aku nak mandi embun dan nak buat senaman. Kau ikut aku Tamar.”
“Saya macam mana Datuk Alang?” tanya Mat Prai.
“Kau pergi tengok buah durian yang jatuh,” datuk mengeluarkan arahan pada Mat Prai. Tanpa banyak soal jawab, Mat Prai mematuhi arahan itu.
TINGGI
Matahari kian meninggi, embun di hujung daun yang disentuh cahaya matahari nampak bersinar-sinar, bagaikan ketul berlian di tengah padang. Datuk terus mandi embun dan melakukan senaman yang gerak-gerinya memperlihatkan unsur silat ‘Burung Rajawali’ saya cuba mengikutinya. Bila pergerakan itu dilakukan dengan pantas oleh datuk, saya tidak dapat mengikutinya. Saya jadi penonton sahaja.
“Tamar,” jerit datuk.
Serentak dengan itu saya melihat seketul kayu yang panjangnya kira-kira dua kaki menuju ke arah saya.
“Tangkap atau elakkan,” terdengar lagi suara datuk.
“Oooppp,” saya melompat lalu menyambar kayu tersebut. Terasa badan saya seperti dibawa oleh kayu itu ke kiri, mendekati pokok langsat. Saya tercungap-cungap. Datuk segera mendekati saya sambil ketawa.
“Kamu masih ingat dengan gerak langkah yang aku ajar,” datuk terus menepuk bahu saya berkali-kali. Dengan wajah manis dia mengajak saya mengelilingi dusun durian milik Mat Prai. Terpesona saya melihat buah durian yang bergantungan lebat di dahan. Beberapa ekor tupai melompat dari ranting ke ranting dengan bebas. Matahari terus memancar.
“Sungai, jernih airnya,” jerit saya bila berdiri di tebing sebatang anak sungai. Anak-anak ikan berenang bebas di celah-celah batu di tengah sungai. Tanpa membuang masa saya menuruni tebing dan terus membasuh muka. Terasa sejuknya meresap ke tulang pipi.
“Sudahlah jangan lama-lama di situ, aku nak sampai cepat ke pondok,” tempik datuk dari atas tebing. Saya segera berlari ke arahnya. Kami meneruskan perjalanan dan terpaksa melintasi kaki bukit yang ditujui oleh kumpulan kelawar malam tadi.
Memang terdapat hutan tebal di situ dengan pokok-pokok besar yang digayuti oleh akar-akar hutan sebesar lengan kanak-kanak yang berusia tujuh hingga sepuluh tahun. Monyet-monyet liar bergayutan di situ.
“Hati-hati Tamar,” datuk mengingatkan. Saya segera anggukkan kepala.
“Hutan macam ni, jadi sarang binatang buas,” lanjut datuk lagi. Saya anggukkan kepala lagi. Matahari yang memancar agak terik membuat badan saya berpeluh.
TANGAN
Secara mengejut datuk menarik tangan kanan saya ke perdu buluh hutan. Saya jadi cemas dan takut.
“Kenapa tuk?”
“Dalam rimbunan pokok kecil tu, aku macam ternampak pintu gua. Cuba kau pastikan,” kata datuk sambil jari telunjuknya mengarah kepada pokok-pokok kecil yang merimbun dan tingginya lebih dari tujuh kaki.
Memang sukar untuk memastikannya. Tetapi, tiupan angin yang menggerakkan reranting dan dedaun lebat itu memberi peluang pada saya untuk merenungnya dengan teliti.
“Apa yang kau nampak, Tamar?”
“Saya nampak macam pintu gua tua.”
“Pelik juga ya, selalunya gua pada gunung, bukit yang aku tahu tak ada gua. Tanah bukit tu ditebuk.”
“Agaknya, terowong tinggal tuk,” kata saya tenang, tanpa merasa sebarang kecurigaan. Datuk menggigit bibir sambil menelan air liur. Dia sedang memikirkan sesuatu.
“Boleh jadi juga terowong. Mungkin terowong tu ditebuk oleh askar Jepun masa perang dulu atau ditebuk oleh orang-orang komunis untuk tempat mereka berlindung,” itu pendapat datuk.
“Mari kita periksa tuk.”
“Jangan terburu-buru,” nada suara datuk meninggi. Dia renung kiri dan kanan. Kemudian dia mengesat peluh di dahi dengan belakang tangannya.
“Lain kali saja kita tengok, Tamar,” satu keputusan yang amat mengejutkan dari datuk, “Mari kita ke pondok Mat Prai,” sambungnya lalu menarik tangan saya. Macam selalu saya tidak akan membantah dengan apa yang datuk katakan.
Kami segera bergerak arah ke utara, menjauhkan diri dari kawasan kaki bukit. Datuk tidak menyatakan apa-apa kepada saya kenapa dia berbuat demikian. Berjalan dalam kebun durian yang tidak begitu bersih keadaannya memang menyulitkan. Saya sering terlanggar tunggul dan akar.
“Ikut sana senang tuk.”
Datuk berhenti melangkah. Dia dongakkan muka ke langit melihat awan yang bersih. Kesempatan itu saya gunakan untuk duduk di atas tunggul buruk bagi menghilangkan penat.
“Maksud kamu, kita berjalan dalam kebun getah?” soal datuk.
“Ya, tuk.”
“Kalau begitu marilah.”
-TAMAT-
105. MAKHLUK ANEH DI DUSUN DURIAN
CERITA² MISTIK, MISTERI 📛 SERAM - #SEASON2
KOLEKSI CERITA SERAM MELAYU
HIMPUNAN CERITA SERAM
TAJUK CERITA : MAKHLUK ANEH DI DUSUN DURIAN
CP BY ADMIN A.D
CGCZONE BRUNEI
theHORRORZONE BRUNEI
KODE : 300002750940105
http://thehorrorzon.blogspot.com/2020/04/cerita-mistik-seram.html
Waktu saya dan Datuk berangkat ke Prai, nenek menghantar kami ke perhentian bas di pekan kecil. Nenek membekalkan buah tangan untuk keluarga Mat Prai, dua biji buah air serta beberapa bungkus tapai pulut. Buat saya dan Datuk nenek bekalkan nasi lemak. Nenek tak suka kami makan di kedai yang belum pasti kebersihannya.
“Kami naik bas dari sini sampai Taiping saja,” beritahu Datuk kepada nenek.
“Dari Taiping ke Prai nak naik apa? Naik kereta api, bas atau teksi?” Nenek terus mendesak. Datuk kedutkan kening dan dahi.
“Kami nak naik teksi, biar cepat sampai ke Prai.”
“Fasal berjalan, bukan main banyak duit awak,” sindir nenek lalu disambut dengan ketawa oleh Datuk. Saya Cuma tumpang senyum sahaja. Alangkah bahagianya pasangan nenek dan Datuk. Walaupun sudah tua, kemesraan dan kasih sayang mereka tetap segar.
TINGGAL
Pekan kecil kami tinggalkan bersama doa restu daripada nenek. Tiga jam kemudian kami pun sampai di Prai, dari situ terus menuju ke rumah Mat Prai. Kami disambut dengan penuh mesra dan secara kebetulan pula, pada hari kami tiba itu Mat Prai mula mengambil cuti tahunannya selama seminggu.
“Memang tepat masanya. kami nak balik ke kampung di Balik Pulau. Sekarang musim durian. Ayah Alang boleh ikut kami. Lagipun Ayah Alang dah lama tak tengok keluarga di sini,” Mat Prai yang berkulit hitam, anak jati Balik Pulau yang tinggal di Kampung Kongsi mengemukakan cadangan.
“Itu susah sikit Mat”.
“Apa susahnya, semua tambang dan makan saya tanggung.”
“Bukan fasal tu.”
“Habis fasal apa?”
“Aku janji dengan Mak Alang kamu nak balik cepat,” Datuk berdalih. Saya agak kecewa dengan sikap yang ditunjukkan oleh Datuk itu. Kalau boleh saya mahu Datuk menurut kata Mat Prai. Saya cukup berminat untuk pergi ke Balik Pulau. Sebuah daerah asing yang belum pernah saya jenguk.
“Tak mengapa, dia tahu kalau sudah pergi ke rumah saudara mara tentu makan masa lama. Lagipun di sana ada cerita baru,” Mat Prai mula memujuk.
“Cerita apa Mat?”
“Saya dapat tahu ada cerita pelik di musim durian ni. Buah durian yang luruh malam hilang.”
“Pelik apa, itu tandanya durian yang luruh dicuri orang,” tingkah Datuk lalu dia ketawa berdekah-dekah.
Dari gerak geri dan air muka Mat Prai, ternyata dia kurang senang dengan ketawa Datuk luahkan.
Perlahan-lahan dia sandarkan tubuhnya ke dinding. Isterinya datang mengambil pinggan dan piring yang kosong. Sebenarnya, kami baru sahaja selesai makan tengah hari. Masakan yang disediakan oleh isteri Mat Prai memang menyelerakan. Tapi Datuk makan sekadar untuk kenyang. Cuma saya sahaja yang bertambah.
“Begitulah, bila saya ceritakan semua orang ketawa, bila datang tengok dengan mata kepala sendiri, semuanya ternganga dan takut,” ujar Mat Prai termengah-mengah, usia baru masuk empat puluh tahun. Ada tiga anak yang masih kecil. Nampaknya, Mat Prai berusaha dengan sedaya upaya untuk memberikan keyakinan kepada diri Datuk.
“Saya hampa juga bila Ayah Alang tak percaya,” begitu hampa nada suara Mat Prai. Rasa kecewa terpamer di wajahnya. Sikapnya yang ditunjukkan itu menimbulkan rasa simpati pada diri Datuk.
“Kalau bukan dicuri orang, boleh jadi buah durian tu dimakan oleh harimau,” kata Datuk sambil renung muka Mat Prai. Cepat-cepat Mat Prai gelengkan kepala.
“Pelik juga, kalau tak dicuri, tak dimakan harimau, makhluk apa yang membahamnya?” Datuk kerutkan kening.
“Inilah yang menjadi masalahnya, Ayah Alang.”
“Banyak kebun durian orang lain yang jadi macam tu?” soal Datuk lagi. Saya kira Datuk mula minat dengan persoalan yang disampaikan oleh Mat Prai padanya.
“Setidak-tidaknya tiga tuan punya kebun durian mengalaminya. Mereka berjaga malam. Bila terdengar bunyi durian jatuh mereka berkejar ke perdu durian. Bila sampai cuma bekas sahaja yang ada. Di tempat durian jatuh, mesti terjumpa sehelai daun sirih hutan yang tercalit kapur,” Mat Prai mula membuka kisah.
“Perkara ini kau dengar cerita dari orang atau kau tengok sendiri?” Datuk mula mencungkil rahsia. Mat Prai tersenyum.
“Saya sendiri alami perkara tu, Ayah Alang!”
“Hah, kau mengalaminya sendiri?” Datuk jegilkan biji mata sambil menegakkan badannya. Tanpa ragu dan penuh keyakinan, Mat Prai anggukkan kepala. Silanya terus diperkemaskan.
“Cuba ceritakan pengalaman kamu pada aku.”
“Bila sudah terlihat daun sirih dan kapur tu, saya tercium bau kapur barus yang selalu digunakan untuk memandikan mayat. Saya juga tercium bau telur tembelang,” tiba-tiba saya terasa seram dan bulu tengkuk saya terus berdiri. Datuk menggigit bibir. Wajahnya Nampak tenang sekali.
“Kerana itulah kamu panggil aku ke mari,” Datuk membuat tuduhan melulu kepada Mat Prai. Sudah tentu Mat Prai tidak dapat menerima tuduhan itu. Secara terang-terangan dia menafikannya.
“Saya panggil bukan kerana itu, ada perkara lain yang lebih besar daripada itu. Saya kira hanya Ayah Alang sahaja yang boleh menyelesaikannya,” wajah Mat Prai cukup serius.
“Apa masalahnya Mat?”
“Hubungan saya dengan adik saya bertambah jauh. Saya mahu Ayah Alang jadi orang tengah untuk mendamaikannya.”
“Itu senang, kau mesti mengalah dan bertolak ansur dengannya. Walau apa pun, kau sabarlah dulu. Aku lebih berminat dengan cerita durian di Balik Pulau yang jatuh terus hilang,” hati saya cukup gembira bila Datuk sudah menyatakan hasratnya secara terang-terangan kepada Mat Prai. Saya berdoa dalam hati supaya keluarga Mat Prai berangkat segera ke Balik Pulau.
“Bila agaknya kita nak pergi?” Mat Prai pula mengajukan pertanyaan kepada Datuk. Datuk resah. Tindakan Mat Prai membuat diri Datuk berada dalam keadaan serba salah.
“Aku ikut kamu, cepat kata kamu, cepatlah kata aku,” balas Datuk.
“Apa kata selepas sembahyang Asar kita pergi.”
“Boleh juga, asalkan sampai siang ke rempat tersebut. Aku nak tinjau kawasan itu. Manalah tahu boleh jadi semua itu dilakukan oleh manusia, bukan makhluk ganjil. Datuk terus bangun. Berdiri di tepi tingkap merenung ke arah rumah para pekerja kereta api yang lain.
“Saya tak fikirkan perkara itu dilakukan oleh manusia. Ini semua kerja makhluk halus,” Mat Prai bangun lalu mendekati Datuk. Dengan tenang Datuk menggeleng kepala. Mat Prai jadi resah.
“Mesti perbuatan makhluk halus,” tekan Mat Prai lagi. Datuk segera memandang ke mukanya.
“Tak boleh cakap macam tu, kita periksa dulu dan cari bukti. Manusia ni apa kurangnya dengan tipu helah,” balas Datuk. Mat Prai terdiam dan terus duduk kembali.
FERI
Petang itu, setelah menunaikan sembahyang Asar, kami segera berangkat ke jeti (sekarang Pengkalan Sultan Abdul Halim) dan dari situ menyeberangi selat kecil (saya menyebutnya sebagai Selat Pulau Pinang) dengan feri menuju ke Bandar Tanjung, (George Town – Pulau Pinang) kerana sudah beberapa kali datang ke bandar tersebut, tidak ada sesuatu yang menarik bagi saya.
