AHMAD MUHAMMAD
KISAH SERAM 📛 MELAYU BERSIRI
HASIL KARYA : MOHD FAIZULLIZAM ZAMANI
CP BY ADMIN A.D
CGCZONE BRUNEI
theHORRORZONE BRUNEI
SINOPSIS :
Cerita ini saya dedikasikan kepada arwah cikgu saya, Cikgu Mohd Ali Bin Bachik (al fatihah untuk beliau). Tajuk Ahmad Muhammad ini datang dari beliau yang bercerita di dalam kelas, lama dahulu. Namun, saya hanya menggunakan tajuknya sahaja.
Selebihnya adalah dari kisah penceritaan saya sendiri. Selamat membaca
KISAH SERAM 📛 MELAYU BERSIRI
TAJUK CERITA : AHMAD MUHAMMADHASIL KARYA : MOHD FAIZULLIZAM ZAMANI
CP BY ADMIN A.D
CGCZONE BRUNEI
theHORRORZONE BRUNEI
http://thehorrorzon.blogspot.com/2020/04/ahmad-muhammad.html
PART 1
Di dalam bilik, di sebuah rumah kampung.
Pak Shuib sedang leka mengusap kerisnya. Mulutnya terkumat-kamit membaca sesuatu.
“Tok,” seorang kanak-kanak datang menghampiri.
Kekusyukan Pak Shuib terganggu. Dia menoleh.
“Boboy kenapa kacau atok?” Tanya Pak Shuib.
Boboy, cucu kesayangannya yang sering pulang ke kampung tatkala cuti sekolah, menggoyangkan badan dengan penuh kemanjaan.
“Atok, boring la. Asyik tengok TV je,” ujar Boboy.
Pak Shuib tersenyum. Dia faham. Kebiasaannya cucu-cucunya yang lain akan pulang juga. Barangkali cuti persekolahan masih awal lagi. Tak seperti Boboy. Setiap kali cuti hujung tahun. Dia pasti akan menghabiskan masanya bersama Pak Shuib dan Mak Ibik, isterinya.
“Mari duduk sini. Duduk sebelah atok,” lawa Pak Shuib. Kerisnya masih kejap digenggam.
Boboy tersenyum girang. Dia terus duduk bersila. Pak Shuib mengusap kepala cucunya.
“Boboy nak dengar cerita?”
“Nak!!”
“Tapi cerita ni panjang tau.”
“Alaa, Boboy cuti sebulan. Tapi tok kena cerita sampai habis tau. Janji,” katanya sambil menghulurkan jari kelingkingnya.
Kelingking mereka berkait.
“Atok janji.”
“Atok nak cerita apa? Cepat la tok!”
“Hishh. Sabar. Tok nak cerita tentang sebuah cerita dulu-dulu....”
Maka Pak Shuib pun mula bercerita. Ianya sebuah kisah lama. Kisah di kala Melayu, bangsa terbilang. Di kala bumi bertuah, penuh dengan hikayat.
Ada hikayat yang tersohor. Ada hikayat tersirat. Penuh rahsia, penuh tanda tanya. Hikayat nan satu membuka cerita.
Hikayat ini, Ahmad Muhammad. Hikayat terpencil tiada siapa bertanya.
*********
Arakian di sebuah kampung bernama Kampung Beringin. Sepasang suami isteri, hidup terjalin. Hidup mereka bahagia, kasih sayang bertaut.
Sang suami bernama Megat. Sang isteri pula bernama Merdu. Adapun sang suami seorang yang sangat peramah. Disenangi oleh semua penduduk kampung.
Merdu pula wanita rupawan. Didamba oleh ramai jejaka tampan. Tetapi hanya Megat yang bertuah badan.
Mereka boleh dikatakan baru membina kehidupan di kampung itu. Sebelum ini berpindah dari mana? Tiada siapa yang peduli. Kehidupan mereka seperti biasa. Tiada apa yang istimewa. Mereka miskin tiada berharta. Hanya anak yang tiada nilainya.
Prapp!
Megat meletakkan setandan pisang di kaki tangga rumah. Dia terus duduk bersandar di situ. Agak besar dan berat tandan yang dibawa. Mungkin pisang dari benih pertama.
Merdu keluar dengan secawan air. Dihulurkan kepada suami yang tercinta. Panas terik mentari masih lagi menyengat walaupun hari telah lewat petang.
“Macam tahu-tahu saja saya dah balik,” ujar Megat.
Merdu hanya tersenyum. Dia terus duduk bersimpuh di muka pintu. Sesekali terdengar suara burung pipit pulang petang, bernyanyi-nyanyi di hujung atap.
“Bunyi tapak kaki abang, dari jauh Merdu dah dengar,” ujarnya kembali. Megat mengusap perut merdu yang mengening.
“Mungkin lagi beberapa bulan. Anak ayah, Zaleha. Dah makan?” Megat bercakap dengan perut Merdu.
Papp!! Bahu Megat ditampar manja.
“Mana abang tahu perempuan? Pandai-pandai je abang ni.”
Megat hanya tersenyum dengan mata masih tertancap ke perut Merdu. Dia yakin kali ini perempuan.
Gduk!! Gduk!! Gdukk!!
Kedengaran bunyi tapak kaki yang meriuhkan suasana di dalam rumah.
Merdu menggelengkan kepala.
“Biarlah budak-budak tu. Anak lelaki. Kalau tak lasak, bukan anak lelaki namanya. Hahaha!”
“Ahmad! Muhammad! Mari sini,” teriak Megat.
Lalu kedengaran sekali lagi bunyi deruan orang berlari. Terpacullah dua orang budak lelaki kembar yang wajahnya sangat iras. Mereka amat comel. Berumur sekitar 4 tahun.
“Ya ayah,” kata mereka serentak.
“Tadi ayah lalu disebuah tali air semasa lalu di kampung sebelah. Nanti kita pergi memancing. Nak?”
Mereka mengangguk girang.
Di usap belakang kedua anak kembar itu sambil tersenyum.
“Nanti kamu berdua akan jaga adik kamu. Ayah yakin itu adalah adik perempuan. Suka tak?” kata Megat sambil memandang ke arah Merdu yang sedang menggosok perutnya.
“Kalau lelaki, nanti kita ajak dia pergi memancing nak?” Ujar Muhammad.
Megat anggukkan kepala.
“Kamu berdua ni nakal. Ayah risau kamu berdua buli adik kamu nanti. Hahaha!”
