CGC HZONECERITA2 MISTIK, MISTERI & SERAMAKU BELUM PULANG #COMPLETE - 13 EPISODES
KOLEKSI CERITA SERAM MELAYU
HIMPUNAN CERITA SERAM
CP BY ADMIN A.D
CGCZONE BRUNEI
theHORRORZONE BRUNEI
http://thehorrorzon.blogspot.com/2020/03/aku-belum-pulang.html
AKU BELUM PULANG #COMPLETE - 13 EPISODES
PART 1
"Betul ke kau ni Biah?" soal Pak Majid.
"Apa yang tak betulnya. Ada tu tengah buat hal kat rumah tu," jawab Biah.
Laju Biah menyusun langkah. Melewati Pak Majid, penduduk kampung antara yang terawal mendiami kampung Seri Bahagia.
"Kejap Pak Majid, nampak tu," kata Biah.
Perjalanan terhenti. Dari samar-samar mentol kuning, mereka berdua menyaksikan.
Khairul, anak Biah melompat sambil mencangkung dan adakala merangkak tak ubah seperti seekor monyet.
"Ishh...Zamri punya ni. Tapi aku dah buang lama dah," kata Pak Majid.
"Itu lah. Dah lama kot Abang Zamri pergi. Sebelum ini ok je. Tiba-tiba datang balik," kata Biah.
Pak Majid hanya memerhati gelagat Khairul.
Khairul satu-satunya anak Biah dan Zamri.
Setelah kematian Zamri, Biah dan Khairul tinggal berdua. Biah tidak bekerja, hanya Zamri yang melakukan kerja-kerja kampung menampung perbelanjaan mereka berdua.
Pak Majid melangkah setapak demi setapak ke depan, menghampiri tangga rumah. Diikuti Biah di belakang.
Kaki kanan Pak Majid memijak anak tangga pertama. Berhenti lagi. Tangannya dimasukkan ke dalam poket baju melayu. Biah hanya memerhati.
Di genggaman Pak Majid, ada seketul kantung kuning kecil. Biah tidak pasti apa kandungannya.
Langkah diteruskan. Biah menuruti di belakang.
"Khairul," panggil Pak Majid.
Panggilan itu tidak diendahkan. Khairul masih lagi meliuk lentok seperti sebuah tarian yang memuja semangat beruk.
Biah hanya memerhati. Tiada nampak raut pelik di wajah. Mungkin beliau sudah biasa melihat gerak tari ini dari Zamri, arwah suaminya dulu.
"Bismillah......" Pak Majid menadah tangan lalu membaca ayat suci secara perlahan, hanya didengari dirinya sahaja.
Lenggok tari Khairul berhenti, dalam gaya merangkak. Dia memalingkan muka ke belakang, melihat Pak Majid dengan penuh bengis.
"Dok soh duk caro ko ambo lah!" kata Khairul. Garau suara nya.
"Kenapa balik semula? Kan aku dah halau!" kata Pak Majid. Biah hanya diam di sudut rumah.
"Hahaha demo hambat sor jah. Banyok ni Pok Majid. Kalu nok hambat belako, mapuh lamo doh Pok Majid ni!" jawab Khairul sambil kepalanya bergoyang ke kiri dan ke kanan.
Pak Majid diam. Dia memerhatikan Biah. Biah juga memerhati Pak Majid.
"Sebenarnya ada berapa ni Biah? Arwah Zamri dulu bawa apa lagi ni?" tanya Pak Majid.
"Eh tak tahu lah, Pak Majid. Yang saya tahu satu je. Yang dia kata ikut kontrak tebang balak dulu. Rupanya masuk hutan pergi menuntut ilmu setan ni lah," jawab Biah sedikit geram.
"Habis, ni yang mana pulak dalam badan Khairul ni?" tanya Pak Majid pada Khairul.
"Asap. Api. Demo nok lawe hok mano dulu?" tanya Khairul.
"Kalau dari belukar, aku hantar ke belukar. Kalau dari hutan, aku hantar balik ke hutan ni!" bentak Pak Majid.
"Hahahahahaha" Khairul ketawa sambil terloncat-loncat umpama seekor monyet.
"Arwah ambil kat mana pulak lah ni," kata Biah.
"Kuat ni Biah," kata Pak Majid.
"Bammmm!"
Pak Majid dan Biah terperanjat. Pintu dapur dengan tiba-tiba terbuka dan menghempas dinding.
Pak Majid tenang. Biah sedikit panik. Dan khairul, masih lagi meliuk lentok dengan tarian monyetnya.
"Eh! Allah Hu Akbar!" jerit Biah.
Pak Majid memandang Biah dan pandangannya tertumpu ke dapur. Begitu juga Biah.
Terlihat seseorang di dapur sedang berjalan mundar mandir dari pintu dapur menuju ke dinding, berpatah balik dari dinding menuju ke pintu. Berulang kali.
"Khairul tu Pak Majid!" kata Biah.
"Ya aku tahu. Sekejap," kata Pak Majid.
Kini ada dua Khairul di hadapan mereka.
Yang sedang asyik mempersembahkan tarian monyet di ruang tamu, dan seorang lagi Khairul sedang mundar mandir berjalan di dapur.
"Mana satu Khairul yang betul ni Pak Majid?" tanya Biah.
BERSAMBUNG.
AKU BELUM PULANG
PART 2
"Mana satu Khairul yang betul ni, Pak Majid?" tanya Biah.
Pak Majid diam. Soalan Biah tiada jawapan. Biah masih lagi terpinga-pinga. Panik.
Pak Majid melangkah ke muka pintu dapur yang menghubungkan bahagian atas dan tangga untuk turun ke dapur.
'Khairul' masih lagi mundar mandir dari pintu belakang ke dinding, berpatah balik dari dinding ke pintu tersebut.
Kepalanya hanya tunduk, namun hanya Pak Majid yang nampak apakah kaki Khairul benar berpijak di lantai dapur atau tidak. Biah tidak nampak.
Biah hanya tercegat di ruang tamu.
Dia tidak berani mendekati dapur, tambahan pula lagi satu Khairul masih lagi asyik berlenggok tari entah apa nama tarian, lagaknya seperti seekor beruk jadian.
"Setan!" jerit Pak Majid.
Biah terkejut. Namun Khairul yang di dapur tidak berubah apa-apa. Tetap mundar mandir seolah tiada apa berlaku.
Pak Majid berpaling ke belakang. Memerhatikan Biah, seterusnya Khairul lagi seorang. Masih juga begitu.
Kedua-dua Khairul tak ubah seperti satu alat permainan yang dipasang bateri.
Selagi tidak ditekan butang 'off' atau kehabisan bateri, alat itu tidak akan berhenti.
Pak Majid menyeluk saku bajunya. Kantung kuning itu dibuka. Diambil isinya, yang berupa debu atau seperti pasir. Berwarna kekuningan, sedikit perang.
Tiada siapa tahu apakah benda itu. Ramai yang bertanya sebelum ini.
"Pasir biasa"
Hanya sekadar itu jawapannya.
Namun pasir itu yang digunakan Pak Majid bertahun-tahun lamanya bila dia mengubati penduduk kampung yang diganggu makhluk halus.
"Bismillah....." hanya itu yang didengari Biah dari mulut Pak Majid.
Selebihnya tidak kedengaran, hanya mulut Pak Majid yang terkumat-kamit membaca entah apa, tak siapa yang tahu.
"Allah Hu Akbar!" jerit Pak Majid seraya melempar segenggam pasir ke arah Khairul yang berada di dapur.
Khairul berhenti dari berjalan. Tercegat.
Perlahan-lahan mukanya didongakkan. Matanya putih. Mata hitam, entah di mana. Agak bengis mukanya ketika itu.
Namun, perlahan-lahan anak matanya terbit dari kelopak mata. Bukan lagi berwarna hitam. Tetapi merah!
Wajah yang bengis mula berubah. Khairul tersenyum. Makin lama makin lebar senyumannya.
Pak Majid tidak berganjak. Dia bersedia untuk hadapi segala kemungkinan.
"Allah!" Pak Majid melangkah ke belakang.
Khairul yang tadinya berdiri, kini tiada lagi di lantai. Sebaliknya,
melekat tak ubah seperti seekor cicak di siling rumah. Melekat di atap zink dapur! Kepalanya berpusing perlahan-lahan.
Biah makin keliru. Tidak tahu berbuat apa-apa lagi.
Sedangkan Khairul yang mempersembah tarian beruk, makin lama makin asyik menari. Makin laju gaya tarian.
Kepala ke kiri ke kanan, sesekali mencangkung. Sesekali merangkak sambil menepuk-nepuk lantai kayu di ruang tamu itu.
Pak Majid memerhatikan sahaja Khairul di ruang tamu. Seterusnya memerhati Khairul lagi seorang di atap. Hilang.
Sekelip mata. Pak Majid memerhati sekeliling. Tiada Khairul di dapur. Yang tinggal hanya 1 Khairul, di ruang tamu.
Pak Majid menuju ke ruang tamu. Tangannya masih menggenggam 'pasir' yang dibawa.
"Haaaahhhh!" jerit Khairul secara tiba-tiba melompat dan mencangkung di muka jendela.
"Khairul. Sudah lah tu nak!" kata Biah. Menenangkan anaknya.
"Mu nok main sungguh dengan aku ni Majid. Mu nok main sungguh ni," kata Khairul bernada garau.
"Selagi kau ada, selagi itu aku halau!" kata Pak Majid.
"Mu tak ingat aku. Mu tak kenal aku. Tapi mu hambat aku, keturunan aku dulu! Mu lah hok pisoh aku dengan tuan aku. Aku lapar!" kata Khairul.
Benar.
Sudah berpuluh tahun Pak Majid menghalau makhluk halus yang mengganggu penduduk kampung.
Sudah ramai yang datang berjumpa dengan beliau. Mana mungkin beliau mengingati satu persatu.
"Mu nanti kelih la Majid. Mu tunggu sor sor aku hantar balo ko mu, ko anok beranok mu! Haaaaaahhh!"
Khairul terjun dari tingkap rumahnya. Biah yang terkejut terus berlari ke muka jendela.
Di situ, Biah sempat menyaksikan Khairul seperti beruk yang berjalan laju, memasuki belukar di tepi rumahnya,
seterusnya hilang di dalam kegelapan malam. Hilang dalam ketebalan hutan selepas belukar tersebut.
Biah makin bingung. Anaknya kini hilang. Pak Majid hanya diam membisu.
"Macam mana ni Pak Majid?" tanya Biah.
Tiada jawapan.
Makin bercelaru Biah jadinya.
"Mak, apa bising-bising ni?"
Kedengaran suara seseorang di sebalik langsir yang tergantung di muka pintu bilik.
Pintu bilik tidur Khairul!
"Khairul!" kata Biah.
Ya, Khairul muncul di sebalik langsir itu sambil matanya mengecil menahan silau lampu rumah sepertinya dia baru sahaja terjaga dari lena.
"Kenapa mak? Eh Pak Majid pun ada? Apa hal ni?" tanya Khairul terpinga-pinga.
BERSAMBUNG.
AKU BELUM PULANG
PART 3
"Kenapa mak? Eh, Pak Majid pun ada? Apa hal ni?" tanya Khairul terpinga-pinga.
"Kamu tidur Khairul?" tanya Biah.
Khairul hanya mengangguk. Pak Majid masih berdiam diri.
"Kamu langsung tak dengar apa-apa?" tanya Biah lagi.
"Tak mak. Kenapa ni?" tanya Khairul lagi.
"Tak ada apa lah. Baik lah Biah, aku balik dulu," kata Pak Majid lantas melangkah ke muka pintu.
Biah mengikut di belakang.
"Pak Majid, saya takut lah. Macam mana kalau benda tu datang lagi?" tanya Biah. Riak mukanya penuh risau.
Pak Majid diam seketika.
"Ya lah, nanti aku suruh Mastura teman kau malam ni. Aku balik dulu," kata Pak Majid.
Mastura, anak Pak Majid yang sentiasa mengikut Pak Majid mengubat orang sakit atau menghalau makhluk-makhluk halus.
Pak Majid meredah kepekatan malam bertemankan cahaya suram bulan. Berjalan, seperti tiada apa-apa berlaku sebelumnya. Hanya tenang.
Seketika, Pak Majid berhenti.
Mengalihkan pandangan ke satu pohon kekabu yang merendang.
Malam itu, tiada angin yang menderu. Pohon-pohon lain terpacak kaku. Hanya pokok kekabu itu sahaja, yang bergoyang seolah ada sesuatu.
"Aku ingat jauh sangat kau lari. Atas pokok ni saja?" tegur Pak Majid.
Tak tahu siapa yang ditegurnya. Namun, Pak Majid tahu makhluk apa yang berada di pohon itu.
"Ada apa lagi yang kau balik semula ke sini? Ada apa-apa janji? Ada apa-apa tertinggal?" tanya Pak Majid.
Tiada jawapan. Yang ada hanya desiran bunyi dedaun yang ditiup angin, walaupun pohon lain tidak begitu.
Pak Majid menghampiri pokok itu. Telapak tangan kanan ditekapkan ke batang pokok tersebut.
Sambil memejamkan mata, Pak Majid diam seolah-olah membacakan sesuatu di dalam hati.
Tiba-tiba
satu cahaya seperti bebola api meluncur laju dari pokok itu, terus terbang tinggi ke udara.
Dan seketika itu juga terdengar hilaian ketawa yang sangat nyaring, membingit telinga.