“Kami segera menuju ke perhentian bas di Pengkalan Weld untuk menanti bas ke Balik Pulau. Mat Prai sudah memberitahu saya jalan ke sana agak bengkang-bengkok. Kalau tidak tahan boleh muntah dibuatnya.
Sebagai usaha agar saya tidak muntah dalam perjalanan, Datuk segera hulurkan secarik kertas yang disambarnya ketika kertas itu diterbangkan oleh angin di depannya.
“Buat apa tu?” Tanya Mat Prai.
“Petua orang tua-tua, bila kita nak berjalan, tiba-tiba terserempak dengan daun atau kertas yang diterbangkan angin, cepat-cepat kita sambar dengan senafas. Khasiatnya boleh dijadikan tangkal penahan muntah.
“Selain dari daun dan kertas, ranting kayu boleh tak digunakan?” Soal Mat Prai lagi.
“Boleh, asalkan benda-benda tu tidak terkena tanah dan datangnya dari arah matahari terbit menuju ke arah matahari jatuh,” Datuk memberi penjelasan.
“Benda tu dibuat macam mana? Ditelan?” Datuk tersenyum, pertanyaan dari isteri Mat Prai memang melucukan.
“Tak payah ditelan, cukup sekadar diletakkan di bahagian depan perut. Diselitkan pada celah seluar, kain atau tali pinggang. Jangan diubah-ubah atau dibuang, kecuali sampai ke tempat yang dituju. Kalau dibuang semasa dalam perjalanan, kita akan muntah dengan serta merta,” dengan tenang Datuk memberikan penerangan.
“Tapi, anak saya tak muntah apabila naik bas atau kereta api,:” Mat Prai memberitahu Datuk tentang anak-anaknya.
“Boleh jadi kedua anak kamu tu, sudah biasa dengan jalan yang bengkang-bengkok. Cucu aku ni tak berapa biasa, jadi aku buat persediaan.”
“Ya, sediakan payung sebelum hujan, tingkah isteri Mat Prai. Datuk tersenyum dan Mat Prai terus ketawa. Bila ketawa Mat Prai berakhir dan senyum Datuk berhenti, bas ke Balik Pulau pun sampai. Tanpa membuang masa kami terus naik bas.
KONGSI
Ketika sampai di perhentian bas di pekan Kongsi yang letaknya berdepan dengan Balai Polis Balik Pulau, hari masih cerah lagi. Kami terpaksa berjalan kaki menuju rumah arwah orang tua Mat Prai yang terletak berdekatan dengan masjid Balik Pulau.
Setelah berada lebih kurang dua jam di rumah orang tua Mat Prai, kami segera berangkat ke rumah yang didirikan oleh Mat Prai di Kampung Pondok Upih.
“Bila saya berhenti kerja, saya nak duduk di sini. Fasal itulah saya buat rumah cepat,” Mat Prai beritahu Datuk.
“Bagus, tanah ni kau beli?” Soal Datuk sambil merenung kawasan rumah papan yang berbumbung lima.
“Tanah pusaka. Ini bahagian saya,” jawab Mat Prai.
“Oh,” Datuk anggukkan kepala, “besar rumah kamu,” sambung Datuk. Mat Prai terus tersengih.
“Naiklah, buat apa tercegat kat situ,” suara isteri Mat Prai meninggi dari tingkap dapur. Cukup pantas dia naik ke rumah lalu membuka pintu tingkap.
“Mari kita naik,” susul Mat Prai. Cakapnya itu segera kami patuhi.
Apa yang menarik perhatian saya ialah tentang karenah anak Mat Prai. Mereka cukup lincah dan riang. Berlari ke sana ke mari di halaman rumah. Ada kalanya memanjat pepohon sekitar rumah dan membaling beburung yang terbang rendah.
Bagaikan mahu pecah anak tekak isteri Mat Prai mengingatkan mereka supaya berhati-hati bila berlari. Jangan sampai tersepak tunggul, jangan sampai jatuh dalam longkang atau terjatuh ke dalam perigi buta. Ingatan itu bagaikan tidak berkesan sama sekali terhadap kedua anak Mat Prai. Mereka terus berlari ke mana sahaja ikut kemahuan sendiri.
Telatah kedua orang anak Mat Prai memang membosankan. Tetapi, ada kalanya telatah mereka melucukan sehingga satu tersenyum panjang. Selepas puas berlembut, akhirnya isteri Mat Prai hilang sabar apabila dia melihat anak sulungnya menebang pokok langsat. Tanpa sebarang amaran dia terus memukul anaknya itu dengan pelepah kelapa. Datuk terpaksa campur tangan untuk meleraikannya.
“Dia, kalau dah marah memang tak sedarkan diri,” bisik Mat Prai ke telinga Datuk. Nampaknya Datuk tidak dapat menerima alasan itu.
“Kamu sebagai suami harus menahannya. Kalau kau biarkan dia ikut perasaan, nanti budak yang rosak. Kamu sendiri tahu, marah tu permainan syaitan. Aku memang tak suka orang memukul anak teruk-teruk.
PERGI
Memang sudah direncanakan, selepas sembahyang Isyak dan makan malam, kami bertiga iaitu Datuk, saya dan Mat Prai akan berangkat ke tempat yang dijanjikan. Tetapi, anehnya Datuk seperti sengaja mahu melambat-lambatkan untuk pergi ke tempat tersebut.
“Bila kita nak pergi, Ayah Alang? Kalau lambat nanti mengantuk,” Mat Prai mengajukan pertanyaan. Datuk yang tersandar di dinding segera menegakkan tubuhnya. Saya lihat kedua belah bibirnya bergerak. Dalam keadaan begini pun Datuk masih berzikir, rungut saya dalam hati.
“Tunggu sekejap,” Datuk segera bangun. Dia pergi ke telaga mengambil air sembahyang. Kembali semula ke rumah dengan wajah yang tenang. Sambil berdiri Datuk menatap wajah saya dan Mat Prai.
“Kalau boleh, biarlah muka kita sentiasa dibasahi dengan air sembahyang,” secara tidak langsung Datuk mengajar saya dan Mat Prai untuk melakukan sesuatu yang baik. Buat beberapa saat, suasana di ruang rumah terasa sepi. Saya atau Mat Prai tidak berhasrat mengajukan sebarang pertanyaan pada Datuk.
“Semua sudah siap?” Satu pertanyaan yang mengejutkan dari Datuk. Saya dan Mat Prai berpandangan. Sukar untuk saya menangkap maksud sebenar dari kata-kata Datuk itu.
“Memang dah siap nak pergi Ayah Alang.”
“Kalau dah siap, mana lampu picitnya, mana penyuluhnya, mana parang panjang dan goloknya,” soal Datuk dengan wajah yang serius. Saya mula memahami maksud Datuk.
“Semua sudah ada, Ayah Alang.”
“Kalau sudah ada, letakkan barang-barang tu di sini, aku nak tengok.”
“Tunggu, saya ambil,” Mat Prai terus bangun dan keluar dari rumah menuju ke tanah.
Beberapa minit kemudian, Mat Prai datang. Semua barang yang dikehendaki oleh Datuk diletakkan di tengah ruang rumah. Datuk menatapnya dengan senyum. Saya melihat dia melangkah ke depan dengan merendahkan badan sambil membengkokkan lutut kirinya. Saya mula faham, langkah itu langkah berisi, ada maksud dan tujuan tertentu. Bukan langkah kosong.
“Daun kelapa untuk suluh memang banyak saya simpan,” Mat Prai memberi penjelasan. Datuk menganggukkan kepala lalu duduk mencangkung di depan barang-barang yang disediakan oleh Mat Prai. Saya kira lebih dari sepuluh detik Datuk berkeadaan demikian.
“Bukan apa-apa,” Datuk melirik ke arah Mat Prai. “Kita ni orang Melayu. Sejak zaman-berzaman menggunakan sulih atau andang bila berjalan malam. Tetapi, sekarang andang tak diperlukan. Kita sudah maju. Sudah ada lampu picit, tetapi..,” Datuk tidak meneruskan kata-katanya. Dia menarik nafas panjang sambil mengedutkan dahi. “kerana di kebun durian ada perkara aneh terjadi, kerana itulah aku mahu menyediakan semuanya ini,” Datuk meneruskan kara-kata yang terhenti. Rasa lega bertandang dalam hati saya.
“Sekarang kita pergi,” itu arahan daripada Datuk. Serentak dengan itu Datuk terus berdiri. Saya dan Mat Prai segera mengambil barang-barang di tengah ruang dan melangkah ke pintu.
“Beri aku kepala jalan. Kau Cuma beritahu nak belok ke kiri atau ke kanan,” Datuk menghalang langkah Mat Prai. Langkah saya jadi terhenti. Kesempatan itu saya gunakan untuk melihat ham dinding rumah Mat Prai.
“Dah dekat pukul sepuluh setengah.”
Keluh saya dalam hati sambil melangkah dan memijak anak tangga. Mat Prai yang mengekor di belakang tidak bersuara langsung. Bila dia sampai di halaman rumah, Datuk terus menepuk bumi dengan telapak tangannya tiga kali berturut-turut.
“Kita melangkah sekarang, tak payah pakai andang daun kelapa, memadai dengan lampu picit saja,” Datuk terus berdiri di depan saya. Baru tiga kali melangkah, Datuk terus berhenti.
“Kamu di belakang aku, Si Tamar yang akhir,” arahan yang tidak menggembirakan dari Datuk untuk saya. Mat Prai segera mengambil tempatnya. Secara mendadak sahaja saya menjadi cemas dan takut. Saya toleh ke kanan dan toleh ke kiri. Apa yang saya lihat ialah pepohon yang kaku dalam kegelapan malam. Suara cengkerik memekakkan anak telinga.
“Ayuh jalan, kau jadi tukang suluh jalan,” Datuk mengingatkan Mat Prai tentang tugas yang mesti dilakukannya. Perjalanan yang terhenti disambung kembali.
BULU
Setiap kali melangkah, saya terasa seperti ada sesuatu yang mengikuti saya. Bulu tengkuk saya meremang secara tiba-tiba. Suara cengkerik yang tidak putus-putus itu, saya rasakan seperti tangisan bayi yang kelaparan susu.
Dalam gelap itu, saya terpandang benda putih yang bentuknya seperti batang pisang berada di awang-awangan dan sering mendekati saya. Anehnya, bila saya jegilkan biji mata dan tumpukan perhatian ke arahnya, benda itu hilang dan apa yang saya lihat ialah dedaun dari pokok-pokok renek yang bergerak-gerak ditolak angin malam.
“Jauhkah lagi?” Tanpa sabar saya mengajukan pertanyaan kepada Mat Prai.
“Dari sini kira-kira enam rantai lagi,” jawab Mat Prai sambil melihat ke arah cahaya api pelita dari pondok durian milik orang setempat. Bila dapat bercakap sambil berjalan, rasa takut dan cemas yang menguasai hati terus hilang.
Perjalanan malam yang mendebarkan itu pun berakhir. Kami sampai di pondok durian. Mat Prai segera memperkenalkan dua budak lelaki yang berbadan tegap, berusia lingkungan 25 – 26 tahun, berkulit cerah kepada saya dan Datuk. Kata Mat Prai, kedua-dua budak tersebut berasal dari Pulau Betung yang sengaja diupah oleh Mat Prai untuk menunggu dusun durian.
“Mereka ni memang berani, ada sedikit-sedikit ilmu dunia. Fasal itu saya panggil mereka,” bisik Mat Prai pada Datuk.
“Macam mana kau upah dia orang?” Soal Datuk dengan nada suara yang perlahan. Pada hemat Datuk, kurang manis kalau persoalkan semacam itu sampai pengetahuan mereka.
Mat Prai segera menjelaskan cara upah yang dilakukan. Mereka akan mengira secara rambang jumlah buah durian yang ada. Kemudian buah itu dibahagi dua tetapi, orang yang diupah itu dimestikan menjaga dan membersihkan dusun durian mengikut musim perjanjian.
“Satu kerjasama yang baik, berasaskan pada kejujuran dan keikhlasan,” puji Datuk lalu duduk di bendul pondok. Pemuda dari Pulau Bentung berdiri di sudut pondok.
“Tak apalah abang Mat Prai, kerana abang dah ada, biarlah kami balik,” kata pemuda yang bermata besar.
“Kenapa begitu? Marilah kita tunggu bersama”’ saya cuba menahan.
“Memang sudah begitu janji yang dibuat. Kalau abang Mat Prai ada, kami mesti balik. Kalau dia tak ada kami ambil alih tempatnya,” tingkah pemuda yang seorang lagi. Bulu matanya cukup tebal. Apabila kedua pemuda itu mahu meninggalkan pondok durian, Mat Prai segera bertanya.
“Ada benda-benda pelik?”
“Abang tengok sendirilah,” jawab mereka serentak kalu beredar meninggalkan kami.
Angin malam yang bertiup tenang membuat saya cepat mengantuk. Tanpa membuang masa saya terus merebahkan badan di lantai pondok. Mat Prai terus menghitung buah durian di kaki tangga yang dikumpulkan oleh kedua pemuda tadi.
Datuk pula memeriksa kawasan sekitar pondok dan akhirnya berlabuh di perigi. Saya terkejut bila Datuk mandi malam kerana perbuatan mandi malam memang jarang dilakukannya. Mungkin Datuk mempunyai maksud dan tujuan tertentu. Fikir saya sambil menggolekkan tubuh ke kiri dan ke kanan lantai pondok yang dibuat daripada bulu.
“Tolong saya, Ayah Alang. Tolongggg…”
Saya terkejut dan segera bangun bila mendengar jeritan Mat Prai. Serentak dengan itu secara tiba-tiba lampu minyak tanah yang tersangkut pada tiang pokok terus padam. Kulit durian berterbangan ke arah saya. Badan saya terasa pedih dan luka. Saya terpaksa merangkak dalam gelap. Jeritan Mat Prai tidak kedengaran lagi. Dia mengerang macam orang menahan sakit yang amat sangat.