Lalu Ahmad, yang paling sulung berdiri.
“Siapa buli adik Ahmad, Ahmad pukul dia macam ni!” Katanya yang terus menumbuk ke lantai.
Papp!!
“Adoiiii!! Sakit ayah!” Dia mengaduh sambil memegang pergelangan tangannya.
Megat dan Merdu tertawa.
“Muhammad, pergi ambil minyak urut tu,” arah Merdu.
Muhammad bingkas bangun masuk ke rumah. Seketika kemudian, dia terpacul kembali bersama botol di tangan.
“Tumbuk lantai pun meraung. Nak bantai orang konon,” ejek Muhammad sambil menghulurkan botol ke tangan ibunya.
Dia meraba-raba tangan Ahmad. Ibu jarinya terus menjalar seperti mencari titik kesakitan.
Krakk! Megat memicit tangan Ahmad.
Serta merta Ahmad melaung seketika. Selepas itu dia terdiam. Mungkin telah merasa lega.
“Macam mana?”
Ahmad mengacukan buku limanya. Digenggam dan dikembangkan berulang kali. Dia menganggukkan kepala.
“Eh, dah elok pula. Macam mana ayah buat?” Tanya Ahmad.
“Dah, kamu berdua pergi main di halaman. Ayah risau kamu runtuhkan lantai rumah ni nanti. Haha,” tempelak Megat yang cuba mengelak pertanyaan itu. Menderu mereka turun dari tangga dan masuk ke semak belukar yang tebal.
“Jangan jauh-jauh. Ada binatang liar!” Pekik Merdu.
Begitulah mereka sekeluarga. Hidup aman damai. Megat bukanlah jenis yang panas baran. Dia seorang ayah yang sangat periang. Begitu juga Merdu. Mereka berdua ibarat merpati dua sejoli.
*********
Pada satu tengahari, di warung kopi Pak Umar, yang terletak satu rantai dari rumah Megat, kelihatan agak riuh. Seperti ada sesuatu yang terjadi. Warung usang yang terletak di tepi tali air itu, hanya dikunjungi oleh rakan terdekat sahaja.
“Arghhhhh!!!”
Seorang lelaki yang dibaringkan di kerusi panjang, sedang memegang kakinya yang telah bengkok akibat patah. Tulang terjulur keluar dari betisnya.
Airmata berjuraian menahan kesakitan.
Seorang lelaki yang berbadan tegap berada di sisi sambil mengipas lelaki yang cedera itu dengan kain. Cuaca diluar agak panas. Menambahkan lagi kesakitan si pemuda.
“Macam mana boleh jadi macam ni, Leman?!” Tanya seorang lelaki separuh umur kepada lelaki yang sedang mengipas.
“Dia jatuh pokok tadi, Pak Umar. Kami tengah petik buah kelapa tadi. Si Dol ni pijakkan tandan buruk. Terus jatuh ke bawah,” jelas Leman.
Pak Umar memerhatikan keadaan Dol. Dibelek serba sedikit. Darah, kuat meleleh turun ke buku lali.
“Tak boleh dibiar ni. Leman, kamu papah dia. Ikut aku. Kena jalan jauh sikit ni. Boleh?”
“Berapa jauh?!” Tanya Dol dengan suara yang tinggi. Mukanya berkerut dan dibasahi peluh jantan.
“Sakit juga la kamu nak sampai ke sana. Tapi aku cuma boleh bawa kamu berdua sahaja. Jangan beritahu pada orang lain,” ujar Pak Umar.
“Bolehlah. Takkan kamu nak tunggu sini. Lagi sakit!” Pujuk Leman.
Dol mengangguk, terpaksa. Dia cuba bangun. Dalam keadaan bersusah payah, mereka menuju keluar dari warung menuju masuk ke dalam belukar.
Mereka berjalan hinggalah bertemu sebuah rumah. Ia adalah rumah Megat.
“Assalamualaikum,” teriak Pak Umar.
Megat muncul di muka pintu. Mukanya berubah.
“Megat, tolong dia Megat. Teruk sangat ni!” Rayu Pak Umar.
Muka Megat seakan cemas. Dia memandang ke kiri dan ke kanan.
“Saya tak boleh ni, Pak Umar,” balas Megat.
“Tolonglah dia. Kalau tak, dia akan cacat. Tak pun boleh mati kalau dibiarkan. Tolonglah Megat,” rayu Pak Umar lagi.
Megat masih lagi serba salah. Dol diam hampir tak sedar diri. Keadaannya seperti separuh sedar. Matanya kuyu melayu.
“Pak Umar kan tahu....hmmm...tak apa lah. Bawa dia naik. Dia dengan Pak Umar je. Abang ni boleh tunggu di luar,” kata Megat.
Leman bersetuju. Lagipun dia ingin mengambil angin luar yang lebih nyaman berbanding di dalam rumah yang sangat bahang. Tak berani dia ingin melihat luka sahabatnya yang parah itu.
*********
Tapp!! Tapp! Tapp!
Megat menikam beberapa bahagian di badan Dol. Terus Dol yang berbaring di ruang tamu rumah, pengsan tak sedarkan diri. Merdu dan anak-anak mereka mengintai di sebalik dinding.
“Dia dah tak rasa sakit lagi,” kata Megat. Pak Umar hanya mengangguk.
Megat menegakkan tangan kanannya di atas perut Dol. Telapak tangannya dibuka dan di alur ke bawah. Tangannya berhenti tatkala berada di tempat yang cedera.
Dia menekap tangannya di atas luka yang berceracak dengan tulang dan serpihan.
Lalu muncul satu asap nipis berterbangan dari celahan telapak tangan Megat.
Pak Umar memerhati sahaja. Dia seperti tidak terkejut dengan apa yang dilihat. Megat hanya diam dan menumpukan perhatian.
Krakk! Krakk! Bunyi tulang berselisih dengan sendiri. Jelas kaki yang bengkok, bergerak membetulkan kedudukan seperti ada sesuatu yang sedang memegang kakinya.
Dari balik dinding, Ahmad dan Muhammad berpandangan sesama sendiri. Mereka tidak menyangka akan melihat ayah mereka mempunyai kemampuan sebegitu.
Merdu terus menarik kedua anak kembarnya menuju ke dapur.
“Kamu diam-diam. Jangan beritahu sesiapa apa yang kamu nampak. Faham?” Ujar merdu sambil meletakkan jari di bibir sebagai isyarat diam.
Mereka berdua menganggukkan kepala.