"Hmm Zamri...Zamri. Berapa banyak lah kau bela ni," keluh Pak Majid. Pokok itu kembali normal. Tiada lagi goyangan atau desiran bunyi dedaun.
Pak Majid meneruskan langkah. Namun, dia mula merasai sesuatu yang aneh di kaki. Terasa berat. Seperti dirantai dan di hujungnya terdapat bebola yang besar lagi berat untuk diseret.
Pak Majid teruskan melangkah.
"Lepas je pagar rumah aku, terbakar lah kau. Bergantung lah di kaki aku ni. Lepas ini rasakan kau!" bebel Pak Majid sendirian.
Setapak kaki kanan beliau memasuki halaman rumah, kakinya kembali normal. Tiada lagi rasa berat. Dan cahaya yang sama seperti di pohon kekabu tadi sekali lagi kelihatan, terbang menjauhi Pak Majid, hingga hilang dari pandangan.
"Mastura. Dah tidur kau?" tanya Pak Majid sebaik melangkah ke dalam rumah.
"Belum lah ayah. Ada apa?" tanya Mastura.
"Malam ini ayah nak kamu pergi tidur rumah Mak Cik Biah. Teman dia," kata Pak Majid sambil merebahkan badannya di kerusi di ruang tamu.
"Hah, kenapa ayah? Khairul kan ada?" kata Mastura.
"Khairul tak ada. Mak Biah seorang," kata Pak Majid.
"Oh ya ke? Baik ayah," kata Mastura.
Mastura hanya menuruti. Setelah disiapkan apa yang patut, Mastura berjalan menuju ke rumah Biah.
Dalam kepalanya berfikir, ke mana Khairul? Apa yang berlaku sehingga ayahnya menyuruh dia menemani Biah malam ini.
"Kuat pula angin malam ini. Nak ribut ke ni?" tanya Mastura sendirian.
Mastura tiba di rumah Biah.
"Assalamualaikum. Mak Cik Biahhh.."
Pintu papan dibuka. Biah menyambut kedatangan Mastura. Namun anak matanya meliar memerhati kiri dan kanan. Pasti beliau memerhati kalau-kalau ada makhluk lain juga yang mengikuti Mastura atau bersembunyi di sekitar belukar rumahnya.
Sebaik Mastura masuk ke dalam rumah, pintu ditutup secepatnya.
"Khairul ke mana mak cik?" soalan pertama dari Mastura.
"Khairul? Ada dalam bilik. Tidur," jawab Biah.
"Habis, kenapa ayah suruh Mas datang sini teman mak cik? Dia kata Khairul tak ada, mak cik seorang saja yang ada," kata Mastura. Mukanya sedikit pelik.
"Ayah kamu kata macam tu?" tanya Biah. Dia lagi keliru.
Mastura hanya mengangguk.
"Mana bilik Khairul mak cik?" tanya Mastura.
"Tu, yang tu," jawab Biah sambil telunjuknya diacu mengarah ke bilik Khairul.
Mastura hanya memerhati. Ada sesuatu yang tidak kena dirasakannya.
"Mak cik, jom lah saya teman mak cik tidur. Dah lewat ni," kata Mastura.
"Ya lah, jom. Kamu tidur bilik mak cik malam ni. Bilik mak cik kecil je, harap selesa lah," kata Biah.
Sunyi. Tiada apa-apa yang pelik seawal mereka lelapkan mata.
Tiba-tiba Mastura terjaga. Dia terasa ingin ke tandas. Mastura bangkit dari katil dan perlahan-lahan membuka pintu bilik, tidak mahu tidur Biah terganggu.
Malam tetap sunyi. Yang memecah kesunyian hanyalah bunyi papan lantai usang yang dipijak Mastura. Mastura terjengket sedikit untuk memperlahankan bunyi itu.
"Nak ke mana tu?"
Mastura berhenti. Dia berpaling ke belakang. Gelap. Dia meraba dinding mencari suis lampu.
'Tap!' suis lampu dipetik.
Tiada sesiapa. Mastura berpaling ke depan kerana di depannya tangga, untuk turun ke dapur dan tandas bersebelahan dapur.
"Nak pergi mana tu?"
Sekali lagi suara itu kedengaran.
Mastura berhenti di anak tangga kedua. Dia berpaling sekali lagi ke belakang, memerhati sekeliling ruang tamu, kerana suara itu kedengaran dari situ.
Tiada sesiapa.
Mastura berpaling semula ke depan. Menuruni anak tangga terakhir sebelum kakinya memijak simen dapur.
Dan di situ Mastura terpaku!
Kaki yang memijak anak tangga terakhir itu terasa sejuk. Dan,
terasa seperti ada tangan yang memegang kakinya. Buku lalinya terasa sejuk.
"Apa kau buat bawah tangga ni? Khairul mana Khairul?" tanya Mastura.
"Lapar. Lapar. Aku nak makan. Tuan aku mana?"
"Siapa tuan kau? Arwah Pak Cik Zamri?" tanya Mastura.
"Aku nak makan"
"Aku nak makan"
Mastura merentap kakinya dari genggaman tangan itu. Laju dia menuruni anak tangga terakhir itu.
Terus dia berpaling dan melihat makhluk apa yang ada di bawah tangga.
Matanya terbeliak!
Ada sejenis makhluk yang kelihatan dari kepala dan hanya paras pinggang sahaja. Tiada kaki dan terperuk di bawah tangga itu.
"Pak Cik Zamri?!" kata Mastura.
BERSAMBUNG
AKU BELUM PULANG
PART 4
"Pak Cik Zamri?" kata Mastura.
Mastura tahu Pak Cik Zamri telah meninggal dunia. Dia hadir di hari pengkebumian arwah Zamri. Mana mungkin Zamri masih hidup.
Itu adalah syaitan. Yang berupa Zamri.
"Mas. Kenapa?" tanya Biah yang menjengah dari muka pintu bilik.
"Errr..er..tak ada apa Mak Cik Biah. Maaf kalau saya menjerit tadi buat mak cik terjaga," kata Mastura.
"Mak cik dengar Mas sebut nama arwah Pak Cik Zamri tadi," kata Biah.
"Eh tak ada lah. Mak cik tersalah dengar kot. Entah-entah mak cik bermimpi," kata Mastura lagi sambil anak matanya tertumpu ke arah kawasan di bawah tangga.
Kosong. Sudah tiada apa-apa di situ.
"Hah yelah. Tu kamu buat apa kat dapur tu? Kamu lapar ke? Nak mak cik panaskan lauk? Bawah tudung saji ada lagi tu," kata Biah.
"Eh tak lah mak cik. Mas nak ke tandas," kata Mastura lantas berlalu pergi.
Mastura berjalan di sisi meja makan. Tudung saji terlentang mendongak ke atas. Tiada satu pinggan pun ada di atas meja. Dia hairan. Sedangkan Biah katakan lauk masih berbaki.
Malas dia nak fikir, lagipun dia tak lapar.
Selesai segala urusan di tandas, Mastura kembali ke bilik tidur dan lena sehingga ke pagi.
"Mas balik dulu ya mak cik," kata Mastura.
"Iya lah. Terima kasih temankan mak cik ya," kata Biah. Mastura berjalan kaki pulang ke rumahnya.
"Khairul. Oh Khairul," panggil Biah sambil mengetuk dinding papan bilik Khairul.
"Tidur lagi ke budak ni," getus Biah di dalam hati. Dia menolak sedikit pintu bilik tidur Khairul.
"Eh, tak ada. Ke mana pulak perginya. Awal keluar. Ada kerja kat kebun sesiapa agaknya ni," bicara Biah sendirian.
"Macam mana tidur rumah Mak Cik Biah kamu malam tadi? Ada apa-apa berlaku?" tanya Pak Majid pada anaknya Mastura sebaik Mastura melangkah masuk ke dalam rumah.
"Berat, ayah," jawab Mastura. Ringkas.
"Zamri atau Khairul?" tanya Pak Majid lagi.
"Pak Cik Zamri. Tapi sekejap sahaja. Mak Cik Biah ganggu. Dia hilang. Dia nak minta makan lah ayah," terang Mastura lagi.
Pak Majid diam. Sudah dijangkakan semua ini bagi beliau. Arwah Zamri memang suka membela pelbagai makhluk halus.
Bagi arwah, berdamping dengan makhluk itu, banyak urusannya menjadi mudah. Tiada ketakutan buat dirinya. Biar telah dinasihati oleh ramai orang malahan ustaz dan imam kampung, hanya satu jawapannya,
"Saya bela dia. Saya bagi makan. Dia tak kacau orang. Saya pun tak ganggu orang. Kalau dia buat hal, saya sendiri 'sembelih' dia"
Itu lah jawapannya. Biah sudah beribu kali melarang, malah Biah pernah ingatkan bahawa jika ada membela makhluk-makhluk ini, saat ditarik nyawa, amat perit sekali.
"Kau jangan ajar aku lah Biah oii. Kerja mati ni kerja Tuhan. Kau tu siapa? Dah, tak payah sibuk hal aku!"
Itu jawapan arwah Zamri.
"Ayah tak ke kebun ke? Ayah kata Pak Hassan nak ambil pisang hari ni," kata Mastura.
"Itu lah. Ayah rasa tak sedap badan ni. Semalam 'berlawan'. Sakit-sakit badan ayah," jawab Pak Majid.
"Kalau macam tu ayah rehat lah. Biar Mas pergi sekejap lagi," kata Mastura.
Mastura bingkas bangun dan menuju ke bilik. Pak Majid pula masih di beranda merenung ke halaman rumah. Entah apa yang difikirkan.
"Pak Majid! Pak Majid!"
Panggilan itu membuat Pak Majid terhenti dari lamunan. Terlihat Sufian, pemuda kampung berlari-lari anak menuju ke rumahnya.
"Pak Majid, pisang kita Pak Majid. Habis. Habis!" kata Sufian.
"Pisang habis? Maksud kau Pak Hassan dah datang dan ambil semua dah ke? Apa yang kau kalut sangat kalau macam tu?" tanya Pak Majid kehairanan.
"Bukan Pak Majid. Bukan! Pisang tu entah binatang apa yang makan. Habis semua yang kita simpan bertandan-tandan tu Pak Majid. Makan bukan makan semua, makan separuh-separuh setiap biji pisang tu!" terang Sufian.
"Aku tak faham. Cuba kau bertenang, dan bagitahu aku, Sufian," kata Pak Majid.
"Saya tak tahu binatang apa makan pisang tu Pak Majid. Memang aneh. Setiap pisang dimakan separuh. Makan dengan kulit-kulitnya sekali. Tak ada satu pun kulit pisang di atas tanah," kata Sufian.
Pak Majid diam. Memikirkan sesuatu.
Dia tahu, ini bukan kerja binatang. Bukan kera liar punya kerja ini.
"Mas. Ohh Mas!" panggil Pak Majid akan anaknya, Mastura. Mastura keluar dan menyahut panggilan ayahnya.
"Cepat Mas. Kau ikut Sufian ni. Pergi tengok pisang-pisang kita," arah Pak Majid.
"Kenapa yah?" tanya Mastura.
"Entah si Sufian ni kata pisang habis dimakan sesuatu. Nak kata binatang pun bukan ni kalau ikut gaya cerita Sufian. Kamu pergi tengok kejap, ayah tak boleh keluar ni dalam keadaan macam ni," kata Pak Majid.
"Baik yah," Mastura patuh. Segera dia menuruni tangga di beranda, menyarung selipar dan berjalan tergesa-gesa beriringan dengan Sufian.
"Betul-betul kau jahanamkan aku ya," kata Pak Majid sendirian.
Masih teringat beliau akan ugutan malam tadi. Bahawa dia akan ditimpa satu demi satu kesusahan.
"Tak apa. Kau betul nak main dengan aku kan? Siang ni aku rehat. Kau tunggu malam nanti. Kita tengok siapa yang rebah," kata Pak Majid.
BERSAMBUNG
AKU BELUM PULANG
PART 5
"Kak Mas, tengok ni. Tengok," kata Sufian sambil menunjukkan longgokan pisang yang telah musnah.
Mastura diam dan terpaku. Direnungnya bertandan-tandan pisang yang telah rosak itu.
"Ini bukan kesan gigit dan...bukan makan ni," kata Mastura.
"Hah? Habis tu apa? Ada orang khianat kita ke Kak Mas?" tanya Sufian yang agak tercengang.
"Orang pun bukan," kata Mastura.
"Haaaahh?" lagi bingung Sufian sambil menggaru-garu kepala.
"Tak apa lah. Kau buang lah semua pisang-pisang ni, Pian," kata Mastura sambil diambil sebiji pisang yang telah rosak itu dan berjalan balik ke rumah.
"Yah, ayah tengok ni," kata Mastura sebaik sahaja sampai ke rumah.
Pak Majid yang tika itu berbaring di kerusi panjang yang diletakkan di beranda, mengambil pisang itu dan meneliti dengan penuh tekun.
"Hmmm ini dendam," kata Pak Majid.
"Siapa punya kerja ni ayah?" tanya Mastura.
"Tak pasti," jawab Pak Majid.
Pak Majid dan Mastura diam. Namun di sebalik diam Pak Majid, di otaknya sarat dengan beribu persoalan.
"Ambil handphone ayah kejap. Ayah nak telefon Pak Hassan. Nanti dia nak datang ambil pisang. Biar ayah cerita kat dia," arah Pak Majid.
"Mana pulak si Khairul ni. Biasa tengahari macam ni dia balik makan," kata Biah sambil berdiri di muka pintu.