Saya terus memanggil nama Datuk beberapa kali. Malangnya, laungan itu dihalang oleh bunyi air yang jatuh ke tubuh Datuk. Dalam keadaan yang tidak menentu itu, terdengar bunyi paluan kompang yang disertai dengan sorak-sorai yang meninggi. Saya terus merangkak dan meraba dalam gelap. Entah macam mana saya terlanggar dinding pondok yang dibuat dari tepas. Dinding itu terkopak dan saya terdorong ke depan lalu jatuh ke tanah macam nangka masak yang lekang daripada tangkainya. Sakitnya bukan kepalang.
Walaupun sakit, saya cuba bangun dengan berpaut pada tiang pondok. Usaha itu tidak berhasil. Saya tidak dapat bergerak ke mana-mana kerana gelap. Saya terus memeluk tiang pondok. Entah macam mana saya terasa seperti ada makhluk ganjil yang muncul di sisi saya. Dalam keadaan yang cemas itu, leher saya diraba oleh sepasang tangan yang berbulu tebal dan panjang. Tangan berbulu itu bergerak dari batang leher ke muka lalu menyentuh pipi, hidung dan mata.
Bila telapak tangan berbulu berada di atas lubang hidung membuat saya sukar bernafas. Tanpa diduga tubuh saya dipeluk dengan eratnya. Dengan sedaya upaya saya cuba meronta, entah macam mana kaki saya tersepakkan sebatang kayu.
RENDAH
Saya pun merendahkan badan lalu mengambil kayu tersebut. Dengan sepenuh tenaga, hujung kayu itu saya hentakkan ke tubuh berbulu. Dalam gelap itu saya terdengar suara orang mengeluh menahan kesakitan yang amat sangat. Serentak dengan itu, sepasang tangan yang berbulu yang memeluk tubuh saya beransur lemah dan akhirnya saya bebas dari pelukan yang membuatkan saya sukar bernafas.
Saya terus merangkak dalam gelap tanpa matlamat yang tertentu. Kepala lutut saya terasa pedih bila terlanggar kulit durian. Entah macam mana saya terpeluk tubuh Mat Prai.
“Siapa?” Tanya Mat Prai.
“Saya, lampu picit di mana?” Soal saya sambil duduk dalam gelap. Mat Prai bercakap sendiri menyalahkan dirinya kerana meletakkan lampu picit merata-rata.
“Aku ingat, aku letakkan dekat tunggul merbau di sebelah kanan pondok. Apa yang mesti kita buat, Tamar?”
“Kita terpaksa cari.”
“Terpaksa merangkak dalam gelap? Ini kerja susah,” Mat Prai seperti berputus asa.
“Kita tak ada jalan lain, kita mesti cari lampu picit,” kata saya dan terus merangkak.
Angin malam yang bertiup membuat dedaun bergeselan sesama sendiri. Bunyinya tidak menentu, ada ketikanya seperti daun kereta api dan di masa yang lain pula bunyinya macam bunyi ombak laut. Serentak dengan itu saya terdengar bunyi burung jampuk. Awan di langit kelihatan hitam pekat.
Nyanyian cengkerik bertingkah dengan suara katak. Lolongan anjing liar di pinggir pekan Kongsi jelas kedengaran. Bulu roma saya terus berdiri. Tidak terdaya rasanya mahu merangkak. Dari setiap sudut saya terdengar suara orang ketawa dan menangis.
-TAMAT-
106. DI KUNJUNGI GADIS WAKTU MALAM
CERITA² MISTIK, MISTERI 📛 SERAM - #SEASON2
KOLEKSI CERITA SERAM MELAYU
HIMPUNAN CERITA SERAM
TAJUK CERITA : DI KUNJUNGI GADIS WAKTU MALAM
CP BY ADMIN A.D
CGCZONE BRUNEI
theHORRORZONE BRUNEI
KODE : 300002750940106
http://thehorrorzon.blogspot.com/2020/04/cerita-mistik-seram.html
Macam dikejutkan sesuatu, saya terus terjaga. Saya lihat jam tua di tangan. Sudah pukul dua pagi. Badan terasa dingin. Saya segera beredar ke katil. Sebaik sahaja saya rebahkan badan di katil, perempuan yang saya temui di kaki bukit berdiri di hujung katil. Pamerkan senyum seiring dengan renungan dari sepasang mata yang tajam. Saya tergamam, tidak tahu apa yang harus saya lakukan.
"Ubah tempat tidur?"
Saya terus membisu.
"Udah kamu tanya pada orang-orang di sini tentang diri aku?"
Saya gelengkan kepala.
"Cuba tanya nenek kamu, tentang anak Haji Rashid yang bernama Siha. Dia tentu dapat memberikan jawapan yang tepat."
Saya kerutkan dahi, masih belum dapat mengucapkan sesuatu. Dada saya cemas dan sekujur tubuh berpeluh di malam yang begitu dingin. Saya renung kiri kanan, atas dan bawah. Suara Datuk dan guru agama masih kedengaran. Mereka tidak lagi berbincang masalah agama, tetapi mereka membaca Quran. Saya cuba menyebut nama Datuk, malangnya suara saya bagaikan tersekat di kerongkong.
"Kamu takut dengan aku? Kamu nak panggil Datuk kamu?"
Saya anggukkan kepala.
"Datuk kami juga kenalkan aku, sampaikan salam aku padanya."
"Eh, kenapa kau tak jumpa dengannya sendiri, bukankah kamu berada di rumahnya?", cara mendadak sahaja saya bersuara. Saya renung mukanya. Kali ini, saya merasakan diri saya seperti memperoleh kekuatan tenaga yang tersendiri. Saya cuba bangun.
"Aku segan", katanya spontan. Perempuan yang menamakan dirinya Siha terus duduk di bibir katil. Jari-jemarinya menekan permukaan tilam. Saya resah.
"Biar aku beritahu tuk yang kamu ada di sini"
"Tak payahlah, aku datang cuma nak tengok kamu saja"
"Sebenarnya aku tak suka kamu datang ke sini lagi"
"Baiklah, kalau kamu tak suka, biar aku balik dulu", sebaik sahaja perempuan itu mengakhiri kata-katanya dia terus ghaib dari pandangan saya. Saya terus mengucap beberapa kali.
Saya segera merasa telinga dan bibir. Saya menarik nafas panjang. Saya tidak berkhayal dan juga tidak bermimpi. Saya berada di alam nyata. aneh, kenapa perkara yang tidak masuk di akal itu terjadi di depan saya. Kalau diceritakan pada orang lain pasti jadi bahan ketawa. Dahi segera saya kedutkan. Badan saya mula menggigil.
Saya cuba berdiri di lantai, ketika itu saya terasa badan terlalu ringan dan sepasang kaki yang bagaikan tidak mampu mengimbangi berat badan. Saya terlayah ke kiri dan ke kanan. Saya rebah ke lantai. Datuk dan guru agama segera mendekati saya. Apa yang saya dengar hanya bunyi kokok ayam hutan bertalu-talu memekakkan telinga. Saya juga terlihat rimbunan hutan tebal. Saya bagaikan berada di dalam hutan yang amat besar.
Saya melihat ular sawa, harimau dan gajah. Semuanya menerkam ke arah saya. Apa yang terdaya saya lakukan ialah menjerit sekuat hati dan cuba melarikan diri dari berdepan dengan semua binatang tersebut. Dalam keadaan yang berhempas pulas itu, saya terasa ada telapak tangan menyentuh dai saya.
Daun telinga saya seperti dihembus sesuatu dan diikuti dengan suara lembut mengucapkan kalimat dari Surah Al-Fatihah dan Surah An-Nas berkali-kali. Harimau, gajah, ular dan hutan tebal yang wujud di depan saya terus ghaib. Diganti dengan lautan yang bergelombang lembut. Lubang telinga saya terus disumbat ayat-ayat suci yang biasa saya dengar malah pernah saya ucapkan. Maki jelas kalimat-kalimat suci itu masuk ke telinga saya. Makin samar-samar gelombang air laut di depan mata dan akhirnya terus ghaib.
Saya mula melihat tubuh Datuk, nenek dan guru agama. Semua menghadap ke arah saya dengan wajah yang tenang. Mulut guru agama terus membaca ayat-ayat suci. Dari gerak mulutnya saya yakin, guru agama itu masih membaca Ayatul Kursi dengan penuh khusyuk.
"Bangun anakku", guru agama tepuk bahu kanan saya. "Kau sebenarnya tidak apa-apa", sambungnya dengan tenang. Senyum terus terpamer di kelopak bibirnya. Saya segera menggosok pangkal hidung beberapa kali. Nenek segera mendekati saya, badan saya dipicitnya penuh kemesraan. Datuk tidak berkata apa-apa. Matanya tidak berkedip merenung wajah saya.
"Masa kamu tak sedar tadi, apa yang kamu nampak?", soal guru agama.
"Bila saya tak sedar, bila?", saya menyoal guru agama kembali. Datuk menarik nafas panjang. Dia terus mendekati saya.
"Apa yang kamu nampak tadi?", tanyanya.
"Saya nampak...", saya tidak dapat meneruskan kata-kata. Saya cuba mengingati sesuatu.
"Kamu nampak binatang, kamu nampak laut?", tiba-tiba Datuk bersuara. Saya segera anggukkan kepala. Datuk renung muka guru agama. Cepat-cepat guru agama melagakan gigi atas dengan gigi bawah beberapa kali.
"Lupakan apa yang kamu ingat", ujar guru agama penuh sopan. Saya segera mengangguk. Nenek saya lihat menarik nafas lega.
"Tidurlah, kau tak apa-apa, tidurlah", Datuk seperti memujuk.
"Tidur cu”, sahut nenek.
Saya pun merebahkan badan atas katil. Datuk dan guru agama segera meninggalkan saya tetapi nenek masih setia menunggu saya di hujung katil. Mata saya masih tertumpu kepada lelangit rumah.
Saya berpusing ke kiri, berpusing ke kanan. Perasaan terasa tidak tenteram sekali. Nenek mengikuti gerak-geri saya dengan teliti. Sesekali dia meletakkan telapak tangan kanannya ke dahi merasa suhu badan saya. Kalau panas sudah pasti saya demam.
"Kamu tak demam Tamar. Hawa badan kamu macam biasa"
"Memang saya tak demam nek"
"Tapi kamu aku tengok resah tak tentu pasal"
"Hum..."
Saya menelentangkan badan. Nenek menyelimutkan sepasang kaki saya dengan gebar. Mungkin kerana rasa mengantuk yang amat sangat, nenek terus merebahkan badannya di lantai. Tidak sampai sepuluh minit nenek terus berdengkur. Saya terdengar suara perempuan memanggil nama saya di halaman rumah. Saya segera membuka tingkap. Saya lihat perempuan yang baru mengunjungi saya sebentar tadi berdiri di tengah halaman sambil tersenyum ke arah saya. Kali ini dia memakai baju kebaya dan kain putih bersih. Rambutnya terhurai atas sepasang sayap bahu. Tangan kanannya melambai-lambai ke arah saya.
Tingkap segera saya rapatkan. Mungkin ketika daun tingkap itu bercantum telah mengeluarkan bunyi yang menyebabkan nenek terjaga dari tidur. Dia terkejut melihat saya meninggalkan katil.
"Kenapa Tamar?"
Pertanyaan nenek tidak saya jawab. Cepat-cepat saya melangkah dan terus duduk di bibir katil. Sikap membisu saya menimbulkan rasa tidak puas di hati nenek. Dia segera mahu mendapatkan Datuk yang berada di ruang tengah rumah. Sebelum nenek melangkah hasratnya itu saya halang.
SAYU
Saya bersyukur pada Allah. Nenek masih mahu mematuhi permintaan saya. Dia duduk di bibir katil merenung sayu ke wajah saya. Saya terus didakap keresahan yang memanjang.
"Kenapa kamu bangun Tamar?"
"Sengaja bangun, nek .. Tak ada apa-apa nek"
"Dengan aku kamu nak berbohong?"
Nada suara nenek merendah. Mengandungi rasa hampa dan kecewa yang amat sangat. Saya rasa bersalah kerana memperlakukan demikian pada nenek.
"Nek kenal tak dengan Siha, anak Haji Rashid?" "Kenapa dengan dia Tamar?"
"Masa saya pergi ke kaki bukit menengok jerat, saya jumpa dengannya. Dia kata ayam hutan di kaki bukit kepunyaannya."
"Baa...", mulut nenek terlopong macam orang terkejut besar. Dia renung kiri kanan. Nenek segera meraba pangkal leher dan terus termenung panjang.
"Agaknya kamu ni mimpi Tamar?"
"Tidak nek, tadi dia datang dan kirim salam pada nenek dan Datuk."
"Eh, kamu jangan bergurau Tamar"
"Saya tak bergurau nek. Kenapa nek?", saya minta satu kepastian darinya. Nenek terus gelengkan kepala beberapa kali. Saya bertambah takjub. Kedinginan dinihari kian kuat menguasai kulit tubuh.
"Kenapa dengan perempuan tu nek, saya tak pernah dengar nama Haji Rashid dan anaknya, Siha"
"Kedua-dua manusia tu berada di kampung ni sebelum kamu dilahirkan. Aku kenal baik dengan kedua-duanya. Haji Rashid tu kawan Datuk kau. Anaknya, si Siha memang terkenal dengan kecantikannya." .
"Begitu," saya segera memotong kata-kala nenek. Saya lihat nenek tersenyum. Nenek dapat membaca rahsia hati saya yang memang minat dengan cerita yang diluahkannya itu.
"Masa zaman Jepun, Haji Rashid di tangkap kerana menentang tentera Jepun. Dia dipancung hingga mati, mayatnya dibawa ke Pulau Pinang. Sampai sekarang tidak ada sesiapa yang tahu di mana kuburnya", nenek memulakan cerita di malam yang kian mendekati siang. Saya segera melompat dari katil lalu duduk di sisi nenek.
"Anak perempuannya bagaimana nek?" Tanpa sabar-sabar saya terus menyoal nenek yang kelihatan terpinga-pinga. Perlahan-lahan nenek membetulkan silanya. Renung kiri kanan, macam ada sesuatu yang dibimbangkannya.