“Alhamdulillah. Dia dah baik,” kata Megat lalu bersandar ke dinding. Sebelah lututnya ditegakkan. Dadanya berombak sedikit.
Pak Umar meneliti kaki Dol. Semua luka telah sembuh. Tulang yang tersembul keluar telah tiada lagi. Keadaan seperti tiada apa yang pernah berlaku. Pak Umar tersenyum.
“Pak Umar jangan senyum sahaja. Pak Umar tahu apa yang saya lakukan ini adalah bahaya. Pak Umar panggil abang tadi tu naik ke atas,” arah Megat. Dia mencapai bekas meletak rokok daunnya.
Leman naik ke rumah lalu duduk di hadapan Megat yang sedang membakar rokok daun. Leman sangat teruja apabila melihat Dol telah sembuh. Cuma, dia belum sedarkan diri. Pun begitu, terbit rasa pelik dalam dirinya melihat keadaan Dol yang seperti tidak berlaku kemalangan apa-apa pun.
“Aku nak minta abang satu perkara,” kata Megat dengan selamba sambil memandang ke tingkap rumah.
Leman agak keliru. Megat bercakap dengan siapa?
Megat merenung wajah Leman. Agak kelam kabut juga Leman melihat Megat merenung tepat ke matanya.
Megat menggelengkan kepala. Seperti dia tahu akan sesuatu. Dia lantas bangun berdiri di belakang Leman yang sedang bersila.
Leman jadi kelam kabut.
“Tenang,” kata Megat, ringkas.
Kedua belah kepala Leman dipegang dengan kedua belah tangannya. Kelihatan tangan Megat mengeluarkan asap nipis.
“Huppp!” Pekik Megat sambil menyentap kedua belah tangannya.
Leman terhuyung hayang lalu rebah di lantai rumah.
“Kenapa kamu buat macam tu?” Tanya Pak Umar.
“Saya kena tutup mulut mereka, Pak Umar. Saya tak sanggup memperjudikan nasib keluarga saya dan penduduk kampung Beringin ni,” balas Megat lalu membuat perkara yang sama pada Dol.
Seketika, Megat duduk bersila kembali, Dol dan Leman telah mulai sedar. Mereka terus duduk. Digosok-gosok kepala dan mereka berpandangan sesama sendiri.
“Kamu buat apa di sini?” Tanya Leman.
“Kamu pun sama. Buat apa di sini? Mana buah kelapa kita?” Balas Dol pula.
Mereka memandang Pak Umar dan Megat yang sedang tersenyum memandang mereka.
“Abang berdua tadi pengsan masa memetik kelapa tadi. Pak Umar dan aku yang bawa abang berdua datang sini. Mungkin sebab cuaca agak panas tadi,” jelas Megat.
Mereka berdua menyeringai. Mereka mengiyakan sahaja apa yang dikatakan oleh Megat walaupun kepala mereka sedang berpusing mengingatkan sesuatu.
Tik! Tik! Tik!
Merdu muncul dengan hidangan di dalam sebuah dulang.
“Abang berdua pun dah pulih. Mari minum dulu,” lawa Megat yang mengensot merapati Merdu, dengan sangat ramah.
Seperti terpukau. Mereka berdua hanya menurut sahaja apa yang dikatakan oleh Megat.
**********
“Huaaaaaa. Dia ada mejik tok?!” Kata Boboy yang membeliakkan mata.
Pak Shuib tertawa kecil. Telatah cucunya memang menjadi penghibur dikala sunyi. Dia mengusap kepala Boboy.
“Cerita tak mula lagi Boboy. Panjang lagi cerita ni.”
Boboy diam seketika. Dia memikirkan sesuatu.
“Siapa Megat tu tok? Lain macam je Boboy tengok?” Terpacul satu soalan secara spontan.
Pak Shuib diam seketika. Matanya direnung tepat ke wajah Boboy.
“Dah, pergi tidur. Nanti kita sambung lagi. Atok dah penat ni. Tengok, keris pun atok dah sarung..haaa,” katanya sambil mengacukan keris yang telah bersarung.
“Ala boring la atok. Boboy tak boleh tidur ni. Boboy banyak makan gula tadi. Heh heh heh.”
Berdekah Pak Shuib tertawa lagi.
“Betul ni. Besok kita sambung ya,” kata Pak Shuib.
“Ala atok ni. Ni baru dua ribu patah perkataan. Boboy nak dua puluh ribu. Baru puas,” Boboy mula memuncungkan bibirnya.
Sambil tertawa. Pak Shuib tak menghiraukan kata-kata Boboy. Dia terus memaut bahu cucunya untuk keluar dari bilik.
“Kalau dilayan. Dengan aku, aku sekali tak tidur dibuatnya,” getus hati Pak Shuib.
Tapp!! Lampu bilik di tutup.
BERSAMBUNG...
KISAH SERAM 📛 MELAYU BERSIRI
TAJUK CERITA : AHMAD MUHAMMADHASIL KARYA : MOHD FAIZULLIZAM ZAMANI
CP BY ADMIN A.D
CGCZONE BRUNEI
theHORRORZONE BRUNEI
http://thehorrorzon.blogspot.com/2020/04/ahmad-muhammad.html
PART 2
Mak Ibik kelihatan sedang mengemas hidangan setelah selesai sarapan. Pak Shuib bersandar di jenang pintu sambil menggulung rokok daun.
Boboy datang merapat.
“Atok, cerita la lagi.”
“Ya, atok memang nak cerita ni. Tunggu Boboy je. Kejap lagi Boboy dah ada kawan,” kata Pak Shuib. Boboy termanggu-manggu. Tak faham dengan apa yang Pak Shuib katakan.
Tin!! Tin!!
Sebuah kereta Toyota Vios masuk ke perkarangan rumah beberapa ketika setelah Pak Shuib mengatakan demikian kepada Boboy. Pak Shuib memanjangkan lehernya. Anaknya yang kedua, si Mukmin pulang dari Melaka.
“Sampai pun....”
Sepasang suami isteri dan dua orang anak mereka keluar dari perut kereta. Dua anak mereka kelihatan girang melihat Pak Shuib dan Boboy dipintu rumah.
Mereka berlari datang.
“Atok!” Pekik mereka lalu terus menyambut tangan Pak Shuib.
Mukmin dan isterinya, Sarah mengucup tangan Pak Shuib.
“Mak mana, ayah?” Tanya Mukmin.
“Ada tu haa kat dapur. Kamu dah sarapan?”