Lauk dah tersedia. Nasi pun sudah dimasak. Namun bayang anak tunggalnya belum juga kelihatan.
Tiba-tiba terlintas di kepalanya akan kejadian malam tadi.
Dan juga kedatangan Mastura.
Juga kata-kata Mastura 'ayah bagitahu Khairul tak ada, Mak Cik Biah seorang'.
Kenapa Pak Majid cakap macam tu? Sedangkan dia sendiri nampak Khairul yang baru bangun dan keluar dari bilik malam tadi.
Persoalan itu terus bersarang di kepala Biah. Apa sebenarnya yang berlaku.
"Lambat sangat Khairul ni, aku makan dulu lah," kata Biah memecah kebuntuan di kepala.
"Ayah nak ke mana pulak tu? Kata tak sihat. Ayah rehat saja lah," kata Mastura sebaik ternampak ayahnya menuruni tangga dan meletakkan parang dan 1 tempurung di dalam bakul motosikalnya.
"Ayah nak ke sungai kejap," kata Pak Majid.
"Tapi ayah belum sihat tu," Mastura cuba melarang ayahnya.
"Ayah bukan buat apa pun. Saja je nak tengok," kata Pak Majid.
Mastura hanya diam dan akur. Faham benar akan kedegilan ayahnya. Jika dia keluar rumah membawa 1 tempurung kosong, ke sungai lah perginya.
Pak Majid pun berlalu.
Sesampainya di tepian sungai, Pak Majid terus ke suatu tempat. Di satu pokok yang amat rendang, dan agak jauh dari jalan besar.
Belukar di kiri kanan ditebasnya menggunakan parang di tangan.
Hingga sampai tempat yang dituju, Pak Majid berdiri sambil menadah tangan, membaca sesuatu. Terkumat kamit mulutnya.
Selesai dibaca, tangan ditekap ke muka, turun ke leher, diraut ke dada, lengan dan hampir ke seluruh badan.
Pak Majid melangkah beberapa tapak. Hingga dia berhenti di satu kawasan yang agak lapang, tiada belukar.
Di situ ada sepohon pokok kelapa yang agak renek. Amat kecil pokoknya.
Pak Majid hanya perhati pokok itu.
"Tak ada apa yang berubah pun. Maknanya yang aku tanam, masih tertanam. Tak keluar," bicara Pak Majid sendirian.
Di situ, Pak Majid 'kebumikan' beberapa belaan yang dibela arwah Zamri. Dan pokok kelapa itu menjadi penanda arasnya.
Jika pokok kelapa itu tidak tumbuh tinggi atau mati, itu bermakna benda itu berjaya keluar. Itu pun jika ada 'bijak pandai' yang menyeru atau memanggil.
Pak Majid melangkah keluar dari kawasan itu. Dalam kepalanya berfikir, dari mana datang gangguan di rumah Biah malam tadi.
Jika Arwah Zamri yang punya, di tepi sungai ini pokok kelapa masih hidup. Atau masih ada belaan si arwah yang beliau terlepas pandang? Atau dia tak tahu?
Atau...
"Arghh..jangan menuduh!" kata Pak Majid pada dirinya sendiri. Dia melangkah keluar menuju ke motosikal.
"Hihihihi...." terdengar hilai tawa.
Pak Majid berhenti. Berpusing dia mencari suara ketawa itu. Tidak ada.
"Mu ingat mu pandai sangat ko Majid?"
Pak Majid tidak menjawab. Dia berdiri dan tersenyum.
"Hok mu tane (tanam) tu, anok kecik jah Majid. Bukan lawe (lawan) mu tu. Ni, aku ni lawe mu!"
"Kalau betul nak berlawan, keluar tunjukkan rupa!" pangkah Pak Majid.
"Mu tak ingat aku. Mu tak ingat aku."
Pak Majid terus melangkah. Menaiki motosikal dan pulang ke rumah.
Malam menjelma. Pak Majid sudah bersiap sedia di dalam biliknya.
"Mas, kalau dengar apa-apa, jadi apa-apa, jangan masuk bilik ayah," pesan Pak Majid.
"Kasi lah Mas bantu ayah," pujuk Mastura.
"Jangan, kali ini yang ini bukan 'mainan' kamu. Ini dia geram dengan ayah. Biar ayah selesaikan," kata Pak Majid lagi.
Pak Majid bersila. Di depannya terbentang 1 kain putih yang agak lusuh, agak kotor seperti kain yang dikotori kesan tanah atau lumpur.
Di kanannya terdapat semangkuk air. Dan di kirinya terdapat 1 bungkusan yang berwarna kuning pudar.
Pak Majid mendiamkan diri. Matanya dipejam.
"Bismillahi....." Pak Majid memulakan bacaan.
Tak lama selepas itu tangan telunjuknya mencelup bekas air di sebelah kanan. Dibiarkan separuh jarinya berendam di dalam air itu.
Seketika, matanya dibuka. Jari itu ditarik keluar. Dia menadah kedua tangan seperti berdoa. Selesai, tangan itu diusap ke muka.
Semangkuk air itu ditarik dan diletakkan di depannya. Direnung air itu seperti ternampak sesuatu.
"Astaghfirullah...." keluh Pak Majid. Riak wajahnya seperti sedikit terkejut.
"Ish dah malam ni. Khairul tak balik-balik lagi ni,"
Sementara itu Biah masih lagi menanti kepulangan anaknya di rumahnya.
'Praaap!'
'Praaapp'
'Praapp'
Terdengar seperti ada sesuatu berjalan di atas atap zink di rumahnya. Biah terkejut dan terus memandang ke bumbung rumahnya.
'Prapp'
'Praapp'
'Praapp'
Bunyi itu makin kuat. Dan Biah masih memandang dan mencari di mana bunyi itu.
Terbuka luas matanya!
Dia dapat memerhatikan di atap zink itu, bekas-bekas yang dipijak seolah ada sesuatu berjalan dengan pantas!
"Apa lagi niiii...Khairul, mana kau nakkk?" kata Biah yang cemas.
'Baaaammm!'
Terdengar pintu dapur rumahnya dibuka dan menghempas dinding.
Biah makin panik.
'Baaamm'
Sekali lagi Biah terkejut apabila melihat kerusi di meja makan bergerak dengan sendirinya, terangkat dan terpelanting sendiri ke satu sudut di dapur rumahnya.
'Praaaanggg'
Kain alas meja ditarik dan segala pinggan mangkuk yang berisi sisa lauk dimasak siang tadi jatuh pecah bersepai dan lauk-lauk itu berterabur di lantai dapur.
Seketika kemudian....
Sunyi. Tiada lagi kekecohan.
Biah yang ketakutan dan berada di satu sudut di ruang tamu ketika itu mengangkat mukanya.
Perasaannya ingin melihat apa yang berlaku di dapur sekarang membuak-buak. Namun rasa takut itu juga masih kuat.
Biah bangun. Perlahan-lahan menuju ke dapur.
Biah berjalan perlahan-lahan. Setapak demi setapak. Rasa takut masih belum hilang padanya.
'Hooorff Huuuurrfffhh'
Ada bunyi yang menangkap gegendang telinganya. Seperti ada sesuatu yang sedang memakan sesuatu dengan lahap sekali.
Biah makin menghampiri muka pintu yang menghubungkan ruang tamu dengan dapur.
Dua tapak lagi dia ke depan, dapat lah dia menjengah apa yang ada di bawah, di lantai dapurnya.
Dapat lah dia lihat bagaimana pinggan mangkuknya pecah berderai, dan dapat lah dia lihat bagaimana lauk yang dimasak bertaburan di lantai.
Biah teruskan langkah.
Bunyi itu makin kuat dan makin hampir dengannya.
Dalam rasa takut yang kuat, Biah tetap menjengah.
Terkejut dia!
Bila melihat sesusuk lembaga sedang mencangkung membelakanginya, sambil memakan segala lauk dan nasi yang berterabur di lantai.
Makan menggunakan kedua-dua tangan pula. Pakaian yang comot, duduk mencangkung dan makan dengan begitu gelojoh. Itu amat menyeramkan Biah.
"Kau siapa hah?" jerit Biah.
'Hurfffhh'
Makhluk itu berhenti dari makan dan segera berpaling ke belakang setelah mendengar suara Biah.
Biah terperanjat!
"Khairul!"
BERSAMBUNG
AKU BELUM PULANG
PART 6
"Khairul!"
Jerit Biah.
"Biah! Ke tepi!"
Tiba-tiba kedengaran satu suara di belakang. Biah berpaling.
Pak Majid dan Mastura terpacul di muka pintu.
Biah berjalan menuju ke arah mereka berdua.
"Pak Majid, tolong saya Pak Majid. Apa yang dah terjadi kat rumah saya sebenarnya ni?" kata Biah.
Pak Majid berjalan menuju ke pintu dapur. Jelmaan Khairul sudah tiada. Namun, makanan dan pinggan mangkuk yang pecah berderai masih bersepah di lantai.
Pak Majid menarik nafas. Lalu hembus kembali seolah keluhan kecewa, setelah tidak dapat 'menangkap' Khairul.
Pak Majid kembali ke ruang tamu. Lantas duduk di satu kerusi. Dia hanya mendiamkan diri seperti memikirkan sesuatu.
Biah dan Mastura turut ikut duduk.
"Apa yang berlaku sebenarnya ni Pak Majid?" tanya Biah.
"Cuba kau tanya diri kau, apa yang kau dah buat Biah," jawab Pak Majid.
Biah terperanjat. Mastura juga sama. Dia memandang wajah Pak Majid dan wajah Biah.
"Saya? Apa saya dah buat?" tanya Biah kembali.
Pak Majid diam seketika. Suasana di rumah itu turut sepi.
"Sebenarnya, sudah berhari-hari Khairul tak ada dalam rumah ni Biah. Kalau ada pun kau ternampak dia, itu bukan anak kau," kata Pak Majid.
Biah semakin bingung.
"Maksud Pak Majid, itu semua belaan arwah bang Zamri, tapi menyerupai Khairul?" tanya Biah.
"Bukan Zamri punya! Aku kenal Zamri. Aku tahu apa yang dia ada. Itu bukan yang dia ambil dari Wan Daud," jawab Pak Majid pantas.
Pak Majid kenal benar dengan Zamri dan Wan Daud.
30 tahun yang lalu, mereka bertiga sama-sama bekerja di sebuah kuari di Bukit Jong.
Zamri punya hobi yang tidak baik, suka membeli nombor ekor. Namun tidak pernah kena.
Telah banyak wang dibazirkan. Boleh dikatakan Zamri sentiasa punyai masalah kewangan kerana wang yang dia ada selalu sahaja dihabiskan dengan membeli nombor ekor.
Dan Wan Daud, juga punya hobi yang sama. Namun bezanya, Wan Daud selalu mengena.
Setiap minggu paling sedikit dia mendapat seribu ringgit dan adakala, dia mendapat berpuluh ribu!
Rasa cemburu menguasai Zamri. Dia teringin sangat untuk menjadi seperti Wan Daud.
Sehingga pada satu hari, Zamri bertanya pada Wan Daud, bagaimana dia kerap mendapat wang.
Wan Daud tanpa segan dan berahsia, menceritakan bahawa selama ini dia dibantu oleh sesuatu.
Jika esok ingin membeli nombor, malam ini makhluk itu akan setelah diseru Wan Daud, dan memberikan nombor yang akan memenangi wang yang banyak esok hari.
Zamri teruja. Lalu merayu pada Wan Daud agar diberi jalan supaya makhluk itu juga membantunya.
Wan Daud tidak keberatan. Dia membawa Zamri ke sebuah hutan di pantai timur.
Di sana, terdapat seorang tua yang tinggal di sebuah pondok di dalam hutan, seorang diri. Hajat mereka disampaikan kepada pak tua.
"Tapi nok pero (pelihara) nate ni, ado syarat. Demo keno ikut la. Dok ikut gak, make (makan) diri. Tanyo Wan Daud lah syarat gapo," kata pak tua tersebut.
Mereka keluar dari hutan dengan gembira. Wan Daud pula mengajak Zamri ke rumahnya untuk menonton sendiri ritual menyeru makhluk tersebut.
"Malam ini, kau tengok aku buat. Esok ada 'race'. Dapat nombor, esok kau beli," kata Wan Daud.
Wan Daud melakukan upacara menyeru tersebut malam itu. Zamri, bercampur dengan rasa seram, menyaksikan bagaimana munculnya satu lembaga yang agak besar, berbulu, hitam dan bengis di belakang Wan Daud ketika itu.
Ikutkan hati, ingin saja dia lari tinggalkan Wan Daud seorang diri. Namun, rasa ingin kaya dengan cepat mengatasi rasa seramnya.
Selepas lembaga itu hilang, Wan Daud menyelak kain putih yang terbentang di depan mereka.
Di bawah kain itu terdapat satu dulang yang berisi daun-daun kering. Daun-daun itu ditolak ke tepi.
Di situ terdapat lakaran yang kurang terang dan jelas, namun menyerupai 4 digit nombor, yang ditulis menggunakan tanah.
"Kau nampak?" tanya Wan Daud.
Zamri mengangguk.
"Lekas. Tulis nombor ni. Esok jangan lupa beli," kata Wan Daud.
Zamri segera pulang ke rumah. Dia tidak sabar menanti esok hari. Tak lena tidurnya pada malam itu.
Esok harinya, Zamri tergesa-gesa ke kedai nombor. Dibeli nombor yang ditulis malam tadi, lalu dia segera pulang ke rumah.