"Apa dah jadi pada Siha, bila ayahnya mati?", saya mendesak. Nenek menggigit bibir. Dia keberatan untuk menerangkan tentang Siha. Kenapa? Apakah Siha sudah meninggalkan sumpahnya? Apakah cerita diri Siha memang jadi rahsia? Macam-macam persoalan dan pertanyaan timbul dalam tempurung kepala saya. Muka nenek saya tatap.
"Panjang dan sedih ceritanya," nenek memulakan. Silanya diperkemasnya. Kedinginan terus menggigit kulit tubuh. Suasana dinihari terasa amat sunyi. Saya tumpukan seluruh perhatian pada nenek. Saya berdoa, semoga nenek tidak akan memberhentikan cerita tentang Siha, anak gadis Haji Rashid separuh jalan.
"Sayang, gadis yang baik tu jadi korban”
"Korban siapa nek?"
"Korban nafsu tentera Jepun. Dua bulan sesudah ayahnya hilang, ibunya pula meninggal dunia. Dia marah pada Jepun, dia berpendapat semua kecelakaan yang terjadi tu, berpunca dari Jepun."
"Jadi apa yang dilakukannya nek?"
"Dia terus menyerang pondok kawalan tentera Jepun di kepala simpang dengan pelepah kabung yang sudah ditajamkan, senjata tu dipanggil selegi kabung”
“Berapa orang yang dibunuhnya nek?”
“Tiga orang.”
“Hebat orang perempuan bunuh tiga orang askar Jepun.”
“Bukan sebarang perempuan, dia tu pendekar. Alang-alang lelaki jangan cuba nak rapat”, nenek terus senyum panjang.
Sebaik sahaja nenek selesai bercerita terdengar tapak kaki orang memijak dedaun kering di luar rumah. Saya renung muka nenek. Tidak lama setela itu terdengar suara perempuan batuk. Bulu roma saya mula tegak. Badan saya terus menggeletar bila terdengar bunyi suara orang perempuan berbisik sesuatu di luar rumah. Saya cuba mengamati buah butir perkara yang dibisikkan. Semuanya tidak jelas dan sukar di mengertikan.
“Jangan pedulikan semuanya itu”, Datuk urut ibu jari kaki kanannya bekali. Nenek kelihatan tenang. Mala terus bangun menuju ke arah pintu. Saya kira nenek mahu membuka pintu. Perkiraan saya itu tidak tepat. Nenek hanya berdiri di situ buat beberapa ketika. Kembali mendekati saya.
“Entah macam mana, Siha dapat diberkas oleh tentera Jepun. Tujuh oran tentera Jepun menangkapnya”, sambung nenek.
“Kemudian dia dibunuh?”, tanya saya.
“Tidak”
“Dia diperkosa tentera Jepun sampai mati?”
“Juga tidak”
“Habis, apa yang jadi padanya, nek?”
“Dia berjaya melepaskan diri dan terjun ke dalam sungai dan terus hilang sehingga sekarang”
“Ke mana agaknya dia menghilang, nek?”
“Entah”, nenek menggelengkan kepala.
Tetapi, nenek berpendapat sebagai makhluk, Siha pasti mati. Kalau masih hidup tentu dia kembali ke kampung halamannya. Lebih-lebih lagi bila dia mengetahui keadaan negaranya yang sudah bebas dari penjajahan Jepun dan Inggeris.
“Masa Jepun menyerah pada orang putih, ada orang melihat Siha berdiri di tepi tebing sungai waktu senja, kemudian ada orang melihat Siha bermain-main di halaman rumahnya waktu terang bulan. Bila ada orang-orang kampung menyebut namanya, dia akan datang dekat orang yang menyebutnya.”
“Berapa lama masa dia datang tu nek?”
“Sekejap aje, lepas tu dia hilang entah ke mana. Masa darurat dulu ada orang ternampak dengannya. Kemudian orang-orang kampung baca Yasin beramai-ramai. Dia terus hilang, sekarang dia datang balik. Anehnya, dia mencari kamu", nenek menamatkan ceritanya. Dan saya tidak mahu bertanya tentang Siha pada nenek lagi.
Saya kembali atas katil semula. Nenek masih duduk sambil berdiri lutut. Perlahan-lahan saya rebahkan badan atas katil untuk beberapa detik sahaja. Saya bangun kembali.
"Apa yang kita dengar tadi nek, bole jadi suara Siha?", saya tatap wajah nenek.
"Dia sudah tak ada, jangan fikirkan tentang dirinya. Kau tidur, jangan fikirkan perkara yang bukan-bukan. Kalau dia datang biar aku selesaikan," jawab nenek. Saya menarik nafas panjang-panjang. Rebahkan badan atas katil, kembali merenung lelangit rumah. Saya baca beberapa ayat Quran untuk mencari ketenangan dan akhirnya saya terlelap.
Bila kelopak mata saya buka, nenek sudah tiada di sisi. Rasa marah dan geram mula bersarang dalam dada. Kenapa saya ditinggalkan sendirian. Ini sudah keterlaluan? Di mana letaknya rasa kasih sayangnya pada saya? Dalam keadaan yang serba tidak kena itu, terdengar suara azan Subuh sayup-sayup menyentuh gegendang telinga.
Saya segera bangun lalu menuju ke bilik air untuk mengambil wuduk. Keluar dari bilik air, saya lihat nenek berdiri dekat pintu dapur. Dia merenung ke arah saya dengan senyum.
"Cepat, Datuk dan kawannya menanti di kaki tangga"
"Hum, saya fikirkan tadi nak sembahyang di rumah"
"Sudahlah, jangan banyak cerita. Pergi siap"
Saya terus masuk bilik. Pakai kain sarung dan baju kemeja putih. Songkok hitam saya letak melintang di kepala. Melangkah keluar menuju ke pintu.
"Apa yang kamu tanya, apa yang kamu rasakan, semuanya sudah nenek sampaikan pada Datuk kamu", kata nenek sebaik sahaja saya melintas di depannya.
"Kenapa nenek cerita dengan Datuk?"
"Itu cara yang baik, barangkali dia lebih banyak tahu perkara begitu dari aku”
“Tapi, saya tak suka, nek”
“Suka atau tidak, perkara tu dah terjadi”
Saya diam dan terus menggabungkan diri dengan Datuk dan guru agama yang menanti di kaki tangga. Kami meredah kabus pagi yang bangkit dari permukaan tanah kampung. Langkah terus dipercepatkan. Sampai di masjid terus tunaikan sembahyang fardu dengan berimam tuan guru. Lepas itu diadakan kuliah Subuh. Kali ini memperkatakan tentang ilmu Tauhid.
Selesai mengikuti kuliah Subuh, semua paras jemaah bersarapan pagi di luar kawasan ruang sembahyang. Seorang penduduk yang baik bati menyediakan makanan dan minuman untuk sarapan. Satu hal yang membanggakan diri saya, orang kampung yang baik hati itu tidak pernah memberitahu pada para jemaah yang dia menyediakan sarapan pagi setiap kali kuliah Subuh diadakan. Hanya tuk siak dan bilal sahaja yang tahu.
Saya tidak tahu, siapakah manusia dermawan di kampung tumpah darah saya itu. Memang sukar untuk mengesaninya. Siak dan bilal tetap bersikap tutup mulut. Bagi mereka memberitahu nama penderma pada orang lain adalah perbuatan tidak amanah dan bersubahat menggalakkan amalan riak serta takbur dalam masyarakat Islam.
Bagi orang-orang kampung mereka menderma dengan rasa ikhlas pada saudara seagama dan sebangsa. Bukankah meringankan beban saudara seagama itu memang dituntut oleh Allah. Tetapi, bila pertolongan itu jadi bualan atau dihebohkan, perbuatan begitu memang tidak baik dan tidak digalakkan oleh Allah dan boleh mengurangkan pahala dari amalan yang kita lakukan. Orang-orang kampung rata-ratanya mendapat pendidikan dari sekolah atap di zaman penjajah begitu patuh dengan ajaran agama. Mereka tidak buat apa yang ditegah.
Mereka lakukan apa yang disuruh oleh Allah dengan rendah hati dan penuh kejujuran. Mereka bercakap benar. Menjaga amanah yang diberikan. Jika ada orang hulurkan wang derma untuk surau atau masjid, wang itu tetap digunakan untuk masjid, tidak hilang di tangan atau menjadi hak orang lain. Orang yang menderma pula tidak minta resit atau sebarang tanda yang mereka telah menderma.
Prinsip mereka mudah sahaja. Tuas mereka hulurkan derma dengan ikhlas. Tugas orang yang menerima derma mesti menjalankan kewajipan dengan betul hingga derma itu dapat di manfaat seperti yang diingini. Kalau tukang kumpul derma menggelapkan wang derma tersebut, itu adalah urusan dirinya dengan Allah.
Oran yang menderma tak perlu mengheboh-hebohkan perkara tersebut. Tidak perlu menceritakan keburukan pengutip derma pada oran. Perbuatan membuka pekung seseorang pada orang lain adalah perbuatan yang ditegah oleh Allah.
Orang yang wajar bertindak ialah ahli jawatankuasa masjid atau surau. Mereka boleh bermuafakat dengan orang yang melakukan kesilapan. Minta orang yang terlibat membetulkan kesilapan yang dibuat. Kalau orang yang terlibat tidak mahu, perkara tersebut dibawa ke pengetahuan pihak yang berkuasa.
Biasanya, orang yang melakukan kesilapan akan insaf dan terus membetulkan kesilapan yang dibuat. Bila perbuatannya dibetulkan, dia akan bertindak meninggalkan Kampong pindah ke tempat baru. Malu merenung muka penduduk kampung. Kalau tidak pindah, dia akan mengadakan majlis pertemuan dengan orang-orang kampung dalam masjid.
Dalam majlis pertemuan itu, pak imam akan bertindak sebagai kepala. Menerangkan pada orang kampung apa yang terjadi. Kemudian orang yang melakukan perbuatan salah itu segera bangun secara terbuka tentang perkara yang dilakukannya. Bila orang-orang kampung memberi jawapan yang mereka memaafkan perbuatannya itu, orang tersebut akan menemui setiap orang kampung. Majlis minta maaf itu akan diakhiri dengan pembacaan doa.
Orang-orang kampung diingatkan jangan mengungkit-ungkit perkara tersebut oleh pak imam. Biasanya, bila sudah diingati begitu, tidak ada seorang pun yang berani menyebut-nyebut perkara yang lalu. Di kampung, imam dihormati dan buah fikirannya dikagumi. Biasanya, orang yang jadi imam orang yang sudah berumur, luas pengetahuan agamanya.
"Tamar, apa yang kamu ingat?"
Saya segera garu pangkal leher. Renung ke kanan, menatap wajah kawan yang menegur saya. Dia ketawa kecil. Renung hidangan di depan. Nasi lemak dan air kopi masih seperti tadi, tidak berubah tempat.
"Sejak duduk tadi, aku tengok kamu menung aje, tengok orang dah selesai makan, barang makanan kau tak jamah", tambah kawan itu.
"Aku memikirkan sesuatu"
"Apa yang kau fikirkan?"
"Tentang orang yang menyediakan sarapan pagi ni"
"ltu bukan urusan kita. Itu urusan penderma dengan Allah. Urusan kita ialah makan apa yang ada di depan kita"
"Betul juga cakap kamu", balas saya. Kami ketawa dan saya pula menjamah sarapan pagi.
Selesai sahaja bersarapan, saya terus mendekati Datuk dan guru agama yang menanti saya di halaman masjid. Para jemaah seorang demi seorang pulang ke rumah masing-masing di bawah keramahan sinar matahari pagi.
"Datuk kamu dah ceritakan pada aku, apa yang kamu alami," guru agama itu renung muka saya dengan senyum. Saya tidak memberikan sebarang jawapan. Saya kira kisah itu tidak wajar diceritakan pada manusia seperti guru agama. Boleh mengganggu tugasnya.
"Perkara seperti itu tidak mustahil, apa yang mesti kamu fikirkan ialah betapa Maha Kuasa Allah. Boleh mengadakan sesuatu yang tidak pernah kita fikirkan," lanjut guru agama itu lagi.
Saya renung muka Datuk. ingin mendengar pendapat darinya. Datuk terus membisu. Dalam saat-saat demikian, saya kira tidak ada gunanya mengenangi apa yang telah terjadi. Saya mahu segera pulang ke rumah.
"Syaitan tak akan berhenti dari menguji keimanan manusia. Bila dunia dah kiamat, dah hancur baru syaitan berhenti menyesatkan manusia," terdengar suara Datuk seperti orang merungut.
Guru agama yang berdiri tidak jauh darinya dapat mengikuti dengan teliti apa yang diucapkan oleh Datuk.
"Ini sudah jadi perkara biasa. Kita harus mengawal diri supaya jangan terpengaruh, terutama mengawal keinginan dan nafsu", sahut guru agama sambil meraba-raba pangkal dagunya dua tiga kali.
"Barangkali ini ujian untuk manusia"
"Perkara ini, bukannya barangkali, tetapi memang benar dihadapkan pada manusia untuk menguji sejauh mana kemampuan akal fikiran manusia digunakan dengan sebaik mungkin".
"Ya, itulah kebesaran Allah", ucap Datuk setelah mendengar kata-kata yang dihamburkan oleh guru agama.
Guru agama terus mendekati saya. Bahu saya ditepuknya dua tiga kali. Matanya menatap seluruh wajah. Dia senyum.
"Bila kamu diberikan kekayaan, kau jangan lupa kekayaan itu bukan milik kamu"
"Sebab?", saya bertanya.
"Kekayaan itu milik Allah, kau cuma diberikan amanat, untuk menjaga dan menggunakannya. Di akhirat nanti, cara kita menggunakan dan memanfaatkan kekayaan akan disoal”.
"Oh", mulut saya terlopong.
"Kekayaan yang ada itu, pada bila-bila masa saja boleh diambil oleh Allah dengan berbagai-bagai cara seperti dicuri orang, terbakar dan macam-macam lagi."