Mereka berdua mengangguk.
“Dah, pergi jengah mak kamu. Umi, Amin, pergi salam nenek. Nanti datang balik sini. Atok ada cerita tau,” kata Pak Shuib sambil mencerlangkan mata. Mukmin dan Sarah hanya tersenyum melihat gelagat mereka.
“Wahh mesti best!”
“Best woooo. Ada mejik-mejik,” kata Boboy.
Mereka terus berlari masuk ke rumah meninggalkan ibu dan ayah mereka yang mengekori dari belakang. Selang beberapa ketika, mereka dah terpacul di sebelah Boboy.
“Atok, sambung la. Siapa Megat tu?” Tanya Boboy dengan muka tekun merenung wajah Pak Shuib.
Pak Shuib menyambung kembali ceritanya...
“Megat bukan sebarang Megat. Megat menyimpan rahsia lama. Biar tok ceritakan satu persatu dulu. Nanti Boboy tahulah siapa Megat tu.”
Boboy mengangguk faham. Umi dan Amin hanya menunggu datuknya bermula.
********
Di warung Pak Umar. Megat sedang termanggu di hadapan secawan kopi O yang terhidang. Berwajah muram, mulutnya tak berkata-kata.
“Maafkan aku Megat. Cedera mereka terlalu teruk sangat. Tak sanggup nak dibiarkan?”
Kopi dihirup.
“Saya tak salahkan Pak Umar. Cuma risaukan jejak saya yang mungkin dapat dikesan,” kata Megat sambil menggosok dahinya.
Megat menghela nafas panjang. Jiwanya tak tenteram sejak kedatangan Leman dan Dol ke rumah. Pak Umar cuba memujuk.
“Apa yang boleh aku tolong?” Tanya Pak Umar. Masalah yang bakal timbul membuatkan dia rasa amat bersalah.
Megat menggelengkan kepala.
“Tak ada sesiapa pun yang mampu tolong, Pak Umar. Berdoalah kita agar tiada apa-apa yang buruk bakal berlaku,” tingkah Megat.
Pak Umar hanya mengangguk faham. Jauh disudut hati sanubarinya, dia merasa serba salah.
Tak sampai beberapa ketika kemudian, Selepas membayar minumannya, Megat beransur pulang.
********
Gduk! Gduk! Gduk! Bunyi kaki berlari.
“Ibu, kami nak pergi ke baruh,” ujar Muhammad yang sedikit mencungap.
Kebenaran diberi. Tanpa lengah, sekejap sahaja rumah menjadi sunyi. Hiruk pikuk mereka berdua terus hilang menyepi.
“Bang, sini bang!” Telunjuk Muhammad menunjuk ke arah sebuah lubang.
“Mana dik?”
Sebuah lubang selebar empat jari sepertinya sebuah tempat diamnya ular, menarik perhatian mereka. Tanpa bercakap banyak, tangannya terus dihulur ke dalam lubang.
“Dapat!”
Ahmad menarik tangannya. Seekor ular tedung selar sebesar paha budak, lebih panjang dari mereka, menggelupur ingin melepaskan diri. Telapak yang comel mengenggam dengan sangat kuat. Tak setara dengan rupa.
Adiknya melonjak riang melihat abangnya kuat mengenggam. Tangannya ditepuk-tepuk melihat kejayaan.
Mereka membuli ular itu. Walaupun liar, ular itu tidak berdaya. Ahmad tidak seperti kanak-kanak lain. Disentap ekor si pemangsa dikala ia ingin menyusup lari.
Zassss!
“Aduhh!” Ahmad memegang pergelangan tangan. Patukan itu sangat menyakitkan.
“Bang? Kau tak apa-apa?” Tanya Muhammad yang agak cemas. Ular tadi telah ghaib ke dalam semak.
Ahmad melerai pegangan. Sakit yang dirasa tadi telah hilang. Mereka berdua berpandangan sesama sendiri. Pelik sungguh. Mana perginya kesan patukan ular tadi?
“Heh heh heh....” lantas terdengar satu suara asing.
Mereka berdua terkejut. Seperti ada bunyi sedang mengejek mereka. Suasana cemas tiba-tiba menyelubungi suasana. Naluri Ahmad yang lebih tua bertindak menjadi pelindung.
“Siapa?!” Jerkah Ahmad.
Tiada apa yang kelihatan. Hanya bunyi hiruk pikuk sang kokang secara tiba-tiba memecah keheningan suasana.
“Bang, mari kita pulang,” Muhammad memaut tangan Ahmad.
“Nanti, kita tunggu,” tingkah Ahmad.
Seketika kemudian, semak dihadapan mereka bergerak-gerak. Seorang lelaki tua yang bongkok, datang merapati.
Ahmad dan Muhammad menelan air liur. Gerun melihat kelibat orang tua yang berpakaian compang camping itu.
“Atok siapa? Dari mana?” Tanya Ahmad, memberanikan diri.
Orang itu memperlihatkan wajahnya. Dibawah rembang matahari, kelihatan wajahnya yang sangat ngeri. Matanya terjuntai keluar ke pipi. Kepala lutut mereka berlaga sesama sendiri, menggeletar.
“Aku sungguh kagum kamu berdua boleh melihat aku. Siapakah kamu wahai cucu?” Suaranya agak parau.
Muhammad mencuit bahu Ahmad.
“Mari pulang!”
Walaupun ketakutan, Ahmad bersetuju dengan desakan adiknya.
“Lariii!!!” Mencicit mereka melarikan diri. Terus ditinggalkan orang tua yang menegur mereka.
********
“Aik? Lari? Apa ni tok. Kenapa lari pulak?” Bentak Boboy.
“Eh awak ni. Tak sabar la. Biar la atok cerita dulu,” bidas Umi.
Boboy mencebikkan bibirnya.
Pak Shuib tersenyum melihat gelagat mereka. Inilah waktu yang memang dinantikan beliau dan isteri. Dikunjungi anak dan cucu.
Dia meneruskan cerita...
********
Termengah-mengah mereka berdua tatkala tiba dimuka pintu dapur. Sebelah tangan mereka menongkat ke dinding papan dengan badan terbongkok.
“Bang, kita nampak hantu!” Kata Muhammad dalam mencungap.
“Betul. Kita nampak hantu. Nampak mata dia? Geli betul! Eiii,” sambut Ahmad, sedikit menggelinjang.
Kriukkkk pintu dapur terbuka. Merdu muncul di muka pintu.
“Kenapa dengan kamu berdua?”