"Malas nak kerja hari ni. Badan pun penat. Lagipun lepas ni tak payah kerja lah. Tiap-tiap minggu dapat duit, kerja buat apa lagi. Hahahaaha"
Zamri bercakap sendirian. Yakin benar dia, dia akan kaya selepas ini.
Keesokan harinya, pagi-pagi lagi dia ke kedai runcit, membeli surat khabar. Surat khabar diselak dari belakang, di mana keputusan nombor ekor dipaparkan.
"Hahahaha hahahaha! Kena! Kena!"
Jerit Zamri. Dia segera menunggang motosikal ke tempat kerjanya. Sambil tersenyum, sesekali ketawa seperti orang hilang akal.
Dalam perjalanan ke tempat kerja, dia melintas rumah Wan Daud. Dia melihat ramai orang di hadapan rumah Wan Daud. Dia berhenti.
"Bang, kenapa ramai-ramai ni? Ada apa?" tanya Zamri.
"Wan Daud. Meninggal malam tadi. Eksiden."
Zamri terbeliak matanya. Tidak disangka. Dia membawa berita gembira, namun tidak kesampaian.
"Alamak! Wan Daud belum bagitau aku apa syarat lah," baru Zamri teringat. Dia mulai risau.
Berhari-hari dia memikirkan hal itu. Risau ada, takut pun ada.
"Esok ada race. Aku nak seru. Mana tahu menjadi," kata Zamri. Dia melakukan upacara itu sendiri.
Dan terbukti berkesan. Dia mendapat wang yang banyak. Minggu demi minggu, Zamri semaki kaya. Kerja pun entah ke mana. Biah juga terpalit kekayaan itu. Segala apa diingini Biah, sekelip mata Zamri dapatkan.
Pak Majid yang sedar akan hal ini, cuba menasihati Zamri. Agar dihentikan semua ini.
"Tak payah sibuk hal aku lah, Jid. Tapi kalau kau nak kaya, ikut aku. Sampai bila nak kerja kuari tu, panas. Berdebu!" itu jawapan Zamri.
Zamri mula dikenali orang kaya baru di kampung itu. Sombong, berlagak, mula menguasai diri.
"Habis macam mana Pak Majid yakin bukan arwah punya yang mengacau kita?" tanya Biah menghentikan ingatan Pak Majid pada perkara yang berlaku 30 tahun lalu.
Pak Majid merenung Biah. Dia memandang Mastura selepas itu.
"Tak apa lah Biah. Lain kali kita cakap hal ini. Cuma aku nak pesan, jaga diri kau. Kalau ada apa-apa yang kau dah buat, kembali lah semula ke jalan benar," itu saja pesan Pak Majid.
Biah diam. Namun Mastura sepertinya sudah dapat mengagak sesuatu.
"Habis, Khairul di mana?" tanya Biah.
"Dia ada, tapi makhluk itu ambil jadikan tebusan. Ada benda yang dia nak dalam rumah ni tapi belum dapat," kata Pak Majid.
Biah diam.
"Baik lah. Aku balik dulu. Ingat Biah, pulangkan barang dia," kata Pak Majid.
Pak Majid bingkas bangun. Mastura mengikut di belakang.
Biah menemani hingga ke muka pintu. Dia memerhati Pak Majid dan Mastura meninggalkan halaman rumahnya.
Hingga hilang dari pandangan dek ditelan kegelapan malam.
Daun pintu ditarik. Satu lagi daun pintu ditarik dan ingin dikunci.
"Mak"
BERSAMBUNG
AKU BELUM PULANG
PART 7
"Mak"
Biah terhenti. Dia kenal suara itu. Itu suara anaknya, Khairul.
Terngiang-ngiang lagi kata-kata Pak Majid tadi. Bahawa Khairul hilang. Yang dia lihat selama beberapa hari ini bukan lah Khairul.
Dia merasa serba salah. Mahu dibuka pintu itu ataupun tidak.
"Mak"
Sekali lagi Khairul memanggil. Biah masih keliru. Mahu dibuka atau pun tidak.
"Mak. Lapar"
Kali ini Biah tak dapat berdiam diri lagi. Meruntun naluri keibuan apabila mengetahui anaknya lapar.
Pintu dibuka.
Tercegat Khairul di tangga. Suram. Disimbah cahaya kelam mentol kuning yang hanya beberapa watt.
"Naik makan, nak"
Biah bersuara. Lalu dia bergegas ke dapur. Ingin saja dia memeluk anaknya setelah apa yang terjadi.
Namun entah mengapa, rasa ingin siapkan makan buat anak mengatasi segala rasa itu.
Biah turun ke dapur. Lauk dan pinggan mangkuk berderai masih lagi di lantai. Itu bukan keutamaan baginya. Anaknya lapar, harus diberi makan segera.
Periuk nasi dibuka. Masih ada lagi nasi. Cukup untuk seorang makan. Tapi, lauk apa yang ada?
Selesai meletakkan nasi di pinggan, Biah berpusing ke belakang. Terperanjat dia bila Khairul sudah berada di meja makan.
"Lauk tak ada. Mak gorengkan telur, boleh?" tanya Biah.
Khairul hanya mengangguk.
Khairul sudah biasa dengan nasi hanya berlaukkan telur. Baginya, itu adalah masakan yang paling sedap dari ibunya.
Nasi dan telur sudah terhidang. Sebotol kicap juga sudah tersedia. Biah menghulurkan kepada Khairul. Pantas Khairul menarik pinggan itu.
"Oh air belum ada. Sekejap mak ambilkan"
Biah bangun untuk mengambil air. Gelas diambil, air kosong dituang. Biah kembali ke meja.
"Burrppppp!"
Khairul sendawa.
Biah terpaku. Nasi yang dihidang tadi telah habis dimakan Khairul. Begitu pantas sekali!
Mana mungkin boleh habiskan dalam masa beberapa saat saja. Biah mengambil mangkuk, diisi air ke dalamnya dan hulurkan pada Khairul.
"Basuh tangan"
Kata Biah. Khairul menurut. Selesai itu, Khairul bangun dan menuju ke tangga. Biah hanya melihat.
Kemudian pinggan nasi Khairul tadi ditarik. Diperhatikan pinggan itu. Licin.
Khairul terhenti di anak tangga kedua. Biah perasan, namun tidak rasa apa-apa.
"Aku nok hok aku! Mu janji lagu mano?"
Pinggan di tangan Biah terlepas. Satu lagi pinggan jatuh berderai ke lantai. Sekali lagi, ini bukan anaknya!
'Khairul' masih berdiri di tangga. Membelakangi Biah, menghadap ke ruang tamu.
Dan Biah, juga berdiri kaku. Tangannya menggigil. Tidak tahu dia ke mana lagi ingin lari. Hanya satu sahaja, pintu dapur.
"Maaaaaakkk"
'Khairul' memanggil Biah. Namun kali ini Biah hampir pengsan!
Kepala 'Khairul' berpusing ke belakang tetapi badannya tidak bergerak! Masih menghadap ruang tamu dan membelakangi Biah!
Lidahnya panjang. Matanya terperosok ke dalam. Mukanya berubah cengkung, kulit mukanya pecah-pecah berlubang, matanya bertukar merah jingga!
Lemah lutut Biah. Kelu lidahnya. Namun matanya masih sempat menjeling ke pintu dapur yang tidak tertutup rapat.
Dengan sekuat hati Biah berlari ke pintu itu. Tak sempat memakai selipar, Biah berlari di dalam gelap. Apa yang dilanggar, dipijak tidak lagi dihiraukan.
Dalam kepalanya hanya satu. Rumah Pak Majid.
Biah berlari tanpa menoleh ke belakang lagi.
"Nak pergi mana makkkk"
'Khairul' juga berlari di sebelahnya. Namun tiada gaya seperti orang yang sedang berlari. Hanya berdiri tegak, tangan rapat di sisi, tapi seiring dengan Biah yang sedang berlari!
"Allah! Allaahhhh! Pak Majidddd!"
Rumah Pak Majid yang selama ini hanya dekat sahaja dengan rumahnya, terasa amat jauh kali ini. Puas dia menghayun tangan, membuat larian paling laju dalam hidupnya, namun tak juga sampai.
Dia terus berlari. 'Khairul' masih lagi berada di sebelah. Hanya memandang dan tersenyum. Tetap seperti itu.
Rumah Pak Majid sudah kelihatan. Hanya beberapa tapak sahaja lagi. Dirasakan rumah Pak Majid seperti garisan penamat bagi lariannya malam itu.
Dapat sampai ke rumah Pak Majid satu kejayaan bagi dirinya.
Sebaik melepasi pagar rumah Pak Majid, lembaga yang 'terbang' di sisi ghaib dengan tiba-tiba.
Mungkin pagar rumah Pak Majid 'dipagar' sekali lagi oleh Pak Majid. Kebal dan tidak boleh diceroboh makhluk yang tak dapat dipandang mata.
"Pak Majid! Mastura!"
Jerit Biah dalam termengah-mengah. Lampu beranda dinyalakan. Seketika, pintu depan dibuka.
"Hah Biah. Kenapa kau?"
"Khairul Pak Majid. Tadi balik," kata Biah.
"Tak apa. Naik dulu. Cerita kat dalam," kata Pak Majid.
Biah segera naik dan masuk ke dalam rumah Pak Majid.
"Haaahh!???"
Biah terkejut lagi.
Ada sekujur badan sedang terbaring di ruang tamu rumah Pak Majid. Dan dia amat kenal dengan sesusuk tubuh itu.
Pak Majid duduk di kerusi berdekatan dengan sekujur badan yang berbaring itu.
"Aku terjumpa Khairul masa aku balik dari rumah kau tadi," kata Pak Majid.
"Pak Majid jumpa?" tanya Biah. Walaupun telah diberitahu Pak Majid tadi.
"Bawah pokok Ketapang yang dekat rumah kau tu," kata Pak Majid.
Biah diam. Tak tahu apa yang nak difikirkan lagi. Berserabut kepalanya.
"Aku sengaja bawa dia balik ke rumah aku. Walau aku jumpa dia berhampiran rumah kau. Biar aku jaga dia seminggu," kata Pak Majid lagi.
Mastura keluar dari dapur, membawa segelas air buat Biah.
"Minum dulu mak cik," kata Biah.
Biah menurut. Laju air itu dihabiskan. Mastura bingkas bangun lalu berkata,
"Ayah, Mas masuk tidur dulu ya. Mak cik,"
Pak Majid mengangguk. Biah masih diam membisu.
"Biah, aku nak tanya kau. Dan kau kena jujur dengan aku. Aku dah nampak, tapi aku perlu jawapan jujur dari kau," kata Pak Majid.
Biah hanya merenung Pak Majid.
BERSAMBUNG.
AKU BELUM PULANG
PART 8
Biah hanya merenung Pak Majid.
"Cuba kau bagitahu aku. Kenapa?"
"Apa maksud Pak Majid?" tanya Biah.
"Kau ambil dari Wan Daud untuk apa, Biah?" tanya Pak Majid lagi.
Biah terdiam. Tunduk. Tidak memberi apa-apa jawapan.
Sementara itu...
"Dah habis kerja kau? Tak ada ot juga kau malam ni?" tanya Faiz kepada kawannya, Bidin.
"Tak ada. Jom lah balik," kata Bidin.
Faiz dan Bidin berkawan dari kecil. Sekampung. Bersekolah bersama hingga lah kerja kilang pun bersama.
"Kau drive lah. Aku mengantuk lah," kata Bidin. Kunci kereta diberi kepada Faiz.
Jam menunjukkan pukul 2.45 pagi. Mereka berdua berjalan ke tempat parking kereta.
"Kuat angin malam ini," kata Faiz sebaik sahaja memasuki kereta.
Bidin tidak menjawab apa-apa. Agak kepenatan wajahnya. Kereta mereka keluar dari kawasan kilang.
Di perjalanan,
"Eh Faiz, siapa tu?" tanya Bidin memecah kesunyian.
"Mana?" tanya Faiz.
"Tu. Tepi jalan tu. Ada orang tu," kata Bidin.
"Eh, ya lah. Nampak macam makcik je tu," kata Faiz.
"Berhenti. Berhenti. Bahaya lah sorang-sorang dalam gelap macam ni," kata Bidin.
Kereta diberhentikan di tepi jalan.
Dari suram cahaya bulan, mereka melihat seorang mak cik berdiri di tepi jalan.
Berbaju kurung bertanah kelabu, dan bercorak kuntum bunga besar-besar. Memakai tudung putih yang agak ke depan sehingga wajahnya sukar dicam.
"Mak cik, nak ke mana ni?" tanya Bidin sebaik sahaja menurunkan cermin tingkap pintunya.
Wanita itu mengangkat sedikit mukanya.
"Laaa...ni Mak Cik Biah lahhh..." kata Faiz.
"Ohh ya lah. Mak Cik Biah, nak pergi mana? Mari naik!" kata Bidin.
Tanpa melengahkan masa, Biah membuka pintu belakang dan terus duduk. Kereta mereka bergerak membelah kepekatan malam selepas pintu belakang ditutup.
"Mak cik dari mana tengah-tengah malam ni?" tanya Bidin memulakan perbualan.
"Kerja lah," jawab Biah.
"Kerja? Kerja kat mana?" tanya Bidin lagi.
"Kerja sama kilang dengan kamu," jawab Biah ringkas.
"Aik? Kerja kilang sama dengan kami? Eh, sekejap. Ada dengar mak cik cleaner baru kat kilang tu. Jadi, mak cik tu Mak Cik Biah lah ya?" sampuk Faiz.
"Ya," jawab Biah lagi.