"Begitu", saya anggukkan kepala.
Senyum guru agama bertambah lebar. Datuk tetap memperhatikan dengan teliti segala tindak-tanduk guru agama pada saya. Sesekali saya lihat Datuk senyum.
"Eloklah diberikan nasihat padanya", suara Datuk meninggi.
"Bukan nasihat, kami bercerita," jawab guru agama.
"Bercerita?", saya terkejut.
Datuk terus ketawa. Saya tidak tahu apa yang menggelikan perasaannya hingga Datuk ketawa begitu.
"Saya bercerita, terpulanglah pada kamu untuk gunakan akal fikiran, apakah perkara yang saya ceritakan itu memang benar atau tidak? Kalau benar atau betul kau ikut, kalau salah kamu buang", lanjut guru agama.
"Cucu saya tu, tak faham bercakap macam tu, dia tak faham bahasa kiasan", sahut Datuk.
''Tak apa, suatu hari nanti dia akan faham", sanggah guru agama. Datuk anggukkan kepala. Setuju dengan pendapat guru agama tersebut.
Panas pagi mula beransur keras, langit nampak cerah dengan gumpalan awan putih bersih. Guru agama segera mendekati Datuk. Hulurkan tangan. Buat beberapa saat tangan mereka bergoncangan.
"Saya balik dulu", lembut suara guru agama.
"Selamat jalan. Kalau ada umur kita jumpa lagi".
"Saya juga berharap macam tu. Jaga cucu awak baik-baik".
"Insya-Allah", jawab Datuk.
Kami pun berpisah dengan guru agama tersebut. Kata Datuk, rumah guru agama agak jauh. Kira-kira lima puluh batu dan terpaksa naik bas.
"Berapa dia dapat duit mengajar tuk?"
"Hum...", Datuk seperti tersentak. Langkahnya terus dimatikan matanya merenung langit dan awan.
"Kenapa kamu tanya macam tu Tamar?"
"Setahu saya, bila seseorang itu dipanggil guru dia dapat gaji macam guru sekolah, ada kereta dan rumah tapi guru ini naik bas pula?"
Datuk menggaru kulit pipinya yang tidak gatal. Perjalanan yang terhenti diteruskan kembali.
-TAMAT-
107. ROH BAYI CARI IBU
CERITA² MISTIK, MISTERI 📛 SERAM - #SEASON2
KOLEKSI CERITA SERAM MELAYU
HIMPUNAN CERITA SERAM
TAJUK CERITA : ROH BAYI CARI IBU
CP BY ADMIN A.D
CGCZONE BRUNEI
theHORRORZONE BRUNEI
KODE : 300002750940107
http://thehorrorzon.blogspot.com/2020/04/cerita-mistik-seram.html
Datuk menggigit bibir. Sepasang matanya berpaut pada wajah Norlin yang kelihatan cemas itu. Dari wajah Norlin, mata Datuk beralih ke wajah Tok Kaya Sendi Diraja dan isterinya.
"Mahu halau siapa? Tidak ada seorang pun yang masuk ke sini?", ulang Datuk dengan nada suara yang cukup lembut.
"Ada. Dia selalu ganggu saya, kalau diusir diaaaa...", dan Norlin terus menghentak-hentakkan kaki ke lantai sambil meronta-ronta. Ibunya terus memeluk dengan erat dan kemas. Datuk terdiam, tidak tahu apa yang harus di buatnya. Suara bising di bilik atas membangunkan Pak Ayub Naim dan isterinya yang tidur di bilik bawah. Mereka naik ke bilik Norlin. Waktu Pak Ayub dan isterinya sampai, Norbaya sedang menyapu peluh yang tumbuh di dahi Norlin. Isteri Pak Ayub Naim terus bertanya:
"Apa yang dah jadi Norlin?"
"Saya takut makcik", suara Norlin terketar-ketar. Kemudian Norbaya memberitahu isteri Pak Ayub Naim bahawa kakaknya seperti melihat sesuatu di luar bilik mahu mengacaunya. Norbaya terus membaca ayat-ayat suci, tiba-tiba dia mendapati Norlin jatuh pengsan.
"Badannya terus jadi panas makcik", ujar Norbaya. Isteri Pak Ayub Naim resah dan berkata pada suaminya:
"Apa yang harus kita buat?" Pak Ayub Naim terdiam. Dia berjalan berpusing-pusing di hadapan Tok Kaya Sendi Diraja lalu berhenti di hadapan Datuk.
"Norlin diganggu oleh sesuatu. Setahu aku, penjaga rumah tua ni tidak akan membuat kacau, apa lagi terhadap keluarga Tok Kaya", tutur Pak Ayub Naim. Mukanya merenung muka Datuk dan Tok Kaya Sendi Diraja. Pak Ayub terus menyambung:
"Kalau pun dia menampakkan dirinya, itu sebagai tanda salam perkenalan.
Isteri Pak Ayub Naim secara tiba-tiba berdiri. Matanya mula merah merenung ke wajah Norlin.
"Sama ada salam perkenalan atau tidak, dia tetap syaitan. Saya tahu setiap kali Norlin cuti dia jadi korban", nada suara isteri Pak Ayub Naim cukup keras. Semua yang ada dalam bilik itu berpandangan sesama sendiri.
"Kita harus mengatasi masalah ini. Saya tak mahu anak saya jadi korban”, kata isteri Tok Kaya Sendi Diraja.
"Siapa orangnya boleh menolong kita?", sahut Pak Ayub Naim. Pertanyaan Pak Ayub Naim tidak mendapat jawapan. Datuk terus bercakap sesuatu dengan Tok Kaya Sendi Diraja. Kemudian Tok Kaya Sendi Diraja pula membisikkan sesuatu ke telinga Pak Ayub Naim.
"Baik", tiba-tiba suara Pak Ayub Naim meninggi lalu keluar dari bilik.
Sepuluh minit kemudian Pak Ayub Naim masuk ke bilik dengan membawa air dalam mangkuk putih.
"Berikan padanya", ujar Tok Kaya Sendi Diraja. Pak Ayub Naim meletakkan mangkuk putih berisi air di hadapan Datuk. Datuk memasukkan separuh jari hantunya ke dalam mangkuk putih.
"Ambil air ini dan sapukan ke mukanya", beritahu Datuk pada isteri Tok Kaya Sendi Diraja. Perintah Datuk segera dilakukan. Bila jari jemari isteri Tok Kaya Sendi Diraja menyapu air ke muka Norlin, saya lihat Norlin lemah dan terus terlena.
Norlin pun diletakkan ke atas katil dengan ditemani oleh ibunya. Tok Kaya Sendi Diraja, Datuk dan Pak Ayub Naim keluar dari situ dan terus menuju ke bilik saya dan Datuk menginap. Mereka berbincang panjang. Datuk dengan rasa rendah hati ingin membantu mengatasi masalah yang dihadapi oleh keluarga Tok Kaya Sendi Diraja.
"Saya sekadar mencuba. Sama ada jadi atau tidak terletak pada kuasa Allah. Kalau Allah memberkati, kita akan berjaya”, ujar Datuk.
"Saya faham”, sahut Tok Kaya Sendi Diraja.
"Mencuba apa salahnya”, celah Pak Ayub Naim pula. Akhirnya mereka pun berpisah.
Esoknya Norlin terus jatuh sakit. Tubuhnya sekejap panas, sekejap sejuk. Datuk tidak melakukan sesuatu pada sebelah paginya bagi mengubati sakit Norlin. Menurut Datuk Norlin demam kerana lemah semangat. Pada sebelah petangnya, baru Datuk memulakan tugasnya. Itu pun sesudah membuat beberapa persiapan rapi di biliknya. Datuk meminta izin pada Tok Kaya Sendi Diraja untuk masuk ke bilik Norlin.
"Silakan, emaknya ada di dalam”, Kata Tok Kaya Sendi Diraja. Datuk merenung muka Tok Kaya Sendi Diraja.
”Jangan tegur apa yang saya lakukan”, dengan tenang Datuk mengingatkan kepada saya dan Tok Kaya
Sendi Diraja. Dengan tenang Datuk melangkah. Berdiri betul-betul di tengah pintu bilik. Dia memusingkan badannya dari kiri ke kanan.
Dia mengeluarkan kain hitam dari pinggang lalu melemparkan ke ruang tengah rumah. Lepas itu, Datuk pun mempersilakan Tok Kaya Sendi Diraja dan saya menghampiri Norlin. Tiba-tiba wajah Norlin berubah menjadi takut dan cemas. Dia merasakan Datuk mahu mengganggunya. Namun begitu dengan wajah yang tenang dan penuh keyakinan, Datuk memegang urat nadi di tangan kanan Norlin. Mulut Datuk terus terkumat-kamit. Matanya sekejap terpejam, sekejap terbuka. Datuk memperhatikan wajah Norlin dari hujung rambut hingga ke hujung kaki.
Saya lihat Datuk menarik nafas panjang. Datuk mengangguk-anggukkan kepalanya beberapa kali. Saya terdengar bunyi jam tua di tengah ruang berbunyi lima kali. Angin petang terasa masuk dengan deras ke dalam bilik. Ada bunyi suara burung gagak liar di pucuk kekabu.
Meski pun di luar cuaca cukup panas dan cerah, tetapi diruang itu tetap kelihatan muram, malah ada beberapa bahagian rumah itu bagaikan tidak kena sinar matahari. Sedang saya dan Tok Kaya Sendi Diraja serta isterinya melihat Datuk menjalankan tugasnya dengan tekun. Terdengar bunyi bingkai gambar terhempas di lantai. Kaca dari bingkai gambar itu bagaikan bergerak sendiri menuju ke arah tiang seri rumah. Bila Tok Kaya Sendi Diraja mahu merapatinya, Datuk segera menahan.
"Jangan”
"Kenapa?"
"Barangkali dia mahu menguji kita"
"Apa yang patut kita lakukan?"
"Tidak ada apa yang perlu kita lakukan”, Datuk memberi penjelasan pada Tok Kaya Sendi di Diraja. Dan Tok Kaya Sendi Diraja pun anggukkan kepalanya dua tiga kali. Waktu isteri Tok Kaya Sendi Diraja membetulkan duduknya kerana lenguh lama duduk bertempuh, pintu bilik berbunyi dengan kuatnya macam dihempas oleh tangan manusia.
Gegarannya menjatuhkan botol-botol kecil yang terletak di atas meja hias Norlin. Bulu roma saya mula tegak. Datuk masih lagi tenang. Mata Norlin tidak seliar tadi. Kedua dua biji matanya merenung lelangit rumah. Norlin tidak tahu apa yang berlaku di sekelilingnya. Dia seolah-olah berada di dunia lain.
Datuk memberi isyarat kepada Tok Kaya Sendi Diraja supaya mendekatinya.
"Bagaimana?", soal Tok Kaya Sendi Diraja pada Datuk.
Datuk pun mendekatkan mulutnya ke telinga Tok Kaya Sendi Diraja lalu berbisik:
"Memang ada yang mengacaunya."
"Siapa? Penunggu rumah ini, dia tu rajakah, puterikah atau apa?"
Nampak benar tidak sabarnya Tok Kaya Sendi Diraja bila berhadapan dengan masalah yang rumit itu. Datuk mula resah. Memang pantang benar bagi dirinya bila dia menjalankan tugas, di ganggu dengan beberapa soalan atau pertanyaan. Perbuatan begitu boleh mengganggu tumpuan fikiran pada kerja yang dilakukan.
"Saya tak dapat mengatakan siapa orangnya. Ada baiknya Tok Kaya tengok sendiri."
"Tengok sendiri? Apa saya seorang saja kah?"
"Tidak. Bersama dengan orang yang ada di sini." Mendengar jawapan dari Datuk itu, Tok Kaya Sendi Diraja merenung muka isterinya. Mereka nampak cemas dan gusar sekali. Norlin masih terkapar di atas katil. Matanya tidak lagi tertumpu pada lelangit rumah. Datuk memberi isyarat supaya saya menghampirinya.
"Ada apa tok?"
"Kau duduk dekat aku”, suaranya cukup tegas. Saya angguk kepala dengan lemah. Ekor Datuk merenung wajah Tok Kaya Sendi Diraja.
"Usah bimbang. Tok Kaya dan yang lain-lain harus mandi dengan air bunga tujuh jenis”, beritahu Datuk pada Tok Kaya Sendi Diraja dengan wajah yang selamba. Datuk lalu minta mangkuk putih berisi air bersama dengan bunga kemboja, bunga raya dan bunga tanjung.
Tidak sampai sepuluh minit, semua barang yang di kehendaki oleh Datuk tersedia di hadapannya. Tiga kuntum buang yang berlainan jenis itu Datuk taburkan ke atas air dalam mangkuk putih. Jam tua di tengah ruang rumah berbunyi lagi sebanyak enam kali. Cuaca di luar tidak secerah tadi. Keadaan dalam rumah bertambah suram.
Kami terdengar bunyi deru angin menguasai perut rumah. Bunyinya cukup kuat. Datuk menyuruh kami menghadapi keadaan itu dengan tenang. Dan Datuk pun memperkemaskan silanya. Datuk memejamkan matanya sambil menarik nafas dengan tenang. Mulutnya terkumat-kamit membaca sesuatu. Nafasnya kian kencang. Wajah Datuk berkerut.
Kemudian Datuk meraba telinga kirinya tiga kali berturut-turut. Wajahnya kelihatan beransur tenang dan tarikan nafasnya bertambah aman. Datuk pun membuka matanya dengan perlahan-lahan dan merenung ke kiri dan ke kanan. Wajah saya dan wajah Tok Kaya Sendi Diraja direnung dengan tajam oleh Datuk.
"'Begini Tok Kaya. Penunggu ini sedia menemui kita”, kata Datuk.
"Bila?", soal saya tidak sabar.
"Malam ini, kira-kira pukul sembilan”, jawapan Datuk itu ternyata menimbulkan kebimbangan di hati Tok Kaya Sendi Diraja, lalu dia mengemukakan pertanyaan.
"Di mana?"