“Kami nampak hantu!” Muhammad menjawab dengan tiba-tiba.
Merdu tergamam. Dia melilaukan mata ke serata hutan di belakang rumah. Tiada sesiapa. Lantas memaut kedua kembar.
“Masuk cepat. Sudah. Hari pun dah hampir lewat,” beriya-iya benar Merdu menarik tangan mereka berdua.
Si kembar merasa pelik. Mereka berpandangan sesama sendiri. Masakan ibu mereka tahu sesuatu?
Tidak jauh dari situ. Lelaki tua tadi meninjau dari jauh. Dia bersembunyi di balik pokok manggis yang berdaun rimbun.
“Heh heh heh heh...di sini rupanya kau ya.”
Lantas lelaki tua itu ghaib bersama satu hembusan angin petang.
Di dalam rumah. Merdu berteleku di hadapan si kembar yang sedang berdiri memandangnya. Mata mereka bertemu. Wajah Merdu sangat kelat.
“Cerita pada ibu, apa kamu nampak?”
“Err tadi kami tangkap ular...errr...lepas tu ular tu lari..hmmm...lepas tu ada hantu keluar dari semak...lepas tu dah..hehe,” ujar Ahmad. Sangkaannya yang ibunya akan memarahinya kerana menangkap ular.
Merdu memegang kedua belah bahu Ahmad.
“Macam mana rupanya?” Katanya sambil menggoncang bahu Ahmad.
Mereka berdua merasa amat pelik. Kenapa dengan ibu mereka? Mengapa seperti takut benar?
Lalu diceritakan raut wajah sang tetamu asing tersebut. Dari wajahnya hinggalah ke suaranya.
Merdu mendengar dengan penuh teliti. Seketika, dia berfikir sesuatu.
“Ini alamat tak baik.”
“Ibu cakap apa ni?” Tanya Ahmad yang dilanda kemusykilan.
Merdu memegang bahu mereka berdua.
“Sudah. Kamu pergi mandi. Cepat, sebelum hari menjadi lewat,” gesa Merdu.
Mereka berdua yang agak tertanya terpaksa akur dan melakukan seperti apa yang disuruh. Merdu menanti kepulangan Megat dari kebun yang tak kunjung tiba. Hatinya resah.
Megat perlu tahu perkhabaran ini. Sesuatu yang tak baik bakal berlaku.
********
Megat duduk di anjung rumah bersama sebuah pelita di tengah-tengah. Suasana agak sunyi dengan bunyi unggas-unggas dan sesekali kelawar tingkah meningkah di dalam gelap.
Tissss, dia membakar rokok gulung dibucu mulut. Sebelah lututnya ditegakkan. Kelihatan Merdu ada di dalam kelam cahaya pelita, di kanan Megat.
“Hmmmm.....”
Megat mendiamkan diri. Merdu telah menceritakan kepada Megat kejadian petang sudah semasa menikmati juadah makan malam.
“Merdu risau bang,” desak Merdu.
Megat hanya mengangguk perlahan tanpa sebarang kata. Matanya tepat merenung ke arah tikar mengkuang di lantai.
“Kita kena keluar dari kampung ini segera....” ujar Megat, lemah.
Tiba-tiba terdengar bunyi ranting dipijak. Megat memanjangkan lehernya menjengah ke tingkap yang terbuka.
Megat segera meniup pelita dan merayap seperti seekor harimau yang sedang ingin mengendap ke arah tingkap. Matanya ditinjau ke luar rumah melalui jenang. Serta merta anak mata hitamnya menjadi bulat dan besar.
Sayup-sayup kedengaran Megat berbunyi seperti harimau berdengus.
Diamati setajam-tajamnya di dalam gelap. Cahaya bulan menerangi membantu pandangan. Apa sahaja yang bergerak walaupun sekelumit. Pasti matanya dapat menangkap.
Namun, tiada apa yang mencurigakan. Hanya bunyi angin sesekali menghembus rakus daripada biasa.
Megat terus merayap ke arah Merdu kembali. Dia berbisik dengan suara yang agak parau. Tidak seperti suaranya.
“Pergi ambil anak-anak. Abang tak sedap hati. Kita bertolak malam ini juga,” arah Megat.
Merdu mengangguk faham.
Tak berapa lama kemudian. Beberapa punjut kain dan beberapa bekalan makanan telah tersedia di tengah-tengah rumah.
Megat memegang bahu si kembar yang sedang terpisat.
“Kita kena pergi dari sini. Kamu berdua mengerti?”
“Kenapa ayah?” Tingkah Muhammad yang menggenyeh mata.
“Ayah tak ada masa nak ceritakan sekarang. Mari kita pergi!” Desak Megat. Serta merta mata mereka menjadi cerlang. Wajah ayah mereka menceritakan sesuatu yang menggerunkan.
Megat menadah telapak tangannya. Dia membaca sesuatu lalu meniup telapak tangannya. Sesuatu yang mendatangkan bau wangi berterbangan tatkala ditiup Megat.
“Sampaikan amanatku.”
Megat terus mengarahkan mereka bertiga mengikut di belakang. Merdu yang amat risau, melilau memandang sekeliling. Sepertinya akan diserang dari segala sudut.
Baru sahaja kaki ingin menjengah ke jenang pintu. Seorang lelaki muncul bertenggek di tingkap.
“Nak pergi mana Megat? Heh heh heh.”
Lelaki itu tidak berbaju. Matanya menyinar di dalam gelap. Dari sinaran bulan, terlihat wajahnya seakan-akan menyerupai haiwan. Wajahnya berbulu!
Megat terus merangkak seperti seekor harimau. Tangannya dicengkam ke lantai. Dia berkedudukan seperti ingin menerkam.
“Macam mana kamu boleh menemui aku, Tuka?” Tingkah Megat dengan suara yang garau.
Lelaki bernama Tuka itu merenung Megat dengan pandangan yang tajam. Dia menyeringai hingga meleleh air liurnya. Taringnya yang panjang, berkilat di dalam gelap.
BERSAMBUNG...