"Dah tu, kenapa Mak Cik Biah tunggu tepi jalan dalam gelap tadi? Bukan Mak Cik Biah habis kerja pukul 10 malam ke?" tanya Bidin.
"Ada kerja tadi," jawab Biah.
"Ohh. Habis tunggu siapa tepi jalan? Khairul?" tanya Faiz.
"Ya," jawab Biah.
"Bahaya lah mak cik. Lain kali tunggu dalam pagar kilang je. Mak cik tunggu tepi jalan, buatnya ada perompak ke apa," kata Bidin.
"Tak pun buatnya ada hantu ke mak cik," kata Faiz berseloroh. Mereka berdua ketawa.
"Esok mak cik tumpang lagi kamu berhenti tak?" tanya Biah.
"Berhenti lah. Apa pulak tak berhenti," jawab Faiz.
"Kalau mak cik seorang kamu berhenti tak?" tanya Biah.
"Tak kira lah mak cik. Mak cik sorang ke, mak cik berapa orang ke. Selagi muat, lepas tu ada mak cik Biah pulak tu, kami mesti berhenti punya," jawab Bidin.
"Kalau mak cik macam ni? Cuba tengok belakang ni," kata Biah.
Faiz segera berpaling ke belakang. Diikuti Bidin.
"Allahhh. Din hantu din! Hantu ni Din!!!" jerit Faiz.
Bidin juga panik! Kelu lidahnya setelah menyaksikan di kerusi penumpang belakang, ada 4 Biah yang sama.
Keempat-empat berwajah sama, berpakaian sama!
"Eh eh Faiz! Sungai tu Faiz! Woih elakk!" jerit Bidin!
Arghhhhhh! Allahhhhh!!!
"Assalamualaikum semua!" kata Haji Semawi sebelum mengimamkan solat Subuh di surau kampung.
Semua mata tertumpu ke arah Haji Semawi, termasuk Pak Majid yang baru selesai tunaikan solat sunat 2 rakaat ketika itu.
"Nanti dalam jam 8 atau 9 pagi, mohon semua jemaah selepas kuliah Subuh jangan balik dulu ya. Kita ada solat jenazah di sini," kata Imam Semawi.
Pak Majid seolah terkedu. Siapa yang meninggal? Kenapa dia tak tahu?
"Jenazah Faiz dan Bidin sekarang masih kat hospital. Insya Allah sebentar lagi akan dibawa balik ke rumah masing-masing, selepas itu akan dibawa ke sini," kata Imam Semawi.
Pak Majid mencuit rakan sekampung yang kebetulan berada di sebelahnya.
"Kenapa Faiz dan Bidin? Yang berkawan sejak kecil tu kan? Yang selalu datang surau ni kan?" tanya Pak Majid.
"Eksiden balik kerja tadi. Kereta menjunam dalam sungai. Lemas."
"Innalillahi wainna ilaihi raji'un"
Pak Majid terdiam seketika.
Laungan iqamah kedengaran. Imam Semawi sudah mengambil tempat, makmum juga sudah berdiri tegak dan saling merapat.
"Pelik juga aku. Macam mana kereta dia boleh terhumban dalam sungai tu. Lepas tu air sungai bukan dalam mana. Paras dada je," kata seorang jemaah sewaktu sama-sama menanti jenazah tiba di masjid seusai kuliah Subuh.
"Kan? Aku pun fikir benda sama. Padahal masa kereta tu ditarik keluar, tingkap pintu arwah Bidin dan Faiz tak tutup pun. Boleh je mereka keluar. Lagipun budak berdua ni dari kecil memang kaki mandi sungai," tambah lagi seorang jemaah.
"Ajal," balas Pak Majid.
"Tapi mengikut anak saya, sewaktu sebelum kejadian, anak saya nampak kereta mereka berhenti di tepi jalan," kata seorang lagi jemaah.
"Tepi jalan mana?" tanya Pak Majid.
"Tepi jalan keluar dari kilang tu. Kereta mereka di depan, anak saya kat belakang naik motosikal," kata jemaah itu.
"Berhenti buat apa tepi jalan?" kata Pak Majid.
"Entah. Tapi nampak pintu belakang terbuka. Tak nampak pula siapa yang keluar atau siapa yang masuk masa anak saya potong kereta mereka tepi jalan masa tu"
BERSAMBUNG
AKU BELUM PULANG
PART 9
Pak Majid diam.
Kedengaran deruman enjin van jenazah menghampiri masjid. Pak Majid dan beberapa jemaah sudah bersedia.
Jenazah Bidin dibawa turun terlebih dahulu. Kemudian jenazah Faiz. Kedua-dua jenazah selamat disembahyangkan dan dikebumikan hari itu juga.
Berita kemalangan mereka berdua agak tular di kampung itu. Cerita kereta berhenti di tepi jalan seolah mengambil penumpang di belakang sebelum tragedi berlaku, menjadi bualan hangat penduduk kampung.
Pak Majid, orang yang tidak suka berbicara tanpa bukti dan fakta yang sahih, masih mengunci mulut dan tidak mahu ulas apa-apa walaupun ada pihak mahu beliau 'tengok' apa sebenarnya yang berlaku.
Sehingga pada satu petang,
rumahnya didatangi bapa kepada arwah Bidin. Kereta yang mereka naiki pada malam kejadian itu adalah kereta bapa arwah Bidin.
"Saya agak pelik Pak Majid" kata bapa arwah Bidin.
Pak Majid diam dan hanya menanti apa yang mahu diceritakan oleh si bapa.
"Kereta itu kereta saya. Tapi saya jumpa benda ini. Saya tanya isteri saya, anak perempuan saya, semua tak tahu dan mereka kata ini bukan mereka punya"
Pak Majid mengambil sesuatu di tangan bapa arwah Bidin.
Cucuk sanggul wanita.
Pak Majid perhatikan cucuk itu dengan teliti.
"Tak pernah benda tu ada dalam kereta saya selama saya bawa kereta tu. Petang sebelum kejadian, saya cuci kereta luar dan dalam. Saya tak jumpa pula benda tu," sambung bapa arwah Bidin.
Pak Majid cuba mengingati sesuatu. Dia merasakan pernah ternampak cucuk ini dipakai oleh seseorang tapi jelmaan itu amat payah menyinggah di benaknya.
"Tak apa. Kau balik lah dulu. Nanti aku tengok apa yang boleh aku bantu," kata Pak Majid.
Bapa kepada arwah Bidin pun pulang, tanpa apa-apa jawapan atau kunci kepada persoalan yang berlegar di fikiran.
"Mas. Oh Mas. Mastura!" panggil Pak Majid.
Mastura menjengah dari kamar tidurnya.
"Sini sekejap. Duduk sini," arah Pak Majid.
Mastura patuh.
"Tengok ni. Kamu ingat tak siapa yang selalu pakai cucuk sanggul ini?" tanya Pak Majid sambil cucuk itu diangkat separas dengan muka Mastura.
"Eh, seingat Mas ini cucuk sanggul..."
"Biah, kan?" Pak Majid dengan pantas mencelah.
Mastura mengangguk.
"Kenapa ayah? Mana ayah dapat tu?" tanya Mastura.
"Tadi. Tak ada apa lah. Tolong ambil kunci motor ayah sekejap," kata Pak Majid.
Mastura bingkas bangun dan mencapai kunci motor ayahnya yang tergantung di tiang lalu menyerahkan pada Pak Majid.
"Ayah nak keluar sekejap. Kamu kunci semua pintu. Lepas tu tidur. Tak payah tunggu ayah balik," kata Pak Majid.
Mastura diam. Seketika bunyi enjin motosikal Pak Majid memecah sunyi malam dan makin lama makin hilang dari pendengaran.
"Assalamualaikum. Biah! Ohh Biah!" Pak Majid memberi salam setelah sampai di depan rumah Biah.
Tiada jawapan.
"Tidur dah ke? Lampu terang ni. Pintu pun tak tutup si Biah ni," bisik Pak Majid sendirian.
Pak Majid menaiki tangga depan rumah Biah. Perlahan-lahan.
"Biahh.." Pak Majid sekali lagi memanggil nama Biah namun masih tiada jawapan.
Pak Majid naik lagi dan mula memasuki rumah Biah.
"Bia...Allah Hu Akbar! Biaaah!"
Mata Pak Majid membulat! Dia terkejut dengan apa yang disaksikannya!
Biah terlentang di ruang tamu dan perutnya membesar atau membusung seolah menanti untuk meletup!
"Phaa Majhiffddd thzolongg szzayaaa"
Itu sahaja yang kedengaran sayup-sayup dari mulut Biah.
"Biah kenapa kau ni Biah? Mengucap Biah, mengucap. Kenapa lah kau bergantung dengan selain Allah selama ini Biaaahhh," kata Pak Majid.
Darah mula keluar dari mulut dan hidung Biah.
"Huh!! Huh!! Huuuu! Huuuu!!!"
Mulut Biah muncung seperti menunjukkan sesuatu. Mata Biah terbuka luas. Anak matanya bergerak-gerak seolah memerhati sesuatu yang sedang terbang dan berlegar-legar di siling rumahnya.
Pak Majid mendongak. Lantas dia duduk bersila.
"Bismillahilladziy la yadhurru ma’asmihi syai’un fil’ardhi walaa fissama’i wahuwassamiy’ul ‘aliym!"
Terkumat kamit mulut Pak Majid membaca beberapa potongan ayat suci Al Quran.
"Allaahhhh Hu Akbar!!!"
Pak Majid menepuk lantai rumah. Biah masih lagi menggelupur seperti sedang azab bergelut untuk melepaskan nyawa dari badan.
Pak Majid masih membaca ayat-ayat dan lantai itu ditepuk berulang kali.
Sehinggalah..
"Biah ambik kito. Biah tak bui (beri) make (makan). Kito lapar!"
Kedengaran suara ghaib entah dari mana. Pak Majid tidak berganjak. Dia tidak mendongak. Renungannya tepat ke lantai. Biah kembali tenang.
"Habis tu, Khairul mana??" tanya Pak Majid.
"Biah janji nok bui make (makan). Kalu dio tak bui make (makan), kito susut (sorok) Khairul. Janji mulo dulu lagu tu"
Bunyi suara itu lagi. Suara seperti orang yang sedang berbual dalam keadaan teresak-esak menangis.
"Sekarang aku nak kau pergi dari sini. Atau kau nak aku halau kau cara kasar?" balas Pak Majid.
Rumah Biah bergegar. Kedengaran seluruh dinding rumah bingit seperti diketuk oleh sekumpulan orang yang berada di sekeliling rumah.
Biah kembali dirasuk. Kali ini makin dahsyat. Menggelupur kepanasan. Darah membuak dan memancut dari hidung dan mulut.
Lantai rumah juga riuh rendah seperti orang menghentak kaki secara beramai-ramai!
Pak Majid bangun. Duduknya tadi tidak lagi rasa selesa dan selamat. Dia merasakan seperti berpuluh makhluk ganjil sedang mengelilinginya.
"Haaaaaaa haaaaaaa pfanaaasssszzhh!"
Biah menjerit kepanasan.
Pak Majid tahu kali ini dia betul-betul diuji. Sudah lama dia tidak 'bertempur' sehebat ini.
Lawannya bukan calang-calang kali ini. Barang diberi Wan Daud, bukan biasa-biasa. Semua berasal dari Siam.
Silap langkah, dia akan tumbang dan mungkin dia akan alami kecedaraan dalaman yang lama untuk pulih.
Dia mula mengambil kain yang diletakkan di bahu. Dipegang hujung ke hujung dan ditegangkan setegangnya.
"Aku mintak kau pergi cara baik kau nak tunjuk degil ya!" kata Pak Majid.
Pak Majid bergerak setapak demi setapak seperti mempersembahkan gerak tari orang yang sedang bersilat.
Sambil mulutnya terkumat kamit membaca ayat-ayat yang hanya dia yang tahu.
"Pergi!!!!"
Jerit Pak Majid sambil kain itu dihempas sekuatnya ke lantai.
Biah makin menggelupur. Mengerang dan menjerit. Apa yang diteriaknya sudah tak boleh difahami Pak Majid.
Rumah itu makin kuat gegarannya. Bunyi sekeliling dinding seperti diketuk secara beramai-ramai, bunyi lantai seperti dihentak kaki juga secara beramai-ramai.
Namun Pak Majid, orang yang punyai ilmu tinggi, tidak gentar. Baginya, semua yang berlaku ini adalah kehendak Tuhan. Makhluk yang datang mengacau juga tidak akan sehebat kuasa Tuhan.
Segalanya dia berserah pada Tuhan.
Suasana makin bingit. Dengan ketukan di dinding, di lantai dan juga teriakan Biah.
Tiba-tiba
satu dari susunan atap zink tercabut seperti dibadai ribut yang kuat. Dan dengan secara tiba-tiba juga Biah yang tadinya terlentang di lantai, kelihatan sedikit terapung seperti ada kuasa lain yang menarik Biah dari lubang atap yang terbuka tadi.
Pak Majid segera mendapatkan Biah. Kain di tangannya dikibas-kibas ke seluruh badan Biah.
"Kurang ajar! Ini anak Adam! Bukan kau punya!" bentak Pak Majid.
Biah jatuh ke lantai.
Dapat diperhatikan ada kepulan asap kehitaman berkepul di udara betul-betul di atas badan Biah, seterusnya naik ke angkasa melalui lubang atap yang terbuka itu.
"Mu tak kuat mano doh Majid. Mu tak buleh lawe (lawan) aku. Baik mu kelik (balik) tengok anok mu Majid. Kelik!"