"Di ruang rumah ini", jawab Datuk dengan nada suara yang agak keras. Bagaikan ada sesuatu kuasa ghaib, Norlin yang terlentang di atas katil bangun dengan tiba-tiba. Dia nampak sihat dan melangkah dengan tenang di hadapan Datuk.
"Penunggu rumah sudah membebaskannya. Bawalah dia ke bilik mandi”, Datuk memberitahu isteri Tok Kaya Sendi Diraja. Arahan Datuk itu segera dipatuhi. Kemudian, Datuk mengajak saya turun dari bilik Norlin.
"Saya dan cucu mahu memetik bunga tujuh jenis, jadi Tok Kaya tak payahlah ikut”, beritahu Datuk pada Tok Kaya Sendi Diraja.
"Silakan."
"Tapi jangan lupa. Lepas sembahyang Isyak datang jumpa saya ambil air bunga."
"Mesti”, Datuk dan Tok Kaya Sendi Diraja pun ketawa.
Dengan pertolongan Pak Ayub Naim, saya dan Datuk terus pergi ke Kampung Keramat Pulai. Pak Ayub Naim terus membawa kami ke satu kawasan di kaki gunung. Menurut Pak Ayub Naim semua jenis bunga yang tumbuh di kawasan itu boleh dipetik.
"Tak payah minta kebenaran dari tuannya?", tanya Datuk penuh keraguan.
Pak Ayub Naim tersenyum.
"Tanah ini, tanah Tok Kaya sendiri, ambillah."
"Senang hati saya. Kita nak buat ubat mesti dapat izin, kalau dah Tok Kaya punya senanglah kita berunding”, Datuk mengakhiri cakapnya dengan ketawa kecil. Kawasan di kaki gunung itu memang lapang. Di gunung paling hujung ada tempat orang memecah batu.
Banyak anak muda Keramat Pulai yang bekerja dengan syarikat pemecah batu di situ. Arah ke selatan terdapat kawasan kolam lombong tinggal dengan air yang membiru. Terdapat beberapa orang kampung dari Keramat Pulai memancing di kolam lombong tinggal itu.
Satu perkara yang menarik, semua jenis bunga terdapat di kawasan tanah lapang tersebut. Sesekali bila angin datang saya dapat menghidu baru yang cukup wangi. Datuk pun sudah dapat mengumpulkan tujuh jenis bunga. Semuanya Datuk masukkan ke dalam bekas khas. Ketika itu, kaki langit sudah bertukar warna. Puncak gunung yang tadi kelihatan hijau dengan tumbuh-tumbuhan bertukar menjadi hitam sekata.
"Siapa yang tanam pokok-pokok bunga di sini?", soal Datuk pada Pak Ayub Naim. Lelaki tua yang sudah beruban itu kerutkan dahi luasnya sebentar.
"Arwah ayah Tok Kaya, masa hayatnya dia selalu jalan di sini setiap malam Jumaat, waktu bulan penuh."
"Buat apa dia ke sini?"
"Itu saya kurang periksa pula."
Mendengar jawapan itu, Datuk tidak lagi mengajukan sebarang pertanyaan. Tetapi cakap Pak Ayub Naim itu menimbulkan beberapa persoalan dalam diri saya.
Apakah arwah ayah Tok Kaya Sendi Diraja mempunyai hubungan sulit dengan makhluk asing? Apakah pokok-pokok bunga yang di tanam di kawasan kaki gunung itu mempunyai tujuan yang tertentu? Cukup sukar untuk saya memberi jawapan pada pertanyaan yang timbul dalam diri saya itu.
Kami pun meninggalkan kawasan kaki gunung itu. Waktu saya dan Datuk serta Pak Ayub Naim melintasi jambatan yang merintangi sebuah anak sungai, suara azan terdengar dari surau kecil yang terletak di tepi sungai.
Datuk pun memutuskan untuk menunaikan fardu Maghrib di surau Keramat Pulai. Selepas menunaikan fardu Maghrib, kami meneruskan perjalanan ke rumah Tok Kaya Sendi Diraja.
Kali ini saya tidak mahu naik basikal yang di kayuh oleh Datuk. Saya memutuskan mahu naik basikal yang di bawa oleh Pak Ayub Naim.
"Kenapa?"
"Saya mahu bercakap dengan Pak Ayub Naim"
"Hum, terpulanglah. Boleh ke bawa cucu kami Ayub?"
"Boleh, apa salahnya”
Saya pun terus melompat ke atas lanting basikal. Entah macam mana, Pak Ayub Naim terus bercerita tentang keistimewaan arwah ayah Tok Kaya Sendi Diraja. Menurut Pak Ayub Naim, ayah Tok Kaya Sendi Diraja pernah mendapat harta karun di kaki gunung iaitu tempayan tembaga yang sumbing mulutnya.
Tempayan itu tidak di bawa pulang. Ditempatkan di satu kawasan dan dimandikan dengan air bunga-bungaan selepas sembahyang Jumaat. Sejak bertemu tempayan tentang itu, perniagaannya bertambah maju. Lombong bijih terus dibuka hingga ke Jeram Mengkuang dekat Bidor. Bila ayah Tok Kaya Sendi Raya meninggal dunia, tempayan tembaga itu terus ghaib entah ke mana.
Lebih kurang pukul sembilan malam, sesudah dimandikan dengan air bunga tujuh jenis, Tok Kaya Sendi Diraja dan isterinya kelihatan tenang dan penuh semangat untuk menghadapi sebarang kemungkinan. Begitu juga dengan Norbaya, Norlin dan Pak Ayub Naim suami isteri. Semuanya duduk di atas tikar mengkuang panjang dua belas. Norlin mengadu pada Datuk yang dirinya terasa pening.
Datuk pun menyuruh dia baring dekat ibunya. Sesuai dengan permintaan Datuk, hanya tiga batang lilin sahaja yang di pasang menjadikan suasana agak samar-samar. Datuk pun duduk lurus-lurus.
Mulut Datuk terkumat-kamit. Suasana cukup sunyi, macam berada di tanah perkuburan di waktu petang. Hanya bunyi tekanan nafas sahaja yang kedengaran. Entah dari mana, tiba-tiba terdengar sayup-sayup suara lolongan anjing.
Cukup menghairankan, sekitar kawasan itu tidak ada orang yang memelihara anjing. Udara mendadak sahaja menjadi sejuk. Apa terdengar suara orang mengeluh dari bilik sebelah. Norlin tiba-tiba bangun lalu memandang wajah ibunya.
"Bersedialah, sebentar lagi dia akan datang”, ujar Datuk perlahan-lahan tetapi cukup tegas. Apa yang dikatakan oleh Datuk itu memang benar. Di hadapan, secara perlahan-lahan muncul semacam gumpalan kabus, bergulung-gulung dan kemudian menipis pula secara perlahan-lahan.
Bila gumpalan kabus itu hilang, muka isteri Tok Kaya Sendi Diraja berubah menjadi pucat begitu juga dengan Norlin. Ada lembaga berbentuk bayi terapung-apung tanpa seurat benang pun. Matanya yang bercahaya itu memandang wajah Tok Kaya Sendi Diraja dan isteri. Dari situ beralih pula ke muka Norlin.
"Siapa namamu anak yang baik?”, tanya Datuk.
"Saya belum ada nama”, jawab bayi itu. Tidak terkeluar dari mulut bayi tersebut, tetapi datangnya dari satu arah yang lain dan bergema pula. Datuk terus merenung ke arah bayi itu.
"Apakah kau yang punya rumah ini?”, tanya Datuk.
Badan Datuk saya lihat mula menggigil bagaikan di goncang oleh sesuatu.
"Kau tinggal menetap di sini?", soal Datuk lagi.
"Tidak”, terdengar suara gema yang agak jauh.
"Kenapa kau ganggu Norlin?"
"Saya cuma nak jumpa emak saya, isteri Tok Kaya Sendi Diraja"
Isteri Tok Kaya Sendi Diraja mula menggelabah, kemudian terpekik tertahan-tahan. Datuk memberi isyarat pada semua yang ada di situ supaya bertentang. Tetapi perubahan wajah jelas kelihatan pada Tok Kaya Sendi Diraja dan isterinya.
"Apa fasal kau mahu menemui ibumu?"
"Saya minta di pertanggungjawaban"
"Maksudmu aku faham"
"Kenapa saya dibunuh?"
"Jadi ibumu telah membunuhmu?"
"Ya. Waktu saya tujuh bulan dalam kandungan dengan pertolongan doktor, saya di keluarkan dari rahim secara paksa"
Sebaik sahaja suara itu hilang, diganti pula dengan suara tangisan. Suara itu terdengar sayup-sayup dan amat memilukan. Datuk meletakkan kedua belah tangannya atas tempurung lutut. Salah satu dari pada api lilin di hadapannya di padamkan.
"Kau mahu membalas dendam datang ke sini?"
"Bukan itu maksud saya"
"Jadi apa tujuan mu yang sebenar?"
"Saya memerlukan nama, dan pengakuan dari ibu yang sebenar dan kaum keluarga"
"Baiklah, selain dari aku dan cucuku, ada ayah, emak dan kakak atau adik kau. Mereka sudah mengakui kau sebagai keluarga mereka”,ujar Datuk sambil merenung muka Tok Kaya Sendi Diraja. Tok Kaya Sendi Diraja dan isteri serta-merta anggukkan kepala. Datuk menggigit bibir lalu bertanya:
"Siapakah orang yang selalu muncul di sini, seperti yang pernah ditemui oleh cucuku dan orang lain itu?"
Bayi itu kelihatan berpusing-pusing, lalu berdiri dekat tiang seri. Dia seakan-akan ketawa menghadapi ke arah kami. Terdengar bunyi angin yang cukup kuat. Semua yang ada di ruang rumah berterbangan. Walaupun begitu api lilin yang tidak jadi padam.
"Mereka adalah waris dari keturunan Datuk nenekku, merekalah yang memberi jalan kemewahan pada keturunan ayah dan ibuku. Dan merekalah yang mendesak aku supaya menemui ibuku yang sebenar." Terdengar gema suara dari arah kiri Datuk.
"Baiklah, mereka sudah tahu sekarang. Mereka akui kau adalah keturunan mereka. Pulanglah jangan ganggu kakakmu Norlin”, Datuk terus bersuara.
"Aku mahu bersalam dengan mereka”,minta bayi itu.
"Silakan”
Keluarga Tok Kaya Sendi Diraja menghulurkan tangan, ternyata mereka tidak bersalaman dengan bayi itu. Mereka hanya macam terasa angin yang tenang mengenai jari-jemari mereka. Seperti waktu mula muncul, bayi itu terus berubah menjadi gumpalan yang kabur, kemudian menipis, dan akhirnya terus
menghilang.
Setelah beberapa detik berlalu, Datuk kembali bertafakur dan membaca sesuatu. Dengan nada suara yang parau dan mengandungi maksud tertentu, Datuk bersuara:
“Bangunlah wahai hati nurani yang tidak di kuasai oleh nafsu. Bangun dan temuilah kami"
Suasana bertambah sepi. Tidak ada seorang pun yang sedar tentang isteri Tok Kaya Sendi Diraja yang jatuh pengsan. Datuk meletakkan tangannya ke atas dahi isteri Tok Kaya Sendi Diraja.
”Saya tak tahu masa bila dia pengsan”, kata Tok Kaya Sendi Diraja.
"Jangan khuatir, kita mencari jalan yang baik”, balas Datuk lalu menepuk tikar mengkuang panjang dua belas.
Isteri Tok Kaya Sendi Diraja bangun. Duduk bersila, wajahnya pucat. Sepasang matanya merenung mata Datuk.
"Siapakah yang datang tadi? Hati nurani cik puan yang tidak di kuasai oleh nafsu?", tanya Datuk pada isteri Tok Kaya Sendi Diraja. Dia mengangguk. Wajahnya resah tidak menentu.
"Kau menggugurkan anakmu waktu berusia tujuh bulan?"
Isteri Tok Kaya Sendi Diraja angguk kepala.
"Kenapa kau berlaku sekejam itu?"
"Sebelum saya kahwin dengan Tok Kaya Sendi Diraja, saya jadi tukang masaknya. Kemudian terjadi perkara yang tidak baik, saya terus diam di bahagian atas rumah ini. Apabila genap tujuh bulan, saya dengan persetujuan Tok Kaya Sendi Diraja menggugurkan bayi ini dengan seorang doktor swasta di Kuala Kangsar"
Satu pengakuan yang jujur dari isteri Tok Kaya Sendi Diraja. Dan Tok Kaya mengakui apa yang dikatakan oleh isterinya itu memang benar. Datuk pun merenung wajah Tok Kaya Sendi Diraja.
"Awak berdua sudah melakukan dosa”, ujar Datuk pada Tok Kaya Sendi Diraja. Isteri dan suami berpandangan sama sendiri. Sekarang semua peristiwa buruk itu sudah tidak menjadi rahsia lagi buat keluarga diri Tok Kaya Sendi Diraja. Tok Kaya Sendi Diraja menundukkan mukanya dan dia baru sedar, bahawa kekayaan yang ada tidak dapat menutup perbuatan terkutuknya.
"Lupakan semuanya itu. Yang berdosa tetap berdosa. Hanya Allah yang Maha Besar lagi Penyayang sahaja yang boleh menjatuhkan hukuman yang setimpal dengan perbuatan kamu berdua”, tambah Datuk.
Tok Kaya terus menarik tangan Datuk pergi ke ruang bawah. Saya mengikutinya dari belakang. Saya tidak tahu apa yang mereka bicarakan. Selepas bercakap Datuk pun mengajak saya ke biliknya. Sebaik sahaja pintu bilik di buka, wajah lelaki yang garang berbadan besar tercegat di dalam bilik. Datuk berhenti di hadapannya. Datuk pun memejamkan mata.
"Aku hanya datang untuk membetulkan mana yang silap”, kata Datuk pada lembaga itu yang bergerak ke kanan sambil tersenyum dan terus hilang.