KISAH SERAM 📛 MELAYU BERSIRI
TAJUK CERITA : AHMAD MUHAMMADHASIL KARYA : MOHD FAIZULLIZAM ZAMANI
CP BY ADMIN A.D
CGCZONE BRUNEI
theHORRORZONE BRUNEI
http://thehorrorzon.blogspot.com/2020/04/ahmad-muhammad.html
PART 3
KISAH SERAM 📛 MELAYU BERSIRI
TAJUK CERITA : AHMAD MUHAMMADHASIL KARYA : MOHD FAIZULLIZAM ZAMANI
CP BY ADMIN A.D
CGCZONE BRUNEI
theHORRORZONE BRUNEI
http://thehorrorzon.blogspot.com/2020/04/ahmad-muhammad.html
PART 25
Dalam suasana suram. Gua bersemayamnya Tok Bakawali bergegar. “Tidakkkkk!!!!!
” Satu tempikan bergema membuatkan haiwan-haiwan liar bertempiaran. Burung-burung gagak berterbangan. Agak riuh mendengar sang gagak berkuak di dalam kumpulan.
Kelihatan Jelaga tiba-tiba muncul di hadapan gua. Dia membongkok seperti menyembah. “Sabar tuan. Sabar,” ujar Jelaga. Tak sampai beberapa ketika, Tok Bakawali telahpun berdiri di hadapannya. Mukanya diselaputi asap hitam yang tebal. Hanya matanya sahaja kelihatan merah dan bercahaya. “Aku mendapat bayangan. Hamba hinaku Sang Sondol telah mati!”
Jelaga terkejut. Bagaimana mungkin ia terlepas dari penglihatannya? Tak semena-mena muncul satu lagi lembaga bertongkat ular, berselubung putih yang amat lusuh. Wajahnya tidak kelihatan. “Aku terbau ancaman...” ujarnya. Suaranya mengerikan. Seperti orang tua yang kehabisan nafas.
“Ancaman apa yang kamu nampak, Ram?” Tanya Tok Bakawali.
“Ancaman lama bertaut kembali. Mungkin mati tapi tak mati. Angin berganding muncul melingkari. Masa kamu telah tiba. Sesuatu yang besar sedang meniti,” ujar Ram. Dialah peramal kanan kepada Tok Bakawali. Kata-kata Ram membuatkan Tok Bakawali mendengus. Keluar asap hitam dari celahan rongga hidungnya.
“Aku mengesan angin ghaib dari arah sana,” ujar Tok Bakawali sambil menunding ke arah hutan yang gelap. “Mari!”
Busss...asap hitam yang tebal menyelaputi mereka. Sejurus kemudian, mereka telah hilang dari pandangan.
*******
Di satu kawasan lapang. Kelihatan, kumpulan Geruh telah berada di situ. Mereka bergerak lebih ke utara lagi. Mereka telah menjangkakan kehadiran mereka bakal dihidu. Langkah awal perlu diambil. Bahaya yang menanti bukan kepalang.
“Nyang, kita kena terus bergerak Nyang!” Ahmad mendesak. Namun, Geruh dengan wajah bersahaja memuncungkan bibirnya ke arah Zaleha yang sedang sibuk menghidupkan unggun. “Kamu cakap dengan dia,” ujar Geruh sambil mencebik bibir.
Ahmad memakukan pandangannya ke arah Zaleha. Dia menelan airliurnya. Sudahlah dia telah lama tidak berjumpa adiknya. Hubungan yang kembali terjalin pun, baru seketika. Perasaan seriau mula menguasai diri. Sedangkan Nyang Geruh pun mengikut je kehendak budak kecil ini. Inikan pula dia. Namun digagahkan juga bercakap dengan adiknya.
Dia datang bertinggung di sebelah. “Dik, abang nak cakap sekejap,” ujar Ahmad. Zaleha menghentikan pekerjaannya. Dia tersenyum sambil merenung ke wajah si abang. “Ada apa bang?” Ahmad terkedu seketika. Walaupun Zaleha bersuara dengan nada yang manis. Jauh di dalam matanya, ada sesuatu yang tajam. “Eh, abang ni. Ada apa?!” Suaranya mulai meninggi.
“Err tt..tak ada apa-apa. Heh heh, masaklah. Masak. Kami pun dah lapar ni. Tapi cepat sikit. Takut apa nama tu, Bakawali ke, entahlah. Nanti takut dia datang. Heh heh heh,” ujar Ahmad sambil berlalu pergi ke Geruh kembali. Geruh tersengih mengejek. “Heh, baru kamu tahu?” Ahmad menyeringai. Tapi jelas kerisauan di wajahnya.
“Kamu pergilah tolong adik kamu tu. Biar aku, Guntur dan Long Chik berjaga. Pergi,” cadang Geruh. Ahmad menurut kata-kata itu. Betul juga. Biar lebih cepat mereka dapat beransur dari tempat itu. Walaupun telah jauh. Ia tetap menjadi dekat apabila menggunakan kuasa ghaib. Jalan terbaik adalah dengan menghilangkan jejak.
*******
Dihadapan kolam, sepeninggalan Kumpulan Geruh, segumpal asap hitam yang tebal menghentam ke bumi. Bumm!!!. Muncul Tok Bakawali bersama Ram dan Jelaga.
Tok Bakawali memerhati sekeliling. Hidungnya bergerak-gerak. Dia mencari bau jejak sang buruan. “Mereka telah tiada...huh!” Tiba-tiba Tok Bakawali tersentak. Busss!! mereka terus hilang kembali, lalu muncul di dalam gua tempat persembunyian Sang Sondol. Mata Tok Bakawali menyorot tajam ke arah tubuh Sang Sondol yang terkulai tidak bernyawa.
Busss!! Sekali lagi letusan asap hitam menyelubungi lantai gua. Dari asap yang marak merayap di lantai gua, timbul bayangan-bayangan makhluk sedang bertempur. Ia terpamer di hadapan mata hinggalah dikala si kembar beredar dari tempat itu. “Hmmmm....mereka telah pergi. Mereka sedar bahawa mereka telah terdedah. “Bangsat!” Dia bertinggung di sisi Sang Sondol lalu menghalakan tangannya. “Bangkit!”
Perlahan-lahan Sang Sondol bangkit. Dia bangkit seperti mayat hidup. Kepalanya terkulai. Tetapi matanya merenung ke wajah Tok Bakawali. “Kau katakan tempatku tidak akan diganggu!” Jerkah Sang Sondol. Tok Bakawali hanya menyeringai. “Kau sudah mati pun hendak berlagak ya? Beritahu aku. Apa yang kamu tahu,” arah Tok Bakawali. Bagaikan dikawal, Sang Sondol bercerita sejak dari awal hingga akhir. Dari sejak si kembar menceroboh masuk hinggalah dia ditewaskan. “Dia adalah kembar yang kau cari itu,” ujar Sang Sondol menamatkan ceritanya.