Terdengar suara garau sebaik sahaja asap itu hilang di ruang tamu rumah Biah.
"Mastura!" kata Pak Majid.
BERSAMBUNG
AKU BELUM PULANG
PART 10
"Mastura!" kata Pak Majid.
Namun, Pak Majid tidak gelabah. Dia tidak mudah melatah. Dia tahu ini satu helah.
Jika dia mengikut hasutan dan tipu daya si iblis, apa akan jadi dengan Biah yang keseorangan di sini.
Mastura anaknya. Dia yang menurunkan ilmu pada Mastura. Dia tahu Mastura mampu mengawal keadaan dan mampu menjaga dirinya sendiri.
Pak Majid tidak berganjak.
"Malam ini aku mesti kena pulihkan Biah. Malam ini aku mesti 'hantar' pulang iblis-iblis ini" katanya di dalam hati.
Biah masih berbaring di lantai.
Pak Majid ke dapur, mengambil segelas air. Dibacakan beberapa ayat lalu air itu diberi kepada Biah.
"Habiskan" kata Pak Majid.
Biah, yang mungkin kehausan akibat menjerit terlalu lama tadi meneguk air itu dengan gelojoh sekali.
Biah kembali berbaring. Pak Majid berada di sisi seolah bersedia menanti sesuatu yang bakal terjadi.
"Uhuk! Uhuukk!" Biah batuk.
Makin lama makin teruk. Makin lama seperti ingin muntahkan sesuatu.
"Uhukk Blueeewwkkk!"
Seketul gumpalan darah berwarna kehitaman keluar dari tekak Biah. Hitam yang berbau hanyir memenuhi ruang rumah Biah.
Biah masih mengah akibat digasak rasa muntah. Pak Majid turun ke tanah, mengambil beberapa batang tebu yang tersedia ada di pinggir rumah Biah, yang memang ditanam Biah.
Tebu itu dipatahkan. Digumpal bersama beberapa daun kering dan dibakar. Tujuannya untuk hilang bau hanyir lagi meloyakan.
Seketika Pak Majid ternampak seseorang. Melintasi di hadapan rumah Biah.
"Sufian! Sufian! Sini!"
Sufian. Pemuda yang bekerja di kebun pisang Pak Majid. Sedang mengayuh basikal dan entah mahu ke mana.
"Ada apa Pak Majid? Apa Pak Majid buat kat rumah Mak Cik Biah ni? tanya Sufian.
"Nanti aku ceritakan. Kau tolong aku. Tengokkan Mak Cik Biah kau. Aku nak balik rumah sekejap," kata Pak Majid.
"Tengokkan Mak Cik Biah? Kenapa nak kena tengok dia pulak Pak Majid? Mak Cik Biah sakit ke?" tanya Sufian.
"Baru lepas digasak hantu," jawab Pak Majid selamba.
"Hahh? Hantuuu?? Ish tak berani saya Pak Majid. Takut lah! Tak nak!" bersungguh-sung
guh Sufian menolak.
"Ehh kamu ni. Jantan apa kamu ni? Nak aku sunatkan lagi sekali lepas tu kasi makan anjing? Nak?" tanya Pak Majid sambil mengangkat parang yang digunakan untuk memotong tebu tadi.
"Takut lah Pak Majidddd.." rayu Sufian.
"Dah. Jangan mengada. Hantu tu dah tak ada. Mak Cik Biah kau je ada kat atas. Terlantar penat barangkali. Kau jaga sekejap. Aku balik sebentar je," kata Pak Majid.
Enjin motosikal dihidupkan.
Sufian tercegat di tepi tangga rumah Biah. Menyesal betul dia melalui jalan itu malam ini.
"Mas. Mastura! Dah tidur?" tanya Pak Majid sebaik sahaja masuk ke dalam rumah.
"Belum ayah. Ada ni," jawab Mastura lantas dia keluar dari bilik tidurnya.
"Masa ayah tak ada tadi, ada apa-apa berlaku kat kamu?" tanya Pak Majid.
"Tadi ada lah juga. Dengar ayah panggil Mas. Tapi Mas tak buka pintu. Mas tahu itu bukan ayah," jawab Mastura tenang.
"Bagus. Kamu bersiap. Sekejap lagi ikut ayah pergi rumah Mak Cik Biah kamu," kata Pak Majid. Selepas itu Pak Majid masuk ke bilik tempat dia berubat.
Mastura juga masuk ke bilik tidurnya untuk siapkan diri.
Sementara itu di rumah Biah,
Sufian masih lagi tercegat di tangga. Sesekali dijeling ke arah Biah yang masih terbaring. Tidak bergerak.
Yang kelihatanhanyalah perut Biah yang naik turun semasa bernafas.
"Alamak nak kencing pulakkkkk. Mana lah Pak Majid ni. Lamanyaaaa.." rungut Sufian.
"Karang aku kencing kat semak, ada benda lain sergah aku, naya. Nak naik atas, kena lintas Mak Cik Biah. Entah betul dah elok ke belum orang tua tu," bebel Sufian lagi.
Suasana malam itu sepi sekali. Tidak seperti tadi, semasa pertarungan Pak Majid dan makhluk ghaib.
"Eh aku tak tahan dah ni. Elak terburai kat tangga ni je ni. Naik jelah," kata Sufian.
Perlahan Sufian menaiki tangga. Satu persatu anak tangga dipijak. Sambil sesekali matanya merenung ke arah Biah yang terlentang di ruang tamu.
Dapat disaksikan oleh Sufian, keadaan Biah ketika itu.
Rambutnya mengerbang tidak terurus, mukanya lebam kebiruan, mulutnya terlopong tapi matanya terpejam.
Juga lelehan darah masih ada di hidung dan lelehan darah kehitaman masih ada di tepi mulut Biah.
Sufian kuatkan diri. Demi terasa nak kencing, dia harus kuat. Tangga tadi sudah selesai didaki. Kini cabaran seterusnya, dari muka pintu ke ruang tamu. Dari ruang tamu ke dapur seterusnya ke tandas.
Perlahan-lahan Sufian melangkah.
"Kreeeuuukkk!!"
"Mak!" Sufian menjerit. Laju kakinya diangkat.
Dia terkejut dengan bunyi itu. Bunyi itu hanyalah bunyi lantai yang dia sendiri pijak. Rumah kampung, berlantai kayu.
Sufian terus melangkah. Kali ini dia makin hampir dengan Biah. Dadanya berdegup kencang.
"Jangan bangun mak cik. Jangan banguunnn. Tidur laaahh," bisik Sufian perlahan.
Langkah diatur sebaiknya. Sufian melangkah ibarat tidak bernyawa.
"Piannnn....nak pergi manaaaa...?!!"
Tiba-tiba Biah yang terlentang bangkit. Matanya bulat. Biah senyum melihat Sufian.
Separuh badannya bangkit, kakinya masih berlunjur.
"Allaahhhh"
Bap!
Sufian pengsan.
"Aku dah agak. Kau fikir kau bijak kan? Aku ni lagi bijak dari kau lah!" tiba-tiba Pak Majid muncul di muka pintu. Mastura ada di belakang ayahnya.
Biah menjengilkan mata sebesar-besarnya.
Pak Majid melihat Sufian terbaring berdekatan dengan Biah. Dia menggelengkan kepala. Agak kecewa dia dengan Sufian.
Ini memang helah Pak Majid.
Dia tahu Sufian bukan seorang yang berani. Dia tahu Biah sedang tak kuat. Jadi dia pulang ke rumah dalam masa yang sama dia biarkan Sufian dan Biah di sana,
maka si iblis durjana dengan mudah datang mengganggu manusia yang amat tipis semangatnya.
"Kali ini kau tak akan dapat ke mana-mana lagi, iblis!" kata Pak Majid seraya mengangkat satu botol kecil di mana muncung botol itu terikat dengan seutas tali kuning.
Pak Majid melangkah masuk. Mastura mengekori di belakang.
"Mas, sedarkan Sufian," arah Pak Majid.
Mastura memandang ke kiri dan kanan. Terlihat dia ada gelas yang airnya masih berbaki tapi sedikit.
Dia mengambil gelas itu, dituang ke tapak tangan dan direnjis ke muka Sufian.
Sufian membuka mata perlahan-lahan.
"Eh Mastura. Hah Pak Majid. Saya kat mana ni. Kenapa dengan saya?" tanya Sufian.
Selepas itu dia berpaling ke sebelah. Terperanjat melihat Biah yang pada masa yang sama juga sedang merenung dia dengan pandangan yang tajam.
"Hantuuuuu!"
Sufian bingkas bangun, terjun dari pintu utama, tinggalkan basikal dan tanpa berselipar lari lintang pukang!
"Mas, kalau nampak ayah 'berat', kejutkan ayah ya," pesan Pak Majid pada anaknya.
Mastura mengangguk.
Kain kuning yang dilipat kecil dibentang di ruang tamu. 4 batang lilin dinyalakan dan diletakkan di setiap bucu kain itu.
Ada 1 mangkuk kecil yang terisi serbuk atau nampaknya seperti beras terbakar terisi di dalamnya.
Botol kecil diletakkan sebelah mangkuk tersebut. Penutup nya dibuka.
Pak Majid mula membaca ayat-ayat suci Al Quran. Dimulai dengan Al Fatihah, kemudian ayatul Kursi dan beberapa surah lain.
Seterusnya Pak Majid menadah kedua tangan seperti ingin berdoa.
Manakala Biah masih lagi dengan keadaan yang sama. Duduk, kaki nya masih berlunjur dan matanya terbuka luas memerhatikan Pak Majid.
Pak Majid mula berdoa.
"Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami.
Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami."
"Hahahahaha!" Biah ketawa terbahak-bahak.
Pak Majid terdiam seketika. Dia menyambung semula doanya. Kali ini amat berbeza.
"Engkaulah Penolong kami. Oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir".
Ayat terakhir ini, Pak Majid berdoa. Namun suaranya seiring dan serentak dengan suara Biah.
"Ayat Al Baqarah kan ni, Majid? Ini saja? Hahahaha" tanya Biah sambil ketawa.
Pak Majid diam. Sudah dapat diagak, apa yang ada di dalam badan Biah kali ini amat berat.
Bukan sahaja pendamping Biah, malah arwah Zamri punya pun bersatu sekali di dalam badan Biah sekarang.
"Hebat permainan kau, Wan Daud," bisik Pak Majid sendirian. Dia mula terasa berat dan penat.
"Tak apa, kau tunggu sikit je lagi. Kau besar mana, kau nampak botol kecil ni. Aku halau kau cara elok kau tak nak pergi. Kau nak paksa aku sumbat kau dalam botol kecil ni ya?" kata Pak Majid.
Biah masih ketawa sambil menepuk-nepuk lantai, seperti memperlekehkan usaha Pak Majid.
BERSAMBUNG
AKU BELUM PULANG
PART 11
Pak Majid berdiri tegak di tengah-tengah ruang tamu.
Segalanya telah terungkap. Apa yang ada di depan matanya sekarang bukan sekadar Biah.
Namun Biah yang telah dipengaruhi oleh 2 'belaan' iaitu belaannya sendiri dan juga belaan arwah suaminya, Zamri.
Pak Majid sudah tahu lama. Namun dia ingin tahu kenapa Biah tergamak menyekutukan Allah.
Biah makin galak. Ketawa, menepuk lantai, ligat kepalanya berpusing kiri dan kanan.
Adakala pertuturannya boleh difahami. Adakala dia bercakap dalam bahasa Siam.
Kali ini Pak Majid tidak akan bertolak ansur lagi. Telah diguna cara sopan, iblis itu tetap melawan. Diguna secara kasar, iblis itu makin mencabar.
Pak Majid berdiri. Matanya dipejam. Tangan kanannya terangkat dan didepa kan ke depan. Seperti proses mengalirkan kuasa dalaman.
"Bismillahi......" terdengar Pak Majid mula membaca ayat-ayat untuk melumpuhkan kuasa iblis yang dilaknat Tuhan.
Mastura masih lagi berada berdekatan Biah. Menanti kalau-kalau Biah makin agresif, juga menanti kalau-kalau ayahnya rebah.
Pak Majid menggeletar . Tangannya bergegar seperti berlawan kekuatan dengan musuh di hadapan.
"Allaaahhhh..."
Seketika Pak Majid jatuh melutut. Darah terpancut dari mulutnya.
"Ayah!" jerit Mastura.
Pak Majid mengangkat tangan. Menahan Mastura dari mendekat. Juga sebagai tanda bahawa dia masih mampu bertarung.
Biah ketawa dan terus ketawa.
"Tu..Tu! Tu!" Biah mendongak sambil memuncungkan mulutnya. Menunjukkan ke arah lubang atas yang terbuka di atas.
Mastura mendongak. Lantas cepat-cepat dia alihkan pandangan. Apa yang disaksikannya benar-benar mengerikan.
Ada 4 makhluk mengerikan sedang menjengah dari lubang empat segi bumbung yang telah tertanggal itu.
Jembalang. Dengan muka yang berlumut, pecah berlubang, rambut mengerbang panjang, mata yang kemerahan dan lidah terjelir panjang.
Biah ketawa melihat gelagat Mastura yang tak senang duduk ketika itu.
Pak Majid makin lemah. Kali ini dia jatuh tertiarap. Dan berpusing lalu terlentang. Kaki dan tangannya kejung. Badannya juga kejung menegang tak ubah seperti terkena renjatan.