-TAMAT-
108. BANTAL PELUK BERJALAN MALAM
CERITA² MISTIK, MISTERI 📛 SERAM - #SEASON2
KOLEKSI CERITA SERAM MELAYU
HIMPUNAN CERITA SERAM
TAJUK CERITA : BANTAL PELUK BERJALAN MALAM
CP BY ADMIN A.D
CGCZONE BRUNEI
theHORRORZONE BRUNEI
KODE : 300002750940108
http://thehorrorzon.blogspot.com/2020/04/cerita-mistik-seram.html
“Kita juga tidak percaya tapi ramai orang yang percaya dengan perkara yang karut-marut tu.”
“Ajal maut milik Allah. Kalau ajal kita belum tiba, jatuh dalam gunung berapi pun kita hidup. Bila ajal dan janji kita sudah tiba, digigit semut pun kita mati.”
“Kita jangan lupa, nyawa kita ini dipinjamkan oleh Allah pada kita. Bila sampai waktunya nyawa kita akan diambilnya. Jadi kenapa kita takut pada mati, kalau kita sudah membuat persiapan yang cukup,” balas Haji Salim dengan tenang. Ketika ia berkata-kata tadi, saya lihat sinar matanya cukup tajam.
“Kita setuju,” jawab Datuk.
“Mari sembahyang, Isyak dah sampai,” Haji Salim segera bangun. Ketika itu juga terdengar suara azan Isyak dari surau membelah ketenangan seluruh kampung.
“Kita jadi imam,” tambah Haji Salim.
“Silakan,” ujar Datuk tersenyum.
“Nanti dulu,” kata saya.
“Kenapa pula budak ni,” keras sekali suara Datuk.
“Saya terkentut dalam diam tuk.”
“Ah kamu ni, ada-ada saja. Pergi cepat.”
Saya meluru ke bilik air. Saya terdengar suara ketawa dari haji dan Datuk tingkah meningkah. Mereka geli hati dengan kelakuan saya. Memang kelemahan diri saya, air sembahyang saya cepat batal. Bila ada air sembahyang perut buat ragam dan sering mahu mengeluarkan udara kotor dari dalamnya.
Kalau tidak ada air sembahyang, perut tidak pula buat hal. Entah mengapa begini jadinya, mungkin dugaan pada orang yang ada air sembahyang terlalu banyak, fikir saya sendirian. Nantilah satu hari, mahu saya tanyakan hal itu pada Haji Salim.
Haji Salim mengambil tempatnya sebagai imam. Saya dan Datuk berdiri hampir berlaga bahu. Memang pesan Datuk kalau sembahyang jemaah mesti rapat, jangan ada ruang untuk syaitan lalu yang menggoda kita sembahyang.
Sembahyang Isyak dapat disempurnakan dengan aman. Haji Salim terus membaca doa. Suaranya cukup terang dan jelas sekali. Cara mendadak suaranya yang terang itu beransur lemah dan tidak kedengaran langsung.
Saya lihat Haji Salim terus rebah di tikar sembahyang. Datuk dan saya terus menghampirinya. Haji Salim kelihatan sukar untuk bernafas. Datuk segera mahu melakukan rawatan kecemasan.
“Tak payah, masanya sudah sampai,” kata Haji Salim. Nafasnya beransur tenang. Ia terus merenung wajah Datuk dengan senyum. Dengan susah payah Haji Salim melunjurkan kedua belah kakinya. Ia terus baring. Sepasang matanya merenung lelangit rumah dengan tenang.
Isterinya datang membawa bantal. Datuk segera mengambil bantal itu, terus mengenepikan ke kepala Haji Salim. Ia kelihatan lemah sekali.
“Maafkan aku, kalau ada tersilap dan kasar bahasa pada kamu,” Haji Salim renung muka isterinya. Perlahan-lahan isterinya anggukkan kepala bersama wajah yang gusar.
“Begitu juga pada kamu Tamar,” Haji Salim renung muka Datuk dan saya.
Serentak Datuk dan saya anggukkan kepala. Isteri Haji Salim mula tersedu dan Datuk terus memujuk isteri Haji Salim supaya jangan menangis dan meraung. Ternyata isteri Haji Salim patuh dengan cakap Datuk.
“Sahabat, kita nak tidur. Kita rasa bekalan kita sudah cukup,” suara Haji Salim cukup lemah. Sinar matanya cukup redup menikam wajah Datuk. Saya lihat Datuk menarik nafas dengan rasa yang penuh berdebar.
Beberapa saat kemudian, saya lihat Haji Salim merapatkan kedua belah kelopak matanya dengan aman. Wajahnya nampak seakan-akan orang tersenyum. Datuk segera merasai perjalanan nadinya.
“Dia kembali pada yang HAK. Semoga amal ibadahnya diterima oleh Allah,” beritahu Datuk pada isteri Haji Salim. Dan saya lihat perempuan tua yang berwajah tenang itu mengesat air matanya dengan hujung baju.
“Saya goreng pekasam kesukaannya tapi…,” perempuan Haji Salim tidak terdaya meneruskan kata-kata itu. ia terus tersedu. Saya dan Datuk berpandangan.
“Jangan disesali kematiannya. Kita mesti merelakan apa yang sudah diatur oleh Allah,” Datuk mengingatkan isteri Haji Salim yang masih termenung.
“Baik tuk.”
“Pergi sekarang.”
SEMPIT
Dengan hati-hati saya memijak anak tangga kiri kanan jalan menuju ke surau ditumbuhi pokok-pokok kecil yang merimbun. Memang sukar berjalan di jalan yang sempit. Kalaulah orang lain yang menyuruh, pasti saya bantah.
Melangkah di jalan yang sempit waktu malam, memang menyulitkan. Dua tiga kali saya terlanggarkan akar pokok yang melintang atas jalan. Bukan kepalang sakitnya.
Ada masanya saya terpaksa melompat, akibat dilanggar oleh katak puru yang muncul dari rimbunan pokok kecil di kiri kanan jalan. Saya lihat langit yang cerah, gumpalan awan terus berarak.
Saya sampai dekat pokok kelapa yang patah pucuk, akibat dipanah petir. Dari pangkal pokok kelapa itu, saya lihat cahaya gasolin di surau terang-benderang. Hati saya gembira kerana surau masih belum ditinggalkan oleh orang kampung.
Dalam gelap yang pekat itu, suara cengkerik kian rancak menyanyi. Beberapa ekor kelip-kelip terbang tidak tentu arah. Desir angin yang menyentuh dedaun terus berbunyi. Jarak surau dengan rumah Haji Salim kira-kira suku batu.
Tiba-tiba saya tersepak benda lembik. Saya berhenti melangkah sambil memusingkan kaki kanan saya dengan harapan dapat merasakan benda lembik itu. Anehnya, benda lembik itu tidak tersentuh bila melangkah. Dan dengan tiba-tiba saya teringatkan Haji Salim yang sudah menjadi mayat.
Saya juga teringat cakap orang tua-tua yang mengatakan bila ada orang mati malam, syaitan selalu merayau di kawasan orang ang meninggal dunia bertujuan untuk menakut-nakutkan orang yang masih hidup. Mengingatkan semuanya itu, cara mendadak sahaja bulu tengkuk saya meremang. Rasa takut mula bersarang dalam diri.
Cara yang paling baik dilakukan, berlari sahaja dalam gelap. Redah atau langgar apa sahaja, dengan itu cepat sampai ke surau dan terus pukul kerantung tujuh kali berturut-turut.
Setelah diperhitungkan dan dipertimbangkan dengan teliti, saya membuat keputusan untuk lari menuju ke surau. Baru lima enam langkah berlari, saya terlihat benda putih sebesar buah kelapa datang bergolek-golek ke arah kaki saya.
Dalam jarak dua kaki dari saya, benda putih itu berhenti bergolek. Bentuknya juga berubah jadi memanjang bantal peluk. Perlahan-lahan benda putih itu bangun, berdiri setinggi tubuh saya. Saya renung kiri kanan. Apa yang saya lihat, barisan kelip-kelip yang terbang menuju ke satu arah, iaitu arah barat daya.
Saya jadi tidak tentu arah dan bersedia menjerit memanggil Datuk. Tetapi, hasrat itu saya batalkan. Saya terus membaca ayat-ayat Quran untuk menghalau syaitan. Makin kerap ayat-ayat Quran itu saya ulangi, makin rancak benda putih itu berpusing-pusing di depan saya.
Saya terus lari sekuat hati menuju ke surau. Sampai di surau saya dapati tidak ada seorang pun di situ. Saya terus memanggil-manggil nama Siak beberapa kali. Tidak ada jawapan yang saya terima. Tetapi, mengapa Tuk Siak tidak mematikan lampu gasolin. Barangkali ia terlupa, kata hati saya.
Tanpa membuang masa, saya ambil kayu pemukul lalu memukul kerantung tujuh kali berturut-turut. Selesai sahaja kerantung (beduk) dipukul lampu gasolin terus padam dengan sendiri. Hati saya berdebar. Dan saya bagaikan mahu menangis rasanya. Saya terus duduk di tangga surau.
Dalam keadaan yang kelam-kabut itu, saya terdengar bunyi suara orang batuk dari arah belakang surau.
“Siapa yang mati?” tanya suara dari belakang surau.
“Tuk Siak di mana?”
“Aku tanya lain, kamu jawab lain.”
“Haji Salim yang mati.”
“Eloklah tu.”
Darah saya tersirap. Dan saya yakin, itu bukan suara Mat Upih Tuk Siak surau. Suara Mat Upih parau bercampur nyaring. Tetapi suara yang saya dengar ini, keras tidak nyaring dan serak.
Setiap orang kampung yang menerima berita kematian akan menjawab dengan kata-kata; Innalillah wa inna Ilaihirajiun. Mereka tidak akan mengucapkan perkataan, eloklah tu, seperti yang diucapkan oleh orang dari arah belakang surau.
“Itulah padahnya melawan kita,” tercetus lagi kata-kata dari orang yang tidak saya kenali. Dengan tidak disangka-sangka rasa marah dan benci tumbuh dalam hati saya terhadap orang itu.
“Ei, manusia tak baik cakap macam tu. Kamu juga akan mati,” balas saya.
“Sudahlah, tak lama lagi giliran Datuk kamu.”
“Nyawa Datuk aku bukan di tangan kamu, tahu.”
“Tunggu, dan lihat sendiri.”
“Laknat.”
Sebaik sahaja kata-kata itu saya ucapkan, saya tercium bau yang amat busuk. Saya terlihat dua lembaga manusia melintas di depan saya. Dari bentuk lembaga itu, saya tahu orang itu tidak lain tidak bukan ialah Kamal dan Daud.
“Aku tahu siapa kamu,” jerit saya.
Dalam saya terus berlari meninggalkan surau, terdengar suara orang ketawa berdekah-dekah dituruti dengan bunyi tapak kaki memburu saya dengan kuat. Saya terus berlari tanpa mahu menoleh ke belakang, ke kiri atau ke kanan.
Bila saya sampai di rumah Haji Salim, saya lihat orang sudah ramai. Mat Upih duduk di halaman rumah bersama dengan kawan-kawan. Semuanya memakai songkok putih.
“Macam mana tahu Haji Salim meninggal?” saya ajukan pertanyaan pada Mat Upih yang berkulit putih, berasal dari Pangkalan Bharu, dekat Pantai Remis.
“Ada orang datang beritahu para jemaah. Bila disuruh pukul kerantung, dia tak mahu. Katanya kamu nak pukul lepas sembahyang Subuh,” jawab Mat Upih.
“Pak Mat Upih kenal orangnya?”
“Inilah yang kami bincangkan. Orang tu memakai serba hijau, kami ingatkan keluarga si arwah yang datang dari jauh,” Mat Upih renung kawan-kawannya. Semua kawan-kawannya anggukkan kepala.
Saya garu pangkal telinga dua tiga kali. Di sudut halaman Datuk sedang berunding dengan penggali kubur. Isteri Haji Salim sedang bercakap dengan Borhan. saya terus menghampiri mereka.
“Aku nak suruh si Borhan ni telefon anak buahku dan telefon malam ni juga. Mana yang tak ada telefon pagi esok di pejabat,” terang isteri Haji Salim lalu memberi nombor telefon pada Borhan.
“Macam mana kau nak buat Borhan,” soal saya.
“Aku ke pekan malam ni juga, gunakan telefon abang aku Tamar.”
“Bila balik ke sini?”
“Malam ni juga.”
Borhan segera meluru ke Honda 70cc miliknya. Meninggalkan saya yang terpaku di sisi isteri Haji Salim. Bunyi enjin motosikal Borhan tidak kedengaran lagi.
Berita kematian Haji Salim cukup cepat merebak ke seluruh kampung. Tidak sampai dua jam rumah arwah Haji Salim jadi tumpuan. Semua yang datang tanpa di arah tahu dengan tugas masing-masing.
Ada yang datang membawa ketam, penukul dan paku serta gergaji. Ada yang datang membawa papan dan kayu. Mereka bergotong-royong membuat keranda dan pengusung. Menjelang pukul dua belas malam, semua kelengkapan itu siap.
Tepat pukul satu pagi, orang-orang yang datang pulang ke rumah masing-masing. Mereka sudah tahu tugas-tugas yang akan dilakukan pada esok pagi. Beberapa orang penduduk kampung terus membaca Quran di depan jenazah Haji Salim.
Pada mulanya, perbuatan itu ditentang oleh Datuk. Menurut Datuk membaca Quran di depan jenazah merupakan perbuatan yang bidaah, tidak pernah dilakukan oleh Nabi Besar Muhammad SAW.
“Tidak. Tujuannya baik dan perkara ini harus. Kita menyedekahkan pada roh arwah, kita tak usah bertekak atas perkara ini, nanti menimbulkan perbalahan antara kita,” sanggah Pak Imam.
“Saya tak pula bermaksud begitu. Setahu saya amal ibadah yang ditambah-tambah, perkara yang tidak dilakukan oleh nabi kita buat, sudah tentu perbuatan tu dicela oleh agama kita,” Datuk mempertahankan pendapatnya.
“Sebenarnya masalah ini, ulama-ulama besar pun tidak sependapat. Ada yang kata boleh, ada yang kata tidak. Sudah jadi kebiasaan orang-orang kita membaca Quran di depan jenazah,” tambah Imam lagi.