Lalu dia jatuh kembali terkulai. “Dia fikir dengan membunuh Sang Sondol, dia boleh terlepas. Kasihan, sangat naif,” ujar Tok Bakawali.
“Apa rancangan kamu sekarang? Perlukah aku bersama kamu?” Celah Ram. Sesekali terbit debu-debu mayat terbang dari tubuhnya. Seakan tubuhnya disaputi debu. “Mereka sudah bangkit. Tetapi aku tidak rasa mereka semua tahu apa rancangan sebenar aku. Mereka fikir mereka tahu tentang ramalan yang kedua. Heh heh heh,” ujar Tok Bakawali.
“Benar. Geruh telah tiada tatkala ramalan kedua dilihat olehku. Aku perlu mengumpul tenagaku untuk melakukan ramalan ketiga. Kita perlu tahu apa kemungkinan yang ada,” bidas Ram. Namun, ia tidak menyenangkan hati Tok Bakawali. “Tidak perlu. Jangan membuang masa lagi. Aku masih boleh mengesan mereka,” ujar Tok Bakawali lantas, busss!! Sekali lagi mereka hilang dari pandangan bersama asap hitam yang tebal.
*******
Muhammad meninggikan leher ke arah selatan. “Ada sesuatu sedang kemari. Sesuatu yang besar!” Gesa Muhammad, yang pada waktu itu mereka semua sedang sibuk berkemas untuk menghapuskan jejak.
Geruh mengerutkan dahi. “Dia sudah tiba. Bersedia semua!” Geruh dan Guntur lantas berubah menjadi harimau. Mereka memasakkan kaki depan mereka dengan mata yang tajam ke arah selatan. Telinga mereka terlipat ke belakang. Ekor mencecah ke bumi.
Busss!!!!!! Kepulan asap hitam menghempas ke tanah. Tok Bakawali, Ram dan Jelaga muncul di hadapan mereka. Wajah mereka yang amat ngeri, membuatkan Zaleha dan Ali, gementar separuh mati.
“Huppp!!” Serentak Ahmad dan Muhammad telah berdiri di hadapan Tok Bakawali. “Heh, budak mentah sudah berani ya?,” ujar Tok Bakawali. Geruh, Guntur dan Tok Long Chik berdiri di belakang mereka. “Akhirnya kamu berjumpa juga dengan kami ya, Bakawali,” bisikan Geruh bergema dengan bunyi erangan harimau yang menahan geram. Airliurnya menjejes ke bumi.
“Kamu fikir kamu boleh menghalang aku, Geruh? Kasihan. Tapi aku pelik. Aku fikir kamu telah mampus,” tempelak Tok Bakawali. Asap hitam nipis tetap keluar dari rongga mulut dan matanya. Wajahnya kelihatan suram.
“Heh, bukan senang nak membunuh aku. Aku tahu rancangan kamu!” Ujar Geruh.
“Yakah? Benarkah kamu tahu akan rancanganku?” Tingkah Tok Bakawali. Dia mula berjalan merapati Ahmad, Muhammad. “Berhenti Nyang!” Ahmad memberi amaran. Kekuda siap terpasang.
Tok Bakawali memandang ke arah Ahmad. Dia menyeringai. “Habis tu kamu boleh berbuat apa?!!!” Terus asap tebal menyelaputi kepalanya. Bau busuk bangkai bertukar menjadi bau busuk asap sepertinya beracun. Sesekali Tok Bakawali mendengus, menampakkan wajahnya yang ditutupi asap.
“Nanti Ahmad! Jangan terburu-buru,” gesa bisikan Guntur. Namun mereka terpaksa bersedia untuk sebarang kemungkinan.
Sedikit demi sedikit wajah Tok Bakawali kelihatan semula. Mukanya berubah manis. “Aku ingin bermain satu permainan,” Kata-kata Tok Bakawali memeranjatkan mereka semua.
“Kenapa kamu semua terkejut? Kamu pelik?” Tempelak Tok Bakawali.
Benar, mereka seakan tak percaya dengan apa yang Tok Bakawali katakan. Nampaknya masih ada rahsia yang tidak diketahui oleh mereka. Mata Geruh merenung ke arah Ram. Dari celahan selubungnya, sebelah mata Ram merenung tajam ke arah dirinya. “Ini semua kerja kamu,” bisik Geruh terus kepada Ram. Dari celahan selubung, jelas kelihatan dia tersenyum menyindir.
“Kamu tak perlu mengganggu dia. Kamu perlu berhadapan dengan aku.” Tok Bakawali mula berjalan mengelilingi mereka semua. “Kamu fikir aku tidak mampu menghancurkan kamu sekarang? Ah, apa seronoknya. Betul? Mari kita bermain satu permainan.” Tok Bakawali yang telah berdiri di belakang Geruh, mengangkat tangannya ke arah Zaleha. “Mari,” arah Tok Bakawali. Bagai terpukau, Zaleha terus datang, menurut sahaja kehendak si musuh. Dia berdiri di samping Tok Bakawali.
Perlakuan Tok Bakawali membangkitkan semangat juang mereka. Si kembar terus meluru ke arah sang malapetaka. “Berhenti!”
Baru sahaja mereka ingin menerkam, Ram mengetuk tongkatnya ke bumi. Serta merta pergerakan mereka terkunci. “Kkkh..khhh!! Lepaskan!!” Bentak Ahmad. Dalam kepayahan, dia menoleh ke arah Muhammad dan memberikan isyarat mata.
Muhammad terus memejamkan mata. Nafasnya diatur. Tumpuannya ditajamkan. Lalu dalam sekelip mata, dia menghilang.
“Heh, boleh tahan budak. Tapi kamu tak kenal siapa aku,” tatkala Tok Bakawali habis berbicara, dia lesap entah kemana.
Beberapa ketika kemudian, dia muncul kembali dengan Muhammad dicekak ditengkuk seperti seekor kucing. Muhammad meronta untuk dilepaskan. Namun, cengkaman Tok Bakawali jauh lebih kuat dan kejap.
“Kamu fikir hanya kamu sahaja mampu mengembara ke serata alam. Belajar lagi budak. Berambus!!” Ujar Tok Bakawali lantas menghempas Muhammad ke tanah. “Urghhh!!” Muhammad menggelitik kesakitan. Tok Bakawali dengan bersahaja merangkul kembali bahu Zaleha merapatinya. Mata Zaleha hanya terpaku ke depan.