"Aaaaallllllaaaaahhhhh..." terdengar jeritan lemah dari Pak Majid.
Mastura sudah tidak tahan melihat kesakitan ayahnya. Dia segera mendapatkan ayahnya.
"Allahu La Ila Ha Illa Hualhayyum Qayyum......."
Terdengar bacaaan ayatul Qursi dari seseorang. Mastura berhentikan langkah. Dia menoleh memandang ke arah pintu utama.
Imam Semawi dengan berjubah, berserban dan bertasbih di tangan. Wajahnya tenang sambil membaca ayat suci Al Quran. Di sebelahnya Sufian.
Imam Semawi datang setelah Sufian yang lari lintang pukang tadi berlari ke rumahnya dan menceritakan apa yang berlaku.
"Mastura, kasi air ni pada ayah. Sufian!" kata Imam Semawi sambil hulurkan sebotol air pada Sufian, untuk diberi kepada Mastura.
Pak Majid masih kejung, tegang segala urat saraf. Mastura membuka botol, mencurah sedikit air ke tangan lalu diusap ke muka ayahnya.
Perlahan-lahan, Pak Majid kembali tenang. Mastura meletakkan mulut botol itu ke bibir Pak Majid lalu Pak Majid meneguknya.
Imam Semawi berjalan mengelilingi Biah. Berpusing kepala Biah mengikut pergerakan Imam Semawi.
Terkumat kamit mulut Imam Semawi ketika itu. Kain serban yang sentiasa ada di bahu Imam Semawi kini di tangan.
"Haaaahhh Allah Hu Akbarrrr!" jerit Imam Semawi sambil melibas kain itu pada Biah.
Biah menjerit seperti kepanasan.
Mastura mendongak ke lubang bumbung. 4 lembaga menakutkan itu sudah tiada. Mungkin hilang setelah kedatangan Imam Semawi.
"Majid, kamu sudah ok?" tanya Imam Semawi.
Pak Majid mengangguk.
"Ambil tempat kamu dan buka botol itu," arah Imam Semawi.
Pak Majid yang masih lemah bangun. Sambil mengesat lelehan darah di mulut, dia pergi ke tempat di mana dia bentangkan kain kuning bersama lilin di setiap penjuru kain itu.
Botol kecil yang dibawa tadi dibuka.
Imam Semawi berhenti berjalan mengelilingi Biah. Kini dia berada betul-betul di belakang Biah.
Kain serban di tangan, kini dibuka dan menutup kepala Biah. Biah kini diam dan tidak melawan apatah lagi meronta. Seperti dipukau.
Imam Semawi mula membaca ayat suci. Biah masih kaku. Pak Majid pula bersila di atas kain kuning sambil tunduk seperti bertafakur.
Kemudian, dengan secara tiba-tiba muncul kepulan asap yang hitam memasuki ruang rumah, dari lubang atap yang terbuka itu.
"Pegang botol betul-betul Majid!" kata Imam Semawi.
Pak Majid memegang botol itu dengan penuh teliti. Asap itu satu persatu memasuki botol itu. Ada empat semuanya.
"Tutup. Tutup rapat-rapat!" arah Imam Semawi.
"Huuuuuuu....Huuuuu...bakpo (kenapa) buat lagu ni ko ambo?"
Biah tiba-tiba menangis teresak-esak seperti budak kecil. Namun, itu bukan Biah. Biah tak pandai bercakap dalam loghat itu.
"Aku dah kurung semua. Tinggal kau saja ni. Kau nak kena juga?" tanya Imam Semawi.
"Toksey! (Tak nak!)"
"Kalau tak nak, kau kena ikut cakap aku. Sekarang aku tuan kau. Nak ikut tak?" kata Imam Semawi.
Biah dengan laju mengangguk.
"Sekarang tunjuk aku mana tempat kamu simpan Khairul!" kata Imam Semawi.
Dengan tiba-tiba Biah bingkas bangun, berjalan tegak seperti dipukau dan terus menuruni tangga.
"Ayuh. Cepat" kata Imam Semawi pada semua yang ada di dalam rumah ketika itu.
Biah mengepalai rombongan itu. Imam Semawi, Pak Majid, Mastura dan Sufian menuruti di belakang.
Sehingga sampai di satu rumpun buluh, Biah berhenti. Telunjuknya mengarah ke sebuah busut besar di belakang rumpun buluh itu.
Imam Semawi bergerak ke busut itu.
"Majid, Sufian. Tolong aku. Angkat Khairul ni," kata Imam Semawi.
Khairul dipapah ke tempat lapang. Bajunya kotor berlumpur, rambutnya berserabut dengan daun-daun kering. Mukanya berdebu dan mulutnya penuh dengan rumput dan tanah.
"Majid, botol tadi mana?" tanya Imam Semawi.
"Ada. Ni." jawab Pak Majid sambil menunjukkan pada Imam Semawi.
"Sedia!" arah Imam Semawi. Lantas dia memegang kepala Biah. Biah ketika itu seperti terkena renjatan, meraung, meronta dan suaranya amat menakutkan.
"Allah Hu Akbar!" jerit Imam Semawi lantas melepaskan tangan dari kepala Biah lalu tangan itu digenggam.
"Buka botol itu cepat!" kata Imam Semawi dan Pak Majid dengan pantas menurut perintah.
Biah rebah. Pengsan.
Pak Majid duduk kepenatan. Imam Semawi pula mengesat peluh yang membasah di muka.
"Botol itu kasi aku," kata Imam Semawi.
"Kita tunggu sekejap. Selepas ini Biah akan sedar dan 'balik' asal. Kita bawa dia balik ke rumah. Nak tanya apa-apa, esok saja," pesan Imam Semawi.
Semua diam dan bersetuju. Memang Pak Majid banyak benda yang ingin ditanyakan pada Biah.
Memandangkan dahulunya dia sendiri telah menghantar pulang belaan arwah Zamri, kenapa masih ada saki baki iblis pujaan arwah Zamri pada Biah?
Segalanya akan ditanya pada Biah esok.
BERSAMBUNG
AKU BELUM PULANG
PART12
Fajar menyimbah cahaya serata alam.
Mastura sudah berada di halaman. Menyapu daun-daun kering yang gugur dari pepohon yang mengelilingi rumahnya.
Terdengar deruman enjin motosikal Pak Majid tiba di rumah.
"Mas, ayah beli nasi lemak ni. Nanti kamu makan lah," kata Pak Majid. Lalu dia naik ke atas.
Mastura hanya mengangguk.
Seketika Pak Majid keluar semula dan turun ke tanah.
"Ayah nak ke mana pulak?" soal Mastura.
"Ke rumah Mak Cik Biah," jawab Pak Majid.
Mastura diam. Dia kembali menyambung tugas.
"Macam mana kau hari ni Biah?" tanya Pak Majid sebaik sahaja duduk di beranda rumah Biah. Biah pula bersimpuh di muka pintu.
"Ok sikit Pak Majid. Cuma rasa sakit-sakit badan tu masih ada," jawab Biah.
"Sekarang aku nak tahu. Macam mana kau boleh terfikir nak bela iblis tu, Biah? Kau tak takut dosa ke?" tanya Pak Majid.
Biah terdiam seketika. Dengan orang lain, Biah mungkin melawan. Tapi dengan Pak Majid, dia sedikit gerun. Dia menghormati Pak Majid sejak dari dulu lagi.
"Saya termakan pujuk rayu iblis, Pak Majid," kata Biah.
"Maksud kau?" balas Pak Majid.
Biah memulakan ceritanya pada Pak Majid.
Seawal arwah Zamri kemaruk dengan kekayaan yang dinikmati hasil duit nombor ekor yang dibantu iblis, Biah pada awalnya tak suka.
Dia tahu itu duit haram.
Namun lama-kelamaan, Biah lupa. Setelah ditaburi wang ringgit, emas, harta benda, Biah sendiri hanyut dengan keasyikan jahanam itu.
Namun pada suatu hari, Biah terlihat satu keadaan yang tidak senang pada matanya, juga tidak tenteram di jiwanya.
Kejadian berlaku di pekan. Ketika itu Biah ke pekan untuk membeli sedikit barang keperluan.
Biah ternampak arwah Zamri bersama wanita lain baharu sahaja melangkah keluar dari kedai emas.
Biah merasa curiga. Merasa tercabar. Merasa tergugat. Apatah lagi wanita itu lebih cantik dan lebih bergaya berbanding dirinya.
Biah pulang ke rumah. Dia bertekad akan bertanya hal ini apabila Zamri pulang ke rumah nanti.
Masa ditunggu pun tiba. Zamri pulang ke rumah. Biah sudah menanti di ruang tamu. Zamri jejakkan kaki sahaja ke ruang tamu, akan Biah serang bertalu-talu dengan soalan.
Namun lain pula jadinya. Ternampak sahaja wajah Zamri, lidah Biah kelu. Otaknya seperti mati. Yang hidup hanya jasad. Dia seperti dipukau. Seperti tidak mampu melawan dan tidak boleh meninggikan suara.
Selepas itu Zamri keluar semula. Dan Biah, juga keluar berjumpa dengan seseorang.
Dia menceritakan hal itu pada Bidan Senah. Bidan Senah tinggal di hujung kampung.
Bidan Senah memang terkenal sebagai bidan kampung dan juga pakar dalam menggugurkan kandungan.
Namun sehebat mana pun manusia, Tuhan lebih berkuasa. Bidan Senah meninggal dunia dalam kebakaran rumahnya sendiri.
Tapi yang anehnya, mayat Bidan Senag ditemui di halaman rumahnya. Tiada kesan kebakaran dan yang pelik mulutnya penuh dengan tanah.
Dan jawapan yang diterima Biah berkenaan suaminya arwah Zamri itu benar-benar mengejutkan.
Menurut Bidan Senah, apa yang dibela Zamri betul-betul melindungi dirinya dan juga menundukkan sesiapa sahaja yang ingin marah atau mengancam dirinya, tak kira siapa. Termasuk isteri sendiri.
Kerana itulah, Biah sendiri tidak mampu berkata apa walaupun melihat kesalahan yang dilakukan Zamri.
Biah mati akal. Silapnya bermula setelah dia bertanya Bidan Senah, apa yang harus dilakukan.
Bidan Senah menghasut dirinya supaya 'berkawan' juga dengan iblis. Dan pastikan iblis itu lagi kuat dan lebih 'power' dari iblis belaan Zamri. Supaya dia dapat menundukkan Zamri.
"Sekejap Biah. Aku keliru ni," kata Pak Majid memotong perbualan Biah.
Biah terdiam.
"Jadi maknanya, yang ada pada kau dari Bidan Senah, yang ada pada arwah si Zamri tu dari arwah Wan Daud. Macam tu?"
Biah mengangguk.
"Saya selepas itu rasa bersalah juga. Tapi apa boleh buat Pak Majid. Saya dah ikat janji dengan benda tu. Nak buang tak boleh, hanya Bidan Senah yang boleh. Saya pun tak sangka benda ni mengamuk. Dan tak sangka Pak Majid dan Imam Semawi dapat bantu saya," kata Biah penuh penyesalan.
"Eh dari tadi aku tak nampak Khairul. Mana dia?" tanya Pak Majid.
"Dia keluar sekejap. Katanya nak ke kubur ayahnya. Dia kata dah lama tak bersihkan kubur ayahnya," jawab Biah.
"Aku harap semuanya kembali tenang lah Biah. Ingat lah, jadikan semua ni pengajaran. Dan kau banyakkan lah solat. Lakukan solat taubat dan mohon ampun dengan Tuhan," pesan Pak Majid.
Biah diam dan mengangguk.
"Ok lah, aku balik dulu. Ada apa-apa, lekas bagitahu aku," kata Pak Majid.
Pak Majid pulang ke rumah.
Mastura sedang berehat mengambil angin di beranda.
"Macam mana keadaan Mak Cik Biah, ayah?" tanya Mastura.
"Dah ok, cuma nampak kepenatan sikit," jawab Pak Majid.
"Itu lah. Mas tak sangka Mak Cik Biah pun sanggup berdamping dengan benda-benda macam tu," kata Mastura.
Pak Majid diam.
"Tengok lah. Akhirnya harta tu tak kekal juga. Habis macam tu juga tak tahu gunakan beli apa, buat apa," tambah Mastura lagi.
"Kita doakan Biah berubah dan dosanya diampun Tuhan sudah lah," kata Pak Majid.
"Baik ayah," kata Mastura.
"Tapi ayah pasti ke semua yang ada kat rumah Mak Cik Biah tu dah tak ada?" tanya Mastura lagi.
"Hmmm. Ayah pun tak pasti. Benda tak nampak zahir ni, payah ayah nak cakap. Nanti malam ayah jumpa Imam Semawi di surau, ayah tanya dia," jawab Pak Majid.
Senja menjelma.
Terlihat beberapa penduduk kampung berpusu-pusu ke surau, untuk solat jemaah.
Termasuk Pak Majid dan anaknya Mastura.
"Macam mana mam dengan cerita Biah ni?" soal Pak Majid ketika selesai solat Isyak.
"Malam tadi juga semuanya sudah 'dihantar pulang'," jawab Imam Semawi tenang.
Pak Majid tidak berkata apa-apa. Memang itu sebenarnya jawapan yang ingin didengarinya.
Seketika kemudian,
"Pak Majid! Pak Majid! Imam!"
Terdengar seseorang memanggil dalam keadaan tergopoh gapah.
"Hah kamu Khairul. Kenapa ni? Nampak kelam kabut je. Ada apa?" tanya Pak Majid.