“Tak apalah, saya akan tanya pada ahli-ahli agama dalam hal ini, supaya orang kita dapat melakukan sesuatu yang baik mengikut nabi,” suara Datuk merendah.
“Saya setuju dengan awak, tapi apa yang berjalan sekarang jangan dikacau.”
“Demi perpaduan penduduk perkara tu saya tak halang. Tetapi bila saya dapat hujah yang kuat saya menentangnya.”
“Saya setuju,” Pak Imam tersenyum.
Saya tersenyum mendengar percakapan antara Datuk dan Pak Imam. Mereka sering bertolak ansur demi kepentingan dan perpaduan para penduduk. Pak Imam terus naik ke rumah. Saya duduk dekat pokok mempelam. Dua tiga kali saya menguap. Kelopak mata terasa amat berat sekali. Rasa dingin kian hebat mendakap seluruh badan. Tanpa diduga saya terlena sejenak.
“Tamar.”
Saya membuka mata. Saya lihat Datuk sudah pun duduk di sisi saya. Muka saya ditenungnya lama-lama. Kemudian pangkal ketiak kanan saya ditamparnya sekuat hati. Rasa mengantuk segera hilang.
“Jangan mudah tidur di mana-mana, nanti dikacau syaitan,” katanya pada saya.
“Saya mengantuk tuk.”
“Kalau mengantuk balik ke rumah.”
“Saya takut tuk.”
“Takut?” Datuk membeliakkan biji mata pada saya.
Saya terus menceritakan pada Datuk, segala kejadian aneh yang saya lalui ketika pergi ke surau beberapa jam tadi. Datuk mendengarnya dengan tenang.
“Dendamnya pada kita belum habis,” cetus Datuk sambil meraba ulu keris pemberian Haji Salim yang disimpan dalam uncang kecil. Datuk meninggalkan saya. Ia terus menemui isteri Haji Salim. Setelah bercakap-cakap sebentar dengan Datuk, isteri Haji Salim masuk ke rumah. Keluar kembali dengan ditemani oleh nenek.
Datuk dan nenek bercakap-cakap sebentar. Datuk tinggalkan nenek dan terus menghampiri saya.
“Kita balik dulu Tamar. Lepas Subuh kita datang lagi ke sini. Di rumah kamu boleh tidur.”
“Ini sudah cukup baik tuk.”
“Cepat bangun.”
Saya segera bangun. Badan saya menggeletar kesejukan. Langit tetap cerah tetapi sekitar kawasan rumah Haji Salim terus didakap oleh suasana malam yang agak pekat. Suara jampuk berpadu dengan suara pungguk mendendangkan irama malam yang tidak pernah habis selagi dunia berkembang. Begitu juga dengan suara cengkerik.
Langkah Datuk cepat, tidak tersepak tunggul atau akar. Ia cukup arif dengan jalan yang dilaluinya. Bagi mengelakkan supaya saya jangan jauh ketinggalan, saya terpaksa berlari. Kerana berlari membuat badan saya berpeluh dan menghilangkan rasa sejuk.
“Tamar.”
Datuk menepuk bahu saya. Langkah kami terus kaku.
“Ada apa tuk?”
“Kau nampak apa-apa Tamar.”
“Tak ada apa-apa tuk,” saya renung ke kiri, saya renung ke kanan. Dalam gelap gelita itu saya ternampak ada bentuk manusia berdiri antara saya dengan Datuk.
“Ada orang tuk.”
Sebaik sahaja kata-kata itu berakhir, bayang-bayang orang itu segera hilang. Ia muncul di depan Datuk. Kali ini bayang-bayang ini menjadi nyata. Mempamerkan wajah dan batang tubuhnya. Bila Datuk mahu menyapa, orang itu segera hilang dan berdiri jauh di belakang saya.
Orang itu membongkok macam mencari sesuatu di atas tanah. Perlahan-lahan orang itu mengeluarkan buluh tajam dan bersedia mahu menikam tanah yang ada kesan tapak kaki saya dan Datuk.
Waktu orang itu mahu menikam buluh tajam ke arah kesan tapak kaki saya dan Datuk, bagaikan kilat Datuk melompat lalu melakukan satu tendangan yang kuat ke arah pergelangan tangan orang itu. Buluh di tangan orang itu terpelanting lalu melekat di batang pokok pisang.
Orang itu terus tercengang. Tergamam untuk melakukan sesuatu. Dalam keadaan yang serba-salah itu Datuk melepaskan satu tendangan yang kencang pada orang tersebut. Saya lihat orang itu tersandar di pangkal pokok pisang.
Kalau orang itu tidak mengelak sudah pasti buluh tajam yang tercabut dan terjatuh dari pokok pisang mengenai perutnya. Kalaulah perkara itu terjadi, sukar untuk saya membayangkannya.
“Aku tahu, kamu menuntut dari kaum kubu di Sumatera, tidak ada sesiapa yang boleh mengalahkan kamu kecuali kaum itu sendiri,” kata Datuk. Saya lihat orang itu terdiam. Datuk segera merapatinya.
“Kamal, kamu menggelar diri kamu mahaguru. Kau memaksa orang memanggil kamu Datuk. Kamulah penipu besar di dunia ini,” Datuk terus mengutuk orang itu. tidak ada jawapan dari orang tersebut.
“Aku tahu, ilmu dunia orang kubu cukup hebat, bekas tapak kaki manusia musuhnya kalau ditikam dengan buluh orang itu boleh mati. Jika musuhnya berada jauh dalam jarah berpuluh-puluh batu, boleh dibunuh dengan membalingi pisau ke arah rumah musuh dan musuhnya mati dengan serta-merta. Aku juga tahu ilmu itu tidak ada pada kamu Kamal,” sambung Datuk dalam nafas yang tercungap-cungap.
Saya tidak berkata apa-apa. Bau hapak mula menyumbat lubang hidung saya. Ketika itu juga saya lihat beribu-ribu kelip-kelip berterbangan sekitar kawasan kami berada. Cahaya dari kelip-kelip itu memudahkan saya melihat pergerakan Kamal yang mula mahu bangun.
“Kalau ajalku belum sampai dan tidak diizinkan oleh Allah mati di tangan kamu, usahlah kamu memburu aku Kamal,” beritahu Datuk lagi. Kamal terus bangun.
“Buktinya Haji Salim,” pekik Kamal.
“Kamu silap. Ia mati kerana sudah sampai janjinya.”
“Sial, kamu sial, menghalang kerja-kerja aku.”
“Kalau kamu mahu menunjukkan kehandalan ilmu dunia kaum kubu yang kamu tuntut, aku bukanlah tempatnya. Aku tahu ilmu kamu tidak cukup lagi.”
“Mana kamu tahu.”
“Aku berasal di Tanah Jambi. Aku sudah bercampur gaul dengan beberapa orang ketua kaum tersebut, banyak ilmu dunia dia orang yang aku tahu. Serba sedikit pantang larang dan sumpahnya aku tahu,” Datuk berhenti bercakap.
Kelip-kelip kian bertambah. Kamal termenung panjang. Bau tokaknya kian kuat berbau. Lolongan anjing sayup-sayup terdengar. Bunyi angin kian kuat bertiup.
“Tokak di kaki kamu tu terjadi kerana kamu tidak pergi berjumpa dengan ketua orang kubu yang mahu tuntut ilmu. Kamu tidak membawa upahnya seekor babi hutan pada setiap tahun.”
“Ah mengarut.”
“Kamal, aku tak mahu cakap banyak. Eloklah kamu pindah dari sini sebelum kamu dilaknati oleh Allah. Pergilah ke mana-mana dan bertaubat.”
“Sudahlah.”
Dengan sekelip mata kelip-kelip yang beribu-ribu itu terus hilang. Kamal juga lesap dari pandangan saya dan Datuk. Buluh yang ada di bawah pohon pisang terbakar dengan sendirinya.
Datuk menarik nafas panjang. Di wajahnya terbayang rasa kesal. Lama juga Datuk termenung, macam ada sesuatu yang difikirkannya.
“Mari Tamar.”
Saya pun terus melangkah mengikut rentak kaki Datuk. Dua tiga kali melangkah, saya renung ke belakang. Bimbang, kalau Kamal muncul lalu menikam saya. Kalau perkara itu terjadi, tentu saya mati katak.
Kami selamat sampai ke rumah. Tidak ada perkara yang tidak diingini berlaku. Sampai di rumah saya terus tidur. Saya tidak tahu apa yang Datuk lakukan dalam biliknya.
USUNG
Pagi itu, sebelum pergi ke rumah arwah Haji Salim, Datuk duduk di kepala tangga. Saya terus menghampirinya.
“Tamar.”
“Ya, tuk.”
“Kau ingat dengan Daud.”
“Ingat tuk, kenapa tuk.”
“Dia menipu kita. Katanya dulu, Kamal orang nombor dua yang menjalankan perintah guru. Sebenarnya Kamal itulah kepala nombor satu.”
“Betul ke tuk.”
“Sudahlah, mari kita pergi ke rumah arwah Haji Salim.”
Waktu kami sampai orang ramai di rumah Haji Salim. Sanak saudaranya yang jauh sudah ada yang tiba. Saya pusing keliling rumah, kalau-kalau Saadiah dan keluarganya sudah tiba. Ternyata Saadiah masih belum sampai.
Rasa terkilan berbunga dalam diri saya. Rindu benar rasanya mahu melihat lesung pipit di pipi Saadiah. Dalam rasa kehampaan yang memanjang itu saya terus menuju ke arah Lebai Din yang buta kedua belah matanya.
“Tamar,” kata Lebai Din. Saya tersenyum bagaimana orang tua yang buta ini memanggil nama saya dengan tepat. Padahal saya tidak menegurnya.
“Kau pakai baju dan seluar putih hari ni,” tambahnya.
“Ya Pak Lebai,” jawab saya.
Lebai Din terus ketawa dan menepuk belakang saya beberapa kali dengan penuh kemesraan. Tangannya saya pegang erat-erat.
“Macam mana tahu Pak Aji meninggal?” tanya saya.
“Borhan beritahu.”
“Macam mana datang?”
“Jalan kaki Tamar.”
“Jauh tu Pak Lebai.”
“Sebagai orang Islam bila tahu saudara seagama meninggal kita mesti datang,” katanya. Saya anggukkan kepala. Setuju dengan pendapatnya itu.
Datuk datang dan terus duduk di sebelah Lebai Din. Saya tahu bila Datuk datang, saya tidak boleh bercakap ikut suka hati, nanti kena tegur oleh Datuk.
“Bila mahu dikebumikan,” tanya Lebai Din.
“Lepas Zuhur, nanti anaknya dari Beranang tiba. Kalau tak sampai juga, tak boleh ditunggu lagi.”
“Bagus, menyegerakan mengebumikan mayat memang dituntut oleh agama, tak baik melambat-lambatkannya,” jawab Lebai Din.
Orang tidak putus-putus datang ke rumah Haji Salim, orang sekampung semuanya tidak pergi kerja hari itu. orang luar dari kampung juga tidak kurang ramai yang datang. Melihat keadaan itu, saya meramalkan semasa hayatnya, Haji Salim memang terkenal dan dihormati.
“Orang yang duduk di tanah saya tu dah pindah,” Lebai Din memberitahu pada Datuk. Saya lihat Datuk terkejut.
“Macam mana awak tahu.”
“Lepas sembahyang Subuh tadi, orang tu lalu dekat rumah saya dan beritahu perkara tu.”
“Biadab, manusia biadab.”
“Biarlah dia biadab, asalkan kita tidak jadi macam dia. Saya bersyukur pada Allah…”
“Bersyukur, bersyukur apa?”
“Dia sudah meninggalkan pondok itu. kalau di suruh keluar dengan paksa lain pula jadinya.”
“Begitu,” saya lihat Datuk ketawa kecil. Keterangan dari Lebai Din membunuh keraguan dalam diri Datuk.
Seperti yang dijanjikan, lepas waktu Zuhur jenazah Haji Salim pun diusung ke tanah perkuburan. Masa di tanah kubur saya terlihat Kamal dan Daud ada di celah-celah orang ramai yang sedang mendengar Pak Imam membaca talkin.
“Mata kamu rabun.”
“Tak, saya nampak tuk.”
“Pandangan kamu saja, semuanya kerana takut.” Suara Datuk keras. Saya terus diam.
Bila semuanya sudah selesai. Orang ramai pun meninggalkan tanah kubur. Tetapi, Datuk dan Lebai Din masih berdiri di sisi pusara Haji Salim. Wajah mereka muram, mata mereka merah.
“Allah kasihkan dirinya, kerana itu ia dipanggil,” keluh Datuk. Lebai Din menarik nafas, matanya tidak berkedip merenung tanah pusara.
“Saya kehilangan kawan,” tambah Datuk lagi.
“Saya juga begitu. Susah mahu mencari orang macamnya, penyabar dan bertimbang rasa,” sahut Lebai Din. Serentak Datuk dan Lebai Din meninggalkan pusara.
“Tadi, saya rasa laknat tu ada sama,” cara mendadak sahaja Lebai Din memberitahu Datuk. Muka Datuk segera berubah. Perlahan-lahan ia menarik nafas.
-TAMAT-
109.
CERITA² MISTIK, MISTERI 📛 SERAM - #SEASON2
KOLEKSI CERITA SERAM MELAYU
HIMPUNAN CERITA SERAM
TAJUK CERITA :
CP BY ADMIN A.D
CGCZONE BRUNEI
theHORRORZONE BRUNEI
KODE : 300002750940109
http://thehorrorzon.blogspot.com/2020/04/cerita-mistik-seram.html
110.
CERITA² MISTIK, MISTERI 📛 SERAM - #SEASON2
KOLEKSI CERITA SERAM MELAYU
HIMPUNAN CERITA SERAM
TAJUK CERITA :
CP BY ADMIN A.D
CGCZONE BRUNEI
theHORRORZONE BRUNEI
KODE : 300002750940110
http://thehorrorzon.blogspot.com/2020/04/cerita-mistik-seram.html
Comments
Post a Comment