“Bangun dik!” Jerit Muhammad. Mereka yang lain masih terpaku tidak dapat bergerak. Seluruh tubuh Muhammad merasa sakit. Seperti tulang belulangnya telah beralih akibat hempasan Tok Bakawali. Mukanya berkerut menahan kesakitan.
Tok Bakawali membawa Zaleha berjalan ke hadapan mereka yang lain. Satu persatu wajah mereka direnung oleh si malapetaka. “Aku beri kamu masa untuk bersedia. Kamu....” Tok Bakawali menghalakan telunjuknya ke arah Ahmad. “Dan juga kamu...” telunjuknya dihalakan pula ke arah Muhammad. “Datang kembali padaku pada waktu usiamu genap 18 tahun. Bermakna tiga tahun dari sekarang,” ujar Tok Bakawali.
Sedang Muhammad termanggu-manggu mendengar kata-kata Tok Bakawali, Ram tiba-tiba muncul di sebelahnya. Dia mengangkat tongkat. Sesuatu yang pendek dan tajam, keluar di hujung kaki tongkat. Dia lantas menikam mata yang tajam itu ke telapak tangan kiri Muhammad yang masih termanggu. Perbuatannya itu memeranjatkan Muhammad. Namun, sepertinya tadi. Pergerakannya seakan terkunci.
Seterusnya Ram menikam ke telapak tangan kanan si abang pula. Kerutan muka Ahmad, jelas menahan kesakitan.
Lalu, Ram mempersembahkan sisa darah yang melekat, kepada Tok Bakawali. Sang ketua sendiri menikam ke kedua belah telapak tangannya sebelum menyerahkan kembali tongkat itu kepada si peramal.
Tanpa membuang masa, Ram berdiri di tengah-tengah di antara mereka. Dia mengangkat tangan. Angin mula bertiup kencang. Dedaunan kering yang bertebaran di kawasan lapang, berterbangan dibawa angin pusar. Ram mula membaca mantera. Suaranya bergema. Seakan dia sedang berkata-kata dengan angin.
Lalu dengan menggunakan hujung tongkat yang berdarah. Dia melakar sesuatu di tanah. Satu bulatan bersama tanda-tanda purba yang tidak difahami.
Sedang dia melakar ke tanah. Sesuatu timbul di telapak tangan di mana tongkat itu menikam. Satu simbol yang muncul, tidak boleh dipadam. Manakala Tok Bakawali pula muncul tanda itu di kedua belah telapak tangannya. Dia menyeringai.
Seketika kemudian, Ram menghabiskan manteranya. Angin serta merta berhenti. Dia terus berundur, berdiri di belakang Tok Bakawali yang masih menyeringai. Jelas kegembiraan terpancar di wajahnya. Kedua belah telapak tangannya ditelek. “Hah hah hah! Nampaknya kamu berdua sudah tidak boleh lari dari takdir kamu. Darah kita telah disumpah. Tepat pada waktunya kamu genap 18 tahun. Kamu mesti mengadap aku untuk pertarungan terakhir.”
Ahmad cuba bersuara di dalam kepayahan. “Jj..jj..jika kami tak mahu?!”
Tok Bakawali tersengih. “Kamu akan dimakan sumpah. Dan yang paling penting, adik kamu yang comel ini akan dijaga olehku, hinggalah tiba waktunya kamu menuntut dirinya dari tangan aku. Bukan sahaja kamu berdua akan dimakan sumpah. Aku juga akan menyantap adik kamu sebagai makanan tengah hariku. Hah hah hah!”
“Dd..dimana...kk..kita akan berjumpa?!” Jerkah Ahmad.
“Kamu tak perlu risau. Kamu akan tahu dimana. Hah hah hah!” Dia mengalihkan pandangan ke arah Geruh. “Sekarang adakah kamu telah tahu rancanganku? Heh heh heh.” Lalu, bussss!!!! Asap hitam menghempas. Zaleha terus hilang bersama Tok Bakawali dan pengikutnya. Serentak dengan itu, mereka berlima mampu bergerak kembali. “Adikkk!!” Pekik Ahmad. Ali yang menyorok sedari tadi, datang merapati.
Geruh dan Guntur berubah rupa. Mereka terus mendapatkan si kembar. Ditarik tangan mereka untuk melihat tanda ditelapak. Wajah Guntur berubah. “Sumpahan Iblis!” Ujar Geruh.
Ahmad menjadi tidak tentu arah. Dia ingin mencari Zaleha. Namun ditahan oleh Geruh. “Sabar Ahmad! Sumpahan ini bukan calang-calang. Sebelum masanya kamu tidak akan mampu mencarinya. Hanya pada waktu itu sahaja kamu berdua mampu membuat perhitungan terakhir,” jelas Geruh. Ahmad menunduk. Mukanya sugul.
Bahu Ahmad ditepuk. Begitu juga bahu Muhammad yang turut sama merasa kesal. “Sekurang-kurangnya kita tahu, dia juga tidak akan mencari kamu di dalam tempoh itu,” ujar Geruh sambil tersenyum. Tok Long Chik juga turut sama cuba memujuk Ahmad dengan menggosok belakangnya agar bertenang.
“Bagaimana dengan Zaleha, Nyang?” Celah Muhammad. Airmata mula bergenang dipenjuru matanya.
Geruh merenung jauh. Dia merasakan sesuatu yang tidak kena. Apakah ramalan itu salah? Apa niat sebenar Tok Bakawali? Semua ini merunsingkan kepala Geruh.
“Nyang?” Muhammad meningkah, mematikan lamunan sang harimau. Geruh seakan tersedar dari lamunan. Dia tersenyum. “Usah dirisau. Jin sehebat Bakawali tidak akan membuat sesuatu yang boleh menjatuhkan maruahnya. Percayalah,” pujuk Geruh.
“Jadi apa harus kita buat sekarang, Geruh?” Celah Tok Long Chik.
“Kita beredar dahulu. Kita kena cari tempat berteduh yang baru. Mari!” Beberapa ketika kemudian, mereka semua lesap dari pendangan.
BERSAMBUNG..
KISAH SERAM 📛 MELAYU BERSIRI
TAJUK CERITA : AHMAD MUHAMMADHASIL KARYA : MOHD FAIZULLIZAM ZAMANI
CP BY ADMIN A.D
CGCZONE BRUNEI
theHORRORZONE BRUNEI
http://thehorrorzon.blogspot.com/2020/04/ahmad-muhammad.html
PART 26
Comments
Post a Comment