"Mak Pak Majid. Mak!" jawab Khairul seperti menahan sebak.
"Mak? Kenapa dengan Biah? Sakit balik ke?" tanya Imam Semawi.
"Bukan. Mak. Dah tak ada. Lepas dia solat Isyak tadi. Dia rebah lepas berdoa," kata Khairul. Air mata laju menuruni pipinya.
"Inna lillahi Wa Inna Lillahi Roji'un," ucap Imam Semawi dan Pak Majid.
"Jom lah kita ke rumah kamu. Jom Mas," kata Pak Majid mengajak Mastura. Imam Semawi juga menuruti di belakang.
Khairul bergegas tergopoh gapah berjalan memandangkan jenazah ibunya ditinggalkan sendirian di rumah.
Mereka sampai di rumah Biah.
Jenazah Biah terbaring elok di atas sejadah. Masih lagi dengan telekung solatnya.
Wajahnya jernih, dan nampak agak tenang riaknya.
"Ya Allah, ampuni lah hambaMu yang dalam perjalanan pulang menemuiMu ini Ya Allah," kata Imam Semawi.
Mastura bersimpuh di sisi jenazah Biah.
"Esok selepas Subuh kita akan bawa jenazah Biah ke surau. Kalau boleh seawal mungkin kita kebumikan," kata Imam Semawi lagi.
"Sabar lah Khairul. Ini sudah janji Tuhan. Tak cepat atau lambat sesaat pun," kata Pak Majid menenangkan Khairul.
"Imam, malam ini biar lah saya dan Mastura di sini. Imam kalau nak balik, Imam balik lah dulu," kata Pak Majid lagi.
"Iya lah, kamu teman lah Khairul di sini ya," kata Imam Semawi.
"Mas nak balik ambil barang sekejap ayah. Lepas tu Mas nak bagitahu pada penduduk kampung yang lain," kata Mastura.
"Baik lah..Hati-hati ya," kata Pak Majid.
Mastura dan Imam Semawi melangkah keluar dari rumah Biah. Tinggal lah Pak Majid dan Khairul berdua.
Khairul ketika itu mula membaca Quran di sisi jenazah ibunya.
Pak Majid melangkah ke dapur, tekaknya terasa haus. Sebentar lagi dia juga akan turut bersama-sama Khairul membaca Quran di sisi jenazah Biah.
Pak Majid melangkah menuju ke tangga dari ruang tamu ke dapur.
Sebelum sampai ke tangga, dia melintasi satu bilik. Bilik itu berkunci dan terlihat satu mangga besar mengunci pintu bilik itu.
"Bilik apa ni. Bukan main besar kunci dia," bisik Pak Majid. Dia meneruskan langkah ke dapur.
"Huuuuuu.."
Pak Majid terdengar tangisan dari bilik itu.
BERSAMBUNG
AKU BELUM PULANG
PART13 (AKHIR)
"Perasaan aku saja barangkali," bisik hati Pak Majid.
"Huuuuuu...."
Sekali lagi tangisan itu kedengaran. Pak Majid berhenti. Dalam hatinya yakin, tak mungkin ini khayalan.
Seketika, suara tangisan itu tidak kedengaran lagi. Pak Majid mengambil satu gelas, mengisi air dan meneguknya.
Setelah itu, Pak Majid naik semula ke ruang tamu. Tetapi dia berhenti seketika di bilik yang berkunci itu.
Pak Majid menghampiri pintu bilik itu. Dekat, dan makin dekat.
Pak Majid menekapkan telinganya ke salah satu daun pintu itu. Dia ingin mendengar sama ada bilik itu berpenghuni ataupun tidak.
Tidak kedengaran apa-apa.
Dia menjarakkan telinganya dari pintu itu. Dan sekali lagi dia mendekatkan telinganya.
"Baam! Baaaam!!"
Pintu itu diketuk dari dalam. Pak Majid terperanjat. Dia melangkah ke belakang 2 tapak.
"Kenapa ni Pak Majid? Ada apa?" tiba-tiba Khairul muncul.
"Err tak ada apa-apa lah. Ini bilik apa Khairul?" tanya Pak Majid.
"Ini bilik kosong. Tak ada sesiapa punya. Tapi selepas arwah ayah tak ada, mak simpan semua barang arwah kat dalam ni lah," terang Khairul.
"Ohh. Baik lah. Ok lah, Pak Majid nak baca Quran sekejap," kata Pak Majid langsung pergi dan bersila di sisi jenazah Biah.
Khairul juga duduk kembali di sisi arwah ibunya. Tak lama kemudian, Mastura datang.
Jenazah Biah selamat disemadikan pada pagi esoknya sekitar jam 10 pagi. Segala urusan tiada halangan, dan amat mudah sekali.
"Jemput naik Imam," kata Pak Majid mempelawa Imam Semawi naik ke rumahnya sekembali dari tanah perkuburan.
"Akhirnya selesai semua ya, imam," kata Pak Majid.
Imam Semawi hanya mengangguk.
Kemudian, Mastura keluar dari dapur membawa dulang yang berisi satu teko air dan 2 cawan.
"Jemput minum Imam, ayah." kata Mastura.
"Rupanya kita fikir selama ini arwah Biah dan arwah Zamri ni membela dari Wan Daud. Rupanya asing-asing ya imam," Pak Majid memulakan perbualan.
"Apa maksud kau?" tanya Imam Semawi.
"Sehari sebelum kematian Biah, saya ada pergi ke rumahnya. Dia ceritakan semua pada saya. Dia punya rupanya dari arwah Bidan Senah. Imam ingat lagi Bidan Senah?" tanya Pak Majid.
Imam Semawi diam sebentar. Lalu dia berkata,
"Ingat. Aku yang talqinkan dia masa pengkebumian dia. Patut lah berat nak lawan Biah malam tu. Bidan Senah ni dia banyak bermain dengan tali kapan bahagian kepala jenazah," kata Imam Semawi.
"Tali kapan bahagian kepala?" tanya Mastura
"Ya. Bila ada pengkebumian, kebiasaan tali atau cebisan kain yang diikat di bahagian kepala kan akan dibuka. Tali itu lah yang dia simpan. Dia guna benda tu untuk memanggil balik roh si mati dan menjadikan sebagai hamba," kata Imam Semawi.
Pak Majid terdiam seketika. Dia teringat akan bunyi tangisan di dalam bilik yang berkunci malam tadi.
"Tapi, imam ada buang tali itu sebelum ini?" tanya Pak Majid.
"Nak buang macam mana? Aku hari ini baru tahu arwah Biah meminta bantuan dari arwah Bidan Senah. Itu pun kau yang cerita," kata Imam Semawi.
Sah! Sahih!
Benda itu masih ada. Belum dihantar pulang semua oleh Imam Semawi malam itu.
Pak Majid menceritakan semua tentang kejadian malam tadi pada Imam Semawi. Imam Semawi mendegar dengan tekun.
Imam Semawi juga menceritakan bahawa arwah Zamri dahulu meninggal dunia kerana dikatakan sesak nafas.
Namun tiada orang yang tahu kecuali orang kampung yang memandikan dan mengafankan jenazah arwah Zamri.
Terdapat kesan cekik di leher arwah. Terdapat kesan jari yang amat panjang namun hanya 4 batang jari sahaja.
Imam Semawi dan orang kampung yang menyiapkan proses pemandian dan mengkafankan jenazah Zamri ketika itu berdiam diri kerana tidak mahu aibkan si mati.
"Yang cekik Zamri tu bukan dari Bidan Senah. Tapi dari belaannya sendiri. Dia tak tahu syarat apa yang dia patut ikut kerana Wan Daud tak sempat cerita. Wan Daud meninggal dunia. Agaknya benda tu marah pada arwah," cerita Imam Semawi lagi.
"Maknanya malam ini kita ada tugas lagi yang belum selesai lah ya, imam," kata Pak Majid.
"Begitulah nampaknya," jawab Imam Semawi.
Malam menjelma. Usai solat berjemaah di surau, Pak Majid dan Imam Semawi terus ke rumah Khairul.
"Kau pecahkan pintu ni Khairul," kata Pak Majid.
Khairul mengambil tukul dan memecahkan kunci pada pintu itu.
Apa yang disaksikan oleh Imam Semawi amat mengerikan. Namun tidak dapat dilihat oleh Pak Majid dan Khairul.
"Kamu tunggu di luar. Tunggu aku keluar. Tutup balik pintu ini lepas kamu berdua keluar nanti," arah Imam Semawi.
Khairul dan Pak Majid menurut perintah Imam Semawi.
Setelah Pak Majid dan Khairul keluar dan menutup pintu, Imam Semawi melangkah ke satu sudut di bilik itu.
Dia terus duduk seperti duduk antara dua sujud.
"Nak tanya ni. Kenapa duduk sini? Kenapa tak balik? Nak apa sebenarnya dari keluarga ni?"
Imam Semawi bertanya dalam keadaan matanya tertutup rapat. Jari jemarinya kencang mengira tasbih.
"Oh ada benda yang keluarga ni ambil ya," kata Imam Semawi lagi.
"Tahu ke benda tu kat mana?" tanya Imam Semawi.
Kemudian Imam Semawi mengangguk seolah-olah berbual dengan seseorang, namun hanya dia saja yang tahu.
"Baik. Aku ambil, lepas tu aku mintak kau balik tempat asal ya. Sini bukan tempat kau dah. Nanti aku pun akan balik ke sana juga. Kau balik dulu, aku pulangkan benda tu ke tempat asal kau esok ya. Aku janji," kata Imam Semawi.
Seketika, perlahan-lahan Imam Semawi membuka mata.
"Alhamdulillahhhh..." kata Imam Semawi. Dia bingkas bangun dan keluar dari bilik itu.
Dia keluar dari rumah, menuruni tangga dan membongkok badannya lalu terus ke bawah tangga rumah itu.
Pak Majid dan Khairul turut berada di situ.
"Majid, hulurkan aku cangkul kecil tu," kata Imam Semawi.
Pak Majid hulurkan tanpa banyak soal.
Imam Semawi mencangkul tanah itu berkali-kali.
Dan, dia menarik 1 cebisan kain yang agak panjang. Berwarna putih namun telah comot dan kotor terkena tanah.
"Ini lah permainan arwah Bidan Senah," kata Imam Semawi.
"Apa yang ada dalam bilik tu pak imam?" tanya Khairul.
"Tak ada apa lah. Semua dah selesai, Khairul," kata Imam Semawi.
Pagi esoknya selepas solat Subuh, Imam Semawi ke tanah perkuburan kampung.
Dia menuju ke kubur arwah Wan Daud.
"Ini yang aku janji malam tadi ya. Aku pulangkan balik dan aku letak di tempatnya. Ingat, kita dah janji. Aku pulangkan barang kau, kau tak akan kacau penduduk kampung ya," kata Imam Semawi lembut.
Sejak itu tiada lagi gangguan yang berlaku di kampung itu.
Khairul khabarnya telah berhijrah dan menetap di bandar. Sudah lama dia tidak pulang dan rumah itu ditinggalkan terbiar usang dan telah pun roboh.
"Haaaa! Macam itulah cerita Mak Cik Biah dan anaknya Khairul yang berlaku kat kampung cikgu,"
kata Fauziah menutup cerita seram yang berlaku di kampungnya bertahun-tahun yang lalu pada penghuni asrama yang datang ke biliknya semata-mata ingin mendengar cerita seram.
Fauziah kini menjadi warden di asrama itu. Dahulunya dia belajar di sekolah ini juga.
"Terer lah ayah Cikgu," kata Diana, pelajar tingkatan 2.
"Imam kot, mestilah power," kata Shakila, juga pelajar tingkatan 2. Dan juga penghuni di asrama itu.
Cikgu Fauziah adalah anak kepada Imam Semawi.
"Err Cikgu, yang cerita Ateh tu macam mana pulak? Dia duduk asrama ni juga kan dulu? Kawan baik Cikgu kan?" tanya Sofea, pelajar tingkatan 1.
"Mana kamu tahu cerita Ateh ni?" tanya Fauziah.
"Hari pertama saya masuk dah ada kakak senior cerita. Dia kata Cikgu dulu kawan baik arwah. Masa meninggal dunia kat bilik sakit tu, Cikgu yang temankan dia," kata Sofea lagi.
Cikgu Fauziah diam. Dia berkata,
"Jadi kamu dah tahu lah cerita arwah kawan baik saya tu. Betul lah tu"
"Tapi macam ada lagi je Cikgu? Takkan macam tu je?" tanya Sofea lagi. Tidak berpuas hati.
"Hmmm nanti lah. Nak tahu Ateh Part 2, sampai masanya nanti kita tahu lah. Sekarang dah malam. Pergi balik dorm masing-masing dan tidur. Esok cuti, tapi jangan skip solat Subuh kat surau ya!" pesan Cikgu Fauziah.
Pelajar-pelajar itu beredar dan pulang ke dorm masing-masing.
Begitu juga Sofea. Kecewa dia kerana tak dapat mendengar cerita arwah Ateh yang menjadi legenda di asrama itu.
"Dik..oh dik..dik.."
Tidur Sofea terganggu sekitar jam 3 pagi. Sofea membuka matanya.
Di saat itu gelap, yang hanya menerangi hanyalah lampu koridor luar.
Sofea tak dapat mengecam siapa yang mengejutnya.
"Adik yang nak tahu cerita pasal arwah Ateh tadi ya?"
"Ya saya. Tapi akak ni siapa?" tanya Sofea.
"Akak lah ATEH"
TAMAT
******************************
**********
Comments
Post a Comment